Thursday 13 October 2011

PGM gagal cubaan seludup telur penyu


13/10/2011 2:19pm

SANDAKAN - Pasukan Gerakan Marin (PGM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 5,000 biji telur penyu ke daerah ini selepas menahan sebuah bot di perairan Kampung Forest dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Supritendan Fadzil Mohd. Ali berkata, telur penyu itu diseludup masuk dari negara jiran dan nilai keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM8,000.

Katanya, tiada tangkapan dilakukan selepas juragan bot itu melarikan diri ketika hendak diperiksa oleh anggota polis marin yang melakukan pemantauan di kawasan perairan itu pada 11.30 malam.

Telur penyu yang dirampas itu dipercayai hendak dijual secara haram di kawasan bandar Sandakan.

Mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, memiliki atau menjual telur penyu di Sabah merupakan satu kesalahan.

"Penyeludupan dan penjualan telur penyu secara haram di sini masih berlaku disebabkan terdapatnya permintaan tempatan,” kata Fadzil. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

2 maut kemalangan motosikal


13/10/2011 3:38pm

KUANTAN - Dua pemuda maut apabila motosikal yang ditunggangi masing-masing bertembung di Kilometer 47, Jalan Kuantan-Kemaman dekat Chendor di sini, awal pagi ini.

Kedua-dua penunggang mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kedua-dua mereka dikenal pasti sebagai Tuan Mohamad Izzat Tuan Othman, 21, berasal dari Kampung Titian Berayun, Kijal, Terengganu, dan Rahmatnor Rashid, 23, berasal dari Kampung Gelung Gajah, Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Tiba di lokasi kejadian, dipercayai Tuan Mohamad Izzat yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 telah terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal Modenas yang ditunggang Rahmatnor,” katanya. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

2 maut kemalangan motosikal


13/10/2011 3:38pm

KUANTAN - Dua pemuda maut apabila motosikal yang ditunggangi masing-masing bertembung di Kilometer 47, Jalan Kuantan-Kemaman dekat Chendor di sini, awal pagi ini.

Kedua-dua penunggang mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kedua-dua mereka dikenal pasti sebagai Tuan Mohamad Izzat Tuan Othman, 21, berasal dari Kampung Titian Berayun, Kijal, Terengganu, dan Rahmatnor Rashid, 23, berasal dari Kampung Gelung Gajah, Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Tiba di lokasi kejadian, dipercayai Tuan Mohamad Izzat yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 telah terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal Modenas yang ditunggang Rahmatnor,” katanya. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

10 penjenayah ditahan di Kajang


13/10/2011 3:57pm

KAJANG - Polis menahan 10 lelaki sepanjang tempoh dua minggu lepas kerana terlibat dalam kes pecah rumah dan samun dalam tiga kejadian di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, dalam kejadian pertama, seorang lelaki telah memecah masuk sebuah rumah di Taman Jaya Baru, Cheras pada 12 tengah hari 3 Oktober lalu sebelum melarikan barangan berharga bernilai RM8,000.

Beliau berkata, pada ketika itu cuma seorang pembantu rumah berada di rumah kerana majikannya keluar. Pembantu rumah itu turut dirogol.

Abdul Rashid berkata, hasil maklumat, polis menahan suspek terbabit yang berumur 19 tahun di Lorong Haji Taib, Chow Kit pada 9 Oktober dan menjumpai barangan dipercayai milik majikan mangsa termasuk komputer riba serta minyak wangi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan kini ditahan reman selama lima hari bermula Isnin lepas.

Dalam kes kedua, Abdul Rashid berkata, polis menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an kerana dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Batu 14 Sungai Chua, Ulu Langat dan mengikat enam anggota keluarga di dalam rumah itu sebelum melarikan barang bernilai RM8,000 di Sg Chua di sini, Jumaat lepas.

Katanya, ketiga-tiga suspek bekerja sebagai buruh kasar dan hasil serbuan di rumah mereka, polis menemui semula barangan milik mangsa termasuk barangan kemas serta telefon bimbit.

"Sebilah kerambit dan sembilan keping surat pajak gadai emas turut ditemui ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Sabtu lepas dan mereka dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 15 kes samun dan pecah rumah.

Dalam kejadian ketiga, polis menahan enam lelaki 5 Oktober lepas kerana dipercayai terlibat dengan kes samun rantai emas daripada seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai selain melarikan wang tunai RM7,000 dari kedai itu di Persiaran Hussien Onn, Balakong, Mei lepas.

Abdul Rashid berkata hasil maklumat, polis menyerbu sebuah rumah di Sungai Merab Luar, Kajang dan menahan keenam-enam lelaki tersebut serta merampas dua bilah parang panjang, sebilah pisau buatan sendiri dan sepucuk pistol angin.

Kesemua suspek didapati positif dadah jenis heroin dan methapethamine selain pernah ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

6 nelayan ditahan ceroboh perairan P. Pinang


13/10/2011 4:05pm

GEORGE TOWN - Jabatan Perikanan menahan enam nelayan tempatan kerana menceroboh dan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan di perairan negeri ini semalam.

Pengarah Bahagian Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan, Bustamah Abu Bakar berkata, kesemua nelayan itu dalam dua buah bot pukat tunda ditahan kira-kira 5 batu nautika di kawasan perairan Pulau Rimau.

"Mereka ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan kira-kira pukul 5.30 petang semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, kesemua mereka yang berusia antara 26 dan 64 tahun dipercayai nelayan yang berpangkalan di Batu Maung dan Teluk Bahang.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda RM6,000 seorang atau penjara tidak melebihi enam bulan, jika sabit kesalahan. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Sewa kereta untuk seludup minyak


13/10/2011 5:43pm

PADANG BESAR - Penyeludup minyak dikesan sanggup menyewa kereta buruk pada kadar RM100 sehari bagi memastikan kegiatannya berjalan lancar.

Pemangku Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis, Asisten Supritendan Noor Janihan Nanyan berkata, perbuatan itu dikesan dalam serbuan di Kampung Baru Bukit Chabang dekat sini kira-kira 10.45 pagi hari ini.

Penyeludup mengaut keuntungan besar dalam kegiatan menyeludup minyak bersubsidi sehingga sanggup menyewa kereta pada kadar itu, katanya kepada pemberita di sini.

Katanya dalam serbuan itu, sebanyak 1,115 liter petrol diisi dalam lima tong dram dan satu tong plastik besar dan 347 liter diesel diisi dalam empat tong plastik hitam dan satu tong dram, kesemuanya bernilai RM20,568 dirampas dalam dua buah kereta yang disewa.

"Kami turut merampas dua pam mesin penyedut minyak yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan minyak,” katanya dan menurutnya bahan api itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Dua lelaki rakyat tempatan berumur antara 20 dan 30 tahun turut ditahan dalam serbuan itu, katanya. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Penagih disyaki bunuh warga emas


13/10/2011 5:47pm

KAJANG - Polis menahan seorang lelaki berusia 30-an kerana dipercayai terlibat dalam kes bunuh dan samun seorang wanita warga emas di Kampung Pasir Baru, Jalan Sungai Lalang, Semenyih di sini, 27 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, suspek yang merupakan saudara terdekat mangsa ditahan di kawasan Semenyih kira-kira jam 1 pagi semalam.

"Polis menganggap kes ini telah berjaya diselesaikan dengan penahanan suspek yang merupakan seorang penagih dadah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek dikenakan tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini manakala empat orang lelaki yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan telah dibebaskan.

Dalam kejadian itu, S. Danaletcheme, 64, ditemui mati berlumuran darah dengan kesan tikaman di leher dan luka di kepala dalam keadaan kepalanya terbenam di dalam kolah bilik air di rumahnya kira-kira pukul 1.00 tengah hari 27 September lepas.

Abdul Rashid berkata, mangsa yang tinggal seorang diri ketika kejadian dipercayai disamun sebelum dibunuh oleh suspek menggunakan pisau dan parang yang ditemui di tempat kejadian. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Lelaki dibunuh dalam pergaduhan


13/10/2011 6:10pm

IPOH - Seorang lelaki ditemui mati dipercayai dibunuh selepas berlaku pergaduhan di rumah sewanya di Menglembu di sini, hari ini.

Mayat Chen Woon Min, 47, ditemui terbaring di ruang tamu rumah itu dengan kesan kecederaan di kepala dan leher.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, Woon Min didatangi seorang lelaki yang didakwa pemilik rumah yang disewanya.

Kedua-dua mereka dilapor bertengkar dan siasatan awal polis mendapati Chen diserang menggunakan objek keras, katanya ketika dihubungi di sini.

Mayat Chen dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Ikan jerung dalam tasik padang golf



KELIBAT seekor ikan jerung terdapat dalam tasik di Padang Golf Carbrook, Australia. - YouTube


SYDNEY, Australia - Orang ramai yang bermain golf di Padang Golf Carbrook di bandar Brisbane tidak perlu mencari bola jika ia memasuki sebuah tasik kerana ia mengandungi ikan jerung.

"Pastinya, jika anda kehilangan bola, anda tentu tidak akan mengejarnya," kata seorang pemain golf, Graham Casemore.

Padang golf itu dilanda banjir pada lewat 1990-an apabila Sungai Logan melimpah tebing.

Apabila banjir tersebut surut, tasik yang terletak di antara lubang ke-12 dan 15 itu didapati mengandungi ikan jerung.

Terdapat papan tanda amaran yang meminta orang ramai tidak berenang di tasik itu. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Lelaki tak kahwin kerana wanita terlalu sedikit di kampung India



BEBERAPA lelaki bujang tidur bersama di dalam sebuah bilik di kampung Siyani, India pada 5 Oktober lalu. - Reuters


SIYANI, India - Ramai lelaki di desa ini, negeri Gujerat, tidak dapat berkahwin kerana bilangan wanita yang jauh berkurangan berbanding kaum lelaki.

Sehingga kini, terdapat lebih 350 lelaki bujang berusia lebih 35 tahun ke atas di desa berkenaan yang dihuni sekitar 8,000 orang.

"Desa ini kekurangan prasarana atau pembangunan, justeru penduduknya rata-rata miskin dan tidak berpelajaran," kata seorang pemilik kilang gandum kecil, Prashant Dave, 41, yang bernasib baik kerana telah berumah tangga.

"Terdapat terlalu sedikit wanita dengan ramai di antara mereka meninggalkan desa untuk mencari kehidupan lebih baik," tambahnya.

Seorang penduduk Siyani, Bharatbhai Khair pula berkata, dia berusaha mencari calon isteri sejak 25 tahun lalu tetapi masih gagal.

"Saya kini berputus asa, biarlah saya hidup membujang," kata lelaki berusia 45 tahun itu.

Situasi tersebut berlaku ketika maklumat banci yang disiarkan tahun ini menunjukkan terdapat 914 perempuan untuk setiap 1,000 bayi lelaki di India.

Keputusan tersebut menunjukkan penurunan sejak 2001 apabila terdapat 933 perempuan untuk setiap 1,000 bayi lelaki. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Israel setuju tukar 1,000 tahanan Palestin



GILAD SHALIT


BAITULMUQADDIS, GAZA - Pemerintah Israel dan Gaza kelmarin bersetuju menukar lebih 1,000 tahanan Palestin dengan seorang askar Israel yang ditahan oleh kumpulan Hamas, Koperal Gilad Shalit sekali gus merungkai isu yang sebelum ini sukar diselesaikan.

Perkembangan tersebut berlaku ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berdepan tekanan rakyat agar membawa Shalit pulang.

Dalam satu ucapannya, Netanyahu berkata, askar Yahudi itu akan pulang kepangkuan keluarganya dalam tempoh beberapa hari lagi.

Selain warga Israel, penduduk Palestin di Genting Gaza turut gembira dengan perjanjian pertukaran tahanan itu yang diusahakan oleh Mesir dan seorang pengantara Jerman.

Hamas mengesahkan bahawa perjanjian tersebut kini tinggal fasa teknikal untuk diselesaikan.

Mengulas mengenainya, ketua Hamas, Khaled Meshaal memberitahu, Israel akan membebaskan seramai 1,027 tahanan dalam dua peringkat.

Menurutnya, dalam tempoh seminggu, 450 orang akan ditukar untuk Shalit manakala bakinya akan dibebaskan dua bulan kemudian termasuk 27 tahanan wanita. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Aktor filem Austin Powers disyaki bunuh banduan dalam penjara



JOSEPH SON


SACRAMENTO - Seorang pelakon yang muncul dalam filem Austin Powers, Joseph Son dalam kes pembunuhan seorang banduan sebiliknya di sebuah penjara di California, kata beberapa pegawai pemulihan banduan kelmarin.

Son yang berusia 40 tahun kini menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana merogol secara beramai-ramai seorang wanita dalam kejadian yang berlaku pada 1990 lalu.

Aktor itu melakonkan watak salah seorang konco Dr. Evil yang bernama Random Task dalam filem Austin Powers: International Man of Mystery pada 1997.

Son turut berlakon dalam beberapa filem dan video lain pada tahun 1990-an.

Dia tiba di Penjara Negeri Wasco pada 16 September lalu untuk menjalani hukuman penjara itu.

Banduan yang mati itu merupakan seorang pelanggar parol yang menjalani hukuman penjara dua tahun kerana gagal mendaftar diri sebagai pesalah seks.

Dia ditemui mati pada Isnin lalu di dalam bilik penjara yang dikongsi bersama Son.

Jurucakap Jabatan Pemulihan dan Hukuman, Terry Thornton berkata, kematian itu dianggap sebagai satu pembunuhan. - AP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Gambar bogel mayat Raja Pop didedahkan



GAMBAR bogel mayat Michael Jackson didedahkan dalam perbicaraan kes kematiannya di Mahkamah Tinggi Los Angeles kelmarin. - AFP


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Pihak pendakwa raya menunjukkan gambar mayat Raja Pop, Michael Jackson dalam keadaan bogel semasa perbicaraan doktor peribadi Jackson, Conrad Murray, memasuki minggu ketiga kelmarin.

Murray, didakwa kerana menyebabkan kematian Jackson dengan memberi dos berlebihan ubat bius kuat, propofol kepada penyanyi legenda tersebut.

Ketika perbicaraan berlangsung, gambar mayat Raja Pop dengan bahagian kemaluannya dihitamkan ditunjukkan di Mahkamah Tinggi Los Angeles di sini.

Terdapat beberapa kesan lubang halus di kedua-dua tangan dan kaki iaitu tempat ubat bius propofol dimasukkan ke dalam badannya menerusi tiub perubatan.

Ibu Jackson, Katherine yang turut hadir pada perbicaraan itu, dilihat bergegas keluar dari bilik mahkamah sebaik sahaja gambar mayat anaknya didedahkan, dipercayai kerana tidak sampai hati melihat anaknya dalam keadaan menyedihkan.

Semasa gambar tersebut ditunjukkan, pendakwa raya menyoal koroner, Dr. Christopher Rogers yang memeriksa mayat Raja Pop selepas kematiannya pada Jun 2009 berhubung kemungkinan Jackson sendiri menyuntik dos tambahan propofol ke dalam badannya.

"Pada pendapat saya, penggunaan sendiri ubat propofol tidak menyokong kematian Jackson," kata Rogers.

Menurutnya, kemungkinan yang berlaku adalah Murray terlebih memberikan ubat propofol kepada Jackson untuk membantu dia tidur.

Murray memberitahu polis dalam sesi soal siasat yang diperdengarkan di mahkamah pada minggu lalu bahawa dia beredar dari katil Jackson selama dua minit pada 25 Jun, 2009 untuk ke tandas.

Sekembalinya dari tandas, dia mendapati penyanyi itu sudah tidak bernafas.

Rogers bagaimanapun berkata, dalam jangka masa sesingkat itu, Jackson yang sudah dipengaruhi ubat bius tidak mungkin dapat menyuntik lebih banyak propofol melalui tiub yang dimasukkan di kakinya sehingga menyebabkan pernafasannya terhenti sebelum Murray kembali.

"Senario yang diceritakan Murray kurang munasabah," kata Rogers kepada mahkamah.

Menurutnya, dia sebaliknya percaya doktor peribadi itu tersilap memberikan dos propofol semasa cuba menidurkan Jackson.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Los Angeles di sini dijangka berlangsung selama lima minggu sehingga akhir bulan ini.

Murray boleh dipenjarakan selama empat tahun sekiranya dia didapati bersalah kerana membunuh tanpa sengaja. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Jalan bertukar menjadi sungai



SEBATANG jalan raya bertukar menjadi sungai di wilayah Nonthaburi, Thailand semalam. - Reuters


AYUTTHAYA - Thailand semalam mengumumkan satu pertiga daripada wilayahnya akan menjadi zon bencana ekoran banjir besar di negara ini.

Tindakan kerajaan itu bertujuan untuk meningkatkan operasi bantuan semasa banjir tersebut meragut 281 orang serta berjuta-juta rumah dan penduduk terjejas.

beberapa batang jalan raya di sini juga bertukar menjadi sungai manakala seorang penduduk, Pathumwan Choichuichai berkata, tiada siapa menyangka air banjir akan meningkat tinggi.

Beberapa hari lalu, banjir tersebut mengubah Ayutthaya menjadi zon bencana dengan beberapa daerah hanya boleh dihubungkan melalui bot.

Imej di bandar ini menyebabkan penduduk Bangkok bimbang ibu kota Thailand tersebut akan dilanda banjir.

Penduduk yang panik telah membeli semua barang makanan di pasar raya semalam termasuk air botol serta mi segera.

Beg-beg pasir juga disimpan di sekitar beberapa hotel mewah bagi persediaan menghadapi banjir.

- Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Iran didakwa rancang bunuh duta Arab Saudi ke AS



SEORANg jurugambar merakamkan bangunan Kedutaan Arab Saudi di Washington D.C kelmarin. - AFP


TEHERAN - Iran melahirkan rasa marah dan menafikan tohmahan Amerika Syarikat (AS) yang menuduhnya merancang plot pembunuhan duta Arab Saudi ke AS dan menegaskan Washington sengaja menimbulkan ketegangan antara Teheran dan Arab Saudi.

Pegawai-pegawai di Teheran menganggap dakwaan yang dibuat kelmarin oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keadilan AS adalah satu situasi yang direka-reka yang bermaksud untuk mengalih perhatian dunia.

Iran sebelum ini mendakwa Israel dengan sokongan AS bertanggungjawab ke atas pembunuhan sekurang-kurangnya dua ahli sains nuklear dalam tempoh dua tahun yang lalu.

Menurut penasihat akhbar Presiden Iran, Mahmoud Ahmadnejad, Ali Akbar Javanfekr, ia merupakan penipuan untuk mengalih perhatian masyarakat dunia daripada masalah dalaman yang dialami oleh AS sendiri.

Tambah beliau, kerajaan AS dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) mempunyai banyak pengalaman dalam usaha mengalih perhatian dunia daripada mengetahui masalah dalaman di AS sendiri.

Duta Iran, Mohammad Khazaee mengirim sepucuk surat kepada pemimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan Majlis Keselamatan PBB, mengutuk tuduhan yang cukup memalukan itu dan berkata ia adalah satu plot pemikiran yang cukup jahat.

Dia turut menuduh Israel dengan sokongan AS, menjadi dalang kepada pembunuhan saintis nuklear Iran.

AS kelmarin mendedahkan bahawa ia mematahkan satu komplot yang didalangi pemerintah Iran untuk membunuh duta Arab Saudi ke Washington.

Washington juga berjanji akan mengheret Teheran ke muka pengadilan.

Jabatan Kehakiman AS mendakwa dua lelaki kerana bersubahat dengan sayap pemerintah Iran untuk membunuh Duta Arab Saudi, Adel al-Jubeir di AS dalam satu serangan bom.

"Dakwaan itu menyatakan bahawa komplot ini didalangi, dibiayai dan diarahkan dari Iran serta bercanggah dengan undang-undang AS dan antarabangsa," kata Peguam Negara, Eric Holder.

Dakwaan jenayah dikenakan terhadap seorang warga AS yang memegang pasport Iran, Manssor Arbabsiar, 56, dan Gholam Shakuri yang merupakan anggota Pasukan Quds iaitu pasukan elit Tentera Pengawal Revolusi Iran.

Shakuri masih bebas dan dipercayai berada di Iran manakala Arbabsiar ditangkap pada 29 September 29 tahun lalu di Lapangan Terbang John F. Kennedy di New York. Dia dihadapkan di sebuah mahkamah di Manhattan kelmarin.

Peguamnya berkata, dia akan membuat pengakuan tidak bersalah sekiranya didakwa.

Komplot tersebut didedahkan oleh sumber berbayar AS yang menyamar sebagai anggota sebuah kartel dadah Mexico yang digeruni kerana melakukan banyak pembunuhan termasuk membunuh orang kenamaan.

Kedua-dua defendan percaya kartel berkenaan akan membekalkan bahan letupan untuk serangan terhadap Duta Arab Saudi itu.

Sementara itu, bekas ketua perisikan Arab Saudi, Putera Turki al-Faisal menyatakan bukti Iran mendalangi plot untuk membunuh duta tersebut adalah kukuh. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Jolie lawat Libya


ANGELINA JOLIE melawat seorang penduduk yang cedera di sebuah hospital di Misrata, Libya kelmarin.


MISRATA, Libya - Aktres dan Duta Muhibah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Angelina Jolie semalam memuji penglibatan luar biasa rakyat Libya dalam perjuangan revolusi di tanah air mereka.

Aktres berusia 36 tahun yang popular menerusi filem pecah panggung seperti Tomb Raider dan Mr. & Mrs. Smith itu melawat bandar ini selepas tiba di Libya kelmarin.

Sebahagian penduduk Libya yang menjadi pejuang menawan bandar ini selepas pertempuran sengit selama beberapa minggu dalam kemaraan mereka untuk menggulingkan pemerintah Libya, Muammar Gaddafi pada awal tahun ini.

Bercakap di lobi sebuah hotel di bandar ini, Jolie memuji pembabitan luar biasa orang awam dalam perjuangan dan pihak berkuasa peralihan yang berusaha untuk membentuk Libya menjadi sebuah negara yang baharu.

"Ramai pejuang prorevolusi sama ada anggota tentera mahupun orang awam mengalami kecederaan malah ramai yang turut kehilangan anggota badan tetapi mereka terus berjuang demi masa depan negara dan masa depan anak-anak mereka. Perjuangan mereka luar biasa dan amat menyentuh hati," kata Jolie.

Jolie kemudian menaiki sebuah kenderaan utiliti untuk meninggalkan hotel berkenaan dengan diiringi kumpulan pengawal bersenjata menuju ke ibu negara Libya, Tripoli.

Rejim Gaddafi tumbang pada Ogos lalu. Gaddafi kini bersembunyi selepas diburu oleh para pejuang yang menentang kepimpinannya sejak Februari lalu. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'