Friday, 7 October 2011

3 tokoh kongsi anugerah Nobel Keamanan




DARI kiri, Tawakkul Karman, Ellen Johnson Sirleaf dan Leymah Gbowee. - AFP


OSLO 7 Okt. - Presiden Liberia, Ellen Johnson Sirleaf, Pejuang Keamanan Liberia, Leymah Gbowee dan aktivis Yemen, Tawakkul Karman, memenangi Hadiah Nobel Keamanan, hari ini.
Menurut Presiden Jawatankuasa Nobel Norway, Thorbjoern Jagland, ketiga-tiga individu itu berkongsi anugerah tersebut atas usaha mewujudkan keselamatan dan hak wanita dalam kerja-kerja keamanan.
"Kita (masyarakat) tidak boleh mencapai demokrasi dan keamanan yang berpanjangan melainkan wanita mendapat hak yang sama rata seperti kaum lelaki dalam semua peringkat," katanya.
Sirleaf, 72, dan Gbowee, 39, bersama-sama memperjuangkan hak wanita dalam pentadbiran Liberia, manakala Tawakkul, 32, mencari kebebasan media dan pembebasan tahanan di penjara Yemen. - AFP

Bas guna jet jumbo pertama di dunia




Lakaran artis bas berteknologi tinggi yang dipanggil 'super bus' menggunakan kuasa elektrik akan digunakan di Emiriyah Arab Bersatu. - Agensi


LONDON 7 Okt. - Orang ramai kini boleh mengembara dari Dubai ke Abu Dhabi sejauh 121 kilometer dalam tempoh tidak sampai setengah jam dengan hanya menaiki bas.
Bas yang digelar 'super bus', ciptaan seorang angkasawan dari Belanda dan merupakan bekas pakar aerodinamik Formula One, Profesor Wubbo Ockels itu merupakan yang pertama di dunia dan mampu memecut sehingga 250 kilometer sejam.
Bas berteknologi tinggi yang kelihatan seperti sebuah kereta Lamborghini yang panjang itu mampu membawa seramai 23 orang penumpang dan berharga 7 juta pound (RM34 juta).
Diperbuat daripada bahan-bahan ringan termasuk aluminium, gentian karbon, kaca gentian dan polikarbonat.
Penumpang akan menikmati keselesaan setanding dengan limusin atau jet peribadi ketika menaiki bas sepanjang 15 meter, lebar 2.5 meter dan setinggi 1.65 meter itu yang menggunakan tenaga elektrik daripada kuasa solar.
Menurut pereka projek, Antonia Terzi, 'super bus' itu yang dibawa ke Emiriyah Arab Bersatu menggunakan jet jumbo akan melalui kawasan bandar dengan kelajuan yang dibenarkan dan hanya akan memecut apabila memasuki lebuh raya.
"Penumpang boleh membuat tempahan tiket secara talian dan kami akan mengambil mereka di rumah dan menghantar ke destinasi mereka," katanya. - AGENSI

Kren terbabas hampir rempuh kedai




PEKERJA kren bekerja keras mengalih sebuah kren yang nyaris merempuh sebuah kedai kopi di Batu Berendam, Melaka, kelmarin.


MELAKA 7 Okt. - Seorang peniaga kedai makan terkejut apabila tiba-tiba sebuah kren seberat kira-kira 24 tan terbabas sehingga hampir merempuh kedainya itu di simpang empat Jalan Bachang-Batu Berendam di sini semalam.
Difahamkan, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5 petang itu berpunca apabila pemandu kren cuba mengelak terlanggar sebuah motosikal.
Peniaga tersebut, Lee Chong Seng, 35, berkata, dia terkejut apabila mendengar suara orang menjerit dan pada masa sama melihat sebuah kren terbabas dan menuju ke arah kedainya itu.
"Kejadian berlaku begitu pantas tetapi mujurlah saya bersama tiga pelanggan melompat keluar dari kedai sebelum kren terbabas di kaki lima.
"Mujurlah ketika kejadian saya sudah mahu menutup kedai dan pelanggan tidak ramai, kalau tidak, tak tahulah apa nasib saya," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hanya bahagian lantai simen kaki lima kedai pecah dan berlubang apabila tayar kren terperosok di situ.
Kemalangan itu juga mengakibatkan kesesakan teruk dari arah Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh dan Bachang.
Sebuah kren lain pula terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk mengalihkan kren berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu.

Warga Iran edar syabu dihukum mati



SHAH ALAM 7 Okt. - Seorang kontraktor warganegara Iran dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar lebih dua kilogram syabu yang disembunyikan dalam beberapa naskhah buku pada Februari tahun lalu.
Hakim Nor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap Saaed Najafi Ghorbanali, 35, selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah semasa memberi keterangan membela diri.
Dalam penghakiman ringkasnya, hakim tersebut menyatakan, tertuduh semasa memberi keterangan dari kandang saksi mendakwa dia menerima panggilan telefon daripada seorang rakan di Malaysia ketika sedang bercuti di Istanbul, Turki.
Katanya, tertuduh kononnya menerima undangan rakannya itu untuk datang ke Malaysia serta bersetuju membawakan barang berupa beberapa naskhah buku yang diambil daripada seseorang yang langsung tidak dikenalinya untuk dibawa ke negara ini.
''Saya dapati cerita tertuduh itu tidak logik, tidak munasabah, tidak boleh diterima akal, tidak boleh dipercayai serta langsung tidak menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
''Dengan itu saya sabitkan tertuduh atas kesalahan sebagaimana pertuduhan. Bagi kesalahan ini tidak ada pilihan lain iaitu hanya hukuman mati,'' katanya.
Saaed Najafi didakwa mengedar syabu (methamphetamine) seberat 2,490 gram di Pejabat Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 8.45 pagi, 4 Februari 2010.

Pertempuran sengit di Sirte




Tentera NTC melancarkan serangan besar-besaran dari timur bandar Sirte menggunakan senjata berat ke tengah bandar itu bagi menawan bandar kelahiran Gaddafi itu, semalam. - AFP


SIRTE, Libya 7 Okt. - Tentera Libya menggempur bandar Sirte, menggunakan senjata berat hari ini, serangan terbesar setakat ini untuk menawan bandar kelahiran bekas pemimpin Muammar Gaddafi itu.
Kejayaan menawan bandar di tepi pantai itu dianggap penting kerana ia akan menjadi kemenangan simbolik bagi kerajaan baru Libya, dan akan membolehkan mereka menguasai sepenuhnya negara ini, hampir dua bulan sejak pemberontak menawan ibu negara Tripoli.
Tentera yang setia kepada Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menghadapi tentangan hebat daripada tentera yang setia kepada Gaddafi yang menggunakan senjata berat bagi mempertahankan bandar itu sejak beberapa minggu lalu.
Asap tebal memenuhi ruang udara Sirte ketika kereta kebal tentera NTC melepaskan tembakan dan meriam ke arah tengah bandar itu dari arah timur, bandar ini yang merupakan kubu kuat terakhir yang masih dikuasai tentera yang setia kepada Gaddafi.
Beribu-ribu penduduk Sirte telah meninggalkan bandar itu setelah pertempuran semakin sengit.
"Serangan dilancarkan dari semua arah. Hari ini kita akan tamatkan pertempuran ini. Dengan izin Tuhan kita akan berjaya menawan Sirte," kata Kolonel Ahmed El-Obeidi, seorang komander NTC. - Reuters

13 rumah kedai terbakar



BELURAN 7 Okt. - Sederet bangunan kedai yang menempatkan 13 buah premis perniagaan musnah dalam kebakaran di Pekan Beluran awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan V. Sivanathan berkata, kebakaran kira-kira pukul 6.30 pagi itu dipercayai berlaku akibat litar pintas daripada penyambungan bekalan elektrik.
"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu," katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Penguasa Jabatan Bomba Dan Penyelamat Zon Sandakan, Alias Abu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung perkara itu pada pukul 6.59 pagi.
Katanya, dua buah jentera bersama dengan 15 anggota telah bergegas ke lokasi kebakaran berkenaan dan sampai pada pukul 8.17 pagi.
"Api berjaya dikawal daripada merebak pukul 8.37 pagi dan padam sepenuhnya pada pukul 12.10 tengah hari. Jumlah kerugian dan puncanya masih dalam siasatan," katanya.
Jarak antara Sandakan dan Beluran ialah kira-kira 100 kilometer dan pada masa ini tidak terdapat balai bomba di pekan tersebut.

Editor akhbar mati ditembak



08/10/2011 2:36am

MANILA 8 Okt. - Seorang editor akhbar di utara Filipina ditembak mati sekali gus menjadi mangsa pembunuhan wartawan terbaru di negara yang paling berbahaya di dunia untuk petugas media.
Berdasarkan laporan pihak polis, seorang lelaki yang membonceng sebuah motosikal, menembak ketua editor agensi berita Prime, Johnson Pascual ketika dia sedang memandu van dari Alicia ke Cauayan di wilayah Isabela.
Tambahnya, Pascual, 55, juga merupakan seorang pengurus cawangan bank, hilang kawalan kenderaannya dan terjunam ke dalam gaung.
Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan motif pembunuhan masih belum diketahui. – AFP

Pemimpin pembangkang Kurdis ditembak mati



08/10/2011 2:36am

DAMASCUS 8 Okt. - Seorang tokoh pembangkang Kurdis yang terkenal dengan rejim Presiden Bashar al-Assad, ditembak mati oleh beberapa lelaki bersenjata ketika menyerbu rumahnya di Qamisli yang terletak di utara Syria, kata seorang aktivis.
Menurut Balai Cerap Syria bagi Hak Asasi Manusia memaklumkan, Meshaal al-Tamo, 53, dibunuh oleh empat lelaki bersenjata dan anaknya, Marcel serta seorang aktivis wanita dari Parti Masa Depan Kurdis, Zahida Rashkilo turut tercedera dalam insiden tersebut.
Beribu-ribu orang Kurdis berjalan sekitar Qamishli selepas kematian Meshaal Tamo dimaklumkan dan berkumpul di luar hospital dimana mayatnya dibawa ke sana. – AFP

Kedai makan diserbu






KAKITANGAN Sains memotong saluran paip haram sebuah kedai menjual nasi ayam dalam operasi Sains di Ampangan Seremban, baru-baru ini.


SEREMBAN 7 Okt. – Seorang peniaga nasi ayam terkedu apabila premisnya di Ampangan, dekat sini diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) selepas disyaki terlibat dengan kegiatan mencuri air dalam operasi pagi semalam.
Serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu dianggotai sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Penguatkuasaan Sains dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Operasi yang diketuai Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan SPAN, Mohadir Hid berkata, bekalan air yang diperoleh melalui penyambungan tidak sah itu dipercayai digunakan untuk operasi harian premis perniagaan tersebut.
‘‘Hasil pemeriksaan, pemilik premis didapati telah melakukan kesalahan menjalankan penyambungan tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 12 milimeter (mm) terhadap paip utama milik Sains.
‘‘Kita telah mengeluarkan satu notis makluman kesalahan kepada pemilik premis dan turut menyita paip tersebut untuk dijadikan sebagai bahan bukti,” katanya di sini, hari ini.
Jelas Mohadir, ujian klorin yang dijalankan di premis berkenaan turut mendapati air yang digunakan itu merupakan air terawat milik Sains.
‘‘Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (AIPA 2006).
‘‘Jika disabit kesalahan, pesalah terbabit boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Anak hilang jatuh laut


PILU...Roslan tidak dapat menahan kesedihan.
PILU...Roslan tidak dapat menahan kesedihan.

BANTING: “Sebelum ini anak saya nak ikut ke laut untuk menangkap ikan, tetapi saya berkeras tak benarkan. Tetapi, pada hari kejadian itu saya membenarkannya mengikuti saya tanpa banyak soal.
“Tak sangka itu petanda kami akan menghadapi nahas,” kata seorang Orang Asli Pulau Carey, Roslan Seam, 40-an, menceritakan kejadian botnya dipukul ombak hingga menyebabkan anaknya Nizam, 14, terhumban ke laut dalam kejadian jam 7 malam Khamis lalu.

Nizam, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Carey, belum ditemui selepas dilaporkan terhumban di lokasi kira-kira 20 kilometer perairan utara Banting dari tempat mereka berlepas di Jeti Kampung Sungai Kurau, Pulau Carey, di sini.

Roslan yang ditemui menyatakan terlalu sedih dengan kehilangan anak lelakinya dan menyalahkan dirinya kerana membenarkan remaja itu mengikutinya ke laut.

Menurutnya, pada hari kejadian mereka keluar ke laut jam 5 petang.

“Kami menangkap ikan. Tiba-tiba saya terlihat awan mendung dan semakin gelap dengan angin bertiup kencang.


“Saya mengambil keputusan untuk berteduh di boya (tempat nelayan selalu berteduh di laut sekiranya cuaca buruk) tidak jauh dari tempat kami menangkap ikan.

“Ketika menghampiri boya itu, secara tiba-tiba gelombang ombak kuat sebelum saya melihat bot kami hampir terlanggar boya itu,” katanya.

Menurutnya, dia segera mengawal botnya untuk mengelak boya berkenaan bagi mengelakkan pelanggaran yang berisiko menyebabkan bot itu karam.

Tetapi selepas itu, katanya, apabila dia memandang ke belakang bot tempat anaknya berdiri dia dapati Nizam sudah tiada.

“Saya tiada pilihan terpaksa memusingkan bot. Saya dapat elak melanggar boya, namun tak sangka tindakan itu menyebabkan anak yang berada di belakang bot terhumban ke laut.

“Saya tengok anak sudah tak ada. Saya cuba memanggil dan mencari di sekitar bot, namun tak menyahut. Nak menyelam tak boleh sebab ombak besar dan angin kuat.

“Selepas beberapa minit mencari, saya putus harapan sebelum berpatah balik ke jeti Sungai Kurau untuk meminta bantuan,” katanya.

Menurutnya, sejak kejadian itu dia menjadi sangat sedih, tak boleh tidur dan tiada selera makan kerana terganggu merasakan kejadian berpunca daripada kesilapannya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Teluk Panglima Garang, Inspektor Mohamad @ Zulkiflee Mohd Amin, berkata pihaknya menerima laporan kejadian jam 9 malam pada hari kejadian.

Menurutnya, gerakan operasi mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan membabitkan tiga bot sesi pagi dan sembilan bot sesi petang.

Trauma naik motosikal selepas mata kiri buta

LANGKAWI: Pengalaman koma selama tiga bulan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Langkawi, termasuk buta mata kiri menjadi detik mengerikan dalam kehidupan seorang lelaki yang terbabit dalam kemalangan jalan raya, kira-kira enam tahun lalu. Shahrul Othman, 24, dari Kampung Bukit Temin, dekat sini, berkata kejadian yang hampir meragut nyawanya itu mengakibatkan dia patah kaki dan rusuk kiri apabila motosikal yang ditunggangi dilanggar sebuah kereta. Menurutnya, dalam kejadian pada 1995 itu, dia dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Teknik Langkawi, sebelum kereta berkenaan melanggarnya dari arah belakang di kawasan selekoh menyebabkannya terjatuh. “Pada masa sama, saya dilanggar sebuah sebuah kereta lain yang datang dari arah hadapan menyebabkan saya mengalami kecederaan parah pada seluruh badan. “Saya kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut dan koma selama tiga bulan di wad ICU Hospital Langkawi selain patah kaki dan rusuk kiri. “Kejadian ini berlaku disebabkan kecuaian orang lain, dan sehingga kini saya trauma untuk menunggang motosikal,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam. Terdahulu, Shahrul yang dilantik sebagai duta Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) bagi Parlimen Langkawi berucap pada majlis perasmian Program Road Safety Walk Peringkat Parlimen Langkawi di pekan Kuah, di sini. Majlis perasmian program itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid. Hadir sama, Adun Kuah, Datuk Nawawi Ahmad dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah, M Surentharan.

Mayat disangka sampah

Oleh Taufiq Daud
 am@hmetro.com.my
 KUALA TERENGGANU: “Pada mulanya, saya ingatkan bungkusan sampah. “Namun, sangkaan saya meleset apabila mendapati ia mayat seorang lelaki,” kata Mazlan Ngah, 51, yang menemui mayat seorang lelaki di tebing Sungai Pulau Sekati, di sini, kelmarin. Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, mayat Wan Mohd Hafiz Wan Kamaruddin, 19, dari Kampung Losong Haji Mat Shafie, dekat sini, ditemui kira-kira 20 meter dari tebing sungai berkenaan. Menurut Mazlan, dia menyedari kehadiran sesuatu objek seakan-akan bungkusan sampah dalam sungai itu ketika mengayuh sampan untuk memasang pukat. “Sebaik menghampirinya, saya terkejut apabila mendapati ia mayat.

Warga emas meninggal dunia disangka tidur

SUNGAI PETANI: Pelanggan sebuah restoran nasi kandar di Jalan Ibrahim, dekat sini, gempar apabila seorang warga emas yang disangkakan sedang tidur di kaki lima premis itu, sebenarnya sudah meninggal dunia, malam kelmarin. Kejadian berkenaan hanya disedari pelanggan restoran itu kira-kira jam 9.15 malam ketika mereka cuba mengejutkan warga emas berkenaan, namun dia tidak bergerak sebaliknya terkulai kaku. Jurucakap polis berkata, berikutan itu, orang ramai segera menghubungi polis yang bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati seorang warga emas berada dalam keadaan terbaring di kaki lima restoran berkenaan dengan menjadikan beg pakaiannya sebagai bantal. Menurutnya, ketika ditemui, terdapat sebungkus nasi dan air di sisinya, selain beg pakaian dan dompet mengandungi sejumlah wang tunai, namun polis menghadapi masalah untuk mengesan warisnya kerana tidak memperoleh identiti lengkap. “Pemeriksaan anggota polis mendapati kad pengenalan lelaki terbabit sudah terkoyak tanpa nama kecuali hanya tercatat nama bapanya, Kasim, selain tiada alamat tempat tinggal “Kita juga menemui satu resit membeli basikal di sebuah kedai basikal di pekan Kota Kuala Muda pada 1 Oktober lalu. “Siasatan awal mempercayai lelaki itu ke restoran berkenaan untuk membeli makanan, tetapi dia berehat di kaki lima premis itu akibat keletihan sebelum meninggal dunia,” katanya. Menurutnya, pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hopsital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk tindakan lanjut. Katanya, berikutan itu pihak polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mengenali mangsa agar menghubungi Jabatan Forensik HSAH di talian 04-4457150 untuk pengesahan dan urusan menuntut jenazah.

Balasan curi van


CEDERA...seorang suspek curi  van cedera dibelasah orang awam.
CEDERA...seorang suspek curi van cedera dibelasah orang awam.

MARANG: Hasrat dua lelaki meraih keuntungan dengan menjual sebuah van dicuri tidak kesampaian apabila perbuatan mereka terdedah selepas seorang remaja lelaki mengenali pemilik sebenar kenderaan berkenaan.
Dua suspek terbabit yang berusia 30-an itu turut cedera akibat dibelasah orang ramai apabila kegiatan mereka itu didedahkan remaja lelaki berkenaan di Jalan Rhu Renggeh, Rusila, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, remaja berkenaan yang menaiki sebuah motosikal terserempak dengan dua suspek terbabit memandu van curi di Jalan Tok Adis, Kuala Terengganu, di sini.

Keadaan suspek yang mencurigakan selain dia mengenali pemilik sebenar van itu menyebabkan lelaki terbabit membuat keputusan mengekori kedua-dua suspek.

Bagaimanapun, suspek terbabit yang menyedari diekori cuba melarikan diri memecut van berkenaan selain beberapa kali menghimpit motosikal ditunggang lelaki terbabit bagi mengelaknya terus mengekori mereka.

Nasib malang menimpa kedua-dua suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk penyalahgunaan dadah apabila tayar kiri van dinaiki tiba-tiba pecah menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan terbabit sebelum terbabas di Jalan Rhu Renggeh, di sini.


Sebaik tersadai di tepi jalan, kedua-dua suspek terbabit dibelasah pengguna jalan raya lain sebaik diberitahu mereka mencuri van berkenaan selain berang dengan tindakan suspek cuba menghimpit dan melanggar lelaki yang mengekorinya itu serta memandu secara berbahaya termasuk merempuh dua lampu isyarat.

Pergelutan itu bagaimanapun berjaya dihentikan selepas polis tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian sebelum kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, van jenis Nissan Vanette dicuri dua suspek berkenaan adalah milik seorang buruh yang menetap di Kampung Binjai Manis, Manir, Kuala Terengganu.

Kenderaan itu dikatakan hilang sejak Selasa lalu selepas diletakkan di kawasan tempat letak kereta pusat peranginan Batu Buruk kira-kira jam 6 petang ketika mangsa melawat adik iparnya yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Mangsa membuat laporan kehilangan kenderaannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 8 malam hari yang sama Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Marang, Asisten Superintendan Mohd Zohan Seman yang dihubungi di sini semalam, mengesahkan penahanan dua suspek berkenaan kira-kira jam 3.15 petang kelmarin.

Katanya, kedua-dua suspek yang cedera dibelasah dihantar ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

Dianiaya bawa dadah

Oleh Mohamad Hussin mohamad@hmetro.com.my ALOR SETAR: “Hati mak cik remuk dan sedih apabila mengetahui anak lelaki ditahan di penjara di Taiwan kerana disyaki membawa dadah,” kata Che Amah Akil, 70, ibu Azman Hashim, 38, yang ditahan pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, Taiwan, April tahun lalu, selepas dijadikan keldai dadah oleh rakan sekampungnya. Berikutan itu, Che Amah berkata, Azman dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun. Beliau berkata, anaknya dipercayai terpedaya dengan dua rakannya yang berpura-pura membawanya ke sempadan Thailand dengan alasan membeli mercun dan bunga api untuk dijual di negara ini pada musim perayaan. Menurutnya, Azman dipercayai ke Taiwan melalui Thailand sebelum ditahan pihak berkuasa berkenaan selepas bahagian bawah tumit kasut sukan dipakainya disyaki diletakkan dadah jenis heroin.

Pelajar dakwa ditampar guru

KOTA BHARU: Seorang pelajar tingkatan empat mendakwa ditampar seorang guru wanita enam kali dan ditolak kepala tanpa sebarang alasan di hadapan beberapa guru lain selepas waktu rehat di sebuah sekolah, pada Rabu lalu. Difahamkan, seminggu sebelum kejadian, pelajar itu, Nik Nor Syazwani Nik Anuar, 16, dipanggil bersama bapanya untuk berjumpa guru disiplin berhubung masalah, kononnya dia menjadi punca pergeseran antara guru di sekolah terbabit dan masalah itu dianggap selesai. Menurut Nik Nor Syazwani, dia sekali lagi dipanggil bersama empat rakan lain ke bilik kesihatan sekolah, Rabu lalu. “Saya bersama rakan dipanggil ke bilik itu dan ada guru menyuarakan perasaan tidak puas hati kerana mendakwa saya melaga-lagakan guru di situ. “Selepas itu, ada seorang guru wanita yang berada dalam bilik itu memanggil saya dan terus menampar di bahagian kedua-dua pipi selain menolak kepala,” katanya, semalam. Katanya, dia tidak tahu punca sebenar guru wanita itu bertindak sedemikian, apatah lagi guru itu juga tiada kaitan dengan kejadian dipanggil bertemu guru disiplin sebelum itu. “Saya tidak tahu apa kesalahan yang saya lakukan sehingga guru itu menampar dan menolak kepala saya di hadapan beberapa guru lain,” katanya. Ibu Nik Nor Syazwani, Fatimah Berahim, 57, berkata, dia cuba mendapatkan penjelasan guru berkenaan namun gagal. “Saya cuma mahu tahu mengapa guru itu bertindak kasar terhadap anak saya, tetapi dia tidak mahu memberi penjelasan,” katanya. Pelajar terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada hari kejadian.

Mangsa samun cuba pukul cucu

IPOH: Seorang nenek yang tidak dapat menahan geram apabila disamun cucunya sendiri dalam kejadian Rabu lalu, mengamuk’ dan cuba memukul suspek menggunakan sebatang kayu di Pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, semalam. Kejadian jam 8 pagi itu berlaku ketika Sepiyah Rafie, 73, ke IPD berkenaan untuk melakukan pengecaman selepas cucunya itu diberkas polis tidak sampai 24 jam selepas melakukan rompakan itu. Suasana bertukar gempar ketika suspek dibawa keluar dari lokap untuk mendapatkan perintah tahanan reman apabila warga emas berkenaan terus meluru ke arah cucunya sambil mengeluarkan kayu yang sudah ‘disediakan’ khas untuk mengetuk kepala suspek. Bagaimanapun hajat nenek berkenaan tidak kesampaian selepas dihalang anggota polis yang mengiringi suspek sebelum dia ditenteramkan beberapa ahli keluarganya. “Saya tidak akan berputus asa dan rela menunggu peluang untuk mengetuk kepalanya dengan kayu ini sebagai pengajaran buatnya supaya tidak mengulangi perbuatan kurang ajar serta tidak berhati perutnya terhadap saya. “Bagaimanapun saya tetap menganggapnya sebagai cucu dan atas dasar kasih sayang, saya berharap dia menerima hukuman setimpal. Sehingga kini saya masih trauma,” katanya.

Geng Gendut masuk lokap

ARAU: Sekumpulan penjenayah yang dikenali sebagai ‘Geng Gendut’ dan dipercayai aktif melakukan kegiatan memecah masuk rumah melalui bumbung di negeri ini, kini meringkuk di dalam lokap selepas dicekup polis pada 22 September lalu. Geng yang didalangi dua beradik lelaki berusia 19 dan 20 tahun bersama tiga lagi rakan mereka berusia antara 20 hingga 24 tahun itu, menyasarkan rumah sewa pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan itu sejak tahun lalu. Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya sudah lama memburu kumpulan terbabit yang turut menjalankan aktiviti pecah rumah di daerah Kubang Pasu dan Alor Setar, Kedah. Menurutnya, hasil intipan, akhirnya mereka mencekup suspek utama di rumahnya di Arau, di sini, kira-kira jam 1 pagi pada 22 September lalu sebelum membawa kepada tangkapan saki-baki geng berkenaan. “Hasil penahanan semua suspek, pihak kami berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah di sekitar Arau sejak tahun lalu dan mereka dipercayai masih ada kaitan dengan beberapa kes di daerah lain. “Ujian saringan air kencing ke atas mereka juga mendapati positif dadah jenis heroin dan dipercayai menjalankan aktiviti pecah rumah bagi tujuan membeli dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, di sini, semalam. Mohd Nadzri berkata, semua suspek menggunakan taktik dengan memasuki rumah mangsa menggunakan bumbung dan tingkap, sebelum melarikan komputer riba, telefon bimbit dan peralatan berharga lain.

Liwat bayi 23 hari

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my
 GOMBAK: Berang isteri dalam pantang enggan melayan kehendak seksualnya, seorang lelaki berusia 28 tahun bagaikan dirasuk syaitan apabila sanggup meliwat bayi lelakinya berusia 23 hari di dalam bilik di rumahnya di Taman Sunway, Batu Caves, di sini, kelmarin. Lebih kejam apabila tangisan bayi malang yang menahan kesakitan itu langsung tidak diendahkan si bapa durjana, sebaliknya dia menjadi lebih rakus dengan bertindak menutup mulut anaknya itu menggunakan tangan dengan kuat, sekali gus menambah derita si kecil. Bapa yang kejam itu berbuat demikian untuk mengelakkan tangisan bayi malang itu didengari isterinya yang ketika kejadian dilaporkan sedang berehat di ruang tamu rumah. Sumber polis berkata, tindakan keji dan kejam itu hanya disedari ibu mangsa berusia 39 tahun kira-kira jam 4 petang apabila melihat mangsa tidak bermaya ketika mahu memandikannya. “Si ibu terkejut apabila melihat bahagian mulut mangsa lebam. Pemeriksaan wanita itu kemudian mendapati bahagian dubur mangsa turut cedera.

Dua beradik berbirat tiru aksi lesbian

JASIN: Gara-gara dipercayai meniru aksi pasangan lesbian dalam video lucah yang pernah ditonton, dua beradik dikesan melakukan aksi ghairah itu di rumah mereka di Asahan, di sini. Bagaimanapun, dua beradik berusia sembilan dan tujuh tahun itu yang didakwa pernah melakukan perbuatan terbabit sejak setahun lalu tidak bernasib baik apabila perbuatan mereka dilihat ibunya Rabu minggu lalu. Ketika ditemui ibu mereka, dua beradik itu asyik bergomol umpama pasangan sejenis tanpa seurat benang dalam sebuah bilik di rumahnya. Nasib malang menimpa dua kanak-kanak itu apabila menerima pembalasan daripada bapa angkatnya yang berusia 28 tahun selepas dimaklumkan ibu kandungnya Sabtu lalu. Bapa angkat kanak-kanak itu yang baru pulang daripada bekerja di Pahang pada Sabtu lalu merotan dua kanak-kanak berkenaan sebagai hukuman terhadap perbuatan melampau mereka sehingga didakwa lebam di tangan, kaki dan belakang. Bagaimanapun, kesan lebam pada kanak-kanak berkenaan dilihat beberapa penduduk yang mengesyaki mereka didera lalu membuat aduan kepada Pusat Perkhidmatan BN (Pembela) supaya perkara itu dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kemudian berkunjung ke rumah ibu tunggal berkenaan, malam kelmarin. Penolong Pengarah Warga Tua dan Keluarga JKM negeri, Zamzuri Mohamad, berkata siasatan awal mendapati ibu kanak-kanak itu menghubungi bapa angkat anak sulungnya itu yang bertugas di Pahang selepas terkejut melihat perbuatan lucah dua anaknya. Katanya, lelaki terbabit merotan sehingga lebam di beberapa bahagian tubuh dua kanak-kanak berkenaan sebagai pengajaran. “Berdasarkan siasatan, dua beradik itu mendakwa pernah menonton video lucah yang ditayangkan sepupu mereka ketika mendiami rumahnya di Selangor. “Mungkin disebabkan terpengaruh atau teringat apa yang pernah ditonton, pasangan kanak-kanak itu cuba aksi terbabit sebelum disedari ibu mereka,” katanya, di sini, semalam. Hadir sama dalam siasatan terhadap kes berkenaan Pengarah Pembela, Amir Hamzah Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung (JKKK) Asahan, Abdul Ghani Abdullah. Menurut Zamzuri, anak sulung ibu tunggal itu diserahkan kepada satu pasangan untuk dijadikan anak angkat secara sah kepada lelaki berusia 28 tahun dan isterinya berusia 25 tahun itu sejak setahun lalu. Katanya, ketika kejadian, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu pulang ke rumah ibu kandungnya selepas ibu angkatnya itu ke Pahang untuk menemui suaminya yang bertugas di negeri itu. “Saya dimaklumkan, adik-beradik itu bukan pertama kali melakukan perkara sumbang itu dan keluarganya pernah melihat mereka berdua-duaan dengan keadaan mengghairahkan,” katanya.

Tak mahu nilai kekayaan diketahui

SAN FRANCISCO: Pengasas bersama Apple Inc, Steve Jobs dan isteri, menyerahkan sekurang-kurangnya tiga hartanah kepada beberapa yayasan pada 2009. Pakar perundangan berkata, ia satu tanda Pengerusi Apple itu mahu memastikan asetnya tidak didedahkan selepas kematiannya. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada mendiang meletakkan sahamnya dalam yayasan yang sama. Bagaimanapun, jika beliau berbuat demikian, ia pasti sukar untuk menentukan bagaimana ia akan dibahagi-bahagikan. Menempatkan saham dan hartanah boleh merendahkan cukai hartanah bila berlaku kematian pada seseorang dan mengawal ia daripada pendedahan kepada umum di Mahkamah Probet, kata Peguam Yayasan dan Hartanah di San Francisco, John O’Grady. “Butiran mengenainya tidak akan didedahkan jika ia dilakukan secara betul oleh Jobs. “Butiran itu hanya akan timbul jika berlaku kesilapan,” kata peguam itu. Selain sahamnya dalam Apple, Jobs mengumpul hartanya menerusi penjualan Pixar kepada Disney dengan menerima kira-kira 138 juta saham Disney pada 2006 menurut fail sekuriti. Majalah Forbes menganggarkan keseluruhan kekayaan mendiang berjumlah AS$7 billion (RM21.6 bilion) setakat September 2011. - AFP

Van pelancong terbabas: Empat warga asing terbunuh

JAKARTA: Sebuah van mini membawa pelancong asing terjatuh ke dalam gaung di Emen, Cicenang, Subang, Jawa Barat, semalam dan mengorbankan empat penumpangnya. Sembilan lagi yang ada dalam van sama cedera. Saksi berkata, van berkenaan dipandu laju sebelum ia dilihat gagal dikawal dan terbalik merempuh tebing di kawasan tinggi itu. Pegawai polis Subang, Agun Guntor, mengesahkan kemalangan itu. Katanya, van berkenaan dalam perjalanan dari Bandung ke kolam air panas Ciater. Sehingga malam tadi, polis belum lagi mendedahkan identiti penumpang berkenaan. - TI

Teksi antara lokasi paling digemari pasangan lakukan hubungan seks

JAKARTA: Kajian terbaru dilakukan terhadap 500 responden menunjukkan, teksi menjadi antara tempat paling digemari sesuatu pasangan untuk mengadakan hubungan seks. Hasil kajian New York Post mendapati, 46 peratus daripada responden mengakui pernah mengadakan hubungan seks dalam teksi, manakala sembilan peratus gemar di tandas awam. Sebanyak 31 peratus lagi memilih kereta sebagai tempat memuaskan nafsu dan 18 peratus di taman awam. Responden terdiri daripada 500 individu yang aktif dalam amalan seksual. Seorang daripada responden itu mengakui, dia pergi ke tandas restoran untuk mengadakan hubungan seks dengan pasangannya. Pasangan itu kemudian meninggalkan restoran itu sejurus kemudian tanpa memesan sebarang minuman. Kajian sama menunjukkan, 43 peratus daripada responden mengadakan hubungan seks dengan lebih daripada seorang pada satu-satu masa. - JP

Budak perempuan maut jatuh tangki kumbahan

JEDDAH: Seorang kanak-kanak perempuan Mesir meninggal dunia selepas jatuh ke dalam tangki kumbahan bawah tanah, lapor Jabatan Pertahanan Awam, semalam. Ibu mangsa nyaris jatuh ke dalam tangki berkenaan tetapi dapat diselamatkan oleh orang yang lalu di situ. Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam, Mejar Abdullah al-Amri berkata, insiden itu berlaku di bangunan yang masih dalam pembinaan di belakang Hospital Erfan dan Bagedo, di sini. Beliau berkata, tangisan ibu kanak-kanak malang itu menarik perhatian beberapa orang yang lalu-lalang di kawasan itu. Seorang daripada mereka kemudian memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Pertahanan Awam.

Tiada pilihan selain perang

ANTAKYA (Turki): Pegawai tentera Syria yang paling kanan berpaling tadah berkata semalam, tidak ada jalan lain untuk menggulingkan Presiden Bashar al-Assad kecuali secara kekerasan. Kolonel Riad al-As’aad yang kini di bawah perlindungan Turki dan menetap di Hatay, wilayah sempadan kedua-dua negara itu, berkata, beliau kini mengetuai pemberontakan tentera terhadap pemimpin Syria itu. Menurutnya, 15,000 tentera, termasuk pegawai sudah berpaling tadah dan mereka kini bersiap sedia untuk memindahkan markas pemerintahan ke dalam wilayah Syria. Riad berkata, tentera pemberontak sudah mula membentuk briged di seluruh negara dan menyerang hendap tentera kerajaan bagi menghalang mereka memasuki kawasan kampung. “Semangat di kalangan tentera adalah rendah. Tanpa peperangan, beliau (Bashar) tidak akan tumbang. Sesiapa yang menjadi ketua dengan kekerasan tidak boleh digulingkan tanpa kekerasan,” kata Riad kepada wartawan di kem pelarian Syria di Hatay. Beliau mendakwa kerajaan menggunakan kekerasan secara berleluasa dan keadaan di Syria ketika ini langsung tidak selamat. Riad yang sudah berada di Turki sejak lebih dua bulan lalu sentiasa dikawal oleh polis Turki dan lokasi tepatnya dirahsiakan demi keselamatan dirinya. “Kami mengadakan hubungan dengan mereka yang berpaling tadah setiap hari. Rancangan kami ialah berpindah ke Syria. Kami masih mencari tempat yang selamat yang boleh dijadikan untuk pangkalan kepimpinan di Syria,” katanya. - Reuters

Australia berusaha bawa balik budak ditangkap miliki dadah di Bali

 SYDNEY: Australia semalam berkata, ia berusaha sedaya upaya untuk membawa pulang seorang budak lelaki berusia 14 tahun yang ditahan di Bali kerana memiliki marijuana. Remaja berkenaan yang didakwa membawa sejumlah kecil dadah apabila ditahan di Bali boleh dihukum penjara untuk tempoh masa yang lama jika sabit kesalahan. “Selaku kerajaan, kami mempunyai orang paling mahir untuk menangani kes budak 14 tahun itu. “Matlamat kami ialah menyediakan apa juga bentuk bantuan untuk dia dan keluarganya. “Kami berhasrat untuk membawanya pulang ke Australia,” kata Perdana Menteri, Julia Gillard. Menurut Julia, budak itu ditahan di sebuah balai polis di Denpasar tetapi dikurung secara berasingan daripada tahanan lain. Sementara itu, peguam yang dilantik ibu bapa budak itu, Muhammad Rifan memberitahu wartawan, seorang pakar psikologi sudah memeriksa anak guamnya dan mendapati keadaannya tidak berapa bagus. Menurut polis, remaja itu ditahan bersama-sama dengan 6.9 gram marijuana ketika pulang ke hotelnya setelah berurut di Kuta. Media Australia melaporkan, remaja itu memberitahu polis, penjual dadah berkenaan mendakwa tidak makan beberapa hari dan memerlukan wang.- AFP

Pengarang akhbar ditembak mati

MANILA: Pengarang sebuah akhbar di utara Filipina ditembak mati semalam, pembunuhan terbaru membabitkan wartawan di negara itu. Seorang pembonceng sebuah motosikal menembak Johnson Pascual, Ketua Pengarang Prime News, ketika dia memandu sebuah van dari Alicia ke Cauayan di Wilayah Isabela. Pascual, 55, yang juga pengurus sebuah bank di kawasan itu, hilang kawalan terhadap kenderaannya lalu terhumban ke dalam gaung. Setakat ini, tidak ada kenyataan mengenai motif serangan itu. Dia adalah wartawan keenam dibunuh di Filipina tahun ini. - AFP

Gaddafi gesa rakyat Libya tunjuk perasaan

SIRTE: Muammar Gaddafi semalam menggesa rakyat Libya mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran terhadap rejim baru negara itu. Gesaannya yang dibuat menerusi mesej audio berkualiti rendah itu disiarkan menerusi televisyen Arai yang berpusat di Syria ketika Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta mengadakan perbincangan dengan pegawai Nato mengenai masa depan serangan udara terhadap Libya. “Saya menggesa rakyat Libya, lelaki dan perempuan, keluar ke dataran di bandar di seluruh negara untuk menolak Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC). “Saya ingin memberitahu mereka, jangan takut kepada sesiapa. Anda adalah rakyat Libya. Anda berhak terhadap negara ini,” kata Gaddafi yang dipercayai masih berada di Libya. “Laungkan bantahan anda terhadap mereka yang bersekongkol dengan Nato,” katanya, merujuk kepada NTC. Sementara itu, pertempuran di Sirte, bandar kelahiran Gaddafi, meletus semalam dengan penyokongnya berusaha memecahkan kepungan tiga minggu tentera NTC. Pertempuran di timur laut Sirte meletus semalam selepas penyokong Gaddafi mara ketika gelap. “Banyak pergerakan berlaku sebelah malam. Penembak curi mereka mara di beberapa kawasan,” kata seorang tentera NTC. Sirte dan Bani Walid, bandar padang pasir yang terletak 170 kilometer ke tenggara Tripoli adalah dua daerah yang masih dikuasai penyokong Gaddafi sejak beliau digulingkan Ogos lalu. Pasukan tambahan NTC dilapor dikerah ke Bani Walid semalam untuk melancarkan satu lagi serangan terhadap penyokong Gaddafi yang bermati-matian mempertahankan bandar itu. - AP

Isteri terbocor rahsia sendiri

Oleh Salman Hamat
 salman@hmetro.com.my
 JOHOR BAHRU: Curiga sang suami terhadap isterinya yang beria-ia mahu menggugurkan kandungan membongkar kecurangan wanita terbabit yang dikahwini sejak 12 tahun lalu. Semuanya bermula apabila si suami yang juga pakar psikologi dan hanya mahu dikenali sebagai Shan, 40, mengetahui isterinya hamil anak ketiga, tetapi hairan selepas wanita terbabit beria-ia mahu menggugurkan kandungan dengan alasan tidak mahu anak lagi. Menurut Shan yang bertugas di sebuah syarikat swasta di bandar raya ini, isterinya yang hanya dikenali sebagai Rupa, 31, rupa-rupanya mengandungkan anak luar nikah hasil hubungan sulit dengan rakan sepejabat berusia 40-an. “Semuanya bermula pada Ogos 2009 apabila isteri memaklumkan dia hamil dua bulan. Saya sangat gembira, tetapi sebaliknya dia bengang dengan perkara berkenaan. “Saya mula hairan dan selepas membuat perkiraan, saya sudah beberapa minggu tidak bersamanya dan mustahil dia hamil dua bulan,” katanya, semalam.

3 pegawai SPRM minta dibicara



Oleh Sazarina Shahrim 

2011/10/08

SEPANG: Selepas dibebaskan dengan jaminan polis Khamis lalu, tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tuduhan bersubahat melakukan rompakan, penyamaran dan penipuan serta menyembunyikan rancangan rompakan terhadap tiga warga Singapura membabitkan wang tunai AS$300,000 (RM930,000) pada 15 September lalu. 

Seawal jam 8.30 pagi, pekarangan mahkamah dipenuhi dengan media serta ahli keluarga dan rakan tiga tertuduh iaitu Timbalan Penguasa SPRM, S Vijayarao, 33, Penolong Penguasa, Wan Elfie Shafizy Wan Ahmad, 30, dan Aziz Jaafar, 48.
Semua tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan di depan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob dan mahkamah menetapkan sebutan semula bagi penyerahan dokumen pada 6 Disember depan dan membenarkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.
Mereka juga perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan, menyerahkan pasport antarabangsa masing-masing selain dilarang ke Sabah atau Sarawak. 

Selepas membayar wang jaminan, ketiga-tiga tertuduh yang keluar secara berasingan, kepala ditutup dengan baju T dan diselubungi pula menggunakan jaket sehingga hanya menampakkan mata bagi mengelakkan gambar mereka dirakam media. 

Mereka dibantu rakan yang turut menutup muka masing-masing dipercayai bagi mengelirukan media. 

Tertuduh menghadapi tuduhan bersubahat dengan dua lagi individu yang masih bebas, T Sritharan, 32, dan D Nagarajan, 34, bagi melakukan rompakan berkumpulan terhadap Hameed Saadik Batcha, Abd Rahman Maricar dan Mohamed Zakarriya Mohamed Shatik, masing-masing membabitkan wang AS$100,000 (RM310,000), di tandas lelaki bersebelahan restoran Deli France, Tingkat 1, Bangunan Satellite, KLIA pada jam 11.25 malam pada hari yang sama. 
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama. 

Mereka menghadapi tuduhan bersubahat dengan Sritharan bagi menipu Hameed Saadik, Abd Rahman dan Mohamed Zakarriya dengan memperkenalkan Sritharan sebagai pegawai SPRM sedangkan beliau bukan pegawai suruhanjaya itu, pada jam 11 malam di bangunan Satellite KLIA dan didakwa mengikut Seksyen 419 yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.

Kisah Jobs dalam buku





2011/10/08

SAN FRANCISCO: Steve Jobs, terlalu lemah dan kesakitan untuk memanjat tangga beberapa minggu sebelum kematiannya Rabu lalu akibat kanser pankreas, mahu anaknya memahami mengapa beliau sentiasa tiada bersama mereka, menurut penulis buku biografi tokoh telekomunikasi itu. 

Saya mahu anak saya mengenali saya, kata Jobs yang dipetik calon Hadiah Pulitzer Walter Isaacson, apabila ditanya mengapa pengasas bersama Apple Inc mahu mendedahkan kehidupannya selepas sekian lama menyembunyikan kehidupan peribadinya.
Saya tidak sentiasa berada bersama mereka dan saya mahu mereka tahu mengapa dan memahami apa yang saya lakukan, Jobs memberitahu Isaacson dalam temu ramah terakhir mereka di kediaman Jobs di Palo Alto, California.
Sepanjang usianya memimpin Apple, Jobs yang sering memakai baju panas lengan panjang berleher bulat berwarna gelap kekal sebagai tokoh yang berjaya menyembunyikan kehidupan peribadi, keluarga dan penyakitnya serta kematiannya pada usia 56, daripada tumpuan dunia. 

Beliau sangat menyembunyikan kehidupan peribadi tetapi beliau berada di 
mana-mana, produknya dicipta, kata bekas pekerja Apple, Glenn Harada, 22. 

Menurut wartawan kanan akhbar Gulfnews di Dubai, Bassma Al Jandaly yang juga sepupu rapat tokoh telekomunikasi itu, Jobs adalah anak lelaki bapa saudaranya, Abdul Fattah Jandali yang meninggalkan Homs, Syria untuk meneruskan pengajian di Amerika pada awal 1950 an. 
Walaupun kami tidak pernah bertemu, tetapi bulan lalu bapa saudara, Abdul Fattah menghubungi saya. Kami berbual mengenai asal usul keluarga. Kami juga berbual mengenai kesihatan Steve dan masa depan Apple. Ketika itu, barulah saya sedar yang beliau tidak akan hidup lebih lama, katanya. 

Beliau berkata, Abdul Fattah terus tinggal di Amerika selepas menamatkan pengajian dalam bidang sains politik kerana mempunyai anak hasil hubungan sulit dengan wanita Amerika, Joanne Simpson. Beliau kemudian mengahwini wanita itu dan mendapat anak perempuan Mona Jandali Simpson, yang kini penulis terkenal Amerika. - Reuters

Baghdad tawar bantuan kepada Libya





2011/10/08

BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki, menawarkan bantuan kepada Libya, negara yang berkongsi sejarah pemerintahan kuku besi, membina kedaulatannya dalam pertemuan dengan Perdana Menteri negara bergolak itu yang mengadakan lawatan kelmarin, kata jurucakap kerajaan Iraq, al-Moussawi. 

Beliau berkata, Al-Maliki memberitahu Mahmoud Jibril, yang sedang dalam lawatan sehari ke Iraq bahawa Baghdad sedia memberikan sokongan untuk menulis Perlembagaan dan mengadakan pilihan raya.
“Al-Maliki menyatakan kesediaan Iraq menyokong Libya terutama kerana pengalaman kedua-dua negara ketika menyingkirkan pemerintahan kuku besi,” katanya.
Iraq mengadakan beberapa pilihan raya demokratik dengan pembabitan meluas parti politik, agama dan mazhab sejak penyingkiran bekas presiden Saddam Hussein dalam pencerobohan yang diketuai Amerika Syarikat pada 2003. Bagaimanapun, wujud perbezaan ketara antara kedua-dua negara itu. 

Penduduk Libya, walaupun dibantu oleh kempen udara NATO, menjadi punca kejatuhan pemimpin mereka, Muammar Gaddafi sedangkan di Iraq, tentera Amerika menyingkirkan Saddam. 

Libya juga tidak berdepan perbalahan mazhab antara Sunnah dan Syiah yang mencetuskan banyak keganasan dan melumpuhkan negara itu hingga membawa ke ambang perang saudara. 

Lawatan Jibril itu yang pertama oleh mana-mana kepemimpinan kanan Libya ke Iraq sejak kejatuhan Gaddafi dan menunjukkan perubahan penting dalam perhubungan ketika era Gaddafi. 

Bekas pemimpin Libya itu memutuskan hubungan dengan Iraq pada tahun 2003. 
Jibril berkata, Libya mahu menghantar duta secepat mungkin ke Iraq dan al-Maliki turut mengemukakan pandangan sama, kata al-Moussawi. 

Sementara itu di SIRTE, pemimpin disingkir Gaddafi, menggesa rakyat Libya mengadakan bantahan ke atas pemerintah baru negara itu, ketika tentera beliau melancarkan serangan balas di tempat lahirnya yang dikepung, di sini. 

Rayuan Gaddafi dalam mesej audio yang kurang jelas, disiarkan lewat kelmarin melalui stesen televisyen Arrai berpusat di Syria, dibuat ketika Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Leon Panetta mengadakan rundingan di Naples dengan pegawai NATO berhubung masa depan perang udara di Libya. 

“Saya menggesa rakyat Libya, lelaki dan wanita, untuk keluar ke dataran, jalan dan semua bandar sehingga mencapai jutaan orang, untuk menolak Majlis Peralihan Nasional (NTC). Jangan takutkan sesiapa. Anda adalah rakyat, anda milik tanah air ini. Jadikan suara anda didengari untuk menentang sekutu NATO,” kata Gaddafi yang tidak diketahui lokasi persembunyiannya tetapi masih dipercayai masih berada di Libya. 

Mesej bekas pemimpin itu disiarkan ketika pertempuran semakin hebat di bandar kelahiran beliau berhampiran pantai Mediterranean, di mana pengikut setianya cuba memecahkan kepungan tiga hari di bandar itu oleh pejuang NTC. 

Pejuang berkata, pertempuran di barisan hadapan timur laut bandar ini meletus pagi kelmarin selepas pengikut setia Gaddafi mara pada waktu malam, kata pejuang kepada AFP. 

“Ada banyak pergerakan ketika malam, penembak hendap mereka mara ke sana ke mari,” kata seorang daripada mereka. – AP/AFP

Israel rampas tanah pusaka Badwi Arab



MASYARAKAT Badwi mengambil bahagian dalam satu protes di bandar Beersheba bagi membantah rancangan rejim Zionis untuk mengusir mereka.


BEERSHEBA, Israel - Beratus-ratus penduduk keturunan Arab Badwi melancarkan protes untuk membantah rancangan rejim Zionis mengusir 30,000 anggota komuniti mereka dari beberapa kawasan perkhemahan dan kampung di Israel.
Pada bulan lalu, Kabinet Israel meluluskan pelan untuk menempatkan semula sekitar 36 buah kampung di selatan Israel yang diduduki oleh 90,000 penduduk Badwi.
Komuniti tersebut menyatakan, tanah yang diduduki itu adalah tanah pusaka milik nenek moyang mereka yang diwarisi sejak turun-temurun.
Pihak berkuasa Israel bagaimanapun menganggap masyarakat Badwi sebagai setinggan, sekali gus enggan menyalurkan kemudahan dan prasarana asas seperti jalan raya, sekolah, klinik, air atau elektrik kepada mereka.
Bantahan tersebut berlangsung kelmarin. - AP

Lelaki edar yogurt dicemari air mani





ALBUQUERQUE, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pekerja kedai runcit mengaku salah kerana memberikan sampel yogurt berisi air mani di sebuah pasar di bandar ini, negeri New Mexico pada Januari lalu.
Anthony Garcia (gambar) berdepan dakwaan mencemari makanan dengan air mani dan membuat pengakuan palsu sewaktu disoalsiasat oleh pihak polis.
Dia membuat pengakuan bersalah di sebuah mahkamah persekutuan AS kelmarin.
Menurut polis, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan selepas sampel asid deoksiribonukleik (DNA) miliknya menyamai DNA yang terdapat pada air mani itu.
Di bawah persetujuan bersama pihak pendakwa raya, Garcia berdepan hukuman penjara hingga tiga tahun, disusuli pengawasan polis selama tiga tahun selepas dia dibebaskan. - AP

Pendapatan Beckham meningkat 30 peratus





LONDON - Pendapatan yang diperoleh pemain bola sepak pasukan Los Angeles Galaxy, David Beckham (gambar) menerusi tajaan dan perjanjian peribadi meningkat kepada 30 peratus berbanding tahun lepas.
Peningkatan itu menunjukkan semakin banyak syarikat mahu menggunakan nama bekas kapten England itu untuk mempromosikan jenama barangan keluaran mereka.
Menurut angka yang dikeluarkan oleh Dewan Syarikat Britain, perolehan syarikat yang mengendalikan pengiklanan Beckham sebelum ini adalah sebanyak AS$14.9 (RM47.10) juta, sebelum meningkat kepada AS$23.9 (RM75.55) juta pada tahun 2010.
Pada tahun 2009, Footwork Production menerima AS$18.3 juta (RM 57.85 juta) daripada pelbagai syarikat termasuk pengeluar barangan sukan, Adidas.
Akaun tersebut juga menunjukkan pemain berusia 36 tahun itu menerima AS$18.6 juta (RM 58.79 juta) daripada pelbagai syarikat berbanding hanya AS$14.6 juta (RM 46.15 juta) pada tahun sebelumnya.
Beckham juga mendapat jaminan sebanyak AS$6.5 juta (RM20.55 juta) sebagai gaji tahunan daripada Galaxy. Dia kini memikirkan apa yang akan dibuat apabila kontrak bola sepaknya tamat pada November nanti. - AP

Had maksimum pinjaman rumah naik




HAD maksimum harga rumah dalam Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000 melalui Bajet 2012. – Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mencadangkan supaya had maksimum harga rumah dalam Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 kepada RM400,000.
“Penambahbaikan itu boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012,” katanya semasa membentangkan Bajet 2012 di Dewan Rakyat semalam.
Najib berkata, kerajaan sebelum ini telah melancarkan skim berkenaan pada Mac tahun ini bagi memenuhi permintaan golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000 dan perubahan itu bagi menambahbaik skim berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan juga sudah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebagai satu agensi tunggal yang berperanan untuk membangun dan menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana.
Katanya, bagi tahun 2012, sebanyak 7,700 unit rumah akan dibina di Cyberjaya, Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja, Klang.
“Harga rumah yang ditawarkan di bawah skim ini lebih rendah berbanding harga pasaran disebabkan tanah dan dana mudahcara disediakan kepada pemaju,” katanya.
Misalnya, katanya, satu unit apartmen dengan keluasan 1,000 kaki persegi di Putrajaya dijual pada harga RM150,000 berbanding harga pasaran RM220,000.
Najib berkata, kerajaan juga akan memberi pengecualian sepenuhnya duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah program itu.

Bayar RM1,000 untuk bercerai



Siti Saida akhirnya bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Hasrat penyanyi Siti Nursaida Tarudin untuk bercerai termakbul apabila suaminya, Mohd. Ghazali Yahya Fikri bersetuju menerima RM1,000 daripada kakak penyanyi tersohor Siti Nurhaliza itu sebagai bayaran tebus talak (khuluk) dengan talak satu.
Jumlah itu diterima dengan rela hati oleh Mohd. Ghazali 40, selepas penyelesaian yang dicari dalam tiga majlis hakam sebelum ini sejak setahun lalu tidak membuahkan hasil kerana Saida, 35, wanita yang dikahwini selama 15 tahun berkeras untuk berpisah.
Kecewa dengan tindakan Saida yang juga plaintif, Mohd. Ghazali selaku defendan enggan melafazkan cerai terhadap isterinya, sebaliknya menyerahkan kepada wakil hakam iaitu pegawai mahkamah untuk berbuat demikian.
Anggota badan hakam bagi pihak Mohd. Ghazali kemudian melafazkan cerai talak satu terhadap Saida, manakala wakil wanita tersebut selepas itu dilihat menyerahkan wang tunai RM1,000 kepada Mohd. Ghazali.
Bapa kepada empat anak itu bagaimanapun enggan menerima wang tersebut, sebaliknya menyerahkan wang berkenaan kepada mahkamah.
Terdahulu, Hakim Mohd. Suhaily Rosdi di Mahkamah Rendah Syariah di sini meminta kedua-dua pihak bersalaman dan bermaaf-maafan, namun bekas jurutera kaji bumi itu memberitahu ia tidak perlu.
Saida bagaimanapun terus pergi ke arah suaminya yang berdiri di hujung meja dan menghulurkan tangan, namun tidak disambut, sebaliknya defendan berkata: "Sampai hati awak buat macam tu kepada saya."
Saida yang dilihat kekok dengan situasi tersebut hanya mendiamkan diri tetapi Mohd. Ghazali ditegur hakim supaya tidak bercakap.
Sementara itu, proses cerai beberapa kali terganggu disebabkan kedegilan Mohd. Ghazali yang mahukan Saida tidak membuat tuntutan terhadap harta dan anak-anak kerana mendakwa perceraian tersebut berlaku disebabkan kecurangan wanita tersebut.
Lantaran itu, hakim menasihatkan defendan supaya memfailkan permohonan lain sekiranya tidak berpuas hati dan rasa teraniaya kerana masing-masing berhak mendapat keadilan.

'Terminator' rasmi muzium untuk dirinya



ARNOLD SCHWARZENEGGER menunjukkan tugu kepada tetamu sewaktu majlis pembukaan muzium mengenai dirinya di Thal, Austria kelmarin.


GRAZ, Austria - Bintang filem Terminator, Arnold Schwarzenegger pulang ke tanah airnya, Austria, untuk merasmikan sebuah muzium sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan kariernya selama ini.
Jet peribadi yang membawa Schwarzenegger, 64, mendarat di lapangan terbang Graz di sini kelmarin. Muzium berkenaan terletak di rumah tempat dia dilahirkan yang telah diubah suai di desa Thal.
Muzium tersebut menyorot liku-liku kehidupan Schwarzenegger sebagai seorang pemuda sasa bertaraf imigran, tetapi gigih mencipta nama di Hollywood, seterusnya dilantik sebagai Gabenor Negeri California.
Muzium tersebut dibuka kepada umum sejak Julai lalu, tetapi perasmiannya hanya dibuat semalam. - AP