Friday, 4 November 2011

Doktor tolak 25 paku dalam kaki guna sihir





2011/11/04

pix_gal0
Mangsa tak alami komplikasi 

JAKARTA: Lebih 25 batang paku dikeluarkan daripada kaki seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki dimasukkan oleh seseorang, kata doktor yang bertanggungjawab melakukan pembedahan itu semalam.
“Objek ditemui pada kaki kanak-kanak ini dimasukkan dari luar,” kata Dr Kamaruddin Said ketika memberitahu Metro TV bagi meredakan tanggapan orang ramai yang kononnya dimasukkan secara ilmu hitam.
Dr Kamaruddin dipetik Jakarta Globe berkata adalah sangat luar biasa kerana mangsa, Safira, 3, tidak mengalami komplikasi yang mengancam nyawanya kesan daripada paku berkarat itu, setiap satu berukuran 10 sentimeter. 

Beliau berkata, sebatang lagi paku didapati ditanam berdekatan tulang belakang kanak-kanak itu dan akan menunggu sehingga Safira sembuh sebelum melakukan pembedahan lain. 

“Secara perubatan, mustahil paku berkenaan wujud sendiri di dalam badan manusia. Ketika pembedahan, kita juga tahu ada paku yang baru dimasukkan. Bekas luka turut kelihatan di betis kanak-kanak ini. Persoalannya adalah ini tindakan jenayah atau ilmu hitam, kami tidak tahu,” kata Dr Kamaruddin yang juga pakar bedah di Hospital Kerajaan Andi Makkasau, bandar Parepare, Makassar. – Agensi 

Syria sedia undur kereta perisai





2011/11/04

RAKYAT Syria berhimpun di bandar raya El-Raqqa bagi menyatakan sokongan kepada Bashar al-Assad.
RAKYAT Syria berhimpun di bandar raya El-Raqqa bagi menyatakan sokongan kepada Bashar al-Assad.
Liga Arab mahu keganasan terhadap penunjuk perasaan dihenti, tamat krisis politik 

KAHERAH: Syria menerima cadangan Liga Arab yang menggesa ia mengundurkan kereta perisai dari jalan raya dan menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan dalam usaha menamatkan krisis politik negara itu yang berlanjutan selama tujuh bulan, persetujuan yang dipandang skeptikal oleh pembangkang.
Selepas pengumuman kelmarin, Menteri Luar Qatar, Hamad bin Jassim, menggesa Damsyik mematuhi cadangan itu dengan bertindak di tengah kebimbangan Syria meneruskan tindakan keras ke atas penunjuk perasaan antikerajaan di sebalik kecaman antarabangsa dan janji melakukan perubahan.
Aktivis Syria yang kini berada di Amerika Syarikat, Najib al-Ghadban, yang juga anggota pembangkang, Majlis Kebangsaan Syria, berkata pelaksanaan inisiatif itu bermakna berakhirnya rejim dan Presiden Bashar al-Assad tidak akan membiarkan perkara itu berlaku. 

“Apa yang berlaku hari ini cuma cubaan mendapatkan lebih banyak masa. Rejim ini dikenali kerana tipu daya dan memberikan janji dan tidak melaksanakannya,” kata al-Ghadban kepada The Associated Press. 

Dalam keganasan terbaru, tembakan mesingan dan letupan kedengaran di bandar raya yang menjadi pusat kebangkitan rakyat Syria ketika aktivis melaporkan dua serangan kejam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang dalam masa 24 jam, walaupun tidak jelas siapa mendalangi serangan. 

Usaha Liga Arab mencerminkan keinginan kuat kumpulan itu untuk mengelak melihat seorang lagi pemimpin Arab ditumbangkan secara ganas dan diseret di atas jalan raya, seperti yang berlaku kepada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, bulan lalu. Keputusan Liga Arab membuka jalan kepada serangan udara NATO yang membantu menjatuhkan Gaddafi. 
Syria bersetuju untuk mengundurkan semua kereta kebal dan kereta perisai dari jalan raya, menghentikan tindakan ganas terhadap penunjuk perasaan, membebaskan semua tahanan politik dan memulakan dialog dengan pembangkang dalam masa dua minggu, menurut cadangan itu. Syria juga bersetuju membenarkan wartawan, kumpulan hak dan wakil Liga Arab memantau keadaan di negara itu. 

Bagaimanapun masih tidak pasti sama ada kerajaan bersetuju melaksanakannya. Aktivis laman web sosial menggesa perarakan besar-besaran diadakan di seluruh Syria untuk menguji komitmen kerajaan kepada rancangan Liga Arab, walaupun tidak menyatakan tarikh tertentu. 

Berpuluh-puluh orang juga mengadakan bantahan di luar ibu pejabat Liga Arab di Kaherah ketika Menteri Luar negara anggota mengadakan pertemuan kelmarin, mengibarkan bendera Syria dan melaungkan slogan menentang Assad. 

Cadangan tidak menyatakan di mana dialog antara pihak berkuasa dan pembangkang akan diadakan. Diplomat Arab yang terbabit dalam proses berkenaan berkata mereka mencadangkan di Kaherah manakala wakil Syria bertegas mahukan dialog diadakan di Damsyik. – AP 

Thursday, 27 October 2011

Jambatan kedua Pulau Pinang

14972856

Pengakuan Salah Merogol Remaja Ditolak



KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, menolak pengakuan salah yang diberikan oleh seorang remaja berusia 19 tahun selepas dia tidak mengakui fakta pertuduhan merogol yang dihadapinya.
Pada prosiding itu, Mohd Saiful Ridzuan yang merupakan seorang penganggur menafikan fakta kes tersebut yang dibacakan sebanyak dua kali oleh jurubahasa mahkamah.
Dia terdahulu mengaku salah atas tuduhan merogol seorang pelajar tingkatan tiga berusia 15 tahun sembilan bulan pada pukul 10 malam, 15 Oktober lalu di stor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Awam & Lalu Lintas, Sentul, di sini.
Tertuduh yang ditangkap pada 17 Oktober lalu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Berhubung soal jaminan, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahah Mohd Suah tidak menawarkan jaminan atas alasan bimbang tertuduh akan menganggu mangsa memandangkan mereka saling mengenali antara satu sama lain.
Bagaimanapun, tertuduh yang bertubuh kecil itu merayu mahkamah memberikan jaminan kerana mendakwa, dia mahu ke sekolah.
"Abang saya hadir pada hari ini untuk menjamin saya. Keluarga saya orang susah dan bapa hanya menjual nasi lemak. Saya tidak pernah ditangkap sebelum ini," tambahnya.
Hakim Elelia Kaswati Mohamad Khalid menetapkan jaminan tertuduh pada jumlah RM6,000 dengan syarat penjamin mestilah abangnya, selain tertuduh dilarang untuk menghampiri mangsa dalam apa juga cara.
Selain itu, anak bongsu daripada empat beradik itu juga diperintahkan untuk melaporkan diri ke balai polis berhampiran rumahnya pada hari pertama setiap bulan.
Kes akan ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 November ini untuk tertuduh melantik peguam.

10 rumah di Alor Setar rosak dilanda ribut

ALOR SETAR: Sepuluh buah rumah dan sebuah bengkel kereta di Batu 3, Jalan Langgar dekat sini, rosak teruk akibat dipukul ribut kuat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, bumbung dan dinding kesemua rumah itu terkopak.
Seorang mangsa, Shukri Ibrahim, berkata ribut yang disertai hujan lebat melanda dengan pantas dan menerbangkan bumbung rumahnya dan rumah beberapa jirannya.

"Saya dan ahli keluarga bimbang rumah kami dihempap pokok, dan kami keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.


Shukri berkata beliau bersyukur kerana keluarganya selamat walaupun beliau cedera ringan di kaki semasa menyelamatkan diri manakala kerugian yang dialaminya belum dapat dinilai.

Tujuh kereta yang berada dalam bengkel yang dipukul ribut itu turut rosak dihempap dinding dan bumbung bengkel yang tercabut.

Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata beliau akan menemui Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk memohon bantuan kepada mangsa. -BERNAMA

Tunjuk samseng

GEORGETOWN: Hanya disebabkan sebuah kereta, seorang lelaki terpaksa berhadapan tindakan saman kompaun sehingga RM200 dan anaknya pula ditahan polis gara-gara menyerang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di Jalan Burmah, Isnin lalu.
Keadaan berlaku apabila kereta Perodua Myvi lelaki berusia dalam lingkungan lewat 40-an itu ditunda MPPP gagal menjelaskan bayaran selepas tempoh masa empat jam diberikan MPPP kerana menghalang lalu lintas.
Selepas gagal menjelaskan kompaun mengunci tayar berjumlah RM50, anaknya pula dipercayai berlagak samseng apabila bersama dua lagi rakannya membelasah anggota penguat kuasa MPPP dengan menggunakan topi keledar.

Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, mangsa Shamsul Mohd Nor, 32, memberitahu berlaku sedikit pertelingkahan kecil dan perasaan tidak berpuas hati antara lelaki berkenaan dengannya selepas tindakannya mengunci tayar kereta itu.


Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian menyatakan persetujuan membayar kompaun berkenaan sekiranya dikeluarkan resit pembayaran terlebih dulu.

Polis Berjaya Tangkap Pencuri Bagasi Latin Amerika Di KLIA



SEPANG: Selama beberapa tahun, tiga lelaki Latin Amerika keluar masuk lapangan terbang antarabangsa negara kita dan kerja mereka ialah mencuri bagasi penumpang yang cuai dan leka.
Tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.
Pada Selasa lalu, pihak polis telah berjaya memberkas dua orang warga Peru berusia 56 dan 52 tahun setelah jenayah mereka diintip.
Ketua Polis Sepang, Supt Imran Abdul Rahman ketika mengumumkan demikian berkata, pihak polis telah melancarkan satu operasi bersepadu selepas seorang mangsa berusia 76 tahun, melaporkan kehilangan bagasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada lebih kurang jam 5 pagi Sabtu lalu.
“Mangsa sedang cek in bagasinya untuk penerbangan ke Kota Kinabalu apabila menyedari salah satu daripada begnya hilang,” kata Supt Imran dalam sidang akhbar di pejabatnya, Khamis.
Hasil siasatan, polis telah berjaya mengekori dan menjejaki penjenayah antarabangsa ini sehingga ke sebuah kondominium di Ampang pada Selasa sebelum menahan mereka.
Polis turut menemui 16 lagi bagasi curi dari mereka, lima utas jam tangan dan sebuah iPad.
Penjenayah-penjenayah ini didapati keluar masuk Malaysia sejak tahun lalu dan siasatan awal mendapati, mereka terlibat dalam sekurang-kurangnya 12 kejadian mencuri bagasi di KLIA sahaja.
“Kami telah dapati mereka mensasarkan lapangan terbang, hotel mewah dan restoran mewah serta tempat-tempat membeli belah utama.
“Cara mereka memperdaya mangsa ialah dua daripada penjenayah ini berpura-pura bertanya sesuatu kepada mangsa manakala penjenayah ketiga melakukan jenayah curi tersebut tanpa disedari oleh mangsa,” kata Supt Imran. Supt Imran juga berkata, perbuatan jenayah ketiga-tiga penjenayah dari Peru ini juga telah berjaya dirakamkan melalui CCTV KLIA tanpa mereka sedari.
Mereka kini ditahan reman sehingga 7 November untuk membantu siasatan.