Thursday 27 October 2011

Lelaki dibelasah warga Nepal



PASIR GUDANG – Akibat menegur jiran kerana membuat bising, seorang lelaki cedera akibat dibelasah beramai-ramai oleh sekumpulan warga Nepal di Apartmen Tanjung Puteri, di sini, kelmarin.

Mohd Zamri Alias, 40, berkata, dalam kejadian jam 8 malam itu, seramai kira-kira 10 warga asing itu membelasahnya bertubi-tubi sambil menjerit ‘I kill you’ (saya bunuh awak) terhadapnya.

Sebelum kejadian, katanya, warga asing terbabit sedang minum minuman keras di bawah blok kediaman itu sambil membuat bising dan dia bertindak menegur perbuatan mereka.

Malangnya, teguran itu menimbulkan rasa tidak puas hati kepada warga asing terbabit yang kemudian bertindak membelasah mangsa.

“Kerana rimas dengan kelakuan mereka yang minum minuman keras dan membuat bising, saya bertindak menegur perbuatan mereka.

“Namun mereka tidak berpuas hati. Mereka terus menolak saya dan memukul beramai-ramai sehingga menyebabkan saya hampir pengsan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Zamri berkata, dia bernasib baik kerana sempat diberi bantuan oleh beberapa jiran yang mendengar teriakannya meminta tolong.

“Kalau jiran lambat sampai, kemungkinan kecederaan yang saya alami lebih parah,” katanya yang membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Taman Pasir Putih.

Sementara itu, pengerusi perbadanan pengurusan apartmen berkenaan, Mohamad Arim berkata, terdapat kira-kira 1,200 warga asing pelbagai negara menghuni kawasan kediaman itu.

Beliau mengakui pernah menerima laporan daripada penduduk tempatan yang bimbang dengan kebanjiran warga asing di kawasan itu terutama dari aspek keselamatan.

”Mereka bimbang dengan gelagat warga asing itu yang sering berkumpul; beramai-ramai terutama selepas waktu kerja. Keadaan itu juga menyebabkan kawasan perumahan di sini seolah-olah bukan berada di Malaysia lagi,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa perlu mengadakan rondaan yang lebih kerap di kawasan itu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku selepas ini terutama melibatkan nyawa penduduk tempatan.

No comments:

Post a Comment