Thursday 27 October 2011

Suami isteri rentung di pagi Deepavali



REMBAU – Hasrat untuk meraikan Deepavali bersama keluarga di Alor Gajah, Melaka tidak kesampaian bagi sepasang suami isteri apabila mereka terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 16, Jalan Seremban - Tampin di sini, pagi semalam.

Lebih menyayat hati, P Mugundhan, 41, dan isterinya, K Jothi, 36, bukan sahaja hilang nyawa malah anggota tubuh mereka rentung apabila kereta Honda City yang dinaiki bersama dua anak mereka terbakar selepas terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain.

Orang ramai yang berada di sebuah kuil berhampiran hanya mampu melihat api marak membakar tubuh suami isteri malang itu kerana usaha untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, gagal.

Dua anak pasangan itu berusia 13 dan 14 tahun yang cedera parah, bagaimanapun berjaya diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban dan mayat kedua ibu bapa mereka dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat.        

Saksi kejadian, K Anabarusu, 24, berkata, dia bersama beberapa orang lain yang berada di kuil berhampiran terus bergegas ke arah jalan sebaik terdengar dentuman kuat berpunca daripada kemalangan itu.

“Ketika itu, saya tengok kereta sudah terbakar. Kami cuba selamatkan mereka tetapi gagal kerana mangsa tersepit dan api pula sedang marak. Hanya anak mereka saja yang berjaya dibawa keluar,” katanya.

Anabarasu berkata, api berpunca daripada sebuah lagi kereta yang terbabit dengan kemalangan itu yang telah menyambar kereta mangsa.

“Saya tambah sedih apabila tengok mangsa rupa-rupanya saya kenal, adik jiran saya di Seremban Jaya, Seremban,” katanya.

Sementara itu, abang mangsa, K Murali, 38, berkata, adiknya, Jothi, 36, dan keluarganya baru sahaja meraikan pagi Depavali di rumahnya di Seremban Jaya.

“Mereka dalam perjalanan ke Alor Gajah untuk meraikan Deepavali di sana,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu sekitar jam 8.56 pagi dan jentera pertama yang tiba adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau jam 9.04 pagi.

Menurutnya, 18 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian iaitu dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Senawang dan Seremban 2.

“Kami mengambil masa kira-kira 10 minit bagi memadam kebakaran sepenuhnya,” katanya.

Menurut Zamrus, tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan itu iaitu kereta Honda City; Proton Iswara dan Toyota Camry. Dua kenderaan yang rentung ialah Honda City dan Iswara.

“Bagaimanapun, pemandu kereta Iswara iaitu lelaki India dan pemandu kereta jenis Toyota Camry iaitu lelaki Cina, selamat,” katanya.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, untuk rekod dari Januari hingga kini, sebanyak 29 kes kematian membabitkan kemalangan maut di daerah Rembau.

“Oleh itu, kita nasihatkan pengguna jalan raya agar memandu dengan lebih cermat. Bagi kes ini, dipercayai ianya berpunca dari kenderaan bertembung dari arah bertentangan dan mangsa telah dihantar ke HTJ bagi bedah siasat.

“Siasatan masih dijalankan. Sehubungan itu, orang awam yang melihat kejadian diminta datang ke balai polis berdekatan,” katanya

No comments:

Post a Comment