Thursday 27 October 2011

25 peniaga pasar ditipu



KOTA BHARU - Kira-kira 25 peniaga Pasar Siti Khadijah, di sini kesal setelah mendakwa mereka ditipu oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai wakil Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk tawaran pembiayaan pinjaman perniagaan.

Pengerusi Koperasi Pasar Siti Khadijah, Mohamad Ibrahim berkata, dua bulan lalu, seorang lelaki datang ke pasar berkenaan dengan keadaan tergesa-gesa dan menawarkan pinjaman pembiayaan kepada peniaga pasar.

“Lelaki ini berusia dalam lingkungan 30-an menunjukkan borang pembiayaan dan memberitahu peniaga pasar yang berminat untuk membuat pinjaman boleh membuat permohonan terus melaluinya.

“Semasa kejadian, lelaki itu menyatakan, memandangkan masa terlalu singkat untuk membuat permohonan, dia meminta kami segera membayar RM50 sebagai bayaran ahli dan pada hari itu kami anggarkan lelaki berkenaan memperoleh RM1,250 dalam masa setengah jam,” dakwanya kepada pemberita semasa sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, untuk menarik perhatian peniaga, lelaki tersebut berjanji pihak PUNB akan memasukkan wang RM500 sebagai hadiah kepada pendaftaran yang dibuat.

“Lelaki ini mengaku dia sudah menerima pinjaman RM500,000 daripada PUNB, mempunyai kedai kasut dan baju di Kuantan, Pahang serta diberi kebenaran menjadi wakil untuk menawarkan pinjaman itu kepada peniaga lain,” dakwanya.

Tertarik dengan tawaran dan janji manis lelaki terbabit, 25 peniaga yang berhasrat mengembangkan perniagaan mereka mengeluarkan wang RM50 setiap orang dan mereka segera membuat salinan kad pengenalan untuk mendaftar.

“Dalam tempoh 30 minit, lelaki itu dengan cekap mengajar kami mengisi borang menjadi ahli sambil memberitahu dia tidak mempunyai masa yang banyak kerana tempoh tawaran pembiayaan hampir tamat pada hari itu.

“Selepas dua minggu, tiada sebarang berita daripada perbadanan ini, kami mulai sedar kami ditipu, sehinggalah dua minggu lalu, ahli jawatankuasa koperasi membuat laporan kepada PUNB dan pihak perbadanan datang ke Kelantan menyiasat,” katanya.

Sementara itu, peniaga tekstil di pasar berkenaan, Sarina Kareem Kamel, 44, mengakui dia pernah membayar RM50 kepada lelaki terbabit sebagai wang pendaftaran menjadi ahli.

“Selepas mengisi borang ahli yang mempunyai lambang PUNB, kami diberikan resit bayaran dan baru sekarang saya sedar resit itu resit biasa yang ada dijual di kedai biasa,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit memberitahu, setelah menjadi ahli, peniaga akan diberi tawaran pinjaman perniagaan sehingga RM500,000 dan mereka yang sudah menjadi ahli akan dihubungi dalam masa dua minggu.

“Lelaki ini memakai baju korporat berwarna oren dan kami percaya kata-katanya (ketika itu) kerana sangat berminat untuk menambah modal dan mengembangkan perniagaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment