Thursday, 6 October 2011

Van bawa 11 pelajar perempuan rempuh lori




DUA anggota polis melihat keadaan sebuah van dan lori yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Mantin-Lenggeng dekat Mantin semalam.


SEREMBAN - Sebelas pelajar perempuan dan seorang pemandu nyaris maut apabila van yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Mantin-Lenggeng dekat Mantin di sini semalam.
Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, van berkenaan dalam perjalanan pulang dari Broga ke sebuah sekolah di Port Dickson.
Katanya, van yang dipandu oleh lelaki berusia dalam lingkungan 25 tahun itu dikatakan hilang kawalan sebelum berlanggar dengan lori yang tidak membawa muatan dari arah bertentangan.
"Difahamkan kesemua pelajar perempuan tingkatan dua hingga tingkatan enam itu menghadiri satu siri perkhemahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah sebelum kemalangan itu.

Empat penuntut UiTM maut



MACHANG - Suasana pilu menyelubungi penuntut semester tiga, tahun dua Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang apabila lima rakan mereka terlibat kemalangan kira-kira jam 5.30 pagi di sini, semalam.

Kegembiraan selepas menduduki peperiksaan semester dan akan balik kampung, semalam hilang sekelip mata apabila mendengar khabar buruk kematian empat rakan dan seorang cedera ringan apabila kereta yang mereka naiki melanggar bahagian tengah sebuah treler berdekatan Kampung Sungai Mas, di sini.



Pilu kenang saat indah



Rakan-rakan penuntut dan juga pensyarah termasuk Rektornya, Prof Madya Dr Mohd Shukri Omar memenuhi pekarangan Hospital Machang bagi mengetahui perkembangan keadaan mangsa.

Masing-masing hanya mampu menunggu dan mengalirkan air mata apabila mengingati saat indah bersama dan merasakan kejadian ia seolah-olah mimpi ngeri bagi mereka terutamanya dalam kalangan teman rapat.

Dalam kejadian itu, Mohd Shamil Malik, 19, dan Mohd Rizal Mohd Zin, 19, maut di tempat kejadian manakala Mohd Faizzudin Jamil,19; Mohd Sazwan Rosli meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian beberapa jam kemudian.



Mangsa cedera masih trauma



Mangsa yang cedera ringan, Mohd Haziq Zailani, 19, ketika ditemui masih trauma berkata, dia dan empat rakan keluar makan di Wakaf Che Yeh sebelum bersiar-siar di Pantai Cahaya Bulan.

Katanya, ketika kejadian, dia tertidur dan tersedar apabila mendengar bunyi dentuman kuat.

“Apabila membuka mata, saya lihat rakan-rakan berlumuran darah dan saya tidak mampu berbuat apa-apa,’’ katanya ketika ditanya rakan-rakan, semalam.



Tolak ajakan dengan alasan ingin ulang kaji



Rakan baik mangsa, Mohd Hazim Muhiddin, 19, berkata, rakan-rakannya ada mengajaknya menyertai mereka, namun dia menolak dengan alasan mengulang kaji pelajaran memandangkan peperiksaannya belum tamat.

Katanya, mangsa keluar ke Kota Bharu bersama-sama bagi meluangkan masa selepas tamat peperiksaan sebelum pulang ke kampung masing-masing.

“Walaupun semester ini tidak sekelas, namun kami trapat dan selalu menghabiskan masa bersama. Kami mendapat tahu kemalangan lebih kurang jam 7 pagi dan bergegas ke hospital bagi mendapatkan maklumat lanjut,’’ katanya.



Minta maaf pada rakan



Sementara itu, rakan sekelas mangsa, Alia Nor Mashitah Fadzil, 19, berkata, dia seolah-olah bermimpi apabila menerima berita mengenai kejadian itu.

Katanya, kesemua mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma Mohd Shamil ada meminta maaf darinya dua hari lalu jika ada salah dan silap, namun pada masa itu dia menganggapnya perkara biasa memandangkan mereka akan pulang bercuti.

“Malah kami juga berjanji pulang bersama ke Johor Bahru dengan tujuh rakan lain dengan menaiki kereta api malam ini (semalam),’’ katanya.



Luang masa di Kelantan sambil ambil barang



Sementara itu bapa Mohd Rizal, Mohd Zin Yaacob, 50, berkata, dia berada di rumah ayahnya, di Tanah Merah ketika kejadian dan mendapat berita kemalangan itu dari isterinya yang berada di Johor.

Katanya, dia pulang ke Kelantan beberapa hari lalu bagi mengambil barang-barang anaknya sekali gus meluangkan masa bersama ibu bapa di Ladang Kerilla.

“Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika berjumpanya dua hari lalu, cuma barangnya banyak berbanding sebelum ini,” katanya.

Turut hadir menziarahi, Ketua Umno Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Datuk Yaakub dan menyampaikan bantuan kepada mangsa meninggal dunia.
SH:

'via Blog this'

Perlu cop pejabat agama Thailand



BACHOK – Masalah tiga beradik dari keluarga miskin di Kampung Panchor yang tiada sijil kelahiran disebabkan ibu bapa mereka ti-dak mempunyai sijil pernikahan lengkap.

Pegawai Pendaftaran Jabatan Pendaftaran Daerah Bachok, Ayuzi Drawi @ Md Aris berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah mengeluarkan sijil kelahiran tiga anak pasangan Mohd Tarmizi Ismail, 42, dan Rosnida Sharifudin, 30, sekiranya mendapat sijil pernikahan lengkap dicop Jabatan Agama Islam dari Selatan Thailand.

Menurutnya, pasangan itu perlu ke pejabat agama itu untuk mendapatkan cop pengesahan sebelum mengemukakannya kepada Jabatan Pendaftaran Ba-chok.

“Pasangan ini bernikah di Selatan Thailand dan sijil pernikahan mereka tidak lengkap kerana tiada cop pengesahan dari pejabat agama di sana.

“Sijil kelahiran anak mereka boleh dikeluarkan sekiranya mereka men-gemukakan sijil sah,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas kes tiga anak pasangan itu yang gagal mendapatkan sijil kelahiran seperti disiarkan Sinar Harian, 19 Jun lalu.

Manakala bagi kes anak ketiga dan keempat pasangan itu tidak mempunyai surat hospital kerana tidak mampu membayar kos kelahiran di hospital itu.

“Kami tidak mem-punyai autoriti terhadap hal ini kerana mereka perlu menjelaskan hutang hos-pital terlebih dahulu untuk mendapatkan surat.

“Mereka mungkin boleh meminta bantuan kewangan dengan pihak lain untuk menyelesaikan masalah sebelum hadir ke pejabat kami untuk mendaftarkan sijil kelahiran anak-anak mereka,” katanya.

Anak pasangan ini yang tidak mempunyai sijil kelahiran ialah Mohd Fairus Firdaus,8, Mohd Ridhuan Haikal,6, dan Mohd Adam Mukhriz,2.

Terdahulu, sebelum ini, kepayahan hidup pasangan ini pernah mendapat perhatian Penyelaras Dun Jelawat, Datuk Dr Ilias Husain apabila mereka hanya tinggal dalam pondok yang sering dibanjiri air setiap kali hujan.

Atas keprihatinan Umno Jelawat, mereka mendapat peruntukan membina rumah baru yang lebih selesa.
SH:

'via Blog this'

Buruh berdepan tali gantung angkara heroin



KOTA BHARU – Berat dadahnya hanya enam gram, seorang buruh berdepan hukuman gantung selepas dituduh mengedar heroin berkenaan yang disebut pertama kali di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap Razani Ibrahim, 46, itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Rehan Mat Aris di hadapan Hakim Azman Abdullah.

Razani dari Rantau Panjang dituduh mengedar 6.76 gram dadah berkenaan di hadapan balai bomba Rantau Panjang di sini, pada jam 9.30 malam, pada 27 Januari lalu.

Berikutan tuduhan itu, dia berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, tertuduh mengaku tidak bersalah.

Kes disambung semula 2 November depan.

Terdahulu, pertuduhan terhadap Razani atas dakwaan itu dibuat di Mahkamah Majistret 10 Februari lalu sebelum kesnya dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
SH:

'via Blog this'

Suspek utama kes bunuh ditahan



KUALA TERENGGANU- Seorang daripada tiga suspek utama yang diburu dalam kes bunuh seorang lelaki yang berusia 37 tahun di kawasan kilang baja, Kampung Batangan, Marang, 15 September lalu berjaya ditahan kira-kira jam 2.30 petang, Selasa lalu.

Suspek, 25, yang tidak bekerja itu ditangkap ketika berada di dalam sebuah kereta di Flat Seri Kolam, di sini, hasil maklumat orang awam dan siasatan terhadap empat suspek yang ditahan sebelum ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, pihaknya percaya dengan penangkapan suspek utama itu, kes yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh itu dapat diselesaikan.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari iaitu sehingga 11 Oktober ini dan diharapkan dengan tertangkapnya salah seorang suspek utama ini, kami dapat menyelesaikan kes tersebut,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Manoharan berkata, seorang lagi suspek berumur 17 tahun ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang kira-kira jam 9 malam kelmarin bagi membantu siasatan.

“Sebelum ini, kami menahan empat lelaki berumur 17 hingga 39 tahun di tempat berlainan dipercayai mempunyai kai-tan dengan kes ini.

“Bagaimanapun, dua daripada mereka itu sudah pun didakwa di mahkamah atas kesalahan dadah, seorang dibebaskan dan seorang lagi yang berumur 23 tahun masih ditahan reman sehingga 10 Oktober ini,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian keluaran 30 September lalu menyiarkan polis memburu tiga suspek utama kes bunuh seorang lelaki yang meninggal dunia selepas mengalami kecederaan serius pada kepala akibat dipukul menggunakan sebatang kayu dalam satu kejadian di kawasan kilang baja, Kampung Batangan, Marang, 15 September lalu.

Mangsa yang koma sejak 12 hari dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, dipercayai dibelasah oleh sekumpulan lelaki itu berpunca masalah hutang.
SH:

'via Blog this'

Warga emas maut



BUKIT KENAK - Seorang wanita warga emas maut selepas motosikal yang diboncengnya dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan pasar malam Kampung Bukit Kenak Jalan Jertih-Kuala Terengganu, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, mangsa, Minah Che Nik, 69, maut di tempat kejadian selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah pada kepala selepas tercampak beberapa meter sebaik dirempuh manakala anaknya, Mohd Norizan Abd Rahman, 23, yang menunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan juga di kepala.

Menurutnya, sebelum kejadian motosikal itu dari arah Jertih dan sebaik tiba di tempat kejadian dikatakan ingin membelok ke kanan jalan menyebabkan kenderaan pacuan roda di belakangnya tidak sempat mengelak, lalu merempuh sisi belakang motosikal itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan raya.

“Pemandu pacuan empat roda berusia 22 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah pun membuat laporan polis berhubung kemalangan itu,” katanya.

Kamaruddin berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Besut untuk menerima rawatan lanjut.

Manakala mayat Minah dihantar ke bilik mayat untuk bedah siasat sebelum dituntut warisnya untuk dibawa pulang ke Kampung Pak Wong, Jertih.

Sementara itu waris mangsa yang enggan dikenal berkata, sebelum itu Mohd Norizan membawa ibunya ke sebuah klinik swasta di Jertih untuk mendapatkan ubatnya kemudian membeli-belah di bandar tersebut.

Menurutnya, dalam perjalanan pulang ke rumah itu, Mohd Norizan dikatakan ingin singgah di sebuah kedai untuk membeli racun rumpai yang terletak di sebelah kanan jalan dari arah Jertih berhampiran tempat kejadian.

Mangsa ibu tunggal yang tinggal bersama anaknya di Kampung Pak Wong meninggalkan sembilan anak dan sebahagian besar mereka menetap di luar negeri ini.
SH:

'via Blog this'

Saya cuba sedaya upaya



BESUT – Seorang pemandu ambulans Hospital Besut terpaksa memandu ambulan hanya dengan sebelah tangan manakala sebelah tangan lagi menutup mata kiri sambil menahan sakit demi menyelamatkan nyawa dua bayi kembar ke hospital selepas dipukul bapa bayi berkenaan kerana dia didakwa lambat tiba di rumah lelaki itu.

Pemandu ambulans tersebut, Mahadi Mohd Jaafar, 39, cedera di mata kiri selepas ditumbuk bapa bayi itu yang berang kerana mendakwa mangsa lambat tiba untuk mengambil bayi lelaki kembar yang baru dilahirkan itu.

Menurut Mahadi, kejadian itu berlaku di hada-pan rumah lelaki kira-kira 2.45 pagi semalam di Rumah Murah Taman Abdullah, Alor Lintah dekat Jertih di sini.

“Sebelum kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi, saya mendapat arahan daripada pegawai saya mengatakan keperluan untuk ambulan dan dalam masa tidak sampai dua minit saya terus ke Unit Kecemasan hospital untuk mengambil seorang doktor dan dua jururawat.

“Selepas doktor mengambil keperluannya, kami bergegas ke situ namun sebaik tiba di tempat kejadian tiba-tiba seorang lelaki meluru ke arah saya dan membuka pintu ambulans,” katanya.

Mahadi berkata, sambil memarahinya, lelaki berusia 30-an itu terus menumbuk mukanya dan dia bertanya mengapa lelaki itu melakukan sedemikian terhadapnya.

Katanya, lelaki itu yang dikatakan masih tidak berpuas hati dipercayai cuba mengambil kayu pula untuk memukulnya tetapi usahanya gagal selepas dihalang oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.

“Dia marahkan saya kerana kata saya lambat sampai sedangkan sedaya upaya untuk pergi ke situ tetapi kena pergi bersama doktor dan jururawat.

“Dia kata ‘mu pergi mana lambat sampai’ lepas itu terus pukul saya menyebabkan mata saya rasa sakit amat sakit,” katanya.

Biarpun begitu, Mahadi tetap membawa dua bayi lelaki kembar ke Hospital Besut dalam keadaan sakit demi anak lelaki itu yang baru dilahirkan.

Katanya, dia difahamkan keluarga lelaki tersebut datang ke hospital untuk meminta ambulans bagi mengambil bayi itu yang sudah bersalin di rumah dengan bantuan bidan klinik desa.

Mahadi berkata, akibat pukulan itu menyebabkan matanya sakit manakala penglihatannya kabur dan dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Jertih pukul 3.25 pagi semalam selepas menghantar bayi tersebut ke Unit Kecemasan.

“Saya amat terkilan dengan perbuatan lelaki itu sedangkan saya berusaha tiba secepat mungkin dan ingin menyelamatkan isteri dan anaknya,” katanya.

Beliau telah dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan semalam dan doktor memberitahu tumbukan tersebut mengenai 100 peratus matanya menyebabkan kecederaan pada retina matanya.

:Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan lanjut dijalankan.
SH:

'via Blog this'

Rogol adik ipar ketika isteri dalam pantang



KUALA TERENGGANU – “Yang Arif, saya melakukan perbuatan itu kerana tidak tahan melihat dia mandi berbogel, ditambah lagi ketika itu bekas isteri saya sedang berada di hospital melahirkan anak bongsu kami,” jawapan spontan tertuduh, Awang Ismail, 52, selepas mengaku bersalah merogol bekas adik iparnya di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Duda kepada tiga anak itu tanpa segan silu mengaku, merogol bekas adik iparnya yang ketika itu baru berumur 15 tahun sehingga melahirkan seorang anak perempuan pada 4 Jun 2010 disebabkan kurangnya keimanan dalam diri untuk melawan godaan nafsu syaitan itu.

Bagaimanapun, perbuatan keji tertuduh yang beralamat dari Kampung Alor Batu, Jabor, Kuantan itu terbalas selepas hakim, Datuk Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman penjara selama 32 tahun selepas pengakuan bersalah tertuduh atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 376 B (1) Kanun Keseksaan itu direkodkan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh pada :Ogos 2009, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Padang Limau Nipis, Bukit Payong, Marang telah melakukan persetubuhan dengan mangsa.

Manakala, mengikut pertuduhan kedua, tertuduh dituduh sekali lagi melakukan perbuatan terkutuk itu di tempat sama pada September 2009.

Zainal Abidin kemudiannya menjatuhkan hukuman 16 tahun penjara bagi pertuduhan pertama dan 16 tahun penjara untuk pertuduhan kedua yang diarahkan berjalan secara berasingan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zalina Awang @ Mamat manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam bela.

Mengikut fakta kes, mangsa yang ketika itu berumur 16 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payong pada 27 Jun 2010 dengan mengatakan dirinya telah dirogol dan telah pun melahirkan seorang bayi perempuan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, Dungun.

Rentetan laporan polis dibuat, pada 7 Julai 2010, polis telah menjalankan siasatan terhadap tertuduh yang ketika itu masih berstatus abang ipar mangsa dan telah mengambil sampel darah mangsa bagi tujuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Hasil ujian didapati, mangsa telah dirogol oleh tertuduh berdasarkan keputusan laporan kimia DNA yang diperoleh pihak polis setelah pihak Jabatan Kimia membuat perbandingan antara DNA mangsa, anak mangsa dan tertuduh.

Bagaimanapun, selepas mengetahui dirinya diburu, tertuduh telah melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh anggota polis Balai Polis Jaya Gading, Pahang, pada 30 September lalu, kira-kira jam 1.40 pagi.

Dengan itu, tertuduh telah didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
SH:

'via Blog this'

Jumlah wanita Arab Saudi larikan diri dari rumah meningkat

JEDDAH: Jumlah wanita Arab Saudi yang melarikan diri dari rumah semakin meningkat, menurut kajian yang dijalankan oleh Suruhanjaya Mempromosi Kebaikan dan Pencegahan Maksiat (Haia)
Kajian menunjukkan sejak lapan tahun lalu, terdapat 529 kes wanita Arab Saudi melarikan diri dicatat di seluruh negara.
Angka tertinggi dicatat di Riyadh, di mana 342 kes wanita melarikan diri, manakala di Makkah, 98 kes.

Kajian itu dijalankan untuk mendedahkan punca utama, menyedarkan orang ramai dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian.


Pengarah Pusat Penyelidikan dan Kajian, Bassam bin Suleiman berkata, kajian itu menunjukkan betapa pentingnya menangani isu sensitif dalam masyarakat Arab Saudi ini.

“Wanita yang melarikan diri mendedahkan bahaya keselamatan dan kesihatan kepada masyarakat. Ia adalah masalah global tapi di Arab Saudi ini kita tidak membincangkan masalah ini kerana masyarakat kita yang kurang terbuka,” katanya.


Seorang doktor psikologi yang bertugas dengan Organisasi Wanita dan Keluarga Muslim Antarabangsa (IMOWF) di Jeddah, Dr Khalid Bahaziq berkata, jumlah wanita yang melarikan diri sebenarnya lebih tinggi daripada angka yang diberikan oleh Haia.

“Gadis muda memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada kedua ibu bapanya. Mereka kekurangan perhatian emosi di rumah,” katanya.

Satu daripada masalah besar adalah deraan fizikal dan emosi yan pernah mereka lihat atau terima di rumah,” katanya lagi.

MUI tolak kunjungan Leila


LEILA (kiri) bersama Ratu Indonesia, Nadine Alexandra di Jakarta, semalam.
LEILA (kiri) bersama Ratu Indonesia, Nadine Alexandra di Jakarta, semalam.

BANDUNG: Majlis Ulama Indonesia (MUI) menolak kunjungan Ratu Universe 2011, Leila Lopez ke bandar ini, Selasa depan.
Setiausaha umum MUI, Jabar Raffani Achyar menganggap kunjungan ratu berasal dari Angola itu mencemari pengisytiharan bandung sebagai kota agama. “Ratu Universe dikatakan akan bertemu pemerintah kota Bandung, Dada Rosada. Kami menolak kunjungannya itu,” katanya kepada wartawan, semalam. Beliau menganggap pertandingan Ratu Universe tidak menepati syariat Islam contohnya seperti perlu memakai bikini, berjalan catwalk sambil mendedahkan aurat tubuh.

“Ia tidak relevan dengan program Bandung sebagai kota agama. Kota agama dikenal sebagai bandar tanpa minuman keras, pornografi dan aksi yang berkaitan dengan pendedahan aurat,” katanya.

Menurut Jabar, masih ramai tokoh terkenal lain yang boleh diundang dalam acara amal misalnya seperti pemenang anugerah Nobel atau olahragawan ternama.

“Daripada Ratu Universe lebih baik diundang pemenang anugerah Nobel atau ilmuwan yang dapat memberi manfaat kepada kita. Tambahan pula, undangan Ratu Universe memerlukan perbelanjaan yang besar,” katanya.

Bagaimanapun, sekiranya kehadiran Ratu Universe ke Bandung hanya untuk membeli-belah, Jabar tidak mempertikaikan kunjungan itu kerana ia dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan.

Asia kurang 117j wanita

HANOI: Peningkatan akses kepada teknologi yang membolehkan ibu bapa mengetahui jantina janin mereka menyebabkan Asia kekurangan 117 juta wanita, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, semalam. Menurut PBB, kecenderungan itu - terutama di China dan India - dijangka memberi kesan kepada negara Asia untuk tempoh lebih 50 tahun lagi. Pakar demografi Perancis, Christophe Guilmoto, berkata ketidakseimbangan jantina itu menunjukkan pasangan ibu bapa lebih suka mendapat anak lelaki. “Maklumat mengenai jantina janin melalui teknologi ultrabunyi mendorong banyak pasangan melakukan pengguguran terpilih,” katanya di persidangan anjuran PBB dan Vietnam, semalam. Di kebanyakan negara, nisbah jantina bayi yang dilahirkan berbeza di antara 104 dan 106 untuk lelaki bagi setiap 100 bayi perempuan. Bagaimanapun, kertas persidangan dikeluarkan PBB menyatakan, kadar itu meningkat di beberapa negara Asia sejak 25 tahun lalu. Jurang perbezaan paling ketara dikesan di China dan India. Bagi China, nisbah kelahiran sejak beberapa tahun lalu ialah 118.1 bayi lelaki bagi setiap 100 bayi perempuan, manakala India 110.6, Azerbaijan 117.6 dan Vietnam 111.2. Sementara itu, kata Guilmoto, diskriminasi pascakelahiran - diambil berdasarkan kadar kematian di kalangan bayi dan budak perempuan - tidak lenyap sepenuhnya di beberapa negara. “Ia membayangkan kanak-kanak perempuan diabaikan secara relatif,” katanya. - AFP

Bakar van lepas curi RM2.2 juta

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim am@hmetro.com.my
 SHAH ALAM: Serbu, rampas dan bakar. Itu modus operandi sekumpulan lima lelaki bertopeng dan bersenjatakan pistol yang kini bergelar jutawan selepas melarikan sebuah van syarikat kawalan keselamatan membawa wang tunai RM2.2 juta dalam kejadian di sebuah stesen minyak berhampiran Balai Polis Ijok, Kuala Selangor, dekat sini, semalam. Difahamkan, van itu ditemui semula kira-kira 30 minit kemudian dalam keadaan terbakar selepas dilarikan di sebuah kawasan hutan, kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian. Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, tiga petugas van kawalan keselamatan berusia 20-an berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengisi wang dalam mesin juruwang automatik (ATM) sebanyak RM200,000 sebelum diserang hendap kumpulan penjenayah terbabit. Menurut sumber polis, sebaik ketiga-tiga petugas syarikat kawalan keselamatan itu turun daripada kenderaan sambil membawa sebuah beg mengandungi wang untuk dimasukkan ke mesin ATM berkenaan, tiba-tiba sebuah Proton Perdana berhenti dengan empat lelaki bertopeng turun daripada kenderaan itu. “Dua daripada suspek mengacukan pistol ke arah ketiga-tiga petugas syarikat kawalan keselamatan itu menyebabkan mangsa panik dan gagal berbuat apa-apa,” katanya.

Komuniti Islam NY diintip

NEW YORK: Dokumen yang diterima oleh The Associated Press, menunjukkan Jabatan Polis mengintip orang Islam yang bekerja sama dengan pegawai kerajaan memerangi keganasan, secara rahsia. Dokumen rahsia Polis itu menunjukkan NYPD menghantar pegawai pengintip dan pemberi maklumat rahsia, bersama dengan ketua komuniti Islam dalam siri laporan yang bakal memenangi Anugerah Pulitzer yang disiarkan di The New York Times. Sheikh Reda Shata adalah ketua masyarakat yang diintip walaupun dia berkempen memerangi keganasan dan bekerjasama dengan pihak polis, malah pernah makan malam bersama Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg. Beberapa buah masjid yang sering dikunjungi oleh ketua bandar itu untuk meneguhkan lagi usahasama dengan komuniti Islam, turut diletakkan di bawah pengintipan NYPD. Dalam kes tertentu, pengintip dan pemberi maklumat menyelinap masuk untuk mendapatkan maklumat. - AP

12 pekerja kilang maut ditimpa besi lebur

BEIJING: Seramai 12 pekerja kilang besi terbunuh apabila ditimba besi lebur yang melimpah dari sebuah relau di Nanjing, lapor Xinhua, semalam. Agensi berita itu melaporkan, pekerja berkenaan sedang cuba menghentikan operasi di kilang berkenaan apabila kemalangan berkenan berlaku. “Siasatan masih dijalankan pihak berkuasa,” lapor Xinhua. - AFP

Warga Pakistan hilang semua simpanan dirompak empat lelaki

DAMMAM: Seorang warga Pakistan dipukul dan dirompak awal pagi Isnin oleh empat orang lelaki. Raja Abdul Sattar, 64 tahun, penduduk tetap di Arab Saudi dirompak wangnya sebanyak SR136,800 (RM116,000) oleh “empat orang lelaki muda berbahasa Arab.” Wang itu adalah sebahagian faedah akhir khidmatnya. Abdul Sattar dijangka meninggalkan Arab Saudi semalam setelah bekerja di sana selama 34 tahun. Empat lelaki muda itu mengekori dia pulang dari bank ke rumahnya dengan sebuah kereta. Dia sempat mengunci kereta untuk berlari naik ke flatnya tetapi kumpulan itu berjaya memukul, mengugut dengan pisau dan merompak wangnya.

Ibu, dua anak rentung

 JEDDAH: Seorang wanita Saudi dan dua orang anak perempuannya mati apabila rumah mereka di Al-Safa, utara Jeddah, terbakar awal pagi semalam. Menurut jurucakap Pertahanan Awam Mejar Abdullah Al-Amri, kebakaran itu bermula dari bilik tidur mereka. Katanya wanita dan seorang daripada anak perempuannya rentung di atas katil, manakala seorang lagi yang berada di bilik sebelah, mati akibat terhidu asap tebal. Jurucakap itu tidak menyatakan punca kebakaran tetapi berkata, kebakaran itu tertumpu di bilik dalam apartmen empat bilik yang bersambung dengan bangunan dua tingkat. Katanya, jiran menelefon Pertahanan Awam setelah melihat asap keluar dari tingkap apartmen di Jalan Putera Miteb itu. “Dua unit bomba dan penyelamat dihantar ke sana dan terpaksa memecah pintu siling yang berkunci. Pintu apartmen itu juga berkunci dan apabila mereka berjaya masuk, mereka dapati asap tebal,” katanya. Kata Abdullah, pasukan penyelamat mencari mangsa yang selamat manakala pasukan bomba cuba memadamkan api yang menjilat langsir di dalam bilik tidur itu. Katanya lagi, selain dari mangsa, tiada orang lain di dalam apartmen itu. Siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran atau ada unsur khianat, masih lagi dijalankan. -AN

Beli syabu di warung dadah

Oleh Muhd Izawan Baharin, Mior Azlan Kamarulbaid, Yusmizal Dolah Aling dan Rabi’Atul ‘Adawiyah Ismail am@hmetro.com.my
 KUALA LUMPUR: Tanpa banyak soal jawab dan sebarang kod rahsia, sesiapa saja kini mudah membeli syabu daripada pengedar kecil-kecilan yang beroperasi di sebuah warung di kawasan Chow Kit, di sini. Beritahu jumlah wang dan dalam tempoh kurang lima minit dadah sintetik itu sampai ke tangan pembeli, biarpun individu itu kali pertama datang. Pemantauan Harian Metro di warung kecil itu selama beberapa hari mendapati pengedar kecil-kecilan yang dipercayai warga asing sentiasa duduk di situ menunggu pelanggan. Apabila pembeli memasuki warung, lelaki berusia 20 tahun terbabit menghampiri serta membuat tawaran. “Berapa?” Hanya itu yang ditanya lelaki itu. Apabila pembeli memberitahu jumlah dikehendaki, lelaki terbabit ‘hilang’ sebentar sebelum datang semula bersama peket kecil plastik lut sinar berisi syabu. Disebabkan urusan jual beli yang mudah, kawasan itu dipercayai menjadi antara tumpuan penagih syabu mendapatkan bekalan. Harganya juga dianggap tidak terlalu mahal menyebabkan ia menjadi pilihan penagih untuk melepaskan gian walaupun kesan buruknya boleh membuatkan penagih tidak boleh tidur berhari-hari selain merosakkan sistem saraf dan otak. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang, berkata pihaknya sedar mengenai kegiatan itu dan bagi memastikan ia dibanteras, polis mengambil langkah melaksanakan rondaan harian. “Polis turut menjalankan operasi khas iaitu Ops Tapis dan baru-baru ini, menahan seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun serta merampas dua tiub disyaki syabu. “Polis juga memberkas dua suspek disyaki pengedar dan merampas empat peket lut sinar serta 69 tiub dipercayai mengandungi syabu bernilai RM2,400,” katanya. Beliau berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lelaki disyaki penagih ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 3 (1), Akta Penagihan Dadah 1983. Katanya, pihaknya akan meneruskan operasi membanteras kegiatan terbabit dan berharap orang ramai tampil memberi maklumat dengan menghubungi Rakan Cop atau balai polis berhampiran.

‘Terima kasih, sayang mama’


MAUT...anggota bomba dan penyelamat Machang mengeluarkan empat mayat pelajar UiTM dan seorang yang cedera parah dalam nahas, semalam.
MAUT...anggota bomba dan penyelamat Machang mengeluarkan empat mayat pelajar UiTM dan seorang yang cedera parah dalam nahas, semalam.

MACHANG: “Terima kasih, sayang mama.” Itu antara kandungan SMS terakhir Mohd Syamil Malek kepada ibunya beberapa jam sebelum terbunuh dalam kemalangan meragut empat nyawa di Kilometer 4.2 Jalan Machang-Pasir Puteh, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, selain Mohd Syamil tiga lagi mangsa yang terkorban ialah rakannya yang sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan di sini manakala seorang lagi cedera.
Semua mangsa berusia 19 tahun dan menuntut di tahun dua dalam jurusan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka.

Mohd Syamil dari Batu Pahat, Johor dan Mohd Rizal Mohd Zin dari Kluang, Johor meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.


Mohd Faizuddin Jamil dan Mohd Syazwan Rosli, masing-masing dari Shah Alam, Selangor dan Pekan, Pahang pula meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian manakala Haziq Zailani hanya cedera ringan.

Pelajar dipukul akibat wang jualan sayur


REDHUAN...terima lapan jahitan di dahi.
REDHUAN...terima lapan jahitan di dahi.

SEREMBAN: Seorang bapa tersentak apabila mengetahui anak lelakinya yang juga pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di daerah ini, cedera dipukul pelajar lain berikutan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan wang jualan sayur, kelmarin.
Difahamkan, insiden antara mangsa, Redhuan Mohd Anas Shanker, 14, dan beberapa pelajar di padang sekolah berkenaan menyebabkannya menerima lapan jahitan di dahi selain cedera di muka. Menurut bapa mangsa, Mohd Anas Shanker Abdullah, 43, dia yang membeli sayur di pasar terkejut apabila menerima panggilan daripada guru sekolah memaklumkan kejadian itu, pada jam 1 tengah hari.

“Guru itu memberitahu anak saya cedera dan dibawa ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan lanjut. “Saya ke klinik berkenaan dan mendapati dahinya berdarah sambil dia menangis kerana menahan kesakitan,” katanya di sini, semalam.

Anas berkata, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada seorang lagi anaknya, Syuib, 15, yang belajar di sekolah sama.

“Dia (Syuib) memberitahu, beberapa pelajar menumbuk adiknya (Redhuan) di padang sekolah berkenaan. Ketika itu, Syuib cuba membantu, tetapi dia ditolak dan terjatuh ke dalam longkang namun tidak cedera.

“Selain itu, dia memaklumkan pergaduhan berpunca perselisihan faham membabitkan wang jualan sayur,” katanya.


Kata Anas, Redhuan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, dia kesal dengan kejadian menimpa anaknya yang cedera di kawasan sekolah. “Saya amat berharap pihak sekolah melakukan sesuatu bagi memastikan perkara berkenaan tidak berlaku kepada pelajar lain pada masa akan datang,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Rantau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Jaga didakwa perkosa gadis

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun, Jun lalu. Kamarul Nashikim Kamarulzaman, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Hasbi Hassan. Mengikut pertuduhan, Kamarul Nashikim didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berkenaan di dalam sebuah bilik yang beralamat No 27, Jalan Rejang 10, Taman Setapak Jaya, Setapak di sini antara jam 4 dan 6 petang, 13 Jun lalu. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim menawarkan jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon supaya jaminan itu dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai wang yang banyak untuk membayar jaminan itu. Mahkamah membenarkan Kamarul Nashikim diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 November ini untuk sebutan semula kes.

Tragedi beli buah tangan

Oleh Siti Fatimah Hassan dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
 am@hmetro.com.my
 MACHANG: Dua daripada empat penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Machang, Kelantan yang terbunuh selepas kereta dinaiki mereka berlanggar treler di Kilometer 4.2 Jalan Machang-Pasir Puteh, di sini, pagi semalam, sepatutnya pulang ke kampung masing-masing malam tadi. Satu-satunya mangsa yang selamat, Haziq Zailani, 19, berkata, dia dan empat rakannya yang terbunuh dalam kemalangan itu pergi ke Kota Bharu sebelum kejadian kerana mahu membeli buah tangan untuk dibawa pulang ke kampung sempena cuti semester. “Kami semua baru selesai peperiksaan akhir semester kelmarin,” katanya ketika ditemui di Hospital Machang di sini, semalam. Empat rakannya yang terbunuh ialah Mohd Syamil Abdul Malek, Mohd Rizal Mohd Zin, Mohd Faizuddin Jamil dan Mohd Syazwan Rosli, semua berusia 19 tahun. Haziq berkata, ketika kemalangan mereka menaiki kereta sewa Perodua Kenari yang dipandu Mohd Syamil dari Machang ke Pasir Puteh sebelum terlanggar bahagian tengah treler dari arah bertentangan. Menurutnya, dia bersama Mohd Syamil dan Mohd Rizal sepatutnya bertolak pulang ke kampung di Batu Pahat dan Kluang, Johor pada jam 9 malam tadi dengan menaiki kereta api dari stesen kereta api Tanah Merah. “Kami ke Kota Bharu membeli barang dan keluar jam 10 malam. Kami juga sempat makan malam dan membeli-belah di Wakaf Che Yeh sebelum ke Pantai Cahaya Bulan,” katanya. Haziq berkata, ketika kejadian dia tertidur dan duduk di bahagian penumpang belakang sebelum terdengar bunyi dentuman kuat. “Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku kerana hanya terjaga apabila terdengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat rakan lain berlumuran darah,” katanya yang masih trauma. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Malek Bedot berkata, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu Mohd Syamil melanggar treler dan terperosok di bahagian tengah treler itu. “Kami masih menyiasat bagaimana kemalangan itu berlaku dan meminta saksi kejadian tampil memberikan maklumat. Kita turut menahan pemandu treler untuk ujian air kencing serta membantu siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Lelaki OKU pukul isteri didenda

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my
 MELAKA: Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya yang juga OKU dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Rama Pantai, dekat sini, bulan lalu. Majistret Muhammad Hazri Hanafi, menjatuhkan hukuman itu ke atas pembantu kedai, Mustafah Akhbar Ali, 41, selepas beliau menimbangkan semua fakta, rayuan dan hujah pendakwa. Muhammad Hazri turut menasihati tertuduh supaya menggunakan saluran betul iaitu melaporkan kepada pegawai Sulh atau merujuk kes ke Mahkamah Syariah apabila mendakwa isterinya berzina dengan lelaki lain dan bukannya mengambil hukuman di tangan sendiri dengan mencederakan isterinya akibat marah. Mengikut pertuduhan, Mustafah dari Bachang didakwa dengan sengaja mencederakan Siti Zuraida Mohd Merry, 19, menggunakan batang pancing dan topi keledar di dalam bilik di sebuah rumah dekat Jalan Pengkalan Rama Pantai, kira-kira jam 8.30 malam, 25 September lalu. Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan. Mengikut fakta kes, tertuduh mencederakan isterinya kerana selisih faham selepas mengesyaki dia mempunyai hubungan dengan lelaki lain. Disebabkan isterinya menafikan perkara itu, tertuduh naik angin dan bertindak memukul badan, tangan serta kepala mangsa menggunakan batang pancing sebelum dia keluar rumah. Apabila balik, tertuduh membawa isterinya ke rumah ibu mentuanya di Bachang dan di situ dia sekali lagi memukul kepala mangsa dengan topi keledar sebelum memukulnya dengan wayar kipas ketika berada di rumah disebabkan tidak puas hati. Mangsa melarikan diri apabila tertuduh keluar rumah dan meminta bantuan kakaknya di Kampung Pulai Darat, Merlimau, yang membawanya ke hospital sebelum membuat laporan polis. Siasatan polis, mendapati mangsa anak bongsu enam beradik pernah belajar di Sekolah Pendidikan Khas sehingga berusia 18 tahun kerana lembam. Sementara itu, ketika merayu hukumannya diringankan Mustafah berkata, dia mempunyai kecacatan pada bahagian kaki dan miskin serta terpaksa menyara ibunya yang sudah tua. Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

‘Saya bingung’

Oleh Azahar Hashim am@hmetero.com.my
 KULIM: Walaupun nasib anak gadisnya yang menghilangkan diri bersama teman lelakinya ke Nepal sudah diketahui selamat, seorang bapa kini buntu memikirkan bagaimana hendak menyediakan kos sebanyak RM10,000 bagi membawa anaknya itu pulang ke negara ini. Mohd Rasul Kassim, 50, dari Taman Kenangan, Sungai Karangan, di sini, perlu menyediakan wang sebanyak itu untuk tiket penerbangan dan lain-lain kos bagi membawa pulang anaknya, Noorshaherra, 21, yang lari mengikut teman lelakinya yang dikenali sebagai Imatyaj Khan Paithan berusia 20-an ke negara berkenaan sejak 23 Ogos lalu. “Pelbagai usaha sudah dilakukan untuk membawanya pulang. Kini saya buntu kerana dengan pendapatan sebagai pemandu bas, berapa sangatlah yang dapat saya simpan. Saya amat berharap sekiranya ada pihak yang dapat membantu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. Harian Metro bulan lalu melaporkan Noorshaheera keluar rumah dengan alasan mahu bertemu rakannya tetapi gagal pulang sehingga menimbulkan kebimbangan di kalangan ahli keluarganya. Gadis berkenaan akhirnya berjaya dikesan apabila dipercayai mengikut kekasihnya lelaki warga Nepal berusia 20-an yang dikenali sejak setahun lalu ketika bekerja di sebuah kilang di Sungai Karangan. Berdasarkan maklumat, gadis berkenaan dan lelaki Nepal itu menaiki penerbangan dari Pulau Pinang sebelum transit di Bangkok dan menuju ke Kathmandu, Nepal pada 23 Ogos lalu. Kira-kira seminggu kemudian, gadis terbabit menghubungi ibunya, Siti Fatimah Yassin, 45, meminta keluarganya tidak bimbang dengan keselamatannya selain memaklumkan sudah berkahwin dengan lelaki Nepal berkenaan. Minggu lalu, dia menghubungi kakaknya Nellie Shakira, 23, memaklumkan dia selamat selepas berlaku gempa bumi di kawasan India yang bersempadan dengan Nepal serta memaklumkan dia kini tinggal bersama keluarga lelaki terbabit di sebuah kampung di Nepal. Dalam pada itu, Siti Fatimah berkata, dia kerap menghubungi Noorshaheera melalui nombor yang diberi lelaki Nepal itu. “Dia memaklumkan keadaannya baik dan menyatakan hasrat mahu pulang ke sini,” katanya. Sementara itu, Penyelaras Badan Bukan Kerajaan (NGO) Daerah Kulim/Bandar Baharu, M Thuraisingam berkata, pihaknya akan membantu keluarga terbabit dengan membawa pulang Noorshaheera dan perlu mendapatkan beberapa dokumen untuk memudahkan urusan membawa pulang gadis itu. “Kita juga akan bekerjasama dengan kedutaan Nepal di sini dan kedutaan Malaysia di Nepal selain sebahagian daripada kos membawa gadis itu pulang,” katanya.

Rakaman telefon bimbit jerat lelaki pandu laju

GENEVA: Seorang pemandu menggunakan telefon bimbit untuk merakam aksinya memandu selaju 320 kilometer sejam di Geneva, kata polis semalam.
Kelajuan itu tiga kali lebih tinggi berbanding peraturan ditetapkan kerajaan.

Bagaimanapun, aksi penunggang itu hanya terbongkar enam bulan selepas dia melakukannya.

Sumber berkata, lelaki berusia 28 tahun itu disoal siasat kerana kes berlainan.

“Ketika disoal siasat, polis menemui rakaman berkenaan dalam telefon bimbitnya,” katanya.

Sesetengah rakaman difokuskan kepada meter kelajuan pada keretanya - Bentley Continental, manakala selebihnya imej jalan dilaluinya.


Polis berkata, lelaki terbabit mungkin merakam aksinya itu untuk membuat rakannya kagum. Dia kini dibebaskan dengan ikat jamin. - Reuters

Manuskrip Injil lama dipamer



BAITULMAQDIS 6 Okt. - Manuskrip kitab Injil berharga berasal dari masyarakat Yahudi di Damsyik, Syria, dipamerkan selama beberapa jam semalam di sebuah Perpustakaan Negara Israel di sini.
Pameran yang jarang dilakukan itu memaparkan koleksi kitab-kitab keagamaan Yahudi ketika operasi sulit mereka sebelum komuniti purba itu hilang di hujung kurun ke-20.
Kebanyakan koleksi tersebut pernah dipamerkan sebelum ini untuk tempoh beberapa jam sahaja lebih sedekad lalu kerana bimbangkan keselamatan dan pemuliharaannya.
Koleksi sebanyak 11 buah buku itu di mana antaranya merupakan buku tertua dan terpenting, dibawa keluar dari tempat simpanan perpustakaan itu dan dipamerkan ketika simposium yang berlangsung petang semalam.
Berusia antara 700 hingga 1,000 tahun dan ditulis di Asia Barat dan Eropah, manuskrip kulit itu ditulis dengan teliti dan menggunakan bahasa Ibrani yang indah serta ilustrasinya menggunakan dakwat dan daun emas.
Masyarakat Yahudi di Syria telah berada di sana selama lebih 2,000 tahun sebelum mereka dihalau keluar oleh kerajaan kerana kebangkitan semangat nasionalisme orang Arab dan penubuhan Israel pada 1948. - Agensi

2 kakitangan AS didakwa tipu kerajaan Amerika



WASHINGTON 6 Okt. - Dua kakitangan kanan Jabatan Kejuruteraan Tentera Amerika Syarikat (AS) didakwa menipu kerajaan sebanyak AS20 juta (RM60 juta) menggunakan pendekatan rasuah dan sogokan.
Pendakwa raya berkata, pengurus program, Jabatan Kejuruteraan Tentera AS di Washington, Kerry F. Khan. 53. merupakan dalang kes penyelewangan berkenaan.
Berdasarkan dokumen pendakwaan setebal 42 muka itu, Khan didakwa menggunakan pelbagai syarikat 'olok-olok' untuk menyalurkan berjuta-juta dolar daripada kontrak kerajaan dibayar kepada firma teknologi, EyakTek.
Khan yang didakwa menggelapkan wang, rasuah dan menyeleweng, dipercayai menggelapkan kira-kira AS$18 juta (RM54 juta) dalam tempoh empat tahun.
Pengarah EyakTek, Harold F. Babb bersama pengarah program Jabatan Kejuruteraan Tentera AS, Michael A. Alexander dan anak Khan, Lee A. Khan turut didakwa dengan beberapa pertuduhan.
Empat lelaki tersebut didakwa di mahkamah daerah persekutuan di sini.
Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah di atas semua pertuduhan. - Agensi

Rizab negara RM414.5b - PM



KUALA LUMPUR 6 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedudukan rizab negara sehingga 15 September 2011 semakin kukuh apabila jumlah yang dicatatkan adalah sebanyak RM414.5 bilion (AS$137 bilion).
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, angka tersebut meningkat 3.6 kali lebih tinggi berbanding kedudukan rizab antarabangsa negara yang direkodkan pada 2001 iaitu sebanyak RM113.6 bilion (AS$29.9 bilion).
Perdana Menteri berkata, kedudukan rizab terkini itu mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 4.7 kali hutang luar jangka pendek.
''Mengenai kedudukan rizab antarabangsa dalam bentuk emas, ia merangkumi 1.3 peratus daripada jumlah keseluruhan rizab antarabangsa negara.
''Rizab emas ini disimpan di Bank of England, Bank Negara dan Maybank dalam bentuk jongkong, wafer dan siling kijang emas. Untuk makluman rizab emas negara meningkat kepada AS$1.7 bilion pada Ogos 2011 berbanding AS$294.7 juta pada 2001," katanya dalam jawapan bertulis terhadap pertanyaan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, hutang luar negara yang dicatatkan oleh Malaysia sehingga Jun tahun ini adalah sebanyak RM241.7 bilion berbanding RM173.4 bilion pada 2001.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, jika dibandingkan dengan saiz ekonomi, jumlah hutang luar negara pada akhir Jun 2011 itu adalah lebih rendah kerana ia hanya mencatatkan 29.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 49.2 peratus pada 2001.
''Pada 2001 jumlahnya 173.4 bilion; RM185.7 bilion (2002); RM186.7 bilion (2003); RM200.6 bilion (2004); RM197.7 (2005); RM184.5 bilion (2006); RM187.4 bilion (2007).
''Diikuti RM236.3 bilion (2008); RM232.7 bilion (2009); RM227.1 bilion (2010) dan RM241.7 bilion (Jun 2011)," katanya.
Najib dalam jawapan yang sama turut menyentuh profil hutang luar Malaysia menjurus kepada tempoh matang yang panjang terdiri daripada hutang jangka sederhana dan panjang.
''(Kedua-dua jenis hutang ini) mencakupi 62 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang luar berbanding 86 peratus pada 2001," kata Perdana Menteri.
Jumlah hutang jangka pendek pula katanya, meningkat kepada RM92.1 bilion dan ia mencakupi 38 peratus jumlah keseluruhan hutang luar berbanding RM24.1 bilion atau 14 peratus pada 2001.
"Ini mencerminkan aktiviti urus niaga antara bank seperti operasi perbendaharaan dan pengurusan risiko selaras dengan perkembangan pasaran kewangan yang kian maju," jelasnya.

Dua lagi kubur besar ditemui di Libya




pasukan perubatan dan pegawai tentera Libya membawa wartawan menyaksikan satu mayat dalam satu kubur besar yang ditemui dekat Tripoli mengandungi kira-kira 200 mayat dipercayai dibunuh oleh rejim Gaddafi, kelmarin. - REUTERS


KAHERAH 6 Okt. - Dua lagi kubur besar mengandungi kira-kira 900 mayat ditemui di ibu negara Libya, Tripoli, hari ini, lapor Al Jazeera.
Menurut stesen televisyen itu yang memetik kenyataan seorang komander tentera di Tripoli, Nagui al-Essawi, kenyataan daripada saksi membawa mereka kepada penemuan kubur-kubur itu yang menjadi mangsa kekejaman bekas rejim Muammar Gaddafi.
Tambahnya, satu daripada kubur itu dijumpai di Gargaresh, kawasan persisiran pantai yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Tripoli, dan sebuah lagi di Brasta Milad, sebuah kawasan perkampungan dekat ibu negara.
Bagaimanapun, Nagui tidak memberikan butiran mengenai tarikh bila mangsa-mangsa tersebut dibunuh.
September lalu, pegawai pemberontak mendedahkan penemuan sebuah kubur besar mengandungi 1,200 mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai pada 1996, dekat Penjara Bu Salim di Tripoli. - dpa

Ibu terus mengharap kepulangan anak selepas dua tahun hilang



NURUL Afifah Syawani Sahran, yang hilang sejak Ogos 2009 dan disedari ibunya, Madelin@Nurain Ak Egih Abdullah apabila Effa tidak balik ke rumah di Kampung Kijang, Merotai Besar, Tawau.


TAWAU 6 Okt. - Seorang ibu di sini, Madelin @ Nurain Ak Egih Abdullah, masih terus mengharap agar dapat menemui anaknya, Nurul Afifah Syawani Sahran, 9, yang hilang sejak dua tahun lalu.
Nurain, 39, tidak pernah berputus asa untuk mencari anaknya, yang dipanggil Effa dan sudah menggunakan segala cara serta saluran untuk menjejaki Effa yang hilang dari kawasan rumahnya di Kampung Kijang, Merotai Besar, pada 16 Ogos 2009.
"Sudah lebih 100 bomoh yang datang menghulurkan bantuan kepada kami namun sehingga kini anak saya belum juga ditemui," kata Nurain ketika meluahkan kerinduannya kepada anak kelima daripada tujuh beradik itu.
Menurut Nurain bomoh yang datang menghulurkan bantuan itu ada yang datang dari Indonesia, Semenanjung, Sarawak, Kota Kinabalu dan dari Tawau namun belum ada yang dapat mengesan di mana lokasi anaknya sekarang.
Menceritakan semula kisah kehilangan Effa yang ketika itu merupakan pelajar Tahun 1 di SK Merotai Besar, Nurain berkata, mereka sekeluarga menyedari kehilangan anaknya itu apabila Effa tidak balik ke rumah walaupun sudah masuk waktu Maghrib.
Ekoran kehilangan Effa itu, mereka membuat laporan polis dan operasi mencari terus dijalankan pihak berkuasa bersama penduduk kampung selama tujuh hari tujuh malam di merata-rata tempat termasuk di kawasan sungai berhampiran namun gagal mengesan Effa.
Menurut Nurain, Effa memiliki tahi lalat di bahagian bawah mata dan peha sebelah kanan serta berkulit cerah.
"Sekiranya ada di antara individu di luar sana yang telah mengambil ataupun menjaga anak saya selama ini, saya merayu dan tolong hubungilah saya.
Saya tidak akan mengambil tindakan undang-undang kepada mereka. Cukuplah jika anak saya dapat dikembalikan," katanya.
Nurain boleh dihubungi di talian 014-5851941. - BERNAMA

Tunjuk perasaan anti-AS




Seorang wanita Afghanistan membawa poster besar tertera mayat seorang kanak-kanak Afghanistan yang terbunuh dalam serangan tentera AS ketika mengadakan tunjuk perasaan anti-AS di Kabul, semalam sempena 10 tahun penaklukan AS di Afghanistan. - AFP


KABUL 6 Okt. - Beratus-ratus rakyat Afghanistan mengadakan tunjuk perasaan anti-Amerika Syarikat (AS) di Kabul, hari ini sebagai membantah pencerobohan tentera AS di Afghanistan yang sudah berlanjutan selama 10 tahun.
Sambil melaungkan 'matilah Amerika', penunjuk perasaan turut membakar bendera negara itu.
''Demonstrasi kami ini adalah untuk mengutuk pencerobohan AS.
''Kami mahu tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) keluar dari Afghanistan dengan segera. Mereka perlu berhenti membunuh rakyat Afghanistan,'' kata Hafizullah Rasekh, penganjur demonstrasi itu sempena 10 tahun serangan AS ke atas Afghanistan,
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), baru-baru ini melaporkan seramai 1,462 orang awam di Afghanistan terkorban sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Sementara itu, seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Jamila berkata, Afghanistan dilihatnya tidak beranjak kepada sebarang perubahan semasa dan sebelum pencerobohan tentera AS.
''Begitu juga semasa penguasaan Taliban. Tidak ada perubahan. Malah, kedua-dua pihak terbabit telah membunuh nyawa yang tidak bersalah,'' tegasnya. - AFP

7 ditahan bantu siasat kes bunuh



SHAH ALAM 6 Okt. - Tujuh lelaki termasuk seorang pengusaha bas dan anaknya yang berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan pasangan suami isteri penoreh getah di kawasan dusun durian, Batu 30, Ulu Yam Lama, Hulu Selangor, dekat sini, 28 September lalu.
Kesemua suspek ditahan dalam satu operasi khas di sekitar Batang Kali dan Kampung Rasa, Hulu Selangor pada 30 September dan Isnin lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, operasi pada 30 September lalu melibatkan tangkapan lima lelaki berusia 16 hingga 44 tahun termasuk pengusaha bas dan anaknya.
Beliau berkata, operasi kedua pada 3 Oktober pula berjaya menahan dua lagi suspek berusia 25 dan 31 tahun
"Susulan penahanan kesemua suspek yang tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah, polis menemui dua bilah parang yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu di dalam Sungai Rasa pukul 7.20 petang semalam.
"Kita juga percaya pembunuhan itu berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek," kata beliau kepada pemberita di pusat media Polis Selangor di sini hari ini.
Tambah Thaiveegan, dengan tertangkapnya kesemua suspek, pihaknya percaya kes pembunuhan tersebut telah selesai dan pihaknya juga akan menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat pendakwa raya dalam tempoh terdekat.
Pada 28 September lalu, pasangan suami isteri berketurunan India berusia 56 dan 51 tahun itu ditemui dibunuh dengan kesan tetakan di muka, kepala dan kedua-dua tangan di kawasan dusun durian, Batu 30, Ulu Yam Lama yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumah pasangan itu.

Pemandu lori dipenjara 32 tahun mengaku rogol adik ipar



KUALA TERENGGANU 6 Okt. - Seorang pemandu lori hari ini dihukum penjara 32 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan melakukan sumbang mahram terhadap adik iparnya sehingga mangsa melahirkan anak.
Lelaki berusia 52 tahun itu mengaku melakukan persetubuhan di luar nikah terhadap adik iparnya yang berusia 15 tahun pada Ogos 2009 di sebuah rumah di Bukit Payong, Marang, dekat sini.
Bapa kepada tiga orang anak itu turut didakwa mengulangi perbuatan tersebut sebulan kemudian di tempat yang sama.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan.
Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun bagi setiap pertuduhan dan diperintahkan berjalan secara berturut-turut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zalina Awang manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

4 pelajar UiTM maut kemalangan






ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan salah seorang mangsa yang tersepit dalam kemalangan maut di Kilometer 4.2, Jalan Machang Pasir Puteh, semalam.


MACHANG 6 Okt. - Empat daripada lima sahabat yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Machang, maut apabila kereta yang mereka naiki merempuh sebuah treler di Kilometer 4.2, Jalan Machang Pasir Puteh, dekat sini awal pagi ini.
Pemandu kereta Perodua Kenari, Mohd. Syamil Malik berasal dari Kampung Parit Jorak, Batu Pahat dan Mohd. Rizal Mohd. Zain, dari Kluang, Johor, meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua lagi mangsa iaitu Mohd. Sazwan Rosli, berasal dari Pekan, Pahang dan Mohd. Faizuddin Jamil dari Seksyen 24, Shah Alam, Selangor meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
Seorang lagi yang cedera ringan, Mohd. Haziq Zailani diberi rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Machang.
Difahamkan, kemalangan berlaku pukul 5.30 pagi ketika lima sahabat berusia 19 tahun yang juga penuntut tahun dua dan tiga jurusan seni reka, dalam perjalanan pulang ke kampus mereka dari pusat bandar Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Che Malek Bedot berkata, setibanya di lokasi kejadian, kereta itu melanggar bahagian tengah sebuah treler yang datang dari arah bertentangan lalu terperosok di bawah kenderaan tersebut.
Difahamkan treler berkenaan cuba membuat pusingan U di kawasan itu yang tidak berlampu.
"Treler tersebut datang dari arah Pasir Puteh ke Machang, manakala kereta itu dari arah bertentangan.
"Pemandu dan kelindan treler itu tidak mengalami kecederaan dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini, hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan tampil membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Che Fauzi Che Omar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan tersebut pada pukul 5.49 pagi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.
"Seramai lapan anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat. Sejurus tiba di tempat kejadian, kami mendapati empat mangsa tersepit manakala seorang lagi dibawa keluar oleh penduduk kampung.
"Selepas berusaha hampir 20 minit, pihak kami mengeluarkan pemandu yang tersepit di tempat duduknya. Keseluruhan operasi tamat pada pukul 7.15 pagi," ujarnya.

“Saya terjaga selepas bunyi dentuman”



MACHANG 6 Okt. – “Semasa kejadian berlaku, saya tidur di belakang. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat. Sebaik sahaja sedar saya lihat rakan-rakan sudah berlumuran darah.”
Demikian cerita Mohd. Haziq Zailani, 19, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang yang terselamat dalam nahas ngeri di Kilometer 4.2 Jalan Pasir Puteh-Machang dekat sini awal pagi tadi.
Menurutnya, ketika kejadian dia dan empat rakannya dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu ke UiTM selepas keluar makan di Wakaf Che Yeh serta bersiar-siar di Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu malam tadi.
Tinjauan Utusan Malaysia di Hospital Machang di sini hari ini mendapati suasana pilu menyelubungi pekarangan hospital itu apabila rakan-rakan, ahli keluarga serta kakitangan UiTM Machang hadir sejurus menerima berita itu.
Mohd. Haziq yang cedera ringan dalam nahas tersebut, dilihat masih dalam keadaan trauma selepas terbabit dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawa empat rakannya.
Bapa Mohd. Rizal, Mohd. Zain Yaacob, 50, berkata, kali terakhir dia bertemu anak sulungnya itu adalah dua hari lalu ketika mengambil barangan milik arwah di UiTM Machang.
“Kelmarin, saya datang ke UiTM untuk mengambil barangan milik arwah. Semasa datang ke sini saya tidak nampak sebarang perubahan pada dirinya, kecuali barang yang diberikan untuk dibawa pulang kali ini lebih banyak sedikit daripada sebelumnya.
“Setiap kali cuti, saya akan datang mengambil barang miliknya untuk dibawa pulang kerana sukar untuknya membawa naik dalam kereta api,” katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Machang di sini hari ini.

Pasar raya disyaki tipu harga diserbu pihak berkuasa



SEREMBAN 6 Okt. - Sebuah pasar raya di bandar ini diserbu Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri kelmarin apabila disyaki menjual barang pada harga mengelirukan.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, beberapa harga barang di pasar raya berkenaan didapati tidak sama dengan harga yang dipaparkan pada label jualan.
Pengarah pejabat berkenaan, Mohd. Talal Abu Bakar berkata, serbuan itu dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada pengguna yang mendakwa mereka menjadi mangsa penipuan harga.
"Kita telah menjalankan semakan terhadap 28 jenis barang seperti yang diadukan oleh pengguna terbabit.
"Hasil pemeriksaan, pihak pasar raya itu mengenakan harga yang lebih tinggi berbanding harga yang ditawarkan pada label dan pelekat barang tersebut sebaik sahaja diimbas di kaunter bayaran," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Jelas Mohd. Talal, lebih mengejutkan perbezaan harga yang dikenakan adalah antara 20 sen hingga RM2.
"Kami menyita barang tersebut dan pengusaha terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 (APP 1999). Sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM250,000," tegasnya.
Tambahnya lagi, sepanjang tahun ini sebanyak 16 kes kesalahan sama dikesan di seluruh negeri ini melibatkan pelbagai kategori peniaga.
"Saya menasihatkan peniaga supaya lebih berhati-hati ketika melabelkan tanda harga barangan mereka dan jangan sesekali mengambil kesempatan menipu pengguna," katanya

Murid cemas, kelas terbakar



MELAKA 6 Okt. - Seramai 198 murid tahun satu hingga enam Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Kuo, Jalan Tengkera di sini, cemas apabila sebuah kelas komputer di sekolah itu terbakar hari ini.
Ketika kejadian, 37 murid berada di dalam kelas tersebut bersama seorang guru wanita yang mula mengajar subjek itu dari pukul 12.05 tengah hari sehingga pukul 1.05 petang.
Pemangku Guru Besar sekolah berkenaan, Yeo Siaw Eng berkata, selepas setengah jam mengajar, guru itu melihat kepulan asap dari arah komputer di tengah-tengah kelas tersebut.
"Dengan pantas, guru itu mengarahkan murid keluar dari kelas tersebut. Saya yang mendapat tahu mengenai perkara itu daripada salah seorang murid kemudian membunyikan loceng kecemasan.
"Mujurlah dalam keadaan cemas itu, seorang guru lain bertindak pantas mencapai alat pemadam api dan cuba memadamnya manakala saya pula menghubungi bomba," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, semua murid sekolah itu yang berkumpul di kawasan lapang tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibenarkan pulang.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Yazid Mohd. Tahir berkata, dua jentera bomba dengan kekuatan 14 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 12.57 tengah hari.
"Api berjaya dikawal pada pukul 1.05 petang dan padam sepenuhnya 10 minit selepas itu. Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Remaja perempuan mati lemas terperangkap dalam lubuk



KUALA LUMPUR 6 Okt. - Kegembiraan enam remaja mandi sungai berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui mati lemas, dipercayai selepas terperangkap dalam lubuk di Sungai Gombak, Kampung Chubadak di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.20 petang itu, mayat Fatin Naiha Kamaruzaman, 14, ditemui oleh penduduk kampung yang menjalankan gerakan mencari mangsa.
Sebanyak 15 anggota serta dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dan Gombak bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritendan Othman Abu Bakar berkata, mangsa dipercayai mandi di kawasan cetek bagaimanapun tidak menyedari terdapat lubuk dalam di kawasan berkenaan.
"Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda tersebut tiba-tiba menyedari kedua-dua kakinya terperangkap di dalam lubuk tersebut sebelum menjerit meminta bantuan.
"Bagaimanapun rakan-rakannya tidak berupaya menyelamatkan mangsa menyebabkan remaja itu lemas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga mereka dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Gaddafi seru rakyat Libya tentang kerajaan baru



07/10/2011 2:56am

TRIPOLI 7 Okt. – Bekas pemimpin Libya yang digulingkan, Muammar Gaddafi menyeru rakyatnya supaya mengadakan demonstrasi menentang pemerintah baru negara ini, lapor stesen televisyen Arrai yang berpangkalan di Syria.
"Saya menyeru berjuta-juta rakyat Libya, lelaki dan wanita, untuk turun (tunjuk perasaan) di dataran dan jalanan serta seluruh bandar untuk menolak Majlis Peralihan Kebangsaan," katanya dalam satu rakaman suara berkualiti rendah yang disiarkan stesen televisyen tersebut. – AFP

11 penumpang maut bas terhumban ke gaung di Peru



07/10/2011 2:56am

LIMA 7 Okt. - Sekurang-kurangnya 11 penumpang termasuk empat kanak-kanak terbunuh, manakala 22 lagi cedera, beberapa orang daripadanya kritikal, apabila bas yang dinaiki terhumban ke sebuah gaung di tengah Peru, awal pagi semalam.
"Buat masa ini, kami melaporkan 11 orang maut selepas bas yang dinaiki terhumban ke gaung sedalam 200 meter di Matucana, kira-kira 60 kilomter di timur ibu negara, Lima," kata seorang anggota polis, Luis Diaz.
Katanya, pemandu bas terbabit yang turut terbunuh, hilang kawalan ketika cuba mengambil selekoh di lebuh raya tersebut.
Kesemua mangsa cedera parah, kebanyakan kanak-kanak dan dibawa ke hospital di Lima. - AFP

Tentera, pembelot bertempur, 12 maut di Syria



07/10/2011 2:56am

DAMSYIK 7 Okt. - Kira-kira 12 orang terbunuh dalam pertempuran membabitkan tentera Syria dan pembelot di perkampungan di wilayah Idlib, barat laut Syria hari ini.
"Tujuh tentera dan lima pembelot terbunuh dalam pertempuran yang berlaku di kampung di barat Jabal al-Zawiya," kata kumpulan pemerhati hak asasi manusia Syria.
Sementara itu, di GENEVA, Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melaporkan lebih daripada 2,900 orang terbunuh sejak enam bulan lalu apabila demonstrasi anti kerajaan tercetus di Syria.
Menurut jurucakap suruhanjaya tersebut, Rupert Colville, jumlah tersebut mungkin meningkat kerana 'lebih ramai orang' dilaporkan hilang di Syria sejak tunjuk perasaan menentang Presiden Bashar al-Assad bermula pada pertengahan Mac lalu. - AFP

Gempa bumi berukuran 6.2 landa Argentina, tiada kematian dilaporkan



07/10/2011 2:56am

BUENOS AIRES 7 Okt. - Gempa sekuat 6.2 skala Ritcher menggegarkan daerah utara Argentina yang bersempadan dengan Bolivia dan Paraguay, semalam, namun tiada kematian dilaporkan.
Menurut Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat, gempa tersebut dikesan pada pukul 8.12 pagi (7.12 malam waktu Malaysia) dengan kawasan seluas 9.4 kilometer.
Gempa terbabit berpusat di kawasan pergunungan dan tidak mempunyai penduduk yang ramai di wilayah Jujuty, kira-kira 120 kilometer daripada bandar Saltas dan kira-kira 675 kilometer daripada ibu negara Paraguay, Asuncion. - AFP

Ayah dan pakcik Rooney ditahan



07/10/2011 2:56am

LONDON 7 Oktober- Ayah dan pakcik kepada bintang Manchester United, Wayne Rooney ditahan kerana terlibat dalam kes perjudian haram membabitkan perlawanan dalam Liga Perdana Scotland.
Menurut sumber polis, dua daripada sembilan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan namun polis enggan mendedahkan lagi identiti-identiti suspek yang lain.
Polis Merseyside berkata, ayah Rooney berumur 48 tahun yng dikenali sebagai Wayne dan pakciknya, Richie Rooney, 54 tahun ditahan di rumah mereka di Liverpool.
Salah seorang yang turut ditahan difahamkan pemain tengah Motherwell, Steve Jennings, yang bermain dalam perlawanan tersebut dan dikenakan kad merah selepas lapan minit perlawanan kerana membantah keputusan penalti diberikan pengadil.
“Detektif hari ini telah mengeluarkan waran bagi menahan sembilan orang di sekitar 10 alamat Merseyside dan Glasgow bagi membantu siasatan mengenai perjudian haram,” kata polis Merseyside dalam kenyataannya. - Agensi

Lagi murid dakwa dilarang ambil UPSR






WAN Mohd. Fazlan Wan Ibrahim menunjukkan surat sambil dipeluk oleh kakaknya, Wan Rahimah ketika menceritakan kejadian tidak dibenarkan mengambil peperiksaan UPSR.


KUALA KRAI 6 Okt. - Selepas murid di Sekolah Kebangsaan Bintangor, Sarawak dan Sekolah Kebangsaan Telok Sira, Baling, Kedah, mendakwa tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 dari 13 hingga 15 September, seorang murid di Sekolah Kebangsaan Telkong di sini mengadu mengalami nasib yang sama.
Wan Mohd. Fazlan Wan Ibrahim, 12, yang diberikan angka giliran DG 0251051, mendakwa tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut oleh pihak sekolah atas arahan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di sini.
Apa yang menyedihkan, katanya, dia hanya diberitahu oleh guru sekolah terbabit tidak layak menduduki peperiksaan ketika mahu memasuki dewan pada hari pertama UPSR dijalankan.
Kejadian tersebut menyebabkan anak bongsu daripada 13 beradik yang telah kematian ibu lima tahun lalu, enggan meneruskan persekolahan sebaik sahaja peperiksaan selesai kerana berasa rendah diri ekoran diejek oleh teman sebaya.
''Saya terkejut dan sedih apabila tidak dibenarkan masuk pada hari pertama UPSR dan diarahkan tidak mengambil semua kertas. Saya tanya guru tersebut kenapa saya tidak dibenarkan masuk, katanya ia arahan daripada PPD.
''Saya malu apabila kawan-kawan mengejek dan menyindir menyebabkan saya pulang ke rumah dan tidak hadir untuk mengambil kertas peperiksaan lain walaupun hati memang ingin mendudukinya seperti rakan-rakan yang lain," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, kakaknya, Wan Rahimah, 22, yang menemaninya kesal kerana aduannya kepada pihak sekolah hanya menerima jawapan yang mengelirukan, begitu juga keterangan pihak PPD dan wakil Kementerian Pelajaran yang menemuinya semalam.
''Selepas tidak puas hati dengan pihak sekolah dan PPD yang membuat saya seperti "bola" kerana disuruh menemui pelbagai pihak tetapi jawapannya tidak menjamin kebajikan adik saya, satu laporan polis dibuat pada Isnin lalu.
''Tujuannya untuk menuntut hak adik saya dan yang menghairankan selepas laporan polis dibuat, wakil Kementerian Pelajaran di Putrajaya datang berjumpa saya semalam dan meminta saya membuat surat pengakuan di hadapannya menyatakan kes tersebut telah selesai," katanya.
Antara alasan pihak sekolah yang ditemui selepas UPSR, katanya, adiknya lemah dalam pelajaran dan tidak mampu menjawab soalan selain memujuknya membenarkan Wan Mohd. Fazlan dimasukkan ke kelas pemulihan integrasi bagi membolehkan dia mengambil peperiksaan tahun hadapan.
''Yang peliknya, selepas memaklumkan perkara tersebut, saya disuruh ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengambil surat akuan yang menyatakan adik saya tergolong disleksia iaitu mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis.
''Sedangkan adik saya ditempatkan di Kelas Wawasan iaitu antara kelas untuk pelajar normal sejak tahun satu walaupun sekolah tersebut memang mempunyai kelas pendidikan khas yang mempunyai 13 murid," katanya.
Selain itu dia mempersoalkan tindakan pihak PPD menyerahkan surat bertarikh 12 September pada 2 Oktober lalu yang mempunyai kepala surat Kementerian Pelajaran memberitahu tentang Pembatalan Menduduki Peperiksaan terhadap adiknya.
''Surat itu mengelirukan saya kerana tarikh diterima oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) adalah pada 15 September 2011, iaitu tarikh akhir peperiksaan diadakan, sedangkan sejak hari pertama lagi adik saya tidak dibenarkan mengambil UPSR," katanya.
Dia juga menafikan dakwaan pihak PPD, bapa atau ahli keluarganya pernah menandatangani surat pembatalan adiknya menduduki peperiksaan pada Mac lalu walaupun mengakui dikunjungi oleh salah seorang guru sekolah tersebut.
Apa yang lebih membingungkan Wan Rahimah, hari ini adiknya menerima sepucuk surat daripada pihak sekolah yang ditandatangani oleh Guru Besar memaklumkan adiknya itu diminta datang ke sekolah pada 9 Oktober hadapan untuk pendaftaran kemasukan kelas pendidikan khas integrasi 2012.
''Selepas adik saya mempunyai angka giliran UPSR 2011 tiba-tiba sahaja dia ditawarkan memasuki kelas pendidikan khas integrasi sedangkan sebelum ini dia dibenarkan mengambil peperiksaan," ujarnya.
Pengarah Pelajaran Negeri (JPN) Hussein Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu namun enggan mengulas lanjut.
''Siasatan terhadap apa yang didakwa oleh murid itu telah selesai dan diserahkan kepada pihak kementerian dan terserah kepada mereka untuk membuat keputusan," katanya.

Jemaah tanpa ilmu agama mudah silap





2011/10/07

PENDUDUK Muslim Pakistan bertolak ke Makkah untuk tunaikan haji.
PENDUDUK Muslim Pakistan bertolak ke Makkah untuk tunaikan haji.
Batu Gua Hira didakwa berkat, bijirin burung sembuh penyakit 

MAKKAH: Jemaah yang tiba di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah tanpa mempunyai ilmu serta keyakinan Islam kukuh, dilihat mempunyai kecenderungan menyimpang daripada ajaran agama termasuk mempercayai batu tertentu boleh mengubati penyakit.
Akhbar Arab News mengesan sejumlah jemaah ke Gua Hira’ di mana wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW atau bukit Jabal Rahmah di Arafah dengan mempercayai ia adalah sebahagian daripada ibadat umrah atau tempat memohon petunjuk Allah.
Malah, sesetengah mereka mengambil batu dari gunung itu dan membawanya pulang ke tanah air sambil mendakwa ia untuk keberkatan keluarga. 

Selain itu, ada juga jemaah yang mengutip bijirin yang diberikan kepada burung merpati atau burung lain berdekatan Masjidil Haram untuk mengubati penyakit mereka atau ahli keluarga. 

Bijirin itu dijual warga asing di dalam beg plastik kecil dengan harga 1 riyal (85 sen) dan dibeli untuk memberi burung makan. Gandum dan bijirin itu boleh diperoleh di kawasan Al-Masfalah, Al-Hafair, Ghazah dan kawasan lain berdekatan Masjidil Haram. 

Ditanya mengapa mengutip makanan burung itu, jemaah dari Pakistan, Riyasa Ghulam, 60, berkata isterinya yang muda enam tahun daripadanya mandul dan gagal mendapatkan anak sepanjang usia perkahwinan mereka. 
“Kami sudah mencuba pelbagai rawatan. Seorang rakan menyarankan ketika mengerjakan umrah ambil peluang makan makanan burung merpati. 

“Kini, selama seminggu kami makan tujuh bijirin sehari dan masih menunggu keputusan,” katanya. 

Seorang jemaah dari Mesir pula, berkata isterinya mengalami sawan dan tidak boleh diubati. 

Katanya, seorang rakan menasihatkan beliau mendapatkan makanan yang diberikan kepada burung untuk mengubati isterinya. 

“Rakan berkata isteri saya perlu makan tiga biji setiap kali makan untuk tiga hari berturut-turut. Dua minggu sudah berlalu tetapi isteri saya tidak bertambah baik,” kata Ismail. 

Beliau berkata rakannya berpesan supaya makan bijirin yang tidak pecah dan perlu dimakan sekali gus. 

“Kami mengikut nasihatnya tetapi tiada apa pun berlaku,” katanya. 

Pengarah Pengajian Islam di Universiti Umm Al Qurah, Muhammad Al-Suhali, berkata hanya umat Islam yang mempunyai keyakinan lemah dan ilmu mengenai agama yang sedikit akan melakukan perkara berkenaan. – Agensi

Hot FM buat laporan laman sosial digodam





2011/10/07

KUALA LUMPUR: Pengurusan stesen radio popular, Hot FM membuat laporan polis selepas mendapati berlaku pencerobohan terhadap akaun laman sosial, facebook dan twitter milik stesen dan penyampai radio berkenaan. 

Laporan itu dibuat pengurusan stesen radio itu di Balai Polis Damansara di sini, tiga hari lalu selain membuat aduan kepada Siber Sekuriti bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Menurut kenyataan dikeluarkan Hot FM semalam, pengurusan stesen radio itu menafikan mengeluarkan kenyataan negatif atau berniat jahat melalui facebook dan twitter sejak pencerobohan itu berlaku Mei lalu dan paling serius Selasa lalu.
Katanya, keadaan bertambah serius apabila penggodam mula mengeluarkan kenyataan dan status negatif menerusi laman sosial itu pada pertengahan September lalu. 

“Dalam kejadian terbaru, penggodam mula menyebarkan senarai nombor telefon mudah alih membabitkan selebriti tempatan dan maklumat peribadi penyampai radio antaranya alamat kediaman, akaun bank, salinan kad pengenalan serta salinan lesen memandu,” kata kenyataan itu. 

Susulan kejadian itu, pengurusan Hot FM memandang serius jenayah siber dan berharap pihak berkuasa melakukan siasatan bagi membendung masalah berkenaan.