Sunday, 2 October 2011

Peragut 5 pagi


TUMPAS...dua peragut yang ditahan polis selepas meragut pelajar di ibu negara, pagi semalam.
TUMPAS...dua peragut yang ditahan polis selepas meragut pelajar di ibu negara, pagi semalam.


KUALA LUMPUR: Dua peragut bermotosikal yang kebiasaannya mencari mangsa pada awal pagi sekitar ibu negara dicekup polis, awal pagi semalam.
Difahamkan, dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam melintas jalan di stesen minyak di Jalan Sultan Ismail sebelum dua lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125z meragut begnya.

“Mangsa cuba melawan dengan tidak melepaskan beg tangannya, menyebabkan dia diheret lebih 50 meter hingga cedera di siku, bahu dan lutut kanan.

“Bagaimanapun, kejadian itu disedari anggota Unit Kuatkuasa Khas, Trafik Kuala Lumpur yang melakukan Ops Cegah Lumba Haram di kawasan berhampiran diketuai Asisten Superintendan Azmi Wahid dan mengejar suspek,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, suspek dikejar lima kilometer hingga ke Jalan Kuching sebelum ditahan.

Siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek yang berusia 20 dan 23 tahun itu disyaki terbabit empat kes ragut sebelum ini dan ketika disoal siasat, kedua-duanya memberikan alasan tidak mempunyai wang serta pekerjaan kerana baru menamatkan pengajian di kolej swasta.

‘Terkejut nampak muka bayi’


KEJAM...anggota polis memeriksa mayat bayi perempuan yang ditemui di dalam perigi. Gambar kecil, Tuan Mat.
KEJAM...anggota polis memeriksa mayat bayi perempuan yang ditemui di dalam perigi. Gambar kecil, Tuan Mat.


KOTA BHARU: Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat bukan saja dihumban ke dalam perigi sedalam lima meter, malah disumbat di dalam beg sebelum ditemui di kawasan kebun getah, Kampung Belimbing dekat Limbat, di sini, pagi semalam.
Mayat bayi yang dipercayai dilahirkan beberapa hari lalu ditemui pada jam 8 pagi oleh seorang penoreh getah, Tuan Mat Tuan Lunik, 64, sebelum dia menghubungi polis.

Menurut Tuan Mat, dia dan isterinya, Siti Fatimah Awang, 60, seperti biasa mahu memulakan kerja menoreh getah di kebun mereka.

Katanya, ketika mahu mengambil air di sebuah perigi , dia ternampak sebuah beg sebelum menaikkan beg itu menggunakan galah.

“Saya buka beg itu sedikit dan terkejut apabila ternampak muka bayi. Saya terus memaklumkan kepada penghulu kampung, Zakaria Awang Teh sebelum menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, polis tiba di tempat kejadian pada jam 10 pagi dan bayi itu dipercayai dilahirkan antara dua hingga tiga hari lalu.


Katanya, polis turut menemui sebuah bungkusan berisi pakaian dalam wanita dan kain tuala dipenuhi darah yang ditinggalkan kira-kira 20 meter dari perigi berkenaan.

“Mayat bayi ditemui cukup sifat itu dicampak ke dalam perigi. Kita sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut Jalaluddin, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi polis dengan segera bagi membantu siasatan,” katanya.

Kelibat pocong atas bukit


POCONG...imej makhluk  didakwa pocong oleh penduduk  dirakam di sebuah rumah yang terbiar.
POCONG...imej makhluk didakwa pocong oleh penduduk dirakam di sebuah rumah yang terbiar.


SENAWANG: Beberapa penduduk di Taman Jasmin Indah, di sini, dikejutkan dengan kemunculan kelibat makhluk berbalut kain kapan dipercayai pocong di atas sebuah bukit di kawasan perumahan berkenaan, di sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, kemunculan lembaga itu disedari seorang penduduk, Ahmad Surathi, 41, yang mendakwa melihat kelibat makhluk itu sekitar jam 12 tengah hari.

Menceritakan detik menakutkan itu, Ahmad berkata, kelibat pocong yang berdiri tanpa bergerak di kawasan atas bukit berhampiran rumahnya sering dilihat sedang ‘bermain’ dan merenung tajam ke arahnya.

Menurutnya, dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah pocong itu yang gelap selain ia didakwa hanya merenungnya saja.

“Sejak saya pindah di kawasan perumahan itu sejak enam tahun lalu, ini bukan kali pertama saya melihatnya, malah sudah lali hingga menganggapnya seolah-olah ‘penduduk’ kawasan perumahan ini juga,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Katanya, pernah dia membawa rakannya pulang ke rumah kira-kira jam 12 tengah malam semata-mata untuk melihat pocong itu.


“Pocong itu menunjukkan diri hingga menyebabkan rakan saya itu serik untuk datang ke rumah saya lagi dan demam selepas melihat makhluk itu,” katanya.

Ahmad berkata, dia sebenarnya seorang yang sukar mempercayai benda pelik sebegitu tetapi selepas melihat dengan mata sendiri berasa ada kebenarannya.

“Malah, beberapa penduduk di sini, selalu melihat kelibat berkenaan sedang meloncat di kawasan bukit itu dan tangki air,” katanya.

Katanya, sebelum ini, rakan sering mengusik dan bercerita mengenai pocong biarpun mereka sendiri tidak pernah melihat sebelum dia menyaksikan secara terbuka.

Malah dakwanya, anak saudaranya berusia tujuh tahun pernah merakamkan gambar pocong sedang berdiri di pekarangan rumah tinggal yang terbiar di kampungnya di Tampoi, Johor, baru-baru ini.

“Ketika itu, anak saudara saya bermain menangkap gambar menggunakan kamera telefon bimbit ibunya, dan secara kebetulan menangkap gambar makhluk itu sedang berdiri merenung rumah tinggal itu,” katanya.

“Kebetulan, rumah itu sudah lama ditinggalkan dan berdekatan dengan kawasan perkuburan, terkejut anak saudara saya dan terus demam apabila melihat makhluk itu,” katanya.

Ahmad berkata, dia melihat semula rakaman gambar itu dengan jelas sebelum terlihat tubuh putih memandang ke arah rumah lalu menunjukkan rakaman gambar itu kepada keluarga dan jiran.

“Namun, tidak dapat dipastikan sama ada makhluk berkenaan adalah betul atau ia perbuatan segelintir remaja nakal,” katanya.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Sohibus Samahah Datuk Mohd Yusof Ahmad menyifatkan penemuan pocong didakwa muncul di Taman Jasmin Indah, di sini, sebagai makhluk Allah Taala.

“Makhluk ditemui lelaki itu mungkin golongan jin yang boleh ghaib serta bertukar rupa bentuk. Bagaimanapun, saya menasihatkan umat Islam tidak mudah tergoda makhluk sedemikian mungkin boleh menyesatkan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Belasah isteri hilang kad sim

KUALA LUMPUR: Berang kad modul pengenalan pengguna (SIM) telefon bimbit miliknya hilang, seorang suami membelasah isterinya dan memaksa wanita itu mencari sehingga jumpa malah mengugut akan menceraikannya jika gagal.
Dalam kejadian rumah pasangan itu di Batu 3, Gombak, dekat sini kira-kira jam 9 pagi Jumaat lalu, lelaki terbabit berusia 20-an seolah-olah hilang pertimbangan apabila gagal mencari kad SIM miliknya yang hilang.

Bomoh kelentong

KUALA LUMPUR: Kegiatan bomoh ‘kelentong’ turut tersenarai ‘carta’ 10 jenayah komersial paling banyak berlaku di negara ini, selain sindiket penipuan lelaki Nigeria, penyelewengan pelaburan dan cabutan bertuah Macau.
Dari Januari hingga Ogos lalu, 174 kes penipuan bomoh dilaporkan kepada polis dengan jumlah kerugian mencapai RM5 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan berkata, berdasarkan jumlah kerugian mangsa, kegiatan bomoh ‘kelentong’ berada pada kedudukan kelima dalam senarai 10 jenis jenayah komersial di negara ini sepanjang tempoh sama.

“Jumlah kerugian paling banyak kes penyelewengan pelaburan membabitkan RM61 juta daripada 247 kes dan di tangga kedua penipuan lelaki Nigeria dengan 774 kes manakala jumlah kerugian mangsa RM24 juta.


“Secara keseluruhan sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, jumlah kes dilaporkan membabitkan 10 jenis jenayah komersial ini 3,935 dan jumlah kerugian mangsa iaitu RM122 juta,” katanya kepada Harian Metro.

Mengenai jenayah bomoh ‘kelentong’ Syed Ismail berkata, pihaknya mengklasifikasikan penipuan itu kepada tiga jenis iaitu bomoh Cina, perubatan dan nombor ramalan.

Menurutnya, taktik penipuan bomoh Cina ialah memberitahu mangsa mendapat sial dan perlu menyerahkan barang kemas serta wang untuk upacara sembahyang bagi membuang sial.

“Bomoh perubatan pula menipu mangsa dengan meyakinkan mangsa mengenai kuasa yang ada pada sesuatu azimat seperti batu, tangkal dan sebagainya.

“Dengan kaedah tersendiri termasuk mencelupkan azimat itu ke dalam air hingga air bertukar warna, mangsa akan terpedaya dan membeli azimat itu dengan harga ratusan ribu ringgit,” katanya.

Menurutnya, bomoh nombor ramalan pula beroperasi dengan menghantar surat kepada mangsa dan meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun sebagai kos upacara sembahyang untuk memenangi perjudian nombor ekor.

“Sikap ambil mudah rakyat kita antara punca mereka menjadi mangsa selain kerakusan mengejar kemewahan tanpa mengambil kira risiko kerugian yang bakal dihadapi,” katanya.

Beliau berkata, biarpun taraf pendidikan masyarakat negara ini membanggakan, ia nyata bukan benteng kukuh untuk mereka menangkis ‘permainan’ penjenayah alaf baru yang lebih bijak memanipulasikan teknologi.

“Kalau dulu jenayah dilakukan secara terang-terangan dan dapat disabitkan kesalahan dengan bukti kukuh dan tepat, kini penjenayah hanya perlu duduk di rumah dan lebih menakutkan mereka mampu menjadi ‘pembunuh senyap’ yang mengancam keselamatan negara.

Menurutnya, perkembangan teknologi maklumat dan siber membuka ruang kepada ‘penjenayah’ untuk tampil berani menggunakan pelbagai medium bagi merancang jenayah.




10 jenayah komersial utama

1. Penipuan pelaburan
Jumlah kerugian: RM61 juta(j)
Jumlah kes: 247
Modus operandi: Memujuk mangsa buat pelaburan dalam pelbagai perniagaan sama ada pertanian, jualan langsung atau bisnes Internet dengan janjikan pulangan lumayan.


2. Penipuan Afrika
Jumlah kerugian: RM24j
Jumlah kes: 774
Modus operandi: Mengaburi mangsa dengan menjadikan kenalan di laman sosial sebelum hantar bungkusan, perniagaan black money dan vaksin ternakan


3. Penipuan Macau
Jumlah kerugian: RM13j
Jumlah kes: 629
Modus operandi: Menyamar pegawai polis dan bank maklumat peribadi disalahguna bagi penipuan atau konon keluarga mangsa diculik sebelum diminta masuk wang ke akaun.


4. Toto
Jumlah kerugian: RM13j
Jumlah kes: 215
Modus operandi: Mengaku jual tiket nombor ramalan yang memenangi cabutan bertuah di akhbar.


5. Penipuan bomoh
Jumlah kerugian: RM5j
Jumlah kes: 174
Modus operandi: Mengaku pakar ubat mangsa dengan guna barang kemas atau wang atau batu azimat.


6. Internet/E-Dagang
Jumlah kerugian: RM3j
Jumlah kes: 1,300
Modus operandi: Membuat pengiklanan tipu dalam laman web dengan minta mangsa buat bayaran pendahuluan.


7. Jual beli barang murah
Jumlah kerugian: RM1.2j
Jumlah kes: 178
Modus operandi: Mengaku ejen menjual barang rampasan kastam atau tender dengan cara berjumpa mangsa atau iklan di laman web.


8. Kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) menang hadiah
Jumlah kerugian: RM0.95j
Jumlah kes: 354
Modus operandi: Mengirim SMS daripada syarikat gergasi seperti Shell, Celcom dan Petronas, memberitahu mangsa pemenang bertuah.


9. Gores dan menang
Jumlah kerugian: RM0.8j
Jumlah kes: 89
Modus operandi: Menipu konon mangsa menang hadiah lumayan sebelum meminta bayar wang tunai jika ingin menuntut hadiah.


10. Cek pintas
Jumlah kerugian: RM0.05j
Jumlah kes: lapan
Modus operandi: Mencuri cek dikirimkan pelanggan melalui pos sebelum menukar nama penerima dan nilai sebenar cek menggunakan bahan kimia kepada nama sindiket.

Mangsa hampir hilang tangan ditetak 2 lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 41 tahun hampir kehilangan tangan kanannya apabila ditetak dua lelaki berhampiran rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Usahawan di sini, awal pagi semalam.
Mangsa, A Murugaiyah, ditemui isterinya dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas kehilangan banyak darah akibat tetakan pada lengan dan ditikam pada pinggang, selain cedera di badan.

Menurut isteri mangsa, Danam Letchmy, 24, dia menyedari keadaan itu kira-kira jam 4 pagi sebaik dimaklumkan jiran yang terdengar jeritan suaminya.

“Saya terkejut melihat keadaan suami yang berlumuran darah dan pengsan di hadapan sebuah rumah di tingkat 11 iaitu satu tingkat di bawah rumah kami.

“Jiran yang datang membantu kemudiannya menghubungi polis dan ambulans bagi menghantar suami saya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada Harian Metro.

Menceritakan kejadian itu, Danam Letchmy berkata, mereka keluar ke rumah kakak ipar di tingkat 17 blok yang sama bagi menghadiri jamuan makan malam yang turut dihadiri beberapa kenalan rapat.


Menurutnya, dia pulang ke rumah bersama empat anaknya yang lain kerana waktu ketika itu sudah lewat malam dan meninggalkan suaminya yang masih berbual di tangga bersama beberapa rakannya yang lain.

“Suami memang kenal kedua-dua lelaki yang menyerangnya, tetapi mereka tidak rapat. Melalui cerita suami, dua lelaki itu tiba-tiba menyerangnya sebelum menetak tangan kanan,” katanya.

Anak hilang sejak Khamis

KOTA TINGGI: “Anak saya dimarahi seorang lelaki ketika menghubungi saya sebelum talian terputus. Kejadian itu benar-benar membimbangkan saya sekeluarga,” kata Ibrahim Ahmad, 47, bapa kepada seorang remaja perempuan berusia 13 tahun tidak pulang ke rumah sejak Khamis lalu.
Beliau berkata, panggilan telefon itu dibuat anaknya, Aisyah, petang Jumaat lalu dan anak sulungnya itu hanya sempat memberitahu nama, sebelum seorang lelaki memarahi anaknya dan talian telefon dimatikan.

“Khamis lalu, Aisyah ke sekolah agama seperti biasa dengan menunggang basikal kira-kira jam 12 tengah hari, ketika itu saya menghantar anak kedua daripada empat beradik ke sekolah sama, saya melihat basikal anak saya masih di sekolah, manakala kelas digunakan untuk pengajaran haji.

“Saya beranggapan Aisyah mengikuti kelas haji dan terus pulang, namun berasa pelik apabila anak sulung saya belum pulang menyebabkan saya kembali ke sekolah agama beberapa jam kemudian dan ke sekolah menengah di Jalan Bukit Seri Lalang di sini, untuk bertanya guru dan rakan sekelas sama ada Aisyah hadir ke sekolah atau tidak,” katanya ketika ditemui di Kampung Tembioh di sini, semalam.

Menurutnya, dia dimaklumkan Aisyah tidak hadir ke sekolah dan kali terakhir dilihat di Taman Aman kira-kira tiga kilometer dari sekolahnya bersama seorang rakan sekolah agama, namun bersekolah menengah di Kota Kecil.

Katanya, bimbang dengan keselamatan anaknya itu, dia bergegas ke Taman Aman bersama beberapa saudara-mara dan rakan serta meronda di kawasan sekitar bagi mencari anaknya itu tetapi gagal.


“Saya menunggu di jambatan berhampiran rumah jam 6 petang dengan harapan anak saya itu pulang bersama pelajar lain. Mungkin anak saya menghadapi masalah hingga tidak ke sekolah, namun bersedia mendengar penjelasannya.

“Selepas Maghrib, anak saudara saya menghubungi dan memaklumkan tahu kediaman rakan anak saya yang dilihat bersama di Taman Aman, menyebabkan saya dan isteri, Rohani Tek, 36, bergegas ke rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mereka bertemu ibu pelajar berusia 14 tahun itu dan wanita berkenaan memberitahu anaknya juga belum pulang tetapi enggan membuat laporan polis.

“Kami membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi,” katanya.

Rohani berkata, ketika keluar rumah anaknya yang berambut pendek dengan ketinggian 110 sentimeter hanya ada RM1 sebagai bekal ke sekolah agama.

Pegawai polis maut nahas

KLUANG: Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya gagal dikawal lalu terbabas di Kilometer 80.6 Jalan batu Pahat - Mersing berhampiran Kahang, di sini, semalam.
Difahamkan, sebelum kejadian mangsa, Irwan Affandi Ahad, 31, yang bertugas di Pusat Tahanan Narkotik Simpang Renggam, di sini bersama konvoi motosikal berkuasa tinggi bersama rakannya dari bandar ini menuju Mersing.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Mohd Noor Mohamad berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikal ditunggangnya sebelum terbabas ke bahu jalan raya.

“Kesan kejadian itu, mangsa dipercayai cedera parah di bahagian dalaman sebelum dibawa ke Klinik Kahang bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

“Bagaimanapun, mangsa yang menunggang motosikal jenis CBR 600 itu disahkan meninggal dunia jam 1 tengah hari sebelum jenazahnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kluang,” katanya.

Jenazah Irwan dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Felda Palong Tujuh, Gemas, Negeri Sembilan.

Hanya mampu lihat anak ditelan air

KOTA KINABALU: Seorang murid tahun dua maut selepas terjatuh dalam lubang yang tidak mempunyai penutup sedalam kira-kira lima meter di tepi Jalan Batu 7, Jalan Tuaran Lama, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, mangsa, Chua Soon Lee, 8, bersama ibunya, Chua Mui Tse, 30, dikatakan sedang berjalan mencari besi buruk sekitar tempat kejadian sebelum terjatuh dalam lubang berkenaan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat lemas.

Sebelum tragedi malang itu, mangsa yang juga anak sulung bersama ibunya keluar rumah kira-kira jam 2 petang untuk mencari besi buruk, namun ketika kejadian, mangsa berada di belakang manakala ibunya berada di depan.

Menurut Chua, sebelum kejadian, dia sempat melihat anaknya berjalan sambil membaling batu ke dalam parit.

“Ketika itu, saya terus berjalan untuk mencari besi buruk sebelum tiba-tiba terdengar suara meminta tolong dari belakang. “Saya terus menoleh dan terkejut apabila mendapati anak saya tiada. Ketika itu, saya begitu takut dan terus berlari mencari suara jeritan itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam Katanya, dia terkejut apabila mendapati anaknya berada dalam lubang berkenaan dengan tangannya masih terkapai-kapai meminta tolong, namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana lubang itu terlalu dalam.

“Ketika itu, saya hanya mampu melihat tangannya terkapai-kapai meminta tolong sebelum hilang daripada permukaan air.


“Saya terus meminta bantuan orang ramai menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat meminta bantuan.

“Selepas itu, sepasukan anggota jabatan itu tiba dan menjalankan kerja menyelamat termasuk mengepam air keluar sebelum beberapa minit kemudian anak saya ditemui terbaring dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya. Katanya, dia tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana ia begitu cepat hingga tidak mampu berbuat apa-apa.

“Saya membawanya keluar untuk mencari besi buruk kerana hari ini, dia tidak bersekolah. ‘’Lagipun, semalam (kelmarin) dia meminta supaya dibelikan basikal baru bagi memudahkannya ke sekolah, namun hari ini (semalam) dia sudah tiada,” katanya sebak.

Sementara itu, Penolong Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohamad Nor Amit, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.40 petang sebelum tiba di tempat kejadian jam 3.53 petang.

3 penyamun lagak penumpang samun drebar teksi

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi berdepan detik mencemaskan apabila disamun tiga lelaki bersenjatakan pisau Rambo yang berlagak sebagai penumpang di Jalan Ipoh, di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.40 itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Zam, 49, berkata ketiga-tiga suspek menaiki teksinya di Jalan Raja Chulan dan meminta dihantar ke Kompleks Mutiara dekat Jalan Ipoh.

Menurut Zam, sebelum turun dari teksi, suspek yang berpura-pura bertanyakan jumlah tambang tiba-tiba mengeluarkan dua pisau Rambo sebelum mengacukan di leher dan perutnya.

“Mereka kemudian mengarahkan saya menyerahkan dompet serta telefon bimbit sebelum memaksa saya turun kerana ingin merampas teksi saya.

“Saya ikut saja arahan mereka kerana bimbang dicederakan. Selepas turun daripada teksi, saya menjerit meminta pertolongan dan pada masa sama enjin teksi mati secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui, semalam. Berang dengan tindakannya menjerit meminta tolong, suspek mengejar Zam sejauh kira-kira 50 meter namun, kehadiran anggota polis di tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang ramai menyelamatkannya apabila suspek melarikan diri.

“Saya membuat laporan di Balai Polis Sentul dan dimaklumkan semua suspek sudah ditahan oleh anggota polis peronda terbabit,” katanya yang berterima kasih kepada orang ramai dan polis yang pantas mengambil tindakan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan penahanan tiga suspek berusia antara 24 dan 38 tahun.

Tersepit langgar bas

Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor am@hmetro.com.my
 REMBAU: Seorang jurujual kereta maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas dan motosikal di Kilometer 19, Jalan Seremban-Tampin, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa, B Manivanan, 32, dari Taman Sri Serdang, Selangor, yang memandu seorang diri meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dan cedera parah di kepala serta badan. Difahamkan, penunggang dan pembonceng motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari Melaka ke Jelebu mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Pemandu bas, Low Kam Sang, 55, berkata ketika itu dia sedang memandu bas dari Tampin menghala ke Seremban dengan membawa 25 penumpang terkejut apabila sebuah kereta datang dari arah bertentangan merempuh bahagian depan bas. Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan bas yang dipandunya terbabas ke laluan bertentangan selepas perlanggaran itu, menyebabkan semua penumpang di dalam bas panik dan menjerit ketakutan. “Sudah 30 tahun saya memandu bas dan ini kali pertama saya terbabit dalam kemalangan, malah kejadian kali ini membuatkan saya terkejut dan tidak menyangka akan berdepan dengan keadaan seperti ini,” katanya. Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Wira dipandu mangsa hilang kawalan ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan bas itu. “Pada masa sama, penunggang motosikal yang mengekori dari belakang bas turut terbabit dalam kemalangan dan mengalami kecederaan. Bagaimanapun punca kejadian sebenar masih disiasat,” katanya. Katanya, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau turut dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa tersepit dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat.

Parah dibelasah bapa kekasih

MELAKA: Akibat menjalin hubungan terlarang dan tergamak menodai rakan perempuannya, seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Sungai Udang, dekat sini, menerima padah apabila dibelasah hingga parah oleh bapa mangsa yang menemuinya di dalam bilik tidur anak gadisnya itu. Dalam kejadian antara jam 10.30 malam hingga 11.30 malam itu, pelajar berusia 16 tahun itu cedera hampir di seluruh badan terutama di perut, muka, leher selain kaki dan tangan lebam serta bengkak akibat dibelasah termasuk menggunakan kayu. Difahamkan, pelajar itu kini masih dirawat di Hospital Melaka (HM) akibat kecederaan dialaminya. Menurut sumber polis, kejadian berpunca apabila dia menjalin hubungan cinta dengan anak seorang pegawai anggota keselamatan berusia 13 tahun tanpa pengetahuan keluarganya. Katanya, kemuncaknya, pelajar terbabit memperkosa kekasihnya di belakang tangga rumah mangsa di sebuah taman di Sungai Udang pertengahan September lalu, kira-kira jam 2 pagi. Sumber itu berkata, pelajar terbabit kerap menyelinap ke dalam rumah kekasihnya tanpa pengetahuan ibu bapanya. Begitupun katanya, bapa gadis itu berusia 40-an akhirnya menghidu perbuatan terkutuk itu. “Pada jam 10.30 malam, 27 September lalu, pelajar lelaki itu sekali lagi menyelinap masuk ke bilik tidur kekasihnya. “Tindakan itu disedari bapa mangsa yang berang melihat pelajar itu berselimut di atas katil anak gadisnya lalu berlaku pertelingkahan antara mereka sebelum lelaki itu memukul pelajar terbabit. “Dia turut menghubungi tiga rakannya yang turut membelasah mangsa hingga parah,” katanya. Sumber itu berkata, pelajar terbabit membuat laporan di Balai Polis Sungai Udang berhubung kejadian itu. Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye yang dihubungi di sini mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan, namun tidak dapat mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Lelaki tak jawab panggilan ditemui mati ditembak

LANGKAWI: Misteri panggilan telefon tidak berjawab membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki berlumuran darah dengan kesan tembakan di kepala di sebuah bilik apartmen di Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat, di sini, semalam. Mayat lelaki berusia 30-an itu ditemui kakitangan apartmen berkenaan jam 9.30 pagi ketika membuat pemeriksaan di bilik terbabit sebelum memaklumkan kepada pengurusan untuk membuat laporan polis. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, pekerja terbabit yang membuka pintu bilik berkenaan terkejut melihat mayat seorang lelaki terlentang berlumuran darah dan sudah berbau. Menurutnya, mangsa dari Kamunting, Perak mendaftar masuk ke apartmen itu pada Khamis lalu dan pekerja terbabit turut membuat beberapa panggilan untuk mengemas bilik berkenaan, bagaimanapun tiada jawapan. Katanya, akibat tidak sedap hati, pekerja terbabit membuat pemeriksaan sebelum menemui mayat mangsa di dalam bilik sebelum menghubungi polis. “Sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat lelaki terbabit dalam keadaan berseluar tanpa baju, selain kakinya berlipat dengan kesan satu das tembakan di kepala. “Berikutan penemuan mayat pagi tadi (semalam), seorang wanita berusia 69 tahun datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi membawa beg hitam mengandungi pakaian dan sepucuk pistol jam 4 petang ini (semalam). “Pemeriksaan lanjut menemui beberapa telefon bimbit, sebuah komputer riba dipercayai milik mangsa dan cermin mata yang boleh membantu siasatan dan mengenal pasti suspek,” katanya pada sidang media di IPD Langkawi, di sini. Hadir sama, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harith Kam Abdullah dan Timbalannya, Deputi Superintendan Mat Akhir Jaafar. Menurutnya, polis kini memburu dua pasangan warga tempatan termasuk satu pasangan suami isteri semuanya berusia 30-an yang juga suspek utama dalam kes pembunuhan dipercayai bermotifkan dadah. Katanya, polis sudah mengenal pasti suspek terbabit adalah pasangan suami isteri manakala dua lagi pasangan kekasih yang juga kenalan kepada mangsa. “Operasi memburu keempat-empat suspek kini dipergiatkan dengan pemantauan berterusan di semua laluan keluar dari pulau ini di jeti Kuah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Matsirat,” katanya. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

Lelaki maut bergaduh

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut, manakala rakannya cedera akibat bergaduh dengan beberapa individu di depan sebuah pusat beli-belah berhampiran perhentian bas Pudu Sentral, di sini, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa warga Indonesia berusia 30-an bersama rakannya bergaduh dengan beberapa lelaki senegara sebelum kejadian dilaporkan kepada polis oleh orang awam. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, berkata sebaik polis tiba di tempat kejadian, dua lelaki itu ditemui cedera teruk dan berlumuran darah.

Jaga simpan pistol ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal sebuah pusat hiburan ditahan polis selepas didapati memiliki sepucuk pistol dalam serbuan di premis tempat lelaki itu berkerja di Kepong, dekat sini, semalam. Dalam operasi bersepadu kira-kira jam 1.30 pagi, pistol semi auto itu ditemui disembunyikan di dalam buku log pusat hiburan berkenaan. Turut ditahan bersama lelaki berusia 30-an itu ialah teman wanitanya serta seorang lagi wanita yang juga juruwang pusat hiburan sama. Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata operasi dilakukan selepas polis mendapati premis di tingkat empat sebuah pusat beli-belah itu sering menjalankan operasi melebihi masa.

Darah O tapi diberi darah B

TERLANTAR...Faridah kini dirawat di HKL.
TERLANTAR...Faridah kini dirawat di HKL.


KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang baru melahirkan anak ketiganya mengalami komplikasi yang didakwa berpunca daripada kecuaian kakitangan hospital yang tersilap memasukkan darah jenis berlainan ke tubuhnya. Kejadian itu berlaku 22 September lalu dan Faridah Abd Aziz, 34, yang juga pegawai bank kini terpaksa menjalani rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas beberapa hari terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama. Suaminya, Ku Nazri Ku Yaakob, 34, mendakwa petugas hospital berkenaan memasukkan darah jenis B ke tubuh isterinya yang mempunyai darah jenis O dan kesilapan itu boleh mengundang maut. “Ketika kejadian, isteri saya baru melahirkan anak ketiga kami secara pembedahan, jadi dia kekurangan darah dan memerlukan doktor memasukkan darah ke dalam tubuhnya,” katanya yang ditemui di Balai Berita di sini, semalam. Ku Nazri berkata, isterinya terpaksa menjalani rawatan susulan dan terlantar sakit di HKL serta diberitahu akan dibenarkan pulang dalam tempoh dua minggu lagi. Katanya, kejadian itu memberi kesan emosi yang teruk terhadap mereka sekeluarga, malah anak ketiganya itu tidak dapat diberikan susu ibu. “Saya mengambil cuti sejak 10 hari lalu untuk menjaga isteri di hospital dan membawa ibu berusia 74 tahun dari kampung di Jitra, Kedah, untuk menjaga bayi kami,” katanya. Katanya, pihak pengurusan hospital sudah memanggilnya dan mengakui kesilapan mereka yang cuai terhadap pesakit, malah satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian terbabit. Susulan itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang 23 September lalu dan Kementerian Kesihatan Malaysia. “Saya sudah memanjangkan perkara ini kepada pihak berkuasa, namun sehingga kini saya tidak dihubungi bagi mendapatkan penjelasan perkembangan semasa kes isteri saya,” katanya. Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan terbabit dan memberi maklum balas dalam masa terdekat.

Porsche mahu jual istana di Bavaria

BERLIN: Pengeluar kereta mewah Jerman, Porsche, bercadang menjual istana yang dibeli lima tahun lalu, lapor media semalam. Jurucakap Porsche berkata, syarikat itu mahu melepaskan pemilikan ke atas Schloss Bullachberg yang terletak di Bavaria. Istana seluas 180,000 meter persegi itu dibeli ketika Porsche diketuai Wendelin Wiedeking, yang bercadang menjadikan bangunan berkenaan hotel mewah. Bagaimanapun, media melaporkan, kerja-kerja pengubahsuaian tidak pernah dijalankan sehingga kini. Porsche menanggung beban hutang besar ketika syarikat itu bersedia menjalin kerja sama dengan pengeluar kereta terbesar Eropah, Volkswagen. Bagaimanapun, Ogos lalu, Porsche mengumumkan berjaya mendapat keuntungan bersih RM636 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini. - AFP

Ulama Saudi kurang senang

JEDDAH: Seorang ulama paling kanan Arab Saudi semalam berkata, beliau tidak dirujuk mengenai keputusan Raja Abdullah untuk memberi lebih banyak hak politik kepada kaum wanita negara itu. Kenyataan Sheikh Saleh al-Lohaidan, anggota kanan Majlis Ulama Arab Saudi itu adalah tanda pertama mengenai rasa tidak puas hati golongan konservatif sejak pembaharuan itu diumumkan minggu lalu. Abdullah minggu lalu mengumumkan, wanita boleh mengundi dan bertanding dalam pilihan raya majlis tempatan serta dilantik dalam Majlis Syura yang bertanggungjawab memberi nasihat mengenai dasar kerajaan. Abdullah berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan ulama paling kanan negara itu yang mempunyai pengaruh politik dan sosial. “Raja sepatutnya tidak berkata beliau berunding dengan pegawai kanan. Saya tidak tahu apa-apa mengenai perbincangan itu sebelum mendengar ucapannya,” kata Saleh kepada saluran televisyen al-Majd. Ulama itu bercakap secara berhati-hati kerana tidak mahu dianggap mengkritik keputusan Abdullah. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada menyokong atau tidak pembaharuan itu. Ulama Saudi yang secara umumnya bersifat konservatif dikatakan kurang senang dengan idea pembaharuan Abdullah. Seorang ulama kanan mengkritik universiti campuran lelaki-perempuan pertama di negara itu selepas ia dilancarkan pada 2009 dan serta-merta dipecat. Saleh juga dipecat daripada jawatannya sebagai Ketua Majlis Tertinggi Kehakiman selepas mengeluarkan fatwa yang mendesak pembunuhan beberapa eksekutif televisyen tetapi dikekalkan sebagai anggota Majlis Kanan Ulama. - Reuters

Festival muzik rock kembali ke Afghanistan

KABUL: Konsert muzik rock kembali ke Afghanistan selepas 30 tahun Sabtu lalu apabila lelaki dan wanita muda bersorak dan melompat mengikut irama muzik. Kugiran dari Australia, Uzbekistan, Kazakhstan dan kumpulan tempatan membuat persembahan selama enam jam dengan ditonton ratusan orang, kebanyakannya tidak pernah melihat persembahan muzik secara langsung sebelum ini. Festival yang dikenali sebagai Sound Central itu adalah perkara baru di negara Islam konservatif itu. Muzik diharamkan ketika pemerintahan Taliban, malah kedai muzik masih menjadi sasaran serangan di beberapa bandar di negara itu. Bagaimanapun, tiada alkohol dibenarkan dijual sepanjang festival berkenaan dan ia turut dihentikan ketika azan dari masjid berhampiran. - AP

Chavez tetap sokong Gaddafi, Bashar

CARACAS: Presiden Venezuela, Hugo Chavez semalam mengulangi sokongannya terhadap pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan Presiden Syria, Bashar al-Assad dengan menggelar mereka saudaranya. “Saya memohon kepada Tuhan supaya menyelamatkan saudara saya, Gaddafi. Tidak ada siapa yang tahu di mana Gaddafi. Saya percaya dia berada di padang pasir,” kata Chavez kepada televisyen rasmi Venezuela, VTV. Chavez, 57, mempertahankan Gaddafi sejak pemimpin Libya itu berdepan dengan kebangkitan rakyat negara itu Februari lalu dan menuduh Nato mengambil kesempatan terhadap konflik di negara utara Afrika berkenaan untuk menguasai minyaknya. Chavez enggan mengiktiraf pemimpin baru Libya dan menyifatkan wakil rejim baru itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai ‘boneka,’ minggu lalu. - AFP

Aga Khan bayar Begum RM268j

KETIKA BAHAGIA...Aga dan Begum di majlis perkahwinan mereka pada 1998.
KETIKA BAHAGIA...Aga dan Begum di majlis perkahwinan mereka pada 1998.

PARIS: Bilionair kaki perempuan dan pemilik ratusan kuda lumba, Aga Khan, dilaporkan membayar lebih RM268.4 juta untuk menceraikan isteri keduanya.

Enam tahun lalu, Aga berpisah dengan isterinya itu - bekas penyanyi pop kelahiran Jerman, Begum Inaara, dan dianggap berpotensi menjadi perceraian termahal dalam sejarah.


Perpisahan Aga Khan - Begum dianggarkan memakan kos sehingga hampir RM2.5 bilion.

Bagaimanapun, semalam, dokumen difailkan ke Mahkamah Rayuan di Amiens, utara Perancis, menunjukkan perjanjian Aga Khan dengan isteri keduanya itu dibatalkan dan ganti rugi ditawarkan jauh lebih rendah.


Aga Khan - dianggap memiliki kekayaan bernilai RM29.8 bilion - memiliki 600 kuda lumba dan sejumlah kediaman mewah di seluruh dunia.


Dia memulakan proses perundangan di Perancis dengan harapan dapat menyelesaikan perceraiannya dengan lebih baik berbanding di Britain.

Jika perceraian itu disahkan di Perancis, ia masih dianggap penyelesaian paling mahal di negara itu kerana biasanya kes seumpama itu membabitkan bayaran yang lebih rendah.


Difahamkan, perjanjian di antara Aga Khan, 73, dengan Begum - atau nama sebenarnya, Gabriele zu Leiningen - turut membabitkan pertukaran milik ladang Berkshire yang didiami wanita terbabit bersama anak lelaki mereka, Prince Aly, 11.

Pasangan itu akhirnya berpisah ekoran dakwaan Begum, 51, bahawa suaminya menjalin hubungan sulit dengan seorang pramugari.


Menurut dokumen dikemukakan di mahkamah semalam, hubungan Aga Khan - Begum mula bermasalah hanya beberapa tahun selepas mereka berkahwin di Aiglemont, utara Perancis, pada 1998.


Turut didedahkan, Begum mengupah penyiasat persendirian untuk mengesan pergerakan Aga Khan bersama kekasihnya.


Sebagai pemimpin kerohanian aliran fahaman Ismaili yang dianuti 20 juta orang, pendedahan itu pasti mengaibkan Aga Khan.


Dia dilaporkan dianggap ‘tuhan’ dan ‘pembawa cahaya’ di kalangan pengikutnya.


Aga Khan seorang warga Britain tetapi menghabiskan sebahagian besar masanya di Perancis.


Keadaan itu membolehkan hakim Perancis memutuskan prosiding perceraiannya dengan Begum selepas cubaan mereka gagal di Mahkamah Tinggi London pada 2004.


- DM

myMetro | Aga Khan bayar Begum RM268j:

'via Blog this'

Berat sama dipikul... pindah rumah dalam 28 minit

SEMANGAT 'GOTONG ROYONG': Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (tengah, baju putih) bersama sekitar 200 penduduk Kampung Tandop di Baling, Kedah, mengusung rumah kayu milik salah seorang penduduk kampung itu, Encik Yusoff Md Saman, kelmarin. -- Foto MINGGUAN MALAYSIA

BALING (Kedah): Pepatah 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing' dibuktikan oleh kira-kira 200 penduduk Kampung Tandop, dekat sini, apabila mereka berjaya mengusung dan memindahkan rumah milik salah seorang penduduk kampung itu dalam masa 28 minit sahaja.
Lebih menarik, pemindahan rumah kayu milik Encik Yusoff Md. Saman, 56 tahun, pada jarak 150 meter itu turut menjadi perhatian orang ramai, yang kemudiannya sudi meringankan tangan untuk bersama-sama mengusung rumah berkenaan ke tapak barunya.Menurut Encik Yusoff, pada mulanya beliau hanya menjemput penduduk kampungnya sahaja tetapi didorong semangat tolong menolong, rakan-rakan yang tinggal jauh dari kampung tersebut pun turut membantu.'Orang yang menggunakan jalan utama dari Pekan Baling ke Kampung Lalang turut membantu,' katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.Hadir bersama penduduk ialah Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang buat kali pertamanya merasai suasana riuh rendah mengalihkan rumah penduduk itu.Datuk Abdul Azeez berkata, beliau gembira dengan suasana begitu dan semangat kekeluargaan dalam kerja gotong- royong itu.'Walaupun penat, semangat kekeluargaan yang ditunjukkan oleh semua penduduk terlibat membuktikan semangat ini masih kuat dipraktikkan di kampung,' ujarnya.Dalam pada itu, beliau, yang juga penyelaras Parlimen Baling, berkata pihaknya akan turut membantu menyiapkan rumah Encik Yusoff melalui kerja gotong-royong.Menurutnya, pihaknya akan menyiapkan sepenuhnya rumah Encik Yusoff itu dengan menyediakan peruntukan melalui Yayasan Pembangunan Rakyat Baling. -- Minggguan Malaysia. Cyberita Online Luar Negara:

'via Blog this'

Mayat bayi dalam perigi kebun getah



POLIS memeriksa bahan bukti di lokasi mayat bayi yang dijumpai dalam perigi di Kampung Kubang Kacang, Limbat, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 2 Okt. - Seorang penoreh getah terkejut apabila menemui mayat seorang bayi perempuan dalam sebuah beg pakaian yang ditemui dalam perigi kebun getahnya di Kampung Kubang Kacang, Limbat dekat sini, pagi ini.

Tuan Mat Tuan Lonik, 64, menemui mayat bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu kira-kira pukul 8 pagi ketika dia ingin membersihkan dirinya selepas membuang air besar menggunakan air perigi tersebut.

Katanya, sewaktu mencedok air perigi itu yang sedalam kira-kira lima meter menggunakan baldi, dia tiba-tiba ternampak sebuah beg pakaian terapung dan tertutup rapi.

"Saya hairan sebab ketika saya datang ke perigi semalam, beg itu tidak ada. Saya terpaksa gunakan sebatang buluh untuk membawa naik beg tersebut.

"Selepas membawa naik beg itu, alangkah terkejutnya apabila mendapati seorang bayi berada di dalamnya," kata Tuan Mat ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Dia kemudian bergegas pulang ke rumah untuk membersihkan diri sebelum memberitahu Penghulu dan orang kampung mengenai kejadian tersebut selain melaporkannya kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya bayi perempuan berketurunan Melayu itu dilahirkan dua atau tiga hari lalu.

Katanya, selain menemui bayi dalam beg, pihaknya turut menemui satu bungkusan mengandungi baju, kain batik sarung, seluar dalam, coli serta tuala yang mempunyai kesan darah tidak jauh dari perigi berkenaan.

"Kita percaya barangan yang ditemui kira-kira 20 meter dari perigi itu relevan dengan kes melibatkan bayi tersebut. Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

"Kita sedang mengesan mereka yang bertanggungjawab dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati," ujarnya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Sultan Johor hadir persandingan Noraniza, Jeffri



Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menghadiri majlis persandingan Noraniza Idris dan Jeffri Hudi (tengah) di Plaza Angsana, Johor Bahru, kelmarin. - UTUSAN/Shahril Azman Zain


JOHOR BAHRU 2 Okt. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli dengan menghadiri majlis persandingan penyanyi, Noraniza Idris dan pasangannya, Jeffri Hudi di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana di sini, malam semalam.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim kira-kira pukul 8 malam itu menjadi kenangan manis bagi pasangan mempelai, apatah lagi baginda turut berkenan menepung tawar selain meluangkan masa kira-kira sejam bagi menyaksikan persembahan zapin dan menyertai makan beradab.

Noraniza, 43, dan Jeffri, 52, ketika ditemui selepas majlis itu melahirkan kegembiraan atas kunjungan Sultan Johor ke majlis persandingan mereka sekali gus merasmikan 'Program Kahwin-kahwin Masyhur 1Malaysia'.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya serta suami sangat bersyukur kerana Sultan Johor berkenaan mencemar duli bagi menghadiri majlis persandingan perdana ini. Ia benar-benar suatu kenangan yang sangat manis bagi kami," ujar Noraniza.

Pasangan itu dinikahkan oleh Naib Kadi Johor Bahru, Abu Bakar Watak pada pukul 2.45 petang di lokasi yang sama Khamis lalu dengan mas kahwin senaskhah al-Quran dan dengan hanya sekali lafaz oleh Jeffri, mereka sah menjadi suami isteri.

Noraniza sebelum itu, sudah mengikat tali pertunangan dengan duda anak empat itu pada 22 April lalu dalam satu majlis di rumah abang sulungnya, Mohd. Arshad, 57, di Kong Kong, Masai.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

35,000 sertai demonstrasi bantah dasar kerajaan Britain


03/10/2011 2:53am

MANCHESTER 3 Okt. – Kira-kira 35,000 orang berhimpun di Manchester untuk mengadakan demonstrasi pada mesyuarat tahunan parti pemerintah, Parti Konservatif yang mula bersidang, semalam.

Tunjuk perasaan itu dianjurkan oleh Kongres Kesatuan Perdagangan (TUC) yang menyifatkan perarakan tersebut sebagai 'alternatif untuk pekerjaan, pertumbuhan (ekonomi) dan keadilan.'

"TUC menganjurkan demonstrasi untuk menunjukkan perarakan dan perhimpunan untuk menunjukkan bantahan terhadap dasar-dasar teruk kerajaan terhadap pembekuan bajet, penjimatan dan perubahan ke atas perkhidmatan awam.

"Dasar-dasar itu menyebabkan peningkatan kadar pengangguran, taraf hidup menurun dan kelembapan ekonomi," katanya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Karzai kecewa dengan Taliban


KABUL 2 Okt. - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai membayangkan bahawa beliau sudah hilang harapan untuk meneruskan rundingan damai dengan Taliban dan berkata, Afghanistan sebaliknya perlu mengadakan rundingan damai dengan Pakistan.

Karzai berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin kanan agama kurang dua minggu selepas pembunuhan bekas Presiden Afghanistan, Burhanuddin Rabbani yang juga merupakan wakil kerajaan dalam rundingan damai itu.

"Rakyat Pakistan bertanya kepada saya, "Tuan Presiden, dengan siapa kamu berunding, siapa kah pihak yang ajak berunding?"

"Saya tidak mempunyai jawapan, selain berkata, rakan saya ajak berunding atau pihak yang dibawa berunding ialah Pakistan," katanya menerusi rakaman video mesyuarat yang diadakan Jumaat lalu.

Rabbani merupakan pengerusi Majlis Perdamaian Tertinggi yang ditubuhkan oleh Karzai pada Oktober tahun lalu bagi mendekati Taliban.

Beliau terbunuh dalam serangan seorang pengebom berani mati yang menyamar sebagai salah seorang utusan damai daripada majlis kepimpinan Taliban yang dipanggil Quetta Shura.

Namun, Karzai pada mesyuarat tersebut mempersoalkan sama ada Taliban mempunyai majlis kepimpinan yang berfungsi.

"Saya tidak bertemu dengan Mullah Omar (pemimpin Taliban), di mana dia? Saya juga tidak tahu di manakah shura Taliban itu.

"Seseorang datang dan memperkenalkan dirinya sebagai wakil rundingan damai itu, dan terbunuh, jadi dengan siapa kita perlu berunding sebenarnya? Dengan Pakistan," katanya. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Setuju sambung rundingan damai hanya helah Israel - Palestin


03/10/2011 2:53am

RAMALLAH 3 Okt. - Palestin semalam menolak untuk berunding dengan Israel yang tidak menghentikan penempatan haram walaupun rejim Zionis itu mengalu-alukan permintaan empat pihak antarabangsa untuk menyambung semula proses rundingan damai.

Perunding Palestin, Saeb Erakat berkata, kenyataan yang dikeluarkan pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu merupakan 'satu helah untuk mengaburi masyarakat antarabangsa'.

"Jika dia (Netanyahu) bersetuju dengan pelan damai yang dicadangkan empat pihak antarabangsa iaitu Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Rusia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, maka dia perlu mengumumkan untuk menghentikan aktiviti penempatan haram di Palestin.

"Malah dia juga perlu menerima syarat garis sempadan 1967 seperti yang dikemukakan oleh pihak antarabangsa itu," katanya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Kempen pilihan raya bebas Tunisia bermula, 110 parti bertanding


03/10/2011 2:53am

TUNIS 3 Okt. - Bandar-bandar Tunisia dihiasi dengan poster beratus-ratus calon daripada parti-parti baru apabila kempen pilihan raya bermula Sabtu, pilihan raya bebas bebas yang pertama dalam sejarah negara itu.

Kempen pilihan raya tersebut diadakan selepas sembilan bulan kejatuhan bekas Presiden, Zine El Abidine Ben Ali dalam satu demonstrasi besar-besaran yang diadakan oleh rakyatnya, sekali gus menjadi inspirasi yang dikenali sebagai Arab Spring.

Rakyat Tunisia akan mengundi sekali lagi pada 23 Oktober ini untuk membentuk Parlimen bagi merombak semula Perlembagaan negara itu.

Satu jawatankuasa bebas ditubuhkan oleh kerajaan sementara Tunisia untuk menyelia pengundian berkata, hampir 11, 000 calon daripada 110 parti akan bertanding merebut 218 kerusi Parlimen dalam pilihan raya tersebut. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

NATO: 10,000 peluru berpandu Libya hilang


BERLIN 2 Okt. - Pegawai kanan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mendedahkan kepada media Jerman hari ini, bahawa sekurang-kurangnya 10,000 peluru berpandu di Libya hilang, sekali gus melahirkan kebimbangan sekiranya peluru tersebut jatuh ke tangan kumpulan militan al-Qaeda.

Akhbar Der Spiegel melaporkan, Laksamana Giampaolo di Paola, yang mempengerusikan jawatankuasa yang terdiri daripada ketua-ketua ketenteraan (NATO), melahirkan kebimbangan berhubung isu tersebut ketika mengadakan taklimat rahsia untuk ahli Parlimen Jerman pada Isnin lalu.

"Peluru berpandu tersebut mungkin berada di negara lain atau jatuh ke pihak yang salah. Kehilangannya boleh memberi ancaman serius kepada operasi penerbangan awam," katanya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Pesawat pejuang tersalah sasar, 25 askar Yemen maut



Askar kerajaan berada di atas kenderaan tentera bagi mengawal tunjuk perasaan antikerajaan di Dataran Tagheer di Sanaa, semalam. - REUTERS


ADEN 2 Okt. - Sekurang-kurangnya 25 askar Yemen maut apabila sebuah pesawat pejuang negara ini tersalah sasaran mengebom sebuah akademi tentera di selatan pekan Zinbijar dan terbabit dalam pertempuran dengan militan yang dikaitkan dengan al-Qaeda di selatan Yemen, hari ini.

Menurut pegawai, sejumlah askar terbunuh apabila serangan tentera udara Yemen tersalah sasar mengenai akademi itu di pekan Zinbijar.

Kemudiannya beratus-ratus militan Partisan of Sharia bergegas ke lokasi kejadian dan tercetus pertempuran antara kumpulan terbabit dengan pihak tentera.

Seorang pegawai tentera yang enggan dikenali berkata, serangan udara itu menyebabkan sejumlah besar anggota tentera terbunuh.

"Kumpulan militan al-Qaeda turut menyerang akademi tersebut selepas serangan udara itu dan membunuh lebih ramai tentera," katanya.

Pegawai di hospital tentera memaklumkan, mereka tidak dapat memastikan jumlah sebenar angka yang terkorban memandangkan ambulans tidak dapat ke lokasi serangan kerana berlakunya pertempuran sengit antara tentera dan militan.

Zinbijar merupakan ibu kota wilayah bergolak Abyan, dan sekurang-kurangnya tiga pekan dikuasai oleh puak militan pada Mei lalu sebelum pihak tentera berusaha menawan semula kawasan yang dirampas itu. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Guangxhi rugi AS$129 juta akibatTaufan Nesat


03/10/2011 2:53am

BEIJING 3 Okt. - Tiga orang terbunuh di selatan China selepas ribut tropika kuat menyebabkan banjir, memusnahkan rumah dan tanaman, semalam.

Mangsa yang merupakan penduduk kampung di wilayah Lingshan, maut selepas rumah mereka runtuh dalam bencana tersebut.

Menurut agensi berita Xinhua, ribut tersebut telah melanda wilayah Guangxhi dan menyebabkan kerugian ekonomi kira-kira AS$129 juta (RM387 juta).

Beijing sebelum ini mengeluarkan amaran tahap merah untuk kali pertama pada tahun ini, menurunkan kategori Taufan Nesat kepada ribut tropikal kuat selepas 300,000 dipindahkan ke kawasan selamat di wilayah Hainan pada Khamis lalu. - AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Jurujual mati tersepit

REMBAU: Seorang jurujual kereta maut apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas dan motosikal di Kilometer 19, Jalan Seremban-Tampin, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa, B Manivanan, 32, dari Taman Sri Serdang, Selangor, yang memandu seorang diri meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dan cedera parah di kepala serta badan.

Difahamkan, penunggang dan pembonceng motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari Melaka ke Jelebu mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pemandu bas, Low Kam Sang, 55, berkata ketika itu dia sedang memandu bas dari Tampin menghala ke Seremban dengan membawa 25 penumpang terkejut apabila sebuah kereta datang dari arah bertentangan merempuh bahagian depan bas.

Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan bas yang dipandunya terbabas ke laluan bertentangan selepas perlanggaran itu, menyebabkan semua penumpang di dalam bas panik dan menjerit ketakutan.

“Sudah 30 tahun saya memandu bas dan ini kali pertama saya terbabit dalam kemalangan, malah kejadian kali ini membuatkan saya terkejut dan tidak menyangka akan berdepan dengan keadaan seperti ini,” katanya.


Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Wira dipandu mangsa hilang kawalan ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan bas itu.

Pada masa sama, penunggang motosikal yang mengekori dari belakang bas turut terbabit dalam kemalangan dan mengalami kecederaan. Bagaimanapun punca kejadian sebenar masih disiasat,” katanya.

Katanya, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau turut dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa tersepit dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat.

AS berjaga-jaga ekoran kematian Anwar al-Awlaqi

WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam mengeluarkan amaran kepada rakyatnya mengenai kemungkinan serangan balas selepas dua tokoh kumpulan al-Qaeda terbunuh dalam serangan udara di Yaman. Jabatan Negara mengeluarkan amaran selepas pembunuhan ulama kelahiran Amerika Syarikat, Anwar al-Awlaqi, yang didakwa Presiden Barack Obama sebagai pemimpin operasi luar al-Qaeda Semenanjung Arab (Aqap). Turut terbunuh dalam serangan itu ialah rakyat Amerika kelahiran Pakistan, Samir Khan, pengarang majalah berbahasa Inggeris Al-Qaeda, ‘Inspire.’ “Kematian Anwar mungkin mencetuskan tindak balas anti-Amerika di seluruh dunia. “Anwar dan anggota Aqap lain, sebelum ini menggesa serangan dilakukan ke atas Amerika Syarikat, rakyat dan juga kepentingannya,” menurut kenyataan Jabatan Negara. Kementerian Pertahanan Yaman berkata, Anwar terbunuh Jumaat lalu dalam serangan udara di wilayah Marib. Seorang lelaki yang cedera dalam serangan itu berkata, seramai tujuh orang terbunuh. Pesuruhjaya Polis New York, Ray Kelly berkata, anggotanya dikerah berjaga-jaga berikutan kematian Anwar, bagi menghadapi kemungkinan tindak balas daripada penyokongnya. “Kami tahu beliau mempunyai pengikut di Amerika Syarikat, termasuk di Bandar Raya New York,” kata Kelly. - Reuters

Puluhan ribu penduduk Filipina dipindah

CALUMPIT (Filipina): Kerajaan Filipina menghantar helikopter, bot dan kenderaan amfibia, semalam dalam usaha memindahkan berpuluh-puluh ribu penduduk yang terjejas oleh taufan yang melanda negara itu.
Bagaimanapun, petugas penyelamat dan pihak berkuasa berkata, mustahil untuk memindahkan setiap orang ke tempat selamat apabila kebanyakan mereka enggan meninggalkan kediaman walaupun amaran paras air banjir mungkin terus meningkat sudah dikeluarkan.

“Kami tidak dapat memindahkan mereka semua. Mereka terlalu ramai. Ia sesuatu yang mustahil,” kata Datuk Bandar Calumpit, James de Jesus. Kebanyakan penduduk di bandar itu juga didapati tidak berjaga-jaga dengan paras air yang semakin meningkat. “Kami menyeru bantuan daripada tentera supaya menyalurkan makanan dan air kepada beribu-ribu penduduk yang masih ada di atas bumbung atau tingkat dua kediaman mereka,” katanya.

Taufan Nalgae melanda Filipina, kelmarin selepas enam jam membadai Pulau Luzon menimbulkan masalah baru kepada lebih sejuta penduduk yang terjejas oleh taufan Nesat yang melanda lima hari sebelum itu. - AFP

Helah peragut minta simpati



Oleh Safeek Affendy Razali
bhnews@bharian.com.my
2011/10/03

 DUA peragut yang ditahan selepas cuba meragut beg seorang wanita di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
DUA peragut yang ditahan selepas cuba meragut beg seorang wanita di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi semalam.
Bekas penuntut kolej swasta, rakan lakukan jenayah kerana terdesak 

KUALA LUMPUR: "Saya meragut sebab tak ada duit... lagipun saya baru habis belajar," demikian pengakuan salah seorang daripada dua suspek yang ditahan selepas cuba meragut beg seorang wanita di Jalan Sultan Ismail di sini, awal pagi semalam.
Mereka yang ditahan empat anggota polis ketika melakukan rondaan cegah lumba haram pada jam 4 pagi, turut mengaku melakukan empat jenayah ragut di sekitar ibu negara sejak sebulan lalu untuk mencari wang belanja harian.
Kedua-dua suspek, seorang bekas penuntut sebuah kolej swasta di Bangi dan seorang lagi pekerja stor syarikat utiliti air ditangkap ketika cuba meragut beg mangsa di hadapan sebuah pusat hiburan. 

Bagaimanapun, tindakannya menggenggam kuat beg tangannya berjaya menggagalkan cubaan ragut itu, namun mangsa cedera selepas diseret tiga meter. 

Pada ketika sama, sepasukan empat anggota polis dari Unit Khas Polis Trafik Kuala Lumpur yang kebetulan sedang menjalankan tugas meronda di kawasan berkenaan menyaksikan kejadian itu bertindak mengejar kedua-dua lelaki terbabit. 

Menyedari mereka dikejar, kedua-dua suspek berusia 20 dan 23 tahun itu bertindak memecut motosikal yang dinaiki mereka ke arah Jalan Kuching sebelum ditahan di Jalan Kinabalu, empat kilometer dari tempat kejadian dan dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk siasatan lanjut. 
Hasil siasatan mendapati motosikal Yamaha 125-Z yang dibaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu. 

“Kami jarang dapat wang tunai, kadang-kadang kami hanya dapat melarikan telefon bimbit yang kemudian dijual untuk dapatkan wang belanja,” katanya kepada pegawai penyiasat. 

Kedua-dua mereka kemudian diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan tanpa senjata.

'Warga Pakistan bunuh Rabbani'





2011/10/03

Burhanuddin Rabbani
Burhanuddin Rabbani
Kenyataan dari istana Presiden menyebut kematian utusan damai dirancang di Quetta 

KABUL: Pembunuh utusan damai Afghanistan, Burhanuddin Rabbani adalah warga Pakistan, kata satu kenyataan dari istana presiden Afghanistan semalam, memetik penyiasat sebagai berkata.
“Bukti menunjukkan kematian Rabbani bulan lalu ‘dirancang’ di Quetta dan individu yang melakukan serangan bunuh diri ke atas Rabbani adalah warga Pakistan,” kata kenyataan itu.
Ia menambah bahawa pembunuh tinggal di Chaman, bandar sempadan Pakistan berhampiran Quetta. 

Rabbani, Pengerusi Majlis Tinggi Damai Presiden Hamid Karzai, dibunuh oleh seorang pengebom bunuh diri memakai serban di rumahnya di sini 20 September lalu. 

Beliau menganggap dirinya bertemu dengan seorang wakil yang membawa mesej khas daripada Taliban. 

Kerajaan Karzai berusaha untuk memulakan rundingan dengan Taliban dalam cubaan menamatkan pemberontakan 10 tahun di Afghanistan namun tidak berhasil. 
Jurucakap Karzai, Siamak Herawi, berkata semalam presiden sedang mengkaji strategi damainya, menambah beliau akan mendedahkan langkah seterusnya ‘tidak lama lagi.’ 

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Afghan mahu melihat Pakistan membuktikan jaminannya untuk menggunakan pengaruhnya bagi membantu menamatkan pemberontakan Taliban, kata seorang jurucakap kementerian luar semalam. 

Kenyataan itu muncul sehari selepas Karzai berkata beliau sudah berputus asa untuk cuba berunding secara langsung dengan Taliban dan kunci bagi menamatkan perang adalah bantuan Pakistan sebagai orang tengah. 

Ia menambah kekecewaan mendalam pihak berkuasa Afghan berhubung ketidakupayaan mereka berurusan dengan satu halangan besar menamatkan perang di Afghanistan, syurga pemberontak menyeberangi sempadan di Pakistan. – AFP/AP

10,000 peluru berpandu NATO dilaporkan hilang di Libya





2011/10/03

BERLIN: Sekurang-kurangnya 10,000 peluru berpandu kepunyaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dilaporkan hilang di Libya, kata seorang pegawai kanan pertubuhan di tengah kebimbangan ia mungkin jatuh ke tangan anggota al-Qaeda. 

Majalah Der Speigel di Jerman melaporkan dalam laman webnya, Laksamana Giampolo di Paolo, yang mempengerusikan jawatankuasa ketua tentera NATO, mengadakan taklimat sulit kepada ahli Parlimen Jerman hari ini dan meluahkan kebimbangan mengenai kehilangan itu.
Senjata berkenaan mungkin berada di negara lain dan dalam tangan yang salah, kata laksamana itu.
Spiegel melaporkan ia mungkin berada di mana-mana saja dari Kenya ke Kunduz di Afghanistan. 

“Peluru berpandu itu memberikan ancaman serius kepada sistem penerbangan sivil,” kata di Paolo. 

Laporan berkenaan menyamai kenyataan dibuat pegawai tentera kepemimpinan baru Libya, kelmarin. 

Jeneral Mohammed Adia memberitahu wartawan kira-kira 5,000 roket antipesawat SAM-7 hilang. 
“Malangnya, sebahagian peluru berpandu ini mungkin jatuh ke dalam tangan yang salah di luar negara,” katanya kepada wartawan di depan bekas depo senjata pemimpin Libya yang digulingkan, Muammar Gaddafi di Benghazi. 

Amerika Syarikat menegaskan ia bekerjasama dengan pemimpin kerajaan sementara Libya untuk memastikan keselamatan senjata, di tengah kebimbangan berhubung pertambahan senjata. 

Jabatan Negeri Amerika memperuntukkan AS$3 juta (RM9.3) untuk membantu melupuskan senjata. 

Sementara itu di TRIPOLI, sekeluarga empat beranak maut terkena tembakan mesingan kelmarin apabila cuba keluar dari bandar kelahiran Muammar Gaddafi bersama-sama beratus penduduk lain, ketika tentera yang setia kepada bekas pemimpin itu bertempur dengan pejuang revolusi yang mengepung bandar raya berkenaan. 

Mayat sepasang suami isteri dan dua anak mereka di bawa ke hospital sementara di luar Sirte, kata doktor di situ, Nuri Naari. Mereka terkena tembakan mesingan ketika memandu ke arah kedudukan pasukan revolusi, katanya. Masih tidak jelas siapa sebenarnya membunuh keluarga itu. 

Sementara itu, komander atasan Amerika bagi Afrika memberitahu The Associated Press kelmarin bahawa misi ketenteraan di Libya hampir tamat dan pembabitan NATO dijangka selesai seawal minggu depan selepas pemimpin bersekutu bertemu di Brussels. 

Sirte ialah satu daripada bandar raya terakhir masih kekal dalam genggaman tentera yang setia kepada Gaddafi. Selepas beberapa bulan berdepan kebuntuan dalam perang saudara di Libya, tentera antiGaddafi menyusup masuk ke Tripoli Ogos lalu dan pemimpin mereka menubuhkan kerajaan peralihan. Bagaimanapun, pertempuran berterusan dan kegagalan mencari dan menangkap Gaddafi menghalang pemimpin baru negara itu mengisytiharkan kemenangan. – AP/AFP

Kongres AS henti bantu Palestin





2011/10/03

PETANI Palestin melintasi halangan   didirikan   Israel di atas tanah Palestin untuk menuai hasil buah  zaitun mereka di dalam ladang berhampiran penempatan Yahudi Elon.
PETANI Palestin melintasi halangan didirikan Israel di atas tanah Palestin untuk menuai hasil buah zaitun mereka di dalam ladang berhampiran penempatan Yahudi Elon.
Reaksi balas hukuman terhadap PA kerana mohon jadi anggota PBB

LONDON: Tiga jawatankuasa kongres menghentikan pembiayaan bantuan dan kewangan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) sebagai reaksi balas kepada cubaan memohon keang-gotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), langkah yang disifatkan PA sebagai hukuman kolektif, lapor akhbar The Independent.
Kongres Amerika Syarikat menghalang pemberian bernilai hampir AS$200 juta (RM638 juta) dalam bentuk bantuan kepada penduduk wilayah itu. Bantuan berkenaan, yang dikhaskan untuk projek berkaitan makanan, penjagaan kesihatan dan usaha membangunkan wilayah, sepatutnya dipindahkan kepada PA pada tahun fiskal Amerika yang berakhir kelmarin, lapor akhbar itu.
Bantuan itu kebanyakannya digunakan untuk projek pembangunan dan kemanusiaan, ia adalah satu bentuk hukuman yang pasti menjejaskan keperluan penduduk, manakala alasan yang diberi adalah tidak munasabah. - Ghassan Khatib, Ketua jurucakap PA Laporan
Akhbar berkenaan menggambarkan tindakan itu sebagai ‘sekatan yang tidak diumumkan’ sejak Ogos lalu sebagai tindak balas kepada usaha Palestin memohon keanggotaan PBB.

Ketua jurucakap PA, Ghassan Khatib, Jumaat lalu berkata, tindakan Kongres itu tidak adil.

“Bantuan itu kebanyakannya digunakan untuk projek pembangunan dan kemanusiaan, ia adalah satu bentuk hukuman yang pasti menjejaskan keperluan penduduk, manakala alasan yang diberi adalah tidak munasabah,” lapor Independent memetik beliau sebagai berkata.

Pelbagai pihak di Kongres membuat desakan dari semasa ke semasa untuk menghentikan pembiayaan kepada PA jika ia terus memohon penubuhan negara merdeka. 
Anggota Jawatankuasa Kecil Dewan mengenai Asia Barat dan Asia Selatan daripada parti Republikan, Gary Ackerman, berkata mungkin ada keperluan untuk menghentikan semua bantuan kepada Palestin kerana meneruskan usaha mereka yang dianggap ‘amat bahaya’.

Resolusi 268, diluluskan oleh majoriti di Kongres Julai lalu, menggesa pentadbiran Presiden Barack Obama menggantung bantuan kewangan kepada PA jika ia memohon undian di PBB bagi mengiktiraf negara merdeka Palestin dan menyeru supaya rundingan damai Israel dan Palestin diteruskan semula.

Panel Majlis Keselamatan PBB yang bertanggungjawab menerima anggota baru mengadakan pertemuan Jumaat lalu buat kali pertama mengenai permohonan Palestin untuk menyertai badan dunia itu ketika wilayah berkenaan melobi anggota majlis untuk mendapatkan sokongan.

Dalam perkembangan lain, perunding kanan Palestin, Nabil Shaath, menyifatkan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair tidak berguna kerana bercakap seolah-olah dia adalah diplomat Israel ketika menyatakan usaha mengadakan semula rundingan damai itu terlalu samar.

Shaath berkata, ketika PA masih belum bertanya mengenai empat pihak yang menjadi orang tengah rundingan itu iaitu Amerika, Kesatuan Eropah, Russia dan PBB, untuk menggantikannya, jelas Blair tidak lagi memihak kepada Palestin.

Katanya, ketika kenyataan empat pihak itu yang dikeluarkan Jumaat lalu, bertujuan melancarkan semula rundingan secara Palestin dan Israel, mempunyai banyak kelemahan.

“Jika keempat-empat pihak dibiarkan membuat tafsiran sendiri, ia mungkin mengambil masa sehingga 20 tahun untuk berunding. Mereka perlu lebih tegas, menghentikan pembinaan penempatan, hentikan keganasan dan menerima syarat,” katanya. – Agensi