Sunday 2 October 2011

Kegembiraan bertukar tragedi



PUCHONG – Kegembiraan lima kanak-kanak bermain air dalam parit terletak beberapa meter daripada pangsapuri Enggang Bandar Kinrara, 6 yang didiami mereka berakhir tragedi apabila dua daripadanya dilaporkan lemas, petang semalam.

Difahamkan, dua kanak-kanak itu terjun ketika air hujan memenuhi parit sedalam dua meter selepas seorang rakan mereka yang dipercayai pandai berenang terjun terlebih dahulu ke dalam saluran perparitan berkenaan.

Penduduk, Mohd Zakaria Kasim, 21, berkata, dia dikejutkan dengan berita budak lemas itu kira-kira jam 3.30 petang selepas pulang dari tempat bekerja.

“Saya mendapat tahu daripada jiran ada budak terjatuh dalam longkang itu lantas bergegas ke tempat kejadian bersama seorang rakan.

“Tanpa menunggu lama, kami kemudian terjun ke dalam parit itu melakukan pencarian kedua-dua kanak-kanak yang dikatakan tidak timbul selepas terjun ke dalam parit terletak kurang 80 meter dari taman permainan di sini,”katanya.

Zakaria berkata, selepas lima minit mencari, mangsa gagal ditemui sebelum operasi menyelamat bersama rakannya Khairul Anuar Abdul, 20, diteruskan sekali lagi.

“Selepas 10 minit mencari, kami berjaya menemui seorang mangsa sebelum seorang lagi ditemui beberapa minit selepas itu namun kedua-duanya sudah tidak bernyawa,”katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, dua kanak-kanak yang lemas dikenali sebagai Haizat Anas Ruddin Zaidi, 9 manakala seorang lagi Mohd Syafiq Jamsun, 7 tahun. 

“Saksi mendakwa terlihat lima kanak-kanak bermain di parit itu kira-kira jam 1 petang. Dua daripadanya terjun di parit yang dalam manakala dua lagi terjun di tempat yang cetek.

“Mangsa yang terjun di paras air yang dalam dikatakan tidak timbul dan disahkan meninggal dunia jam 4 petang, semalam,”katanya.

Sehubungan itu, Abd Razak turut menasihatkan golongan ibu bapa supaya mengawasi tingkah laku anak-anak mereka masing-masing supaya tidak bermain di tempat yang berbahaya.

Beliau dalam pada masa sama menyarankan badan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri itu mengambil tindakan membina semula pagar bagi mengelakkan orang awam mudah ke tempat berbahaya seperti itu.

No comments:

Post a Comment