Sunday 2 October 2011

Puluhan ribu penduduk Filipina dipindah

CALUMPIT (Filipina): Kerajaan Filipina menghantar helikopter, bot dan kenderaan amfibia, semalam dalam usaha memindahkan berpuluh-puluh ribu penduduk yang terjejas oleh taufan yang melanda negara itu.
Bagaimanapun, petugas penyelamat dan pihak berkuasa berkata, mustahil untuk memindahkan setiap orang ke tempat selamat apabila kebanyakan mereka enggan meninggalkan kediaman walaupun amaran paras air banjir mungkin terus meningkat sudah dikeluarkan.

“Kami tidak dapat memindahkan mereka semua. Mereka terlalu ramai. Ia sesuatu yang mustahil,” kata Datuk Bandar Calumpit, James de Jesus. Kebanyakan penduduk di bandar itu juga didapati tidak berjaga-jaga dengan paras air yang semakin meningkat. “Kami menyeru bantuan daripada tentera supaya menyalurkan makanan dan air kepada beribu-ribu penduduk yang masih ada di atas bumbung atau tingkat dua kediaman mereka,” katanya.

Taufan Nalgae melanda Filipina, kelmarin selepas enam jam membadai Pulau Luzon menimbulkan masalah baru kepada lebih sejuta penduduk yang terjejas oleh taufan Nesat yang melanda lima hari sebelum itu. - AFP

No comments:

Post a Comment