'via Blog this'
Monday, 26 September 2011
Kanak-kanak mati lemas tergelincir
'via Blog this'
Lelaki ditemui dengan kesan tembakan di perut
'via Blog this'
Tiada lagi sukan laga lembu di Barcelona
'via Blog this'
Mangsa banjir Thailand, meningkat
BANGKOK: Banjir akibat hujan monsun di Thailand sejak Julai lalu, telah mengorbankan 158 orang.
Di Kemboja pula, 61 orang mati sejak dua minggu lalu.
Lebih dua juta ekar tanah pertanian, 11 kali besar dari Singapura, ditenggelami air.
Air sungai Chao Phraya turut melimpah di beberapa jalan di Bangkok. - Reuters.
'via Blog this'
RM6.4j tebus kru
HANOI: Sebuah firma perkapalan Vietnam membayar kira-kira AS$2 juta (RM6.37 juta) sebagai wang tebusan untuk membebaskan kru kapal yang telah ditahan oleh lanun Somalia selama sebulan.
Menurut eksekutif syarikat perkapalan itu, semua anak kapal selamat tiba, semalam.
Kata Ketua Pengarah Hoang Son Ltd Co, semua 24 kru kapal telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai.
“Kami terpaksa membayar wang tebusan menggunakan wang syarikat,” katanya. Syarikat perkapalan itu mempunyai pejabat di pelabuhan utara di bandar Haiphong.
Semua kru akan menjalani ujian kesihatan.
“Kita tahu mental atau fizikal mereka terjejas dengan kejadian ini,” katanya tetapi tidak memberitahu dengan terperinci serangan lanun dan rawatan yang akan diberikan kepada kru kapal.
Menurut laporan anti lanun tentera laut Kesatuan Eropah pada 20 Januari lalu, kapal pengangkut milik Hoang Son Sun dipercayai telah ditawan kira-kira 520 batu nautika, di tenggara Muscat.
Kapal itu mengibarkan bendera Mongolia tetapi dipunyai oleh syarikat Vietnam.
Kegiatan lanun di Somalia semakin menjadi-jadi. Usaha antarabangsa termasuk sentiasa melakukan rondaan menggunakan kapal perang dan menjatuhkan hukuman berat kepada lanun, kurang berkesan.
Pengarah Urusan Perisikan Risk, Hans Tino Hansen berkata, wang tebusan meningkat hingga AS$5 juta (RM16 juta) untuk kapal pedagang saiz sederhana. - AFP
'via Blog this'
Warga Amerika maut ditembak dalam pejabat CIA
KABUL: Seorang lelaki Afghanistan yang bertugas dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) melepaskan tembakan dalam pejabatnya, menyebabkan seorang warga Amerika Syarikat maut dan seorang lagi cedera.
Jurucakap Kedutaan AS berkata, penyerang terbabit bertindak bersendirian dan ditembak mati anggota keselamatan.
“Mangsa yang cedera dirawat di sebuah hospital tentera,” katanya.
Serangan itu adalah yang kedua berlaku di kawasan kedutaan yang dikawal ketat dalam tempoh dua minggu. Pejabat CIA terletak bersebelahan bangunan kedutaan itu.
Jurucakap itu berkata, motif serangan masih disiasat.
Pembunuhan semalam juga mendorong AS meningkatkan kawalan keselamatan selepas kedutaan mereka dikepung selama 20 jam, pertengahan bulan ini.
Kawasan CIA adalah satu daripada lokasi dikawal ketat di Kabul dan pergerakan di situ begitu dihadkan sejak hampir sedekad lalu apabila Taliban tumbang pada 2001.
Tidak dapat dipastikan sama ada warga AS yang terbunuh itu adalah mangsa ejen pemberontak atau mereka terbabit dalam pertengkaran. - Reuters
'via Blog this'
Ali cadang cepatkan pilihan raya
SANAA: Presiden Yaman, Ali Abdullah Salleh, tidak berjanji berundur daripada jawatannya semalam, ketika dia memberikan ucapan sulung ke seluruh negara sejak pulang dari Arab Saudi.
Sebaliknya, Ali Abdullah menyarankan pilihan raya umum Yaman disegerakan - langkah dilihat untuk mengendurkan kemarahan penunjuk perasaan yang menuntutnya berundur.
Berucap pada hari keenam keganasan yang mengorbankan lebih 100 orang, Ali Abdullah berkata, dia komited menyerahkan kuasa melalui pilihan raya.
Namun, sejak protes rakyat memuncak pada Januari lalu, Ali Abdullah berkali-kali mencadangkan langkah menamatkan keganasan tetapi tiada sebarang tindakan susulan diambil membayangkan keinginannya bersara daripada politik.
Rakyat mendakwa Ali Abdullah, keluarga dan kerajaannya melakukan rasuah dan gagal menangani isu kemiskinan serta keselamatan.
Secara purata, seorang daripada dua warga Yaman memiliki senjata api.
“Marilah kita bersama-sama berdialog, saling memahami dan membenarkan peralihan kuasa melalui pilihan raya yang diadakan lebih awal,” katanya. - Reuters
'via Blog this'
Kasih ibu selamatkan anak
IBU singa di tebing lurah sementara anaknya di bawah.
Ibunya tiba di tebing lurah itu dengan tiga singa betina dan seekor jantan.
Keempat-empat singa betina itu meninjau ke bawah tetapi berundur kerana bimbang dengan kecuraman lurah itu.
- SI IBU merangkak dari tepi sebelum menyambar anaknya yang hampir jatuh.
- IBU singa menggonggong anaknya naik ke atas semula.
- SI ANAK dijilat ibunya selepas berjaya diselamatkan.
Akhirnya, satu-satunya faktor yang menentukan siapa di antara mereka yang sanggup menggadai nyawa untuk menyelamatkan anak singa malang itu ialah kasih sayang ibu.
Ketika anak singa itu yang keletihan hampir jatuh, si ibu mengelilinginya dari bawah dan menyambar dengan rahangnya.
Ibu singa itu kemudian memulakan pendakian yang sama mencabar. Beberapa minit selepas itu, mereka tiba di atas dan dia mententeramkan si anak yang kelihatan masih ketakutan dengan menjilat kepalanya.
Gerakan menyelamat itu, yang dirakam oleh jurugambar hidupan liar, Jean-Francois Largot, di Taman Hidupan Liar Masai Mara, Kenya.
'via Blog this'
Bandar raya terapung
PROJEK Utopia lebih seperti bandar raya terapung berbanding sebuah bot.
DARI fiksyen menjadi realiti...projek Utopia seperti tempat persembunyian Stromberg dalam filem James Bond, The Spy Who Loved Me
Bagaimanapun, sebuah syarikat Britain percaya, bangunan terapung ini boleh menjadi sebahagian daripada kehidupan masa depan di laut.
Dengan 11 dek yang boleh digunakan sebagai kediaman, kawasan meninjau 360 darjah, empat tempat tempat helikopter mendarat, tempat berlabuh sendiri, beberapa kolam renang dan ruang yang sama besar dengan sebuah kapal peranginan mewah, ia boleh diangap sebuah bandar raya terapung.
Meskipun ia tidak sesuai untuk digelar kapal mewah, rekaan itu yang dinamakan ‘Projek Utopia, didedahkan kepada pengunjung Pameran Kapal Layar Monaco baru-baru ini.
Perekanya, BMT Nigel Gee, dari Southampton, masih belum meletakkan harga pulau terapung itu atau menentukan jenis pelanggan yang mungkin berminat untuk membelinya.
Ia direka untuk terapung pada empat platform, setiap satu dilengkapi dengan penujah bagi membolehkan keseluruhan pulau terapung ini stabil, walaupun di laut yang bergelora.
Mampu untuk bergerak dengan perlahan, ia terbentang selebar 65 meter di atas permukaan laut, menyediakan dek meninjau 13 tingkat untuk pelawat dengan pemandangan panoramik.
Di bawahnya, dek ruang utama penempatan dan perkhidmatan, yang boleh menempatkan kedai, bar dan restoran, akan dilitupi dengan kanopi yang boleh ditutup dan dibuka.
Pengarah Yatch Design, James Roy percaya, rekaan ini mencabar kepercayaan terhadap seni bina tradisional mengenai pengangkutan laut.
Beliau berkata: “Wawasan mengenai masa depan sentiasa dikekang oleh kebiasaan dengan yang ada ketika ini atau gambaran pada yang lalu.
“Banyak yang dihasilkan dalam masyarakat pereka hari ini bermula di atas sekeping kertas kosong. Tetapi banyak, jika tidak semua konsep kapal mewah merujuk kepada bentuk tradisional.
“Kerana tanggapan bahawa sebuah kapal mewah mesti berbentuk pengangkutan, ia serta merta mengekang ilham pereka.
“Utopia bukan objek pengangkutan. Ia sebaliknya adalah tempat, sebuah pulau yang diwujudkan untuk sesiapa saja, yang ada wawasan untuk mencipta tempat seumpama itu.”
James berkata, rekaan itu yang dihasilkan bersama dengan Yacht Island Design, mempamerkan bagaimana syarikat itu, yang tertumpu kepada pembinaan kapal mewah, kapal komersial dan tentera laut, menggunakan teknologi canggih bagi membawa sesuatu yang baru ke dalam industri itu.
“Dengan merintis idea rekaan seperti Utopia adalah jenis projek yang menjadi kemahiran kumpulan kami.
“Pendekatan pemikiran ke hadapan dan pengalaman kejuruteraan canggih yang tidak ada tandingan membolehkan kami bekerjasama rapat dengan pereka dan syarikat membuat kapal serta menjelmakan idea ini menjadi realiti. - Agensi
'via Blog this'
Siswa IPTA dituduh bunuh pelajar
AMPANG: Seorang mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh seorang pelajar perempuan, dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Khairi Nor Aziz, 19, yang kelihatan bingung dan muram hanya mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Karimah Wan Md Ab Ghani.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai kemeja-T coklat dan berkopiah hitam.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Khairi didakwa membunuh Nurul Awathif Mohd Syakir, 19, di rumah No B-119 Apartment Sri Wira, Jalan Ukay Perdana 2, Taman Ukay Perdana, dekat sini, antara jam 9 malam pada 4 September 2011 hingga jam 2.15 pagi pada 5 September 2011.
Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum manakala tertuduh diwakili peguam Zamani Dolmat.
'via Blog this'
Kanak-kanak lelaki mati lemas tergelincir dalam sungai
YAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun mati lemas setelah tergelincir ke dalam sungai berdekatan rumahnya di Kampung Sungai Lintang, Ulu Sedaka di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, mangsa Mohd Fardinie Zamri sebelum itu dikatakan mengikut abang dan kakaknya, masing-masing berusia 10 dan lapan tahun, bersama dua lagi rakan lelaki pergi memancing ikan di sungai itu.
Usaha mencari mangsa yang dilakukan penduduk kampung berjaya menemui mangsa 45 minit kemudian tetapi dia dipercayai telah meninggal dunia.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Yan.
Nenek mangsa Halimah Din, 69, berkata dia mengetahui kejadian yang menimpa cucu lelakinya itu daripada seorang rakan mangsa lalu bergegas ke lokasi kejadian.
"Kawan cucu saya datang bagi tahu kepada saya kata cucu saya ini terjatuh daripada basikal yang ditunggangnya lalu tergelincir masuk ke sungai. Saya cepat-cepat pergi ke sungai dan terjun bagi menyelam untuk mencari cucu saya ini tetapi tak berjaya. Saya tidak dapat mengesannya," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini.
Ibu mangsa Saridah Harun, 36, berkata anak lelakinya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Thohiriah di sini pagi ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan DSP Ismail Abu ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu. - BERNAMA
'via Blog this'
Remaja 16 tahun diperkosa 8 lelaki
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar berusia 16 tahun berdepan detik ngeri apabila dirogol lapan lelaki tidak dikenali secara bergilir-gilir di Kampung Nelayan, Klang, dekat sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalan pulang ke rumahnya selepas bersiar-siar seorang diri sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali mengajaknya menunggang motosikal.
Menurut sumber polis, mangsa bagai dipukau apabila hanya mengikut kehendak lelaki itu dan kemudian dibawa ke sebuah kedai makan. Sebaik selesai menikmati makan malam, mangsa dibawa ke sebuah rumah di kawasan berhampiran.
“Ketika itu mangsa berada dalam keadaan separuh sedar. Mangsa terkejut apabila melihat lapan lelaki mengelilinginya sebelum menyuruhnya membuka pakaian.
Sumber berkata, mangsa kemudian dirogol bergilir-gilir.
“Selepas selesai, salah seorang daripada mereka menghantar mangsa ke sebuah stesen minyak di Pendamar Indah Dua, kira-kira jam 2 pagi,” katanya.
Mangsa yang ketakutan kemudian membuat laporan di Balai Polis Klang sejurus kejadian.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md Yusof mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
'via Blog this'
Cemburu motif bunuh di hotel
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, mangsa, Mohd Nasir Isahak, 35, dikatakan menjalin hubungan dengan teman wanita seorang daripada suspek terbabit.
Katanya, maklumat itu diperoleh hasil kejayaan polis menahan tiga suspek, termasuk wanita berkenaan yang berusia 32 tahun serta teman lelakinya berusia 29 tahun dan seorang lagi lelaki berusia 28 tahun, kelmarin.
“Wanita itu tidak bekerja, manakala kedua-dua lelaki terbabit bekerja sebagai pengawal keselamatan,” katanya di sini, semalam.
Mohd Zakaria berkata, wanita itu ditahan di sebuah rumah di Pulau Pinang awal pagi kelmarin, manakala dua lelaki itu ditahan dalam sebuah kereta di Bayan Baru, Pulau Pinang beberapa jam kemudian. “Hasil tangkapan itu, polis turut merampas sebuah Peugeot 308 putih yang dilaporkan hilang di ibu negara pada 11 Ogos lalu selain sepucuk pistol jenis Baretta 9mm bersama tujuh peluru dan sebilah pedang samurai dalam kereta berkenaan,” katanya."
'via Blog this'
Lelaki Bangladesh tak mengaku cabul
Pekerja pasar raya, Md Kamruzaman Chansarif, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtarudin.
Md Kamruzaman didakwa mencabul kehormatan dengan memeluk dan mencium pipi pelajar berusia 19 tahun itu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lif tingkat lima, Kolej Segi, No 33-35, Jalan Hang Lekiu, Dang Wangi di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari, 20 September lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman berkenaan."
'via Blog this'
Mohon bantuan
JOHOR BAHRU: Ibu bapa bayi merdeka, Eryshah Elman yang dilahirkan cacat dengan otak berada di luar tempurung kepala, merayu bantuan orang ramai memberikan sumbangan wang bagi meringankan perbelanjaan membesarkan bayi mereka.
Bapanya, Erywan Yaacob, 32, berkata sebelum ini dia terpaksa menolak bantuan orang ramai kerana tidak tahu kos sebenar pembedahan dan apa yang perlu dibeli sekiranya ia dilakukan terhadap Eryshah.
“Sebaik berita Eryshah disiarkan Harian Metro 12 September lalu, ramai menghubungi mengatakan kesanggupan menghulurkan bantuan kewangan.
“Bagaimanapun, ketika itu saya terpaksa menolak tawaran berkenaan kerana masih belum mengetahui apa yang diperlukan berikutan belum ada pihak sanggup melakukan pembedahan.
“Namun apabila Hospital Sultanah Aminah (HSA) bersetuju melakukan pembedahan, kami diberitahu berkaitan kos susulan yang perlu ditanggung sendiri seperti ubat dan peralatan lain,” katanya.
Menurut Erywan, dia akur serta bersyukur kerana HSA akan menggunakan kepakaran bagi melakukan pembedahan dan sanggup menanggung sendiri perbelanjaan lain.
“Antara barangan yang dipercayai diperlukan bagi membesarkan Eryshah ialah tiub makanan, susu khas serta peralatan berkaitan yang saya sendiri masih belum pasti.
'via Blog this'
Peragut kena sebat
Hukuman dijatuhkan Hakim Azman Mustapha itu dianggap setimpal dengan perbuatan rompakan dilakukan tertuduh, Nik Azrul Hisyam Ayuhan, 26, kerana menyebabkan mangsa dalam kes itu cedera di lengan, dada dan belakang badan.
Perkara itu terkandung dalam fakta kes yang dibacakan jurubahasa mahkamah dan tertuduh berbaju putih mengakui turun dari motosikalnya sebelum menarik beg tangan dibawa pengadu menyebabkan mangsa terjatuh di lokasi kejadian berdekatan Maybank, Wakaf Siku.
Dalam keadaan tenaga terbatas, mangsa seorang wanita berusia 44 tahun berjaya mendapatkan beg tangan terbabit, selain dibantu orang awam di kawasan sekitar menyebabkan suspek terpaksa berputih mata kerana gagal mendapat ‘habuan’ diidamkan."
'via Blog this'
Tangisan jadi penyelamat
KOTA BHARU: Tangisan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menyelamatkan dia bersama abangnya menjadi mangsa kebakaran selepas kediaman diduduki hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Telaga Nibong, Tanjung Chat, dekat sini, malam kelmarin.
Kejadian jam 8.25 malam itu, menyebabkan Mohd Asyraf Rosdi, 15, yang sedang mandi di bilik air rumah itu bergegas keluar sebelum berusaha mendapatkan adik bongsunya Mohd Alif, di bahagian dapur rumah untuk menyelamatkan diri.
Dalam keadaan kepanasan berikutan api marak, dua beradik terbabit kemudian berlari sambil berpelukan sebelum mendapatkan bapa saudara mereka yang tinggal berdekatan rumah terbabit untuk melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak bomba.
Ketika kejadian hanya dua beradik itu berada di rumah, manakala ibu bersama seorang lagi anak, Siti Nurakilah, 6, ke sebuah pasar raya, manakala dua beradik lagi, Mohd Aiman, 13 dan Mohd Alif, 10, ke surau berhampiran untuk menunaikan solat Isyak, manakala ayah mereka, Rosdi Husin, 46, mempunyai urusan lain di luar.
Ibu dua beradik terbabit, Normawati Che Daud, 36, berkata, kejadian berlaku tidak sampai setengah jam dia menaiki motosikal ke sebuah pasar raya untuk membeli makanan anak bongsunya selepas mengadu lapar pada malam itu.
“Selepas selesai solat Maghrib, anak bongsu mengadu lapar menyebabkan saya mengambil keputusan keluar rumah membeli makanan.
'via Blog this'
Mayat budak hilang di ladang sawit
KUALA KANGSAR: Kanak-kanak berusia 11 tahun, Nur Shafiqa Ismail, yang dilaporkan hilang pada 16 September lalu, dijumpai mati dibunuh di kawasan ladang sawit Kampung Langkor, Kati, Kuala Kangsar, di sini, pagi tadi.
Mayat kanak-kanak itu ditemui pada jam 10.30 pagi oleh seorang pekerja ladang kelapa sawit itu yang kemudian memaklumkan kepada majikannya sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad, berkata mayat kanak-kanak malang itu ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan jerutan di leher.
“Ibu mangsa mengesahkan mayat itu ialah Nur Syafiqa ketika membuat pengecaman di tempat penemuan mayat itu di ladang berkenaan,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, mayat Nur Syafiqa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.
Pemilik ladang kelapa sawit berkenaan yang enggan identitinya disiarkan berkata, mayat itu ditemui seorang pekerjanya ketika mahu membersihkan ladang.
Ketika ditemui, katanya, mayat berkenaan berada di bawah tebing tanah berbukit di ladang itu dengan ditimbus daun kelapa sawit kering.
“Pekerja itu memberitahu perkara terbabit kepada saya sebelum kami melaporkan kepada polis,” katanya.
Nur Shafiqa yang tinggal bersama ibu saudaranya di Kampung Talang Masjid, Kuala Kangsar sejak awal Januari lalu selepas ibu bapanya berpisah.
'via Blog this'
Lebai acu pistol
KUALA TERENGGANU: Seorang timbalan pendakwa raya dan anak perempuannya berusia 14 tahun berdepan detik cemas apabila mereka diacu pistol oleh penjenayah yang memakai serban, kelmarin.
Lelaki lingkungan 50-an terbabit dikatakan mengacu senjata api berkenaan ketika dua beranak itu berada dalam kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail berhampiran Agrobank, di sini, jam 11 pagi.
Berikutan tindakan itu, lelaki terbabit kini diburu polis selepas mangsa, 39, melaporkan kejadian berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, jam 2 petang hari yang sama.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan ke farmasi dan berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau.
Beliau berkata, sebaik Naza Citra berwarna hitam dipandu mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan, secara tiba-tiba cermin pintu kereta sebelah pemandu diketuk seorang lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal.
“Mangsa yang terkejut dengan ketukan terbabit menoleh ke arah suspek yang kemudian mengambil pistol dari raga motosikalnya sebelum mengacukan senjata itu ke muka mangsa.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya tindakan suspek terbabit ada kaitan dengan tugas mangsa sebagai timbalan pendakwa raya.
“Jangan sesekali menakutkan pegawai kerajaan melalui apa cara sekalipun.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi IPD Kuala Terengganu di talian 09-6322222 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Malik Mehat di talian 019-4135595 atau 09-6322222 sambungan 2302,” katanya.
'via Blog this'
Kereta RM700,000 hangus sendiri
TAN Bing Kiong menunjukkan kereta BMW X6 terbakar dengan sendirinya dihadapan rumahnya di Jalan Bukit Meldrum. Foto: Zulkarnain Ahmad Tajuddin (26/09/2011) |
“Saya tidak berpuas hati dan akan membawa kes ini ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM),” kata pemilik BMW X6 yang terbakar di depan rumah kedainya, di Bukit Meldrum di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.15 pagi, Tan Bing Kiong, 53, pemilik syarikat pengangkutan hanya mampu melihat X6 yang dibeli pada Jun 2010 rentung dijilat api walaupun sebelum itu dia sudah berusaha memadamkan kebakaran.
Tan berkata, ketika kejadian dia tidur di tingkat atas rumah kedainya apabila seorang jiran datang mengetuk pintu memaklumkan perkara terbabit.
“Saya bergegas turun dan mendapati bahagian enjin kenderaan sedang dijilat api. Melihat api masih kecil, saya mendapatkan alat pemadam bagi memadamkan kebakaran.
“Malangnya, api merebak pantas dan menyambar keseluruhan X6 dalam tempoh beberapa minit,” katanya."
'via Blog this'
Cedera ditumbuk pengedar dadah
AMPANG: Akibat enggan menjual dadah, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dibelasah dua lelaki dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan di daerah ini, kelmarin.
Difahamkan, mangsa yang tidak bersekolah itu dipukul ketika dalam perjalanan ke sebuah kedai runcit berhampiran rumahnya di Taman Tasik Permai, di sini.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa disapa dua lelaki sebelum mengarahkannya menjual dadah dimiliki.
Menurutnya, mangsa enggan menjual kepada dua lelaki terbabit sebelum dipukul menggunakan kayu sehingga cedera di badan.
Mangsa yang ditinggalkan bersendirian melaporkan kejadian itu di balai polis berhampiran.
'via Blog this'
Sepi dalam sampah
26 SEPT 2011: Ng Chow Moi, 63, didapati menyimpan sampah sarap di dalam rumahnya semasa Operasi Rumah Kotor bersama pasukan MBSJ di Subang Jaya. - Utusan/MOHD AZIM ABD RAHMAN
PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas memiliki hobi pelik apabila sanggup menjadikan rumahnya sebagai tempat menyimpan pelbagai jenis sampah yang dikutip setiap hari selain makan dan tidur di situ sejak 10 tahun lalu.
Sehingga kini, wanita berusia 60-an itu hidup dikelilingi sampah-sarap seberat 24 tan dan hobinya itu dipercayai bermula selepas suaminya meninggal dunia menyebabkan dia ketandusan kasih sayang serta sunyi hidup bersendirian selepas anaknya tinggal berjauhan.
Ekoran sifat peliknya itu, jiran di kawasan sekitar itu membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) supaya mengambil tindakan berikutan tidak tahan dengan bau busuk dari rumahnya.
Ahli Majlis Zon 14 MBPJ, R Selvarajan berkata, bertindak selepas menerima aduan orang ramai, seramai 50 kakitangan MBPJ diketuai beliau sendiri ke rumah terbabit dan mendapati hampir setiap sudut kediaman berkenaan dipenuhi sampah.
“Ini kes pertama di kawasan ini. Agak mengejutkan melihat rumahnya yang dipenuhi pelbagai jenis botol, plastik, kayu dan pelbagai sampah-sarap lain.
“Lapan lori terpaksa digunakan untuk mengeluarkan sebanyak 24 tan sampah dari rumah terbabit selepas dibersihkan,” katanya selepas operasi berkenaan, semalam.
Menurutnya, setiap hari seawal jam 4 pagi, warga emas itu akan keluar mengayuh basikal untuk mengutip sampah sebelum membawa pulang pada sebelah malam.
“Tetapi, disebabkan dia hidup berseorangan dan tidak tahu berbuat apa-apa, dia bertindak sedemikian,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan merujuk wanita berkenaan di hospital bagi mengenal pasti sama ada dia mempunyai masalah mental atau tidak.
'via Blog this'
Ahmad Jais belum sedar
SHAH ALAM: “Ayah belum sedarkan diri dan doktor memantau rapi keadaannya. Kami adik-beradik bergilir-gilir menjaga dan mendoakan ayah cepat sembuh,” kata Maimun Mohd Jais, 31.
Anak keempat penyanyi penyanyi irama pop yeh yeh terkenal, Datuk Mohd Jais Ahmad atau lebih dikenali Ahmad Jais itu ketika dihubungi berkata, ayahnya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) di sini, sejak dimasukkan tengah malam kelmarin.
Ahmad Jais, 75, dimasukkan ke Unit Rawatan Separa Rapi DEMC awal pagi Sabtu lalu akibat sesak nafas sebelum dipindahkan ke ICU.
'via Blog this'
Kejutan dari Sabah
BINCANG...Lau (kanan) melihat surat saman DBKK yang diterima Yong (tengah), semalam. |
KUALA LUMPUR: “Saya tidak pernah memandu kereta ini di Sabah, tetapi mengapa boleh disaman, malah jika tidak menjelaskan saman itu dalam tempoh 14 hari, saya didenda RM5,000,” kata Yong Chon Heng, 30, yang mendakwa menjadi mangsa pihak tertentu disyaki menggunakan nombor pendaftaran sama dengan Nissan Cefiro miliknya.
Bukan saja nombor pendaftaran sama, malah jenis kenderaan serta warna kenderaan serupa.
Yong yang juga mekanik di sebuah bengkel di sini, berkata dia menerima surat saman daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bertarikh Jun lalu pada 14 September lalu yang menyatakan kesalahannya meletak kenderaannya di kawasan bukan dikhaskan untuk meletak kereta Februari lalu.
“Saya sudah membuat laporan polis pada 15 September lalu sejurus selepas menerima surat daripada DBKK,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) di sini, semalam.
Menurutnya, dia membeli kereta itu daripada kenalannya di Batu Caves.
Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam PGRM, Wilson Lau, berkata pihaknya akan mencari jalan penyelesaian bagi kes terbabit.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan, Nazri Osman, berkata pemilik terbabit perlu menyemak dengan teliti kepada DBKK sebelum tindakan lanjut dibuat. myMetro | Kejutan dari Sabah:
'via Blog this'
Strauss-Kahn bersemuka dengan Banon Tristane Khamis ini.
PARIS 27 Sept. - Bekas Pengarah Urusan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn akan dibawa bersemuka pada Khamis ini dengan penulis gadis muda Perancis yang menuduh beliau cuba merogolnya, lapor satu sumber rapat berkaitan siasatan.
Menurutnya, Strauss-Khan akan berdepan dengan Banon Tristane, 32, dalam satu suit temu bual di ibu pejabat jabatan siasatan jenayah polis di Paris sebagai sebahagian penyiasatan serangan pada tahun 2003.
Tambahnya, Tristane bersedia untuk menghadapi penyerangnya (Strauss) manakala peguam Strauss-Kahn pula berkata beliau kini sedang bertarung untuk membersihkan namanya atas dua dakwaan serangan seks. – AFP
'via Blog this'
Pesawat terhempas, 2 maut
MATARAM 27 Sept. - Sebuah helikopter disewa oleh syarikat Newmont Mining yang terletak di Amerika Syarikat, terhempas di tengah-tengah Indonesia dan membunuh sebanyak dua orang, lapor pegawai penyelamat hari ini.
Pesawat Bell 412 yang membawa dua penumpang termasuk juruterbang, hilang sejak semalam dan bangkai pesawat ditemui di wilayah barat Nusa Tenggara.
Menurut Ketua Penyelamat Wilayah, Ida Bagus Gde berkata juruterbang dan seorang penumpang terbunuh dalam kemalangan tersebut. – AFP
'via Blog this'
Serang gereja: Polis jumpa bom buatan sendiri
JAKARTA 27 Sept. - Polis Indonesia hari ini menemui sebutir bom buatan sendiri di bandar Ambon yang mempunyai sejarah keganasan mazhab, sehari selepas pengebom berani mati menyerang sebuah gereja yang penuh sesak di Jawa tengah.
Jurucakap polis, Anton Bachrul Alam berkata bahawa bom itu ditemui berhampiran sebuah gereja di Ambon dan sedang menyiasat berkenaan serangan berani mati di bandar Solo Jawa Tengah.
Tambahnya, setakat ini, seramai 15 saksi telah disoal berkaitan serangan itu. – AFP
'via Blog this'
Dadah RM20,883 di pusat hiburan
KUALA LUMPUR 26 Sept. - Polis merampas dadah pelbagai jenis termasuk pil ekstasi dan ketamin bernilai RM20,883 dalam serbuan di sebuah pusat di hiburan berhampiran Wisma YCL, Ahad lalu.
Dalam serbuan pukul 1.30 pagi itu, polis turut menahan empat lelaki dan seorang wanita dalam dua bilik berasingan di pusat hiburan tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, dalam serbuan di bilik pertama, pihaknya menahan seorang lelaki dan menemui dua bekas tin berisi dadah dan sejumlah wang tunai di bawah sebuah meja.
"Satu daripada tin berisi wang tunai dan satu lagi dadah jenis Eramin 5 dan ekstasi.
"Dalam serbuan di bilik kedua, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita dan merampas 319 biji pil ekstasi di dalam beg salah seorang mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohan berkata, pemeriksaan lanjut terhadap suspek wanita turut menemui lapan biji pil disyaki ekstasi dalam genggaman tangannya.
'via Blog this'
3kg syabu dirampas
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 26 Sept. – Polis berjaya menggagalkan satu lagi cubaan menyeludup masuk dadah syabu ke negara ini dengan menggunakan pelembap bibir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang di sini, pada 17 September lalu.
Cubaan kali ini melibatkan tiga kilogram dadah syabu bernilai RM750,000 yang dibawa oleh seorang pelajar kolej warga Nigeria berusia 27 tahun yang datang dengan penerbangan dari Doha, Qatar.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, semasa diperiksa, pelajar wanita berkenaan didapati membawa 25 kotak hadiah kecil di dalam beg tangannya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua kotak hadiah tersebut mengandungi 600 batang pelembap bibir yang setiap penutupnya diisi dengan serbuk syabu.
“Pelajar terbabit yang dipercayai dijadikan keldai dadah oleh sindiket antarabangsa ditahan reman sehingga 29 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata beliau kepada pemberita di Pusat Media Polis Selangor di sini hari ini.
Pada 15 September lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA turut menggagalkan cubaan sama menyeludup 1.5 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM375,000 yang disembunyikan dalam penutup pelembap bibir.
Thaiveegan berkata, dalam satu lagi tangkapan di KLIA pada Jumaat lalu, polis turut menahan seorang pelajar kolej swasta yang juga warga Nigeria kerana membawa dua kilogram dadah syabu bernilai RM500,000 di dalam beg pakaiannya.
Menurut Thaiveegan, pelajar wanita berusia 23 tahun itu ditahan sewaktu tiba di KLIA dengan penerbangan dari Doha, Qatar.
“Pelajar yang mengaku menuntut di salah sebuah kolej swasta di negara ini ditahan reman sehingga 1 Oktober ini bagi membantu siasatan.
“Pihak polis giat menjalankan operasi membanteras penyeludupan dadah ke negara ini dengan melakukan pemantauan rapi di KLIA,” katanya.
'via Blog this'
Jurujual gagalkan cubaan ragut
JOHOR BAHRU 26 Sept. - Seorang jurujual wanita nekad mengejar dan menendang motosikal ditunggang seorang lelaki yang meragut beg tangan miliknya menyebabkan suspek diberkas di Jalan Maju, Taman Pelangi, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 4.15 petang itu, mangsa, Cindy Tan, 52, dalam perjalanan ke sebuah kedai percetakan untuk menempah kad perniagaan dengan menaiki motosikal Yamaha Ego.
Katanya, tiba-tiba dia dihampiri sebuah motosikal Kawasaki KR150 dari arah belakang sebelum peragut berkenaan bertindak meragut beg tangannya yang diletakkan di bahagian letak kaki hadapan motosikal berkenaan.
"Saya terus kejar lelaki itu kira-kira 30 meter dan menendang dari tepi menyebabkan kami berdua terjatuh.
"Lepas itu saya terus bangun dan capai beg tangan saya dan lari ke dalam restoran berhampiran untuk mendapatkan bantuan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Cindy berkata, suspek yang cedera tidak dapat melarikan diri dan orang ramai yang melihat kejadian itu segera memberi bantuan sebelum menyerahkan lelaki tersebut kepada polis.
Katanya, kejadian ragut itu merupakan kali kedua menimpanya dengan kali pertama berlaku di Taman Megah Ria, dekat sini pada 2005.
"Dalam insiden pertama, suspek sudah ditangkap dan dijatuhi hukuman oleh mahkamah," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
"Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau," katanya.
'via Blog this'
Seorang maut lori rempuh rumah
pengarang@utusan.com.my
SIK 26 Sept. – Seorang terbunuh manakala tiga lagi cedera apabila sebuah lori pasir terbabas lalu melanggar dua kereta sebelum merempuh sebuah rumah di Jalan Bukit Tupai dekat Batu Lima, di sini hari ini.
Dalam kemalangan pukul 12.30 tengah hari itu, pemandu kereta, Abdul Rahman Jusoh, 56, yang berasal dari Kampung Bandar Hilir Mukim Teloi dekat sini meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya, Sarimah Wamin, 46, cedera ringan.
Pasangan tersebut dalam perjalanan pulang dari arah pekan Batu Lima apabila dirempuh lori yang datang bertentangan dari arah Parit Panjang.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zaidong Mustapha berkata, lori yang dipercayai dipandu laju itu, cuba mengelak sebuah kenderaan pikap yang membelok ke kiri jalan namun merempuh dan menyeret kereta mangsa.
“Lori tersebut seterusnya merempuh rumah milik warga emas, Maimunah Noh, 70, yang terletak kira-kira 15 meter dari jalan raya sehingga terperosok ke dalam ruang tamu dan bilik tidurnya,” katanya.
Katanya, pemandu lori berkenaan, Mat Ghazali Abdul Kadir, 46, dari Aman Jaya, Sungai Petani turut mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sik.
Selain itu, menurutnya, pemandu kenderaan pikap, Lim Eee How, 55, cedera di bahagian kepala.
Katanya, Maimunah pula bernasib baik kerana sempat lari menyelamatkan diri sebaik sahaja ternampak lori berkenaan meluru ke arah rumahnya.
Maimunah ketika ditemui bersyukur kerana terselamat daripada kejadian tersebut.
Katanya, semasa kejadian, dia sedang mengupas kelapa apabila terdengar bunyi dentuman kuat dan tiba-tiba ternampak lori pasir berkenaan menghala ke arahnya.
“Saya bingkas berundur untuk mengelak sebelum lori berkenaan merempuh rumah saya,” katanya.
“Mujurlah kejadian itu berlaku pada waktu siang kerana jika waktu malam, tiga cucu saya yang setiap malam tidur di bilik berkenaan mungkin menjadi mangsa rempuhan,” katanya.
'via Blog this'
Kesan titisan darah di ladang sawit
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 26 Sept. – Cebisan tulang dan gigi ditemui oleh pasukan forensik polis berhampiran pokok kelapa sawit di dalam Ladang Gadong, Banting, iaitu tempat Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi didakwa dibunuh dan dibakar pada 30 Ogos tahun lalu.
Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Supritendan Soo Me Tong yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, penemuan itu dibuat hasil panduan enam pakar patologi forensik dari tiga hospital yang mengetuai pencarian pada 14 September 2010.
Menurut saksi pendakwaan ke-48 itu, turut ditemui di lokasi yang sama adalah kepingan logam, sebatang kayu dan serpihan kayu terbakar, sehelai seluar dalam jenama Hush Puppies saiz M, seluar panjang jenama Snail Classic saiz M, cebisan kain guni dan stokin, sisa kebakaran berwarna biru, wayar hijau dan satu kod bar.
‘‘Enam doktor dari Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Melaka turut hadir. Peranan mereka untuk membantu mencari sisa-sisa tulang serta mengesahkan sama ada ia tulang atau bahan lain.
‘‘Pencarian dibahagikan kepada empat zon dan setiap satu zon diketuai oleh salah seorang daripada mereka. Satu cebisan tulang ditemui di zon B, dua cebisan di zon C dan lebih 15 cebisan tulang serta gigi ditemui di zon D,’’ katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani.
Dalam kes ini, N. Pathmanabhan, 42, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Menurut Me Tong, tempat yang dikatakan mayat-mayat mangsa dibakar itu ditutup dengan atap zink dan kayu-kayan, manakala permukaan atas tanah dipenuhi najis kambing semasa beliau dan pasukannya tiba di situ.
Selain membuat pencarian selepas mengalihkan kayu dan zink-zink tersebut, beliau turut melihat terdapat kesan-kesan layu pada pokok kelapa sawit berhampiran kawasan pembakaran itu.
Terdahulu, pegawai forensik polis itu memberitahu, beliau dan pasukannya turut menemui kesan-kesan titisan darah semasa membuat pemeriksaan dalam bangunan satu tingkat yang mempunyai lima bilik di dalam ladang tersebut pada 12 September 2010.
Di dalam bangunan tempat Sosilawati dan tiga lagi didakwa diikat, dipukul dan diserang itu, beliau turut menemui sebatang kayu kriket, satu tong berisi cecair bahan bakar, keratan wayar berwarna hijau dan dua puntung rokok.
Sementara enam kesan cap jari yang berjaya ditimbulkan ditemui pada almari, laci di dalam almari yang sama dan pada botol minuman Coca-Cola di dalam bilik ketiga.
Semasa pencarian itu dilakukan, beliau dan pasukannya mengikut pegawai penyiasat, Asisten Supritendan (ASP) Mohd. Ishak Yaakob dan pegawai soal siasat, Cif Inspektor N. Govindan sambil dipandu oleh dua tertuduh, Matan dan Kathavarayan serta seorang lagi pekerja ladang tersebut, U. Suresh.
‘‘Kesan titisan darah yang diuji dan disahkan positif darah itu ditemui di luar dinding bilik pertama, kedua, ketiga dan kelima, pada kusyen dan sarung kusyen di depan bilik kedua dan pada televisyen di depan bilik ketiga.
‘‘Sebatang kayu kriket dan dua puntung rokok ditemui di bilik ketiga, satu tong plastik berisi dua pertiga cecair bahan bakar serta beberapa keratan wayar hijau ditemui di bilik ke lima. Satu penyodok dijumpai di dalam pondok berhampiran bangunan itu,’’ katanya.
Jelasnya, setiap bahan bukti termasuk sampel tanah di kawasan itu ditanda oleh beliau sendiri dengan tandatangannya serta tarikh hari tersebut sebelum dimasukkan ke dalam sampul dan diserah kepada pegawai penyiasat kes pada hari yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-34 hari ini bersambung esok.
'via Blog this'
Suspek bunuh lelaki ditangkap
SUNGAI PETANI 26 Sept. - Polis berjaya menyelesaikan kes bunuh seorang lelaki di sebuah hotel, di sini minggu lalu selepas tertangkapnya tiga individu termasuk seorang wanita, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, suspek pertama yang merupakan wanita berusia 32 tahun ditahan di Pulau Pinang dan susulan itu dua lagi suspek berusia 28 dan 29 tahun turut ditahan di lokasi berasingan di negeri sama.
Katanya, pemeriksaan mendapati dua daripada suspek tidak mempunyai pekerjaan dan seorang lagi bekerja sebagai pengawal keselamatan. Kesemua mereka adalah warga tempatan.
"Selain itu, polis telah memeriksa kereta salah seorang suspek dan berjaya menemui sepucuk pistol jenis Beretta yang berisi tujuh butir peluru 9mm, sebilah pedang samurai, beberapa unit telefon bimbit, kad pengenalan dan beberapa pasport antarabangsa daripada suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Hashim Ali; Timbalannya, Supritendan Ong Aik Chang dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Supritendan Ricky Tey.
Mohd. Zakaria memberitahu, siasatan awal menunjukkan motif kejadian adalah cemburu.
"Mangsa dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan kekasih salah seorang suspek berkenaan. Ekoran rasa tidak puas hati tersebut, suspek membunuh mangsa," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pemeriksaan ke atas kereta jenis Peugeot 308 warna putih dan bernombor pendaftaran BBB 9999 itu mendapati ia adalah kenderaan yang dilaporkan dicuri di Sea Park, Petaling Jaya, pada 1 Ogos lalu.
"Dengan tertangkapnya suspek itu, kita percaya dapat selesaikan kes bunuh di hotel berkenaan dan juga kes curi kereta. Di samping itu, kita juga akan menyiasat lebih lanjut kemungkinan suspek terlibat dalam kes jenayah lain di sekitar Kedah, Pulau Pinang atau Lembah Kelang," jelasnya.
Tambahnya, suspek wanita itu ditahan reman sehingga 1 Oktober ini sementara dua lagi suspek direman sehingga 3 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian 20 September lalu, seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala selain tangan serta kakinya diikat di sebuah bilik hotel di Taman Sejati Indah, di sini.
Mayat Mohd. Nasir Ishak, 35, dari Kampung Padang Benggali, Teluk Air Tawar, Butterworth ditemui berlumuran darah di atas katil dalam bilik di tingkat tiga premis oleh kakitangan hotel pukul 1.30 petang.
'via Blog this'
Pelajar IPTA didakwa bunuh penuntut tahfiz
KUALA LUMPUR 26 Sept. - Seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, dekat sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pelajar perempuan maahad tahfiz, awal bulan ini.
Muhammad Khairi Nor Aziz, 19, yang hadir ke mahkamah dengan berkopiah dan berbaju kemeja-T warna coklat menganggukkan kepala tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kepadanya.
Pemuda itu didakwa membunuh Nurul Awathif Mohd. Shakir, 19, di rumahnya di No. B-119 Pangsapuri Sri Wira, Jalan Ukay Perdana 2, Taman Ukay Perdana, Ampang dekat sini antara pukul 9 malam, 4 September lalu dan pukul 2.15 pagi, 5 September lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Majistret Wan Karimah Wan Md. Ab. Ghani tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 8 November ini untuk pihak pendakwaan mengemukakan laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Menurut laporan akhbar sebelum ini, seorang pelajar yang mengambil jurusan sarjana muda ukur bahan di sebuah IPTA di Seri Iskandar, Perak telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang remaja perempuan rentung di kawasan semak di Kampung Lembah Jaya Utara, Bukit Belacan dekat sini.
Hasil siasatan polis kemudiannya mengesahkan tertuduh dan mangsa saling mengenali dan sebelum kejadian bunuh itu berlaku, tertuduh didakwa cuba memperkosa penuntut di Maahad Tahfiz At-Tijarah, Selayang itu selepas hajatnya untuk menyambung kembali hubungan percintaan mereka ditolak.
'via Blog this'
Kubur besar ditemui di Libya
TRIPOLI 26 Sept. - Kerajaan sementara Libya semalam mengumumkan penemuan sebuah kubur besar mengandungi mayat 1,270 banduan yang dibunuh oleh pasukan keselamatan Muammar Gaddafi dalam pembunuhan beramai-ramai di sebuah penjara di selatan Tripoli pada 1996.
Penemuan itu dilaporkan ketika pesawat pengebom Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membedil bandar Sirte untuk membuka laluan kepada tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menawan bandar kelahiran Gaddafi itu.
Namun, penyokong setia Gaddafi membuktikan mereka masih menjadi ancaman dengan menyerang pekan oasis Ghadames, dekat sempadan Algeria.
Kubur besar itu adalah bukti fizikal pertama ditemui setakat ini mengenai pembunuhan beramai-ramai di penjara Abu Salim, insiden yang disembunyikan selama bertahun-tahun yang mencetyskan dendam yang akhirnya membantu membawa kepada kejatuhan Gaddafi.
"Saya gembira revolusi ini berjaya dan negara kami akan menjadi lebih baik, tetapi apabila saya berdiri di sini, saya teringat dua saudara lelaki saya yang terbunuh," kata Sami al-Saadi, 45, yang percaya saudara lelakinya maut dalam pembunuhan beramai-ramai itu.
Menurut keterangan daripada banduan yang terselamat kepada pertubuhan hak asasi manusia, pengawal mengarahkan banduan beratur di pekarangan penjara Abu Salim pada 29 Jun 1996.
Pasukan keselamatan yang berdiri di atas bumbung penjara melepaskan tembakan ke arah banduan dengan raifal Kalashnikov sebelum menggunakan pistol pada jarak dekat untuk memastikan semua banduan itu sudah mati.
Pemberontakan yang membawa kepada kejatuhan Gaddafi dicetuskan oleh protes yang ada kaitan dengan pembunuhan di penjara Abu Salim itu.
Pada Februari lepas, keluarga kepada banduan yang dibunuh di sana mengadakan tunjuk perasaan di bandar Benghazi untuk menuntut peguam mereka dibebaskan. - Reuters
'via Blog this'