Thursday 27 October 2011

Warga asing curi bagasi



27/10/2011 6:58pm

SEPANG 27 Okt. - Polis menumpaskan satu kumpulan mencuri bagasi di KLIA dan beberapa lokasi tumpuan ramai di ibu negara dengan penahanan tiga warga asing dalam serbuan di sebuah kondominium di Ampang, Selangor, pada Selasa lepas.
Ketua Polis Sepang, Supritendan Imran Abdul Rahman berkata, dalam serbuan itu, sepasukan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang menemui 16 bagasi serta beberapa barangan berharga termasuk komputer riba dan iPad.
Dua suspek berusia 56 tahun berasal dari Peru dan seorang lagi berumur 52 tahun dari Sepanyol dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak awal tahun ini dan menggunakan pasport pelancong untuk masuk ke negara ini, katanya pada sidang akhbar di IPD Sepang di sini hari ini.
"Kita bertindak atas maklumat seorang pengadu di KLIA yang kehilangan bagasinya semasa berada di kaunter check-in,” katanya.
Imran berkata, suspek yang sentiasa berpakaian kemas dan membawa beg kembara yang sama semasa mencuri dipercayai menjalankan kegiatan itu bukan sahaja di KLIA tetapi juga di KLCC, KL Sentral, lobi hotel dan restoran.
Sebanyak 12 kes kehilangan bagasi dilaporkan di KLIA sejak tahun lepas dan beliau meminta mangsa untuk menuntutnya di IPD Sepang.
Imran juga berkata, tujuh kes membawa masuk senjata api tiruan dilaporkan di KLIA sepanjang tahun ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli senjata api tiruan meskipun untuk tujuan hiasan kerana ia adalah satu kesalahan dan boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengenai penemuan mayat bayi lelaki dalam beg plastik di bawah katil di sebuah rumah di Kampung Sungai Rasau di sini, Imran berkata seorang budak perempuan yang kini dirawat di Hospital Putrajaya akan ditahan untuk siasatan.
"Suspek berusia 14 yang sudah tidak bersekolah melahirkan bayi dalam bilik rumahnya. Kes ini terbongkar selepas beliau dibawa ke hospital selepas mengalami pendarahan,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment