Friday 30 September 2011

3,000 murid tidak mampu belajar




MOHD. FAZLI (tengah) merupakan antara murid sekolah rendah di Baling yang dihalang daripada menduduki peperiksaan UPSR baru-baru ini.



KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa terdapat lebih 3,000 murid sekolah rendah di seluruh negara tidak berupaya mendalami pelajaran yang diajar meskipun status kesihatan mereka disahkan normal oleh doktor.
Hal tersebut menyebabkan guru dan pihak pentadbiran sekolah berada dalam keadaan tertekan kerana kegagalan pelajar terbabit dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menjejaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sekolah secara keseluruhan.
Justeru, Presiden NUTP, Hashim Adnan ketika dihubungi Kosmo! semalam meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada pihak sekolah untuk mengecualikan pelajar terlibat daripada menduduki UPSR dengan mewujudkan sistem penilaian tersendiri buat pelajar berkenaan.
"Golongan pelajar ini walau bagaimana cara kita ajar, mereka tidak dapat menerima dan memahami hingga ada ke tahap tidak mampu menulis, membaca atau mengira sedangkan mereka akan menduduki UPSR.
"Mereka tiada kecacatan dan disahkan sihat dari segi fizikal tetapi mempunyai masalah pemikiran menyebabkan mereka tidak berupaya menyerap ilmu dipelajari. Satu sistem penilaian lain perlu diwujudkan untuk golongan ini," katanya.

Sembilan maut bom kereta meletup di majlis pengkebumian



01/10/2011 2:40am

HILLA 1 Okt. - Sebuah bom kereta meletup berhampiran sebuah masjid di tengah Iraq, semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh manakala 30 lagi cedera, kata pegawai keselamatan.
Letupan tersebut berlaku kira-kira 5.30 petang di luar Masjid Nabi Ayub di pekan Al-Khafaji., selatan Hilla, ibu kota wilayah Babil ketika ramai penduduk menghadiri satu majlis pengkebumian.
Leftenan Polis, Karim al-Shammari dan seorang anggota tentera Iraq berkata, sembilan orang terbunuh dan 30 orang cedera dalam serangan tersebut. - AFP

Suparwono jadi 'duta'



SUPARWONO yang sering menjadi perhatian kerana ketinggiannya, kini aktif sebagai Duta Pelancongan Lampung. - AGENSI


BANDAR LAMPUNG - Manusia tertinggi Indonesia, Suparwono yang memiliki ketinggian 2.42 meter dan berasal dari wilayah Lampung berharap industri pelancongan di tempatnya semakin maju dan 'dirinya' akan menjadi daya penarik pelancong untuk melawat wilayah tersebut.
Suparwono, 26, dilantik sebagai 'Duta Pelancongan Lampung' pada 2009.
"Saya berharap industri pelancongan di Lampung akan semakin maju.
"Selepas dilantik sebagai duta pelancongan, saya bersedia menghulurkan bantuan untuk terus memajukan industri pelancongan di wilayah Lampung," katanya kepadaANTARA News.
Manusia istimewa itu mendedahkan dia kini masih menganggur dan menetap di Kampung Tritunggal Jaya, wilayah Lampung.
Selepas dilantik sebagai duta pelancongan, Suparwono yang mengalami kesukaran untuk berjalan mendapat bantuan kereta roda khas bagi memudahkan pergerakannya.
Kereta roda tersebut direka khas bersesuaian dengan postur tubuhnya.
Disebabkan memiliki ketinggian yang luar biasa, setiap kali keluar ke tempat umum, Suparwono akan menjadi tumpuan ramai malah ada yang berminat untuk bergambar dengannya.
Selain itu, lelaki istimewa tersebut sering diundang ke majlis keramaian bagi memeriahkan suasana.
Sementara itu, Suparwono mendedahkan dirinya merupakan manusia kedua tertinggi di dunia selepas seorang lelaki warga Turki. - AGENSI

188 maut banjir di Thailand



BANGKOK 30 Sept. - Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Thailand memaklumkan hari ini angka kematian akibat banjir di negara itu meningkat kepada 188 orang dan tiga lagi masih hilang, lapor Thailand News Agency (TNA).
Menurut Ketua Pengarahnya, Wibul Sanguanpong, banjir berlaku di 23 wilayah bahagian utara, timur laut, kawasan timur dan tengah Thailand yang menjejaskan kira-kira 1.89 juta orang.
Beliau turut memberi amaran kepada penduduk yang tinggal di kawasan berisiko di utara, timur laut dan selatan Thai, terutamanya berhampiran lereng bukit dan sungai untuk bersedia menghadapi hujan lebat, banjir kilat serta tanah runtuh mulai hari ini hingga 3 Oktober.
Sementara itu, seorang askar Thai yang bertugas dalam Batalion Isyarat ke-4 di khemah Naresuan Maharaj, terbunuh setelah terjatuh dari sebuah trak tentera dalam satu operasi bantuan banjir di Muang yang terletak di wilayah Pitsanulok, bahagian bawah utara Thai, hari ini.
Pasukan Tentera Diraja Thailand menempatkan lebih 10,000 askar dengan kira-kira 500 buah kenderaan dan 100 bot bagi membantu mangsa yang dilanda banjir di 23 wilayah itu.
Ketua Tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha memaklumkan kepada pemberita mengenai langkah-langkahnya pada pagi ini sebelum melawat kawasan banjir di tengah wilayah Lopburi. - BERNAMA

Pemuda edar dadah dihukum gantung



KUALA TERENGGANU 30 Sept. - Seorang lepasan jurusan perniagaan sebuah universiti tempatan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam setelah didapati bersalah mengedar kanabis seberat 1.4 kilogram hujung tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohammad Abdul Rahman, 29, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tersebut melampaui keraguan munasabah.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah beralamat Lot 420, Kampung Tok Jamal, Wakaf Mempelam di sini kira-kira pukul 10 pagi, 3 Oktober tahun lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Jazamudin Ahmad Nawawi di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Tertuduh diwakili oleh peguam, Mohd. Ramlan Taib.

Warga asing tembak seorang buruh diburu



KOTA BHARU 30 Sept. - Polis memburu seorang lelaki warga asing yang dipercayai menembak seorang lelaki di sebuah kilang papan, di Telekong, Kuala Krai dekat sini lewat petang semalam.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang, suspek dikenali sebagai Adnan yang dipercayai pengedar pil kuda pergi ke tempat kerja mangsa untuk mengutip hutang.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, berlaku pertengkaran sebelum mangsa menumbuk suspek.
"Selepas pergaduhan itu suspek pulang ke rumahnya tetapi kerana tidak puas hati, dia datang semula ke kilang itu sejam kemudian dengan membawa pistol.
"Suspek kemudian melepaskan satu das tembakan tetapi mangsa bernasib baik kerana hanya terkena paha kanannya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Konvoi Jom Cegah Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Jalaluddin berkata, polis juga menjumpai kelongsong peluru yang digunakan untuk menembak mangsa di tempat kejadian.
"Dia kini menerima rawatan di Hospital Kuala Krai dan dilaporkan stabil. Polis kini sudah mengenal pasti keluarga suspek dan meminta supaya suspek menyerahkan diri.
"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut dan mengetahui tentang suspek boleh menghubungi balai polis berdekatan.

Polis 'palsu' menyamun ditahan






SUPRITENDAN Wooi Kooi Cheang (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan gari serta pelbagai barangan samun pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Polis Tampin, Negeri Sembilan semalam.


TAMPIN 30 Sept. - Tiga lelaki termasuk dua beradik ditahan selepas didapati menyamar sebagai polis untuk menyamun mangsa dalam serbuan di sebuah rumah di Putrajaya, Isnin lalu.
Kesemua suspek berusia 31 hingga 45 tahun dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun di beberapa buah negeri sejak beberapa bulan lalu.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Wooi Kooi Cheang berkata, serbuan dilakukan oleh anggota dari Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Tampin dan IPD Putrajaya, ekoran dua laporan polis dibuat mangsa.
Katanya, dalam kejadian itu, mangsa mendakwa disamun seorang anggota 'polis' di sebuah bilik hotel di sini, minggu lalu.
Jelas beliau, lelaki tersebut yang memakai topi dengan logo polis, memperkenalkan diri sebagai anggota polis sambil menunjukkan gari.
"Berikutan laporan itu, kita menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes dan mengenal pasti suspek terlibat berdasarkan lakaran fotofit.
"Hasil dari penyiasatan yang dilakukan, akhirnya kita mengesan suspek dan seterusnya melakukan tangkapan," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Ujarnya, hasil tangkapan itu pihaknya menemui sebanyak 65 buah telefon bimbit, lima komputer riba, kamera, sejumlah wang tunai, gari, walkie talkie dan barangan berharga lain dipercayai hasil samun.
"Hasil soal siasat kita kita juga mendapati ketiga-tiga suspek terlibat dalam tujuh lagi kes samun dengan menyamar sebagai anggota polis di Port Dickson, dekat sini, Grik di Perak dan di Alor Setar, Kedah pada Ogos dan September.
"Semua suspek yang tidak bekerja ini mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," jelasnya.
Menurutnya, semua suspek direman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak.

PLO hanya berunding bila Zionis patuhi syarat



RAMALLAH 30 Sept. - Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) hanya akan menyambung rundingan damai dengan Israel jika rejim Zionis itu menghentikan penempatan haram dan menerima garis sempadan 1967.
Jawatankuasa Eksekutif PLO yang dipengerusikan oleh Presiden Mahmoud Abbas, mengadakan mesyuarat di Ramallah untuk memberi maklum balas terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh empat pihak antarabangsa mengenai perdamaian di Timur Tengah.
Kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini di New York, hasil mesyuarat di antara Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia, menggesa Palestin dan Israel untuk menyambung semula perbincangan dalam tempoh sebulan dan mencapai persetujuan mengenai garis sempadan serta keselamatan dalam tempoh tiga bulan.
Menurut kenyataan itu lagi, 'terdapat beberapa perkara menggalakkan' yang merujuk kepada jangka masa untuk (Palestin dan Israel) mencapai persetujuan berdasarkan resolusi antarabangsa dan pelan damai empat pihak tersebut.
PLO mendakwa Israel terlebih dahulu perlu bersetuju untuk menghentikan aktiviti penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur serta menerima garis sempadan 1967 supaya rundingan dapat dijalankan dengan lebih bermakna.
Setiausaha PLO, Yasser Abed Rabbo berkata, selepas membaca kenyataan tersebut, ia tidak memadai bagi Israel menerima kenyataan kuartet tersebut tanpa menyatakan secara jelas ia perlu menghentikan penempatan haram.
Kenyataan itu turut mengutuk keras perancangan Israel membina 1,100 unit rumah di kawasan penempatan Yahudi yang di Baitulmaqdis Timur.
Katanya, tindakan Israel itu menunjukkan pihak rejim cuba mensabotaj usaha pihak antarabangsa untuk melancarkan proses rundingan damai secara serius.
"Palestin tidak bersetuju untuk mengadakan rundingan tatkala Israel terus membina penempatan haram," katanya. - dpa

Berbasikal jual DVD haram






ZAINAL Abidin Othman (kanan) bersama pegawainya mempamerkan DVD dan basikal yang dirampas daripada seorang lelaki yang menjual DVD tanpa tapisan di Bahau, dekat Seremban, kelmarin.


SEREMBAN 30 Sept. - Helah seorang lelaki warga China menjual cakera padat digital (DVD) dengan menggunakan basikal terbongkar apabila ditahan di sebuah medan selera di Bahau dekat sini, semalam.
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dari Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (BKF) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sembilan, hasil maklumat awam.
Ketika ditahan suspek membawa bungkusan plastik hitam mengandungi sebanyak 167 DVD pelbagai filem serta drama dari Korea dan China
Ketua Cawangan BKF KDN negeri, Zainal Abidin Othman memberitahu, kesemua DVD yang dijual dengan harga RM8 sekeping itu tidak mempunyai sijil Perakuan B daripada Lembaga Penapisan Filem.
"Pihak kami telah menjalankan risikan selama sebulan hasil maklumat awam mengenai aktiviti penjualan DVD secara haram di restoran dan medan selera di pekan terbabit.
"Kita kemudian berjaya mengesan seorang lelaki warga China menaiki basikal sambil membawa bungkusan plastik dan berlegar-legar di sebuah medan selera," katanya di sini, semalam.
Katanya, berdasarkan maklumat, suspek bergiat aktif pada sebelah pagi dan malam dengan bergerak dari meja ke meja para pelanggan.
"Suspek ditahan mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002 iaitu kesalahan menjual filem tanpa mempamerkan Sijil Perakuan B.
"Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda sehingga RM30,000 atau penjara maksimum tiga tahun," katanya.

Warga emas dakwa patah tangan ketika jalani terapi di hospital




S. ANGAYEE (kanan) mendakwa tangan kanannya patah semasa menjalani terapi di sebuah hospital di Negeri Sembilan, Selasa lalu.


JEMPOL 30 Sept. - Kegembiraan seorang warga emas untuk menerima kaki palsu dari sebuah hospital di negeri ini berakhir apabila wanita tersebut patah tangannya dipercayai terjatuh semasa menjalani terapi di hospital berkenaan, Selasa lalu.
S. Angayee, 81, yang berasal dari Kampung Taman Jaya, Bahau dekat sini dikatakan pergi ke hospital itu untuk menjalankan terapi sebelum menerima kaki palsu.
Anaknya, K. Shamugam, 45, mendakwa, ibunya diminta menjalani terapi secara bersendirian walaupun ia merupakan kali pertama dia menjalankan rawatan tersebut.
"Ketika sesi terapi dijalankan, ada beberapa petugas yang duduk memerhatikan pesakit, namun mereka tidak membantu ibu saya walaupun dia tidak mempunyai kaki sebelah kiri akibat dipotong setelah menghidap masalah kencing manis setahun yang lalu.
"Ibu tiba-tiba tergelincir dan jatuh sehingga menyebabkan tangan kanannya patah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau mendakwa, pada mulanya pihak hospital telah meminta maaf atas insiden tersebut tetapi kini menafikannya dengan alasan ibu sudah tua dan kemungkinan pernah jatuh dan patah tangan sebelum ini.
"Saya menafikan dakwaan itu kerana saya tahu keadaan kesihatan ibu saya. Ibu tidak pernah mempunyai masalah dengan tangannya. Pihak hospital sudah cuai dan kini mahu menukar fakta pula," ujarnya.
Shamugam berharap pihak pentadbiran hospital itu menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden tersebut.
"Warga emas seperti ibu saya seharusnya dijaga dengan baik dan bukan dibiarkan sendirian. Mereka sewajarnya membantu dan bukan duduk memerhatikan sahaja.
"Hari ini ibu saya menjadi mangsa, kita tidak tahu siapa mangsa seterusnya. Saya sudah membuat aduan di Balai Polis Bahau dan tidak teragak-agak mengambil tindakan mahkamah bagi membela nasib ibu saya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zailan Adnan ketika dihubungi berkata, siasatan secara terperinci mengenai dakwaan itu akan dibuat untuk mengesahkan kes tersebut.
"Siasatan itu akan dilakukan oleh jawatankuasa khas yang mana ahli-ahlinya adalah mereka yang tidak terlibat merawat wanita tersebut," katanya.
Beliau menegaskan, sekiranya hasil siasatan itu mendapati terdapat kakitangan yang cuai sehingga menyebabkan kejadian itu berlaku, tindakan yang sewajarnya akan dikenakan terhadap mereka.

Model akui disimpan Berlusconi



Katarina Knezevic


ROME 30 Sept. - Seorang model dari Montenegro mengaku dia adalah perempuan simpanan Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi.
Model terbabit, Katarina Knezevic, 20, yang pernah menyertai pertandingan Ratu Cantik Montenegro turut mengaku tinggal bersama Berlusconi yang kini berdepan dengan tuduhan melanggan seorang pelacur bawah umur dan menyalahguna kuasa.
Bagaimanapun, model terbabit, Katarina Knezevic, 20, menegaskan dia tidak menghadiri parti Bunga Bunga yang dianjurkan Berlusconi di rumah pemimpin itu tahun lalu.
''Saya adalah teman wanita Berlusconi dan saya menetap di Arcore.
''Kami telah 'hidup' bersama sejak beliau dikatakan menjalin hubungan dengan seorang gadis berumur 18 tahun, Noemi Letizia dan berpisah dengan isterinya, Veronica Lario,'' dakwanya kepada akhbar Repubblica, semalam.
Lario, 53, memfailkan tuntutan cerai tahun lalu, selepas pendedahan media bahawa taikun media itu mempunyai hubungan dengan perempuan lain dan menghadiri parti hari jadi ke-18 seorang gadis yang bercita-cita menjadi model dan menggelarnya 'ayah'.
Knezevic berkata, dia mula mengenali Berlusconi sejak 2009 ketika berusia 18 tahun.
''Hubungan kami bukanlah satu misteri tetapi sehingga kini kami cuba mengelak untuk mengambil gambar bersama,'' ujarnya.
Dalam pada itu, ketika menjawab kenyataan beberapa wanita yang pernah menghadiri parti anjuran Berlusconi bahawa dia 'perempuan gila' dan sengaja memberi tekanan terhadap pemimpin berkenaan, Knezevic berkata, mereka cemburu dengan dirinya.
''Itu tidak benar. Saya tidak pernah berniat untuk memeras ugut Berlusconi. Mereka (wanita berkenaan) cemburu kerana tidak mampu berada di tempat saya,'' tambahnya. - AFP

Mengharap keajaiban berlaku



MEDAN 30 Sept. - Pasukan pencari dan penyelamat berharap akan ada mangsa yang terselamat dalam nahas pesawat Nusantara Buana Air (NBA) yang terhempas semalam di belantara Sumatera, setelah mengesan satu daripada pintu pesawat terbuka.
Bagaimanapun, sehingga kini pasukan penyelamat masih belum dapat menghampiri lokasi kejadian ekoran kabus tebal dan hujan lebat.
Pengurus Keselamatan syarikat NBA, Robur Rizallianto berkata, pesawat itu berjaya dikesan menerusi tinjauan udara yang dijalankan semalam dan hari ini.
''Pesawat itu berada dalam keadaan baik. Satu daripada pintu pesawat tersebut telah terbuka,'' katanya.
Dalam kejadian semalam, pesawat CASA C-212 buatan Sepanyol itu sudah separuh perjalanan menuju ke Aceh dari Medan, Sumatera apabila hubungan terputus dengan pusat kawalan lalu lintas udara.
Beberapa minit kemudian, pesawat berkuasa turboprop itu menghantar isyarat kecemasan sebelum hilang daripada radar tentera udara.
Robur berkata, kali terakhir pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap pesawat itu adalah pada 22 September lalu.
''Ketika pemeriksaan dijalankan dan sewaktu berlepas dari Medan, ia berada dalam keadaan baik,'' tegasnya.
Sementara itu, Ketua Misi Penyelamat, Sunarbowo Sandi berkata, pihak berkuasa merancang untuk menghantar tentera udara ke lokasi kejadian menggunakan payung terjun.
Dalam pada itu, ibu kepada seorang penumpang pesawat berkenaan, Rosmawati memberitahu anaknya, Samsidar Yusni, 27, ada menghubunginya pada pukul 10 malam tadi.
''Dia menghubungi saya dan tak henti menangis. Tapi suaranya tidak jelas. Selepas itu, talian terputus dan terus tidak dapat dihubungi,'' katanya. - AP/REUTERS

Anak Datuk Bandar PJ bebas tuduhan samun





PETALING JAYA 30 Sept. – Anak kepada Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman antara tiga lelaki yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada tuduhan menyamun dengan bersenjatakan sebilah pisau terhadap seorang penjaga kafe siber, tahun lalu.
Hakim Rozina Ayob memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Mohd. Khairul Amir Mohamad Roslan (gambar) , 23, dan dua rakannya di akhir kes pendakwaan.
Tertuduh-tertuduh lain terdiri daripada anak kepada seorang ahli perniagaan hartanah yang bergelar Datuk, Mohd. Radzak Razali, 22, dan anak kepada seorang bekas anggota polis, Zul Helmi Mohammad, 23.
‘‘Setelah meneliti hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh-tertuduh tanpa dipanggil membela diri,’’ katanya.
Rozina berkata, pihak pendakwaan gagal mengemukakan saksi-saksi penting seperti mangsa dan pengadu untuk memberi keterangan sebaliknya hanya bergantung kepada keterangan pegawai polis.
‘‘Selain itu pengecaman terhadap tertuduh pertama (Mohd. Radzak) dan kedua (Zul Helmi) ketika kawat cam juga diragui.
‘‘Ini kerana berdasarkan keterangan saksi pendakwaan kelima iaitu pegawai penyiasat, Inspektor Zaini Mohamad Piah, tangkapan kedua-dua tertuduh itu adalah berdasarkan pengecaman orang awam ke atas kereta dan bukan berdasarkan individu yang ada di dalam kereta itu,’’ katanya.

SPRM terima 600 aduan rasuah





ALOR SETAR 30 Sept. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Kedah menerima 600 laporan daripada pelbagai pihak mengenai dakwaan rasuah sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.
Pengarahnya, Mohamad Yusoff Akope memberitahu, daripada jumlah itu, hanya 339 atau 56 peratus daripada aduan tersebut didapati terdapat unsur rasuah manakala selebihnya melibatkan kesalahan dalaman pihak tertentu.
"Kes berkaitan jabatan tertentu yang melibatkan kesalahan dalaman, memerlukan tindakan wajar daripada ketua jabatan.
"Pihak kami berharap ketua jabatan dapat memberi perhatian terhadap kesalahan dan tohmahan yang diserahkan bagi meningkatkan keyakinan masyarakat dan kecekapan jabatan itu sendiri," katanya kepada pemberita pada majlis gerak mesra Hari Raya Aidilfitri SPRM negeri di sini baru-baru ini.
Menurutnya, pihaknya telah menahan 12 individu yang melibatkan rasuah berjumlah RM92,506 dan telah membuka 26 kertas siasatan melibatkan kes yang mempunyai unsur rasuah.
"Dua tangkapan melibatkan golongan profesional dan pengurusan manakala masing-masing lima tangkapan membabitkan kakitangan kerajaan bahagian sokongan serta orang awam dan pekerja swasta.
"Salah satu tangkapan adalah kesalahan di bawah Seksyen 17B Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 melibatkan aduan daripada penjawat awam cubaan rasuah daripada orang awam," katanya.
Mohamad Yusoff berkata, kes yang didakwa di mahkamah pula melibatkan 10 individu membabitkan 14 pertuduhan.
"Ia melibatkan lapan pertuduhan di bawah Seksyen 17B, empat pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan masing-masing satu kes di bawah Seksyen 16A dan 17A kerana menerima dan memberi rasuah," katanya.
Jelasnya, bagi keputusan pula terdapat 19 keputusan di mahkamah dengan 12 kes memihak kepada SPRM masing-masing enam menang kes dan tertuduh mengaku salah.
''Enam keputusan lagi dilepas dan dibebaskan tanpa bela diri manakala satu keputusan dilepas dan dibebaskan selepas bela diri," katanya.

Anak pensyarah dalang curi komputer




SUPRITENDAN Mohd. Hatta Mohd. Zain (tiga dari kiri) menunjukkan set komputer yang dirampas di sebuah rumah di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, semalam.


BALIK PULAU 30 Sept. - Anak kepada seorang pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) merupakan antara tiga suspek yang ditahan polis kerana terbabit dalam kes kecurian 14 buah komputer bernilai RM35,0000 di sebuah pusat latihan komputer di Bayan Baru di sini semalam.
Ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 27 hingga 32 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah diketuai oleh Asisten Komisioner Mohd. Jalaluddin Sinin di rumah masing-masing kira-kira pukul 9 malam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Mohd. Hatta Mohd. Zain berkata, anak pensyarah tersebut yang bekerja di sebuah kedai buku melakukan kegiatan itu secara berseorangan sebelum menjual kepada suspek kedua dan ketiga.
"Kehilangan komputer itu disedari pengadu yang memulakan tugasnya pada 12 September lalu pukul 10.30 pagi apabila mendapati pintu hadapan terbuka dan 14 buah komputer hilang.
"Polis kemudian melakukan siasatan dan berjaya mengesan seorang suspek di Jelutong yang membawa kepada penangkapan dua lagi suspek di Seberang Perai Utara serta menemui kembali kesemua komputer berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hatta, suspek menggunakan kereta milik rakannya untuk mengangkut barangan yang dicuri.
Kesemua suspek ditahan reman sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

NASA kesan asteroid hampir dengan Bumi



WASHINGTON 30 Sept. - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) semalam mendedahkan penemuan asteroid terbesar yang terbang hampir dengan Bumi sekali gus menimbulkan ancaman kepada hidupan di Bumi.
Ancaman tersebut bagaimanapun dijangka dapat dikawal oleh agensi angkasa lepas.
"Risiko Bumi dihentam asteroid yang besar sebelum sempat dikesan oleh para saintis telah dikurangkan dan mungkin boleh dikawal," kata Tim Spahr, Pengarah Pusat Planet Minor di Pusat Astrofizik Harvard-Smithsonian di Cambridge, Massachusetts.
Menerusi teleskop 'Wide-field Infrared Survey Explorer' (WISE), NASA menemui 93 peratus asteroid bersaiz kira-kira satu kilometer malah ada yang lebih besar dari itu.
Para saintis sebelum ini menganggarkan jumlah asteroid di ruang angkasa lepas sebanyak 1,000 namun setelah dikaji dan diteliti, jumlahnya berkurangan menjadi 981 dan sebanyak 911 telah dikesan.
Data maklumat yang diperoleh daripada WISE menunjukkan kira-kira 19,500 asteroid bersaiz 100 meter ditemui dan bukannya 35,000 seperti data terdahulu.
Daripada jumlah tersebut, hanya 5,200 dikesan berada hampir dengan Bumi dan dianggarkan sebanyak 15,000 masih belum ditemui.
Asteroid yang dikesan berada hampir dengan Bumi didefinisikan sebagai 'batu angkasa' yang mengorbit sejauh 195 juta kilometer dari matahari ke sekitar orbit Bumi.
Sementara itu, seorang penyelidik angkasa lepas, Amy Maizer berkata, teleskop WISE memberikan maklumat yang lebih terperinci kepada kumpulan angkasawan.
"Penggunaan teleskop WISE umpama melakukan bancian penduduk bagi membuat satu kesimpulan mengenai keseluruhan kawasan tertentu," katanya. - AFP

Tentera Syria dan pembelot bertempur, 11 maut



01/10/2011 2:40am

NICOSIA 1 Okt. - Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam pertempuran membabitkan pasukan keselamatan dengan sekumpulan pembelot tentera di tengah wilayah Hama, semalam.
"Lima orang awam dan enam anggota tentera serta ejen keselamatan terbunuh hari ini (semalam) di kampung Kafar Zita apabila pihak tentera dan keselamatan bertempur dengan pembelot," kata kumpulan aktivis hak asas manusia Syria.
Kumpulan aktivis yang berpangkalan di Britain itu berkata, 250 kereta kebal dan kenderaan berperisai memasuki tengah bandar Rastan yang untuk mengambil tindakan terhadap tunjuk perasaan anti rejim. - AFP

AS lancar serangan peluru berpandu Drone, tiga militan Taliban maut



01/10/2011 2:40am

PESHAWAR 1 Okt. - Tiga pejuang Taliban terbunuh dalam serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh pesawat tanpa juruterbang (drone) Amerika Syarikat di sebuah kawasan tandus Pakistan yang bersempadan dengan Afghanistan, semalam.
Serangan maut itu merupakan yang pertama dalam minggu ini tatkala Washington dilihat mengurangkan tekanan ke atas Islamabad untuk bertindak terhadap rangkaian dikaitkan dengan al-Qaeda, Haqqani yang berpangkalan di wilayah Waziristan Utara.
Ketiga-tiga militan terbunuh di kampung Baghar yang berjiran dengan Waziristan Selatan, di mana tentera Pakistan melancarkan operasi besar-besaran menentang kumpulan militan terbabit pada 2009. - AFP

Seludup dadah RM2.5j dalam teh gagal




SEBAHAGIAN dadah jenis ekstasi disorok dalam bungkusan teh hijau yang dirampas oleh kastam di KLIA, kelmarin.


SEREMBAN 30 Sept. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan dua percubaan menyeludup dadah ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, dekat sini semalam.
Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Liah Omar berkata, dalam percubaan pertama JKDM berjaya membongkar taktik menyeludup dadah jenis ekstasi dianggarkan bernilai RM2.5 juta melalui sebuah syarikat penghantaran cepat antarabangsa di KLIA.
Jelas beliau, dadah tersebut ditemui dalam sebuah kotak yang diisytiharkan sebagai teh hijau yang dikirim oleh seorang individu di Hong Kong untuk dihantar ke sebuah syarikat di negara ini.
"Berdasarkan kepada hasil pemeriksaan terhadap kotak itu, kita menemui tujuh bungkusan yang di dalamnya terdapat 11 peket berwarna perak mengandungi 50,000 pil dipercayai ekstasi," katanya di sini hari ini.
Liah turut memberitahu, pihaknya sedang mengesan syarikat terbabit untuk mengetahui pembabitan mereka dalam sindiket terbabit.
Sementara itu dalam kes kedua pula, JKDM berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan di LCCT kerana cuba menyeludup masuk dadah jenis ketamin dalam bungkusan makanan bijirin yang disimpan dalam bagasi masing-masing.
Liah berkata, kesemua suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu baru tiba dari Jakarta, Indonesia itu ditahan selepas hasil imbasan mendapati ada objek mencurigakan dalam tiga bagasi yang dibawa mereka.
"Hasil pemeriksaan pihak kami mendapati kesemua bungkusan bijirin itu mengandungi 30 bungkusan lut sinar yang dipercayai dadah jenis ketamin seberat 30 kilogram.
"Kita percaya dadah yang dianggarkan bernilai RM330,000 itu dibawa masuk untuk pasaran di negara ini," jelasnya.
Menurutnya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

‘Macam perang’

SEGAMAT: “Selepas letupan, api terus menjulang menjadikan sekitar terminal seperti medan perang,” kata seorang peniaga Terminal Bas Segamat di sini ketika menceritakan kebakaran di situ yang memusnahkan lima gerai makan serta empat kaunter tiket di tingkat satu, semalam.
Peniaga gerai makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Gayah, 57, itu berkata kejadian jam 10.40 pagi dengan satu letupan kuat menggegarkan terminal bas berkenaan.

“Ketika memasak di gerai, saya dengar peniaga gerai makanan berhampiran menghidupkan gas memasak sebelum satu letupan kuat berlaku.

“Api terus menjulang lantas menyambar siling bangunan menyebabkan semua peniaga dan pelanggan bertempiaran melarikan diri,” katanya.

Menurut Gayah, ketika berlari turun, dia turut mendengar beberapa lagi letupan kuat dan mendapati ruang makan dan kaunter tiket di terminal itu sedang terbakar.

“Walaupun rugi ribuan ringgit, saya bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu,” katanya.


Sementara itu, bagi Alias Abas, 41, yang melecur tangan kirinya akibat letupan, dia turut bersyukur kerana hanya mengalami edera ringan.

“Semuanya berpunca daripada tong gas memasak di gerai saya, ketika kejadian saya menggunakan tiga dapur dan empat gas memasak.

“Saya mencabut satu daripada kepala gas memasak sebelum mendapati gas mula menyembur keluar,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Jalan Muar.

Menurut Alias, api tiba-tiba menyambar tong gas berkenaan dan dia cuba mengangkatnya untuk dibaling keluar, namun tong gas itu meletup sebelum dia sempat melakukannya.

“Api menyambar tiga lagi tong gas dan berlaku beberapa letupan sebelum api menyambar siling,” katanya yang berniaga di terminal bas itu sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat Razak Saibon, 55, berkata, tempat kejadian kira-kira 50 meter dari premis bomba membolehkan pihaknya cepat tiba dan seterusnya mengawal api dengan pantas.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.41 pagi dan 12 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran dikawal dalam masa kurang 20 minit. Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada kebocoran tong gas memasak yang meletup dan menyambar premis berhampiran,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Daerah Segamat, Ismail Abu berkata, pihaknya akan berbincang mencari penempatan lain bagi peniaga yang terbabit dalam kebakaran itu.

“Kami harap peniaga bersabar malah berhati-hati ketika memeriksa premis masing-masing yang terbakar,” katanya.

Menurut Ismail, terminal bas itu mula beroperasi pada 2001 dan menempatkan 72 lot gerai dengan kadar sewa RM135 sebulan.

Wanita pembelit kebas RM360,000

IPOH: Seorang wanita pakar putar belit yang mendakwa dirinya memiliki lombong bijih timah menjadi buruan polis selepas dikesan memperdaya orang ramai membabitkan ratusan ribu ringgit dengan seorang ahli perniagaan menjadi mangsa terbaru dengan kerugian lebih RM360,000 selepas diperdaya suspek yang mendakwa mempunyai ‘kabel’ dengan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta (PDTK).
Wanita berusia 32 tahun itu dikenali sebagai Haslinda, menipu mangsa kononnya boleh mendapatkan bekalan pasir bagi pembinaan jalan raya selain mendapatkan permit segera mengeluarkan pasir daripada PDTK.
Terpedaya dengan janji wanita itu, Yip Kam Weng, 58, yang juga pengarah urusan sebuah syarikat kejuruteraan memasukkan RM50,000 sebagai deposit ke dalam akaun wanita terbabit Jun lalu.

Bagaimanapun, selang tiga bulan kemudian mangsa mendapati permit pasir untuk projek jalan raya di Kampung Gajah yang dijanjikan suspek diberikan kepada pihak lain.


Yip yang ditemui di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak di sini semalam berkata, dia merujuk permit yang diperoleh menerusi wanita terbabit kepada PDTK sebelum pegawai pejabat itu mengesahkan dokumen berkenaan palsu.

Kena hukuman mati edar 20kg ketamin

SHAH ALAM: Seorang kontraktor warga India dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah mengedar 20 kilogram (kg) ketamin disorok dalam tin makanan bayi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu terhadap Munuswamy Sudar Raj, 44, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mohtarudin pada penghakimannya berkata, mahkamah bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa keterangan tertuduh bahawa dia diupah RM2,000 untuk kerja mudah iaitu membawa masuk 25 tin makanan bayi ke negara ini adalah sesuatu yang amat meragukan.

Selain itu katanya, Munuswamy pada keterangannya memberitahu memasuki Malaysia untuk membeli barangan elektronik tetapi ketika tangkapan, tertuduh hanya membawa wang antara 25,000 Rupee (kira-kira RM1,600) dan 30,000 Rupee (kira-kira RM1, 900).

Tertuduh yang memiliki tiga anak itu didakwa mengedar dadah berbahaya itu di Kaunter Pemeriksaan Penumpang, Balai Ketibaan KLIA, pada jam 5.15 petang, 18 Oktober 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.


Munuswamy dituduh kali pertama pada 24 Oktober 2008 dan Mohtarudin pada keputusan di akhir kes pendakwaan menggunakan kuasanya bagi meminda pertuduhan mengedar itu kepada dakwaan memiliki mengikut Seksyen 12(2) akta sama. Lelaki itu kemudian mengaku salah atas pertuduhan pilihan dan dihukum penjara lima tahun dari tarikh tangkap, hukuman maksimum diperuntukkan mengikut Seksyen 12(3) akta berkenaan.

Pihak pendakwaan bagaimanapun memfailkan rayuan terhadap keputusan itu dan Mahkamah Rayuan pada 20 Julai lalu memerintahkan Munuswamy membela diri atas pertuduhan mengedar di hadapan Mohtarudin.

Enam sekawan hadapi tuduhan membunuh

KLANG: Enam sekawan termasuk tiga remaja di bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, dalam kejadian di pusat komersial di sini, dua minggu lalu.
Peniaga, Mohd Ezuwan Azmasah, 23; mekanik, Mazly Sulaiman, 23; penghantar surat, Abdul Rahman Abdul Latiff, 21, dan tiga remaja berusia antara 17 dan 18 tahun mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azlinda Mohd Sharif.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa terbabit dalam perhimpunan haram dan dengan niat bersama membunuh R Sasikumar, 21, antara jam 2.30 dan 3 pagi pada 18 September lalu di kawasan Kompleks Pandamaran, di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azilah Mat.


Azlinda menetapkan 2 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Terbang masuk rumah

KUANTAN: “Selepas terdengar dentuman kuat, keadaan di dalam rumah tiba-tiba gelap dengan asap tebal menyebabkan saya menggigil ketakutan,” kata warga emas, Hasnah Yusuf, 72, ketika menceritakan detik cemas rumahnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Peramu, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki dari arah pusat bandar menuju ke arah Pekan dipercayai hilang kawalan dan merempuh dua rumah.

Kejadian itu juga menyebabkan kenderaan berkenaan terbalik dengan keempat-empat tayarnya berada di atas.

Trak penunda terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kereta berkenaan daripada beranda rumah Hasnah yang hampir roboh akibat rempuhan kuat itu, namun Hasnah tetap bersyukur tiada ahli keluarganya yang tercedera dalam kejadian itu.

Menurut Hasnah, sebelum kejadian, dia berada di ruang tamu sedang menghayun buaian cucunya yang berusia dua tahun manakala anak perempuannya, Nor Asyikin Awang, 36, pula sedang menjemur pakaian di bahagian dapur.

“Akibat terlalu takut, saya tidak mampu berdiri namun tetap mengerah kudrat untuk bangun dan melihat apa yang berlaku sebelum dimaklumkan kejadian sebenar oleh anak perempuan saya yang terlebih dulu keluar menjenguk,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.


Nor Asyikin berkata, dia terdengar bunyi kuat seperti kereta membrek selama beberapa saat disusuli dentuman kuat dan pada masa sama rumahnya bergegar sebelum dia bergegas keluar melihat apa yang berlaku.

“Saya terkejut mendapati sebuah kereta terperosok dalam keadaan terbalik di bawah beranda rumah yang hampir roboh dan seorang lelaki berada di dalam kereta itu sebelum dia dikeluarkan dengan bantuan orang ramai namun pemandu kereta berkenaan tidak cedera.

“Kejadian ini yang kedua berlaku di rumah kami selepas kejadian pertama pada Februari lalu membabitkan sebuah kereta Proton Satria yang terbabas dan merempuh van milik saya yang diletakkan di depan rumah. Van itu rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi,” katanya.

Sementara itu, pemandu Perodua Myvi yang merempuh rumah Hasnah yang hanya ingin dikenali sebagai Rais, 30-an, berkata, sebelum kejadian dia dalam perjalanan ke Yayasan Pahang untuk urusan kerja.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta saya hilang ketika saya cuba mengelak seorang pejalan kaki melintas jalan,” katanya yang tidak cedera, namun masih trauma dengan kejadian itu.

Lelaki maut dibelasah jiran

KLANG: Gara-gara mabuk, seorang lelaki berusia 23 tahun bertindak memukul kepala jiran yang juga rakan sekerjanya dengan kayu golf hingga mati akibat perselisihan faham di rumah suspek di Taman Saujana di sini, kelmarin.
Dalam kejadian antara jam 11 pagi hingga 2 petang itu, suspek yang bekerja sebagai pemandu lori kemudiannya dikatakan mengalihkan mayat mangsa ke tepi longkang di kawasan padang permainan berhampiran rumahnya dipercayai bagi mengaburi mata polis.

Mayat mangsa, M Kalikaundar, 41, seorang kelindan lori ditemui orang ramai pada jam 5.14 petang sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md Yusof berkata, bertindak atas aduan dan hasil siasatan pihaknya memberkas suspek dua jam selepas itu dan menemui beberapa bahan bukti di rumahnya.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah suspek, polis menemui kepala kayu golf yang sudah patah, kayu, baju serta seluar dengan kesan darah,” katanya.

Menurut Mohamad, pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa tompokan darah di ruang tamu, tangga dan bilik utama.


Katanya, suspek kemudian diberkas dan direman bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk dibedah siasat,” katanya.

‘Mereka menggila’

PORT DICKSON: Murid tahun enam sebuah sekolah rendah di Pasir Panjang di sini, yang pendiam dan kurang bergaul dengan rakan sekelasnya mendakwa sering menjadi mangsa buli dengan kejadian terbaru, dibelasah rakan sekolahnya, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Muhammad Faizzuddin Mohd Sehat, 12, mendakwa dipukul selain dicakar mukanya dalam kejadian di surau sekolah.

Menceritakan kejadian, Muhammad Faizzuddin berkata dia didatangi seorang rakan sekelas ketika berada di surau lalu memukul lengannya.

“Saya cuba bertindak balas tetapi pada masa sama, beberapa lagi murid lelaki yang juga rakan sekelas datang dan mereka terus menyerang menyebabkan saya tidak dapat mempertahankan diri.

“Mereka memukul saya bertalu-talu disaksikan beberapa rakan sekelas lain yang tidak berani membantu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, dua daripada rakan sekelasnya memegang kedua-dua tangannya dalam keadaan terlentang manakala seorang lagi duduk di atas perut sambil menumbuk mukanya bertubi-tubi.


Katanya, dia merayu supaya tidak terus diperlakukan demikian, namun tidak dipedulikan.

“Selepas mereka semakin menggila memukul dengan tangan, saya nekad menggigit lengan kanan pelajar yang duduk di atas perut.

“Penderitaan saya berakhir tidak lama selepas itu apabila mereka beredar dari situ dipercayai bimbang guru sekolah datang,” katanya.

Muhammad Faizzuddin berkata, dia selalu menjadi mangsa buli rakan sekelas dan kelmarin adalah kemuncak kejadian itu.

Sementara itu, ibunya, Rohayati Mohamad, 38, berkata sebaik pulang dari sekolah kira-kira jam 12.30 tengah hari, anaknya kelihatan murung dan lemah serta termenung sebelum menangis.

“Anak balik awal dalam keadaan lemah seperti orang kemurungan. Dia kemudian menangis dan menceritakan apa yang berlaku.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan dia dipukul selepas dibuli rakan sekelasnya ketika berada di dalam surau sekolahnya. Saya dapati ada kesan merah di belakang badan serta luka di bahagian kanan mukanya akibat dicakar,” katanya.

Sebelum itu, Rohayati mendakwa anaknya kerap menjadi mangsa buli rakan sekelasnya berikutan kurang bercampur dengan kumpulan pelajar terbabit, namun keadaan semakin tegang pagi kelmarin hingga menyebabkan kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljet Singh, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kes berkenaan. “Siasatan lanjut sedang dilakukan dan mangsa yang mengalami kecederaan di lengan, lebam muka, kepala dan badan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Pasir Panjang sebelum dirujuk ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mek Wook diduga lagi

KUALA BERANG: “Saya tak tahu kepada siapa lagi nak mengadu, lepas satu-satu dugaan menimpa sehingga buntu memikirkannya.
“Sudahlah tidak dapat pergi ke Tanah Suci dan sehingga kini belum dapat duit semula, sekarang masalah baru pula timbul apabila tanah diduduki atas nama isteri sejak 50 tahun lalu sudah bertukar milik dan dijual kepada orang lain tanpa pengetahuannya,” kata Mohd Noor Musa, 39, suami kepada wanita tertua Terengganu, Mek Wook Kondor, 108.

Menurutnya, kegembiraan menyambut Aidilfitri di kampungnya di Tanah Merah, Kelantan hampir sebulan berakhir episod hitam sebaik kembali ke rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, Hulu Terengganu, tiga hari lalu.

“Rabu lalu, seorang lelaki datang ke rumah memberitahu dia sudah membeli tanah ini pada harga RM55,000 daripada seorang ahli keluarga isteri dan meminta kami segera mengosongkan rumah kerana ia sudah bertukar milik.

“Namun apabila saya bertegas memberitahu tanah ini sah milik isteri sambil menceritakan kisah sebenar dia meneroka tanah berkenaan dan membina sebuah rumah yang kini dijadikan rumah sewa di sebelah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) didiami sekarang, lelaki berkenaan terkedu dan termenung seketika.

“Apabila ditanya semula jika benar tanah ini sudah bertukar milik dan buktinya, dia memberitahu sudah membayar wang kepada seorang ahli keluarga isteri dan tidak memberi sebarang tempoh bila kami perlu keluar dari rumah ini,” katanya.


Sementara itu, Mek Wook berkata, dia yang meneroka tanah itu sejak berhijrah dari kampungnya di Bachok, Kelantan 50 tahun lalu tidak pernah menukar hak milik tanah, jauh sekali menjual hartanah dimiliki hasil kudratnya itu.

Dia mendakwa beberapa tahun sebelum berkahwin dengan Mohd Noor pada 2005, ada seorang ahli keluarga membawanya ke Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu, di sini, untuk urusan pengukuran semula sempadan tanah didiaminya dan memintanya menurunkan cap ibu jari di sebuah dokumen sebagai tanda pengesahan.

Katanya, dia yang tidak mengesyaki apa-apa ketika itu hanya menuruti permintaan berkenaan tanpa mengetahui jenis dokumen terbabit.

“Apabila fikir semula, saya terkejut dan tidak sangka ahli keluarga sendiri sanggup bertindak begitu sedangkan saya masih hidup dan tidak menyusahkan mereka pun kerana masih boleh berdikari dan mempunyai suami.

“Kalau betul tanah ini sudah dijual dan saya perlu keluar rumah, saya tidak tahu di mana hendak berpindah dan bagaimana nasib saya selepas ini. “Saya harap ada pihak menyemak semula status jual beli tanah atau membantu menyediakan rumah baru untuk kami,” katanya.

Gambar bogel jadi taruhan

KUALA LUMPUR: Rakaman gambar bogel mangsa di depan kamera web turut menjadi alat lelaki Nigeria memeras ugut wanita tempatan bagi mendapatkan wang.
Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Superintendan Victor Sanjos berkata, tindakan itu menunjukkan anggota sindiket penipuan itu semakin berani dan tidak lagi sekadar melakukan jenayah kolar putih.
“Selepas memerangkap mangsa dengan ayat-ayat cinta, mereka meminta mangsa berhubung menggunakan kamera web, tetapi mereka sendiri tidak menunjukkan identiti sebenar dengan alasan tidak mempunyai peralatan itu.

“Mangsa yang sudah hanyut dengan cinta palsu suspek dipujuk berbogel depan kamera web sebelum suspek merakam aksi berahi pasangan mereka itu,” katanya.

Menurutnya, selepas itu, suspek menyamar sebagai individu lain dan mendakwa mempunyai rakaman gambar bogel mangsa dan memeras ugut mereka.

Katanya, akibat takut gambar bogel mereka disebarkan, mangsa sanggup membayar wang ribuan ringgit kepada suspek tanpa menyedari mereka diperalatkan kekasih maya terbabit.
myMetro | Gambar bogel jadi taruhan:

'via Blog this'

Angkara khianat


HANGUS...dua kereta yang dibakar di tempat kejadian.
HANGUS...dua kereta yang dibakar di tempat kejadian.
PECAH...tiga daripada lapan kenderaan yang dirosakkan.
PECAH...tiga daripada lapan kenderaan yang dirosakkan.
SUBANG JAYA: Dua kereta hangus terbakar manakala lapan lagi sengaja dirosakkan dipercayai perbuatan khianat di kawasan perumahan Flat PJS 7/15, di sini, awal pagi semalam.
Menurut sumber polis, dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, polis menerima maklumat satu kebakaran membabitkan beberapa kenderaan sebelum pasukan polis dari Balai Polis Sunway bergegas ke tempat kejadian.

“Selepas memeriksa tempat kejadian, kami mendapati dua kereta terbakar termasuk satu daripadanya hangus manakala lapan lagi kenderaan pelbagai jenis dirosakkan.

“Polis turut menemui lapan parang panjang di sekitar tempat kejadian dipercayai digunakan suspek untuk merosakkan semua kenderaan berkenaan,” katanya.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, dia ternampak sekumpulan lebih 10 lelaki datang di perkarangan tempat letak kereta itu dan memecahkan cermin kenderaan berkenaan serta membakar sebuah kereta Honda Prelude.


“Api merebak ke Perodua Myvi yang diletakkan bersebelahan. Namun, ia terpadam dengan sendiri selepas beberapa minit dan kereta itu hanya terbakar di tayar dan lampu hadapan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata polis mengesan suspek yang terbabit dalam perbuatan berkenaan.

“Kami mengumpul maklumat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api,” katanya.

myMetro | Angkara khianat:

'via Blog this'

Diperdaya agensi amah


JEDDAH: Sebuah agensi merekrut pekerja di bandar raya ini menipu 50 rakyat tempatan yang kerugian 400,000 riyal (RM340,487) selepas berjanji untuk merekrut pekerja warga asing untuk mereka.
Pemilik dan kakitangan agensi berkenaan lesap tanpa dapat dikesan, lapor akhbar harian berbahasa Arab, al-Madinah, semalam.

Agensi yang berdaftar di bawah nama agensi Mencari Kerja Sultan itu terletak di daerah Hindawiyyah.

Sebilangan mangsa berkata, mereka percaya dengan agensi itu selepas membaca beberapa iklan syarikat terbabit yang tersiar di media cetak dan elektronik. Setiap mangsa membayar kira-kira 8,000 riyal (RM6,809) bagi mengambil pembantu rumah. Menurut mereka, kakitangan agensi memberi layanan yang baik bagi mendapatkan kepercayaan pelanggan.

Polis berkata, pihaknya menahan beberapa suspek tetapi belum dapat menangkap dalang sebenar kegiatan penipuan itu. “Saya yakin dengan agensi itu ketika membaca mengenainya di akhbar dan internet. Saya sudah pergi ke sana, malah mereka turut menyediakan minuman. “Saya sanggup membayar RM6,809 dan selepas beberapa hari, mendapat tahu agensi itu sudah tiada, begitu juga dengan pengeluaran visa pekerja,” kata mangsa, Muhammad al-Jidaani. Dia kemudian membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu.


Sementara itu, Pengarah balai polis al-Balad, Kolonel Rashid al-Subie berkata, pegawainya sedang menyiasat kes itu dengan merujuk kepada pejabat Gabenor Jeddah serta Dewan Perdagangan dan Industri Jeddah.

myMetro | Diperdaya agensi amah:

'via Blog this'

Jutawan ‘segera’ ditahan di Hong Kong


WELLINGTON: Seorang lelaki rakyat New Zealand yang dituduh melarikan diri dari negara itu selepas bank tersalah memasukkan berjuta dollar ke dalam akaunnya, telah ditahan di Hong Kong.
Lelaki berusia 30 tahun itu dituduh melarikan diri ke China dengan teman wanita April 2009, selepas Bank Westpac secara tidak sengaja memasukkan sejumlah NZ$10 (RM24.41 juta) ke dalam akaunnya.
Menurut polis, dia ditahan oleh anggota polis sempadan semalam ketika cuba masuk ke Hong Kong dari wilayah China di Lok Ma Chau dan kemudian ditahan oleh polis Interpol kerana pengubahan wang haram. -AFP
myMetro | Jutawan ‘segera’ ditahan di Hong Kong:

'via Blog this'

Taufan Nalgae landa Filipina hari ini


CANDABA: Pihak berkuasa Filipina semalam memberi amaran kira-kira sejuta penduduk di perkampungan dan tanah pertanian yang ditenggelami banjir, dijangka dilanda taufan sekali lagi.
Taufan Nesat yang melanda pulau Luzon Selasa lalu, telah membawa hujan paling lebat dalam masa sehari dan mengorbankan 43 orang manakala 30 lagi hilang.
Sesetengah kampung mengalami banjir separas rumah dua tingkat.

Kerajaan mengeluarkan satu lagi amaran bahawa satu lagi ribut taufan dijangka akan membawa hujan lebat akan melanda di tempat yang sama, hujung minggu ini.



Ketua Pengurusan dan Mengurangkan Risiko Bencana Kebangsaan, Benito Ramos berkata, penduduk mesti dibantu untuk ke tempat lebih tinggi.

“Masalahnya, banjir yang melanda ketika taufan Nesat masih belum surut. Tanah yang basah akan menyebabkan banyak kejadian banjir kilat dan tanah runtuh,” katanya.

Menurut Jabatan Kaji Cuaca Kebangsaan , taufan kedua yang digelar Nalgae dijangka melanda Luzon yang mempunyai kepadatan penduduk 48 juta hari ini, dengan angin bertiup selaju 140 kilometer sejam. - AFP

myMetro | Taufan Nalgae landa Filipina hari ini:

'via Blog this'

Mangsa telefon ibu


MEDAN: Ibu kepada seorang daripada penumpang pesawat yang terhempas di kawasan pergunungan Bohorok berkata, anaknya perempuannya ada menelefon ketika pasukan mencari dan menyelamat dalam perjalanan ke tempat kejadian.
Kira-kira 30 jam selepas pesawat itu terhempas, pasukan mencari dan menyelamat masih gagal ke tempat kejadian di Pulau Sumatera itu.

Rosmawati, ibu kepada, Samsidar Yusni 27, berkata, anak perempuannya ada menelefonnya, malam semalam.

“Anak perempuan saya menelefon pada jam 10 malam. Dia hanya menangis. Pertuturannya tidak jelas dan kemudian talian telefon terputus,” kata Rosmawati.

Pesawat Casa 212 Turboprop yang membawa 14 penumpang termasuk empat kanak-kanak dan empat orang kru, terhempas kelmarin ketika dalam perjalanan ke Aceh.


Pesawat komersil Penerbangan Nusantara Buana menghantar isyarat kecemasan tidak lama selepas itu dan terhempas di kawasan pergunungan Bohorok, kira-kira 70 kilometer barat laut Medan.

Pasukan mencari dan menyelamat berlepas dari Medan malam semalam tetapi terpaksa berpatah balik kerana kawasan hutan tebal dan berbukit bukau serta cuaca buruk menyukarkan perjalanan.

Harapan untuk mencari mangsa yang terselamat cerah kerana anggota mencari, memberi laporan yang pintu pesawat itu kelihatan terbuka sejak dilihat kelmarin.

Ketua pasukan mencari dan menyelamat, Laksamana Daryatmo berkata, “Pasukan penyelamat meninggalkan Medan malam semalam dengan trak kemudian terpaksa berjalan kaki untuk sampai ke tempat kejadian. Mereka juga tidur di dalam hutan malam tadi. Perjalanan itu mengambil kira-kira enam jam.” - AFP
myMetro | Mangsa telefon ibu:

'via Blog this'

Penangkapan jurucakap Gaddafi dipertikai

SIRTE: Keraguan semakin meningkat semalam mengenai penahanan Mussa Ibrahim, jurucakap bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Mussa sebelum ini didakwa ditangkap ketika menyamar sebagai wanita, lengkap dengan berpurdah.

Pemerintah baru Libya melancarkan siasatan mengenai lokasi Mussa, apabila sebuah rangkaian televisyen melaporkan beliau ditahan dengan berpakaian wanita.
Pemerintah Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) berkata, mereka menerima laporan daripada anggotanya di medan pertempuran bahawa Mussa ditangkap di luar Sirte, bandar kelahiran Gaddafi.

Penyokong setia bekas pemimpin Libya itu terkepung di bandar berkenaan sejak minggu lalu.

Markas tertinggi tentera NTC di Misrata berkata, ia tidak dapat mengesahkan penangkapan itu.
Laman web rangkaian televisyen Allibyiya yang pro-Gaddafi juga menyangkal laporan penangkapan itu.

“Ia satu khabar angin untuk mengalihkan perhatian daripada kekalahan pemberontak di tangan penyokong Gaddafi di Sirte,” katanya. - AFP
myMetro | Penangkapan jurucakap Gaddafi dipertikai:

'via Blog this'

7 polis, tentera Syria terbunuh di Rastan

AMMAN: Syria semalam berkata, tujuh anggota tentera dan polisnya terbunuh dalam operasi menentang pengganas di Rastan, bandar di tengah negara itu.
Agensi berita Syria melaporkan kematian itu dalam ulasan rasmi pertama mengenai operasi kerajaan untuk menawan bandar berkenaan daripada tentera yang berpaling tadah.

“Kumpulan pengganas bersenjata menerima kekalahan teruk dalam operasi itu. Pertempuran itu menyebabkan tujuh anggota keselamatan, dua daripadanya polis, terbunuh dan mencederakan 32 yang lain,” lapor agensi itu.

Kebanyakan anggota tentera dan pasukan keselamatan Syria setia kepada Presiden Bashar al-Assad sepanjang tempoh tunjuk perasaan selama enam bulan yang menuntut penggulingannya, hingga menyebabkan 2,700 orang terbunuh.

Anggota tentera yang kebanyakannya berpaling tadah kerana enggan menembak penunjuk perasaan, membentuk unit pemberontak, khususnya di kawasan pertanian di sekitar Rastan, sebuah bandar yang didiami 40,000 orang dan terletak 180 kilometer ke utara Damsyik. - Reuters
myMetro | 7 polis, tentera Syria terbunuh di Rastan:

'via Blog this'

Syria diancam perang saudara

DAMSYIK: Tokoh aktivis Syria, Michel Kilo berkata, beliau bimbang penunjuk perasaan anti-Presiden Bashar al-Assad terjerat dengan perangkap pemimpin itu hingga melancarkan tentangan bersenjata yang akan mencetuskan perang sudara amat buruk di negara itu.
“Jika penunjuk perasaan mengambil keputusan mengangkat senjata, keadaan akan menjadi semakin buruk dan menjerumuskan Syria ke kancah perang saudara dan agama.

“Jika itu berlaku, kami yang akan kalah,” kata Kilo dalam wawancara dengan AFP, semalam.
Kilo, 71, seorang penulis yang menentang pemerintahan Parti Baath sejak ia mula berkuasa pada 1963, dipenjara dari 1980 hingga 1983 dan 2006 hingga 2009.

Dia ialah anggota Jawatankuasa Kebangsaan bagi Perubahan Demokratik (NCDC) yang dibentuk pada 17 September yang turut disertai kumpulan sosialis nasionalis Arab, Marxist, anggota kumpulan minoriti Kurdis dan prokemerdekaan. “Dari mula lagi rejim itu mengatur rancangan untuk menindas penunjuk perasaan hingga mereka terpaksa memilih untuk mengangkat senjata. “Rejim itu enggan menerima sebuah pergerakan yang aman.

“Ia mahukan pergerakan bersenjata yang ada kaitan dengan pemlapau Islam,” kata Kilo.
Dia memberi amaran, penunjuk perasaan kini semakin tertekan untuk memilih tindakan lebih keras tegas dalam berdepan dengan dengan pertumpahan darah. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan lebih 2,700 orang dibunuh oleh pasukan keselamatan sejak Mac lalu.

“Golongan muda berkata mereka tidak ada pilihan lain. Mereka berdepan dengan keganasan tentera tanpa belas kasihan sedangkan mereka tidak bersenjata,” katanya.
Di Homs, penunjuk perasaan anti-Gaddafi kini dilindungi oleh penunjuk perasaan bersenjata sementara anggota tentera yang berpaling tadah memainkan peranan itu di bandar lain.

“Saya bimbang, langkah seterusnya, penunjuk perasaan akan memilih untuk menggunakan senjata kerana rejim itu terus menyerang penunjuk perasaan,” kata Kilo. - AFP
myMetro | Syria diancam perang saudara:

'via Blog this'

Tanduk dua rusa terbelit tali, seekor mati

SAKIT...keadaan dua rusa yang cuba melepaskan diri.
SAKIT...keadaan dua rusa yang cuba melepaskan diri.
GLOUCESTER: Dua rusa didapati meronta-ronta - selepas tanduk masing-masing terikat pada seutas tali.
Haiwan itu ditemui dua beradik yang juga pelajar, Oscar dan Louis Moulinie sedang berusaha untuk membebaskan diri masing-masing jauh di dalam hutan di Dean, Gloucestershire. Oscar, 15, dan Louis, 12, hadir tepat pada masa untuk menyelamatkan rusa berwarna hitam - tetapi seekor lagi iaitu rusa berwarna putih terlalu lemah untuk terus hidup.

Louis berkata: “Seekor terdampar di tanah dan jelas sekali cedera, manakala seekor lagi melompat-lompat untuk melepaskan diri. “Rusa itu menggelupur dan menendang-nendang. Ternyata ia sangat tertekan dan takut,” katanya.

Pegawai perhilitan percaya haiwan berkenaan berusaha untuk melepaskan diri berjam-jam lamanya hingga menjadi lemah ketika cuba melepaskan tanduk sepanjang 30 inci itu yang terikat pada tali.
myMetro | Tanduk dua rusa terbelit tali, seekor mati:

'via Blog this'

37 pekerja, bekas kakitangan Boeing didakwa bersabit jual, beli dadah

PHILADELPHIA: Pihak berkuasa persekutuan, semalam mendakwa 37 kakitangan dan bekas kakitangan syarikat Boeing kerana menjual atau cuba membeli ubat penahan sakit dan ubat anti-keresahan di loji membuat pesawat tentera di pinggir bandar raya ini.
Berikutan siasatan empat tahun, pendakwa raya Amerika Syarikat, Zane David Memeger berkata, 23 orang didakwa menjual ubat penahan sakit Oxycontin dan ubat larangan lain, sementara 14 lagi didakwa cuba memiliki pelbagai jenis ubat. Semua kecuali seorang yang didakwa adalah bekas kakitangan atau kakitangan syarikat Boeing. Seorang lagi akan turut diberkas. “Siasatan dan dakwaan ini menumpukan bukan saja kepada penjualan, tetapi juga kepada penggunaan kerana peranan kritikal kakitangan ini dalam pembuatan pesawat tentera,” kata Memeger dalam sidang akhbar. Boeing mengambil lebih 6,000 pekerja di loji Ridley Park, di mana pesawat V-22 Osprey dan helikopter H-47 Chinook dihasilkan. Osprey dan Chinook adalah pesawat tentera AS yang digunakan di Iraq dan Afghanistan.

Sementara itu, jurucakap Boeing, Damien Mills berkata, syarikat bekerjasama dengan siasatan dan memastikan kakitangan yang disyaki tidak dibenarkan bekerja demi keselamatan dan kualiti pesawat. Menurutnya, kakitangan yang didakwa dalam kes itu sudah digantung kerja.
Mills berkata, pada Mei 2006, beberapa kakitangan menghubungi pihak pengurusan syarikat kerana mengesyaki terdapat aktiviti dadah di loji berkenaan.

Dia berkata, Boeing mula melakukan siasatan dalaman dan pada Ogos 2007 menyerahkan hasil siasatan syarikat kepada penyiasat persekutuan.

FBI dan ejen Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah melancarkan serbuan itu awal pagi semalam di loji berkenaan. - Reuters
myMetro | 37 pekerja, bekas kakitangan Boeing didakwa bersabit jual, beli dadah:

'via Blog this'

Laman sosial jerat lelaki dua isteri

DIANE menemui gambar perkahwinan kedua suaminya di laman Facebook sebelum menghubungi polis.
DIANE menemui gambar perkahwinan kedua suaminya di laman Facebook sebelum menghubungi polis.
LONDON: Seorang lelaki yang mengamalkan bigami ditangkap selepas isterinya melihat gambar perkahwinan keduanya di laman Facebook.
Diane Haynes masih berkahwin secara sah dengan pemandu bas, Paul Haynes apabila dia melihat gambar perkahwinan suaminya di rangkaian laman sosial itu. Pendakwa raya, Andrew Scott memberitahu Mahkamah Agung Lincoln ketika pasangan itu berpisah, Haynes menjalin hubungan baru bersama Sandra Jones sebelum mereka berkahwin secara sivil di Hotel George di Stamford, Lincolnshire pada 25 Jun tahun lalu.

Tiga bulan selepas itu, Diane menemui gambar berkenaan ketika melayari Facebook dan kemudian menghubungi polis.

Scott berkata, ketika Haynes mengatur perkahwinan keduanya, dia menipu timbalan pendaftar perkahwinan semasa mengisi borang mengatakan dia masih bujang dan tidak pernah berkahwin.

“Dia diminta mengesahkan sama ada dia pernah berkahwin sebelum ini dan mengatakan tidak.


“Penipuan itu terbongkar hingga September tahun lalu. Diane yang masih berkahwin dengan Haynes menemui beberapa gambar di Facebook menunjukkan perkahwinan defendan bersama Sandra.

“Perceraiannya dengan Diane masih diproses dan defendan adalah suami Diane ketika dia berkahwin dengan Sandra,” katanya.

Haynes, 38, dari Stonald Road, Whittlesey, Cambridgeshire mengaku bersalah di bawah Akta 1911 kerana membuat pengakuan palsu mengenai perkahwinan.

Dia dihukum penjara 16 minggu dan 80 jam khidmat komuniti serta didenda 250 pound (RM1,250). - DM
myMetro | Laman sosial jerat lelaki dua isteri:

'via Blog this'

3 daripada 6 remaja terbabit seks bebas



Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad dan Mohd Nasaruddin Parzi
bhnews@bharian.com.my
2011/10/01

pix_gal0
Peningkatan statistik hubungan luar nikah dorong kes pembuangan bayi

PUTRAJAYA: Setiap tiga daripada enam remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini, kebanyakannya lulusan universiti didapati melakukan hubungan seks luar nikah bersama pasangan masing-masing kerana didorong perasaan ingin mencuba akibat menonton video lucah, sekali gus dikhuatiri menyumbang kepada kes pembuangan bayi.
Pendidikan setinggi mana sekalipun tidak mampu menjamin ketinggian sahsiah diri. Usaha membangunkan nilai moral di kalangan belia bukan hanya terletak di bahu pendidik semata-mata, malah kita secara kolektif perlu bersama-sama bertanggungjawab. - Zakariah Md Sam, Ketua Pegawai Operasi IPPBM
Berita Harian Online | 3 daripada 6 remaja terbabit seks bebas:

'via Blog this'

Dipenjara cabul rakan mabuk




2011/10/01

SEOUL: Tiga bekas pelajar sebuah universiti terkenal Korea Selatan dihukum penjara dan maklumat peribadi mereka disiarkan dalam internet selepas didapati bersalah melakukan gangguan seksual terhadap rakan sekelas wanita ketika mereka mabuk, lapor akhbar Korean Herald.

Mahkamah Daerah Seoul Tengah semalam menjatuhkan hukuman penjara dua tahun setengah kepada pelajar lelaki yang dikenali sebagai Park, 23, kerana meraba payu daya, perut dan bahagian lain mangsa.
Selain itu, dua lagi rakannya yang dikenali sebagai Han dan Baek dijatuhkan hukuman penjara setahun setengah kerana bersubahat dengan Park dengan merakamkan gambar ketika mangsa dicabul.
Tertuduh adalah pelajar perubatan Universiti Korea, meraba pelajar wanita dalam dua kejadian Mei lalu semasa melakukan lawatan berkumpulan ke Gapyeong, timur Seoul.

Ketika kejadian, penuntut wanita itu minum arak bersama rakan sekelas lelaki dan tidak mampu menangkis serangan kerana mabuk, kata Hakim Bae Jun-hyun ketika membuat keputusan disifatkannya hukuman berat. – Agensi
Berita Harian Online | Dipenjara cabul rakan mabuk:

'via Blog this'

Bah besar landa Asia





2011/10/01

KOMBINASI gambar di atas menunjukkan keadaan banjir yang serius di beberapa negara Asia berpunca daripada musim hujan sejak sebulan lalu dan disebabkan taufan Nesat yang melanda Filipina dan China.
KOMBINASI gambar di atas menunjukkan keadaan banjir yang serius di beberapa negara Asia berpunca daripada musim hujan sejak sebulan lalu dan disebabkan taufan Nesat yang melanda Filipina dan China.
  • Lebih 1,000 korban banjir 
  • Taufan Nalgae menuju Filipina 
    HANOI: Tujuh negara Asia ketika ini dilanda banjir besar termasuk Thailand, Kemboja, Vietnam, Filipina, India, Pakistan dan China, berikutan musim hujan sejak sebulan lalu selain ada negara baru dilanda taufan dengan angka korban lebih 1,000 orang. Jumlah korban banjir di Thailand setakat ini 188 orang, 150 lagi maut di Vietnam dan Kemboja manakala sekurang-kurangnya 43 maut di Filipina. Bilangan kematian akibat banjir lebih besar di Pakistan iaitu 430 manakala India, angkanya mencapai 335.

    Di Thailand, Jabatan Bencana mendedahkan angka kematian itu sejak ribut tropika melanda lewat Julai lalu dengan hampir dua juta orang terjejas disebabkan banjir serta lumpur runtuh selain 122 jalan raya tenggelam. 

    Di Chiang Mai, hujan lebat di bandar kedua terbesar Thailand itu menyebabkan air Sungai Ping melimpah menyebabkan stesen kereta api tenggelam sekali gus menjejaskan perkhidmatan. Hujan diramal berterusan hujung minggu ini. 

    Di Kemboja dan selatan Vietnam, ramai terkorban disebabkan banjir terburuk sepanjang Sungai Mekong dalam tempoh 11 tahun, menghanyutkan jambatan, menenggelami kediaman dan memaksa beribu-ribu penduduk berpindah. 
    Keadaan mungkin lebih teruk lagi jika taufan Nesat yang membawa banjir dan menyebabkan lumpur runtuh membunuh 39 orang di China minggu ini, menyebabkan Sungai Mekong melimpah. 

    Nesat turut menyebabkan air naik di selatan Pulau Hainan dan memaksa lebih 300,000 penduduk keluar dari rumah, lapor Xinhua. 

    Lembah sungai Mekong menghasilkan lebih separuh daripada beras di Vietnam dan banjir menyebabkan harganya meningkat hingga paras tertinggi minggu ini dan ramai juga maut di Kemboja disebabkan banjir kilat. 

    Taufan Nesat yang menyebabkan banjir besar di Manila menyebabkan kerosakan bernilai AS$91 juta (RM282 juta) ketika taufan Nalgae pula menuju utara Filipina. 

    Sementara itu, penternak udang dan ikan di Vietnam turut dipindahkan ke kawasan utara dan tengah selepas angin kencang sehingga mencapai 210 kilometer sejam. 

    Di Patna, India, beratus-ratus lagi terbunuh kerana banjir menyebabkan pihak berkuasa berusaha menghantar makanan selain memindahkan penduduk ke tempat selamat. Pihak berkuasa meningkatkan usaha menghantar bantuan ketika memindahkan penduduk yang terkandas akibat banjir. 

    Apabila hujan reda, barulah helikopter tentera dapat menggugurkan bungkusan makanan manakala beratus-ratus bot lagi berusaha memberi bantuan kepada hampir 100,000 orang yang terkandas di 1,300 perkampungan di negeri Orissa,” kata Pesuruhjaya Khas Bantuan, Prabitta Mohapatra. 

    Kerajaan negeri Orissa dilaporkan bakal kerugian berjuta dolar memaksanya meminta bantuan kerajaan pusat AS$726 juta (RM2.25 bilion) untuk menangani banjir. 

    Di Pakistan, musim hujan tahun ini yang bermula awal Ogos lalu menyebabkan air naik di sebahagian besar wilayah Sindh yang belum pulih daripada bah setahun lalu menyebabkan tujuh juga penduduk terjejas. – Agensi