Sunday 2 October 2011

Ulama Saudi kurang senang

JEDDAH: Seorang ulama paling kanan Arab Saudi semalam berkata, beliau tidak dirujuk mengenai keputusan Raja Abdullah untuk memberi lebih banyak hak politik kepada kaum wanita negara itu. Kenyataan Sheikh Saleh al-Lohaidan, anggota kanan Majlis Ulama Arab Saudi itu adalah tanda pertama mengenai rasa tidak puas hati golongan konservatif sejak pembaharuan itu diumumkan minggu lalu. Abdullah minggu lalu mengumumkan, wanita boleh mengundi dan bertanding dalam pilihan raya majlis tempatan serta dilantik dalam Majlis Syura yang bertanggungjawab memberi nasihat mengenai dasar kerajaan. Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan ulama paling kanan negara itu yang mempunyai pengaruh politik dan sosial. “Raja sepatutnya tidak berkata beliau berunding dengan pegawai kanan. Saya tidak tahu apa-apa mengenai perbincangan itu sebelum mendengar ucapannya,” kata Saleh kepada saluran televisyen al-Majd. Ulama itu bercakap secara berhati-hati kerana tidak mahu dianggap mengkritik keputusan Abdullah. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada menyokong atau tidak pembaharuan itu. Ulama Saudi yang secara umumnya bersifat konservatif dikatakan kurang senang dengan idea pembaharuan Abdullah. Seorang ulama kanan mengkritik universiti campuran lelaki-perempuan pertama di negara itu selepas ia dilancarkan pada 2009 dan serta-merta dipecat. Saleh juga dipecat daripada jawatannya sebagai Ketua Majlis Tertinggi Kehakiman selepas mengeluarkan fatwa yang mendesak pembunuhan beberapa eksekutif televisyen tetapi dikekalkan sebagai anggota Majlis Kanan Ulama. - Reuters

No comments:

Post a Comment