Monday, 3 October 2011

Sering pindah kerana miskin



BALING - Sebuah keluarga di Kampung Merubi terpaksa hidup berpindah randah berikutan gagal menjelaskan sewa bulanan sehinggalah mendapat belas ihsan dari penduduk Kampung Teluk Petata yang sudi menumpangkan keluarga berkenaan di rumahnya.

Mohd Zulkifli Abdul Latif, 35, yang hanya bekerja kampung tidak dapat menanggung kos sewa rumah didiaminya.

“Dah tiga kali saya pindah, saya faham, siapa yang nak bagi sewa pada orang yang tak mampu bayar.

“Saya pun tak marah kepada penyewa yang ingin kami keluar. Nasib baik ada Pak Lang (pemilik rumah sekarang) yang sudi menumpangkan kami di rumahnya,” katanya.

Mohd Zulkifili yang mempunyai lima cahaya mata berkata, setakat ini, hanya 3 orang anaknya sudah memulakan alam persekolahan.

“Lagi dua orang masih kecil, namun, kadang-kadang, anak saya tidak dapat ke sekolah berikutan masalah pengangkutan,” katanya.

Sementara itu, Adun Bayu, Azmi Che Hussin berkata, masalah yang menimpa keluarga Mohd Zulkifli seharusnya mendapat perhatian banyak pihak.

“Menurut sumber sekolah. anaknya Shafiq, 11, terpaksa ke sekolah berjalan kaki dari rumahnya ke Sekolah Kebangsaan Iboi berikutan masalah pengangkutan.

“Disebabkan itu, saya hadir ke sini untuk mendapatkan penjelasan dari keluarga Shafiq mengenai masalah ini,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya bercadang untuk menghantar dua orang anak Mohd Zulkifli iaitu, Shafiq dan Shahri ke Yayasan al-Bukhari untuk mendapatkan pendidikan lebih teratur.

Menurutnya, anak-anak sepatutnya mendapat didikan yang sempurna kerana mereka merupakan aset yang bernilai.

“Siapakah yang akan membantu ahli keluarga selain anak-anak. Disebabkan itu, pelajaran memainkan peranan yang penting. Sekiranya kita susah mana sekalipun, pelajaran anak-anak perlu dititikberatkan,” katanya.

“Sekiranya ibu bapa mereka membenarkan, saya akan membuat surat sokongan untuk memastikan anak-anak ini mendapat didikan yang lebih baik,” katanya.

Azmi turut menggesa semua agensi kerajaan untuk tampil melawat keadaan keluarga ini seterusnya menyampaikan bantuan yang sewajarnya.

Empat suspek masih diburu



LEDANG – Polis Ledang yakin akan dapat menahan empat suspek yang terbabit dalam satu kejadian rompakan sebuah kedai barang kemas di Tangkak pada 27 September, lalu.

Ketua Polis Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kesemua lelaki tersebut bertopeng dan dipercayai bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi ketika merompak kedai berkenaan, kini masih bebas.

Menurutnya, gerakan memburu suspek masih giat dijalankan sejak berlakunya insiden terbabit.

“Sekatan Jalan Raya (SJR) masih rancak diadakan di seluruh daerah Ledang termasuk meneruskan Ops Tertutup di beberapa lokasi.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengumpul maklumat supaya usaha menjejak suspek menjadi lebih mudah,” katanya kepada :Sinar Harian.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, polis juga hampir mengenal pasti identiti kesemua suspek dan dijangka akan memudahkan usaha menjejaki mereka.

Bagaimanapun, Harun turut menasihati pengusaha kedai emas supaya mementingkan ciri-ciri keselamatan di kedai mereka termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Pemasangan CCTV ini digalakkan di dalam dan di luar kawasan kedai, seharusnya ia berfungsi 360 darjah untuk memudahkan proses pengecaman suspek,” katanya.

Pada masa yang sama, peniaga-peniaga kedai barang kemas di sini juga digalakkan supaya menjalinkan hubungan erat dengan pihak polis agar maklumat dapat disalurkan dengan lebih tepat.

Terdahulu dalam kejadian tersebut, peniaga kedai terbabit terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM30,000 apabila empat dulang barang kemas di kedainya dilarikan oleh empat suspek dalam kejadian rompakan, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 pagi itu, tiga daripada empat suspek menyerbu masuk ke dalam kedai tersebut.

Manakala seorang lagi suspek hanya menunggu dalam kereta jenis Proton Waja yang mereka naiki yang diletakkan berhampiran kedai emas itu.

Rompakan dilakukan dalam tempoh kira-kira lima minit sahaja sebelum suspek membawa lari barangan kemas menghala ke arah Bekok.

Tetap tak mengaku salah



KANGAR – Mahkamah Sesyen semalam menangguhkan perbicaraan kes sepasang adik-beradik yang didakwa menyimpan pelbagai senjata api di Taman Perlis, di sini November depan.

Permohonan penangguhan itu dibuat Timbalan Pendakwa raya, Noor Syazwani Mohd Sobri berikutan beberapa laporan pendakwaan masih belum siap.

Hakim, Wan Norzanuar Wan Ahmad kemudian membenarkan penangguhan itu dan menetapkan 3 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam prosiding semalam, Nyan Swee Keat, 41, dan Nyan Swee Tik, 35, masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah atas semua dakwaan yang dibacakan terhadap mereka.

Kedua-dua mereka yang diwakili peguam M Athumulan itu bagaimanapun tidak dibenarkan diikat jamin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pelbagai jenis senjata api termasuk dua pucuk Revolver.38 Special 2 dan lebih 2,700 peluru berbagai kaliber dan jenama dirampas polis Perlis di beberapa lokasi di Taman Perlis, dekat sini.

Rampasan terbesar tahun ini itu dibuat selepas polis menahan dua lelaki tempatan yang juga pasangan adik beradik.

Ketua Polis Perlis, Zull Aznam Haron berkata, hasil maklumat awam dan risikan polis, pelbagai jenis senjata api dirampas di beberapa lokasi berlainan sekitar taman terbabit kira-kira jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, antara senjata api yang dirampas ialah dua pucuk Revolver.38 Special 2, sepucuk pistol automatik jenis Barreta, sepucuk pistol automatik jenis Glock dan selaras senapang patah.

Turut dirampas, lebih 2,700 peluru berbagai kaliber dan jenama, lebih 400 katrij senapang patah, sejumlah kelopak peluru Magazine, tujuh bilah senjata tajam, sebilah pedang samurai, dua bilah pisau, dua batang lembing, sejumlah bahan letupan dan dua kereta lama jenis Mercedez Benz dan Hyundai.

Doktor cuti bersalin diminta jadi saksi



SUNGAI PETANI - Mahkamah meminta seorang doktor dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) yang sedang cuti bersalin menjadi saksi satu kes rogol di Bandar Amanjaya.

Hakim, Norsalha Datuk Hamzah meminta Timbalan Pendakwa Raya, Hasnurliza Mohd Radzi untuk menghubungi doktor terbabit bagi menjadi saksi kes rogol pada sambungan perbicaraan 17 Oktober ini.

Berdasarkan prosiding perbicaraan, Norsalha meminta Hasnurliza menghubungi doktor terbabit memandangkan rekod menunjukkan doktor terbabit bercuti sehingga Oktober dan tarikh tidak ditetapkan.

Sementara itu, seorang lelaki dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua tuduhan rogol seorang gadis bawah umur.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, lelaki itu pada 17 Jun 2009 jam 4 hingga 5 petang didapati merogol seorang gadis berumur 14 tahun 5 bulan di dalam bilik sebuah rumah di Jalan Anggerik 5/15, Bandar Amanjaya, di sini.

Pertuduhan kedua, lelaki terbabit didapati merogol gadis sama pada 25 Jun 2009 jam 11 malam hingga 12 malam di alamat sama.

Kedua-dua pertuduhan dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak kurang lima tahun penjara dan juga sebatan.

Berdasarkan prosiding perbicaraan, ibu mangsa yang dipanggil menjadi saksi memberitahu mahkamah bahawa anaknya (mangsa) ditemui di dalam bilik rumah tertuduh di Bandar Amanjaya setelah didapati tidak pulang ke rumah.

Mangsa kemudiannya menceritakan kepada ibunya dia dirogol lelaki berkenaan selepas dibawa pulang ke rumah.

Perbicaraan disambung 17 Oktober depan.

Padah menyamar pegawai kastam



PORT DICKSON – Tindakan seorang wanita berusia 35 tahun berpakaian menyerupai seorang pegawai wanita Jabatan Kastam Diraja Malaysia membawa padah apabila dia ditahan polis di bandar ini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi di hadapan sebuah bank di bandar Port Dickson.

Menurut sumber polis, keterampilan wanita itu yang berpakaian uniform kastam mengundang curiga seorang pegawai kastam yang kebetulan baru keluar dari sebuah bank di situ.

Katanya, pegawai tersebut bertindak menyapa wanita itu memandangkan cara dia berpakaian meragui berikutan uniform kastam tersebut tidak teratur.

“Laporan polis kemudian dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah dan kes disiasat di bawah Seksyen 171 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai kakitangan kerajaan.

“Wanita berusia 35 tahun itu ditahan polis untuk siasatan lanjut dan motif wanita itu berpakaian

Ambil dadah untuk kurus



AYER KEROH - Seorang operator hotel didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini semalam atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan.

Hukuman dijatuhkan Majistret Muhammad Hazri Hanafi terhadap Mohd Reza Mohamed, 27, selepas faham dan mengaku bersalah sebaik sahaja mendengar pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didapati melakukan pemberian kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, 5.30 petang, 30 Mei lalu.

Terdahulu, tertuduh ketika rayuan memohon mahkamah meringan hukuman ke atasnya kerana sudah menyesal, selain tindakannya itu adalah disebabkan mahu mengurangkan berat badan .

“Saya menyesal dengan tindakan saya yang terpengaruh dengan rakan-rakan yang mencadangkan mengambil dadah untuk kurus. Saya mohon hukuman saya diringankan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi yang mengendalikan kes berkenaan meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap kesalahan dilakukan tertuduh.

Muhammad Hazri kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau dua bulan penjara jika tidak membayar denda dan dua tahun pengawasan sebaik sahaja menasihatkan tertuduh supaya membuat senaman sebagai usaha menguruskan badan.

“Awak boleh pergi gim ataupun jogging di taman rekreasi, bukan sahaja boleh membantu kuruskan badan tapi juga mencergaskan minda. Jangan lagi ulang kesalahan ini sebagai jalan singkat untuk kurus,” katanya.

Hilang kawalan langgar tebing



KUALA PILAH – Seorang lelaki maut apabila kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu melanggar tebing jalan di Jalan kampung Sungkak, lewat petang kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Asisten Superintendan Md Faisal Mohd Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.45 petang kelmarin di Kilometer 8 Jalan Sungkak, dekat sini.

Menurutnya, kereta dipandu mangsa dikenali sebagai S Matan, 27, datang dari arah Bahau menuju ke Kuala Pilah itu dipercayai dipandu laju.

Ditambah pula, katanya, dengan permukaan jalan raya yang licin selepas hujan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa terbabas ke kanan jalan dan melanggar tebing sehingga menyebabkan bahagian depan kereta rosak teruk.

“Mangsa cedera parah di kepala dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), namun meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya.

Md Faisal berkata, mangsa yang tersepit di depan kereta berjaya dikeluarkan oleh orang ramai.

“Mangsa hanya seorang diri sahaja di dalam kenderaan tersebut untuk ke Kuala Pilah.

“Sesiapa mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini boleh menghubungi balai polis berdekatan menerusi talian 06- 4811222,”katanya.

Heroin dalam seluar dalam



ALOR GAJAH - Seorang lelaki ditahan polis selepas menyorokkan dadah jenis heroin dalam seluar dalamnya ketika operasi bersepadu membabitkan Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di Pengkalan Balak, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, lelaki lingkungan 30-an bersama teman wanitanya itu ditahan selepas kereta jenis Kia yang dinaiki mereka dikejar polis berikutan kedua-duanya kelihatan mencurigakan.

“Selepas berlaku aksi mengejar itu, kereta dinaiki sepasang kekasih itu berjaya ditahan di kawasan Pengkalan Balak.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui sejumlah dadah jenis heroin yang disorokkan di dalam seluar dalam lelaki terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pemakaian pangkat kepada 89 anggota polis di perkarangan IPD Alor Gajah di sini, semalam.

Sementara itu, Umar Ali berkata, seramai 18 penagih dadah ditahan dalam operasi bersepadu dijalankan pihaknya dalam operasi sekitar kawasan Masjid Tanah dan Kuala Sungai Baru, kelmarin.

Menurutnya, operasi berlangsung selama dua hari di tempat-tempat bebas dan terbuka, termasuk di sebuah chalet di Pengkalan Balak melibatkan dadah jenis syabu.

“Hasil maklumat dan aduan orang awam berhubung kumpulan penagih tegar ini, polis melakukan intipan dan pemantauan beberapa hari sebelumnya dan mendapati mereka seolah sebati dengan tempat terbabit dan ditangkap ketika berada di bawah pe�ngaruh dadah,” katanya.

Beliau berkata, kesemua ditahan direman 14 hari bermula semalam.

Dalam perkmbangan lain, katanya, empat suspek ditahan di kawasan Tampin kerana disyaki terbabit dengan kejadian samun bersenjata membabitkan dua warga Bangladesh di Air Hitam Lendu, Masjid Tanah, dua minggu lalu.

“Dua suspek itu ditahan sepasukan anggota polis selepas menemui sebuah kereta jenis Perodua Kancil dipercayai digunakan oleh mereka untuk menjalankan aktiviti samun di sekitar Alor Gajah dan Tampin,” katanya.

Bumbung terbang dibaiki



BACHOK – Kejadian ribut yang menimpa sebuah keluarga di Kampung Sungai Gali minggu lalu mendapat perhatian segera daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Beris Lalang, Che Hamid Che Deraman, dekat sini.

Kejadian ribut kira-kira jam 5 petang minggu lalu, menyebabkan bumbung bahagian dapur kediaman Esah Awang, 66, diterbangkan angin.

Menurut Esah, kejadian itu berlaku ketika dia hendak menunaikan solat Asar di rumahnya.

“Kejadian ini tidak pernah berlaku sebelum ini, ketika ribut tahun lalu rumah saya terlepas.

“Dalam kejadian minggu lalu ALLAH SWT hendak menguji kami sekeluarga apabila hanya rumah saya sahaja dilanda ribut,” katanya semalam.

Dia berkata, ketika kejadian semua anak dan cucunya berada di bahagian ruang tamu dan terkejut apabila ribut melanda.

Namun, dia bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan kemalangan terhadap anak dan cucunya.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana tiada ahli keluarga kami tercedera akibat kejadian ini.

“Selepas kejadian itu, saya terus meminta pertolongan Pengerusi JKKKP Beris Lalang, Che Hamid Che Deraman untuk membetulkan bumbung rumah dan dia datang keesokan harinya bersama beberapa penduduk lain untuk membantu membaiki bumbung rumah.

“Saya ucapkan terima kasih kepada beliau kerana kami tidak perlu menunggu lama untuk membetulkan kerosakan.

“Tambahan pula keadaan cuaca tidak menentu akhir-akhir ini,” katanya.

Esah tinggal bersama tiga anak sudah berumah tangga dan lapan cucu.

Suami jumpa isteri tergantung dalam bilik



TAMAN PUTRI – Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan tergantung di dalam bilik tidur tengah oleh suaminya di kediaman mereka di sini, kira-kira jam 10.35 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kematian si mati selepas dilaporkan suaminya.

Zulkefly berkata, bedah siasat telah dijalankan ke atas mayat si mati dan doktor mengesahkan kematiannya adalah disebabkan tercekik akibat kesan tergantung.

“Siasatan telah dijalankan dan polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi perkarangan kediaman mangsa yang dipenuhi kunjungan saudara-mara dan sahabat handai yang terkejut mendengar berita kematian.

Seorang jiran terdekat mangsa berkata, si mati adalah seorang yang peramah dan sering menghulurkan pertolongan kepada jiran berhampirannya walaupun berlainan bangsa.

“Saya telah tinggal berjiran bersama keluarga mangsa sejak sepuluh tahun yang lalu dan dia juga seorang ibu yang periang dan sering bertegur sapa di antara jiran terdekat.

“Saya terkejut mendengar berita kematian mangsa yang meninggal dunia pada usia yang begitu muda,” katanya.

Pusat judi siber diserbu




KULIM - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim berjaya merekodkan rampasan komputer dari premis perjudian di pusat siber dianggarkan bernilai lebih setengah juta ringgit sepanjang tempoh 2010 hingga September tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song berkata, daerah Kuala Muda mencatatkan rampasan mesin judi tertinggi iaitu 1,384 unit dengan 264 tangkapan diikuti Kota Setar, 1,306 unit, 265 tangkapan, Kulim 247 unit, 95 tangkapan, Kubang Pasu 45 unit, 10 tangkapan dan Langkawi 24 unit, tiga tangkapan.

Menurutnya, dari 2010 sehingga September 2011, polis telah mengadakan 519 operasi yang melibatkan premis perjudian dan merampas 1,160 komputer pelbagai jenama. Selain itu 164 orang ditahan di mana kesemua terlibat merupakan petugas premis terlibat.

“Dalam bentuk pecahan, sepanjang tahun 2010, polis mengadakan 430 operasi dan berjaya menahan 107 orang dan merampas 873 unit komputer.

“Bagi tahun 2011 bermula Januari sehingga September, 89 serbuan dibuat dan kita berjaya menahan 57 orang serta merampas 377 unit komputer. Kesemua rampasan ini dilakukan terhadap premis perjudian yang dijalankan di pusat siber,” katanya.

Su Song berkata, mereka yang ditahan akan disiasat di bawah seksyen 4B (A) Akta Judi Rumah Terbuka 1953.

Katanya, selain itu, polis juga akan memohon TNB untuk memotong bekalan elektrik ke semua premis yang menjalankan aktiviti mesin perjudian.

“Dari 1,160 komputer yang dirampas, kami mentafsirkan jumlah rampasan bernilai kira-kira RM582,000.

“Polis Daerah Kulim tidak akan berkompromi dengan pesalah yang terlibat dalam kegiatan perjudian seperti ini,” katanya.

Su Song meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat tentang pengendalian premis perjudian di sekitar Kulim kepada polis dengan menghubungi talian 04-4916999.

“Saya turut menasihatkan ibu bapa dan semua masyarakat Kulim supaya tidak terlibat dalam kegiatan perjudian haram kerana ia merupakan antara aktiviti tidak sihat dan merugikan,” katanya.

Mayat terlentang dalam parit



MUAR – Mayat seorang lelaki dengan beberapa kesan tetakan objek tajam di anggota badan dijumpai dalam sebuah parit berhampiran kawasan semak oleh sekumpulan kanak-kanak di Parit Amal Jalan Seri Tanjung Bakri di sini, kira-kira jam 2.45 petang, kelmarin.

Lelaki terbabit dipercayai telah dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang ke dalam parit di kampung berkenaan.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika ditemui berkata, pihak polis tidak menolak mangsa dibunuh dengan kejam kerana bermotifkan dendam.

Menurutnya, sekumpulan kanak-kanak terbabit menjumpai mayat lelaki itu ketika melalui kawasan berkenaan yang terletak tidak jauh dari rumahnya selepas pulang daripada kedai runcit.

“Kanak-kanak itu dikatakan menaiki basikal melalui jalan berhampiran sebelum melihat seorang lelaki terlentang dalam parit tersebut seperti orang sedang tidur.

“Kerana terkejut, kanak-kanak itu segera pulang ke rumah dan memaklumkan perkara tersebut kepada ibunya sebelum membuat laporan di balai polis,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamad Nasir berkata, bertindak laporan yang diterima, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Muar bergegas ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa berumur dalam lingkungan 20an dijumpai dalam keadaan terlentang dan hanya berseluar pendek.

“Mangsa berambut pendek, kurus, tinggi 5 kaki 7 inci dan dipercayai telah dibunuh kurang daripada 24 jam berikutan tubuhnya masih dalam keadaan baik sebelum dijumpai di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai beragama Islam dan besar kemungkinan adalah warganegara asing, namun siasatan terperinci masih dilakukan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan tiada sebarang dokumen atau pengenalan diri ditemui pada tubuh mangsa dan sedikit sebanyak menyukarkan polis untuk menyiasat identiti mangsa.

Menurutnya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta segera membuat laporan polis.

Pihak polis juga mohon kerjasama daripada orang ramai atau saksi yang mengetahui kejadian itu untuk segera tampil memberikan maklumat bagi menyelesaikan kes tersebut.

Kematian Nur Shafiqa belum terjawab



KUALA KANGSAR – Setelah seminggu berita mengenai kematian pelajar, Nur Shafiqa Ismail, 11 disiarkan, masih belum ada sebarang perkembangan dan tangkapan dilakukan oleh pihak polis berhubung kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abd Gaffar Mohammad berkata, siasatan terhadap kes tersebut, dalam pelbagai sudut dan aspek masih berjalan.

“Kita masih belum menemui sebarang bukti atau keterangan yang membolehkan kita mengaitkan mana-mana individu sebagai suspek dalam kes ini.

“Polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dan beberapa individu sudah dipanggil untuk membantu siasatan, namun untuk masa ini kita masih belum memperoleh rumusan secara terperinci serta perlu menunggu sehingga semua siasatan selesai,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar , di sini, semalam.

Mayat Nur Shafiqa ditemui di bawah pelepah kelapa sawit dalam sebuah ladang kelapa sawit di Langkor, dekat sini, sepertimana dilaporkan dalam Sinar Harian pada 27 September lalu.

Sebelum itu, mangsa dilaporkan hilang semenjak dua minggu sebelum mayatnya ditemui, iaitu selepas keluar dari rumah ibu saudaranya di kampung Talang Masjid, dekat sini dengan kesan jerutan dipercayai menggunakan kain tudung pada bahagian leher.

Makan nasi lauk garam akibat miskin



PADANG LALANG – Akibat kemiskinan hidup, seorang ibu tunggal terpaksa makan nasi yang digaulkan dengan air garam bagi membolehkan dia meneruskan kehidupan harian.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tasek, Abdul Rahman Yusof berkata, Zainap Ibrahim, 52, hanya tinggal berseorangan di rumah usang selepas kematian suami terpaksa menyara hidup dengan mengambil upah di sebuah kilang berhampiran.

“Menerusi jiran sekeliling, Zainap yang hidupnya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu terpaksa menyara hidupnya dengan makan nasi yang digaulkan air garam akibat ketiadaan duit untuk membeli juadah sampingan.

“Perasaan sedih dan simpati menyelubungi diri ini apabila mendapat tahu ada penduduk yang terpaksa hidup dalam keadaan sedemikian,” katanya.

Menurutnya, masalah berkenaan terus diselesaikan dengan kerjasama pihak JKKK dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap, Makhtar Shapee.

“Bantuan segera dihulurkan bagi meringankan beban yang ditanggung dan bantuan bulanan juga akan diusulkan kepada pihak yang terlibat bagi membolehkan Zainap mendapat bantuan yang setimpal,” katanya.

Sementara itu, Zainap ketika ditemui di rumahnya berkata, akibat kemiskinan hidup, dia terpaksa bekerja di kilang berhampiran dengan gaji bulanan sekitar RM300.

“Dengan kos hidup yang semakin meningkat, gaji bulanan yang diterima sekadar ‘cukup-cukup makan’ sahaja.

“Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih atas pemberian sumbangan kewangan yang diberikan ini. Segala jasa baik, Tuhan sahaja yang dapat membalasnya,” katanya.

Mangsa diacu parang ke leher



HUTAN MELINTANG - Sebilah parang yang diacukan ke leher oleh seorang penjenayah satu mimpi ngeri bagi seorang wanita dalam kejadian samun di sebuah kedai, di Jalan Bagan Datoh, dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian berkenaan berlaku di kedai milik adik ipar mangsa, pada jam kira-kira 11 malam.

Menurutnya, mangsa bersama pemilik kedai yang juga seorang wanita berusia 45 tahun serta seorang pekerja sedang bersiap-siap untuk menutup premis perniagaan ketika kejadian berlaku.

“Kegiatan samun itu dilakukan dua lelaki berusia 19 dan 33 tahun, yang mengenakan topeng pada ketika itu bagi mengelak identiti mereka dicam.

“Kedua-dua suspek telah masuk ke dalam premis kedai terbabit dan telah mengacukan parang kepada mangsa sebelum melakukan kegiatan samun,” katanya ketika di temui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan berdasarkan pertuturan mereka dan telah menyamun wang tunai sebanyak RM1,000 serta duit syiling sebanyak RM300 daripada premis kedai terbabit.

Katanya, suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah dan kejadian itu turut disedari oleh jiran mangsa yang sempat melemparkan sesuatu sehingga terkena pada cermin belakang kereta berkenaan.

“Pemilik premis perniagaan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan daripada hasil maklumat yang diterima, kami telah berjaya merampas kereta berkenaan di Kepong, Selangor.

“Kereta yang dinaiki suspek juga disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu semasa melakukan kegiatan samun di premis kedai terbabit,” katanya.

Beliau memaklumkan, sepasukan polis dari IPD Teluk Intan telah menyerbu rumah abang ipar salah seorang suspek di Kepong awal pagi semalam, setelah menerima maklumat.

“Hasil serbuan yang dilakukan di rumah berkenaan, kita telah berjaya merampas kereta terbabit yang mana nombor pendaftarannya telah ditukar kembali kepada nombor pendaftaran asal.

“Ekoran rampasan kereta yang sebenarnya milik abang ipar salah seorang suspek terbabit, seorang lelaki Melayu berusia 33 tahun turut berjaya ditahan dan wang dipercayai hasil samun sebanyak RM92 turut dirampas,” katanya.

Kok Liang berkata, polis kini sedang giat menjejaki seorang lagi suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian samun bagi membantu siasatan.

‘Superman’ ditahan polis



KLANG SELATAN - Tindakan tiga remaja menunjukkan aksi ‘superman’ sebagai aktiviti malam minggu tidak berpanjangan apabila mereka berjaya dikepung dan ditahan sekumpulan anggota Penguat kuasa Trafik menerusi Operasi Cegah Samseng Jalanan berhampiran Kompleks Sukan Pandamaran, Persiaran Raja Muda Musa, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Operasi merangkap Penguat kuasa Trafik Klang Selatan, Cif Inspektor Zulkefli Hashim berkata, pihaknya bersama lapan anggota Penguat kuasa berpakaian preman memerhati dari jauh sebelum bertindak mengepung dan menahan remaja terbabit.

“Tiga remaja berusia 16 hingga 19 tahun itu berjaya ditahan kira-kira jam 3.15 pagi ketika mereka sedang berhenti di lampu isyarat Kampung Raja Uda untuk meneruskan aksi seterusnya.

“Salah seorang remaja masih belajar dalam tingkatan empat manakala dua lagi bekerja di sebuah kilang roti.

“Ketiga-tiga remaja ini ditahan di bawah Seksyen 42 APJ 1987 atas kesalahan memandu secara melulu yang boleh membahayakan nyawanya dan pengguna jalan lain,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi sama, seorang lelaki India berusia 20-an turut ditahan atas kesalahan mabuk.

“Selepas menjalani pemeriksaan, didapati paras alkoholnya 162/100 mililiter melebihi had yang dibenarkan.

“Ia menjadi satu kesalahan kerana boleh mendatangkan kemudaratan kepada dirinya sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.

“Oleh itu, beliau dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45 (C) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Katanya, keempat-empat pesalah ini akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pada Khamis ini.

:Beliau berkata, keseluruhan operasi bermula jam 1 hingga 5 pagi itu berjaya menahan tujuh lagi motosikal bersama penunggangnya yang melakukan pelbagai kesalahan antaranya ubahsuai motosikal daripada struktur asal.

“Semua tujuh remaja berusia 20-an itu dikatakan mempunyai hubungan persaudaraan antara satu sama lain dan berasal dari Jugra, Banting.

“Mereka sanggup turun ke daerah ini semata-mata untuk melakukan kegiatan tidak bermoral ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dalam pada itu, Zulkefli berkata, dalam operasi itu juga 35 saman dikeluarkan ke atas pesalah trafik kerana tiada lesen memandu dan ubahsuai kenderaan.

Katanya, pihaknya akan meneruskan operasi sedemikian setiap malam minggu selain pemantauan berterusan pada hari-hari biasa dalam usaha mencegah kegiatan samseng jalanan yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Pelanggan pusat internet cedera ditetak penyamun



KUANTAN - Kunjungan seorang pemandu lori ke sebuah pusat internet di sini mengundang musibah apabila premis tersebut dimasuki tiga perompak bertopeng bersenjatakan kapak dan parang, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam Sabtu lalu itu, mangsa cedera di bahagian lengan kiri akibat ditetak beberapa kali oleh salah seorang suspek mengunakan parang.

Kejadian dipercayai berlaku selepas suspek naik angin kerana mangsa tidak mempunyai wang ketika itu.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, penjaga premis turut berdepan detik mencemaskan apabila seorang suspek bersenjatakan kapak menyerbu ke kaunter dan merampas wang tunai RM1,200.

Menurutnya, lelaki berusia 55 tahun itu bagaimanapun terselamat dan tidak dicederakan dalam kejadian tersebut.

“Kedua-dua mangsa itu berada di dalam premis yang terletak di Medan Warisan di sini sebelum didatangi tiga lelaki bertopeng .

“Dua daripada lelaki itu turut memakai topi keledar bagi mengelak wajah mereka dicam mangsa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, dua suspek meluru ke arah penjaga kaunter dan pelanggan manakala seorang lagi memantau keadaan di muka pintu.

“Selepas mendapat habuan mereka, suspek segera beredar manakala mangsa yang parah di bahagian lengan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuna Afzan (HTAA) Kuantan bagi menerima rawatan.

“Ekoran kejadian itu, polis menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan mangsa, suspek berusia dalam lingkungan 20- hingga 30-an bagaimanapun wajah mereka gagal dicam kerana bertutup dengan topeng dan topi keledar.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Nyaris maut kereta terbalik



JENGKA 3 – Hasrat dua remaja untuk menghadiri temu duga terbuka di Kuantan tidak kesampaian apabila kereta yang mereka naiki dirempuh dari arah belakang di Kilometer 31.5 Jalan Maran-Bandar Jengka berhampiran Stesen Minyak Jengka 3.

Salah seorang mangsa, Engku Habibah Raja Muhammad, 21, berkata, ketika kejadian dia memandu kereta jenis Perodua Kancil untuk mengisi minyak di Stesen Minyak Jengka 3.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan keretanya dirempuh dengan kuat dari arah belakang sebelum berpusing dan terbalik ke bahagian tepi jalan sebelum terbalik.

“Saya dalam perjalanan untuk mengisi minyak di Stesen Minyak Jengka 3 dan ketika dalam perjalanan kereta yang dipandu dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan jenis Perodua Viva.

“Akibat rempuhan yang terlalu kuat saya gagal mengawal kenderaan sebelum kenderaan tersebut berpusing dan terbalik ke bahagian kiri jalan,” katanya.

Engku Habibah berkata, ekoran kejadian tersebut dia dan rakannya, Farah Nor Syairah Sharoni, 20, mengalami luka di bahagian kepala, muka, leher dan kaki.

“Kereta yang dipandu saya remuk teruk di bahagian bonet belakang, bumper, cermin hadapan, cermin tingkap hadapan dan sisi depan belakang turut pecah menyebabkan kami cedera ketika cuba meloloskan diri melalui tingkap yang pecah selepas kereta tersebut terbalik.

“Saya dan rakan ingin mengisi minyak kerana berniat meneruskan perjalanan ke Kuantan bagi menghadiri temu duga terbuka di sana namun tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Menurutnya, namun dia bersyukur hanya mengalami luka kecil dan tidak melibatkan kecederaan serius.

Mangsa bagaimanapun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran.

Sorok dadah dalam seluar



KUALA BERANG – Polis Hulu Terengganu berjaya menahan dua pengedar dadah dan membuat rampasan bernilai lebih RM10,000 dalam dua serbuan berasingan pada 28 September lalu di Kampung Telaga dan Felda Bukit Bading.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 11.45 pagi di Kampung Telaga, polis menahan seorang lelaki berumur 23 tahun setelah dilihat berjalan kaki di sekitar laluan di situ dalam keadaan mencurigakan.

“Serbuan sepasukan polis Cawangan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu ini diketuai Inspektor Izzwan Jamaluddin.

“Pada mulanya suspek yang berasal dari Kampung Tajin ini cuba melarikan diri sewaktu ditangkap sehingga berlaku pergelu-tan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di IPD Hulu Terengganu, di sini, semalam.

Bagamanapun katanya, kepantasan polis berjaya mematahkan usahanya dan hasil pemeriksaan ke tubuh suspek, kita menjumpai tiga paket plastik mengandungi pil berwarna merah dan hijau disyaki dadah.

Menurut Mohd Rosli, keseluruhan rampasan berkenaan dijumpai dalam poket seluar jeans dipakai suspek.

Katanya, polis percaya suspek lelaki terbabit merupakan orang suruhan baru mula berjinak dengan aktiviti pengedaran dadah sejak enam bulan lalu.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hukuman jika disabit kesalahan mandatori gantung sampai mati,” katanya.

Menurut Mohd Rosli, dalam serbuan kedua sekitar tengah hari, sepasukan polis dari Cawangan Jenayah IPD Hulu Terengganu diketuai Inspektor Ahmad Faidz Hamdan telah membuat serbuan di sebuah rumah di Felda Bukit Bading.

Katanya, hasil serbuan, seorang lelaki berumur 27 tahun dan bekerja sebagai mekanik berjaya ditahan.

“Semasa tangkapan dibuat, suspek cuba menyorokkan satu bekas plastik di bawah almari dapur rumah berkenaan. Pemeriksaan mendapati, plastik tersebut mengandungi pil merah disyaki dadah yang setiap satu pil dibalut tiub plastik lut sinar.

“Nilai rampasan lebih kurang RM1,000 dan polis percaya suspek mula berjinak dengan aktiviti pe-ngedaran dadah sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Menurut Rosli kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hukuman jika disabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun dan denda RM100,000.

Suri rumah maut dirempuh kereta



MARANG - Seorang pejalan kaki yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya maut ketika cuba melintas jalan di Kilometer 13, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Rusila di sini selepas dirempuh sebuah kereta, malam kelmarin.

Mangsa, warganegara Indonesia, Misniati, 38, meninggal dunia di tempat keja-dian akibat kecederaan parah di kepala dan patah kedua belah kaki manakala pemandu berumur 46 tahun, memandu kereta jenis Proton Satria dari arah Dungun ke Kuala Terengganu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Suami mangsa, Abdul Rahman Abdul Ghani, 52, berkata, isterinya ke kedai di seberang jalan untuk membeli nasi bungkus, namun selepas membeli juadah makan malam itu mangsa dilanggar ketika melintas jalan untuk pulang ke rumah.

“Saya sedih kerana isteri sebelum itu sudah mengemas pakaian dan barang-barangnya untuk pulang ke Indonesia esok (semalam) bagi melawat ibunya yang sedang, sakit tetapi tidak sempat.

“Arwah isteri saya juga telah mendapat wang daripada wakil majikannya berjumlah RM200 untuk dibuat belanja pulang ke kampungnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian, malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Supritendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

Menurutnya, kemalangan berlaku kira-kira jam 7.30 malam, semasa mangsa cuba melintas jalan untuk pulang ke rumahnya.

“Ketika melintas jalan, sebuah kenderaan gagal mengelak daripada melanggar mangsa. Mangsa kemudian tercampak ke tepi kiri jalan dan maut akibat cedera parah di kepala,” katanya, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Mazlan turut meminta agar pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak berlaku kejadian seumpama itu.

Katanya, kemalangan dan kematian boleh dihindari jika semua pengguna jalan raya mengamalkan sikap positif dan berhati-hati ketika di jalan raya.

“Jika mereka melanggar pe-raturan di jalan raya, mudahlah berlaku kemalangan,” katanya.

Sekotak kondom jadi bukti



DUNGUN - Alasan sepasang kekasih berkhalwat kerana membuat persediaan untuk mendirikan rumah tangga selain akan melangsungkan pertunangan dalam masa terdekat ketika mengemukakan rayuan kepada mahkamah tidak dapat mengubah ketegasan seorang hakim syarie menjatuhkan hukuman.

Justeru, masing-masing didenda RM2,500 selepas didapati bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan persediaan melakukan persetubuhan di sebuah hotel, dekat sini.

Selain itu, pasangan terbabit diarahkan dipenjarakan dua bulan jika gagal menjelaskan denda dikenakan apabila mahkamah diadili Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah mendapati kedua-duanya bersalah mengi-kut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Hukuman ditetapkan selepas mendengar fakta pertuduhan, pengakuan bersalah dan mengambil kira rayuan kedua-dua tertuduh.

Perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah pagi semalam menyaksikan tertuduh, Hafiz Ibrahim, 22, dari Marang, Terengganu dan pasa-ngannya, Nurul Afifah Hussein, 21 dari Alor Tembesu, Dungun, menghadapi dakwaan kesala-han jenayah syariah selepas mereka ditahan sepasu-kan anggota Penguat Kuasa Syariah ketika berada di sebuah sebuah hotel di Jalan Paka, Dungun Terengganu pada jam lebih kurang 1.35 pagi, 25 Julai 2011.

Berdasarkan kepada fakta kes, ketika serbuan tersebut dilakukan, pintu bilik dibuka oleh seorang lelaki (tertuduh lelaki).

Hasil pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa mendapati seorang perempuan sedang tidur atas katil sambil berselimut dan kedua-duanya setelah disoal siasat tidak mempunyai sebarang hubungan muhrim yang sah.

Sementara itu, sehelai seluar dalam lelaki milik tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik mekanikal dan sehelai seluar dalam perempuan milik tertuduh perempuan yang bekerja kerani, baju T, sekotak kondom termasuk dua daripadanya sudah digunakan turut dirampas sebagai bahan bukti serta dibawa ke mahkamah untuk mensabitkan kesalahan ke atas kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, pasangan terbabit bernasib baik daripada menjadi penghuni tirai besi selepas kedua-duanya menjelaskan bayaran RM2,500 kepada mahkamah sebagai hukuman yang dijatuhkan untuk membolehkan kedua-duanya dibebaskan.



Pegawai JPAM dituduh berkhalwat, keluar tingkap elak dicekup



Seorang Pembantu Pertahanan Awam, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) didenda RM2,000 atau dua bulan penjara selepas didapati bersalah berkhalwat dengan pasangannya, seorang kerani di sebuah bilik penginapan pada 13 November 2010.

Dalam prosiding berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Dungun pagi semalam, tertuduh lelaki, Ridzuan Che Yahya, 27 yang beralamat di Kampung Delong, Dungun didakwa mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Dia didapati berkhalwat dengan pasangannya Noor Shafira Mohd Yusof, 23 yang turut menghadapi pendakwaan bersama selepas ditahan di sebuah bilik bernombor C-28 Six Villa Inn, Jalan Paka Dungun kira-kira jam 1.00 pagi, November lalu.

Menurut fakta kes dibentangkan Pendakwaraya Syarie, Wan Abdul Hakim Wan Khairul Anwar, ketika bilik tersebut diserbu, salah seorang anggota penguat kuasa melihat seorang lelaki meloloskan diri melalui tingkap bilik lalu melarikan diri ke dalam semak.

Bagaimanapun, selepas pintu bilik dibuka tiga minit kemudian oleh seorang wanita, selain pasa-ngannya, pihak penguat kuasa turut menemui barangan serta pakaian lelaki dan wanita.

Wanita terbabit mengakui lelaki yang keluar dari bilik tersebut adalah tunangnya lalu penguat kuasa bertindak menahan wanita itu sebelum dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk siasatan lanjut.

Akhirnya, pada jam 4.25 pagi, pasangan lelaki melarikan diri itu hadir menyerah diri dan soal siasat mendapati kedua-duanya tidak mempunyai hubungan muhrim.

Sebaik mendengar fakta kes yang dikemukakan dan selepas ditanya beberapa kali oleh Hakim Syarie sama ada ingin mengaku salah atau lawan bicara, kedua-dua tertuduh yang kini sudah bergelar suami isteri itu bagaimanapun membuat pilihan dengan sukarela mengaku salah dan bersedia menerima hukuman bakal dijatuhkan.

Bagaimanapun, Hakim Syarie selepas mendengar rayuan kedua-dua tertuduh yang memohon agar diringankan denda memandangkan mereka sudahpun berkahwin manakala tertuduh wanita kini sedang mengandung. Hakim telah membuat teguran kerana pasangan yang disabitkan kesalahan itu ketika mengemukakan hujah rayuannya didapati tidak menunjukkan rasa keinsafan atas keterlanju-ran dilakukan.

Selepas mengambil kira hujah pendakwaraya serta menimbang rayuan tertuduh, akhirnya Hakim Shamsuddin Ngah memerintahkan agar kedua-duanya membayar denda RM2,000 sebagai huku-man dan pengajaran atas kesalahan dilakukan, jika tidak kedua-duanya bakal dipenjarakan dua bulan.

Tertuduh lelaki yang berpakaian serba hitam bersama pasangannya yang berbaju kurung ketika hadir untuk prosiding perbicaraan itu bagaimanapun menjelaskan denda untuk membolehkan mereka dibebaskan mahkamah.



Dituduh berkhalwat dengan bakal ipar



Tindakan seorang tukang rumah menginap di rumah tunangnya membawa padah apabila dia dicekup anggota Penguat Kuasa Syariah.

Bagaimanapun nasib malang menimpanya kerana ketika ditahan, yang ada di dalam rumah itu bukanlah tunangnya, sebaliknya bakal adik ipar perempuannya.

Walau apapun, kesalahan dilakukan di rumah di Taman Kenangan, Balai Besar 14 April 2011 jam 10.05 pagi itu menyebabkan mereka dihadapkan ke Mahkamah Syariah tudu-han berkhalwat me-ngikut Seksyen 31(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Selepas melalui prosiding perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Shamsudin Ngah, tertuduh lelaki yang dikenal sebagai Mohd Zam Hussain, 34 dan pasangannya Nurfarsheila Abdul Rasheed yang juga seorang pelajar kolej didenda RM1,800 atau satu bulan penjara jika gagal menjelaskan denda.

Ibu anak lapan tidak serik



KUALA TERENGGANU- Tidak kenal erti serik! Walaupun baru dihadapkan ke mahkamah tiga bulan lalu atas kesalahan memiliki dadah dan kes berkenaan masih dalam perbicaraan, seorang ibu kepada lapan anak masih tidak serik apabila sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dakwaan memiliki lima biji pil Methamphetamine.

Bagaimanapun, tertuduh, Sa’adiah Ali, 54, dari Kampung Batangan, Marang, yang difahamkan memiliki lebih daripada 20 rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah tidak mengaku bersalah atas kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta yang sama itu.

Lebih mengejutkan, tertuduh yang tidak mengaku bersalah memberi alasan dadah itu milik anak kandungnya yang juga penagih dadah.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Majistret Noradila Ab Latif membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk menunggu laporan kimia.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki lima biji pil berwarna merah disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 0.10 gram di sebuah rumah di Kampung Batangan, Marang, kira-kira jam 3.50 petang, kelmarin.

Dengan itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau didenda RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Anak Dustan manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Marang membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Batangan, Marang, kira-kira jam 3.50 petang, kelmarin.

Sebaik sahaja memperkenalkan diri kepada tertuduh, polis bertanya sama ada tertuduh ada menyimpan dadah ataupun tidak. Tertuduh kemudian mengeluarkan satu bekas plastik berwarna putih yang disimpan di dalam bajunya menggunakan tangan kanan.

Pemeriksaan lanjut ke atas bekas plastik berkenaan menjumpai satu straw berangkai berwarna kuning yang mengandungi lima biji pil berwarna merah disyaki dadah jenis methamphetamine sebelum tertuduh dan barang kes ditahan untuk siasatan lanjut.

Pandu cuai, laju: Peniaga didenda



KOTA BHARU – Akibat kecuaian sehingga kereta dipandu terbabas melanggar dua kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diletakkan di hadapan sebuah kedai makan di sini, tahun lalu, seorang peniaga dikenakan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Peniaga berkenaan, Mohd Nurhaffis Mohd Nasir didenda mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (akta 333/87) yang memperuntukkan denda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 dan boleh juga dikenakan penjara tidak melebihi 12 tahun jika sabit kesalahan.

Mohd Nurhaffis didakwa memandu tanpa pertimbangan yang munasabah itu di Kampung Landak, Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa pada jam 8 pagi, 24 Disember 2010.

Berdasarkan fakta kes, dalam kejadian itu, kereta jenis Hinda Civic dipandu Mohd Nurhaffis terbabas dan melanggar MPV jenis Nissan Grand Livina yang tiada pemandu sebelum MPV berkenaan melanggar pula sebatang tiang telefon dan pokok.

Menurut fakta itu lagi, kereta Mohd Nurhaffis turut melanggar sebuah lagi MPV lain jenis masa yang diletakkan di hadapan kereta Nissan Grand Livina tersebut.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian Mohd Nurhaffis yang tidak memberi perhatian sepenuhnya ketika memandu selain memandu dengan kelajuan yang tinggi.

Pada prosiding semalam, Majistret Nur Zakiyah Shamsudin turut menjatuhkan hukuman empat bulan penjara jika denda berkenaan gagal dijelaskan. 

Pengawal keselamatan dituduh miliki heroin



KOTA BHARU – Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana dituduh memiliki dadah jenis heroin dalam satu tangkapan di Badang di sini, Jumaat lalu.

Mohd Hadiman Bassari, 36 dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan yang dihadapinya, tertuduh didakwa memiliki 0.10 gram (G) heroin di dalam kawasan semak di Kampung Banggol Badang di sini, pada jam 12.10 tengah hari, 29 September lalu.

Pada prosiding semalam, tertuduh di hadapan Majistret Nur Zakiyah Shamsudin mengaku bersalah pada pertuduhan itu.

Nur Zakiyah bagaimanapun menangguhkan kes kepada 22 November depan untuk pengemukaan laporan kimia tertuduh. Sementara itu tertuduh dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Dalam pada itu, seorang penganggur tidak mengaku bersalah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 kerana memiliki 3.3 G kanabis di sebuah rumah di Kampung Binjai Kedai Mulong, jam 6.30 petang, tarikh sama.

Mohd Nasrulsani Abdullah, 30 turut berdepan tuduhan menagih dadah THC dan kedua-dua tuduhan itu akan disebut semula 22 November depan. Kedua-dua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam.

Dua nyaris maut dilanggar lori




KOTA BHARU- “Hanya tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu, mujurlah kami hanya mengalami luka-luka ringan di bahagian tangan setelah kereta yang dipandu dirempuh lori muatan batu.

“Kejadian berkenaan berlaku begitu pantas yang menyebabkan kereta Nissan X-Trail yang dipandu saya bersama seorang rakan pecah cermin hadapannya,” kata pemandu terbabit, Yang Kiam Kui, 56.

Kenderaan yang dinaiki bersama rakannya, Chong Chee Ton, 48, dirempuh lori berkenaan sebelum terbalik di persimpangan lampu isyarat berhampiran Wakaf Che Yeh, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Dalam kejadian itu kedua-dua lelaki berkenaan sedang berhenti di lampu isyarat.

Kiam Kui berkata, dia dan rakan sebenarnya dalam perjalanan untuk mengadakan kutipan derma di Ketereh untuk persatuan yang disertai mereka.

Katanya, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat, mereka sudah menyedari kehadiran lori terbabit yang dilihat hampir hilang kawalan.

”Lori terbabit dipandu laju walaupun ketika memasuki selekoh yang penuh dengan muatan batu menyebabkan hilang kawalan dan terus merempuh kami sebelum terbalik.

”Mujurlah kami hanya mengalami luka-luka ringan,” katanya.

Selain kereta itu, lori berkenaan turut melanggar sebuah lagi lori muatan satu tan yang berhenti di belakang kereta mangsa.

Pemandunya, Sega Vengedasalam, 42, berkata dia terkejut apabila lori berkenaan memasuki selekoh dengan laju.

Katanya, dia cuba mengundurkan kenderaan namun tidak dapat melakukan apa-apa kerana kejadian berlaku dengan pantas.

”Sebaik lori itu memasuki selekoh, ia terus terangkat dan terbalik mungkin akibat muatan yang berlebihan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Histeria nampak lembaga hitam



TUMPAT – Sebuah sekolah rendah di sini gempar apabila 20 muridnya diserang histeria menyebabkan suasana kecoh dengan jeritan sebelum mereka rebah tidak sedarkan diri.

Difahamkan, ini kali kedua kejadian histeria berlaku di sekolah terbabit kerana Rabu lalu, 40 muridnya turut diserang sehingga sekolah itu terpaksa ditutup hari Khamis keesokan harinya.

Bagaimanapun kejadian histeria berulang dan seorang bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, anaknya dua kali berturut-turut diserang histeria sehingga terpaksa mendapatkan khidmat bomoh untuk memulihkannya.

“Rabu lepas anak saya juga diserang histeria dan hari ini (semalam) dia terkena lagi,” katanya memaklumkan anaknya itu sudah sedarkan diri selepas dipulihkan oleh tok bomoh di surau sekolah terbabit.

Menurutnya, anaknya mendakwa ternampak lembaga hitam menakutkan di sekitar sekolah itu.

Saksi, murid Darjah Enam berkata, serangan semalam berlaku kira–kira jam 10 pagi ketika murid Darjah Lima memasuki dewan peperiksaan.

“Tiba-tiba suasana menjadi kecoh apabila salah seorang murid perempuan menjerit dan ia berjangkit kepada murid lain.

“Ada murid Darjah Lima, ada juga murid Darjah Empat yang terkena histeria ini, mereka yang diserang histeria dibawa ke surau sekolah,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke surau terbabit, kelihatan dua pengamal perubatan Islam sedang memulihkan murid–murid yang diserang bermula jam 1 tengah hari, bagaimanapun jam 2 petang semua murid histeria sedarkan diri dan dibenarkan pulang.

Lori nyaris masuk gaung



KELAR - Seorang pemandu lori nyaris maut apabila lori dipandu hampir terjatuh ke dalam gaung di Kampung Kelar pada jam 10.30 pagi, semalam.

Pemandu, Razak Abdullah, 31, berkata, sekiranya dia gagal mengawal lori, dia mungkin terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 10 meter, kerana kedudukan lori hanya satu meter sahaja.

“Ketika melalui jalan ini, tiba-tiba lori seakan senget ke kiri dan saya sangka ia disebabkan keadaan jalan tidak sekata.

“Lama-kelamaan, lori mendap ke bawah dan memaksa saya turun dari lori kerana risau jika tanah jerlus, ia mungkin akan menyebabkan lori terjatuh ke dalam gaung,” katanya.

Razak berkata, dia dapati permukaan tanah di sini tidak stabil kerana hanya beralaskan pasir dan habuk kayu.

Menurutnya, pihak berkenaan seharusnya mementingkan keselamatan penduduk kerana keadaan jalan tidak stabil.

Sementara itu, penduduk, Liow Ah Lian, 32, berkata, kejadian ini bermula apabila berlakunya hakisan akibat banjir, Disember tahun lalu.

“Kami sudah mengajukan masalah ini kepada pihak berwajib, namun sehingga kini tiada kerja-kerja pembaikan dilakukan.

“Ribuan anak mukin di sini mengharapkan agar kerja-kerja pembaikan dilakukan dengan segera, memandangkan laluan ini menjadi salah satu laluan utama penduduk dan pelajar,” katanya.

Beruk serang budak 3 tahun



LEMBAH BERIAH – Ketika sedang leka bermain, seorang kanak-kanak di sini, tiba-tiba diserang seekor beruk dipercayai milik jirannya dalam satu kejadian baru-baru ini.

Kejadian itu mengakibatkan Nurul Iman Abdullah, 3, cedera parah di bahagian belakang badan setelah di serang seekor beruk di halaman rumahnya di Penempatan Penduduk Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Beriah, Bukit Merah, di sini.

Datuknya, Rosli Adom, 45, berkata, beruk itu dikatakan berang dan mengamuk secara tiba-tiba sebelum menyerang cucunya yang leka bermain.

Menurutnya, beruk yang tidak ditambat itu telah menggigit bahagian belakang badan Nurul sehingga menyebabkan luka parah.

“Nurul kehilangan banyak darah dan hampir pengsan, saya segera membawanya ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, dia telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut berhubung kes itu supaya kejadian sama tidak berulang ke atas kanak-kanak lain.



Pemilik haiwan nafi dakwaan



SEMENTARA itu, pemilik haiwan itu, Yahya Abdullah, 56, atau lebih dikenali sebagai Pakya Ular menafikan dakwaan yang mengatakan beruk yang menyerang anak jirannya itu adalah beruk peliharaannya.

Beliau yang juga pemain ular terkenal di daerah Kerian berkata, dia mempunyai dua ekor beruk betina yang telah didaftar dan diluluskan lesen pemeliharaannya

“Selain itu, kedua-dua beruk saya ini sentiasa di rantai di bawah pokok besar bersebelahan rumah.

“Cuma beberapa hari sebelum kejadian berlaku, beruk betina ini sering didekati oleh seekor beruk jantan liar yang mencari pasangan,” katanya.



Amaran tak diendah



YAHYA berkata, sudah beberapa kali dia cuba menasihati dan memberi amaran kepada anak-anak jiran supaya jangan mengganggu beruk itu apatah lagi mendekatinya kerana khuatir beruk berkenaan akan bertindak agresif.

“Sebelum kejadian, saya sudah merancang membina sebuah perangkap khas bagi menangkap beruk jantan liar yang sering menghampiri beruk betina saya kerana khuatir menimbulkan kecederaan penduduk.

“Namun amaran saya tidak di endahkan kanak-kanak ini selain gemar melemparkan batu dan buah sawit ke arah beruk-beruk ini, padahnya mereka di serang,” katanya.



Berjaya tangkap beruk liar



TAMBAHNYA, dia sendiri terkejut apabila mendengar berita mengenai adik Nurul dan turut bersimpati kerana ketika kejadian berlaku dia masih di Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan termasuk mencuci luka lama akibat dipatuk ular tedung selar kira-kira tiga minggu lalu.

“Selepas pulang saya dengar ada anak jiran diserang beruk jantan liar itu sehingga cedera parah dan pengsan di dalam kereta sebelum tiba di Hospital Taiping.

“Saya nekad menangkap beruk jantan liar ini supaya tidak ada lagi anak jiran yang dicederakannya,” katanya.

Katanya, kini beruk jantan itu sudah berjaya di perangkap dan di dalam simpanannya dengan harapan tiada lagi kes serangan beruk terjadi terhadap anak-anak jirannnya selepas ini.



Usaha Pakya patut dipuji



SEMENTARA itu, Ketua Kampung Bukit Merah, Mohamad Nor Hassan berkata, sebelum ini Pakya tidak pernah melepaskan beruk peliharaannya yang digunakan untuk membantu memanjat pokok kelapa.

“Mengikut cerita, beruk jantan yang liar itu datang ke kawasan beruk betina peliharaan Pakya untuk mencari pasangan namun, bertindak agresif apabila mendapati kanak-kanak semakin galak membaling batu dan buah sawit ke arah pasangan beruk itu.

“Kita bersimpati ke atas nasib yang menimpa adik Nurul, bagaimanapun usaha Pakya menangkap beruk jantan yang liar itu perlu diberi pujian kerana dia sendiri terpaksa berhadapan dengan risiko diserang,” katanya.



Siasat kejadian diserang beruk



MANAKALA, Adun Semanggol, Ramli Tusin sempat meluangkan masa menziarahi adik Nurul yang cedera diserang beruk dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, 26 September lalu.

Ramli berkata, pihaknya berharap pihak terlibat menyiasat perkara itu dan jika perlu ambil tindakan kepada pemilik beruk berkenaan agar dapat menjadi peringatan untuk lebih berhati-hati termasuk menambat binatang peliharaan tersebut.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku lagi selepas ini dan berharap pemilik haiwan ini mengambil iktibar di atas apa yang telah berlaku,” katanya.

SPR sahkan tiada pilihan raya kecil DUN Johol



04/10/2011 11:55am

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan bahawa pilihan raya kecil tidak akan diadakan biarpun berlaku kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Johol, Negeri Sembilan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Roslan Md. Yusof hari ini.
Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, ini kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan telah melepasi tempoh penggalnya selama tiga tahun, yang berakhir pada April lalu.
"Kita belum terima apa-apa daripada Speaker DUN Negeri Sembilan mengenai kekosongan kerusi DUN Johol. Bagaimanapun, jika ada kekosongan sekalipun pilihan raya kecil tidak akan diadakan,” katanya. - Bernama

ADUN BN Johol meninggal dunia

KUALA PILAH: Anggota Dewan Undangan Negeri Johol, Datuk Roslan Md Yusof meninggal dunia di Hospital Tunku Ampuan Najihah di sini kira-kira pukul 4.45 pagi ini.
Allahyarham, yang berusia 58 tahun, dimasukkan ke hospital itu untuk menerima rawatan selepas mengadu sesak nafas semalam.
Allahyarham meninggalkan isteri Datin Zawayah Marzuki, 53, dan lapan orang anak, tiga lelaki dan lima perempuan berumur 28 hingga 17 tahun.

Roslan, seorang bekas guru yang mewakili Barisan Nasional (BN) mula memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol pada pilihan raya umum 2004.


Pada pilihan raya umum 2008, Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah itu mengalahkan calon PAS, Kamarudin Md Tahir dengan majoriti 1,263 undi.

DUN Johol terletak di dalam kawasan Parlimen Kuala Pilah, yang turut mempunyai DUN Senaling, Juasseh, Pilah dan Seri Menanti.

Pada 2009, Allahyarham Roslan dilaporkan mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika bermain badminton menyebabkan tulang belakangnya cedera.

Berikutan itu, beliau telah menjalani pembedahan dan fisioterapi di Hospital Kuala Lumpur bagi membetulkan tulang belakangnya awal tahun ini.

Anak sulung Allahyarham, Mohd Hafizi, 28, berkata jenazah Allahyarham telah dibawa ke kediamannya di No. 6, Kampung Berambai dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cabang Dua, Johol, selepas zohor. -BERNAMA

PDRM terpaksa belanja RM2 juta tangani perhimpunan haram 9 Julai

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa membelanjakan kira-kira RM2 juta serta menugaskan 11,046 pegawai dan anggota polis bagi menjaga keselamatan di Lembah Klang sebelum dan semasa perhimpunan haram pada 9 Julai lepas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jumlah itu termasuk 2,600 anggota yang dikerah dalam keadaan bersiap sedia di kontinjen-kontinjen di seluruh negara yang boleh dipanggil jika keadaan memerlukan.
"Polis terpaksa membuat persiapan rapi yang memerlukan perbelanjaan bagi perolehan kelengkapan tambahan, makan minum, penginapan dan keperluan logistik yang lain," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kok ingin tahu bilangan anggota polis yang dikerah untuk bertugas di Lembah Klang pada 6 hingga 9 Julai lepas serta perbelanjaan operasi menghentikan perhimpunan itu. -BERNAMA

Kren hempap rumah, seorang maut



04/10/2011 11:57am

GEORGETOWN - Seorang lelaki terbunuh manakala tiga lagi cedera parah apabila sebuah kren tumbang dan menghempap tiga buah rumah di persimpangan Jalan Transfer dan Jalan Sri Bahari tengah malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat berkata, Leong Yee Khoon, 64, yang dipercayai tidur di sebuah bilik di tingkat dua rumahnya maut dalam kejadian yang berlaku pada pada 12.15 tengah malam.
"Tiga lagi anggota keluarga Leong iaitu Luaran Chooi Guan, 77, isteri Luaran, Chew Hong Choo, 76, dan anak mereka, Seong Ean, 55, yang tinggal di rumah yang sama mengalami kecederaan parah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. - Bernama

Masjid terbakar, kerugian RM200,000



04/10/2011 11:47am

IPOH - Sebuah masjid musnah dalam kebakaran membabitkan kerugian dianggarkan lebih RM200,000 di Padang Changkat, Perak Tengah, 55 kilometer dari sini malam tadi.
Pegawai Bomba Kanan 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Tengah, Mohd. Sharip Kasim berkata, dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, tiada jemaah berada di dalam masjid berkenaan kerana mereka sudah balik ke rumah masing-masing selepas selesai menunaikan solat Isyak.
Kebakaran disedari oleh penduduk kampung berkenaan apabila ternampak asap dan api dari atas bumbung masjid lalu menghubungi bomba, katanya ketika dihubungi hari ini. - Bernama

Remaja terbabit seks bebas



KOTA BHARU-Kerapuhan institusi keluarga menjadi punca utama golongan remaja terjebak dalam perlakuan seks bebas yang kian membimbangkan masyarakat kini.

Mufti Negeri Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, remaja mudah terdedah dengan anasir tidak baik hanya disebabkan pelbagai pengetahuan boleh diperoleh melalui hujung jari yang boleh didapatkan melalui Internet.

“Golongan remaja yang hidup dalam institusi keluarga yang tidak kuat akan mencari alternatif lain untuk mengisi kekosongan jiwa.

“Keseronokan melayari laman web tanpa dikawal mendorong golongan ini melayari laman web lucah dan akhirnya mencuba sendiri perlakuan melalui maklumat yang diperoleh sehingga melakukan hubungan seks dan akhirnya melahirkan anak luar nikah,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Shukri berkata, golongan terbabit tidak mempunyai tunjang kehidupan dan aqidah sehingga sanggup membelakangkan agama Islam hanya kerana ingin memenuhi tuntutan nafsu.

“Seharusnya peranan ibu bapa penting bagi mengawal tingkah laku anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam situasi ini.

“Pengawasan yang sewajarnya perlu diberikan kepada golongan belia bagi mengatasi masalah ini di samping penguatkuasaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” kata Mohamad Shukri.

Beliau mengulas mengenai peningkatan statistik hubungan luar nikah yang dilaporkan oleh akhbar tempatan semalam, berhubung kes pembuangan bayi di negara ini yang melibatkan tiga daripada enam remaja yang berumur 15 hingga 28 dan merupakan lulusan universiti terdorong melakukan perbuatan terbabit.

Mereka didakwa didorong melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam itu hanya kerana perasaan ingin tahu setelah menonton video lucah.

Melalui kajian yang dilakukan oleh Institusi Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada September hingga November tahun lalu, kes yang melibatkan golongan remaja wanita mengandung sebelum berkahwin, negeri Kelantan, Johor dan Melaka mencatat angka tertinggi dalam kes terbabit.

Krisis banjir Pakistan tidak diberi perhatian - PBB



04/10/2011 2:21am

ISLAMABAD 4 Okt. – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan semalam bahawa masyarakat antarabangsa gagal memberikan respon terhadap krisis banjir di Pakistan sehingga meninggalkan lebih tiga juta orang dalam keperluan makanan.
Menurut Timbalan Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP), Ramiro Lopes da Silva menyatakan ia berikutan daripada negara itu dilanda banjir selama dua tahun berturut-turut serta mengalami risiko pengasingan antarabangsa yang tinggi sejak tentera Amerika Syarikat menjumpai dan membunuh Osama Bin Laden berhampiran ibu negara Pakistan pada Mei lalu.
“Bagaimanapun, keadaan banjir dan penduduk yang terjejas itu tidak menjadi tumpuan dunia.
“Jika kami tidak mempunyai sumber, kami tidak boleh bertindak,” katanya dalam sidang akhbar di Islamabad selepas melawat wilayah selatan Sindh yang dilanda banjir.
Pada 18 September lalu, PBB membuat rayuan sejumlah AS$ 357 juta (RM1146 juta) bagi sokongan pembiayaan kecemasan dan bantuan kemanusiaan untuk berjuta-juta orang yang menderita selepas kejadian banjir menghanyutkan rumah dan tanah ladang di selatan Pakistan. – AFP

Keputusan Najib, Rosmah ketepi sapina Khamis ini




Peguam yang mewakili Perdana Menteri dan isteri, Ghazi Ishak (kiri), Afifuddin Afifi (dua dari kiri), Salehuddin Saidin (tengah) Hisyam Teh Poh Teh (dua dari kanan) dan M. M. Athimulan (kanan) berbincang sesuatu ketika keluar dari kamar Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 3 Okt. - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga hari ini tidak menunjukkan kaitan atau bukti yang dikatakan penting dan boleh membantunya dalam pembelaan kes liwat yang dihadapinya sehingga memerlukan Perdana Menteri dan isteri hadir memberi keterangan.
Sebaliknya, menurut peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor berkata, tindakan Ketua Pembangkang itu untuk 'membawa' pasangan itu ke mahkamah sebagai saksi pembelaan merupakan satu ekspedisi memancing maklumat.
Hisyam memberitahu, Anwar dalam afidavit jawapan dan sapinanya menyatakan ingin penjelasan dan pengesahan berhubung pertemuan Najib dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang berlaku di kediaman Perdana Menteri di Jalan Duta di sini, kira-kira pukul 8.30 malam, 24 Jun 2008.
Bagaimanapun, berdasarkan transkrip nota prosiding perbicaraan terdahulu, peguam bela Anwar sendiri pernah memohon kepada mahkamah untuk mengetepikan sebarang keterangan atau bukti yang menunjukkan sebarang kejadian liwat yang dikatakan berlaku sebelum tarikh kejadian iaitu pada 26 Jun 2008, hujah Hisyam.
Beliau berkata demikian pada prosiding permohonan Najib dan Rosmah untuk mengetepikan sapina yang mengkehendaki mereka sebagai saksi pembelaan dalam kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Turut mewakili pasangan tersebut ialah peguam-peguam, Datuk Ghazi Ishak, Datuk Salehuddin Saidin dan M. M. Athimulan.
Selain Anwar, dalam permohonan tersebut, Najib dan Rosmah menamakan pihak pendakwaan kes itu sebagai responden.
Dalam afidavit bagi menyokong permohonan berkenaan, pasangan itu menafikan terdapat konspirasi oleh mereka untuk mereka-reka atau mengada-adakan pertuduhan liwat itu bagi menyebabkan sebarang kemudaratan terhadap Anwar pada bila-bila masa.
Najib dan Rosmah juga percaya bahawa pengeluaran sapina atas permohonan Anwar itu tidak dibuat dengan suci hati dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Merujuk kepada afidavit jawapan oleh Anwar terhadap permohonan Rosmah, peguam tersebut kembali membangkitkan isu relevan dan kaitan pertemuan Penaung Permata Negara Malaysia dengan rakan baik mangsa yang juga bekas Setiausaha Sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman.
Ujarnya, Mohd. Rahimi sendiri tidak pernah dipanggil sebagai saksi oleh pihak pendakwaan mahupun oleh barisan pembelaan.
Selain itu, walaupun kenyataan Rosmah pernah diambil oleh pihak polis mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah, itu tidak menjadikannya saksi penting dalam perbicaraan kes liwat Anwar.
''Apa yang penting ialah keterangan saksi alibi dan bukannya Datuk Seri Najib atau Datin Seri Rosmah,'' katanya.
Sementara itu, peguam bela utama Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, Karpal Singh menyatakan, kehadiran Rosmah di mahkamah dan memberi keterangan dalam perbicaraan itu adalah penting kerana kenyataan yang diambil mengikut Seksyen 112 kanun sama oleh pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira tidak pernah dibekalkan kepada pihak pembelaan walaupun diminta.
Rosmah juga tidak pernah menafikan dakwaan Anwar dalam afidavit jawapannya terhadap permohonan mengetepikan sapina bahawa beliau 'mempunyai pengetahuan penuh mengenai kes tangkap saya (Anwar)', hujah peguam itu.
Merujuk kepada permohonan Najib pula, keterangan beliau boleh menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti Mohd. Saiful Bukhari.
Ini kerana, sekiranya benar sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam permohonannya bahawa pertemuan hanya berlaku pada 24 Jun 2008, adalah satu perkara yang sukar untuk dibayangkan bahawa mangsa mengambil masa dua hari sebelum membuat laporan polis dan dalam tempoh itu 'membenarkan' dirinya untuk diliwat oleh Anwar.
Karpal turut menyatakan, keterangan Najib juga membolehkan barisan pembelaan mengetahui situasi mangsa pada ketika itu sama ada dalam keadaan takut atau sebaliknya.
Sejurus selepas kedua-dua pihak berhujah, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden bangkit memaklumkan bahawa walaupun pihaknya tidak memfailkan sebarang afidavit jawapan namun pihak pendakwaan menyokong permohonan yang difailkan oleh Najib dan Rosmah.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah selepas mendengar hujah kedua-dua pihak menetapkan Khamis ini untuk keputusan permohonan mengetepikan sapina tersebut.
Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Perbicaraan bersambung esok.

Iran saran Palestin-Israel pulang ke tempat asal



TEHERAN 3 Okt. - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berkata, konflik antara Palestin dan Israel mampu diselesaikan dengan penduduk Palestin dan Israel perlu kembali ke tempat asal masing-masing.
‘‘Jika ‘penyokong’ rejim Zionis mahu konflik itu berakhir, penyelesaiannya cukup mudah. Semuanya perlu kembali ke tempat asal (masing-masing).
‘‘Ada pihak dibawa ke bumi Palestin dengan diberikan jaminan keselamatan serta peluang pekerjaan. Ini menyebabkan ada penduduk Palestin yang menjadi pelarian.
‘‘Oleh itu, penduduk Palestin terbabit perlu pulang ke bumi mereka, manakala yang lain mesti dihantar pulang ke tempat asal,’’ katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Palestin, di sini semalam.
Persidangan dua hari itu dihadiri ahli Parlimen dari 20 negara termasuk pemimpin Hamas, Khaled Meshaal.
Ahmadinejad turut menggelar Israel sebagai ‘barah’ yang perlu disingkirkan bagi menyelamatkan dunia.
Terdahulu, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei ketika ucapan pembukaannya kelmarin mengulangi bantahan Iran terhadap usaha ‘membahagikan’ tanah Palestin kepada dua antara Palestin dan Israel.
‘‘Sebarang rancangan untuk ‘membelah’ tanah Palestin adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Jika berlaku, ia membawa kepada penerimaan Zionis di Palestin,’’ jelasnya.
Iran sejak Revolusi Iran pada 1979 tidak mengiktiraf Israel dan mendokong pejuang Palestin serta Lebanon untuk menentang usaha mewujudkan negara Israel. – AFP

Remaja campak bayi baru dilahir dari flat





Seorang anggota polis menjalankan siasatan di tempat bayi baru lahir dicampakkan ibunya ke dalam longkang di Flat Taman Segar, Selayang, semalam.


KUALA LUMPUR 3 Okt. - Tiada perkataan dapat diungkapkan melainkan sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila seorang remaja perempuan tergamak mencampakkan bayi baru dilahirkannya dari tingkat dua sebuah flat di sini.
Mayat bayi yang lengkap sifatnya itu kemudian ditemui oleh orang awam di dalam longkang di Flat Taman Segar, Selayang, di sini hari ini.
Ketika ditemui pukul 7 pagi, mayat bayi itu dalam keadaan tertiarap.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan remaja perempuan itu yang berusia 19 tahun di rumahnya di tingkat dua di flat itu.
Katanya, remaja yang bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di Bandar Baru Selayang, mengaku melahirkan bayi itu di dalam tandas rumah yang dijadikan asrama pekerja, pukul 4 pagi ini.
"Remaja itu mengaku yang bayinya tersebut sudah tidak bernyawa selepas dilahirkan lalu membuangnya ke dalam longkang.
"Tiada siapa mengetahui meskipun rumah tersebut turut didiami lapan lagi pekerja restoran termasuk empat pekerja Indonesia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Penduduk, Zarizan Shahari, 27, memberitahu, dia menemui bayi malang itu setelah diminta oleh seorang penduduk lain untuk memeriksa sebuah objek yang mencurigakan di dalam longkang.
"Ketika itu saya baru pulang dari kampung di Jengka, Pahang. Alangkah terkejutnya apabila saya dapati ia adalah mayat seorang bayi yang masih bertali pusat.
"Saya terus menghubungi talian 999, sebelum pihak polis datang memeriksa dan mengambil bayi berkenaan.
"Saya difahamkan, rakan mangsa tidak tahu kejadian itu dan hanya menyedarinya apabila melihat tilam dipenuhi dengan kesan darah," ujarnya yang memberitahu remaja berkenaan baru sahaja berpindah ke flat itu dua bulan lalu.

Gerila Maois serang lombong nikel



04/10/2011 2:21am

MANILA 4 Okt. – Beratus-ratus gerila Maois membunuh tiga pengawal keselamatan, menculik empat orang sebagai tebusan serta membakar peralatan dan kemudahan dalam satu serangan ke atas lombong nikel utama di selatan Filipina, semalam, kata pegawai keselamatan.
Menurut Kolonel Rodrigo Diapana, tiga anggota dari agensi keselamatan swasta yang mengawal Taganito Mining Corporation (TMC) di wilayah Surigao del Norte yang terletak di pulau selatan Mindanao, terbunuh apabila mereka cuba menghalang kemasukan pemberontak-pemberontak tersebut.
“Kami mendapat laporan bahawa empat orang diambil sebagai tawanan,” katanya sambil menghantar tentera tambahan dan dua buah helikopter untuk mengesan kumpulan pemberontak tersebut.
Tambah beliau, dua daripada tebusan itu telah dibebaskan kemudian.
Taganito adalah unit Nikel Asia Corp. yang sebahagiannya dimiliki oleh Sumitomo Metal Mining Co Ltd di Jepun. – Reuters

Gerila Maois serang lombong nikel



04/10/2011 2:21am

MANILA 4 Okt. – Beratus-ratus gerila Maois membunuh tiga pengawal keselamatan, menculik empat orang sebagai tebusan serta membakar peralatan dan kemudahan dalam satu serangan ke atas lombong nikel utama di selatan Filipina, semalam, kata pegawai keselamatan.
Menurut Kolonel Rodrigo Diapana, tiga anggota dari agensi keselamatan swasta yang mengawal Taganito Mining Corporation (TMC) di wilayah Surigao del Norte yang terletak di pulau selatan Mindanao, terbunuh apabila mereka cuba menghalang kemasukan pemberontak-pemberontak tersebut.
“Kami mendapat laporan bahawa empat orang diambil sebagai tawanan,” katanya sambil menghantar tentera tambahan dan dua buah helikopter untuk mengesan kumpulan pemberontak tersebut.
Tambah beliau, dua daripada tebusan itu telah dibebaskan kemudian.
Taganito adalah unit Nikel Asia Corp. yang sebahagiannya dimiliki oleh Sumitomo Metal Mining Co Ltd di Jepun. – Reuters

Cinta Internet: Lelaki kasanova ditahan





KUALA LUMPUR 3 Okt. - Seorang lelaki kasanova warga India yang pernah menipu seorang wanita tempatan menerusi cinta Internet pada 2006, akhirnya ditahan kelmarin, setelah cuba menipu mangsa sekali lagi pada bulan lalu.
Dalam kejadian kira-kira lima tahun lalu itu, mangsa yang berusia 34 tahun dan bekerja sendiri kerugian RM50,000 selepas diperdaya suspek yang kononnya ditahan kastam Australia.
Suspek mendakwa ditahan pihak berkuasa negara itu kerana membawa sejumlah barang kemas dan wang tunai yang dikatakan untuk dihadiahkan kepada mangsa di Malaysia.
Berikutan itu, suspek meminta bantuan mangsa untuk menyerahkan wang tunai RM50,000 bagi membebaskannya.
Mangsa yang percaya memasukkan kesemua jumlah wang itu ke dalam satu akaun diberikan suspek sebanyak empat kali melalui perkhidmatan Western Union.
Suspek kemudian menghilangkan diri sehinggalah mangsa mengecam lelaki itu ketika 'bersembang' di dalam Internet bulan lalu, tetapi menggunakan nama yang berlainan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, mangsa yang percaya lelaki itu adalah suspek kerana menggunakan taktik serupa, telah membuat laporan polis pada Jumaat lalu.
Katanya, hasil kerjasama dengan wanita itu, satu perangkap dipasang untuk memperdaya suspek.
"Setelah dipujuk, suspek bersetuju untuk datang ke negara ini dan ditahan sejurus tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, kelmarin.
"Hasil pemeriksaan mendapati, suspek berusia 39 tahun bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat antarabangsa dan mendapat taraf penduduk tetap (PR) Australia," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut beliau, suspek direman sehingga esok untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

1 maut, 3 cedera: Kren terbalik dan hempas rumah



04/10/2011 5:51am

GEORGETOWN 4 Okt - Seorang warga emas maut dan tiga lagi cedera parah selepas sebuah kren menara pembinaan hotel 20 tingkat terbalik dan menghempas sebuah rumah dua tingkat di Jalan Sri Bahari di sini awal pagi ini. - Utusan

Eksekutif syarikat swasta beri suapan RM50 didenda RM5,000



SHAH ALAM 3 Okt. - Seorang eksekutif syarikat swasta yang memandu kereta tanpa cukai jalan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi suapan RM50 kepada seorang anggota polis trafik bagi melindungi kesalahan itu pada Julai lalu.
Hakim Asmadi Hussin turut memerintahkan R.M. Segaranathan, 27, supaya menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Sebelum menjatuhkan hukuman itu, beliau sempat memberi peringatan kepada tertuduh agar sentiasa menjelaskan cukai jalan kereta kerana kesalahan tersebut akan memberi implikasi yang amat besar kepada diri sendiri dan orang lain.
"Tidak ada cukai jalan, amat berbahaya. Kalau kemalangan, mati 'katak' kamu. Itu kalau mati, kalau cedera parah, patah riuk bagaimana?.
"Nasib baik kamu ditawarkan pertuduhan alternatif, hukuman lebih ringan. Kalau tidak, saya tidak akan teragak-agak untuk menghantar kamu ke penjara," kata Asmadi.
Segaranathan didakwa atas tuduhan memberi suapan RM50 kepada Sarjan Mohd. Amir Mohd. Yassin dari Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Klang, di Jalan Batu Ujur, Klang, Selangor, pada pukul 10 malam, 23 Julai lalu.
Wang tersebut didakwa diberikan sebagai dorongan agar anggota polis trafik itu tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1887 iaitu memandu kereta jenis Honda Civic tanpa cukai jalan yang sah.
Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah selepas pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Seksyen tersebut memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana yang lebih tinggi.
Dia bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah apabila ditawarkan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara satu perempat daripada tempoh maksimum kesalahan asal atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Siew Wee manakala tertuduh diwakili peguam Silas Seenivasagam.

Pendaki Rusia maut dalam runtuhan salji



04/10/2011 2:21am

MOSCOW 4 Okt. – Seorang pendaki warga Rusia terkenal yang pernah mendaki beberapa puncak tertinggi di dunia, terbunuh dalam satu runtuhan salji di Himalaya, lapor pihak berkuasa semalam.
Menurut satu kenyataan dari kerajaan Krasnoyarsk, Sergei Cherevoz terperangkap dalam runtuhan salji apabila lima anggota pasukannya dari wilayah Siberia, bertolak untuk mendaki puncak Tulagi setinggi 7,059 meter pada Jumaat lalu.
“Sergei Cherezov terperangkap dalam runtuhan salji yang berlaku pada ketinggian 6,000 meter”, jelasnya.
Mayat pendaki tersebut dibawa ke Kathmandu, Nepal dengan helikopter, kelmarin. – AFP

MILF: Keganasan boleh meletus semula jika rundingan tergendala




Murad Ebrahim (tengah) diiringi tentera MILF di kem pertubuhan itu di Darapan, Sultan Kudarat di Mindanao, pada 5 September lalu. - AFP


SULTAN KUDARAT 3 Okt. - Para pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) memberi amaran rundingan damai yang kerap tergendala untuk menamatkan pemberontakan di selatan Filipina boleh menjadi 'sia-sia' dan menyebabkan keganasan meletus semula.
Selepas pertemuan bersejarah dengan Presiden Filipina, Benigno Aquino pada Ogos lalu, Pengerusi MILF, Murad Ebrahim melahirkan harapan rundingan damai dipercepatkan dan perjanjian muktamad dicapai tidak lama lagi.
Namun, rundingan itu tergendala tidak lama kemudian apabila kerajaan menawarkan pelan damai yang disifatkan oleh Murad sebagai 'langkah sia-sia' yang boleh mencetuskan semula konflik yang telah meragut kira-kira 150,000 nyawa.
"Timbul tanggapan pendirian antara kedua-dua pihak umpama langit dan bumi," kata Murad kepada wartawan di markas MILF, Kem Darapanan di selatan Filipina, baru-baru ini.
Katanya, rundingan langsung tidak akan diadakan antara panel perunding damai kedua-dua pihak sehingga kerajaan mengemukakan pelan damai yang lebih realistik dan boleh dilaksanakan, katanya, tetapi tuntutan tersebut sudah ditolak oleh Manila.
Kebuntuan itu ialah tamparan terbaru kepada rundingan damai selama 10 tahun yang dilihat oleh beberapa pemerhati sekali lagi akan menemui kegagalan kerana kerajaan Filipina tidak akan dapat memenuhi tuntutan utama MILF untuk mendirikan sebuah negeri berautonomi bagi penduduk Islam di selatan negara ini.
Penduduk Islam yang dikenali sebagai Bangsamoro kini menjadi minoriti di Pulau Mindanao tetapi menuntut untuk dibenarkan memerintah wilayah selatan dan menguasai kekayaan sumber aslinya.
"Kami merasakan kami dijajah," ujar Murad.
Beliau yang berusia awal 60-an dan pemimpin MILF lain yang seangkatan dengannya berkata, mereka kini dalam keadaan terdesak untuk menandatangani perjanjian damai sebelum terpaksa memberi laluan kepada generasi lebih muda yang berpotensi menjadi jauh lebih militan.
"Kita perlu menyediakan penyelesaian politik yang boleh dimajukan supaya generasi akan datang sentiasa akur dengan proses damai.
"Generasi muda boleh menjadi lebih cenderung kepada kekerasan kerana kebanyakan mereka dilahirkan semasa perang," kata Murad, yang fasih berbahasa Inggeris dan pernah menuntut di sebuah universiti Roman Katolik sebelum menyertai MILF. - AFP

Pembangkang utama Syria tolak campur tangan asing




Pasukan penyelamat memeriksa gerabak kereta api yang tergelincir dekat bandar Ubin, wilayah Idlib, Syria, semalam. Nahas itu didakwa oleh kerajaan Syria sebagai tindakan 'kumpulan pengganas bersenjata'. - AFP


DAMSYIK 3 Okt. - Kumpulan pembangkang utama Syria, semalam menolak campur tangan asing di negara ini, tetapi menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan untuk melindungi rakyat negara ini yang berhadapan dengan tindakan kekerasan daripada rejim Presiden Bashar al-Assad.
Kenyataan yang dikeluarkan di Istanbul bagi pihak Majlis Kebangsaan yang baru di bentuk itu berkata, campur tangan asing 'menjejaskan kedaulatan Syria'.
Menurut kenyataan itu, masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab kemanusiaan untuk melindungi rakyat negara ini.
Majlis itu menuntut kerajaan dan pertubuhan antarabangsa menunaikan tanggungjawab mereka untuk menghentikan jenayah serta pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh rejim Assad.
Deklarasi dan sokongan terhadap Majlis Kebangsaan ini adalah penting untuk menunjukkan perpaduan pembangkang Syria, selepas enam bulan tunjuk perasaan secara aman dibalas dengan tindakan kekerasan oleh rejim Assad.
Sementara itu, tentera kerajaan setakat ini berjaya mematahkan pemberontakan bersenjata, kebanyakannya di tengah wilayah Homs dan barat laut wilayah Idlib berhampiran Turki.
Agensi berita Syria melaporkan, tentera kerajaan berjaya menawan semula tengah bandar Rastan, dan menafikan keganasan semakin meningkat di negara ini.
Menurut kenyataan Majlis Kebangsaan itu, kebangkitan rakyat terus diadakan secara aman tetapi tentera tetap melancarkan serangan ke atas beberapa bandar dan perkampungan di negara ini.
Menurutnya, penindasan dan penahanan besar-besaran yang dibuat oleh tentera kerajaan membawa Syria ke kancah perang saudara dan campur tangan asing.
Ikhwan Muslimin yang menyertai Deklarasi Damsyik dan membariskan tokoh-tokoh utama pembangkang serta aktivis tempatan dilaporkan turut menyertai Majlis Kebangsaan itu. - REUTERS