Thursday 27 October 2011

Dua suspek kes bunuh kena tahan



MARANG - Malang berganda. Demikianlah nasib bakal menimpa salah seorang dari dua lelaki yang menjadi buruan polis selepas mereka berjaya ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu kes pembunuhan dalam dua serbuan berasingan di sini, Isnin lalu.

Suspek terbabit, Amzul Jusoh, 39, berjaya ditahan di sebuah rumah di Kampung Rhu Muda kira-kira jam 3.45 petang manakala rakannya, Muhamad Hafizhu Zarawi, 24, pula ditahan di sebuah rumah di Kampung Batangan kira-kira jam 9.45 malam.

Malang bagi salah seorang suspek apabila polis turut menemui sejumlah 120 biji pil berwarna kemerah-merahan dipercayai pil kuda dalam poket seluar yang dipakai semasa dia ditahan membolehkan dia disiasat di bawah Seksyen 39 (A) (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB).

Kedua-dua mereka diburu bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan seorang lelaki di kawasan kilang baja Kampung Batangan, Marang pada 15 September lalu yang koma selama 12 hari selepas dibelasah sekumpulan lelaki dipercayai berpunca masalah hutang.

Mangsa yang dibelasah itu kemudiannya disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu apabila menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.05 malam selepas mengalami kecederaan serius pada kepala dipercayai akibat dipukul.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu, bagaimanapun berkata, polis masih lagi mencari seorang lagi suspek dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes pembunuhan berlaku di kawasan kilang baja itu tempoh hari.

Menurutnya, suspek terbabit adalah Saiful Azizul Che Ali, 26, dengan nama gelaran ‘Kecik Abang’ yang beralamat di belakang surau baru Kampung Gong Merawang, Marang di sini.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya menggesa orang ramai dan mana-mana pihak yang mengenali serta mengetahui suspek itu agar menghubungi balai polis terdekat, atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Marang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi polis menerusi talian 09-6182222 atau Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden Mohd Adli Mat Daud menerusi talian 013-4398633.

No comments:

Post a Comment