Sunday 2 October 2011

Kerani maut ditikam



SHAH ALAM - Cubaan seorang kerani untuk menyelamatkan dirinya daripada diserang, gagal, apabila dia ditemui mati dengan kesan tikaman di dada, kira-kira 60 meter dari rumahnya di Jalan Mutiara Timur 4, Cheras, di sini, malam kelmarin.

Sebelum kejadian kira-kira 10.45 malam itu, mangsa, Phang Choon Puck, 25, dipercayai dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya selepas pergi ke pusat sukan di sebuah pusat beli-belah yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, sebelum mayat mangsa ditemui, terdapat seorang pengawal keselamatan melihat mangsa berlari dalam keadaan panik sambil menjerit meminta tolong. 

Beliau berkata, mangsa yang lengkap berpakaian sukan, dilihat berlari dari sebuah lorong menuju ke kawasan kejadian.

Menurutnya, mangsa berlumuran darah, bagaimanapun rebah tidak sedarkan diri di hadapan sebuah rumah di kawasan kejadian. 
Katanya, pengawal keselamatan yang berada di situ kemudiannya menghubungi polis memaklumkan kejadian. 
“Siasatan awal menunjukkan terdapat kesan tikaman pada dada kiri mangsa. Berdasarkan kesan tikaman yang terlalu dalam, kita yakin penyerang mencederakan mangsa dengan menggunakan senjata tajam. 
Pemeriksaan lanjut menemui barangan berharga milik mangsa di bahagian poket seluar dipakainya. Kita masih belum dapat pastikan motif kejadian sama ada berkaitan samun, namun siasatan dijalankan menjurus pelbagai aspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, semalam. 
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat. 

Mohan Singh berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada pengawal keselamatan termasuk meneliti kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian. 

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian, diminta menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, 03-91452222 atau tampil ke mana-mana balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

No comments:

Post a Comment