Thursday 27 October 2011

Remaja 14 tahun cuba sorok kelahiran



SEPANG - Tindakan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun cuba menyembunyikan kelahiran, sia-sia, apabila perbuatannya disedari oleh ibu bapanya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman ketika dihubungi semalam, mengesahkan kejadian dan memberitahu, remaja itu melahirkan bayi tidak cukup bulan di rumah keluarganya di Pulau Meranti, di sini, malam Isnin lalu.

Beliau berkata, bayi itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia selepas dilahirkan.

“Kita percaya mangsa ketakutan dan cuba menyembunyikan anak yang baru dilahirkan dalam rumah tersebut.

“Namun bapa mangsa menyedari kejadian yang berlaku selepas melihat anak perempuannya berada dalam keadaan berlumuran darah serta lemah,” katanya.

Imran berkata, remaja terbabit kemudiannya dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut, manakala mayat bayinya dibedah siasat di hospital sama.

Katanya, perkara itu dilaporkan kepada polis dan siasatan lanjut berhubung kes sedang dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

No comments:

Post a Comment