Thursday 27 October 2011

Tukang urut lari tinggal kawan



SUBANG JAYA - Tiga tukang urut warga China yang sedang berehat sambil menunggu pelanggan lari lintang pukang bagi mengelakkan diri daripada dicekup anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dalam satu serbuan, lewat petang kelmarin.

Mereka yang menggunakan pintu depan bagi meloloskan diri sanggup meninggalkan seorang rakan sekerja yang juga warga China dalam premis berkenaan.

Difahamkan, mereka sempat melarikan diri setelah mendapat ‘isyarat’ daripada ‘tonto’ yang dikatakan mengawal pintu masuk pusat beli-belah berkenaan.

Jurucakap Jabatan Penguatkuasaan MPSJ berkata, hasil maklumat awam, pihaknya menyerbu dua premis di tingkat dua pusat beli-belah berkenaan.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dalam serbuan diketuai Pegawai Penguat Kuasa MPSJ, Mazrul Zahar Mohd bersama 10 anggota di premis pertama, dua tukang urut wanita warga Indonesia berjaya dicekup.

“Hasil daripada pemeriksaan, mendapati rumah urut berkenaan mempunyai lesen sah daripada MPSJ, tetapi pengusaha premis menawarkan urutan badan kepada pelanggan.

“Ia secara jelas melanggar syarat lesen kerana tawaran khidmat urutan badan memang tidak dibenarkan, premis itu disita dan ditutup di bawah Seksyen 13(k) Undang-undang kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007 dan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000,” katanya.

Beliau berkata, di premis kedua pula, seorang wanita warga China berjaya dicekup manakala yang lain sempat melarikan diri.

Siasatan mendapati premis berkenaan turut menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah daripada MPSJ.

“Tindakan sitaan dan penutupan premis dikenakan kepada pengusaha premis di bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Tukang urut warga asing dicekup sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment