Wednesday, 12 October 2011

Wanita bunuh ibu hamil diikat jamin RM3.13 juta



AP
ANNETTE MORALES-RODRIGUES dihadapkan ke sebuah mahkamah di Milwaukee kelmarin.


MILWAUKEE, Amerika Syarikat - Sebuah mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak AS$1 juta (RM3.13 juta) ke atas seorang wanita, Annette Morales-Rodriguez yang berpura-pura mengandung sebelum menyerang dan membunuh seorang ibu yang sarat mengandung dengan menggunakan kayu pemukul besbol dan membelah perut mangsa dengan pisau untuk mengeluarkan bayinya.

Wanita yang mati itu, Maritza Ramirez-Cruz dan bayi yang dijangka dilahirkan pada minggu hadapan, mati dalam kejadian tersebut, menurut dokumen mahkamah yang difailkan kelmarin.

Morales-Rodriguez, 33, menghadapi tuduhan membunuh dengan sengaja tahap pertama dengan menggunakan senjata serta membunuh janin dengan menggunakan senjata.

Morales-Rodriguez yang hadir ke mahkamah, berhadapan hukuman mandatori penjara seumur hidup jika didapati bersalah.

"Saya tidak tahu apa yang berada di dalam fikirannya," kata Maria Garcia, 44, yang tinggal berjiran dengannya.

Menurut laporan siasatan, Morales-Rodriguez memberitahu teman lelakinya mahu mempunyai anak tetapi dia tidak mengandung.

Wanita itu kemudian berpura-pura hamil dan apabila jangkaan kelahiran palsunya semakin dekat dia mencari wanita hamil.

Morales-Rodriguez kemudian mencari wanita yang hamil dan menemui Ramirez-Cruz di sebuah pusat perlindungan.

Dia kemudian menawarkan Ramirez-Cruz menaiki keretanya dan berhenti di rumahnya dengan alasan untuk menukar kasut pada Khamis lalu.

Morales-Rodriguez kemudian bertindak membunuh Ramirez Cruz dengan kayu besbol sebelum membelah perutnya dengan tujuan untuk mengambil bayinya untuk dijadikan anaknya. - AP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Ibu pejabat polis di Sirte dikuasai pejuang anti-Gaddafi



BEBERAPA pejuang anti-Muammar Gaddafi berdiri di luar ibu pejabat polis yang dikuasai mereka di bandar Sirte, Libya semalam.


SIRTE - Para pejuang daripada pihak Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) berjaya merampas ibu pejabat polis di bandar kelahiran bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam.

Pejuang-pejuang itu kini memburu Gaddafi yang masih bersembunyi selepas rejimnya tumbang di tangan kumpulan yang menentangnya pada Ogos lalu.

Para pejuang NTC meraikan kemenangan mereka merampas ibu pejabat polis tersebut daripada penyokong-penyokong Gaddafi dengan membunyikan hon kenderaan dan melepaskan tembakan ke udara.

Mereka kemudian menggeledah dan memusnahkan poster Gaddafi yang dijumpai dalam ibu pejabat tersebut. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Thai cuba halang banjir ke lapangan terbang Bangkok



AFP
DUA penduduk berjalan di belakang dinding beg pasir di wilayah Nonthaburi, pinggir Bangkok semalam.


BANGKOK - Thailand meningkatkan pertahanan di lapangan terbang utamanya di sini dan beberapa kawasan lain bagi melindungi 12 juta penduduk di Bangkok daripada berdepan masalah banjir.

Dinding-dinding perlindungan banjir dinaikkan sehingga 3.5 meter di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, kata Pemangku Pengarah Lapangan Terbang Thailand, Somchai Sawasdipol.

Beliau berkata, lapangan terbang itu akan terus beroperasi seperti biasa.

"Saya yakin (akan dapat menghalang banjir di lapangan terbang itu) tetapi kami tidak akan cuai," katanya.

Menurutnya, lapangan terbang itu mempunyai dua stesen pam air utama dan sebuah pasukan pemantau selama 24 jam.

Sekurang-kurangnya 269 orang mati dalam banjir yang berlaku di Thailand sejak dua bulan lalu. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Bekas PM Ukraine dipenjarakan tujuh tahun



Reuters
SATU kombinasi gambar menunjukkan Yulia Tymoshenko diminta oleh seorang pegawai Keselamatan Dalam negeri supaya bertenang semasa hakim membacakan hukuman terhadapnya di sebuah mahkamah di Kiev semalam.


KIEV - Bekas Perdana Menteri Ukraine, Yulia Tymoshenko semalam dihukum penjara tujuh tahun berhubung satu urusan perjanjian gas pada 2009.

Hakim sebuah mahkamah di sini, Rodion Kireyev menyatakan kontrak perjanjian untuk import gas dari Rusia yang ditandatangani pada 2009 telah menyebabkan kerugian besar buat Ukraine.

Menurut hakim itu, bekas Perdana Menteri itu menyebabkan kerugian kepada syarikat gas negara sebanyak AS$190 juta (RM597.07 juta) kerana menandatangani kontrak pengimportan gas dengan Rusia.

Pihak pendakwa raya mendakwa Tymoshenko melanggar prosedur undang-undang dengan menandatangani kontrak tersebut.

"Mahkamah memutuskan bahawa Y.V Tymoshenko berhasrat untuk menggunakan kuasanya untuk tujuan jenayah," katanya dalam penghakimannya.

"Pihak mahkamah mendapati dia bersalah dan menghukumnya tujuh tahun penjara," kata hakim tersebut.

Tymoshenko yang terkenal dengan rambut perang yang berpintal di kepalanya menjerit kepada penyokongnya dalam kamar mahkamah: "Kebanggaan Buat Ukaraine."

Dia juga berkata: "Kami akan berjuang untuk mempertahankan nama baik saya di mahkamah Eropah. Hari ini mahkamah menunjukkan bahawa sistem keadilan telah dihancurkan. Berjuang, mari bersama-sama, jadi kuat.

Seramai seribu orang yang merupakan penyokong bekas Perdana Menteri itu berhimpun selepas keputusan itu dibuat hakim.

Anggota-anggota polis pencegah rusuhan terpaksa menghalang tunjuk perasaan para penyokong Tymoshenko yang cuba membuat sekatan di sebatang jalan raya, kata seorang jurucakap polis.

Menurutnya, seramai 12 penunjuk perasaan ditahan pada tengah hari semalam. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'