Tuesday 4 October 2011

Botol susu ‘babi care’



RANTAU PANJANG – Seorang nenek yang membawa cucunya berusia dua tahun ke kenduri di sini semalam terkejut apabila ditegur botol susu tertera perkataan “babi care” dan bukannya “baby care”.

Nenek 52 tahun itu berkata, dia tidak sedar kewujudan perkataan tersebut pada botol susu yang baru sahaja dibeli anak perempuan berusia 26 tahun itu untuk cucunya, mempunyai perkataan yang membawa maksud lain daripada sepatutnya.

Menurutnya, botol susu tersebut baru digunakan cucunya kerana sebelum ini dia menggunakan botol kaca.

“Sejak membelinya beberapa minggu lepas tidak ada seorang ahli keluarga sedar wujudnya perkataan itu pada botol susu tersebut.

“Selepas ini saya akan membuangnya kerana sepatutnya botol susu tersebut ditulis dengan perkataan ‘baby care’ dan bukannya ‘babi care’ yang membawa maksud haiwan yang haram bagi orang Islam,” katanya kepada pemberita petang semalam.

Nenek terbabit berkata, sekiranya tidak ditegur dalam majlis tersebut, dia mungkin belum sedar wujudnya perkataan ‘babi care’ pada botol susu itu yang dipercayai dibeli di sempadan dan datangnya dari negara jiran.

Sementara itu, seorang wanita yang turut ke kenduri tersebut, Rohana Yusof, 49, berkata, dia terkejut melihat tulisan di botol susu bayi dua tahun itu.

Menurutnya, dia mempunyai enam anak dan yang sulung berusia 32 tahun tetapi tidak pernah melihat botol tertera perkataan sedemikian.

“Saya berharap, selepas ini, ibu bapa lebih peka ketika membeli botol susu untuk anak-anak mereka kerana maksud perkataan tersebut merujuk kepada haiwan," katanya.

Tertuduh dakwa sakit psikitri



AYER KEROH - Seorang lelaki yang mendakwa dirinya pesakit psikitri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini semalam atas kesalahan merompak seorang wanita dan sebuah kedai peralatan sukan, minggu lalu.

Tertuduh, Cheah Chin Soon, 32, membuat pengakuan itu dihadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shahrudin selepas mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh melakukan rompakan dengan mengacukan sebilah pisau kepada Yap Wei Kun, 18, dan Noor Aziah Mohd Din, 18, iaitu sebuah telefon bimbit jenis Blueberry dan Kedai Sukan Xiao Long Sport iaitu wang tunai kira-kira RM500.

Kesalahan itu dilakukannya di Kedai Sukan Xiai Long Sport, Jalan Tengkera kira-kira 5 petang pada 26 September lalu.

Suami isteri terkejut jumpa mayat




KOTA BHARU - Sepasang suami isteri terkejut selepas menemui mayat seorang lelaki terbujur kaku ketika ke kebunnya untuk mengutip sayur-sayuran pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi semalam, mayat seorang lelaki, Saw Yew Siang, 56, berasal dari Tumpat, ditemui di kawasan kebun di Kampung Kubang Palas, Binjai, dekat sini.

Seorang saksi kejadian, Mohd Zamizi Mohamad, 42, berkata, setiap pagi dia bersama isterinya Siti Mariam Hamzah, 38, ke kebun untuk mengutip sayuran sebelum dijual ke pasar tani.

Menurutnya, apabila sampai di kawasan kebun dia tergamam kerana terjumpa plastik berlumuran darah dan pada masa sama setelah memerhatikan keadaan sekitar, turut ternampak seorang lelaki dalam keadaan tertiarap.

“Selepas melihat dari jauh ia adalah seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri saya dan isteri terus meninggalkan kebun kerana terlalu takut.

“Kemudian saya bergegas memberitahu penduduk sekitar dan kemudiannya saya menghubungi polis selepas penemuan tersebut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Sementara itu, isteri mangsa, Mek Kemong, 54, berkata, suaminya keluar rumah kira-kira jam 8.30 malam kelmarin ketika dia masih tidur.

Katanya, dia hanya menyedari suaminya itu tiada di rumah kira-kira jam 12 tengah malam selepas terjaga dari tidur dan cuba menghubunginya lebih 10 kali tetapi gagal.

”Saya syak ada orang bunuh suami saya. Biasanya suami saya keluar dengan kereta sendiri tetapi malam tadi, saya difahamkan ada seseorang yang datang mengambilnya di rumah untuk tujuan melihat tanah.

“Sebelum itu, saya tidak memaklumkan kepada sesiapa bahawa suami saya masih belum pulang tetapi disebabkan terlalu bimbang dengan keselamatannya, sebaik sahaja bangun dari tidur, saya pun memberitahu anak bongsu saya, Saw Kim Swee, 28, mengenai keadaan sebenar,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, semalam.

Katanya, dia amat terkejut kerana beberapa minit selepas itu anak bongsunya menerima panggilan telefon daripada polis memaklumkan berhubung penemuan mayat suaminya dan terus bergegas ke tempat kejadian untuk membuat pengecaman mayat.

Miliki senjata api, peluru hidup



AYER KEROH - Tujuh termasuk dua warga China dan seorang warga Indonesia dituduh di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ayer Keroh, di sini semalam kerana memiliki senjata api dan peluru hidup.

Mereka adalah peniaga, Goh Eng Tee, 36, dari Muar, Johor; peraih ikan dari Batu Maung, Pulau Pinang, Sow Teik Lee, 36, dan pekerja kontraktor dari Keramat, Kuala Lumpur, Emery Shazman Abd Malek, 35,

Turut dituduh, suri rumah dari Ujong Pasir, Teo Bee keng, 29; pembantu rumah dari Jawa Barat, Tursini Turida, 21, dan Lin Xiren, 27, serta Ye Yufeng, 26, kedua-duanya peniaga.

Kesemua tertuduh yang juga sebelum ini pernah dituduh berkaitan sindiket pengedaran dadah, bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan setelah dibaca secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Zaharah Hussain dan Majistret Ida Rahayu Sharif.

Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka dengan niat bersama memiliki sepucuk pistol jenama Sig Sauer Mosquito bersama dua kelopak pistol jenama sama tanpa keperluan yang sah di sisi undang-undang.

Mereka melakukan kesalahan itu di alamat No. 22, Jalan SP 1, Taman Semabok Permai, Semabok kira-kira 1.30 pagi, 4 Jun 2010.

Sementara itu, di mahkamah majistret, kesemua dituduh memiliki empat butir perluru hidup Caliber .22 tanpa keperluan sah di sisi undang-undang di pada tarikh, hari dan lokasi sama.

Atas permohonan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi ketika menjalankan pendakwaan, Ida Rahayu membenarkan kes bersabit memiliki peluru dipindahkan ke Mahkamah Sesyen dan digabungkan bersama pertuduhan kerana memiliki senjata api.

Waspada individu menyamar pegawai SSM minta 'derma'



KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini mengingatkan peniaga supaya berwaspada dengan individu menyamar pegawai SSM.
Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, individu-individu berkenaan mengunjungi premis perniagaan dan mendakwa kononnya mereka sedang menjalankan pemeriksaan dan meminta pemilik perniagaan mengemukakan dokumen pendaftaran perniagaan.
"Maklumat ini kami terima hasil daripada laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris 1 Oktober lepas dan dalam kes yang dilaporkan, ia melibatkan pemilik bengkel yang diugut akan didenda sekiranya gagal membayar RM1,800 sebagai ”derma”,” tambah kenyataan itu. - Bernama

Trauma dikurung penyamun



KELANA JAYA – Seorang wanita dan pembantu rumahnya melalui detik ngeri dikurung penyamun di dalam bilik berasingan dalam kejadian yang berlaku di SS 5A /17 c dekat sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa didatangi lapan lelaki masing-masing bersenjatakan parang yang kemudian bertindak memaksanya menyerahkan barangan berharga yang disimpan di dalam rumah.

Menurut sumber, kelima-lima penyamun itu sempat melarikan barang kemas dan sejumlah wang mangsa.

“Ketika kejadian suami wanita itu tiada di rumah dan mangsa hanya tinggal berdua bersama pembantu rumahnya,” katanya.

Kesemua penyamun bertopi keledar berpenutup penuh berusia dalam lingkungan 20-an mengambil masa kira-kira lima minit untuk menggeledah dan melarikan barangan berharga milik mangsa.

“Jiran mangsa yang curiga selepas terlihat beberapa suspek masuk ke dalam rumah melaporkan kepada anggota Skim Ronda Sukarela (SRS) SS 5A yang kemudiannya bertindak menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan petang Jumaat lalu, seorang peragut cedera selepas diterajang seorang pelajar tingkatan 3 yang berang dengan tindakannya yang meragut rantai ibunya.

Dalam kejadian itu, pelajar tersebut dikatakan bertindak berani menendang suspek pada bahagian kepala sehingga topi keledar yang dipakai suspek tercabut.

“Suspek sempat melarikan rantai ibunya dan turut memberikan amaran kepada pelajar itu selepas tidak berpuas hati dia ditendang,” katanya

Laporan kedua-dua kejadian dibuat mangsa di Balai Polis Kelana Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed (gambar) mengesahkan menerima kedua-dua laporan dan kes itu kini sedang disiasat.

Sempat bertemu ibu



BENTONG – Seorang calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebuah sekolah menengah dekat sini tidak sempat menduduki kertas peperiksaan Pendidikan Islam selepas maut dalam kemalangan petang semalam.

Lebih memilukan mangsa, Muhamad Muhaimin Nordin, 15, sempat pulang bertemu dengan ibunya di Felda Lurah Bilut dekat sini selepas selesai menduduki kertas peperiksaan Bahasa Melayu 1 dan 2 sebelum ke sekolah semula untuk menduduki kertas peperiksaan ketiganya.

Ayah mangsa, Nordin Zainudin, 46, berkata, Muhamad Muhaimin merupakan anak kedua dari tiga adik beradik.

Menurutnya, dia menerima panggilan telefon berhubung kejadian kemalangan yang melibatkan anaknya itu kira-kira jam 2.00 petang ketika dia berada di Bandar Bentong.

“Kali terakhir saya berjumpa anak saya ialah ketika dia bersiap-siap ke sekolah awal pagi tadi untuk menduduki peperiksaan pertama iaitu Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2.

“Sepatutnya, dia tidak perlu pulang ke rumah selepas selesai peperiksaan lebih kurang 12 tengahari memandangkan terdapat satu lagi kertas peperiksaan perlu diduduki iaitu pada jam 2.30 petang,” katanya kepada Sinar Harian.

Nordin berkata, dia tidak pasti mengapa anaknya begitu bersungguh pulang ke rumah dan kemudian berjumpa isterinya di tempat kerja sebelum bergerak semula ke sekolah.

Menurutnya, tiada sebarang kelakuan pelik yang ditimbulkan oleh anaknya itu sebelum kejadian berlaku selain bersungguh mahu berjumpa isterinya.

Tinjauan :Sinar Harian: di Rumah Mayat Hospital Bentong mendapati suasana pilu menyelubungi.

Kebanyakan ahli keluarga, saudara mara, rakan-rakan, guru dan kakitangan Pejabat Pelajaran Bentong hadir selepas mendengar kejadian yang berlaku.

Mayat mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Lurah Bilut dekat sini selepas semua urusan selesai.



Dua kenderaan terlibat

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Noor berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 7.5 Jalan Raub ke Bentong berhampiran sebuah kilang memproses getah.

Menurutnya, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah lori jenis Nissan bersama seorang kelindan dan sebuah motosikal jenis Honda EX5.

“Kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari arah Raub ke Bentong dan setibanya di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan tayar belakang sebelah kanan lori ketika cuba memotong.

“Mangsa kemudian terjatuh dan kemudiannya terkena tayar bahagian belakang,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.

Pelajar kolej maut terseret



BANDAR BARU BUKIT MENTOK – Hasrat seorang pelajar kolej untuk pulang ke rumah selepas selesai menghadiri kelas tidak kesampaian apabila maut dalam nahas dengan sebuah van dalam kejadian di Jalan Bukit Mentok – Tempurung, dekat sini, petang kelmarin.

Mangsa, Yusof Nik Ismail, 20, yang dalam perjalanan pulang dari Kolej Nadi Mahir, Taman Chukai Utama ke rumahnya di Binjai meninggal dunia di tempat kejadian selepas terseret sejauh kira-kira 14 meter dari lokasi motosikalnya bergesel dengan sebuah van dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, kemalangan berkenaan dipercayai berlaku apabila van dari arah Chukai berhenti hendak membelok ke Taman Bandar Baru Bukit Mentok sebelum bergesel dengan motosikal Honda EX5 yang dinaiki mangsa yang dikatakan mahu memotong secara tiba-tiba.

“Akibat pergeseran itu penunggang motosikal jatuh meleret di atas jalan sejauh kira-kira 14 meter sebelum terkena tebing longkang konkrit di tepi jalan.

“Berdasarkan kad pengenalan, mangsa beralamat di Bandar Seri Bandi tetapi tinggal bersama keluarga di Binjai,” katanya.

Menurut Abdullah Sani, pemandu van yang berusia 50 tahun ketika kejadian dalam perjalanan dari tempat kerjanya juga di Taman Chukai Utama untuk pulang ke rumahnya di Taman Bandar Baru Bukit Mentok yang diduduki sejak enam tahun lalu.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan hasil pemeriksaan mendapati punca kematian akibat kecederaan parah pada kepala selain mangsa turut mengalami patah tangan kanan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah selepas topi keledar yang dipakai pecah.

“Jadi kita juga nasihatkan orang ramai memakai topi keledar yang diluluskan sahaja bagi penjagaan keselamatan yang maksimum,” katanya.

Menurutnya, bagai-manapun polis masih lagi menjalankan siasatan terperinci mengenai kes berkenaan dan meminta saksi melihat kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman menerusi talian 09-859 2222.

Warga emas terselamat



KOTA BHARU - “Mujur saya lari ikut pintu belakang bagi menyelamatkan diri selepas mendengar bunyi letupan yang kuat dari arah penjuru rumah selesai menunaikan solat Zuhur.

“Walaupun tidak dapat menyelamatkan barangan dalam rumah, namun saya bersyukur tidak terperangkap dalam kebakaran,” kata mangsa kebakaran, Mustapha Awang, 70, di Kampung Langgut, Dewan Beta, di sini, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 petang itu menyebabkan kediaman warga emas terbabit yang menetap bersama isteri, Zainab Ismail, 60, serta dua cucu dan anaknya musnah serta-merta dalam kejadian itu.

“Semasa kejadian hanya saya berada di dalam rumah terbabit lagipun saya kurang sihat sejak seminggu lalu.

“Isteri keluar menjual kuih di sekitar Kota Bharu manakala anak dan cucu juga tiada di rumah kerana mempunyai urusan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Mustapha berkata, dia bertindak nekad melarikan diri apabila melihat api semakin marak membakar rumahnya dalam keadaan sehelai sepinggang.

“Kesemua barangan dalam rumah termasuk wang tunai RM300, geran tanah selain barangan perabot turut musnah. Apa pun saya bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri daripada kebakaran itu,” katanya.

Sementara itu, menurut salah seorang anaknya, Mohd Saufi Mustafa, 26, ketika kejadian dia tiada di rumah dan terkejut apabila mendapati rumah yang didiami sekian lama hangus dalam sekelip mata.

“Terkejut juga menerima berita ini namun saya tetap bersyukur kerana ayah yang mengalami demam seminggu lalu dapat menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu menurut Ketua Operasi Bomba Balai Darul Naim, Penolong Penguasa, Mat Nordin Ibrahim sebuah jentera dan lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kami menerima panggilan kira-kira jam 1.42 petang dan semasa tiba 10 minit kemudian, hampir 90 peratus rumah berkenaan terbakar.

“Walaupun api cepat marak namun pihak kami berjaya mengawal api jam 1.55 petang dari terus merebak,” katanya.

Beliau berkata, kerugian dianggar bernilai RM60,000 dan punca kejadian masih disiasat.

Tetak pelajar, lelaki didenda RM4,000



KOTA BHARU – Gara-gara tindakkannya menyerang seorang pelajar dengan menetak pelajar berkenaan menggunakan sebilah kelewang, seorang lelaki dikenakan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Hukuman diputuskan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor selepas mendapati Mohd Atibullah Zakaria, 22 bersalah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

Berdasarkan pertuduhan dihadapi, Muhamad Hafiz didakwa melakukan serangan itu bersama-sama seorang lagi yang masih bebas di tepi jalan, Kampung Terap, Binjai di sini, pada jam 9.30 malam, 6 September lalu.

Menurut fakta kes, ketika mangsa, Mohamad Ab Jabbar Abdullah berada di sebuah kedai makan, tertuduh datang dan menetak bahagian belakang mangsa menyebabkan dia cedera parah dan dikejarkan ke hospital oleh bapanya.

Bapa mangsa kemudian membuat laporan di balai polis Binjai menyebabkan tertuduh menyerahkan diri pada pihak polis, 3 Oktober lalu.

Dia kemudian mengaku bersalah dan dikenakan denda berkenaan selain hukuman enam bulan penjara jika gagal jelas denda.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohamad Hafiz Abd Rahman.

18 kereta terpakai musnah



TEMERLOH – Sebuah kedai menjual kereta terpakai hangus dalam kebakaran awal pagi semalam mengakibatkan 18 kereta terpakai yang ditempatkan di situ musnah sama sekali.

Kebakaran jam 1.42 pagi semalam di Batu 1 Jalan Maran, dekat seberang Temerloh, itu hampir merebak ke sebuah rumah bersebelahan namun pihak bomba berjaya mengawal api dari merebak.

Pegawai Bomba Daerah, Hamdani Madon berkata, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh dengan kekuatan 12 pegawai dan anggota tiba tujuh minit kemudian bagi memadam api.

Menurutnya, pihaknya terpaksa meminta bantuan sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba Mentakab bagi mengawal api daripada terus merebak.

“Bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 2 pagi dan api berjaya dipadam sepenuhnya empat jam kemudian.

“Kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, menurut seorang pengguna jalan raya Jalani Sidek, 39, dia baru pulang dari sebuah restoran mamak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian api telah marak dan terdengar bunyi letupan kecil dengan api menjulang tinggi di udara.

“Pada mulanya saya ingat rumah yang terbakar, tetapi apabila sampai dekat baru tahu kedai kereta yang terbakar.

“Nasib baik bomba sempat kawal api daripada merebak ke rumah sebelah,” katanya.

Didakwa miliki 411 pil kuda



KOTA BHARU – Seorang penganggur yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas dituduh memiliki 411 biji dadah pil kuda (metamphetamine) di rumahnya di Pasir Puteh, bulan lalu.

Pertuduhan terhadap Muhamad Shaharul Husain, 31 dibuat di hadapan Hakim Azman Mustapa mengikut Seksyen 12(2) Akta Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama.

Berdasarkan dakwaan yang dihadapi, Muhamad Shaharul dituduh memiliki dadah seberat 41.1 gram (G) berkenaan di alamat Kampung Cherang Ruku, Semerak pada jam 1 petang, 22 September lalu.

Pada prosiding jam 11.30 pagi semalam, tertuduh mengaku bersalah, berikutan itu, dia berdepan hukuman tersebut atau penjara tidak kurang lima tahun dan juga akan dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali yang mengendalikan kes memohon hukuman ditangguhkan untuk menunggu laporan kimia kes berkenaan.

Susulan itu, Azman menetapkan sambungan semula kes pada 9 November depan.

Tertuduh tidak ditawar sebarang jaminan kerana tuduhan serius yang dihadapinya.

Geng kubur tumpas di jirat



KUALA LUMPUR – Selepas memecahkan cermin kereta dan melarikan barang berharga, dua lelaki menganggotai kumpulan geng kubur akan bersembunyi di tanah perkuburan Cina di Taman Connaught, Cheras.

Di situ, mereka berehat, mengagihkan hasil samun dan membuang barang tidak berharga.

Namun aktiviti santai itu, tumpas, 28 September lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Mohan Singh Tara Singh berkata, kumpulan dianggotai dua lelaki tempatan, berumur 24 dan 25 tahun, itu aktif melakukan jenayah sejak awal tahun lalu dengan 23 kes di Cheras, Brickfields dan Petaling Jaya.

Menurutnya, satu pasukan khas diketuai Asisten Superintendan Nasri Mansor berjaya memberkas suspek, kira-kira jam 10 malam, di tanah perkuburan itu.

Suspek cuba melarikan diri dengan menaiki motosikal tetapi kenderaan tersebut terbabas lalu seorang suspek ditahan, manakala seorang lagi diberkas selepas berlari sejauh satu kilometer.

“Mereka mensasarkan kenderaan berhenti di persimpangan lampu isyarat, pembonceng akan menggunakan folk lock untuk memecahkan cermin kereta dan selepas itu mereka lari bersama barang berharga milik mangsa,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, semalam.

Mohan Singh berkata, serbuan di rumah suspek di flet Sri Sabah menemui barangan seperti surat pajak gadai, kad pengenalan mangsa, kad bank dan telefon bimbit dan motosikal Yamaha LC 135.

“Kita sudah mendapatkan 11 barang kemas digadai suspek di beberapa premis pajak gadai,” katanya.

Beliau berkata, kini mereka ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Sengaja menempah maut



KUALA LIPIS - Menempah maut. Demikian gelagat sebahagian penunggang motosikal yang menunggang tanpa memakai topi keledar melalui Jalan Persekutuan antara bandar Kuala Lipis ke Jerantut.

Salah seorang pengguna jalan raya, Khairul Ashraf Othman, 35, berkata, penunggang yang kebanyakannya remaja sanggup berlumba sesama sendiri di laluan utama tanpa rasa takut dan bersalah terhadap pengguna jalan raya lain termasuk pejalan kaki.

Menurutnya, apa yang lebih berbahaya adalah mereka menjadikan laluan lurus berhampiran Pekan Kerambit untuk menunjukkan ‘kehandalan’ berlumba sesama sendiri.

“Saya kerap melalui jalan ini dan pernah secara tiba-tiba dua motosikal yang ditunggang mereka muncul memasuki jalan raya (jalan utama) dalam keadaan yang agak laju.

“Apabila menghampiri motosikal itu, saya lihat kaki kanan seorang penunggang sedang menolak motosikal rakannya yang saya duga motosikal itu rosak dan mereka dalam perjalanan ke bengkel,” katanya, di sini, kelmarin.

Khairul Ashraf berkata, gaya kedua-dua penunggang itu nyata menyalahi peraturan keselamatan jalan raya dan mengganggu pemanduan kenderaan di belakang dan hadapan termasuk kenderaan berat yang memunggah bijih besi keluar dari sebuah kuari berdekatan Pekan Kerambit.

“Saya dan pemandu kenderaan lain terpaksa bergerak perlahan sejauh dua kilometer kerana `melayan’ kerenah dua penunggang yang bersantai di atas motosikal tanpa mempedulikan kenderaan lain.

“Jika hendak diikut perasaan kesal dan amarah, barangkali dua penunggang itu sudah kena ‘lenyek’ kerana mereka tidak menghormati pemandu dan pergerakan kenderaan lain,” katanya.

Khairul Ashraf berkata, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) memperuntukkan banyak wang melaksanakan kempen advokasi keselamatan jalan raya termasuk menyumbang topi keledar percuma dan perekat keselamatan, tetapi kesedaran masih di takuk lama.

“Selain itu, anggota polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara agensi yang berkolaborasi dengan MKJR dan JKJR untuk jaminan keselamatan pengguna dan kenderaan pada setiap masa.

“Tetapi, senario seperti ini antara sikap manusia yang sengaja mengabaikan keselamatan dan nyawa sendiri dan kadang-kadang mengancam keselamatan orang lain ketika di jalan raya.

'Saya hendak pergi jauh'



AL MUKHTAFI BILLAH SHAH - “Petang sebelum kejadian, dia beritahu saya hendak pergi jauh dan tiba-tiba malam itu ketika berada di hutan, dia hubungi anak mengatakan bahawa dia terkena tembakan. Tak sangka keesokan hari dia benar-benar pergi meninggalkan kami.”

Demikian luahan Siti Sudin, 56, balu kepada arwah Mamat Che Ghani, 60, anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang menemui ajal setelah terkena peluru sesat ketika berada di kebunnya dekat Durian Mas, Al-Mukhtaffi Billah Shah.

Dalam kejadian 6 Mac lalu, arwah Mamat yang cedera parah dipercayai akibat terkena peluru sesat itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut, namun meninggal dunia jam 10 pagi keesokan harinya.

Mengimbas kembali detik bersama arwah, Siti yang kini menetap di sini berkata, arwah suaminya ketika hayatnya amat komited dengan tanggungjawab sebagai anggota Rela.

Menurutnya, walaupun melangkau usia lebih separuh abad, namun arwah masih lagi komited dan tidak pernah jemu menabur bakti kepada masyarakat melalui pertubuhan badan beruniform disertainya.

“Setiap kali ada operasi atau latihan, arwah tidak pernah ketinggalan untuk menyertainya.

“Kini dia tiada lagi, namun saya rasa amat terharu kerana jasa dan pengorba-nannya selama berkhidmat dengan pasukan Rela tetap dikenang,” kata Siti dengan nada sebak selepas menerima cek pampasan insurans berkelompok dalam majlis khas berkai-tan di Dewan Perpaduan Dungun dekat sini.

Sementara itu, Pegawai Rela Dungun, Wan Mohd Apandi Wan Ismail menasihati semua anggota Rela agar menjaga senjata api yang dibekalkan dan tidak disalahgunakan untuk mengelakkan sebarang kes tidak diingini.

15 rumah kongsi musnah




BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA – Deretan 15 rumah kongsi yang menempatkan lebih 65 pekerja asing sebuah kilang papan dekat sini musnah dalam kebakaran kira-kira jam 7.20 pagi semalam.

Pemangku Ketua Balai Bomba Bandar Jengka, Roslan Abu Talib berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.30 pagi sebelum menghantar dua jentera dengan kekuatan 17 anggota.

Menurutnya, jentera tiba lima minit selepas itu dan berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke deretan blok hadapan yang turut menempatkan 15 rumah kongsi pekerja kilang papan tersebut.

“Berikutan struktur binaan rumah kongsi tersebut terdiri daripada kayu dan papan lapis, kebakaran merebak cepat menyebabkan deretan 15 rumah kongsi blok belakang hangus namun api berjaya dikawal daripada terus merebak ke blok hadapan yang jaraknya kurang daripada sepuluh kaki dari blok yang terbakar.

“Kita turut mendapat bantuan daripada Balai Bomba Jerantut dengan sebuah jentera dan tujuh anggota termasuk ketua operasi,” katanya.

“Punca kejadian dan kerugian yang dialami masih dalam siasatan pihak bomba walaubagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya kepada Sinar Harian.



Hasrat pulang ke kampung tidak tercapai



Seorang pekerja asing dari Kemboja, Mat Som, 25, berkata, ketika kejadian dia dan lebih 10 rakannya baru menghabiskan sif kerja malam yang bermula jam 7 malam dan tamat pada jam 7 pagi.

“Ketika sampai ke kawasan rumah kongsi saya nampak kepulan asap dari arah belakang dapur rumah nombor enam dan hanya menyangka mereka membakar sampah di situ.

“Saya bertindak memasuki rumah untuk berehat dan ketika berbaring tidak sampai dua minit asap memenuhi bumbung dalam rumah sebelum saya keluar dari rumah,” katanya.

Mat Som berkata, kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan dia dan rakan lain tidak sempat menyelamatkan barang yang berada di dalam rumah melainkan pakaian yang disarung di badannya.

“Duit simpanan lebih RM3,000 dan barangan keperluan yang dibeli untuk pulang bercuti ke Kemboja menemui keluarga minggu hadapan turut musnah kerana api merebak dengan cepat,” katanya kepada Sinar Harian.



Bahagian dapur rosak



Seorang lagi mangsa warga tempatan, Ismail Omar, 50, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja namun pulang selepas dimaklumkan ada kebakaran.

“Namun saya bersyukur kerana hanya bahagian dapur rumah rosak akibat kebakaran tersebut ekoran bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke blok hadapan rumah kongsi ini.

“Saya bersama isteri dan tiga orang anak tinggal di blok hadapan rumah kongsi ini bertindak menyelamatkan barang penting namun bersyukur kebakaran tidak merebak ke rumah kami memandangkan jarak kedua-dua blok terlalu hampir,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jengka, Wan Salman Wan Ismail ketika melawat ke kawasan kejadian memaklumkan bantuan barangan keperluan dapur untuk pekerja asing yang kehilangan tempat tinggal buat sementara waktu dan akan berurusan dengan pihak majikan sekiranya mereka memerlukan bantuan dari segi keperluan asas seperti tilam, tikar dan sebagainya.

“Pihak majikan telah membuat penempatan sementara untuk pekerja mereka dan kita akan bantu berdasarkan keperluan mereka sahaja,” katanya.

Padah tak sempat memotong



TELUK INTAN - Tak sempat memotong kenderaan di hadapan menyebabkan seorang guru mata pelajaran Perdagangan, di sini, maut di tempat kejadian apabila kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu bertembung dengan sebuah treler dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisiner Goh Kok Liang berkata, mangsa S Chandran, 29, berasal daripada Jalan Feri, Simpang Empat, Hutan Melintang maut apabila kenderaan yang dipandu terseret kira-kira 66 meter di Kilometer 10 Teluk Intan - Hutan Melintang, di sini, petang kelmarin.

Menurutnya, mangsa memandu seorang diri dari arah Teluk Intan ke Hutan Melintang, manakala treler dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taiping dan dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun bersama seorang kelindan berusia 19 tahun.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila mangsa dalam perjalanan daripada Teluk Intan ke Hutan Melintang cuba memotong kenderaan di hadapannya.

“Setiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan gagal memotong dan telah bertembung dengan sebuah treler muatan besi buruk dari arah Hutan Melintang ke Teluk Intan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, pertembungan itu menyebabkan kereta mangsa terseret kira-kira 66 meter selain terperosok di bawah treler tersebut.

“Mangsa yang tersepit di dalam kenderaannya terpaksa dikeluarkan sepasukan Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang dan Teluk Intan dengan kekuatan 14 anggota dan dua jentera.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 45 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian bawah treler ini,” katanya.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan putus kedua-dua kaki kemudiannya dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan selanjutnya.

“Pemandu treler turut mengalami kecederaan di bahagian kaki manakala kelindannya alami cedera ringan, menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

“Pihak kami menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sekiranya mana-mana individu melihat kejadian kemalangan terbabit, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azli di talian 05-629 9222 untuk memberikan maklumat.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan mangsa baru melangsungkan perkahwinan pada penghujung bulan Ogos lalu dan isterinya berasal daripada Negeri Sembilan, bekerja sebagai kerani di sebuah pejabat peguam di Putrajaya.

Tinggal sehelai sepinggang



BAGAN SERAI - “Sungguhpun banyak harta benda musnah, termasuk wang tunai RM1,000 yang tersimpan dalam rumah ketika kebakaran berlaku, saya tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga termasuk anak saudara saya selamat,” kata mangsa kebakaran, Fauzi Yahaya, 46, ketika menceritakan kembali detik rumahnya hangus dijilat api.

Rumah kediaman Fauzi bersama keluarganya di alamat 178, Parit Gabis Bawah, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku pada jam kira-kira 11.30 pagi, kelmarin, menyebabkan mereka kini tinggal sehelai sepinggang.

Menurut Fauzi, dia dan ahli keluarga yang lain tidak berada di rumah ketika kejadian, namun dimaklumkan oleh jirannya, api merebak dengan cepat, memusnahkan rumah dan harta bendanya.

“Pada masa kejadian saya dan isteri, Rohani Ishak, 40 masing-masing berada di tempat kerja, di Semanggol, sementara anak-anak kami serta anak saudara yang tinggal bersama di rumah ini berada di sekolah.

“Saya terkejut ketika menerima panggilan daripada jiran yang memaklumkan saya tentang kejadian itu, dan terus pulang ke rumah daripada tempat kerja,” katanya ketika menerima lawatan daripada Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, merangkap Penyelaras Parlimen Bagan Serai, Datuk Zaili Cha, semalam.

Hadir sama, Penyelaras Dun Selinsing, Abdul Moin Mustafa; Setiausaha BN Parlimen Bagan Serai, Zulkarnain Ismail; Ketua Wanita Umno Bahagian Bagan Serai, Asmah Ramli; Ketua Pemuda Umno Bahagian Bagan Serai, Sharudin Ahmad; Ketua Puteri Umno Bahagian Bagan Serai, Norsyuhada Baharon; Penghulu Mukim Bagan Serai, Azahari Saad dan Ketua Kampung Parit Gabis, Azmi Samsudin.

Katanya, beliau hanya dapat melihat rumahnya yang telah hangus dan pasukan bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran ketika sampai di rumah.

“Sedih tidak terkata melihat rumah yang didiami bersama keluarga musnah di hadapan mata sendiri, ditambah pula degan semua perkakas rumah termasuk perabot, barangan dapur, dokumen penting dan kelengkapan sekolah anak-anak hangus sepenuhnya.

Fauzi memaklumkan kerugian dianggarkan sebanyak RM50,000 dan pasukan bomba masih menyiasat punca kejadian, sementara dia sendiri bersyukur kerana rumah ibunya yang berhampiran tempat kejadian tidak mengalami sebarang kerosakan.

“Rumah saya sebenar baru diganti bumbung selepas dilawat Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada tahun lalu dan kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah ibu saya sementara menunggu rumah bantuan yang dijanjikan siap dibina,” katanya.

Sementara itu, Zaili yang turut menghulurkan sumbangan RM1,000 daripada Umno Bahagian Bagan Serai berkata, Umno serta BN Bahagian Bagan Serai bersimpati dengan kejadian yang menimpa Fauzi sekeluarga.

Zaili turut menyampaikan bantuan daripada Tabung Bencana Daerah Majlis Daerah Kerian (MDK) dan Baitulmal Daerah Kerian, masing-masing sebanyak RM1,000 serta bantuan makanan daripada JAbatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya akan cuba mendapatkan bantuan melibatkan peralatan dan kelengkapan sekolah, selain bantuan buku-buku dan makanan melalui program Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang akan diuruskan secepat mungkin oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kerian kepada dua anak Fauzi serta anak saudaranya.

“Dua anak Fauzi serta anak saudaranya, masing-masing merupakan pelajar di Sekolah Kebangsaan Teluk Medan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bakar al-Baqir dan kita juga akan menyumbangkan tiga basikal untuk kemudahan mereka ke sekolah,” katanya.

Pesakit wanita rasa teraniaya



TAIPING – Seorang wanita, di sini, merasa teraniaya dan tidak berpuas hati dengan tindakan sebuah hospital yang didakwa tidak menjalankan rawatan dengan sewajarnya.

Rokiah Abdullah, 47, berkata, masalah bermula apabila dia tersalah makan dan mendapatkan rawatan doktor di sebuah hospital kerana mengalami sakit perut.

Menurutnya, doktor memberitahu bahawa sakit itu mungkin disebabkan ketumbuhan fibroid dan dia telah menjalani pembedahan pada 2 Jun lalu.

“Bagaimanapun, sehari selepas pembedahan itu, saya masih lagi sakit di bahagian kanan bawah perut.

“Saya bertanya pada doktor mengapa saya masih sakit dan terkejut apabila diberitahu pembedahan yang dilakukan itu kerana apendiks,” katanya.

Rokiah berkata, dia sekali lagi tidak percaya apabila melihat bekas pembedahan yang sangat panjang seperti pembedahan untuk mengeluarkan fibroid.

“Dengan teknologi canggih, sudah tentu pembedahan apendiks boleh dilakukan tanpa pembedahan sebegitu.

“Selepas pulang ke rumah, saya masih lagi sakit dan terpaksa mengambil ubat di klinik swasta bagi mengurangkan kesakitan yang dialami,” katanya.

Katanya, selepas kejadian itu, dia ada bertemu pihak berkenaan tetapi sehingga kini masih tiada jawapan dan menunggu untuk dipanggil semula.

“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana yang menanggung penderitaan adalah pesakit.

“Semua orang mahu sembuh dan menjalani kehidupan lebih baik, tetapi berbeza pula dengan situasi saya,” katanya.

Dua kali masjid terbakar



BOTA – Dalam masa beberapa jam, dua kebakaran membabitkan Masjid Ar-Rahmaniah, Kampung Padang Changkat, di sini, berlaku awal pagi semalam, menyebabkan masjid yang telah dibina semenjak 1989 serta berkapasiti memuatkan 200 jemaah dalam satu masa, musnah sepenuhnya.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Perak Tengah, Pegawai Bomba Kanan 1 Mohd Sharip Kasim berkata, kejadian pertama dilaporkan penduduk pada jam 9.50 malam dan ketika itu tidak ada jemaah dalam masjid berkenaan selepas semuanya balik ke rumah masing-masing setelah selesai solat Isyak.

“Penduduk kampung menyedari kejadian apabila ternampak kepulan asap dan api yang marak dari atas bumbung masjid, lalu menghubungi pasukan bomba dalam kadar segera.

“Seramai tujuh anggota bomba bersama sebuah jetera kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan tiba beberapa minit kemudian untuk berusaha memadamkan kebakaran hingga selesai sepenuhnya pada jam 11 malam,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurut Mohd Sharip, pasukan bomba bagaimanapun membuat pemantauan sehingga jam 3.30 pagi bagi memastikan keadaan selamat sepenuhnya sebelum bergerak balik ke balai dan beliau turut memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Namun, sekitar jam 5 pagi, menurutnya, Pasukan Bomba dan Penyelamat Perak Tengah mendapat panggilan yang memaklumkan masjid berkenaan terbakar semula, menyebabkan pasuka bomba terpaksa bergegas kembali ke lokasi kejadian.

Katanya, kejadian pertama membabitkan bahagian stor Masjid Ar-Rahmaniah sehingga 50 peratus bahagian belakang masjid berkenaan, manakala kejadian kedua membabitkan bahagian depan meliputi mimbar serta ruang solat, menyebabkan bangunan masjid itu hangus sepenuhnya.

“Kita tidak menolak kemungkinan kejadian pertama berpunca daripada litar pintas, namun untuk kejadian kedua, terdapat maklumat daripada jawatankuasa masjid yang mendakwa kemungkinan ada unsur perbuatan khianat.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menyiasat secara terperinci punca kejadian, terutama kejadian kedua dan anggara kerugian adalah sebanyak RM450,000,” katanya.



Cemas, tidak dapat buat apa-apa



Ketua Kampung Padang Changkat, Hamzah Mat Rashid terkejut ketika menerima panggilan daripada Pengerusi Masjid Ar-Rahmaniah berhubung kebakaran di masjid itu dan melihat sendiri pasukan bomba berusaha memadamkan api yang telah menjilat separuh bahagian masjid dalam kejadian pertama.

Hamzah berkata, beliau turut dimaklumkan, penduduk kampung telah cuba memadamkan kebakaran, namun gagal kerana masjid itu berkunci semasa kejadian, tambahan api merebak dengan cepat.

“Saya bertambah terkejut apabila dimaklumkan kebakaran kali kedua yang berlaku selang beberapa jam dan disedari Bilal Masjid Ar-Rahmaniah ketika sampai ke masjid untuk membuat persiapan Solat subuh.

“Tentunya saya serta seluruh penduduk sedih dengan kemusnahan masjid ini dan saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut tentang punca kejadian,” katanya.

Mewakili jawatankuasa masjid itu dan kampung berkenaan, beliau menyarankan kepada mana-mana individu, jabatan atau orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan, dapat menyalurkan terus ke akaun Bank Islam di atas nama Masjid Ar-Rahmaniah, Kampung Padang Changkat bernombor 08-086-02-000403-4, untuk membaik pulih masjid itu.

“Jawatankuasa masjid ini berserta saya sendiri turut memohon bantuan peruntukan sebanyak RM800,000 daripada kerajaan untuk menampung kos baik pulih masjid dan kita mohon jasa baik kerajaan pusat untuk membantu dalam perkara ini.



Bantuan segera



Kebakaran Masjid Ar-Rahmaniah turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Parit, Drs Mohd Nizar Zakaria dan Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim.

Mohd Nizar yang berada di Parlimen ketika dihubungi berkata, beliau akan menyalurkan bantuan segera untuk membina tempat ibadah dan kuliah sementara.

“Saya telah menghubungi Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Perak Tengah dan telah berbincang untuk menyediakan khemah sementara dalam kawasan masjid untuk kegunaan sementara ahli kariah.

“Saya harap bantuan segera ini dapat meringankan sedikit beban jawatankuasa masjid dan kita akan membantu mereka dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Nasaruddin ketika dihubungi, memaklumkan, beliau akan membawa perkara itu kepada Kerajaan Negeri dan telah meminta JKR Daerah Perak Tengah membuat anggaran kos baik pulih masjid itu untuk dikemukakan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Kita tunggu laporan penuh daripada JKR dan untuk langkah sementara saya, pengerusi masjid juga ketua kampung telah bersetuju menggunakan bangunan dewan makan bersebelahan masjid sebagai tempat solat sementara, serta kita akan bekalkan tikar, sejadah, juga alat pembesar suara bagi kemudahan ahli kariah,” katanya.

Modus operandi makan diri



MUAR – Kelicikan seorang penjenayah menggunakan taktik berjoging di sekitar kawasan perumahan sebelum memecah masuk rumah yang disasarkan tidak berpanjangan apabila dia berjaya ditangkap polis pada 8 September lalu.

Modus operandi itu digunakan kononnya untuk mengaburi pihak berkuasa dan orang ramai daripada mengesan kegiatannya itu, tetapi gagal.

Malah, tindakan lelaki berusia 46 tahun itu yang berjoging sambil membawa beg sandang hanya mengundang kecurigaan orang ramai yang mula mengesyaki perbuatannya itu.

Lebih mengejutkan apabila mendapati dalam beg sandang tersebut mengandungi banyak kelengkapan alatan untuk memecah masuk rumah.

Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, motif suspek berjoging hanyalah untuk mengenal pasti rumah yang tidak berpenghuni sebagai sasarannya untuk melakukan pecah masuk rumah antara jam 7 hingga 12 malam.

Menurutnya, suspek akan mengumpil pintu dan tingkap menggunakan peralatan yang dibawa dan suspek juga bergerak secara bersendirian sepanjang melakukan kegiatan itu sejak beberapa tahun lalu.

“Bapa kepada tiga anak ini tidak pernah serik dengan kegiatan jenayah yang dilakukannya itu berdasarkan tiga rekod jenayah yang dimilikinya antaranya mencuri motosikal,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Mohamad Nasir berkata, suspek juga seorang penganggur menjadikan kegiatan pecah masuk rumah sebagai pekerjaannya.

“Hasil risikan dan maklumat awam, akhirnya pihak polis berjaya memberkas suspek pada jam 3.15 petang ketika dia berada di rumahnya di Parit Jawa.

“Penangkapan lelaki itu berjaya menyelesaikan tujuh kes kejadian pecah masuk rumah yang berlaku di sekitar Parit Jawa,” katanya.

Dalam tangkapan itu juga katanya, polis turut merampas beberapa barangan termasuk enam komputer riba, dua telefon bimbit, tiga cincin, kamus elektronik, mesin pemotong rumput dan mesin air yang dianggarkan bernilai RM20,000.

“Hasil pemeriksaan rapi juga mendapati suspek merupakan penagih dadah serta positif dadah jenis heroin dan morfin.

“Suspek sudah dituduh di mahkamah dan sedang menjalani hukuman penjara selama 19 bulan,” katanya.

Culik gadis bawah umur



AYER KEROH - Seorang kelindan lori dituduh atas dua pertuduhan menculik dan merogol seorang pelajar Tingkatan Satu di dua mahkamah berasingan di sini, semalam.

M Mugilan, 21, dari Krubong, di sini bagaimanapun tidak mengaku salah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Hazri Hanafi dan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharudin.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh telah menculik seorang peremuan berusia 13 tahun tiga bulan daripada penjaganya yang sah di Kampung Bukit Rambai, kira-kira 5.40 pagi, 9 September lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol perempuan sama kira-kira 10.30 malam pada hari, tarikh dan tempat sama.

Dia didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM7,000 terhadap kes bersabit penculikan dan RM10,000 bagi kes merogol.

Namun, Muhammad Harzri membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 diberikan sebagai ikat jamin serta bersetuju kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan sekali.

Harmi Thamri pula membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 selain menetapkan 4 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Cari helah baiki kereta



KOTA TINGGI - Helah seorang lelaki disyaki pengedar dadah yang berpura-pura membaiki kenderaannya di hadapan sebuah bengkel untuk mengaburi pihak berkuasa tidak berjaya apabila dia ditahan bersama 1,376 gram tumbuhan kering mampat dipercayai ganja dan pedang samurai, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, polis juga mendapati kereta Gen 2 berwarna kelabu yang digunakan suspek itu juga disyaki kereta curi yang dilaporkan hilang di Kulaijaya pada 25 Ogos tahun ini.

"Serbuan dilakukan kira-kira jam 7.30 malam Isnin lalu (3 Okt) oleh pasukan narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi yang diketuai Inspektor Calvin Lewis Edmond.

"Intipan yang dibuat di hadapan sebuah bengkel membaiki kenderaan di Jalan Wayang berhampiran Sungai Johor itu membuahkan hasil apabila kereta suspek muncul di bengkel berkenaan.

“Pemandunya telah berhentikan kereta dan turun berpura-pura melakukan sesuatu, seolah-olah ingin membaiki kenderaan. Suspek juga cuba melarikan diri apabila pihak polis menghampirinya namun berjaya di tahan selepas berlakunya pergelutan," katanya pada satu sidang media di IPD Kota Tinggi, semalam.

Selepas pemeriksaan dilakukan dalam kenderaan tersebut katanya, polis menemui sebuah beg yang di dalamnya terdapat satu ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja dengan berat kasar 918 gram, dua helai pakaian dan sebilah pedang samurai sepanjang 55 sentimeter.

"Di tempat yang sama juga terdapat satu beg kertas mengandungi ketulan mampat tumbuhan dipercayai ganja dengan berat kasar 458 gram.

"Berdasarkan jumlah dadah yang dirampas itu, dipercayai ia dapat menampung keperluan lebih 1,000 penagih dadah," katanya.

Abdul Samad berkata, polis percaya dengan penahanan suspek berusia 28 tahun yang berasal dari Felda Lok Heng itu dapat mematahkan kegiatan pengedaran dadah jenis ganja sekitar daerah ini.

Semakan juga mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman bermula semalam hingga 10 Oktober ini.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 32 ADB 1988.

Corak makhluk menakutkan



KAMPUNG CAHAYA BARU – Sebuah keluarga, di sini gempar apabila sejadah milik rakan yang digunakan lebih setahun lalu menyerupai corak makhluk menakutkan.

Razali Ahmad, 47, berkata, sejadah itu ditinggalkan seorang rakan sekerja di rumahnya lebih setahun lalu untuk menunaikan solat Zuhur pada waktu rehat.

Menurutnya, bagaimanapun selepas lebih setahun digunakan, solatnya menjadi tidak khusyuk selepas memerhatikan corak di bahagian tepi sejadah mirip kepala makhluk menakutkan.

“Masa mula-mula saya tidak perasan, tetapi bila diperhatikan corak itu lama-lama kelihatannya seperti kepala sesuatu makhluk yang lengkap dengan mata dan telinga panjang.

“Disebabkan rasa tidak puas hati, saya meneliti semua sejadah di masjid setiap kali solat Jumaat, tetapi tiada satu pun yang mempunyai corak pelik seperti sejadah saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Razali berkata, untuk meyakinkan apa yang dilihat, corak sejadah itu diambil gambar dan ditunjukkan kepada rakan-rakan dan keluarga sehingga masing-masing terperanjat.

Menurutnya, rakannya memohon maaf kerana selama ini turut tidak perasan mengenai corak pelik di bahagian tepi sejadah yang diselang-selikan dengan corak bunga miliknya walaupun telah lama digunakan.

“Saya tidak pasti apa motif sebenar pihak berkenaan membuat corak sejadah seperti ini dan saya mohon pihak bertanggungjawab lebih peka dengan perkara ini, termasuk orang ramai supaya lebih berhati-hati memilih sejadah kerana ia digunakan untuk kita menghadap ALLAH SWT,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi rakannya, Ahmad Md Tahir, 40, berkata, sejadahnya turut mempunyai corak yang pelik seperti kepala makhluk menakutkan apabila diperhatikan dengan teliti.

Menurutnya, sejadah peninggalan arwah ayahnya yang dibeli di Kedah lebih 11 tahun lalu tidak lagi digunakan kerana menimbulkan rasa was-was setiap kali solat menggunakan sejadah itu.

“Selepas kawan menceritakan mengenai sejadah miliknya yang mempunyai corak pelik, saya turut memeriksa sejadah saya sehingga menimbulkan keraguan apabila coraknya turut mempunyai gambaran kepala yang lengkap bermata dua dan mulut.

“Lebih membuatkan solat tidak khusyuk apabila corak itu berada di bahagian atas tempat dahi sujud sehingga terfikir seolah-olah menyembah makhluk itu pula,” katanya.

Ahmad berkata, setiap kali selepas solat ketika berzikir dan berwirid, penglihatannya sering terganggu dengan gambaran pelik pada corak tersebut.

“Saya nekad tidak mahu menggunakan sejadah itu lagi kerana coraknya begitu pelik dan bimbang boleh menyesatkan.

“Kami membuat pendedahan ini supaya orang ramai lebih berwaspada kerana bimbang ini satu muslihat yang disengajakan untuk ditujukan kepada orang Islam,” katanya.

Bilal dakwa kena pukau



KAMPUNG JAWA - Seorang bilal di sini kerugian RM120 selepas didatangi seorang lelaki yang menyamar sebagai kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di rumahnya sebelum berjanji untuk memberikan bantuan kewangan kepadanya.

Mangsa, Kaslan Kalimon, 90, berkata, kejadian tersebut berlaku selepas dia selesai menunaikan solat Jumaat minggu lalu apabila seorang lelaki yang menaiki motosikal datang ke rumahnya yang mendakwa sebagai kakitangan JKM.

Menurutnya, kehadiran lelaki tersebut adalah untuk memantau kerosakan yang terdapat di rumahnya sebagai syarat untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada JKM.

Kaslan berkata, sebelum ini dia tidak pernah menerima sebarang bantuan bulanan daripada JKM dan memang tidak mengenali kakitangan berkenaan berikutan tidak pernah melakukan sebarang urusan dengan jabatan tersebut.

“Sebaik lelaki itu memasuki rumah, dia hanya berlegar sambil diikuti saya sendiri untuk melihat perkara yang dicatatkan. Sebaik tiba di dalam bilik, dia bertanyakan berapa jumlah wang tunai yang ada dan meminta saya mengeluarkan semuanya.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa ketika itu. Selepas mengambil wang tunai, lelaki tersebut masih berlegar-legar di dalam rumah saya sebelum keluar dan memberitahu saya akan menerima bantuan daripada JKM,” katanya.

Menurutnya, selepas sahaja lelaki tersebut pulang, dia kembali ke bilik untuk melihat wang yang dikeluarkannya. Namun, semua wang tiada dan dia merasakan seperti dipukau apabila menurut semua arahan yang diberikan lelaki tersebut sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Segamat.

Sementara itu, Pegawai JKM Daerah Segamat, Khairu Asri Ismail berkata, penyamaran seperti itu dilihat semakin berleluasa dan amat membimbangkan pihaknya kerana dikhuatiri lebih ramai mangsa akan tertipu dengan helah yang dilakukan selain memburukkan nama JKM.

“Pada tahun lalu, kita telah menerima aduan berkenaan perkara ini dan ia meningkat pada tahun ini sebanyak tujuh kes yang dilaporkan.

“Melalui aduan yang pernah kita terima, kebayakan penyamar ini akan menggunakan nama kakitangan di JKM dan berpura-pura memeriksa peralatan rumah sebelum membawa lari wang tunai atau barang berharga,” katanya.

Setengah juta kambing biri-biri mati di Argentina



05/10/2011 2:26am

BUENOS AIRES 5 Okt. - Kira-kira setengah juta ekor kambing biri-biri mati di Argentina akibat letusan gunung berapi Puyehe di Chile yang menyebabkan kebanyakan kawasan padang di wilayah Chubut diselaputi dengan abu.
Kambing biri-biri itu kebanyakannya mati kerana tidak dapat mencari makanan akibat selaput abu itu dan ada yang mati kerana termakan rumput yang diselaputi abu beracun.
Abu-abu itu juga menyebabkan bulu kambing biri-biri itu menjadi berat lalu menyusahkan mereka untuk bergerak menyelamatkan diri ke tempat yang lebih selamat. - Bernama

13 maut letupan di lombong arang batu China



05/10/2011 11:00am

BEIJING 5 Okt. - Sekurang-kurangnya 13 orang pekerja lombong arang batu di barat daya China terbunuh selepas letupan berlaku di lombong tersebut, semalam, lapor media tempatan.
Agensi berita Xinhua melaporkan seramai lima orang lagi pekerja masih dilaporkan hilang dalam letupan yang berlaku di Lombong Arang Batu Anping di wilayah Guizhou.
Menurut laporan berita itu lagi, seramai 13 orang pelombong lagi berjaya menyelamatkan diri.
Punca letupan masih dalam siasatan polis. - AFP

Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda semakin aktif



JAKARTA 4 Okt. - Istana Presiden akan terus memantau perkembangan semasa aktiviti Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda yang semakin aktif sejak kebelakangan ini.
Bahagian yang khusus menangani masalah bantuan sosial bencana alam istana berkenaan berkata, pada masa ini gempa yang terjadi di gunung berapi itu semakin kuat.
"Lonjakan gempa tercetus lebih daripada 1,000 peratus dalam tiga hari ini. Lebih daripada 4,000 gempa yang tercetus dalam pelbagai skala berlaku secara terus-menerus," kata jurucakap Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono bahagian berkenaan, Andi Arief di sini hari ini.
Berdasarkan catatan rakaman alat pemantauan gunung tersebut, kebiasaannya aktiviti gempa secara purata mencapai sebanyak 300 kali.
Ketua Jabatan Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, Dr. Surono berkata, berdasarkan teori, perkembangan semasa Gunung Anak Krakatau dengan kadar gempa yang tinggi pasti akan menyebabkan tercetusnya erupsi.
"Bagaimanapun, apakah jenis letusannya masih belum dapat disimpulkan kerana masih dalam tahap pemantauan intensif," jelasnya.
Jabatan berkenaan juga sudah melakukan koordinasi dengan badan yang bertanggungjawab menangani bencana alam untuk mengambil langkah berjaga-jaga.
Kelmarin, jabatan vulkanologi menjelaskan status Gunung Anak Krakatau kini berada dalam kedudukan berjaga-jaga, termasuk kemungkinan mengumumkan status darurat jika keadaan semakin meruncing.
"Pihak kami juga sudah memaklumkan pada jabatan-jabatan terlibat seperti pasukan keselamatan dan jabatan lain untuk memastikan keselamatan masyarakat,'' kata Andi. - Utusan

Pelarian Korea Utara tiba di Seoul




PELARIAN Korea Utara memakai penutup mulut dan cermin mata bagi melindungi identiti mereka setibanya di lapangan terbang Incheon, semalam. - REUTERS


SEOUL 4 Okt. - Seramai sembilan orang pelarian rakyat Korea Utara yang menyeberangi laut ke Jepun dengan menaiki bot kayu kecil tiba di Korea Selatan hari ini untuk menetap di sana.
Kumpulan pelarian yang terdiri daripada tiga orang lelaki, tiga orang wanita dan tiga orang kanak-kanak itu berkata, mereka ditemui pengawal pantai Jepun pada 13 September lalu.
Mereka telah menghabiskan masa selama lima hari di laut selepas meninggalkan pantai timur Korea Utara.
Menurut jurucakap Kementerian Luar Negara, kumpulan itu akan disoal siasat oleh pegawai perisik sebelum dihantar ke pusat penempatan semula.
Kumpulan yang mengembara dengan menaiki bot kayu berukuran lapan meter ke kawasan pantai barat Jepun itu diketuai oleh seorang lelaki yang merupakan seorang tentera Korea Utara.
Korea Selatan berkata, mereka akan menangani isu ini dengan cara berperikemanusiaan dengan menurut permintaan sembilan orang pelarian Korea Utara itu.
Sementara itu, Korea Selatan turut berkata, mereka menghentikan usaha menghantar bantuan mangsa banjir di Korea Utara selepas Pyongyang gagal memberi maklum balas terhadap tawaran Seoul. . - AFP

Pelajar dituduh rancang bom Pentagon



MASSACHUSETTS 4 Okt. - Seorang pelajar Amerika Syarikat (AS) jurusan fizik semalam mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan merancang untuk mengebom Capitol AS dan Pentagon menggunakan model kapal terbang kawalan jauh yang mengandungi bahan letupan.
Rezwan Ferdaus, 26, turut dituduh merancang menyerang beberapa tempat di Washington dengan menggunakan senjata dan bom tangan.
Dia berhadapan hukuman penjara maksimum 85 tahun, yang cukup untuk membuatnya meringkuk dalam penjara sepanjang hidupnya, jika didapati bersalah atas semua tuduhan.
Mahkamah Persekutuan Worchester, berdekatan Boston, bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan tersebut sehingga 20 Oktober ini bagi memberi masa kepada peguam Rezwan, Catherine Bryne membuat persediaan.
Sebaik-baik sahaja tertuduh memasuki mahkamah, sekumpulan 20 ahli keluarga Rezwan yang hadir menjerit 'Kami di sini untuk anda' dan 'Kami sayangkan anda' sebagai tanda sokongan terhadapnya.
Dia kelihatan tenang ketika tuduhan terhadapnya dibacakan, walaupun saudara-maranya yang hadir beremosi dan ibunya menangis dengan kuat.
Pelajar lepasan Universiti Northeastern itu merupakan antara rakyat AS yang ditahan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam operasi rahsia untuk membanteras serangan yang dirancang dilancarkan terhadap negara ini.
Pegawai FBI menjelaskan taktik tersebut merupakan sebahagian daripada cara menentang ancaman keganasan dari dalam negara ini dengan menggunakan intipan telefon, penyamaran dan mendapatkan maklumat daripada masyarakat Islam di AS.
Bagaimanapun, beberapa peguam dan kumpulan hak asasi manusia mengkritik taktik FBI yang mempunyai banyak perangkap, dengan ejen-ejennya yang kadang-kala memudahkan rancangan untuk melakukan serangan termasuk memperdayakan suspek dengan membekalkan peluru berpandu antipesawat Stinger serta bahan letupan.
Dalam kes Ferdaus, pihak pendakwa raya berkata, dia merupakan penyokong kumpulan pengganas al-Qaeda yang membuat perancangan untuk berjihad dan mencetuskan pertumpahan darah di Washington. - AFP

Putin mahu bentuk Kesatuan Eurasia




Vladimir Putin


MOSCOW 4 Okt. - Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin berkata, pihaknya merancang untuk membentuk Kesatuan Eurasia yang akan dianggotai bekas negara-negara Kesatuan Soviet.
Menurutnya, kesatuan baru itu akan diwujudkan berasaskan kepada Kesatuan Kastam yang sedia ada di antara Rusia, Belarus dan Kazakhstan.
''Kita tidak mahu terhenti di situ sahaja dan mahukan wujudnya tahap integrasi yang tinggi dalam Kesatuan Eurasia,'' katanya seperti dipetik dalam artikel yang ditulisnya di akhbarIzvestia, hari ini.
Artikel tersebut dilihat sebagai gambaran awal inisiatif luarnya di sebalik persediaan beliau kembali ke Kremlin sebagai Presiden Rusia.
Inisiatif berkenaan muncul ketika Rusia menghampiri rundingan akhir untuk menyertai Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang telah berlangsung selama 18 tahun.
Putin yang pernah melabelkan kejatuhan Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR) pada Disember 1991 sebagai malapetaka berkata, inisiatif terbaru untuk membentuk Kesatuan Eurasia tidak akan menyemai Kesatuan Soviet.
Katanya, kesatuan baru itu juga dilihat sebagai sebuah badan 'supranasional' yang mampu menyelaras ekonomi serta polisi mata wang di kalangan ahlinya.
''Saya melihat langkah untuk keluar daripada krisis global adalah menerusi integrasi antara blok seperti Kesatuan Eropah (EU), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). - REUTERS

Rombakan kecil jawatankuasa eksekutif NTC Libya



BENGHAZI 4 Okt. - Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya mengumumkan perubahan kecil dalam jawatankuasa eksekutifnya, sementara menunggu pengumuman pembentukan kerajaan sementara.
Ketua NTC, Mustafa Abdel Jalil berkata, perubahan itu menyaksikan pelucutan jawatan timbalan ketua eksekutif dan pewujudan jawatan Menteri Mangsa Perang.
''Penyandang ketua jawatankuasa eksekutif, Mahmud Jibril mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri sementara di samping Menteri Luar.
''Beberapa jawatan utama dikekalkan termasuk portfolio kewangan dan minyak,'' katanya pada sidang media di sini.
Beliau meminta rakyat Libya bersabar sehingga pembebasan Libya sepenuhnya.
NTC yang memerintah Libya sejak pemimpin Libya, Muammar Gaddafi digulingkan pada Ogos lalu, menangguhkan penubuhan kerajaan sementara sehingga saki baki tentera setia kepada Gaddafi dihapuskan.
Mustafa berkata, jawatan timbalan ketua eksekutif yang dipegang Ali Essawy dihapuskan, manakala Ahmed Kissa dinamakan sebagai menteri berportfolio untuk mengendalikan rakyat Libya terbunuh atau cedera.
''Hamza Abu Fas akan menggantikan Salem al-Sheiky sebagai Menteri Hal Ehwal Islam,'' katanya. - AFP

AS beku projek di Palestin



RAMALLAH 4 Okt. – Amerika Syarikat (AS) menangguhkan projek pembangunan bernilai berpuluh-puluh juta dolar di Tebing Barat selepas Kongres membekukan dana dalam usaha untuk menghalang Palestin daripada memohon pengiktirafan sebagai negara merdeka di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Penangguhan itu ialah kesan pertama daripada keputusan Palestin untuk mengingkari kehendak Washington berhubung isu tersebut.
Menteri Ekonomi Palestin, Hassan Abu Libdeh berkata, beliau dimaklumkan semalam oleh pegawai agensi bantuan asing kerajaan AS, USAID bahawa dua projek bernilai AS$55 juta (RM165 juta) dan AS$26 juta (RM78 juta) ditangguhkan kerana ketiadaan dana.
Satu projek bertujuan untuk membantu pembangunan sektor swasta Palestin manakala satu lagi bertujuan untuk memperbaiki persekitaran pelaburan, kata Abu Libdeh.
Seramai 50 kakitangan yang terlibat dengan projek tersebut diberhentikan minggu lepas dan 200 lagi akan menyusul pada bulan depan.
Kementerian lain juga melaporkan projek-projek anjuran USAID kini terancam, termasuk pelan lima tahun bernilai AS$85 juta (RM255 juta) untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan Palestin.
Pegawai USAID mengesahkan beberapa program terjejas disebabkan pembekuan dana oleh Kongres itu manakala program yang sedang dijalankan akan diteruskan sehingga kehabisan dana.
Pegawai Palestin mengutuk langkah tersebut sebagai menjejaskan usaha damai Asia Barat dan berkata, pembekuan itu tidak akan menghalang mereka daripada meneruskan usaha untuk mendapatkan pengiktirafan penuh PBB bagi negara Palestin yang meliputi Tebing Barat, Genting Gaza dan timur Baitulmaqdis, iaitu kawasan yang ditawan oleh Israel dalam Perang Enam Hari pada 1967.
Dua jawatankuasa yang diketuai oleh Parti Republikan di Dewan Perwakilan membekukan bantuan ekonomi bernilai AS$200 juta (RM600 juta) pada akhir Ogos lalu, ketika Palestin bersiap sedia untuk mengemukakan permohonan mereka kepada PBB.
Namun Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bulan lepas meneruskan permohonan itu dengan membentangkan hujah beliau untuk mendapatkan pengiktirafan dalam ucapan kepada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) dan mengemukakan permohonan rasmi kepada Majlis Keselamatan. – Agensi

Dua murid melecur terlanggar periuk sup panas



HAZIQ Haikal Mohd. Razif dirawat di Wad Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu selepas melecur tangan dan paha akibat terkena tumpahan kuah sup di kantin sekolahnya, kelmarin.


KUALA TERENGGANU 4 Okt. - Dua murid tahun satu sebuah sekolah di sini melecur di beberapa bahagian badan selepas ditolak sehingga terlanggar periuk berisi sup panas ketika beratur di kantin sekolah itu semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 pagi itu mengakibatkan Mohd. Nabil Faris Mohd. Azidi, 7, melecur di leher, tangan dan perut manakala rakan sekelasnya, Haziq Haikal Mohd. Razif pula melecur di tangan dan paha kanan.
Haziq Haikal ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkata, ketika kejadian, dia sedang beratur di belakang Mohd. Nabil untuk membeli makanan.
Katanya, dia sempat melihat beberapa murid lain menolak mereka dari belakang sehingga terlanggar sebuah periuk berisi sup panas yang diletakkan di atas sebuah meja di kantin sekolah tersebut.
"Periuk itu tumpah dan supnya terkena tangan saya. Nabil pula melecur teruk sebab dia di depan saya ketika itu," katanya sambil memberitahu jumlah murid yang beratur terlalu ramai ketika kejadian.
Dalam pada itu, datuk kepada Haziq Haikal, Mohd. Fauzi Abdullah, 52, ketika ditemui melahirkan rasa terkilan di atas kecuaian pihak kantin sekolah yang meletakkan periuk sup di tempat yang tidak sepatutnya.
"Kita faham perangai budak-budak apabila berada di kantin sekolah. Saya berharap pihak sekolah dan kantin mengambil langkah lebih bertanggungjawab selepas ini bagi mengelak kejadian seperti ini daripada berulang," katanya yang tidak bercadang untuk membawa perkara itu ke peringkat yang lebih tinggi.

Dadah dalam 'cappucino', 'coffeemix' dirampas




M. Govinden bersama pegawainya menunjukkan sebahagian dari peket 'Super Coffeemix' dan 'Good Day Cappucino' mengandungi syabu pada sidang akhbar di Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia KLIA di Sepang, semalam.


SEPANG 4 Okt. - Pelbagai taktik terbaru digunakan oleh sindiket dadah antarabangsa untuk membawa masuk barang larangan tersebut ke negara ini namun ia berjaya dibanteras oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Terbaru, JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 1.9 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM475,000 yang disorokkan dalam paket kecil 'cappucino' dan 'coffeemix'.
Sekali lagi, warga Iran dikenal pasti terlibat sebagai dalang membawa masuk bekalan dadah itu ke negara ini dan ia seperti sudah menjadi satu trend.
Pengarahnya, Datuk M. Govinden berkata, tangkapan itu berhasil selepas membuat pemantauan terhadap para penumpang yang tiba di negara ini melalui penerbangan Royal Jordanian dari Amman, Jordan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, JKDM menahan seorang pelancong wanita warga Iran kira-kira pukul 1 pagi Khamis lalu selepas curiga dengan barangan yang dibawa dalam dua buah beg berisi makanan ringan termasuk 'cappucino' dan 'coffeemix'.
"Imbasan awal mendapati tiada barangan yang mencurigakan ditemui dalam beg tersebut.
"Bagaimanapun selepas penumpang tersebut diarah membuka salah sebuah beg yang dimuatkan dengan makanan ringan seperti coklat, candy, cappucino, coffeemix, ia telah menimbulkan keraguan pegawai bertugas, lalu pelancong tersebut diarahkan untuk pemeriksaan rapi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ini merupakan kes kelima melibatkan warga Iran yang ditahan kerana cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini sejak Ogos lalu.
Menurut Govinden, suspek berusia 24 tahun memasukkan 27 bungkusan kecil syabu dalam setiap paket cappucino daripada jenama Good Day Cappucino dan 36 peket lagi dalam satu pek Super Coffeemix.
"Kes ini diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
"Suspek ketika ini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya.
Govinden memberitahu, bermula Januari sehingga 1 Oktober lalu, JKDM berjaya menggagalkan 21 kes dengan rampasan 80 kilogram dadah daripada pelbagai jenis bernilai hampir RM8 juta.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Taktik baru seludup dadah dikesan




NOOR Rashid Ibrahim (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas di KLIA pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 4 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa bernilai RM2.17 juta melibatkan warga asing yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sejak hujung bulan lalu.
Nilai rampasan itu diperoleh hasil daripada tujuh kes membabitkan seramai 12 tangkapan warga asing yang menggunakan taktik baru membawa masuk dadah ke dalam negara ini termasuk menggunakan komputer riba dan produk kosmetik.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, taktik baru itu dikesan apabila pihaknya menahan seorang lelaki warga Nigeria yang cuba membawa masuk dadah melalui KLIA pada 26 September lalu.
"Hasil siasatan lanjut, polis menemui dua kilogram dadah jenis syabu dalam beg yang mengandungi alat muzik jenis trompet yang dibawa oleh suspek.
"Terdapat juga sindiket yang memasukkan dadah dalam botol-botol produk kosmetik bagi mengelirukan pihak berkuasa negara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Noor Rashid mendedahkan, turut dikesan adalah taktik menyembunyikan dadah di bahagian bawah papan kekunci dan bahagian belakang skrin komputer riba serta di dalam pembesar suara.
"Sehingga kini, 25 ketulan dadah jenis syabu dikeluarkan dari perut seorang lelaki warga Pakistan yang sanggup menelan ketulan dadah tersebut bagi mengelak daripada dikesan pada Khamis lalu," katanya.
Beliau berkata, kesemua 12 suspek yang ditahan terdiri daripada empat lelaki warga Iran, lima lelaki Nigeria dan masing-masing satu lelaki warga Pakistan dan Benin serta seorang wanita warga Filipina berusia antara 23 hingga 41 tahun.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Tujuh didakwa miliki senjata api, peluru




Tujuh tertuduh termasuk tiga warga asing mengaku tidak bersalah atas tuduhan miliki senjata api dan peluru di Mahkamah Sesyen, Melaka, semalam.


MELAKA 4 Okt. - Tujuh individu termasuk tiga warga asing dihadapkan di dua mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api dan peluru di sebuah rumah di Taman Semabok Permai pada Jun tahun lalu.
Mereka terdiri daripada Goh Eng Tee, 36, Sow Teik Lee, 36, Emery Shazman Abd. Malek, 35, Teo Bee Keng, 29, bersama Tursini Turida, 21, dari Indonesia dan Lin Xiren, 28, serta Ye Yu Feng, 27, masing-masing dari China.
Di Mahkamah Sesyen di sini, kesemua mereka didakwa dengan niat bersama memiliki sepucuk pistol berjenama Sig Sauer Mosquito bersama dua kelopak peluru dengan jenama sama di sebuah rumah di Jalan SP 1, Taman Semabok Permai di sini pada pukul 1.30 pagi, 4 Jun 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat tidak kurang daripada enam kali.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Ifa Sirrhu Samsudin tidak menawarkan jaminan berikutan semua tertuduh kini sedang dibicarakan bagi kes mengedar pelbagai jenis dadah sintetik seberat 13,809.47 gram yang bermula tahun lalu.
Bagi tiga pertuduhan membabitkan pengedaran pelbagai jenis dadah itu, mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Hakim Zaharah Hussain tidak membenarkan kesemua tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu, diikat jamin dan menetapkan 2 November depan sebagai sebutan semula kes itu.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini pula, semua tertuduh didakwa dengan niat bersama memiliki empat butir peluru hidup jenis Caliber .22 pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Bagi pertuduhan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Ida Rahayu Sharif.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Ida Rahayu membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kes itu dipindahkan untuk disebut bersama kes memiliki peluru di Mahkamah Sesyen pada tarikh yang sama.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Wanita ambil hormon perancang hamil berisiko dijangkiti virus HIV



PARIS 4 Okt. - Golongan wanita yang mengambil hormon perancang kehamilan mempunyai risiko dua kali ganda untuk dijangkiti virus HIV atau menjangkiti pasangan masing-masing, dedah satu kajian.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet Infectious Diseases, hari ini dijalankan terhadap 3,790 pasangan heteroseksual di Afrika di mana setiap seorang daripada pasangan tersebut dijangkiti HIV.
Kajian tersebut dilihat boleh memberi sumbangan terbesar ke atas dasar-dasar penggunaan hormon perancang kehamilan dan pencegahan HIV sekiranya ia disahkan.
Selain itu, kajian tersebut bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bagaimana melakukan hubungan seks yang selamat seperti menggunakan kondom.
Dalam kajian tersebut, wanita yang mengambil hormon perancang kehamilan akan menjangkiti pasangannya dengan virus HIV dengan purata tujuh bagi setiap 100 orang dalam setahun berbanding seramai empat orang bagi yang tidak mengambilnya.
Kadar jangkitan daripada wanita yang mengambil hormon perancang kepada lelaki pula mencatatkan purata seramai tiga bagi setiap 100 orang setahun, manakala hanya melibatkan dua orang jika tidak mengambilnya.
Kebanyakan wanita mengambil hormon perancang kehamilan menerusi suntikan dan hanya sebilangan kecil mengambilnya menerusi pil.
Selain itu, kumpulan pengkaji mendapati wanita yang mengambil hormon perancang kehamilan menerusi suntikan lebih berisiko untuk meningkatkan virus HIV di dalam rahim berbanding pengambilan pil.
Kajian tersebut dijalankan antara 2004 dan 2010 di Botswana, Kenya, Rwanda, Afrika Selatan, Tanzania, Uganda dan Zambia. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Bukti wujud kaitan Mayan dengan makhluk asing



LOS ANGELES 4 Okt. - Sebuah filem dokumentari terbaru mengenai tamadun puak Mayan akan memaparkan penemuan bukti berhubung kewujudan makhluk asing dengan budaya kuno itu.
Penerbit filem Mexico, Raul Julia-Levy berkata, dokumentari yang berjudul Revelations of the Mayans 2012 and Beyond akan mendedahkan puak tersebut mempunyai kaitan dengan makhluk asing.
"Mexico akan menyiarkan artifak dan dokumen berkaitan bukti yang menunjukkan puak Mayan mempunyai hubungan dengan makhluk asing dan kesemua elemen tersebut disokong oleh ahli arkeologi," katanya kepada laman web TheWrap.com.
Malah katanya, terdapat bukti menunjukkan puak Mayan mempunyai niat untuk menakluki dunia selama beribu-ribu tahun namun terpaksa melarikan diri selepas 'kedatangan' makhluk asing.
Filem tersebut akan diarahkan oleh Juan Carlos Rulfo yang pernah memenangi Hadiah Humanitas untuk filem Those Who Remain pada 2009 dan Hadiah Juri Utama Sundance untuk Dokumentari Antarabangsa menerusi In the Pit pada 2006.
Sementara itu, Juan Diego Rodriguez Gonzalez bertanggungjawab sebagai penerbit eksekutif di Guatemala manakala Eduardo Vertiz di Mexico.
Sebelum ini, usaha untuk menerbitkan dokumentari tersebut dirahsiakan kerana kerajaan Mexico tidak mahu mendedahkan isu berhubung makhluk asing.
Namun, Menteri Pelancongannya, Luis Augusto Garcia Rosado mempertikaikan perkara tersebut dan menyatakan Mexico memberi kebenaran kepada pembuat filem itu untuk mengakses kawasan yang belum diterokai di tapak Mayan, Calakmul.
Sehubungan itu, kerajaan Guatemala turut berminat untuk menyertai pembikinan dokumentari tersebut, sekali gus menawarkan artifak dan penemuan maklumat baru.
Dokumentari tersebut akan mula menjalani penggambaran pada 15 November ini dan dijangka ditayangkan pada akhir 2012, iaitu tempoh sebelum kalendar Mayan berakhir. - AGENSI
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Militan serang bas, 13 maut di Baluchistan



QUETTA, Pakistan 4 Okt. - Sekurang-kurangnya 13 orang mati ditembak dan lima orang lagi cedera dalam satu serangan ke atas sebuah bas penumpang di wilayah Baluchistan hari ini, serangan bermotifkan perbalahan antara puak dalam tempoh dua minggu.
Polis berkata, penyerang yang menaiki trak pikap memintas bas berkenaan di luar bandar Quetta.
''Selepas memintas bas tersebut, empat hingga lima lelaki bersenjata masuk ke dalam bas dan melepaskan tembakan. Mereka kemudian melarikan diri,'' kata pegawai kanan polis, Hamid Shakeel kepada Reuters.
Bas berkenaan membawa kira-kira 20 penumpang yang kebanyakannya pengikut Syiah daripada komuniti Hazara yang dalam perjalanan pulang dari Quetta.
Seorang penumpang yang cedera, Hussain berkata, dua lelaki mengarahkan pemandu bas menghentikan bas dan melepaskan tembakan selepas kenderaan itu bergerak 45 minit meninggalkan Quetta.
Seramai 10 orang maut di tempat kejadian, manakala tiga orang lagi meninggal dunia di hospital.
Menurut stesen televisyen Pakistan, Geo TV, bas yang membawa mangsa yang cedera dalam serangan itu dibakar oleh sekumpulan perusuh yang marah dengan kejadian itu, selepas ia menghantar mangsa ke hospital.
Rakaman video di tempat kejadian menunjukkan bas dipenuhi lubang tembakan di bahagian depan, asap keluar dari dalam bas dan berpuluh-puluh orang berkumpul di sana.
Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian berkenaan.
Anggota militan dipercayai mempunyai kaitan dengan al-Qaeda dan Taliban sering melancarkan serangan ke atas kumpulan minoriti Syiah di Pakistan.
Serangan tersebut semakin meningkat sejak beberapa bulan lalu. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'