Sunday, 16 October 2011

Mungkin terjun bangunan

SH:



IPOH - Seorang lelaki dipercayai sempat mengelar pergelangan tangannya, sebelum maut selepas bertindak terjun dari tingkat atas tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jalan Datuk Onn Jaafar lewat petang kelmarin.

Mangsa, Sem Khai Choong, 29, dari Jalan Sultan Iskandar di sini, didapati maut serta merta di tempat kejadian.

Seorang saksi yang enggan dikenali memberitahu beliau melihat mangsa sedang berlegar-legar di kawasan tempat letak kereta dalam keadaan gelisah.

Bagaimanapun, menurutnya mangsa nekad terjun daripada kawasan tempat letak kereta itu secara tiba-tiba.

“Selepas itu, apa yang saya lihat hanyalah tubuh mangsa yang kelihatan longlai dan tidak bergerak lagi,” katanya yang terkejut dengan insiden kejadian terbabit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata mayat berkenaan ditemui oleh orang awam kira-kira jam 5.45 petang semalam.

Menurutnya, orang awam yang lalu di kawasan terbabit melihat sekujur tubuh lelaki dalam keadaan terbaring di atas jalan raya berhampiran pasar raya berkenaan.

Katanya, orang awam yang melihat mayat lelaki itu segera menghubungi polis bagi melaporkan kejadian yang berlaku.

“Setakat ini polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut memandangkan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ditemui pada mangsa.

“Namun, kami masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa,” katanya ketika dihubungi. semalam.

Mangsa yang maut dan mengalami cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan lain kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

'via Blog this'

Bumbung terbang bawa buaian

SH:



KUBANG ROTAN - “Saya tidak dapat bayangkan jika anak saya tidur dalam buaian ketika kejadian kerana buaiannya diikat pada alang yang turut diterbangkan ribut bersama bumbung rumah,” kata Abdul Aziz Noor.

Bapa kepada bayi perempuan, Noor Alia Arisya yang berusia setahun lapan bulan berkata demikian ketika menceritakan kejadian ribut yang melanda rumah mereka di Kampung Kelonchor, malam Jumaat lalu.

Abdul Aziz, 29, berkata, sewaktu kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dia dan isteri, Nor Hayati Md Isa, 24, serta anak mereka sedang tidur di dalam rumah berkenaan.

“Ketika itu, hujan lebat disertai guruh dan angin kencang. Saya terjaga dari tidur setelah terkena tempias air hujan, malah ketika itu saya juga terasa rumah kami seolah-olah bergegar.

“Saya kemudian mengejutkan isteri dan mendukung anak untuk keluar dari rumah. Sebaik menyelamatkan diri ke rumah ayah saya yang terletak berhampiran, saya lihat bumbung rumah sudah diterbangkan ribut, syukur kerana tiada siapa yang cedera,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, rumah itu adalah milik bapanya dan dia sudah menetap di rumah berkenaan sejak dua tahun lalu.

“Saya tidak menyangka ribut itu akan menerbangkan bumbung rumah saya, malah tidak dapat bayangkan jika sewaktu kejadian, bayi saya berada dalam buaian yang diikat pada kayu alang rumah itu, memandangkan kesemuanya turut diterbangkan angin.

“Ada ketikanya, Noor Alia Arisya tidur di dalam buaian berkenaan, bagaimanapun pada malam kejadian, dia tidur di atas tilam bersama saya dan isteri,” katanya.

Dia kini terpaksa menumpang sementara waktu di rumah ayahnya, Noor Saidin, 74.

'via Blog this'

Rahsia janda terbongkar

SH:


SIMPANG RENGGAM - Penguatkuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) berjaya menangkap satu pasangan di Taman Bukit Renggam, Simpang Renggam yang disyaki bersekedudukan selama dua tahun sehingga mempunyai anak luar nikah, pada jam 2 pagi kelmarin.

Tangkapan tersebut dilakukan dalam satu operasi yang dijalankan JAJ di kawasan Simpang Renggam dan melalui hasil maklumat orang awam.

Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, lelaki yang ditahan berusia 37 tahun, bekerja sebagai pemotong rumput dan pasangannya merupakan janda yang sudah kematian suami dua tahun lalu.

“Wanita berkenaan mempunyai tiga anak dan hasil siasatan dipercayai dua anak wanita berkenaan yang berusia empat dan sembilan tahun adalah hasil daripada perkahwinannya bersama arwah suaminya, kedua-duanya adalah lelaki.

“Manakala seorang lagi anak perempuan yang berusia dua tahun itu merupakan anak luar nikah hasil daripada perbuatan persetubuhan luar nikah pasangan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Khalil berkata, pasangan berkenaan akan didakwa kerana berkhalwat di bawah seksyen 27 Enakmen kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh di denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Manakala, atas kesalahan persetubuhan luar nikah sehingga melahirkan anak, beliau berkata, mereka akan didakwa di bawah seksyen 23 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang boleh di denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam kali sebatan.

Dalam kes lain, dua lelaki berusia 44 dan 53 tahun ditahan JAJ di kedai judi nombor ekor di Simpang Renggam, semalam.

Kedua-dua lelaki tersebut ditangkap lebih kurang jam 12.40 tengah hari dan kedua-duanya bekerja sebagai kakitangan kerajaan di Simpang Renggam.

Mohd Khalil berkata, kedua-dua lelaki terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana membeli atau berada di dalam kedai judi.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

'via Blog this'

Suami rayu isteri, dua anak segera pulang

SH:



GEORGETOWN - Seorang lelaki merayu agar isteri dan dua anak lelakinya pulang ke pangkuan keluarga selepas mereka meninggalkan rumah Selasa lepas.

Ooi Gim Yu, 35, yang tinggal di Jeti Weld Quay di sini berkata, isterinya Ooi Bee Ling, 37, keluar dari rumah ketika mengambil dua anak mereka dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lin Leik (1) di sini.

Isterinya membawa bersama dua anak lelaki mereka iaitu Ooi Yong Chong dan Ooi Yong Chia masing-masing berusia sembilan dan lapan tahun, manakala dua lagi anak mereka yang berusia tiga tahun dan 18 bulan ditinggalkan di rumah.

“Selasa lepas, saya diberitahu oleh pemandu bas sekolah bahawa kedua-dua anak saya telah dijemput oleh isteri saya di sekolah dengan menaiki sebuah kereta dan ketika saya menghubunginya, panggilan tidak diangkat.

“Puas saya mencari isteri dan anak saya tetapi masih tidak jumpa, saya merayu supaya mereka menghubungi saya dan cepat pulang ke rumah,” katanya kepada pemberita di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Gim Yu berkata, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada jam 6.55 petang Khamis lepas dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai isteri dan dua anaknya itu supaya menghubungi beliau di talian 016-4961123 atau Biro Pengaduan Awam MCA negeri 04-2267827. - Bernama

'via Blog this'

Dua sahabat dihempap pokok

SH:



REMBAU – Hajat dua sahabat baik untuk beriadah di Hutan Lipur Gunung Datuk, dekat sini berakhir dengan tragedi apabila mereka dihempap dahan pokok reput sebaik saja sampai ke kawasan itu, semalam menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi itu, mangsa, Nor Syahira Mas Edde, 14, dari Kem Terendak, Melaka cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tampin.

Manakala, rakannya, Mohammad Zul Afiq Abdullah, 22, dari Kampung Melekai, Johol, Kuala Pilah cedera parah di bahagian kepala dan kaki.

Kedua-dua mangsa dikatakan baru saja turun daripada motosikal sebelum dihempap dahan pokok pulai dianggarkan berusia 200 tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, kejadian berlaku apabila dahan pokok yang reput di bahagian tengah jatuh sebelum menghempap kedua mangsa.

“Ukur lilit pokok pulai berkenaan adalah kira-kira 250 kaki dan pokok berkenaan dipercayai seberat lapan tan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kira-kira 11.58 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit selepas itu.

“Seramai enam anggota ditugaskan menyelamat serta mengambil masa kira-kira setengah jam membersihkan laluan keluar ke kawasan berkenaan yang terhalang dengan dahan reput itu,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Hutan Lipur Gunung Datuk, Abdul Rahman Idrus berkata, ketika kejadian, kira-kira 100 pengunjung berada di tapak kaki gunung berkenaan, , manakala lebih 100 lagi, sebahagian besar peserta kem anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah sedang mendaki gunung.

“Keadaan cuaca baik dan tiada sebarang angin kencang. Bagaimanapun, secara tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi pokok tumbang sebelum mendapati dua mangsa terhempap dahan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang kebetulan berada berdekatan lokasi berkenaan kerana bertugas untuk kem belia, bergegas membantu menyelamatkan mangsa.

'via Blog this'

Mayat berulat dalam kolam

SH:



PANDAMARAN - Empat sekawan yang ingin menghabiskan cuti hujung minggu persekolahan dengan memancing terkejut apabila mereka menemui mayat berulat dalam kolam di Permai Indah, di sini pagi semalam.

Mayat yang masih lengkap berbaju t-shirt kelabu dan berseluar panjang kelabu ditemui dalam keadaan kepalanya berada dalam kolam tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, mayat berkenaan ditemui oleh empat sekawan jam 10.30 pagi dalam keadaan sudah berbau busuk dipercayai sudah lama meninggal dunia.

“Mereka segera memaklumkan perkara itu kepada polis sebelum pihak berkuasa bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik mayat dibawa keluar dari kolam itu, ia sudah pun dalam keadaan berulat dan mereput sehingga sukar untuk dikenal pasti identitinya mangsa . Tambahan lagi tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada badan mayat mangsa.

“Berdasarkan hasil bedah siasat mendapati mayat lelaki itu berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun dan keturunan masih belum dapat dikenal pasti,” katanya.

Menurutnya, hasil bedah siasat juga mendapati tiada sebarang kesan jenayah pada mayat mangsa berkenaan.

“Berikutan itu, kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

'via Blog this'

Pandu melulu undang padah

SH:



PELABUHAN KLANG - Tindakan seorang pemandu keluar simpang dalam keadaan melulu mengundang padah apabila dua remaja cedera selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan kereta terbabit di lorong dalam Persiaran Raja Muda Musa berhadapan Bangunan MBO, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, kedua-dua remaja tersebut hanya mengalami kecederaan ringan bagaimanapun motosikal dinaiki rosak teruk pada bahagian hadapan.

Saksi dikenali sebagai Ali, 30-an, berkata, pemandu kereta Proton Waja keluar daripada simpang bersebelahan MBO dipercayai ingin membelok ke kanan menghala Lebuh Turi.

“Kebetulan kedua-dua mangsa yang datang dari arah Lebuh Turi dipercayai untuk pulang ke rumah tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta tersebut yang keluar daripada simpang secara tiba-tiba.

“Berikutan pertembungan itu, dua sekawan itu tercampak ke jalan raya. Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu segera memberikan bantuan dengan mengangkat kedua-duanya ke tempat yang selamat,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua mangsa dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut.

Sementara itu Sinar Harian yang berada di lokasi kejadian mendapati bahagian hadapan kereta Waja remuk.

'via Blog this'

Empat beradik diburu

SH:


BENTONG – Polis Bentong sedang mengesan empat beradik lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes bunuh pemandu lori, V Mogandas, 29, pada 9 Oktober lalu di Karak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor berkata, keempat-empat mereka dipercayai turut berada di tempat kejadian.

Menurutnya, mereka yang dicari ialah K Nagarajan, 24, atau dikenali sebagai Naga dan K Theveenraj (Theveen), 21, yang kedua-duanya beralamat Taman Seri Bayu 2, Karak.

“Manakala K Selva Rajan atau Kiki, 23, beralamat di Taman Bunga Raya, Karak dan K Sivanesan atau Siva, 18, beralamat di Taman Sri Bayu, Karak.

“Mereka yang dinyatakan ini diminta tampil ke balai polis berhampiran dan orang awam juga boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ismatie Ismail di talian 09- 223 1999 dan 09-222 2222,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.

Beliau berkata, sejak Ahad lalu polis sudah menahan 11 lelaki berumur dalam lingkungan 15 hingga 28 tahun untuk membantu siasatan.

Menurutnya, 10 lelaki terbabit direman sehingga hari ini dan polis akan membuat permohonan menyambung reman manakala seorang lagi remaja direman sehingga 18 Oktober.

“Kes tersebut dikatakan berpunca dari pertengkaran kecil dan kemudiannya menimbulkan pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian V Mogandash.

“Hasil bedah siasat dijalankan Mogandas mengalami pendarahan di kepala akibat dihentak dengan benda tumpul yang keras,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, kebanyakan suspek yang ditahan reman pernah dikenakan denda oleh mahkamah Julai tahun lalu di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.
'via Blog this'

417,506 tunggakan saman trafik Singapura

SH:


JOHOR BAHRU – Sebanyak 417,506 saman trafik membabitkan kenderaan Singapura yang direkodkan di seluruh Malaysia dari tahun 2000 hingga 2011 belum dijelaskan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 272,271 saman yang belum dilunaskan itu direkodkan di negeri Johor.

“Daripada September tahun ini, lebih daripada separuh saman trafik yang dikeluarkan kepada pemandu kenderaan Singapura itu dikesan melakukan kesalahan tersebut di Johor.

“Sehingga kini kita berjaya mengutip nilai kompaun RM22,571,991 dan bagi negeri ini sahaja ialah RM19,970,325 yang dibayar oleh pemilik kenderaan dari republik itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama media Johor dan Singapura, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, selain itu sebanyak RM126,320 jumlah denda telah dikenakan kepada pesalah trafik dari negara jiran itu yang diperintahkan oleh mahkamah.

Katanya, polis sedang merangka pelan bagi mengutip saman tertunggak atas kesalahan yang dilakukan pesalah dari republik berkenaan.

“Buat masa ini, polis mengadakan sekatan jalan raya untuk mengenalpasti dan menahan pemandu yang tidak melunaskan saman trafik mereka, dan kita berharap ia akan mengurangkan kadar tunggakan yang ada,” katanya.

Katanya, bagi tempoh 2000 hingga September 2011 bagi rekod seluruh negara, sebanyak 624,716 saman dikeluarkan dengan 206,918 telah dijelaskan.

Bagi rekod negeri Johor, 420,561 saman dikeluarkan dengan hanya 148,290 saman dilunaskan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar menjelaskan tahap keselamatan di Johor akan terus ditingkatkan khususnya bagi menangkis persepsi negatif mengenai ancaman bagi rakyat Singapura dan pelabur asing, ke negeri ini.

Katanya, tanggapan Johor negeri tidak selamat dikunjungi adalah tidak berasas.

“Hanya dua kes culik yang melibatkan rakyat Singapura dicatatkan dari tahun 2000 hingga kini, manakala jenayah melibatkan rakyat Singapura tahun 2010 hanya 320 orang berbanding 14 juta pelawat negara itu yang masuk negeri ini, iaitu hanya 0.002 peratus.

“Kalau kita kaji balik, tanggapan mengatakan untuk takut datang ke negeri ini tidak betul, tidak berasas sama sekali,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama media Johor dan Singapura, di sini, semalam.

Mohd Mokhtar berkata, kes yang membabitkan warga Singapura yang direkodkan ialah dengan kehilangan kereta dan motosikal.

Tegasnya, penjenayah tidak pernah memilih mangsanya berdasarkan kerakyatan, bangsa atau agama sebaliknya melakukan jenayah ke atas mangsa apabila mempunyai ruang dan peluang.

Beliau berharap dengan penjelasan yang disampaikan kepada media republik itu dapat memberikan gambaran yang tepat mengenai keadaan di negeri ini supaya keyakinan pelancong dan pelabur asing terhadap keselamatan mereka dapat ditingkatkan.

Dalam masa yang sama, pihaknya memberi jaminan akan melipatgandakan usaha bagi membanteras jenayah yang berlaku.

Beliau berkata, kerajaan dalam usaha meningkatkan keselamatan di Iskandar Malaysia dan memperuntukkan RM500 juta bagi pembinaan beberapa bangunan baru Ibu Pejabat Polis Daerah dan sedang berusaha menambah unit kereta peronda serta kamera litar tertutup bagi meningkatkan pengawasan.

'via Blog this'

Mangsa tembak sudah sedar

SH:


KOTA BHARU- Lelaki yang ditembak rakan sendiri dipercayai selepas bertengkar di Simpang Empat Salim, Rantau Panjang, Rabu lalu, sudah sedar dan boleh bergerak sedikit.

Mohd Anuar Mohd Nor, 31 yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II menunjukkan pemulihan setelah tiga hari menerima rawatan.

Isterinya, Miss Mati Mat Rashid, 29 berkata, walaupun masih lemah, tetapi keadaan itu menunjukkan tanda positif bahawa suaminya yang disifatkannya kuat semangat itu akan kembali pulih.

“Dia tidak pernah sakit. Kalau demam sekalipun saya tengok dia kuat semangat dan ini kali pertama dia sakit. Jadi, saya harap dia akan sembuh seperti sedia kala,” katanya ketika ditemui di hospital berkenaan, semalam.

Menurutnya, selain boleh menggerakkan badan sedikit, perkembangan baik itu juga kelihatan apabila suaminya pernah membuat tanda isyarat menunjukkan jari ke atas dan kadang-kala dilihat cuba memperkatakan sesuatu kepadanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Siti Esah Awang Hasan, 55, berkata, dia begitu hairan dengan kejadian menimpa anak ketiga daripada tujuh beradik itu kerana sepanjang pengetahuannya, anaknya itu tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa.

“Setahu makcik, dia tidak pernah ada musuh, tidak pernah bergaduh dengan orang, rumah tangga tidak ada masalah dan baik dengan ahli keluarga,” katanya.

'via Blog this'

Pemuda maut bertembung lori sawit

SH: "

KUALA KRAI- Seorang pemuda dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menghadiri majlis perkahwinan emak saudaranya maut selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya di kilometer 108, Jalan Kota Bharu, Gua Musang awal pagi tadi, semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 5.45 pagi, mangsa Wan Mohd Asyraf Wan Muhamed, 24, dari Kampung Wakaf Berangan, Pasir Puteh, maut selepas kereta dinaiki bersama abangnya, dan seorang sepupu mereka bertembung dengan sebuah treler muatan kelapa sawit. SH Kelantan/Azman"

'via Blog this'

12 rumah dan kedai terbakar di Rantau Panjang

SH: "

RANTAU PANJANG - 12 rumah dan kedai terbakar dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam kelmarin di pekan Rantau Panjang.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, kerugian dianggarkan RM300,000 ribu.-SH Kelantan/Azura Mohamad"

'via Blog this'

Warga Iran dihukum mati

SH: "
SHAH ALAM - Seorang jurujual peralatan elektrik warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi disini, semalam, selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis ketamin seberat 710 gram.

Mahkamah juga mengenakan penjara setahun kerana memiliki methylephedrine dan Ephedrine masing-masing seberat 2139 gram dan 1507 gram. - SH Mahkamah&Jenayah/Norawazni Yusof"

'via Blog this'

Tiga polis dipenjara lima tahun

SH: "

KUALA LUMPUR - Tiga anggota polis dipenjara lima tahun oleh mahkamah sesyen Ampang di sini, selepas didapati bersalah merompak seorang pemandu pelancong, dua tahun lalu.

Hakim Sarimah Hashim menjatuhkan hukuman itu terhadap lans koperal Nasir Ini, 28, konstabel Jerry Luis, dan konstabel tambahan Mohd Nor Azali, 24.

Ketiga-tiga mereka didapati bersalah merompak Tan Kian Boon, 40, di Jalan 2/24 Pandan Perdana, Ampang, jam 9.30 malam pada 16 september 2009. -SH Kuala Lumpur."

'via Blog this'

Lima tahun memandu tanpa lesen sah

SH: ""


KUALA TERENGGANU - Seorang pengusaha kedai komputer yang memandu tanpa lesen sah sejak lima tahun lepas adalah antara beratus pengguna jalan raya yang disaman dalam 'Ops Khas Penunggang dan Pembonceng' di sini malam tadi hingga pagi ini.

Lelaki berusia 28 tahun itu dan berasal dari Kampung Panji Alam juga didapati memandu kereta dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh sejak lima bulan lepas.

Pemeriksaan seterusnya mendapati dia turut mempunyai waran tangkap berkaitan kesalahan lalu lintas. Dia ditahan dan kereta jenis Perodua Kancil turut disita.

Sementara itu, seorang lagi pemilik kenderaan dikenakan lima saman berkaitan kesalahan teknikal mengubahsuai kenderaannya termasuk enjin, ekzos, plat nombor pendaftaran serta cermin gelap
melebihi spesifikasi ditetapkan.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah ASP Khazahari Che Amat berkata, dalam operasi itu dari pukul 11 malam hingga 4 pagi, sebanyak 252 saman dan notis arah periksa dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

Walaupun operasi itu lebih ditumpukan kepada penunggang motosikal, tetapi lebih banyak kereta yang ditahan.

Operasi itu disertai 130 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).- Bernama

'via Blog this'

Lelaki samun dan pukul wanita di Georgetown ditahan

SH: "
GEORGE TOWN - Seorang lelaki ditahan sejurus dia menyamun dan memukul seorang wanita di Jalan Brown di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata kejadian itu berlaku ketika mangsa yang berusia 29 tahun berjalan seorang diri ke tempat letak keretanya pada pukul 1.30 pagi.

"Semasa mangsa masuk ke dalam keretanya, tiba-tiba pintu keretanya dibuka oleh seorang lelaki dan menarik dia keluar dari kereta itu sebelum merampas beg tangan serta telefon bimbit milik wanita berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu turut bertindak memukul dan mengheret wanita berkenaan kira-kira satu meter.

"Akibat kejadian itu, wanita tersebut mengalami kecederaan di siku dan lengan sebelah kanan serta lutut kanan dan kiri," katanya.

Gan berkata orang ramai yang menyaksikan kejadian itu kemudiannya menangkap lelaki berkenaan sebelum menyerahkannya kepada polis.

Katanya siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai 10 kes jenayah lampau berkaitan samun, curi dan dadah.

"Lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.- Bernama."

'via Blog this'

Bekas jurulatih taekwando pukul rakan

SH:


KANGAR – Gara-gara mabuk, seorang bekas jurulatih taekwando bertindak mencederakan rakannya yang juga seorang pengendali pusat snuker di Jalan Tambun Tulang, awal pagi kelmarin.

Mangsa, Khor Bor Chuan, 40, cedera di mata kanan dan bawah pipi kiri selepas dipukul rakannya yang berusia 46 tahun pada jam 4.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Noordin berkata, dari maklumat yang diterima, mangsa sebelum kejadian pergi ke kedai suspek yang juga seorang peniaga kedai kopi untuk minum bir.

Bagaimanapun, ketika berada di sana, suspek enggan memberikan bir yang dipesan mangsa menyebabkan mangsa marah dan berlaku pertelingkahan mulut antara mereka berdua di situ.

Katanya, mangsa kemudian beredar dari kedai suspek dan pergi ke pusat snuker di Tambun Tulang untuk minum bersama kawan-kawannya di sana.

“Namun, suspek yang tidak berpuas hati mengekori mangsa ke kedai snuker berkenaan kemudian bertindak menyerang mangsa dengan sebilah parang yang diambil dari bakul motosikalnya.

“Disebabkan serangan itu, mangsa cedera sepanjang lima sentimeter antara bawah mata kanan hingga pipi kiri dan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini sebagai pesakit luar,” katanya.

Abdul Rahman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan. - SH Utara/Zarina Hashim

'via Blog this'

Suspek bunuh dan rogol tujuh tahun lepas direman sejak dua hari lalu

SH: "

KUALA LUMPUR - Seorang suspek kes rogol dan bunuh yang melarikan diri daripada tahanan tujuh tahun lalu, kini ditahan reman sejak dua hari lepas, kata polis.

"Lelaki itu ditahan selepas terlibat dalam kes melarikan sebuah kereta mewah baru-baru ini. Dia kini direman selama tujuh hari," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ACP Mohd Adnan Abdullah.

Mohd Adnan berkata lelaki terbabit menggunakan identiti baru dan kad pengenalan palsu bagi mengelak daripada dikesan.

Beliau berkata lelaki berusia 37 tahun itu disyaki merogol dan membunuh See Sheau Fang, 18, pada 26 Feb 2004 dan menanam mayat gadis itu di dalam lubang bersimen di hadapan rumahnya di Taman Perwira, Banting.

"Selepas lima hari ditahan, suspek melarikan diri menerusi siling tandas di Balai Polis Tanjung Sepat pada 13 Mac 2004," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Adnan berkata selain kes bunuh, rogol dan lari dari tahanan, lelaki itu juga pernah terlibat dalam kes peras ugut pada tahun 1999.- Bernama"

'via Blog this'

Tujuh pasangan ditahan dalam operasi cegah maksiat

SH: "
DAMANSARA DAMAI - Tujuh pasangan ditahan dalam operasi cegah maksiat di sebuah hotel bajet di Damansara Damai awal pagi.

Menurut pengerusi biro keselamatan masjid Al-Muhtadeen, Azizol Adam, ke semua ditahan masing-masing berumur 18 hingga 35 tahun termasuk seorang wanita warga Indonesia dibawa ke masjid untuk disoal siasat dan mengikut sesi kaunseling - SH Damansara/Izwan"

'via Blog this'

Tiga mat rempit maut bergesel sesama sendiri

SH: "

JENGKA - Tiga remaja dipercayai mat rempit maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka bergesel sesama sendiri sebelum terbabas dalam nahas di Jengka, awal pagi semalam.- SH PHG"

'via Blog this'

Dua lelaki ditahan seludup heroin

SH: "
ALOR SETAR - Dua lelaki ditahan dipercayai suspek kepada sindiket curi kereta.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superitendan Baharom Abu berkata, polis turut menjumpai 16 paket dadah jenis heroin pada salah seorang mereka yang ditahan.

Polis masih meyiasat kes ini dan tangakapan ini membantu pihak polis dalam menyelesaikan kes sindiket curi kereta. - SH Alor Setar/ Shahni Farhana Mat Sahir"

'via Blog this'

Banjir di Thailand, Vietnam: Bekalan beras negara mencukupi

Utusan Malaysia Online - Terkini: "

16/10/2011 4:25pm

BERA 16 Okt – Orang ramai diminta tidak membuat pembelian panik kerana stok simpanan beras negara ini adalah mencukupi sekalipun berlaku bencana banjir besar di negara pengeluar utama beras dunia seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja ketika ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara mempunyai stok penimbal bekalan beras untuk tempoh sehingga enam bulan.

"Malaysia mengeluarkan 70 peratus pengeluaran beras sendiri dan hanya 30 peratus diimport dari negara pengeluar utama Thailand, Vietnam dan Kemboja.

"Bagaimanapun kementerian, dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengadakan perbincangan dan kerjasama bagi mengatasi kemungkinan berlakunya kekurangan bekalan beras di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemantapan Pendidikan Keibubapaan anjuran Majlis Kebajikan Pembangunan Masyarakat Parlimen Bera di Dewan UMNO Bahagian Bera di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, jika keadaan beras negara dilihat meruncing, pelbagai alternatif akan diambil termasuk mengimport beras dari India dan Indonesia. – Bernama"

'via Blog this'

Operasi besar-besaran elak kemalangan libatkan motosikal

Utusan Malaysia Online - Terkini: "

16/10/2011 4:27pm

MARAN 16 Okt. – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan operasi secara besar-besaran di seluruh negara khusus untuk mengurangkan kadar kemalangan melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad berkata, JPJ setiap negeri telah diarah menjalankan sekatan jalan raya termasuk di kawasan pedalaman mulai hari ini untuk memastikan pemilik motosikal mematuhi peraturan jalan raya.

"Mana-mana motosikal yang tidak mengikut spesifikasi dan melanggar peraturan jalan raya akan dikenakan tindakan kompaun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) daerah Maran di Sekolah Kebangsaan Kuala Sentul di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan berikutan kebimbangan Jemaah Menteri berhubung kadar kemalangan membabitkan motosikal yang tinggi di negara ini dengan 62 peratus daripada kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. – Bernama"

'via Blog this'

Tamatkan status ejen jualan: Peniaga saman syarikat

Utusan Malaysia Online - Terkini:


16/10/2011 8:35pm

KOTA BHARU 16 Okt. – Seorang peniaga produk jualan langsung memfailkan tuntutan saman sebanyak RM1 juta terhadap sebuah syarikat pengeluar produk jualan langsung yang beribu pejabat di Perlis, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas alasan menamatkan statusnya sebagai ejen jualan tanpa alasan kukuh.

Mohd. Zurah Jusoh, 28, yang memiliki perniagaan Md Zurah Enterprise di Jalan Long Yunus off Jalan Maju di sini diwakili peguam Saharudin Mohammed mendaftarkan tuntunan tersebut di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nariman Badruddin.

Dalam tuntutan tersebut, plaintif mendakwa dilantik sebagai ejen berstatus pusat jualan langsung pada 1 Oktober 2009 di kawasan Kota Bharu dan mendakwa telah menjalankan perniagaan dengan baik serta memberi keuntungan yang besar kepada pihak defendan.

Bagaimanapun dakwanya, pada 27 Februari 2011, dia menerima surat penamatan sebagai ejen tanpa bukti yang kukuh atau memberi peluang kepadanya membuat penjelasan.

Akibat daripada tindakan tersebut, plaintif mendakwa kehilangan pendapatan, mengalami kerugian kewangan yang teruk, hilang kepercayaan orang bawahan dan pelanggan, tekanan perasaan dan mental di samping jatuh maruah diri, keluarga dan perniagaan.

Plaintif mendakwa telah membuat laporan polis pada 13 April 2011 bagi menafikan isi kandungan surat tersebut dan selepas panggilan kepada pihak defendan tidak dilayan.

Mohd. Zurah menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 dan ganti rugi teruk teladan RM250,000 atau apa-apa jumlah yang mahkamah fikirkan sesuai.

Tuntutan juga meliputi ganti rugi teruk sebanyak RM250,000, faedah pada kadar lapan peratus setahun daripada tarikh penyerahan writ saman hingga tarikh penghakiman serta faedah ke atas jumlah penghakiman pada kadar lapan peratus setahun daripada tarikh penghakiman hingga akhir.

Plaintif turut menuntut hadiah insentif ta'wun seperti yang pernah ditawarkan oleh pihak defendan melalui surat bertarikh 18 Januari 2011, insentif kategori ketiga iaitu pencapaian enam Pengarah Jati dan ke atas berupa pakej haji.

Selain itu plaintif juga menuntut defendan mengumumkan plaintif layak menerima anugerah Pengarah Jati Mahkota terbaik 2010 yang juga melayakkan dia menerima anugerah Pusat Jualan Terbaik 2010. – Utusan

'via Blog this'

Pancing buaya

myMetroPancing buaya: "BEKENU: Selepas penemuan bangkai seekor buaya terapung di Sungai Niah di Kampung Sepupok Niah dan Kampung Dagang, hujung bulan lalu, penduduk gempar lagi dengan penangkapan reptilia ganas itu oleh seorang lelaki di Sungai Niah, di sini, kelmarin.

Buaya sepanjang hampir lima meter itu berjaya ditangkap selepas termakan umpan ayam dipasang seorang pekebun dikenali sebagai Choa Hui, 56, berikutan tidak tahan dengan kemunculan reptilia berkenaan yang sering dilihat di permukaan sungai.


Menurut sumber, Choa dikatakan memasang umpan ayam jam 6 petang menggunakan mata kail terbesar serta wayar elektrik.

Difahamkan, umpan dipasang akhirnya mengena buaya berkenaan sebelum Choa meminta bantuan beberapa penduduk kampung menangkap reptilia itu.


Choa bersama penduduk dikatakan mengambil masa sejam sebelum buaya itu berjaya dibawa naik ke darat, jam 9.30 malam lalu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Miri dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut.


Sebelum ini, penduduk di kampung berdekatan sering terserempak reptilia berkenaan yang dikatakan turut membaham anjing yang menghampiri tebing sungai."

'via Blog this'

Bapa tembak mati empat ahli keluarga dan orang gaji di Filipina

Berita Harian Online | Bapa tembak mati empat ahli keluarga dan orang gaji di Filipina: "Bapa tembak mati empat ahli keluarga dan orang gaji di Filipina


2011/10/16

MANILA: Seorang bapa menembak mati isterinya, tiga anak perempuan dan pembantu rumah sebelum menembak dirinya sendiri.

Polis berkata, Emmanuel Ponce dipercayai seorang pemabuk naik angin awal pagi tadi apabila bertengkar dengan isterinya, Melinda sehingga menyebabkan kejadian berkenaan di tengah bandar Talisay, Filipina.
Selepas menembak mati isterinya, Ponce menembak tiga anak perempuan mereka berusia 18 dan 26 tahun tetapi tidak membunuh anak bongsu mereka berusia 14 tahun.
Polis berkata, pembantu rumah keluarga itu turut dibunuh. - aFP "

'via Blog this'

Polis dan penunjuk perasaan bertempur di Times Square

Berita Harian Online | Polis dan penunjuk perasaan bertempur di Times Square: "Polis dan penunjuk perasaan bertempur di Times Square


2011/10/16

NEW YORK: Berpuluh-puluh orang ditahan hari ini susulan pertempuran antara polis berkuda dengan penunjuk perasaan anti-korporat di pusat beli belah terkenal New York, Times Square berikutan kemarahan terhadap ketamakan korporat.

Polis yang memantau kawasan itu menahan seramai 71 penunjuk perasaan ke dalam van selepas mereka berarak manakala beribu-ribu lain dipercayai berada bersama pelancong di kawasan beli belah utama yang dipecahkan oleh halangan polis.
Pertempuran berlaku sepanjang hari perarakan yang bermula di Pejabat Kewangan bergerak ke bahagian 46th Street dan Seventh Avenue apabila mengetahui kehadiran polis. - AFP"

'via Blog this'

Air banjir wilayah utara dan tengah dijangka melanda Bangkok hari ini

Berita Harian Online | Air banjir wilayah utara dan tengah dijangka melanda Bangkok hari ini: "Air banjir wilayah utara dan tengah dijangka melanda Bangkok hari ini


2011/10/16

BANGKOK: Air banjir dari wilayah utara dan tengah dijangka tiba di ibu kota ini sama ada hari ini atau esok.

Ketua Pengarah Pengairan Chalit Damrongsak berkata, air banjir itu dijangka pada ketinggian antara 2.3 dan 2.4 meter di atas paras purata laut.
Ketinggian tembok banjir di Bangkok ialah 2.5 meter.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar negara itu mengunjurkan sebelum ini bahawa 16 bilion meter padu air banjir akan tiba di Bangkok.

Lapan bilion meter padu air adalah dari wilayah Nakhon Sawan, enam bilion meter padu dari Ayutthaya, manakala dua bilion meter padu dari Phatum Thani.

Chalit juga berkata, keadaan air pasang laut yang tinggi ketika ini akan berterusan bagi tempoh dua hari akan datang.

Kira-kira satu pertiga daripada Thailand masih dibanjiri, dengan 2.3 juta penduduk dari lebih 10,000 kampung di 24 wilayah di utara dan tengah terjejas akibat banjir yang melanda negara itu secara berperingkat sejak 25 Julai lepas, dengan 297 kematian dicatat setakat ini. - BERNAMA "

'via Blog this'

Pelajar habiskan masa layari laman sosial

Kosmo! Online - Terkini: "
16/10/2011 1:17pm

KANGAR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Ismail Kasim melahirkan rasa bimbang dengan fenomena masa kini yang menunjukkan ramai pelajar di negara ini menghabiskan masa melayari laman sosial tanpa kawalan dan mendapatkan maklumat yang diragui daripadanya.

Ada kajian menunjukkan lebih 60,000 pelajar menghadap komputer lebih empat jam sehari semata-mata untuk melayari laman sosial termasuk Facebook, katanya tanpa menyatakan sumber kajian itu.

Bercakap kepada para pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan karaoke 1Malaysia di Kampung Kebun, Arau dekat sini malam tadi, beliau bimbang fenomena itu akan merugikan masa depan mereka.

Ismail berkata, ada pelajar yang berterusan membuang masa dengan laman sosial meskipun di saat menghadapi peperiksaan penting.

Antara kesan negatif melayari laman sosial tanpa kawalan termasuk ada kes pelajar lari daripada rumah kerana ingin bertemu rakan barunya yang dikenali dalam laman itu selain kemerosotan pelajaran, katanya.

Ismail yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian Arau juga bimbang dengan sikap orang ramai yang gemar mendapatkan maklumat mengenai perkara terkini melalui sumber yang diragui di Internet. – Bernama"

'via Blog this'

Jutawan janji tak jual harta sepencarian

Kosmo! Online - Terkini:


16/10/2011 1:25pm

KOTA BHARU – Seorang jutawan hari ini membuat aku janji di Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang beliau sama sekali tidak berhasrat untuk menukar, menjual atau melupuskan harta milik sepencarian bersama arwah isterinya seperti yang dituntut 11 orang anaknya.

Che Ibrahim Che Ismail, 56, yang merupakan pemilik syarikat bas Ekspres Mutiara membuat aku janji itu di hadapan Hakim Abu Bakar Abdullah Kutty setelah mahkamah mahukan kepastian seperti dalam tuntutan anak-anak jutawan itu.

"Saya tidak berhasrat untuk memindah milik harta-harta berkenaan sebaliknya mahu membangunkan lagi di tanah yang ada (bagi tujuan pembangunan),” kata Che Ibrahim.

Ketika ditanya Abu Bakar apakah pembangunan yang mahu dilakukan akan menjadikan nilai hartanah itu terus bertambah, Che Ibrahim berkata: “Ya diyakini nanti akan terus bertambah”.

Pada prosiding itu, anak-anak Che Ibrahim diwakili anak sulung Khalilullah, 31, dan anak keempatnya, Khairul Anam, 26, yang kesemua mereka menuntut satu perintah interim secara exparte bagi menghalang bapa mereka daripada melakukan sebarang transaksi terhadap harta sepencarian milik ibu mereka itu.

Tanpa diwakili peguam syarie, Khairul Anam ketika berhujah berkata, kesemua harta berkenaan adalah milik sepencarian bersama arwah ibu mereka iaitu Paizah Mohd Yusoff yang telah meninggal dunia pada 2008 akibat kemalangan jalan raya, empat tahun sebelum itu. – Bernama

'via Blog this'

Bumbung rumah musnah dalam kebakaran

Kosmo! Online - Terkini: "
16/10/2011 4:14pm

KAJANG – Bumbung empat buah rumah teres dua tingkat musnah dalam satu kebakaran di Taman Murni, Batu 9, di sini awal hari ini.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut yang dapat dipadamkan oleh pasukan bomba dari sini dan Kuala Lumpur dalam masa 20 minit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, Ahmad Sauqi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 7.05 pagi dan dua jentera dan 26 anggota bomba dihantar memadamkan kebakaran.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat. – Bernama"

'via Blog this'

Aktiviti judi: Lesen kafe siber dibatalkan

Kosmo! Online - Terkini: "
16/10/2011 4:20pm

LANGKAWI – Polis akan meminta Majlis Perbandaran Langkawi membatalkan serta merta lesen premis kafe siber yang didapati menjalankan aktiviti perjudian.

Ketua Polis Langkawi, Supt Harith Kam Abdullah berkata, polis sentiasa memantau kegiatan dalam premis berkenaan yang mengadakan aktiviti tidak mematuhi undang-undang.

"Masyarakat setempat hendaklah menyalurkan maklumat kepada polis mengenai kegiatan seumpama itu di pulau peranginan ini bagi membendung kegiatan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat koperal kepada 12 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Langkawi di sini hari ini.

Harith berkata, walaupun rekod polis menunjukkan kebanyakan kafe siber ada lesen sah, kegiatan dijalankan dalam premis sentiasa diperhatikan pihak polis.

Katanya, polis juga akan meminta kerjasama Tenaga Nasional untuk memotong bekalan elektrik ke premis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian. – Bernama"

'via Blog this'

Tembakan rambang: Polis kumpul maklumat

Kosmo! Online - Terkini: "
16/10/2011 5:32pm

KOTA KINABALU – Polis bandar raya Kota Kinabalu sedang mengumpul maklumat berhubung kejadian tembakan rambang yang berlaku awal pagi ini di sebuah kawasan perumahan di sini.

Ketua Polis Bandar Raya, ACP Ahmad Sofi Zakaria berkata, polis menerima panggilan kira-kira pukul 5.30 pagi mengenai bunyi tembakan yang berlaku di Jalan Kebajikan.

"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sepasukan polis yang bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan mendapati kesan tembakan pada dinding beberapa rumah dan menemui beberapa kelongsong peluru.

"Setakat ini kita sedang mengenal pasti motif kejadian tersebut dan akan disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1990,” katanya. – Bernama"

'via Blog this'

Guru rugi RM6,000 rumah dimasuki pencuri

Kosmo! Online - Terkini: "
16/10/2011 6:19pm

PEKAN – Seorang guru wanita di sebuah sekolah rendah kerugian kira-kira RM6,000 apabila rumahnya di Taman Tanah Putih Baru di sini dimasuki pencuri hari ini.

Mangsa, Khairatul Azlina Abdul Karim, 33, hanya menyedari kejadian tersebut pada 9 pagi setelah pulang ke rumah selepas bermalam di rumah ibunya.

Katanya, dia bersama empat anak lelakinya yang berusia antara lima bulan dan lima tahun meninggalkan rumah kira-kira 11.30 malam semalam untuk tidur di rumah ibunya yang terletak kira-kira 2 kilometer dari situ berikutan ketiadaan suaminya yang berkursus di Perlis sejak minggu lepas.

"Ketika membuka pintu rumah, saya terkejut kerana keadaan di dalam rumah berselerak dan pintu di bahagian tepi rumah terbuka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Hasil pemeriksaan, dia mendapati sebuah komputer riba, kamera digital, sebentuk cincin emas dan tiga tabung duit syiling milik anaknya yang keseluruhan bernilai kira-kira RM6,000 telah hilang.

Khairatul Azlina berkata, dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan. – Bernama"

'via Blog this'

Pistol: Anggota polis bantuan ditahan

Kosmo! Online - Terkini:


16/10/2011 6:25pm

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad ditahan kerana menyimpan sepucuk pistol tiruan dan satu kelopak palsu dalam operasi di sebuah pusat hiburan, di sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata, pistol dan kelopak palsu itu ditemui di dalam kereta lelaki tersebut selepas polis curiga dengan tindak-tanduknya yang cuba melarikan diri ketika pusat hiburan tersebut diserbu.

Mengulas kes itu kepada pemberita, di sini hari ini, Zakaria berkata, ketika lelaki itu cuba melarikan diri, sebutir peluru terjatuh dari poketnya menyebabkan dia ditahan oleh pasukan polis yang melakukan serbuan.

Dia yang berusia lingkungan 20-an kemudian mengaku anggota polis bantuan yang tidak bertugas, dan selepas diperiksa polis menemui sepucuk revolver .38 dan 10 butir peluru.

"Selepas itu, polis telah memeriksa keretanya dan menemui pula sepucuk pistol tiruan jenis auto bersama satu magazine palsu,” katanya. – Bernama

'via Blog this'