Thursday 29 September 2011

30 cedera kemalangan kereta api di Venezuela



30/09/2011 2:42am

CHARALLAVE, Venezuela 30 Sept. – Sekurang-kurangnya seorang konduktor terbunuh dan 30 lagi cedera apabila dua buah kereta api berlanggar di pinggir bandar Caracas semalam.
Timbalan Menteri Kehakiman, Nestor Reverol berkata, insiden berlaku di sebuah terowong di laluan antara Caracas dan pinggir bandar Los Valles del Tuy.
Menurutnya, seorang konduktor maut akibat cedera parah manakala yang lainya dipercayai hanya cedera ringan. – AGENSI

Warga emas terjun hotel gagal bunuh diri



KUANTAN 29 Sept. - Hasrat seorang lelaki warga emas untuk membunuh diri dengan terjun dari tingkat empat sebuah hotel di Jalan Lim Hoe Lek, di sini, pagi tadi gagal.
Ini ekoran tindakan mangsa berusia 60 tahun itu disedari oleh kakitangan hotel berkenaan yang curiga dengan kelakuan peliknya kira-kira pukul 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan terbabit.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 9 pagi, mangsa sudah terjun dari tingkat empat hotel berkenaan.
"Kita dapati mangsa yang berdarah di hidung sudah terbaring di atas rumput dan dalam keadaan separuh sedar.
"Mangsa yang tinggal di Bukit Sekilau di sini segera dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut," katanya ketika di temui pemberita di sini, hari ini.
Jasmani berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan mendapati mangsa terjun pada pukul 8.59 pagi.
Tambahnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri.
Sementara itu, menurut anak perempuan mangsa yang enggan dikenali, keadaan mangsa agak kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital tersebut.
Katanya, mangsa cedera parah di rusuk kanan dan doktor turut mengesahkan rusuk kanan bapanya retak.
Jelasnya, sebelum kejadian, bapanya meminta dia bersama ibu ke hotel itu untuk bersarapan bersama-sama.
"Namun tiba di hotel itu, saya dapati bapa tiada dan terkejut apabila mendapat tahu dia telah naik ke tingkat empat sebelum bertindak terjun ke bawah," ujarnya.
Tambahnya, sebelum kejadian tersebut, mangsa tidak menunjukkan sebarang kejadian pelik atau mencurigakan.

23 pelayan pelanggan warga China, Vietnam ditahan




SEBAHAGIAN daripada wanita warga China dan Vietnam berkhidmat sebagai pelayan pelanggan ditahan dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 29 Sept. - Polis menahan 23 wanita warga China dan Vietnam kerana didapati menyalah guna pas lawatan ke negara ini dengan bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) dan menawarkan khidmat seks kepada pengunjung di sebuah pusat hiburan di Jalan Pudu di sini awal pagi tadi.
Serbuan dijalankan pada pukul 12.45 oleh 25 pegawai dan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman.
Ketua Unit D7 Bukit Aman, Asisten Komisioner Shahrul Nizam Jaafar berkata, semasa serbuan dilakukan, seramai 10 wanita China dan 13 Vietnam berusia 20 hingga 28 tahun sedang leka melayan pelanggan.
"Apabila menyedari premis tersebut diserbu, wanita terbabit cuba melarikan diri tetapi mereka dapat ditangkap kerana anggota kita sudah membuat kawalan rapi di premis lima tingkat berkenaan.
"Selain GRO terbabit, kita turut menahan pemilik premis bersama pengurusnya dan tiga penjaga pusat hiburan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan di sini pagi ini.
Shahrul Nizam berkata, siasatan awal mendapati premis yang sudah beroperasi sejak dua tahun lalu itu ada menawarkan perkhidmatan GRO kepada pelanggan jika terdapat permintaan.
"Jika mendapat tempahan, pemilik pusat hiburan melalui ejen akan menghantar GRO yang diminta ke pusat hiburan terbabit dengan bayaran serendah RM50 sejam.
"Sekiranya pelanggan mahu mendapatkan khidmat seks, mereka akan membawa GRO yang ditempah itu ke lokasi lain dan tempat tersebut masih disiasat," katanya.
Shahrul Nizam memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati GRO terbabit tidak mempunyai permit kerja dan menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk memasuki negara ini.
Beliau berkata, seorang wanita yang ditahan juga didapati tidak mempunyai dokumen sah.
Katanya, kesemua wanita yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta permit.

Polis buru tiga penagih tegar






KUALA TERENGGANU 29 Sept. - Polis memburu tiga penagih tegar bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki yang dibelasah dalam pergaduhan di Kampung Batangan, Marang pada 16 September lalu.
Mangsa berusia 37 tahun yang mengalami kecederaan parah dan pendarahan di kepala, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, Selasa lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan memberitahu, tiga penagih tegar yang diburu ialah Mohd. Shahrin Roslan (suspek utama), 25, Saiful Azizul Che Ali, 26, dan Amzul Jusoh, 39.
Sebelum ini polis telah menahan empat orang rakan mereka yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian itu untuk membantu siasatan.
"Siasatan mendapati mangsa dan kumpulan suspek ini merupakan penagih tegar dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, mangsa bersama dua rakannya bertemu sekumpulan lelaki di sebuah kilang baja untuk berbincang mengenai masalah hutang pukul 10 malam pada 16 September sehingga tercetus pergaduhan.
''Dua rakan mangsa terlebih dahulu masuk ke rumah pengawal di kilang itu dan berlaku pergaduhan. Mangsa yang berada di luar tiba-tiba diserang oleh suspek dengan sebatang besi," katanya.
Menurut beliau, mangsa kemudian telah dihantar oleh rakannya ke HSNZ dan meninggal dunia Selasa lalu akibat kecederaan teruk di kepala.
"Ekoran kejadian itu, polis telah memburu kumpulan penagih terbabit dan berjaya menahan empat daripada mereka bagi membantu siasatan," katanya.

'Usah terpedaya janji manis sindiket'





SEPANG 29 Sept. - Wanita yang dibebaskan dari penjara Ham Tan, Ho Chi Minh, Vietnam kerana terlibat dalam sindiket penipuan kad kredit di negara itu, berazam membantu menyedarkan golongan wanita di negara ini agar tidak menjadi mangsa jenayah itu.
Normazawati Wong Abdullah, 49, berkata, dia akan menggunakan platform Wanita UMNO sebagai jurucakap parti itu untuk mendekati golongan wanita di negara ini seterusnya memberi penerangan tentang jenayah penipuan kad kredit.
Dia yang selamat menjejakkan kaki ke Malaysia menerusi penerbangan AirAsia AK 881 di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pukul 1.10 petang ini berkata, kini masanya untuk dia menebus kembali kesilapan dilakukannya.
"Saya nasihatkan golongan wanita agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis dan tawaran oleh pihak-pihak tertentu (sindiket). Di Vietnam, ada 12 lagi (rakyat Malaysia) yang dipenjara kerana terlibat kes penipuan kad kredit.
"Berhati-hatilah dan jangan mudah percaya ketika kita berurusan untuk peluang dalam perniagaan, khususnya wanita kerana mungkin boleh menjadi mangsa sindiket," katanya di sini hari ini.
Turut mengiringinya pulang ialah Exco Pergerakan Wanita UMNO, Senator Datin Paduka Norhayati Onn dan anak bongsu Normazawati daripada lima beradik, Ansyakinah Zainal Abidin, 24.
Sejurus sampai, Normazawati melakukan sujud syukur.
Normazawati turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Kelab Putera 1Malaysia dan Konsulat Malaysia di Ho Chi Minh kerana membantunya pulang dan menjalani hidup baru bersama keluarganya.
"Saya bersyukur kerana kembali semula ke tanah air selepas tujuh tahun berada di (penjara) negara asing. Saya rasa macam tak percaya dapat berjumpa dengan anak dan keluarga saya semula.
"Saya rasa kalau boleh nak salam dan cium tangan Perdana Menteri. Saya juga syukur walaupun saya mualaf, saya tidak lupa Allah semasa di penjara dan itulah sebab Dia menghantar 'orang baik' membantu saya.
"Saya curi-curi solat kerana di dalam penjara, semua tidak dibenarkan beribadat. Disebabkan kelakuan yang baik, tempoh hukuman saya dipendekkan daripada 10 tahun kepada hanya enam tahun 11 bulan," ujarya.
Sementara itu, Presiden Kelab Putra 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim akan menyelidik kes 12 lagi rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang dipenjara di Vietnam kerana terlibat dalam kes penipuan kad kredit bagi membantu mereka.
"Kita akan berusaha membantu sekiranya mereka disahkan melalui Polis Antarabangsa (Interpol) dan Wisma Putra menjadi mangsa penipuan seperti Kak Norma (Normazawati).
"Golongan ini selepas diselamatkan, akan bekerjasama dengan Wanita UMNO pula untuk menjadi jurucakap dalam memberi penerangan tentang sindiket tertentu," katanya.

Ibu tunggal terlepas hukuman mati



PULAU PINANG 29 Sept. - Seorang ibu tunggal terlepas daripada hukuman mati di tali gantung setelah mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan pindaan memiliki 37.02 gram heroin yang disimpan di dalam peti simpanan sebuah bank di sini, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Nurmala Salim bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun ke atas Lim Ah Moi, 51, mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta yang sama.
Beliau memerintahkan Ah Moi menjalani hukuman penjara tersebut berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap pada 5 Disember 2008.
Anak sulung Ah Moi, Hwei Wen Chui, 30, yang turut didakwa atas tuduhan sama dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah setelah tuduhan terhadapnya ditarik balik oleh pihak pendakwaan.
Mereka berdua tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila hukuman tersebut dibacakan kira-kira pukul 3.30 petang.
Mereka yang diwakili peguam K. Simon Murali sebelum ini didakwa mengikut tuduhan asal Seksyen 39B(1)(a) akta itu bagi kesalahan itu dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman gantung sampai mati.
Mengikut pertuduhan pindaan, kedua-dua mereka didakwa memiliki heroin berkenaan kira-kira pukul 11.20 pagi, 5 Disember 2008 di No. 44, RHB Bank Bhd., Lebuh Pantai di sini.

Pesawat guna enjin hidrogen




ILUSTRASI pesawat futuristik diberi nama Lockheed Stratoliner bakal menggunakan teknologi enjin hidrogen dengan reka bentuk sayap mirip burung Godwit. Konsep pesawat ini direka oleh William Black. - AGENSI


LONDON 29 Sept. - Seorang pereka muncul dengan konsep sebuah pesawat komersial yang menggunakan enjin hidrogen, Lockheed Stratoliner.
Pesawat yang mungkin menjadi kenyataan suatu hari nanti itu juga mampu terbang jauh pada altitud tinggi.
Pereka tersebut, William Black mendapat inspirasi rekaan konsep itu daripada burung Godwit yang berkeupayaan terbang sejauh 11,609.6 kilometer.
Burung itu biasa ditemui di Australia yang terbang ke Alaska tanpa berhenti untuk makan.
Idea Black turut menjurus kepada kepak burung itu untuk menghasilkan pesawat bebas pencemaran.
Bagaimanapun, penciptaan pesawat berkenaan dilihat perlu mengambil masa panjang sebelum menjadi realiti.
Lockheed Stratoliner akan menggunakan empat enjin hidrogen untuk terbang ke altitud tinggi dan terapung seperti burung.
Ia juga dilengkapi dengan teknologi yang dapat terbang dengan menggunakan paras kuasa rendah seperti jet pejuang.
Dengan itu, pesawat berkenaan dapat menjimatkan penggunaan bahan api tetapi teknologi enjin hidrogen masih jauh dan perlu dibangunkan dengan lebih gigih lagi. - AGENSI

Interpol buru Saadi Gaddafi



LYON 29 Sept. - Polis Antarabangsa (Interpol) hari ini mengeluarkan notis bagi menangkap anak Muammar Gaddafi, Saadi atas jenayah yang dilakukannya ketika mengetuai persekutuan bola sepak negara itu.
Pihak berkuasa baru Libya meminta notis itu dikeluarkan ke atas Saadi yang kini dipercayai berada di Niger atas dakwaan menggelapkan harta melalui ugutan menggunakan tentera ketika mengetuai Persekutuan Bola Sepak Libya, menurut Interpol dalam satu kenyataan.
''Saadi, 38, kali terakhir dilihat di Niger dan dia turut dikenakan sekatan perjalanan dan pembekuan aset oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata Interpol. - AFP

Dua lelaki curi penutup longkang ditangkap




Sukri Mohd. Noor menunjukkan penutup longkang yang berada di dalam kereta suspek yang berjaya ditahan orang ramai di Open University Malaysia (OUM) cawangan Kelantan di Lundang, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 29 Sept. - Cubaan dua lelaki untuk mencuri penutup longkang tidak berjaya apabila tindakan mereka disedari oleh pengawal keselamatan dan orang ramai di kawasan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, dua lelaki berusia sekitar 20-an itu ditangkap bersama 10 keping penutup longkang dan kereta jenis Daihatsu yang digunakan kira-kira 10 meter dari OUM.
Menurut pengawal keselamatan universiti berkenaan, Shukri Mohd. Noor, 45, dia menyedari kejadian itu ketika melihat kamera litar tertutup (CCTV) yang merakamkan kegiatan dua suspek terbabit dari pejabatnya.
"Saya dan rakan sedang meneliti rakaman dan secara tiba-tiba kelihatan dua lelaki keluar dari kereta dan terus mengambil besi penutup longkang tersebut dan memasukkan dalam kenderaan itu.
"Saya bersama rakan terus bergegas keluar dari pejabat dan sebelum itu menutup laluan keluar dengan rantai besi sebagai penghadang bagi mengelak suspek melarikan diri," katanya ketika ditemui di sini.
Shukri berkata, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, suspek cuba melarikan diri dengan memecut kereta dan melanggar rantai besi penghadang itu sehingga putus menyebabkan keretanya hilang kawalan sehingga melanggar penghadang jalan.
Tambahnya, akibat melanggar penghadang jalan itu, tayar kereta lelaki tersebut bocor namun mereka tidak dapat melepaskan diri kerana laluan terhalang oleh lori.
"Apabila keadaan kecoh, orang ramai menangkap kedua-dua pencuri terbabit dan saya terus menghubungi polis kira-kira pukul 3.20 petang," ujarnya.

Al-Baghdadi mogok lapar bantah ekstradisi

TUNIS 30 Sept. – Bekas Perdana Menteri Muammar Gaddafi, al-Baghdadi Ali al-Mahmoudi semalam memulakan mogok lapar di penjara Tunisia bagi memprotes tuntutan ekstradisi terhadapnya oleh Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya.

Pendakwa raya Tunisia berkata, mereka menerima tuntutan daripada NTC untuk mengekstradisi al-Baghdadi ke Libya dan sebab itu beliau masih ditahan, meskipun telah memenangi rayuan ke atas hukuman enam bulan penjara kerana memasuki negara ini secara haram. – Reuters

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Muhyiddin sarankan SAR diserap di bawah Kementerian Pelajaran




MUHYIDDIN (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Majlis Madrashah Al-Attas Arabiah, Syed Ali Mohamed Al-Attas sempena ulang tahun ke-100 madrasah itu di Ulu Tiram semalam.


JOHOR BAHRU - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan agar Sekolah Agama Rakyat (SAR) khususnya di Johor menyertai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah Kementerian Pelajaran bagi membolehkan mereka menikmati peruntukan dan bantuan Kerajaan Pusat.
Timbalan Perdana Menteri berkata, di samping itu guru-guru SAR akan mendapat tawaran skim gaji yang lebih baik.
"Saya percaya kita perlu bincang sedikit masa lagi, kalau dapat dipersetujui ke Bawah Duli Tuanku (Sultan Johor) sebagai ketua agama.
"Pihak Kerajaan Pusat akan menyediakan peruntukan yang sesuai untuk meningkatkan tahap pendidikan sekolah agama mengikut skim gaji sama dengan sekolah kebangsaan di bawah Kementerian Pelajaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-100 SABK Madrashah Al-Attas Arabiah Johor di Ulu Tiram di sini semalam.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, perbincangan di peringkat kerajaan negeri dan Pusat telah dibuat untuk menyerapkan SAR ke dalam SABK.
Katanya, kerjasama antara Kerajaan Pusat dan negeri itu adalah penting ke arah membangunkan sistem pendidikan agama dalam kalangan pelajar.
Mengenai SABK Madrashah Al-Attas Arabiah, Muhyiddin berkata, ia merupakan sekolah agama rakyat yang pertama di Johor menandatangani perjanjian persefahaman dengan Kementerian Pelajaran untuk berdaftar di bawah SABK.
Beliau memberitahu, sekolah berkenaan telah menikmati pelbagai bantuan yang disalurkan kementerian sama seperti sekolah-sekolah harian yang lain merangkumi keperluan guru-guru terlatih, kemudahan pembelajaran, buku teks dan biasiswa.
Sempena sambutan 100 tahun penubuhan madrasah itu, beliau turut bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM270,000 bagi membantu meningkatkan prasarana sekolah tersebut. - Bernama

Seorang lagi pemandu wanita ditahan

RIYADH: Seorang lagi wanita ditahan, semalam kerana memandu di jalan raya di bandar raya ini sambil insiden itu dirakam seorang wartawan asing.
Wanita yang dikenali sebagai Madeeha itu, bagaimanapun, tidak dapat bercakap untuk memberi ulasan kepada Arab News ekoran hilang suara akibat jangkitan. Dalam e-mel dihantarnya, dia menulis: “Saya rasa ironi dan lucu kerana hilang suara pada waktu saya benar-benar memerlukan suara saya. Madeeha turut meluahkan rasa gembira atas keputusan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah untuk memberikan lebih kuasa politik kepada wanita. “Lebih banyak kita menyuarakan keperluan kita secara umum, saya rasa lebih banyak pemerintah memberi maklum balas terhadap tuntutan kita,” katanya.

Dua madu sepakat tuntut cerai

KUALA LUMPUR: “ Antara perkataan dia selalu kata pada kami adalah perempuan pelacur dan lembu. Untuk makluman mahkamah, saya dan madu, Siti Shahina Abdul Rahim, tinggal bawah satu bumbung, masing-masing pernah melihat antara kami dipukul, dimaki dan dimarahi oleh Liaquat,” kata seorang wanita yang bersepakat dengan madunya untuk bercerai dengan suami mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, semalam.
Marziana Zakaria yang berusia lingkungan 30-an berkata demikian dalam keterangannya di mahkamah semalam dalam permohonan cerai baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Walaupun madu itu didakwa saling menyihir antara satu sama lain mereka akhirnya bersetuju untuk bercerai dengan lelaki itu selepas tidak tahan dengan perangai suami mereka yang didakwa bersikap buruk.

Menurut Marziana yang juga isteri kedua kepada Liaquat Ali, sikap suaminya yang panas baran, suka memaki-hamun dan memukulnya adalah antara sebab dia dan Siti Shahina, 40-an mengemukakan permohonan cerai.


Selain itu, lelaki berkenaan didakwa enggan menjalani sesi kaunseling di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) berdekatan.

Mati berjoging

KANGAR: Seorang warga emas yang sedang berjoging sambil meredah laluan berbukit untuk menyihatkan tubuh badan ditemui maut di Pusat Rekreasi Bukit Ayer, Sungai Batu Pahat, petang kelmarin.
Mangsa, Teh Chin Geng, 68, dari Taman Pengkalan Asam, di sini, dikatakan mengalami sesak nafas sebelum rebah sewaktu berjoging mendaki bukit bersama sekumpulan rakan dari Kelab 4H, kira-kira jam 5.30 petang.

Mayat mangsa yang berada pada ketinggian 50 meter di Bukit Ayer itu kemudian dibawa turun oleh pasukan penyelamat dengan bantuan orang ramai sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat.

Anak mangsa, Teh Joo Ghee, 32, berkata bapanya yang juga seorang mekanik kerap berjoging bersama Kelab 4H dan lokasi utama mereka adalah laluan berbukit termasuk kawasan rekreasi Bukit Ayer.

“Kumpulan ini banyak meluangkan masa pada sebelah petang dengan berjoging dan meredah bukit. Bapa sudah menyertainya sejak beberapa tahun lalu, tetapi semalam (kelmarin) adalah joging terakhir untuknya sebelum menemui ajal,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, bapanya mengadu penat dan meminta rakan meneruskan pendakian sebelum lelaki itu dilihat rebah sambil mengadu sesak nafas di laluan agak curam dan diberi pertolongan kecemasan.


Katanya, dia yang berada di rumah menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 petang sebelum terus bergegas ke kawasan Bukit Ayer terbabit untuk melihat apa yang berlaku.

Sebaik tiba, Teh berkata, beberapa petugas HTF dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kelihatan sedang membantu bapanya yang masih tidak sedarkan diri sebelum disahkan sudah meninggal dunia.

5 ditahan jual iPhone tiruan

SHANGHAI: Polis China telah menahan lima orang kerana membuat dan menjual telefon bimbit iPhone tiruan.
Menurut polis, mereka yang ditahan adalah sebahagian daripada kumpulan terancang yang membeli komponen telefon bimbit di Guangdong di selatan China dan memasangnya di sebuah apartment sewa di Shanghai.
Kira-kira 200 telefon bimbit itu dirampas dalam sebuah serbuan. Kos untuk membuat sebuah telefon bimbit iPhone yang menggunakan sebahagian komponen asli adalah kira-kira 4,000 yuan (RM 1,200).

Harganya di pasaran gelap dan internet, kurang beberapa ratus yuan berbanding iPhone asli keluaran Apple Inc.


Menurut polis, iPhone tiruan itu mempunyai fungsi yang serupa dengan yang asli tetapi jangka hayat baterinya lebih pendek.

Seorang anggota polis berkata, “Susah untuk pengguna biasa membezakan yang tiruan dengan yang asli.”

Tiada pegawai Apple yang dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

China sering dikritik kerana membiarkan harta hak intelek dilanggar dengan meluas dan barang-barang jenama mahal seperti jam tangan, beg dan perisian komputer yang dicetak rompak, boleh didapati dengan mudah di kedai.

Pelbagai versi iPhone juga mudah didapati.

Telefon bimbit versi ‘hiPhone 5’ yang ditiru melalui gambar yang telah disebarkan, juga sudah dijual. -Reuters

Raja Abdullah batal hukum sebat pemandu wanita

JEDDAH: Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah membatalkan hukuman 10 sebatan yang dijatuhkan ke atas seorang wanita, Sheima Jastaniah kerana melanggar undang-undang larangan memandu di negara itu, kata seorang anggota wanita kerabat diraja di laman Twitternya, semalam.
“Syukur kepada Tuhan kerana hukuman sebat dikenakan terhadap Sheima dibatalkan. Terima kasih kepada raja kami yang dikasihi. Saya pasti, semua wanita Saudi gembira, saya tahu itu,” kata Puteri Amira Al Taweel, isteri kepada bilionair Putera Alwaleed bin Talal. “Ketika detik sukar, kami sama-sama bersatu, pada waktu gembira, kami meraikannya bersama.

“Saya bangga menjadi warga Saudi. Kepada semua wanita Saudi yang aktif, terima kasih atas usaha anda,” tulisnya. Sheima dihukum oleh mahkamah di Jeddah Isnin lalu selepas ditangkap ketika memandu Julai lalu.

Pengurus mayat bantu sembunyi janin di kuil dihukum penjara

BANGKOK: Seorang pengurus mayat di Thailand dipenjara selama 40 bulan kerana bersubahat menyembunyikan janin yang digugurkan di sebuah kuil Buddha di sini.
Suthep Chabangbon didapati bersalah oleh mahkamah daerah kerana menyembunyikan 15 daripada kira-kira 2,000 janin yang dijumpai di bilik mayat kuil itu, tahun lepas.
Januari lalu, rakan sekerjanya dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun. Pengguguran haram masih berleluasa walaupun diharamkan di Thailand.

Pengguguran janin dibenarkan sekiranya kandungan akan membahayakan ibu atau hamil kerana dirogol. - AF

Lelaki buruan bekerja sebagai warden penjara

BEIJING: Seorang lelaki yang diburu pihak berkuasa ditemui bekerja sebagai warden penjara - 10 tahun selepas dia didapati melarikan bagi mengelak didakwa di mahkamah, lapor Beijing News, semalam.
Wang Zhijia, 37, didakwa menyerang dan mencederakan isterinya 10 tahun lalu selepas kedua-dua mereka bertengkar.

Beberapa hari lalu, lapor akhbar itu, Wang ditemui bertugas di penjara Anhui, kira-kira 260 kilometer dari rumahnya di tengah China.

Wang menyamar sebagai abangnya untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pembantu pasukan polis di Anhui pada 2008 sebelum bertugas sebagai warden penjara dua bulan lalu. Penyamaran Wang terbongkar selepas polis mengesan berlaku pertindihan identiti. - AFP

Tidur terus tak bangun

DERITA...‘Beckham’ koma akibat pendarahan dalam otak.
DERITA...‘Beckham’ koma akibat pendarahan dalam otak.
SUBANG JAYA: “Luluh hati saya apabila doktor mengesahkan anak tunggal mengalami pendarahan dalam otak mungkin akibat hentakan atau gegaran kuat,” kata bapa kepada seorang bayi berusia tujuh bulan yang tidak sedarkan diri, sejak Isnin lalu.
Lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Megat, 29, berkata, bayi lelakinya yang diberi jolokan ‘Beckham’ oleh jururawat di unit rawatan rapi sebuah hospital di sini, tidak sedarkan diri selepas ditidurkan pengasuhnya di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di sini, kira-kira jam 12 tengah hari.
Selepas Beckham gagal dikejutkan dari tidur, pengasuh menghubungi Megat di pejabatnya di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kira-kira jam 4.30 petang, sebelum bayi itu dikejarkan ke hospital berhampiran.

Menceritakan kejadian itu, Megat berkata, pada pagi kejadian, dia menghantar anak lelakinya itu ke pusat asuhan itu seperti biasa.


Menurutnya, ibu mangsa yang berusia 29 tahun kerap menghubungi pusat asuhan itu bagi mengetahui keadaan anak tunggal mereka dan membuat panggilan terakhir kira-kira jam 12 tengah hari pada hari kejadian sebelum diberitahu pengasuh sedang memberikannya susu untuk tidur.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 4.30 petang, seorang pengasuh di pusat itu menghubungi saya dan memberitahu anak kami tidak bangun-bangun selepas ditidurkan,” katanya ketika ditemui Harian Metro semalam.

Wang loteri terjun laut

ANGKAT...kereta dinaiki lima lelaki yang terjunam ke dalam laut dekat Dermaga Bagan Dalam, Butterworth dikeluarkan, semalam.
ANGKAT...kereta dinaiki lima lelaki yang terjunam ke dalam laut dekat Dermaga Bagan Dalam, Butterworth dikeluarkan, semalam.
BUTTERWORTH: Kegembiraan lima sahabat untuk meraikan wang loteri yang dimenangi berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas kereta dinaiki terjunam ke laut dekat Dermaga Bagan Dalam di sini, awal pagi semalam.
Sebelum kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam itu, lima lelaki terbabit dari Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah ke pekan Bukit Mertajam untuk meraikan kejayaan dua rakan mereka memenangi wang loteri.
Mereka dipercayai mengambil minuman keras sebelum pulang dengan sebuah kereta dipandu seorang daripada mereka yang berusia 24 tahun.

Kereta dinaiki mereka melalui laluan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Pulau Pinang, namun pemandunya dipercayai tersilap haluan apabila memasuki susur ke Dermaga Bagan Dalam milik Penang Port Sdn Bhd (PPSB).


Difahamkan, kereta dinaiki lima lelaki terbabit meneruskan perjalanan ketika sampai di pos kawalan dermaga berikutan penghadang di laluan masuk rosak dan sedang dibaiki.

Bagaimanapun, kereta berkenaan dikatakan gagal berhenti, malah pemandunya memecut ke arah pelabuhan sebelum terjunam ke dalam laut yang dianggarkan sedalam kira-kira sembilan meter.

Rintihan dalam api

JOHOR BAHRU: “Tolong, tolong, tolong!” Itu rintihan Nor’Izah Abdullah Omar, 46, kepada rakan sepejabat yang dihubunginya sebelum dia rentung apabila kereta dipandunya terbakar selepas terbabas di Kilometer 29.9, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), arah Senai ke Nusajaya di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, Izah yang berasal dari Taman Desa Idaman, Senai, memandu Proton Satria yang hilang kawalan di tempat kejadian dan terbalik ke dalam longkang sebelum terbakar.

Lokasi kemalangan itu kira-kira 10 minit dari pejabat Izah.

Izah sempat menghubungi rakan sepejabatnya, Rohimi Tahir, 38, sebanyak empat kali sejurus kemalangan itu, tetapi lelaki berkenaan tidak menyedarinya.

“Saya tidak menyedari panggilan masuk berkenaan dan terus ke hospital apabila dimaklumkan rakan sepejabat berkaitan kemalangan menimpa Izah.

“Ketika itu saya dimaklumkan seorang rakan sepejabat saya sempat menjawab panggilan Izah yang menjerit perkataan ‘tolong’ sebelum ia terputus beberapa saat kemudian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Kulaijaya.


Menurut Rohimi yang juga penyelia di syarikat perkapalan di Senai, rakan sepejabat mereka itu cuba menghubungi semula Izah, tetapi gagal.

“Saya kecewa kerana tidak menyedari panggilan berkenaan, ketika itu Izah mungkin cuba menyelamatkan diri.

“Mungkin Izah kemudian menghubungi pejabat untuk mendapatkan bantuan selepas gagal menghubungi saya,” katanya.

Pada masa sama, Rohimi berkata, Izah yang juga kerani menunjukkan perubahan sikap ketara sejak dua bulan lalu apabila wanita berkenaan meluahkan hasrat untuk pergi bercuti dan meminta rakan sepejabatnya mencadangkan pusat peranginan sesuai.

Curiga Rohimi bertambah selepas Izah kelihatan gembira serta hadir ke semua majlis rumah terbuka rakan sepejabat.

“Dalam keadaan bergurau dan nada bersahaja, Izah berkata ‘kalau boleh aku nak pergi bercuti ke tempat yang tak perlu balik’ menyebabkan kami kurang senang dengan gelagatnya itu,” katanya. Sementara itu, ibu angkat Izah, Hasman Mohd Zain, 84, berkata, dia reda dan menyifatkannya sebagai ketentuan Ilahi.

Menurut Hasman, Izah tidak berkelakuan pelik sebaliknya memeluk dan menciumnya seperti biasa sebelum ke tempat kerja.

“Izah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, pada masa sama, Izah kerap mengadu Proton Satria dibelinya sejak enam bulan lalu itu kerap rosak dan bercadang menghantarnya ke bengkel hari ini (semalam). Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian,” katanya.

Izah yang juga ibu tunggal mempunyai dua anak iaitu seorang lelaki dan perempuan berusia 20 serta 21 tahun, kedua-duanya kini tinggal bersama bapa mereka di Kuala Lumpur.

Jenazah Izah dituntut keluarga sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Saleng, petang semalam.

Layu dipukau Berlusconi

BERFOYA-FOYA...mengaku mengatur parti untuk Berlusconi, antara tetamu yang pernah datang ke vila Perdana Menteri Itali itu ialah George Clooney (kanan).
BERFOYA-FOYA...mengaku mengatur parti untuk Berlusconi, antara tetamu yang pernah datang ke vila Perdana Menteri Itali itu ialah George Clooney (kanan).
SABINA...merelakan dirinya ditiduri Berlusconi hanya selepas dua jam bertemu.
SABINA...merelakan dirinya ditiduri Berlusconi hanya selepas dua jam bertemu.
ROME: Seorang wanita yang didakwa membekalkan pelacur untuk melayan nafsu Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, mendedahkan bagaimana dia “terpukau” dengan daya seksual lelaki terbabit.
Aktres, Sabina Began, adalah seorang daripada lapan individu didakwa menyediakan pelacur untuk parti dianjur Berlusconi.

Sesetengah pelacur itu dibayar untuk bermalam bersama Berlusconi.

Dalam temu bual untuk edisi terkini majalah Vanity Fair, Sabina, 38, menceritakan dia terkulai dalam pelukan Berlusconi ketika menghadiri parti di vila ahli politik itu.

“Saya seolah-olah dipukau dan ia adalah malam yang sangat indah,” katanya.

Memiliki tatu bertulis “SB” pada buku lalinya sebagai menghormati Berlusconi, Sabina berkata, dia tiba di vila berkenaan di Sardinia bersama sekumpulan tetamu, termasuk pengurus Formula 1, Flavio Briatore, serta isterinya, Elisabetta Gregoraci.


Selepas bersemuka dengan Berlusconi, kata Sabina, dia terus terpesona terhadap ahli politik terbabit dan ditunjukkan tasik kecil di vila berkenaan pada 2005.

“Saya bertanya jika boleh kembali semula ke situ bersama teman lelaki - jika saya memilikinya satu hari nanti.

“Berlusconi memandang tepat ke mata saya dan berkata: Tidak, kecuali jika anda menjadi teman wanita saya. Untuk membolehkan ia berlaku, anda mesti memegang tangan saya.

“Sejak itu, kami tidak memandang ke belakang lagi,” katanya.

Mereka juga pernah menikmati makan malam di atas kapal layar Briatore.

Di situ, kata Sabina, Berlusconi berbisik kepadanya dan dia berasa seolah-olah dipukau.

“Selepas dua jam, saya menyatakan kesediaan untuk menemaninya di ranjang,” katanya.

Sabina berkata, dia dilamun cinta ketika itu dan Berlusconi satu-satunya lelaki yang melayannya sebagai seorang wanita sebenar.

Dalam temu bual dengan stesen radio awal tahun ini, Sabina mendakwa, Berlusconi “membantunya mengenali tuhan melalui pengalaman rohani.” - DM

Didakwa tipu RM280,000

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus kredit, Hotel Le Meridian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan melakukan pecah amanah berhubung bayaran balik wang kad kredit milik hotel itu sebanyak RM280,166.38, tiga tahun lalu.
Aira Abdul Aziz, 32, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah itu dengan memasukkan wang iaitu wang bayaran balik dari akaun kad kredit bank Le Meridian ke akaun kredit tertuduh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam tiga transaksi berbeza di pejabat kewangan Le Meridian Hotel, Jalan Stesen Sentral, Brickfields di sini, antara 7 November 2008 dan 5 Ogos 2009.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Hantar SMS puitis sebelum nahas

LUMUT: SMS berbunyi ‘kutitiskan warkah buat diriku sendiri, hidup tanpa kasih dan sayang umpama hidup di padang pasir yang gersang’ diterima suri rumah, Che Wan Kamsah Ahmad Jaluddin, 35, sebelum diberitahu suami dan anak perempuannya maut dirempuh lori.
Che Wan Kamsah berkata, dia terkejut apabila menerima SMS puitis itu dari suaminya, Roslan Osman, 35, berikutan mangsa tidak pernah menghantar kiriman sebegitu sejak mendirikan rumah tangga 15 tahun lalu.

Lebih menyedihkan apabila ayat-ayat cinta itu dihantar beberapa minit sebelum mangsa dan anak perempuan mereka, Puteri Nurul Najwa Roslan, 12, menemui ajal dalam kemalangan malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam di Kilometer 4, Jalan Seri Manjung-Segari berdekatan Kampung Sungai Rumput, di sini, dua beranak itu bersama seorang lagi mangsa, Ainuddin Abd Wahab, 15, maut apabila kereta dinaiki mereka bersama dua lagi mangsa dirempuh lori.

Ainuddin yang juga anak saudara Roslan mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, manakala dua lagi mangsa yang juga jiran arwah cedera.

Che Wan Kamsah yang ditemui di rumah mentuanya di Kampung Permatang Raja, Pantai Remis, dekat sini, semalam berkata dia terkejut menerima SMS berkenaan kerana arwah tidak pernah mengirim SMS seperti itu.


“Saya tidak menyangka SMS itu petanda akan kehilangannya. Saya akan menyimpan SMS itu selain menjadi pengubat rindu.

“Saya dan arwah sebelum ini ada sedikit pertengkaran menyebabkan saya terpaksa pulang ke rumah ibu di Sungai Siput bersama anak sulung kami berusia 15 tahun,” katanya.

Katanya, malah, petang hari kejadian, arwah menghubunginya supaya pulang segera ke Pantai Remis kerana rindu untuk bertemunya.

Che Wan Kamsah berkata, dia tidak menyangka kepulangannya untuk menemui arwah dan Puteri Nurul Najwa semalam bertukar hiba apabila hanya menatap jenazah mereka.

Menurutnya, arwah ditemani anak dan tiga yang lain dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membuat pemeriksaan penyakit batu karang di Hospital Seri Manjung (HSM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohd Jamil Osman berkata, kejadian berlaku apabila Perodua Kancil dinaiki lima mangsa itu bertembung sebuah lori tiga tan.

“Siasatan mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta mangsa yang datang dari Seri Manjung bertembung lori dari arah bertentangan selepas pemandunya gagal memotong sebuah kenderaan di hadapan.

“Pertembungan kuat itu menyebabkan dua penumpang kereta Kancil berkenaan mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HRPB,” katanya.

8 anggota PBB sokong Palestin

RAMALLAH: Palestin mendapat sokongan lapan anggota Majlis Keselamatan untuk menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kurang satu untuk mendapatkan sembilan undian diperlukan.

Bercakap kepada media di sini, Menteri Luarnya, Riyad al-Maliki berkata beliau menerima jaminan daripada dua lagi negara - Nigeria dan Gabon – untuk mengundi bagi pihak Palestin.
“Lapan negara menyokong Palestin dalam Majlis Keselamatan. Kami sedang bekerja keras untuk mendapatkan undian kesembilan dan kesepuluh,” katanya.
Riyad berkata, Palestin mendapat jaminan undian ‘ya’ dari Lubnan, Russia, China, India, Afrika Selatan dan Brazil sebagai tambahan kepada pengesahan baru dari Nigeria dan Gabon.

“Kami sedang berusaha mendapatkan undi Bosnia, Colombia dan Portugal,” katanya lagi.

Beliau dijadualkan melawat Bosnia sejurus selepas itu manakala Presiden Palestin Mahmud Abbas akan melawat Colombia, Portugal, Honduras dan Republik Dominica pada Oktober ini. – AFP

Ibu muda lahirkan 3 anak pada tarikh sama

LONDON: Seorang bayi menarik perhatian ramai apabila lahir pada tarikh sama seperti dua abangnya.
Kyle Kellett berkongsi hari lahir - 20 September - dengan Keiran, 6, dan Kaiden, 3.

Menurut statistik, kemungkinan untuk berlaku kelahiran sama seperti itu ialah satu dalam 133,590.

Ibu Kyle, Sammy Kellett, 24, berkata dia seperti tidak percaya kebetulan seperti itu boleh berlaku.

“Ia sangat luar biasa. Saya memiliki tiga anak yang lahir pada 20 September,” katanya.

Berdasarkan perkiraan doktor, Keiran dan Kyle dijangka lahir pada 24 September tetapi Sammy melahirkan mereka empat hari lebih awal.


Menurut Sammy, bagi Kaiden pula, dia sepatutnya lahir pada 13 September tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia melahirkan Kaiden seminggu lebih lewat daripada jangkaan.

Selain berkongsi persamaan tarikh lahir, ketiga-tiga anak Sammy dan pasangannya, Merv Jeans, 35, dilahirkan di hospital sama, iaitu Hospital Royal Preston.

Bagaimanapun, hanya dua daripada tiga anak Sammy - Kaiden dan Kyle - dilahirkan dalam bilik yang sama di hospital berkenaan.

Sammy - dari Preston - dibawa masuk ke bilik bersalin pada 2.45 pagi Selasa lalu dan Kyle dilahirkan pada jam 5 pagi.

Keiran pula dilahirkan jam 2.26 petang pada 20 September 20 2005, manakala Kaiden 8.37 pagi pada 2008. Jeans pula menyambut hari lahir pada 22 September. - TS

Sita baju ‘bundle’ RM30,000

RAMPAS...anggota penguat kuasa MPK mengangkat pakaian terpakai yang dirampas ke dalam lori, semalam.
RAMPAS...anggota penguat kuasa MPK mengangkat pakaian terpakai yang dirampas ke dalam lori, semalam.
KLANG: Beberapa pekerja menjual pakaian terpakai lari lintang-pukang sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam Operasi Bundle di Jalan Sungai Udang, di sini, semalam.
Penolong Pegawai Kesihatan dan Persekitaran Kanan, Jabatan Pelesenan dan Penjaja MPK, Mazlan Abdul Gany, berkata siasatan mendapati perniagaan menjual pakaian terpakai itu beroperasi secara haram sejak setahun lalu.

Menurutnya, lot itu sepatutnya menjadi tapak untuk bangunan balai polis baru.

“Kedai itu beroperasi tanpa lesen sejak setahun lalu. Sebelum operasi, kami memberi notis tujuh hari kepada pemilik kedai supaya memindahkan barangan perniagaan mereka.

“Namun, pemilik tidak mengambil peduli notis itu. Jadi, kami menyita semua barangan mengikut Undang-undang Kecil Penjaja 2007, Seksyen 3, iaitu perniagaan tanpa lesen. “Jika sabit kesalahan boleh didenda RM2,000 dan penjara dua tahun,” katanya ketika ditemui selepas operasi, semalam.

Katanya, operasi membabitkan 50 anggota penguat kuasa serta mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Daerah/Tanah Klang.


Mazlan berkata, semua nilai pakaian disita berjumlah lebih RM30,000 dan pihaknya memberi tempoh 30 hari kepada pemilik untuk menuntut semula barangan. Katanya, jika pemilik tidak membuat tuntutan, barangan berkenaan akan dijadikan bukti untuk pendakwaan di mahkamah.

“Lot perniagaan yang beroperasi lebih setahun itu turut menerima banyak aduan daripada penduduk yang tidak berpuas hati kerana menghalang laluan,” katanya.

Polis dituduh terima sogokan

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis dari bahagian narkotik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menerima sogokan RM4,000 bagi meringankan kesalahan seorang lelaki yang ditahan kerana memiliki dadah pada 26 November tahun lalu.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Asisten Superintendan Azmi Abdullah, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah. Tertuduh didakwa menerima suapan daripada Ng Zho Wei sebagai dorongan menukar kesalahan lebih ringan ke atas Mong Lin Chi yang ditangkap kerana memiliki satu tiub straw berisi dadah jenis ketamin di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta menukar ujian saringan air kencing yang positif dadah kepada negatif di bawah seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Dia dituduh melakukannya di pejabatnya di Bahagian Siasatan Narkotik, IPD Serdang, Lorong LP 2A/1, Taman Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, Seri kembangan pada jam 7.05 malam.

Pemandu lori maut, kelindan parah

KUANTAN: Seorang pemandu lori terbunuh manakala kelindannya cedera parah selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan lori lain yang membawa muatan perabot di Kilometer 97, Jalan Lipis-Merapoh di Kuala Lipis, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 1.57 pagi itu, mangsa, Adnan Ali, 48, dari Tumpat, Kelantan dan kelindannya, Zamri Abdullah, 41, dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu.

Tentera NTC berundur dari Sirte

SIRTE: Serangan hebat tentera Muammar Gaddafi memaksa pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) berundur tiga kilometer dari Sirte, kata pegawai kerajaan baru Libya, semalam.
Seorang komander NTC di timur Sirte berkata, pertempuran pada malam semalam adalah paling sengit sejak mereka mula mengepung bandar kelahiran Gaddafi itu pada 15 September lalu.

“Berlaku pertempuran sengit dan kami berdepan tentangan hebat, memaksa kami berundur lebih jauh dari bandar itu,” katanya.

Menurut komander itu, Gaddafi kini kehilangan segala-galanya dan Sirte menjadi kubu terakhir mereka berdepan NTC.

Justeru, katanya, pejuang NTC berdepan tentangan sengit dan tewas pada ketika ini.

Katanya, pertempuran berpusat di pelabuhan dan timur Sirte yang terletak berhampiran Laut Mediterranean.


Tidak dapat dipastikan sama ada NTC masih berjaya mengekalkan kawalan ke atas pelabuhan di timur Sirte yang ditawan mereka tiga hari lalu.

Sementara itu, tiga pejuang NTC terbunuh akibat dibedil rakan sendiri di timur Sirte.

Komander tempatan berkata, berlaku kecuaian penyelarasan dan sekumpulan pejuang menembak rakan mereka menggunakan kereta kebal dari belakang. - AFP

Kelindan dihukum mati



Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my
2011/09/30

M Rajamorgan
M Rajamorgan
Didapati bersalah bunuh budak 18 bulan tahun lalu 

SHAH ALAM: Seorang kelindan lori dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam, selepas didapati bersalah membunuh kanak-kanak berusia 18 bulan, K Haresvarra, yang mati selepas dikatakan dipukul dan dipijak sehingga pecah hati dan enam tulang rusuknya patah, tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap M Rajamorgan, 34, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Tertuduh disabitkan bersalah atas tuduhan dan dihukum gantung sampai mati,” katanya. 

Pada 15 Mac tahun lalu, Rajamorgan dituduh membunuh Haresvar-ra di Taman Permainan Kanak-Kanak Pangsapuri Vista Damansara Jalan Kenanga, Kampung Sungai Kayu Ara di sini, antara jam 9.40 malam dan 10.10 malam, 3 Mac 2010. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong, manakala tertuduh diwakili peguam Aida Mansor. 
Sementara itu, berlaku sedikit kekecohan sebaik Rajamorgan dibawa keluar mahkamah selepas prosiding berakhir, apabila bapa mangsa, penerbit filem, S Karigalan, 43, dan isterinya, K Thilagavathy, 24, menyerbu ke arah tertuduh dan menjerit dalam bahasa Tamil.

'Sujud syukur' jejak kaki di LCCT



Oleh Fakhrurrazi Usuldin
bhnews@bharian.com.my
2011/09/30

 ABDUL AZEEZ  menyambut  Normazawati Wong yang tiba di LCCT, semalam.
ABDUL AZEEZ menyambut Normazawati Wong yang tiba di LCCT, semalam.
KP1M bawa pulang mangsa kad kredit klon 

SEPANG: Mangsa sindiket klon kad kredit, Normazawati Wong Abdullah, 49, yang terkandas di Ho Chi Minh, Vietnam selepas tamat hukuman penjara hampir tujuh tahun pada Januari lalu, tiba di tanah air semalam dengan membuat 'sujud syukur' sebaik menjejak kaki di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini.
Beliau yang menaiki pesawat AirAsia tiba jam 1.40 tengah hari diiringi Exco Wanita UMNO, Senator Datuk Nor Hayati Onn dan anak sulungnya, Siti Ansyakinah Zainal Abidin, 24, yang pergi ke Vietnam bagi membantu proses membawa pulang Normazawati.
“Ibarat impian menjadi nyata saya dapat pulang semula ke tanah air setelah sekian lama terkandas di Vietnam. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Wanita UMNO kerana membantu saya yang sebelum ini bermasalah kerana masih belum membayar ‘denda’ sebanyak RM60,208.50," katanya kepada pemberita di LCCT, di sini, semalam. 

Beliau turut disambut oleh Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. 

Normazawati berkata, sepanjang berada di sana beliau menangis mengenangkan nasib diri yang dianiaya sindiket itu.

“Serik...siapa tak serik merengkok di dalam penjara. Dalam penjara saya hanya diberi makan nasi tanpa lauk sehari dua kali dan tidak boleh solat kerana peraturan di sana tidak membenarkan penghuni mengamalkan agama masing-masing dan jika tertangkap akan dikenakan hukuman atau ditambah kerja,” katanya yang pernah bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur sebelum ke Vietnam. 
Sengsara hidupnya sebagai tahanan di Vietnam bermula selepas menerima pelawaan dua rakan menyertai lawatan ke negara itu pada hujung 2004. 

Setiba di negara berkenaan, beliau dijemput kenalan dua rakannya itu, warga Vietnam, dan dibawa ke sebuah hotel. 

Keesokannya, warga Vietnam itu memberikan Normazawati satu pasport dan kad kredit milik orang lain dan diminta membeli kamera, kamera video dan jam di sebuah pasar raya menggunakan kad kredit berkenaan. 

Bagaimanapun, dia ditahan petugas keselamatan pasar raya sama apabila membeli barangan sama pada hari kedua dan diserahkan kepada polis kerana menggunakan kad kredit palsu manakala dua rakan yang membawanya itu menghilangkan diri. 

Akibatnya ibu tunggal itu dihukum 10 tahun penjara tetapi tempoh itu dipendekkan kepada enam tahun 11 bulan berakhir Januari lalu apabila dia berkelakuan baik dan membantu pihak penjara dalam urusan perubatan di situ. 

Bagaimanapun, beliau terkandas selepas dibebaskan kerana tiada dokumen pengenalan diri manakala pihak keselamatan Vietnam tidak membenarkan beliau keluar kecuali membayar denda itu. Nasibnya hanya dibela KP1M selepas anak sulungnya meminta bantuan. 

“Saya sentiasa ingat kepada Allah dan berdoa semoga saya dapat bertemu anak-anak kembali dan saya menasihatkan kepada rakyat Malaysia khususnya ibu tunggal supaya tidak terpedaya dengan janji manis golongan tertentu yang ingin mengambil kesempatan di atas kesempitan hidup yang dialami,” katanya yang mempunyai lima anak menerusi beberapa perkahwinan. 

Abdul Azeez berkata, setakat ini pihaknya cuba sedaya upaya membantu golongan teraniaya terutama ibu tunggal yang ditipu sindiket antarabangsa. 

“Ini salah satu program kerjasama Wanita UMNO dan KP1M bagi membantu golongan teraniaya terutama ibu tunggal bagi menjejaki mangsa keldai dadah, kad kredit dan sebagainya,” katanya ketika ditemui. 

Sementara itu, Siti Ansyakinah berkata, beliau gembira dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu membawa pulang ibunya ke Malaysia terutama KP1M dan Wanita UMNO yang membawanya ke Vietnam kelmarin. 

“Bagaikan mimpi kerana sudah terlalu lama tidak bertemu ibu,” katanya yang berkerja sebagai kakitangan awam dan berhempas pulas mengumpul wang bagi membayar denda yang dikenakan ke atas ibunya sebanyak 373,965,810 Dong (RM60,208.50) sebelum dibenarkan pulang ke tanah air.

Nesat membadai China pula







Foto
PATUNG hiasan tergolek di pusat beli-belah Tsim Sha Tsui
selepas Hong Kong dilanda Nesat.
Foto
SEORANG lelaki memegang tiang lampu ketika berhenti
sebentar selepas berenang dalam banjir akibat taufan
 Nesat di Apalit Pampanga, utara Manila, kelmarin.
HONG KONG: Taufan Nesat tiba di selatan China semalam selepas lalu dekat Hong Kong selain menjadi punca kematian serta banjir di Filipina awal minggu ini.

Nesat melanda kawasan paling timur Pulau Hainan pada jam 2.30 pagi waktu tempatan, kata pegawai agensi berita Xinhua.

Pihak berkuasa Hainan menutup sekolah, menghentikan khidmat feri dan memanggil pulang bot nelayan ketika Nesat menyeberangi Laut China Selatan dari Filipina selepas menyebabkan 35 maut dan 45 lagi masih hilang.
Sebanyak 67 penerbangan dibatalkan di dua lapangan terbang pulau itu.
Ribut melanda Hong Kong awal pagi, memaksa urusan pasaran saham dihentikan manakala kedai serta tempat perniagaan ditutup meskipun hanya mengakibatkan sedikit kerosakan. Kawasan sekitar tengah kota pusat kewangan Asia itu yang biasanya sibuk menjadi sunyi dan kosong kerana tidak ramai berani meredah hujan lebat dan angin kuat.

Dua cedera apabila perancah buluh tercabut dan menimpa teksi manakala seorang lelaki cedera ditimpa pokok, kata televisyen tempatan RTHK.

Cable TV pula menunjukkan sekumpulan pelancong dari tanah besar China terperangkap selepas perkhidmatan feri ditunda.
“Di lapangan terbang Hong Kong, 245 ditangguh, 20 dibatalkan dan 22 lagi dialih ke lapangan terbang lain. Ribut tiba di kawasan 350 kilometer di Hong Kong pagi semalam sebelum bergerak,” kata agensi pemantau Hong Kong.

Pusat Meteorologi Nasional melaporkan, bot nelayan di pelabuhan dan sekolah sepanjang pantai ditutup berikutan kemaraan taufan kali ke-17 dan dianggap paling kuat melanda Hainan tahun ini. – AP

AS sedia perang di Pakistan





2011/09/30

Yusuf Raza Gilani (kiri) dan Laksamana Mike Mullen
Yusuf Raza Gilani (kiri) dan Laksamana Mike Mullen
Islamabad tolak tekanan Washington henti sokong kumpulan Haqqani

WASHINGTON: Semakin ramai anggota Kongres Amerika Syarikat menyokong langkah memperluas tindakan ketenteraan di Pakistan daripada sekadar serangan pesawat kawalan jauh yang digunakan untuk menyasarkan militan di sempadan negara itu.
Senator Lindsey Graham, tokoh berpengaruh Republikan mengenai dasar luar dan hal-ehwal ketenteraan, membuat komen itu selepas pegawai kanan tentera Amerika, Laksamana Mike Mullen yang menuduh Pakistan menyokong pergerakan militan Haqqani untuk menyerang Kedutaan Amerika di Kabul, 13 September lalu.
Penyelesaian kepada isu berasaskan tanggapan semata-mata perlu menerusi rundingan. Langkah menyalahkan Pakistan perlu dihentikan dan kepentingan negara Pakistan perlu dihormati. Yusuf Raza Gilani, Perdana Menteri Pakistan
Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton, kelmarin pula berkata Washington semakin hampir memutuskan sama ada untuk melabelkan Haqqani sebagai kumpulan pengganas.

Amerika sudah lama mendesak Pakistan memburu kumpulan Haqqani yang bersekutu dengan Taliban dan paling aktif memerangi tentera asing di Afghanistan.

Kumpulan Haqqani yang berpangkalan di Pakistan menjadi tumpuan sejak pegawai Amerika menuduhnya melancarkan serangan selama 13 jam ke atas Kedutaan Amerika di Kabul kononnya dengan sokongan agensi perisikan tentera Pakistan yang berpengaruh iaitu ISI.

Sementara itu, di Islamabad, pemimpin politik Pakistan meminta Amerika berhenti menyalahkan Islamabad atas ketidakstabilan serantau ketika semua pemimpin parti mengadakan rundingan bagi membincangkan reaksi terbaru dari Washington. 
Perdana Menteri Pakistan, Yusuf Raza Gilani ketika mengulas kepada pemberita, berkata: “Penyelesaikan kepada isu berdasarkan tanggapan semata-mata mestilah menerusi rundingan. Pakistan tidak boleh ditekan supaya melakukan lebih banyak lagi.”

Gilani juga memberitahu pemimpin ISI, Leftenan Jeneral Ahmad Shuja Pasha dan pemerintah tentera, Jeneral Ashfaq Kayani:

“Kepentingan negara kita perlu dihormati setiap masa. Bagi kita, pintu rundingan masih terbuka. Kami perlukan kerjasama masyarakat antarabangsa.”

Islamabad, yang menerima bantuan berbilion dolar dari Amerika di sebalik keengganan memerangi rangkaian Haqqani, berdepan tekanan hebat untuk memerangi militan Islam sejak ia menyertai kempen memerangi keganasan tajaan Amerika sedekad lalu. – Reuters

Pesawat terhempas





2011/09/30

18 penumpang dikhuatiri maut di Sumatera

MEDAN: Sebuah pesawat kecil Nusantara Buana Air (NBA) membawa 18 penumpang dikhuatiri terhempas di Baharok, Langkat, satu kawasan pergunungan di Sumatera Barat, Indonesia.
Keadaan lokasi nahas yang berbukit bukau dan hujan lebat menyukarkan anggota mencari dan menyelamat mengesan mangsa dalam perjalanan dari Medan ke Kutacane, Aceh Tenggara.
Saya nampak sesuatu yang pelik. sebuah pesawat berasap terbang rendah sebelum hilang daripada pandangan. Agus, Saksi.
Pesawat Cassa C-212 buatan Sepanyol membawa 15 penumpang dan tiga kru berlepas dari bandar di sini di Sumatera Utara ke wilayah berhampiran, Aceh, apabila ia terputus hubungan dengan menara kawalan selepas 30 minit di udara, kata Bambang Ervan.

“Pesawat berlepas jam 7.18 pagi dan sepatutnya mendarat jam 8 pagi,” kata jurucakap.

“Kemungkinan besar ia terhempas ketika menghantar satu isyarat kecemasan,” katanya menambah tidak diketahui jika warga asing antara penumpang.

“Pesawat menghantar isyarat kecemasan dan gagal dikesan radar selepas itu,” kata Bonar Hutagoal, marsyal udara kepada TVOne. 
“Saya nampak sesuatu (yang pelik). Sebuah pesawat berasap terbang rendah sebelum hilang daripada pandangan,” kata saksi, Agus. 

Ketua pencari dan penyelamat tempatan Suhri Sinaga berkata pesawat menghantar satu isyarat kecemasan di kawasan Bahorok di wilayah Sumatera Utara.

Sebuah helikopter disewa khas syarikat gergasi perlombongan Amerika Syarikat Newmont Mining terhempas Ahad lalu di tengah Indonesia, mengorbankan dua penumpangnya.

Awal bulan ini, seorang warga Australia dan juruterbang warga Slovakia maut apabila pesawat Cessna Grand Caravan yang membawa bahan api dan makanan ke kawasan terpencil di wilayah Papua, terhempas.

Sebuah lagi pesawat kecil, yang turut mengangkut bekalan ke perkampungan terpencil untuk persatuan kemanusiaan Kristian di Papua, terhempas minggu lalu, mengorbankan seorang juruterbang warga Amerika dan dua penumpangnya. – Agensi