Thursday 27 October 2011

3 warga nepal maut nahas sebelum sempat mula bekerja



27/10/2011 10:30pm

SHAH ALAM 27 Okt. – Tiga wanita warga Nepal yang baru menjejak kaki di Malaysia hari ini tidak sempat memulakan kerja di sebuah kilang membuat sarung tangan di Klang setelah mereka terbunuh dalam kemalangan di Km 4.4, Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE).
Dalam kejadian pukul 3 petang itu, dua van syarikat yang membawa 19 pekerja dari Nepal itu dalam perjalanan menuju ke kilang tempat mereka bakal bekerja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), apabila sebuah daripada van itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta dan sebuah lori kontena.
Ketua Trafik Daerah Shah Alam, DSP Ruslan Abdullah berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 3.10 petang, polis terus ke lokasi kejadian dan mendapati tiga wanita sudah tercampak keluar dari van berkenaan.
"Polis mengesahkan ketiga-tiga wanita terbabit mati di tempat kejadian. Walau bagaimanapun, mayat mereka yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 30 tahun itu masih belum dikenal pasti identiti mereka lagi.
"Manakala, lima lagi cedera parah termasuk pemandu van itu dan kesemua mangsa sudah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, polis masih menyiasat bagaimana kemalangan itu berlaku. – Bernama

No comments:

Post a Comment