Thursday 27 October 2011

Kerani rugi lebih RM2,000 disembur cecair pukau



AMPANG - Dengan hanya satu semburan cecair, seorang kerani dipercayai dipukau dalam satu kejadian di Taman Dagang, di sini, petang kelmarin.

Mangsa dikatakan menyerahkan jam tangan dan sebentuk cincin berlian bernilai hampir RM2,000 yang dipakainya secara sukarela kepada dua lelaki yang menghampirinya.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu berlaku ketika mangsa sedang menunggu teksi berdekatan dengan tempat kerjanya sebelum dihampiri sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki berusia lingkungan 20-an.

Sumber berkata, mangsa yang berusia 23 tahun itu terkejut selepas salah seorang daripada lelaki berkenaan bertindak menyembur sejenis cecair ke muka.

Menurutnya, mangsa tidak menyedari kejadian itu sehingga pulang ke rumah dan mendapati cincin dan jam tangannya sudah hilang.

“Selain kehilangan barang, mangsa juga mengalami kesakitan di pergelangan tangan dan mendapat rawatan di Hospital Ampang sebelum tampil membuat laporan polis pada hari sama kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesan dua lelaki berkenaan.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dipukau menerusi semburan cecair itu.

Beliau menasihatkan orang ramai terutama wanita supaya lebih berwaspada terutama ketika berada di tepi jalan dan segera bertindak melaporkan kejadian kepada polis untuk tindakan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment