Thursday, 6 October 2011

Polis tahan 7 lelaki bantu siasatan kes bunuh suami isteri

SHAH ALAM: Polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang bapa dan anaknya bagi membantu siasatan kes pembunuhan sepasang suami isteri di sebuah dusun durian berhampiran kebun getah di Batu 30, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Hulu Yam, Selangor pada 28 September lalu. Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata kesemua suspek warganegara tempatan itu berusia antara 16 dan 44 tahun ditahan di beberapa lokasi pada 30 Sept dan 3 Oktober lalu. "Tangkapan pertama membabitkan lima lelaki warga tempatan di mana tiga daripada suspek didapati mempunyai rekod kesalahan lampau serta dua lagi masih berstatus Ordinan Pencegahan Jenayah (PCO) di kawasan Ulu Yam. "Dua lagi suspek ditahan pada Isnin lepas dan kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah namun seorang daripadanya positif dadah jenis syabu," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini. Beliau berkata semalam, polis turut menjumpai dua bilah parang yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa di dalam Sungai Selangor Rasa, Batang Kali, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian. Thaiveegan berkata kejadian bunuh itu dipercayai bermotif dendam dan perselisihan faham. Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi pada 28 September lalu, mayat L Ramasandram, 57, dan isterinya A.Bakiam, 51, ditemui dalam keadaan terlentang di atas jalan tanah merah berhampiran dusun durian. Ramasandram cedera teruk di kepala dengan kelima-lima jari tangan kanannya putus manakala Bakiam hampir putus pergelangan tangan selain turut ditetak di kepala. Pasangan terbabit dikatakan keluar rumah seawal 5 pagi untuk menoreh getah di kebun terbabit yang terletak dua kilometer dari rumah mereka. - Bernama

No comments:

Post a Comment