Tuesday, 11 October 2011

Gadis Bangun Dari Kubur Kisahkan Dia Telah Diperkosa Dan Ditanam Hidup-hidup



Seorang gadis berusia 10 tahun di Filipina berjaya keluar dari tanah kuburan setelah dia ditanam hidup-hidup oleh sepupunya sendiri yang juga telah memperkosanya.

Inspektor Roberto Ocumen, Ketua Polis Kota Magpet, Filipina menyatakan, gadis tersebut telah diperkosa dan kepalanya dipukul dengan sebuah benda keras sehingga pingsan lalu dikuburkan dalam keadaan tak sadarkan diri oleh sepupunya sendiri, Dennis Quilaton.

Gadis tersebut akhirnya tersadar dan mendapati dirinya sudah berada di bawah tanah. Beliau langsung cuba untuk melepaskan diri dari kuburan tersebut dan berjaya sampai ke rumah dengan bantuan tetangganya. Demikian seperti diberitakan Inquirer, Sabtu (8/10/2011).

Ayah dari gadis ini menyatakan, mengikut kisah dari anaknya, anaknya itu diculik oleh sepupunya sendiri pada minggu lalu. Anak perempuannya itu telah dipukul dengan benda keras dan dibawa ke kawasan berumput di rumahnya untuk diperkosa. Setelah itu, Quilaton mengkuburnya hidup-hidup dalam satu lubang yang cetek.

"Ajaibnya, dia sadar dan berjaya meloloskan diri dari kuburan tersebut serta berhasil meminta tolong penduduk sekitar," ujar ayah dari gadis malang itu.

Hingga saat ini, belum diketahui, berapa lama gadis itu berada di dalam kuburan yang digali oleh sepupunya sendiri

Sumber:Philippine Daily Inquirer/ANN-GB

Dibuli senior, tak basuh dulang makanan

KLUANG: Seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Agama (SMA) Arabiyah yang enggan membasuh dulang makanan dan pakaian empat pelajar senior, cedera di mata dan badan apabila dibelasah pelajar terbabit di belakang asram sekolah berkenaan Sabtu lalu.

Kumpulan pelajar itu yang sebelum ini memeras wang daripada Mohd Hafidzul Amsyar Nor Azman, mencederakan mangsa pada bahagian mata, kepala, kaki serta belakang badan dengan menumbuk dan terajang selain memukul menggunakan kasut bola dan payung dalam kejadian jam 1.30 tengah hari.
Mohd Hafidzul Amsyar berkata, sebelum kejadian itu beliau diberitahu rakan yang baru selesai makan tengah hari, sekumpulan pelajar senior mahu bertemunya di belakang asrama.
“Ketika bersemuka, seorang pelajar senior menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap saya, sebelum seorang lagi tiba-tiba menyepak belakang menyebabkan saya terjatuh.

“Selepas membelasah hingga tidak bermaya, mereka memasukkan saya ke dalam longkang yang ditutup beberapa minit sebelum dikeluarkan dan mengarahkan saya pulang mandi.

“Takut dengan perbuatan mereka, saya meninggalkan asrama dengan berjalan kaki setengah jam sebelum menaiki bas 30 kilometer dalam kesakitan," katanya di rumahnya dekat Kampung Sahari, Simpang Renggam semalam.

Katanya, sejurus sampai di rumah, mangsa mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Daerah Kluang serta membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Bapa mangsa, Nor Azman Sahari, 42, berkata, kesal dengan tindak tanduk pengurusan SMA Arabiyah yang seolah-olah tidak mengambil tanggungjawab terhadap kejadian menimpa anaknya.

“Setakat ini, empat pelajar terbabit bersama keluarga masing-masing ada mengunjungi kami memohon maaf mengenai kejadian yang berlaku, walaupun sepatutnya mereka datang bersama pengetua sekolah," katanya.

Sementara itu, Pengetua SMA Arabiyah, Mohd Kamal Mohd Said, ketika ditemui mengakui pihaknya sudah mengetahui kejadian itu dan akan mengambil tindakan disiplin terhadap empat pelajar yang sudah dikenal pasti itu tetapi menolak untuk membuang mereka dari sekolah itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamad, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Berita Harian Online | Dibuli senior, tak basuh dulang makanan:

'via Blog this'

Polis, tahanan maut nahas

NORZITA (kanan sekali) ditenteramkan rakan ketika di Unit Forensik Hospital Mersing.
NORZITA (kanan sekali) ditenteramkan rakan ketika di Unit Forensik Hospital Mersing.
Van bawa suspek kes dadah bertembung treler dalam hujan lebat

MERSING: Seorang anggota polis bersama suspek kes dadah yang diiringi maut, manakala rakan setugasnya dan seorang lagi tahanan parah apabila van dinaiki mereka bertembung treler di sini, petang semalam.
Dalam kemalangan jam 3 petang di Kilometer 13 Jalan Mersing-Endau itu, anggota Bahagian Narkotik Polis Mersing, Koperal Razli Setapa, bersama tahanannya yang identiti belum diperoleh, mati di tempat kejadian.
Rakan setugas mangsa yang juga pemandu van terbabit, Lans Koperal Nik Li Nik Hassan dan seorang lagi suspek parah, manakala pemandu treler dan kelindan yang bertembung dengan kenderaan mereka terselamat.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, ketika kejadian, dua anggota polis terbabit sedang dalam perjalanan membawa dua lelaki berkenaan dari Balai Polis Endau untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing.

“Ketika sampai di tempat kejadian dalam keadaan hujan lebat, van dinaiki dua anggota terbabit bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan yang hilang kawalan dan memasuki laluan mereka.

“Kita masih menyiasat punca sebenar kemalangan ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sementara mangsa yang cedera kini masih dalam rawatan di Hospital Mersing. Kami menyampaikan rasa simpati terhadap keluarga mangsa yang terbunuh dalam kemalangan ini," katanya, semalam.
Beliau berkata, jenazah mangsa yang terbunuh dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat dan pihaknya sedang berusaha mengesan waris suspek kes dadah yang turut terbunuh dalam kemalangan itu.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi Unit Forensik Hospital Mersing apabila rakan serta ahli keluarga termasuk isteri Razli, Norzita Abdul Rahman, menunggu untuk menuntut mayat suaminya. Suri rumah itu tidak dapat ditemui kerana terlalu sedih dan terkejut dengan kemalangan menimpa suaminya.

“Saya tak sangka, kegembiraan selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) petang ini, berakhir dengan khabar menyedihkan apabila ayah saya maut dalam kemalangan ketika menjalankan tugas," kata anak bongsu Razli, Noor Adi Fitri, 15.
Berita Harian Online | Polis, tahanan maut nahas:

'via Blog this'

Samseng belasah dalam ambulans

 KEADAAN Proton Wira  selepas diserang kumpulan remaja.
KEADAAN Proton Wira selepas diserang kumpulan remaja.
Kumpulan penunggang motosikal tak puas hati selepas terbabit kemalangan

MELAKA TENGAH: Seorang pemandu kereta cedera selepas diserang sekumpulan penunggang motosikal dipercayai mat rempit ketika berada di dalam ambulans di Hospital Melaka, sejurus dua rakan mereka terbabit dalam kemalangan dengan pemandu itu di Jalan Limbongan di sini, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 pagi dan lebih 20 remaja bermotosikal berusia lingkungan 20an turut berada di lokasi kejadian, namun belum dipastikan jumlah mereka yang terbabit dalam pergaduhan itu.
Pemandu terbabit turut tercedera, sebelum ambulans tiba membawa ketiga-tiga mangsa kemalangan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan. - Chuah Ghee Lye, Ketua Polis negeri
Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye, berkata siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, kumpulan remaja itu bergerak dalam kumpulan besar penunggang motosikal, manakala mangsa berusia 50 tahun dan menaiki Proton Wira dalam perjalanan dari arah Melaka Raya menuju ke Klebang.

Beliau berkata, sejurus kemalangan yang menyebabkan penunggang berusia 18 tahun dan pemboncengnya itu cedera, kumpulan remaja berkenaan dikatakan bertindak menyerang pemandu serta memecahkan semua cermin kereta.

"Pemandu terbabit turut tercedera, sebelum ambulans tiba membawa ketiga-tiga mangsa kemalangan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

"Dipercayai akibat tidak berpuas hati, kumpulan remaja disyaki rakan kepada penunggang motosikal itu mengekori ambulans hingga di hadapan bahagian kecemasan hospital, sebelum bertindak menyerang dan memukul pemandu berkenaan yang masih berada di dalam ambulans.
“Akibat kejadian itu, cermin bahagian belakang sebelah kiri ambulans pecah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Chuah berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian pergaduhan itu.

Katanya, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu menyebabkan kemalangan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 06-2842222 atau cawangan Trafik IPD di 06-2834139 bagi membantu siasatan," katanya.
Berita Harian Online | Samseng belasah dalam ambulans:

'via Blog this'

Kampung kaya bina hotel

HOTEL Longxi yang menjadi kebanggaan petani.
HOTEL Longxi yang menjadi kebanggaan petani.
Huaxi lancar penginapan mewah berharga RM1.4b

BEIJING: Kampung terkaya di China, Huaxi, melancarkan secara rasminya salah sebuah bangunan tertinggi di negara itu semalam, melambangkan simbol perkembangan ekonomi pesat kuasa Asia berkenaan.
Bangunan itu adalah Hotel Antarabangsa Longxi setinggi 328 meter dan menelan belanja AS$470 juta (RM1.4 bilion), kata pegawai di Huaxi.
Kejayaan kampung itu menjadi fokus kerajaan mengkaji pengalaman Huaxi. Hotel itu dijangka menempatkan ahli perniagaan yang terbabit dalam industri di kampung itu, pegawai yang mengkaji model Huaxi selain pelancong. - Pegawai, Kumpulan Huaxi
Ada kira-kira 10 bangunan lebih tinggi di China termasuk Pusat Kewangan Dunia Shanghai, ketiga tertinggi di dunia tetapi semuanya di bandar besar.

Huaxi masih dianggap sebagai kampung di wilayah Jiangsu di timur China di sebalik pembangunannya yang pesat dengan meliputi kampung berhampiran dan penduduknya bertambah kepada 50,000 daripada cuma 1,600 pada 1960-an.

Huaxi dihuni komuniti petani yang miskin satu ketika dulu tetapi tidak lagi selepas melalui pembaharuan ekonomi China sejak 30 tahun lalu.

Digelar ‘kampung model sosialis’, kemakmuran Huaxi berdasarkan aset kolektif isi rumah berdaftar yang mengumpul wang dalam industri seperti besi dan tekstil.
Sebahagian besar pendapatan isi rumah dilabur semula dalam projek seterusnya membolehkan perolehan diraih tanpa henti.

Menurut akhbar China Daily, 200 isi rumahnya adalah pemegang saham bangunan 74 tingkat, hotel lima bintang, setiap satunya memberi modal 10 juta yuan (RM4.6 juta) untuk projek itu.

“Bangunan ini adalah simbol usaha sama,” lapor akhbar itu yang memetik Timbalan Setiausaha Parti Komunis Huaxi, Zhou Li, sebagai berkata.

Bagaimanapun, ada pengkritik mengecamnya kerana berpendapat ia menjadi simbol kapitalis di sebuah negara komunis.

Kumpulan Huaxi, perbadanan yang menguruskan perniagaan di kampung itu, memiliki 2,000 pemegang saham yang semuanya penduduk berdaftar. penduduk tidak berdaftar tidak dibenarkan menjadi pemegang saham, walaupun bekerja di situ.

Menurut pegawai, kejayaan kampung itu menjadi fokus kerajaan mengkaji pengalaman Huaxi. Hotel berkenaan dijangka menempatkan ahli perniagaan yang terbabit dalam industri di kampung itu, pegawai yang datang untuk mengkaji model Huaxi selain pelancong.

Bangunan berkenaan turut mempunyai restoran berputar, kolam mandi di atas bumbung, pusat beli- belah, teater, spa dan patung lembu jantan dihasilkan daripada satu tan emas di tingkat 60. – AFP
Berita Harian Online | Kampung kaya bina hotel:

'via Blog this'

Mesir haramkan slogan undi berunsur agama

PADERI Kristian Koptik dan beberapa penduduk memeriksa mayat penunjuk perasaan yang terbunuh selepas bertempur dengan askar dan polis pencegah rusuhan di Kaherah, semalam.
PADERI Kristian Koptik dan beberapa penduduk memeriksa mayat penunjuk perasaan yang terbunuh selepas bertempur dengan askar dan polis pencegah rusuhan di Kaherah, semalam.
KAHERAH: Majlis Tentera yang memerintah Mesir meminda peraturan pilihan raya dengan melarang penggunaan slogan berunsur agama yang dipercayai bertujuan memaksa pertubuhan Ikhwanul Muslimim mengkaji semula penggunaan frasa tradisinya ketika berkempen, iaitu 'Islam adalah penyelesaian.'

Keputusan itu menyusuli pertempuran antara penduduk Kristian dengan anggota keselamatan menyebabkan 24 maut dan lebih 200 lagi cedera, kekacauan terburuk selepas bekas pemimpin, Hosni Mubarak digulingkan, Februari lalu.
Penduduk Kristian meliputi 10 peratus daripada 80 juta warga negara Mesir, menyalahkan Majlis Tentera kerana terlalu berlembut, walaupun serangan anti-Kristian berlaku beberapa kali sejak Mubarak digulingkan.
Ketika pemerintahan Mubarak, Ikhwanul Muslimin diharamkan, tetapi kini mahu meletakkan calon sebagai ‘bebas’, yang boleh dikenal pasti menerusi poster dengan slogan berkenaan.

Ramai ahli politik liberal dan rakyat Mesir bimbang dengan peningkatan pengaruh pertubuhan berkenaan sejak kebangkitan rakyat sehingga menyingkirkan Mubarak yang memaksa ia meredakan kebimbangan itu dengan berkata, ia mahukan demokrasi tulen dan tidak akan melaksanakan undang-undang Islam.

“Kempen pilihan raya berdasarkan penggunaan slogan berunsur agama atau perkauman atau jantina diharamkan,” menurut perintah kuasa majlis tentera yang dikeluarkan Sabtu lalu, menambah sesiapa yang melanggar peraturan itu berdepan hukuman penjara tiga bulan dan denda.

Jawatankuasa pilihan raya terdahulu berkata, parti Kebebasan dan Keadilan pertubuhan itu tidak boleh menggunakan slogan sedia ada, memaksa sebahagian ahlinya mendesak ia dibenarkan.
Bagaimanapun, pegawai Ikhwanul Muslimin menerima perintah itu. – Agensi
Berita Harian Online | Mesir haramkan slogan undi berunsur agama:

'via Blog this'

Taliban Pakistan mahu damai

caption image
caption image
Perdana Menteri sedia berunding dengan militan akhiri siri keganasan

ISLAMABAD: Pergerakan Taliban Pakistan, ancaman terbesar negara itu, menyatakan kesediaan mengadakan rundingan damai dengan kerajaan, lapor akhbar di sini, semalam.
Kumpulan itu memberi reaksi kepada laporan selepas pertemuan semua parti yang dihadiri pegawai atasan tentera dan perisikan bulan lalu bahawa pegawai kerajaan mahu berdamai dengan militan untuk menamatkan keganasan.
Majlis syura akan menentukan sama ada dan bila kami boleh mengadakan rundingan kerajaan dengan tentera. - Yusuf Raza Gilani, Perdana Menteri Pakistan
Perdana Menteri Pakistan, Yusuf Raza Gilani, dipetik akhbar sebagai berkata bahawa kerajaan juga sedia mengadakan rundingan damai.

“Majlis syura akan menentukan sama ada dan bila kami boleh mengadakan rundingan kerajaan dengan tentera mengenainya. Namun saya berasa kami mahu membabitkan negara yang kami percaya, ia berada di dunia Arab. Arab Saudi,” lapor akhbar Express Tribune yang memetik Timbalan Ketua Taliban Pakistan, Maulvi Wali-ur-Rehman Mehsud, sebagai berkata.

Tehrik-e-Taliban Pakistan atau Pergerakan Taliban Pakistan (TTP), yang juga mempunyai hubungan rapat dengan al-Qaeda, ditubuhkan pada Disember 2007 sebagai sekutu kumpulan militan Pakistan yang melancarkan serangan di negara itu.

Ia dipersalahkan ke atas banyak serangan bom bunuh diri di seluruh Pakistan. Beberapa tindakan ketenteraan ke atas kubu kuat kumpulan itu di sempadan Afghanistan gagal melemahkan kempennya.
Beribu-ribu askar Pakistan, polis dan penduduk awam maut dalam konflik itu.

“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang tawaran damai secara langsung. Majlis syura kami akan duduk berbincang jika ada yang cuba menemui kami. Itu cara kami beroperasi. Tiada satu badan pusat yang membuat keputusan penting,” lapor akhbar berkenaan memetik Mehsud berkata dalam laman webnya.

Sebarang perubahan ke arah perpaduan dengan TTP pasti membangkitkan kemarahan Washington. Tahun lalu, Amerika Syarikat memasukkan TTP ke dalam senarai pertubuhan pengganas asing dan menawarkan ganjaran bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan dua pemimpinnya.

Hubungan Islamabad dan Washington tegang berikutan tindakan Amerika melancarkan serangan sehingga mengorbankan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, Mei lalu, manakala Washington menuduh Islamabad menyokong militan yang menyerang tenteranya di Afghanistan.

TTP turut bercita-cita melancarkan serangan ke atas sasaran Barat di luar negara. Kumpulan berkenaan mendakwa bertanggungjawab atas serangan bom di Times Square di New York yang gagal tahun lalu dan dilihat sebagai ancaman secara langsung kepada Amerika.

Pendakwa Amerika menuduh pemimpin TTP, Hakimullah Mehsud, atas rancangan membunuh tujuh kakitangan Agensi Perisikan Pusat (CIA) di pangkalan Amerika di Afghanistan pada 2009. – Reuters
Berita Harian Online | Taliban Pakistan mahu damai:

'via Blog this'

Kapal persiaran mewah terbakar

Berita Harian Online | Kapal persiaran mewah terbakar: "LANGKAWI: Sebuah kapal persiaran mewah berharga lebih RM18 juta yang sedang dibaik pulih di limbungan Boustead Yachts Langkawi (BYL) di Bukit Malut, di sini, terbakar malam kelmarin.

Kebakaran kapal mewah dua tingkat itu memaksa 53 anggota bomba berkampung di tempat kejadian 10 jam bagi memastikan api tidak merebak ke kapal lain, sekali gus mengelak kejadian lebih buruk.
Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Langkawi, Mohd Yunus Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.06 malam.
Katanya, tiga jentera dan dua kenderaan pacuan empat roda daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Ayer Hangat bersama 53 anggota bergegas ke lokasi kebakaran dan tiba pada jam 8.21 malam.

“Api yang dikesan bermula di bahagian belakang kapal berhampiran bilik enjin berjaya dikawal daripada merebak dalam tempoh dua jam dan sejurus itu kapal itu diselubungi asap sebelum padam sepenuhnya pada 7.30 pagi tadi (semalam).

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala jumlah sebenar kerugian dan puncanya masih dalam siasatan," katanya. "

'via Blog this'

Muka matador robek ditanduk lembu

PADILLA yang terjatuh ditanduk lembu dalam gelanggang di Zaragoza, Sepanyol.
PADILLA yang terjatuh ditanduk lembu dalam gelanggang di Zaragoza, Sepanyol.
PADILLA.
PADILLA.

ZARAGOZA: Gambar menunjukkan seorang matador ditanduk seekor lembu jantan menyebabkan dia mengalami kecederaan teruk pada mukanya.

Tanduk haiwan seberat 679 kilogram itu menembusi muka Juan Jose Padilla, dari rahang bawah hingga ke lesung matanya dan timbul di sebelah biji matanya yang tersembul.


Lebih 20,000 penonton melihat kejadian ngeri itu sambil lembu berkenaan mengangkat naik Padilla dengan tanduknya yang tersangkut pada muka matador itu.

Kejadian berlaku selepas Padilla tergelincir ketika melakukan persembahan di gelanggang di Zaragoza, Sepanyol.


Dia dikejarkan ke hospital dengan mukanya berlumuran darah sambil dia meraung: “Saya tidak boleh melihat. Saya tidak nampak apa-apa.” Padilla, 39, menjalani pembedahan selama lima jam selepas cedera teruk pada mata, tulang, otot dan kulit muka.


Doktor, Simon Sanz dan Nadal Cristobal berkata, pakar bedah menggunakan kepingan titanium dan jejaring untuk membentuk semula muka matador itu.

Pembantu gelanggang, Vincente Yesteras berkata, Padilla bernasib baik kerana tanduk lembu itu tidak menembusi otaknya. - DM

myMetro | Muka matador robek ditanduk lembu:

'via Blog this'

Menara Big Ben makin condong

KECONDONGAN menara terkenal di London ini boleh dilihat dengan mata kasar.
KECONDONGAN menara terkenal di London ini boleh dilihat dengan mata kasar.

LONDON: Kebimbangan mengenai kestabilan menara Big Ben semakin meningkat apabila ia semakin condong.

Puncak menara jam itu condong setengah meter daripada sudut tegak, menurut ahli kajiukur dan kecondongan itu semakin teruk setiap tahun.


Menara di Westminster itu yang menempatkan loceng gergasi yang dikenali sebagai Big Ben semakin mendap ke dalam tebing Sungai Thames akibat kerja menggali bawah tanah.

Kerja menggali di bawah menara itu termasuk membina stesen rangkaian kereta api Jubilee, medan parkir dan pembetungan.


Kecondongannya sebanyak 0.26 darjah dikatakan boleh dilihat dengan mata kasar dan jika tidak dibaiki ia boleh menyebabkan menara itu tumbang.


Namun, pada kadar sekarang, ia mungkin mengambil masa sehingga 4,000 tahun sebelum menara itu condong sama seperti Menara Condong Pisa yang sengit sebanyak empat darjah dan kira-kira empat meter daripada sudut tegak.

Profesor di Kolej Imperial, John Burland berkata: “Saya tidak fikir kita perlu melakukan sesuatu dalam masa beberapa tahun ini.” Jika menara Big Ben itu tumbang, ia akan menghempap pejabat anggota Parlimen yang terletak berhampiran. Ketika ini, menara jam itu terbenam lebih cepat di utara bangunan setinggi 105 meter itu. - DM

myMetro | Menara Big Ben makin condong:

'via Blog this'

17 tentera NTC terbunuh di Bani Walid

myMetro | 17 tentera NTC terbunuh di Bani Walid: "TRIPOLI: Tujuh belas tentera rejim baru Libya terbunuh dan 50 cedera dalam pertempuran dengan penyokong Muammar Gaddafi di Bani Walid.

“Tujuh belas pejuang kami terbunuh dalam pertempuran sengit semalam dan kami terpaksa berundur dari lapangan terbang yang dikuasai musuh,” kata Salem Gheith, Ketua Markas Pemerintah Tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).


Jurucakap tentera rejim baru Libya juga berkata, tentera NTC turut berundur dari kedudukan mereka di bandar padang pasir itu yang terletak 170 kilometer ke tenggara Tripoli, yang mereka sifatkan sebagai pengunduran taktikal.

Ketua pemerintah tentera NTC di wilayah berkenaan, Yunes Mussa mengumumkan kejayaan menawan lapangan terbang itu kelmarin sebelum penyokong Gaddafi melancarkan serangan besar-besaran untuk menawannya semula. - AP"

'via Blog this'

2 suspek kes bunuh kontraktor ditahan

myMetro | 2 suspek kes bunuh kontraktor ditahan: "KOTA BHARU: Dua lelaki berusia 31 dan 35 tahun disyaki terbabit dengan kes pembunuhan seorang kontraktor ditemui mati di sebuah kebun pisang berdekatan Kampung Kubang Palas, Binjai, di sini, 4 Oktober lalu, ditahan polis petang kelmarin.

Lelaki terbabit ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan sebaik menerima maklumat, di sekitar Kota Bharu, kira-kira jam 5 petang.


Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, siasatan awal kejadian pembunuhan itu disyaki berpunca daripada masalah hutang dan dua lelaki terbabit dipercayai diupah pihak tertentu untuk mengutip hutang sebelum membunuh mangsa.

Katanya, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan lanjut masih dilakukan.


“Berhubung kes itu juga, kami juga mengesan tiga lagi disyaki terbabit bagi membantu siasatan.


“Setakat ini, kami sudah mengenal pasti mereka dan tangkapan akan dilakukan pada bila-bila masa,” katanya pada sidang media di ibupejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini, semalam.

Menurut Mazlan, pihaknya turut merampas tiga kereta disyaki terbabit dalam kejadian itu iaitu jenis Atos, Proton Perdana dan Proton Wira di Kota Bharu dan Jerteh, Terengganu."

'via Blog this'

Culik sebelum solat Jumaat

KULAIJAYA: “Saya terkejut apabila diacukan pistol di bahagian perut sebaik keluar dari kereta di pekarangan Masjid Bandar Putra di sini, Jumaat lalu.

“Ketika itu, saya terbayangkan wajah isteri dan anak sebelum lelaki itu mengarahkan saya duduk di tempat duduk belakang, manakala lelaki berkenaan dan dua rakannya memandu kereta keluar dari pekarangan masjid tanpa menghiraukan jemaah lain,” kata mangsa culik selama empat jam hanya mahu dikenali sebagai Faizal, 51, semalam.


Menceritakan detik mencemaskan itu, Faizal berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 1 tengah hari Jumaat lalu, ketika dia dan anak lelakinya berusia 14 tahun menuju ke masjid berhampiran pusat beli-belah IOI Mall di sini, untuk mengerjakan solat Jumaat.

Katanya, selepas menurunkan anak, dia terus mencari tempat meletak keretanya dan sebaik keluar dari kenderaannya, dia didatangi tiga suspek dengan seorang bersenjatakan pistol.


“Lelaki itu terus mengacu pistol ke perut saya dan tidak menghiraukan jemaah masjid dan orang ramai menyaksikan kejadian. Saya dipaksa masuk di tempat duduk belakang kereta BMW X5 saya.


“Suspek kemudian memandu kereta saya menuju ke kawasan ladang kelapa sawit di Gelang Patah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, ketika menuju ladang sawit itu kereta dipandu suspek melanggar kenderaan pacuan empat roda berhampiran bandar Kulai kerana dipandu dalam keadaan melulu dan berbahaya.


Menurutnya, selepas hampir sejam dalam ladang berkenaan kumpulan penculik warga Indonesia itu kemudian menutup matanya menggunakan kain sebelum terdengar perbualan menyatakan ‘bos’ sudah tiba. Ketika itu, katanya, dia berdepan detik mencemaskan hampir empat jam dengan macam-macam kejadian tidak diingini mula bermain di fikirannya kerana bukan saja diacu pistol di perut, malah disembunyikan di sebuah ladang kelapa sawit untuk dipertemukan dengan ketua geng culik itu.

“Kemudian saya mendengar suara lelaki dipercayai warga tempatan mendakwa saya orang kaya, memiliki beberapa stesen minyak dan memaksa saya menghubungi isteri mendapatkan wang tebusan.


“Lelaki itu memberitahu jika mahu selamat, saya perlu memberikannya wang tanpa menetapkan jumlah bayaran yang dimahukan.


“Tanpa berfikir panjang, saya menelefon isteri saya yang juga pengusaha sebuah stesen minyak di Lebuhraya Pasir Gudang bagi menyediakan wang sejumlah RM25,000,” katanya.


Menurutnya, ketika berbual lelaki berkenaan merampas telefon dan berbincang dengan isterinya berhubung lokasi pertemuan bagi menyerahkan wang tebusan.


“Pada mulanya, suspek meminta isteri saya menunggu di stesen minyak di Lebuhraya Pasir Gudang sebelum menukar lokasi pertemuan di Taman Perling dan akhirnya, meminta isteri memberhentikan kenderaan dan menunggu di susur keluar Kempas Lebuhraya Utara-Selatan,” katanya.


“Suspek kemudian memasuki kereta dipandu isteri, sebelum memandu kenderaan berkenaan bersama wang tebusan sebanyak RM25,000 berserta isteri menuju ke sebuah ladang sawit di Seelong.


“Selepas memastikan wang tebusan, suspek kemudian menyuruh isteri menoleh ke belakang sebelum membawa lari kereta BMW 5 Series bernilai RM140,000 bersama wang berkenaan, meninggalkan isteri di ladang berkenaan berseorangan,” katanya.


Menurutnya, selepas suspek menerima wang tebusan itu dia dibebaskan di sebuah kampung berhampiran Seelong, kira-kira empat jam kemudian tanpa sebarang kecederaan dan membuat laporan polis di Balai Polis Kulai.

myMetro | Culik sebelum solat Jumaat:

'via Blog this'

Jiran selamat 2 beradik menangis ketakutan

ALOR SETAR: Kesengsaraan dua beradik dipercayai sering didera ibu tirinya berakhir apabila jiran mereka memaklumkan kepada polis selepas melihat mangsa yang trauma menangis ketakutan.

Dalam kejadian jam 10 pagi Sabtu lalu di Jalan Tandop-Sungai Petani, di sini, kedua-dua mangsa berusia lapan dan lima tahun dipercayai ditampar pipi, dihentak kepala ke dinding, dicubit serta diconteng belakang badan dengan pen oleh ibu tiri mereka.


Difahamkan, suspek berusia 21 tahun yang sedang sarat mengandung tujuh bulan bertindak sedemikian apabila berang dengan perangai dua anak tirinya yang nakal.

Ketika kejadian itu, bapa mangsa berusia 30-an tiada di rumah kerana bekerja dan disedari jiran selepas mendengar kanak-kanak terbabit sering menangis dan menjerit akibat dipukul.


Jiran membawa kanak-kanak itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kerana mangsa ditinggalkan ibu bapa mereka sebelum anggota polis membawa dua beradik terbabit ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk pemeriksaan kesihatan.


Sumber berkata, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun manakala adik lelakinya berusia lima tahun dipercayai sering didera sejak seminggu lalu oleh ibu tiri ketika ketiadaan bapa mereka di rumah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.


“Kita sedang menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kanak-kanak terbabit kini diletakkan di bawah jagaan JKM,” katanya.

myMetro | Jiran selamat 2 beradik menangis ketakutan:

'via Blog this'

Warga emas ‘mandi’ petrol

IPOH: Seorang lelaki warga emas jalan mundar-mandir sambil termenung gelisah hampir empat jam sebelum bertindak nekad ‘mandi’ dengan petrol dan membakar tubuhnya hingga rentung.

Mangsa berusia 68 tahun itu dilihat murung di tepi jalan berhampiran Seksyen 18, Jalan Pasir Puteh, di sini, dipercayai memikirkan cara untuk membunuh diri akibat dibelenggu masalah peribadi. Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang semalam, warga emas, Chong Nam Choon berasal dari Hala Pengkalan Timur, Taman Pasir Puteh di sini, mati dengan hampir 50 peratus tubuhnya rentung. Saksi kejadian, K Lasar, 42, berkata ketika itu, dia menjalankan kerja membaiki jalan berhampiran tempat kejadian sebelum terlihat objek seakan-akan ‘bebola api’ di tepi jalan kira-kira 100 meter dari tempat dia bekerja.


Menurutnya, sebaik mendekati objek berkenaan, dia terkejut apabila mendapati seorang lelaki warga emas tertiarap di tepi jalan dengan tubuhnya hampir rentung dijilat api.

“Saya cuba menyelamatkan mangsa dengan memadamkan api menggunakan pakaian, namun sudah terlambat sebelum mangsa mati.


“Ketika ditemui, mangsa tidak menjerit meminta tolong sebaliknya mengerang kesakitan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan kejadian itu dan mengesan ahli keluarga mangsa.


“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat. Kami masih menyiasat motif kejadian dan mengesahkan kes berkenaan sebagai mati mengejut,” katanya.

myMetro | Warga emas ‘mandi’ petrol:

'via Blog this'

2 pengawal direman

myMetro | 2 pengawal direman: "SHAH ALAM: Dua pengawal keselamatan direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes tiga lelaki termasuk dua yang menyamar memakai seragam kakitangan syarikat keselamatan melarikan RM400,000 untuk mesin juruwang automatik (ATM) di stesen minyak di Bukit Jelutong, di sini, tengah hari, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob ketika dihubungi berkata, dua lelaki terbabit ditahan jam 3 petang selepas membuat laporan kejadian di Balai Polis Kampung Melayu Subang pada hari kejadian.


Menurutnya, siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun berkawan. “Polis masih memburu tiga suspek yang terbabit kejadian itu termasuk dua yang menyamar pengawal keselamatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam."

'via Blog this'

| Siswi dicabul

myMetro | Siswi dicabul: "PETALING JAYA: Niat seorang pelajar perempuan sebuah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) mahu mencari duit lebih dengan menyebarkan poster di kawasan perumahan bertukar pengalaman menakutkan apabila dia dicabul seorang lelaki kononnya mahu bertanyakan arah di Jalan 17/33, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa yang berusia 21 tahun mengagihkan poster berkenaan dari rumah ke rumah, dia didatangi seorang lelaki berusia 20-an yang menaiki motosikal untuk bertanyakan arah ke sebuah bank.


“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa menunjukkan arah sebelum suspek mengucapkan terima kasih.

“Suspek menghulurkan tangan seperti mahu bersalam, bagaimanapun tanpa diduga, dia mencapai bahagian dada mangsa lalu meramas buah dadanya sambil tersenyum,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian."

'via Blog this'

| Operasi mencari dihenti

myMetro | Operasi mencari dihenti: "BANTING: Pihak berkuasa kelmarin menghentikan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja Orang Asli, Nizam Roslan, 14, yang dikhuatiri lemas apabila bot yang dinaiki bersama bapanya terbalik akibat dipukul ombak, 20 batu nautika dari jeti Kampung Sungai Kurau, di sini, 6 Oktober lalu.

Ketua Balai Polis Teluk Panglima Garang, Sub Inspektor Mohamad@Zulkiflee Mohd Amin ketika dihubungi, berkata operasi itu dihentikan selepas menemui jalan buntu dan gagal menjejaki remaja itu. Menurutnya, keadaan cuaca buruk menyukarkan pihak berkuasa melakukan operasi sejak hari kejadian."

'via Blog this'

Tebuk kedai emas

KUALA SELANGOR: Dua penjenayah bukan saja memanjat siling sebuah pasar raya, di sini, malah berani mengambil masa hingga lebih lima jam menebuk dinding sebuah kedai emas dan peti besi sebelum melarikan barang kemas bernilai lebih RM500,000.

Pelakuan penjenayah lelaki berusia 25 hingga 30-an terbabit dirakamkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya berkenaan.


Rakaman menunjukkan dua suspek menceroboh pasar raya itu bermula jam 12.05 tengah malam Sabtu lalu sebelum menggerudi dinding kedai emas berkenaan dan keluar membawa beg berisi barang kemas yang dicuri jam 5.29 pagi, kelmarin.

Sumber polis berkata, pada mulanya dua suspek itu memanjat siling pasar raya berkenaan sebelum menceroboh masuk ke sebuah butik.


“Butik berkenaan terletak bersebelahan kedai emas berkenaan. Suspek yang membawa beg berisi mesin gerudi menggunakan alatan itu untuk menebuk dinding yang tepat menembusi di kedudukan peti besi kedai emas itu.


“Suspek mengambil masa agak lama sebelum peti besi itu ditebuk dan melarikan barang kemas,” katanya.

Menurutnya, mungkin akibat keletihan suspek melarikan diri membawa barangan berharga itu dengan meninggalkan alatan penebuk berkenaan di tempat kejadian.


Kejadian, katanya, disedari pekerja pasar raya ketika mahu memulakan tugas jam 8 pagi kelmarin sebelum terlihat dinding itu ditebuk. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes berkenaan setakat ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk bangunan pada waktu malam.

Menurutnya, polis melancarkan gerakan memburu bagi memastikan suspek terbabit diberkas.

myMetro | Tebuk kedai emas:

'via Blog this'

Drebar nyaris maut ditembak peragut

SIASAT...anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam.
SIASAT...anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam.

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu berusia 25 tahun nyaris maut apabila dia ditembak di leher kirinya dalam kejadian ragut, semalam.

Difahamkan, mangsa mahu menghantar majikannya yang juga doktor Klinik Kita, Wangsa Maju, di sini, pulang selepas tamat waktu kerja.


Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa, Farid menyandang sebuah beg sebelum dia dihampiri seorang lelaki berusia 20-an dan meragut begnya.

  • Foto

    KESAN...tompokan darah mangsa di tempat kejadian.

  • Foto

    PERIKSA...anggota polis menyiasat di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek terbabit bergelut beberapa minit sebelum suspek melepaskan tembakan dari jarak dekat dan terkena kiri leher mangsa.


“Akibat tembakan itu, mangsa rebah dan suspek melarikan diri dengan beg mangsa ke arah seorang lagi rakan suspek yang menunggang motosikal tidak jauh dari tempat kejadian.


“Beberapa kakitangan klinik berkenaan yang menyedari kejadian itu keluar dan menghulurkan bantuan kepada mangsa sebelum ambulans tiba,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.


Katanya, suspek melarikan diri ke Jalan Wangsa Maju dengan menaiki sebuah motosikal dipercayai Yamaha 125Z.

Zakaria berkata, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

myMetro | Drebar nyaris maut ditembak peragut:

'via Blog this'

Benci melampau

KUCHING: Akibat tidak sebulu dengan pegawai bawahannya, seorang guru besar sekolah rendah di sini, didakwa menyalahgunakan kuasa dengan menceroboh sistem maklumat peribadi empat guru lain semata-mata mahu mengisi borang bagi membolehkan keempat-empat guru terbabit dipindahkan.

Perbuatan tanpa diketahui keempat-empat guru terbabit dipercayai bermula apabila guru besar berusia 53 tahun itu dikatakan memasukkan maklumat palsu dalam borang e-G (penukaran guru) selepas dikatakan mengarahkan guru yang bertugas di bahagian pangkalan data menukarkan kata laluan serta ID pengguna sistem maklumat peribadi mereka.

Kejadian berlaku sejak April lalu hanya diketahui seminggu kemudian selepas seorang daripada guru terbabit gagal memasuki sistem berkenaan.

Seorang guru terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Shiela, 36, berkata, guru besar itu dikatakan tidak menyukainya kerana dia gagal menghadiri tiga aktiviti sekolah pada Disember tahun lalu atas sebab tertentu.


“Guru besar memaki saya dalam mesyuarat hanya kerana tidak dapat hadir dalam tiga aktiviti berkenaan. Saya tidak pernah menyangka masalah itu menjadi punca dia tidak menyukai saya sehingga sanggup mengisi borang pindah sekolah tanpa pengetahuan,” katanya yang sudah sembilan tahun bertugas di sekolah rendah berkenaan.

myMetro | Benci melampau:

'via Blog this'

| Khalwat ibu tunggal

myMetro | Khalwat ibu tunggal: "MELAKA: Niat bapa tiga anak mahu melepas rindu bersama kekasih gelapnya membawa padah, apabila dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di sebuah rumah di Taman Seri Bertam, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.50 malam, lelaki berusia 34 tahun itu dicekup bersama ibu tunggal anak satu, berusia 30 tahun di rumah sewa wanita berkenaan.


Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata pihaknya melakukan serbuan dan sebaik tiba di rumah dikenal pasti, penguat kuasa memberi salam sebelum pintu dibuka seorang lelaki.

“Soal siasat mendapati pasangan terbabit bukan mahram. Mereka ditahan untuk siasatan lanjut kerana bersekediaman,” katanya, di sini, semalam."

'via Blog this'

Juruteknik ancam bunuh isteri boros

KAJANG: Berang isterinya sering membazir wang perbelanjaan diberikan dengan membeli pelbagai barang dan digunakan untuk perkara tidak berfaedah, seorang juruteknik penyaman udara mengugut membunuh isterinya di rumah mereka di Batu 11, Cheras, Sabtu lalu.

Lebih malang, wanita berusia 32 tahun itu bukan saja diugut, malah suaminya mencederakan pergelangan tangan dan beberapa bahagian badannya menggunakan parang sebelum melarikan diri.


Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 10 malam apabila suspek yang berusia 35 tahun mempersoalkan tindakan mangsa kerana sering menghabiskan wang perbelanjaan diberikan setiap bulan walaupun sudah diberi peringatan beberapa kali supaya menyimpan wang berkenaan.

Bagaimanapun, perbincangan tiba-tiba bertukar tegang apabila suspek tidak dapat menahan kemarahannya sebelum mengugut untuk membunuh mangsa yang juga seorang suri rumah.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, bimbang suspek bertindak sedemikian, mangsa segera menghubungi polis bagi menghalang perbuatan kejam suaminya itu.


Ab Rashid berkata, sepasukan polis tiba di rumah mangsa beberapa minit kemudian sebaik menerima panggilan daripada mangsa.

“Sebaik tiba di rumah berkenaan, polis mendapati mangsa terbaring dengan kesan kecederaan di bahagian pergelangan tangan dan cedera di beberapa bahagian badan dipercayai dicederakan suspek menggunakan parang.


“Hasil pemeriksaan polis di rumah berkenaan, polis menjumpai parang digunakan tetapi suspek berjaya melarikan diri kerana bimbang dirinya dicekup pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Kajang (HK) untuk rawatan lanjut dan keadaannya stabil.


Bagaimanapun, suspek ditahan pihak berkuasa beberapa jam kemudian selepas dia pulang ke rumahnya untuk mengambil barangan keperluan dipercayai untuk melarikan diri.

myMetro | Juruteknik ancam bunuh isteri boros:

'via Blog this'

Kerat alat kelamin akibat putus cinta

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai putus cinta dan menghadapi tekanan perasaan nyaris maut apabila memotong alat sulitnya sendiri menggunakan sebilah pisau dalam kejadian berhampiran sebuah restoran di Danau Kota, Setapak, di sini, kelmarin.

Difahamkan, tindakan drastik lelaki terbabit mengakibatkan alat sulitnya itu hampir putus selain kehilangan banyak darah.


Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa bernasib baik apabila seorang lelaki berusia 26 tahun yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan menemuinya terbaring di bahu jalan dalam keadaan berlumuran darah selain meronta-ronta menahan kesakitan sambil meminta pertolongan.

Menurut sumber, lelaki yang menemuinya itu kemudian bergegas membuat laporan di Pondok Polis Danau Kota, di sini, sebelum sepasukan anggota polis dan ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian.


“Sebaik tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian, lelaki terbabit dikatakan masih kesakitan sambil memegang kemaluannya.


“Mangsa dilaporkan pengsan dipercayai kehilangan banyak darah ketika usaha mengangkatnya masuk ke dalam ambulans untuk dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Difahamkan, pihak berkuasa turut menemui sebilah pisau di lokasi kejadian dipercayai senjata digunakannya untuk memotong kemaluannya.


Menurut sumber, sebaik tiba di hospital, pembedahan segera dilakukan untuk menyambungkan alat sulit mangsa.

“Pembedahan yang memakan masa hampir dua jam itu dilapor membuahkan hasil apabila alat sulit lelaki terbabit berjaya disambung.


“Difahamkan, biarpun alat sulitnya itu berjaya disambungkan, kemungkinan kemaluannya pulih seperti sedia kala adalah tipis,” katanya.


Mangsa yang kini ditahan di wad di hospital berkenaan untuk rawatan susulan dilaporkan stabil dan difahamkan, selepas kecederaannya pulih, dia akan dirujukkan ke unit psikiatri bagi tindakan lanjut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu pihaknya yakin tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

myMetro | Kerat alat kelamin akibat putus cinta:

'via Blog this'

Bedah untuk jadi Superman

CHAVEZ menunjukkan kepada wartawan gambarnya sebelum menjalani pembedahan.
CHAVEZ menunjukkan kepada wartawan gambarnya sebelum menjalani pembedahan.
CHAVEZ.
CHAVEZ.

MANILA: Seorang lelaki yang begitu taksub dengan Superman menjalani pembedahan dalam usaha mengubah dirinya menjadi wira komik itu.

Herbert Chavez, 35, menjalani pembedahan plastik berulang kali sepanjang 16 tahun lalu untuk membolehkannya mendapatkan dagu lekuk dan hidung Superman, menurut laporan televisyen ABS-CBN.


Dia juga menyuntik silikon untuk menebalkan bibir dan menjalani implan pada paha supaya kelihatan lebih tegap dan berotot.

Usaha AFP untuk menghubunginya gagal semalam tetapi dalam laman Facebooknya, terkandung puluhan gambar dan mesej yang menerangkan alasannya untuk menjadi superhero itu.


“Saya mengambil keputusan menjadi Superman kerana sejak kecil saya mahu menjadi sepertinya. Saya sedar dengan kelihatan seperti Superman akan menggembirakan saya dan saya berpuas hati selagi saya tidak mencederakan sesiapa,” menurut satu mesej dalam laman Facebook Chavez.


Dia juga menulis, meskipun tidak mempunyai kuasa istimewa seperti Superman, dia berharap dapat memberikan inspirasi kepada orang ramai bahawa mereka boleh mencapai impian masing-masing dengan bekerja keras.

Gambar Chavez sebelum dia menjalani pembedahan menunjukkan dia berkulit gelap, jauh berbeza dengan penampilannya sekarang.


Dia bagaimanapun tidak mendedahkan kerjanya. Watak Clark Kent yang menjadi Superman ialah wartawan akhbar. Menurut ABS-CBN, Chavez bekerja sebagai jurulatih ratu cantik.

Dalam laman Facebooknya, Chavez juga berkata dia melakukan kerja kebajikan dan muncul dalam televisyen beberapa kali.


Kisah Chavez mendorong pelbagai kritikan pada laman Facebooknya. Seorang pengunjung menulis dia kelihatan seperti patung pakaian.


Yang lain berkata, Chavez tidak kelihatan langsung seperti Christopher Reeve, pelakon yang memainkan watak Superman pada 1980-an atau Brandon Routh, yang mengambil alih peranan itu pada 2006.- AFP

myMetro | Bedah untuk jadi Superman:

'via Blog this'