Saturday, 1 October 2011

Komander kanan Haqqani ditahan



02/10/2011 2:11am

KABUL 2 Okt. - Seorang komander kanan rangkaian militan Haqqani di Afghanistan, Mali Khan ditahan dalam satu operasi pasukan keselamatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di daerah Jani Khel, Paktia.
Menurut kenyatan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa NATO (ISAF), Mali Khan yang juga bapa saudara kepada pemimpin Haqqani, Siraj dan Badruddin Haqqani ditahan Selasa lalu.
Penahanan itu dilakukan di sebalik tekanan Amerika Syarikat (AS) terhadap Pakistan supaya mengambil tindakan terhadap rangkaian Haqqani yang didakwa melancarkan beberapa serangan di Kabul. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Pakistan hukum mati pembunuh ahli politik



02/10/2011 2:11am

ISLAMABAD 2 Okt. - Mahkamah Pakistan semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang pengawal peribadi, Malik Mumtaz Hussain Qadri kerana membunuh salah seorang ahli politik liberal terkemuka di negaranya yang mahu pembaharuan undang-undang kekufuran.
Salman Taseer yang merupakan Gabenor Punjab dan anggota Parti Rakyat Pakistan (PPP), ditembak mati oleh Malik di luar kedai kopi berhampiran kediamannya di Islamabad pada 4 Januari lalu.
Kes pembunuhan Salman Taseer adalah berprofil tinggi dalam politik di Pakistan sejak bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto dibunuh dalam satu serangan di perhimpunan pilihan raya di Rawalpindi pada bulan Disember 2007. – AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Doktor Bahrain rayu bantuan PBB

MANAMA: Sekumpulan doktor dan jururawat Bahrain yang dihukum penjara atas tuduhan menyertai protes antikerajaan merayu PBB supaya menyiasat dakwaan berlaku salah guna kuasa dalam perbicaraan mereka, semalam.
Melalui kenyataan bersama itu, mereka mendakwa tetap menjalankan tanggungjawab sebagai anggota perubatan ke atas mangsa protes antikerajaan.

“Sebagai balasan, kami dihukum penjara,” kata mereka.

Kenyataan itu dibuat sebagai untuk mendapatkan pengampunan daripada hukuman penjara - sesetengahnya sehingga 15 tahun.

Bahrain yang dikuasai kumpulan Sunni kini berdepan dengan protes rakyat yang terdiri daripada puak Syiah. - AP

Sepasang anak beranak ditahan

HULU SELANGOR: Sepasang anak beranak antara lima yang ditahan dipercayai berkaitan kes pembunuhan kejam suami isteri yang dalam perjalanan untuk menoreh getah di Batu 30, Hulu Yam, di sini, Rabu lalu.
Difahamkan, lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat bas bersama anak lelakinya berusia 16 tahun ditahan sepasukan polis di rumah mereka di sini dalam operasi khas, kelmarin.

Tiga lagi suspek berusia antara 23 hingga 35 tahun ditahan di beberapa lokasi berasingan di daerah berkenaan antara jam 5 petang hingga 8 malam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy berkata, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun.

Dua daripada mereka bekerja sebagai penoreh getah manakala seorang lagi pekerja kebun sayur. Kami masih menyiasat motif pembunuhan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, L Ramasandram, 57, dan isterinya A Bakiam, 51, yang dalam perjalanan untuk menoreh getah dengan menunggang motosikal diserang sebelum dibunuh menggunakan senjata tajam.


Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, penyerang dipercayai bersembunyi dalam semak di tepi jalan sebelum menggunakan sebatang besi untuk menjatuhkan motosikal mangsa. Siasatan awal polis mendapati motosikal mereka dipercayai dihalang dengan sebatang besi, menyebabkan mangsa terjatuh sebelum ditetak dengan senjata tajam. di beberapa bahagian badan, termasuk kepala dan kedua-dua tangan.

Buruan Interpol ada di Malaysia

IPOH: Seorang pengurus syarikat minyak diburu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Antarabangsa (Interpol) selepas dikesan meloloskan diri sejurus memberi rasuah sebanyak satu bilion rupiah (RM369,000) kepada dua pegawai polis republik Indonesia (Polri).
Sumber polis Bukit Aman berkata, suspek yang diburu Direktorat Narkotika Polri Jawa Barat, Indonesia, dipercayai melarikan diri dan pulang semula ke tanah air selepas terbabit dengan kes jenayah rasuah dan dadah pada 20 Ogos lalu.

Difahamkan, suspek dikenali sebagai Adjri Abdulah, 36, mulanya ditahan di Lapangan Terbang Bandara Husein Sastranegara, Bandung, oleh polis sebelum pemeriksaan pada suspek menemui dadah syabu seberat 4.2 gram.

Suspek yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa kemudian ditahan untuk soal siasat oleh pegawai Polri.

Bagaimanapun, suspek berjaya mengumpan dua pegawai polis Polri dengan menawarkan habuan suapan 1 bilion rupiah (RM369,000) bagi membolehkan dia dibebaskan.

Akibat gelap mata dengan jumlah wang sebesar itu, dua pegawai polis terbabit bersetuju menerima wang berkenaan sebelum membebaskan suspek.


Suspek kemudian dipercayai pulang ke tanah air sejurus menyerahkan wang rasuah kepada dua pegawai polis berkenaan.

Berdasarkan soal siasat, suspek mendakwa bertugas sebagai pengarah sebuah syarikat minyak berpangkalan di Malaysia.

Seorang pegawai Polri yang menerima suapan itu kemudian memberikan wang rasuah diterima sebanyak 500 juta rupiah (RM184,500) kepada isterinya.

Bagaimanapun, pihak atasan Polri berjaya menghidu kesalahan dilakukan dua pegawai polis berkenaan sebelum menahan mereka dan dihadapkan ke mahkamah.

Kes itu disifatkan luar biasa dan pertama kali berlaku apabila polis negara itu berjaya disogok dengan wang dalam jumlah terlalu besar oleh penjenayah berasal dari Malaysia.

Susulan itu, polis Indonesia menghantar permohonan meminta bantuan Interpol dan PDRM untuk memburu suspek warga Malaysia berkenaan.

Difahamkan, polis Indonesia berharap penjenayah terbabit berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis republik itu untuk disiasat sebelum dijatuhkan hukuman berat.

Sementara itu, kes berkenaan mendapat liputan luar biasa akhbar negara itu seperti Surabaya Post, Tribun news, Detik.Com yang menganggap tindakan Polri menerima suapan sebagai keterlaluan dan patut dipecat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata pihaknya memberikan kerjasama bagi memburu suspek berkenaan yang dipercayai bersembunyi di negara ini.

Beliau ketika dihubungi berkata, permohonan bantuan yang diminta Polri akan melalui Interpol terlebih dulu sebelum dirujuk kepada JSJN bagi membantu siasatan.

“Sebelum ini, pihak kita juga memberi kerjasama kepada mereka berhubung kes penyeludupan dadah, jadi kita sedia membantu dalam semua sudut sehingga tertangkapnya suspek,” katanya.

Menurutnya, setakat ini pihaknya masih menunggu Interpol membuat siasatan awal untuk mengesan suspek.

Dua mati lemas


PILU... ahli keluarga mangsa meratapi mayat mangsa.
PILU... ahli keluarga mangsa meratapi mayat mangsa.

MUHAMAD HAKIMI... mati lemas.
MUHAMAD HAKIMI... mati lemas.

BAHAU: “Sejak beberapa hari lalu, arwah memang kerap pergi mandi sungai berbanding biasa dan kurang berselera makan,” kata Nurul Syahida Baharin, 15, ibu saudara kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang lemas di sungai di Kampung Sri Rompin, dekat sini, kelmarin.
Memilukan apabila mayat pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Rompin, Muhamad Hakimi Khairul Nizam, dikatakan ditemui dalam keadaan berpelukan dengan seorang lagi lelaki, Mohd Isa Mustafa, 40, yang juga anak angkat nenek saudaranya, jam 6.50 petang kelmarin.

Menurut Syahida, kedua-dua mangsa memberitahu mahu mandi di sungai berdekatan, jam 9 pagi.

“Kebiasaannya, mereka berdua pasti pulang semula ke rumah, namun saya pelik apabila masih tidak melihat kelibat mereka walaupun sudah petang.

“Berikutan itu, ibu (Robiah Birum) segera ke sungai dan melihat motosikal dinaiki mereka di atas tebing bersama pakaian masing-masing.

“Panik dengan keadaan itu, kami segera memaklumkannya kepada penduduk kampung untuk mencari mereka sebelum melaporkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini, semalam.


Syahida berkata, dia terkejut mengetahui kedua-dua mangsa mati lemas apabila mayat mereka dikatakan ditemui dalam keadaan berpelukan.

Menurutnya, dia sedih kerana anak saudaranya dilihat berkelakuan baik berbanding biasa manakala anak angkat ibunya turut sempat mengemas rumah sebelum kejadian.

“Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan kedua-dua Allahyarham masing-masing selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Besar dan Jelai tadi (semalam),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, ketika kejadian, Robiah yang juga ibu angkat Mohd Isa pergi ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk mengambil ubat, jam 7.30 pagi.

“Sewaktu perjalanan pulang ke rumahnya jam 11.30 pagi, wanita itu yang melalui sungai ternampak motosikal mangsa, namun tidak mengesyaki apa-apa berikutan mereka sering ke situ.

“Namun, selepas menunggu sekian lama, kedua-dua mangsa masih tidak pulang ke rumah, menyebabkannya kembali semula ke sungai itu untuk meninjau.

“Robiah cuba memanggil namun tiada sahutan lalu memberitahu orang kampung dan membuat laporan di Balai Polis Rompin,” katanya.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa ditemui sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bahau 70 meter dari tebing sungai, jam 6.50 petang.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing pagi semalam (kelmarin),” katanya yang mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Kecam Palestin

TEHERAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, mengecam cadangan mewujudkan dua negara berasingan bagi menyelesaikan konflik Israel - Palestin, semalam.
Mendakwa cubaan Palestin mendapatkan keanggotaan penuh di PBB akan gagal, Khamenei berkata, isu itu tidak sepatutnya diselesaikan mengikut sempadan sebelum 1967.

Bercakap dalam persidangan menyokong Palestin semalam, Khamenei berkata, dengan mengakui sempadan 1967, Palestin sebenarnya mengiktiraf hak Israel bertapak di situ.

Sedangkan seluruh tanah berkenaan milik Palestin,” katanya. - AP

Yahudi mula kembali ke Libya

TRIPOLI: Selepas Muammar Gaddafi tersingkir daripada kekuasaan Libya, golongan Yahudi dijangka kembali ke negara itu sedikit demi sedikit.
Antara mereka ialah wakil Pertubuhan Yahudi Libya Sedunia, David Gerbi, yang melarikan diri dari negara itu pada 1967.

Bekerja sebagai psikoterapi di Itali, Gerbi bercadang membaik pulih rumah ibadat masyarakat itu yang rosak selepas ditinggalkan sekian lama.

Kata Gerbi, dia bercita-cita memulihkan rumah ibadat itu sejak 10 tahun lalu - selepas menara Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York runtuh.

“Saya berusia 12 tahun ketika kami sekeluarga meninggalkan Tripoli pada 1967 ekoran perang Arab - Israel mencetuskan rasa marah terhadap masyarakat Yahudi,” katanya.

Dua tahun kemudian, Gaddafi mengusir lebih 38,000 penduduk Yahudi Libya dan merampas aset mereka.


Kebanyakan rumah ibadat Yahudi terbiar atau ditukar menjadi masjid.

Kata Gerbi, dia berhajat kembali ke Libya sejak revolusi menggulingkan Gaddafi bermula pada Ogos lalu.

“Kini saya mahu membantu kerajaan sementara membina persefahaman di antara orang Islam dan Yahudi,” katanya. Menurut Gerbi, dia menjadi penduduk Yahudi pertama kembali ke Libya sejak Gaddafi disingkirkan.

Mengenai perasaannya mendengar laungan azan di bangunan itu, Gerbi berkata, dia yakin masih ada yang boleh dilakukan.


“Bangunan ini milik kami dan ia tidak boleh diterima,” katanya. - Reuters

Cuba larikan isteri Osama

KABUL: Cubaan melarikan isteri muda Osama bin Laden daripada kawalan pihak berkuasa Pakistan berjaya digagalkan, lapor media semalam.
Menurut sumber, pemimpin Taliban, Mullah Omar, mengarahkan 500 pengikutnya menyerbu rumah tempat Amal Abdul Fattah ditahan dan disoal siasat.

Selain Amal, rumah itu turut menempatkan dua lagi isteri Osama.

Sumber itu berkata, sepatutnya lokasi rumah itu rahsia, tetapi ada pihak tertentu dalam agensi perisikan Pakistan membocorkan maklumat berkenaan.

Cubaan Taliban itu dibatalkan selepas pihak berkuasa mendapat maklumat dan ketiga-tiga isteri Osama dan lima anak mereka dipindahkan ke tempat lain,” katanya.

Sumber perisikan itu berkata, mereka memintas banyak perbualan di kalangan pemimpin Taliban serta maklumat dari kawasan pedalaman selama beberapa minggu.


Berdasarkan kajian, katanya, mereka yakin Taliban merancang melarikan Amal.

“Ekoran kejadian itu, tahap keselamatan di kalangan ahli keluarga Osama dipertingkatkan,” katanya.

Antara langkah berjaga-jaga diambil, kata sumber itu, ialah memindahkan isteri dan anak Osama ke beberapa tempat berbeza.

“Dalam tempoh beberapa minggu ini, mereka berpindah tiga kali,” katanya.

Kelmarin, mereka dipercayai diletakkan dalam kawalan di kawasan berkubu di Islamabad, Pakistan.

Amal, 29, cedera ketika tentera elit AS menyerbu dan membunuh pemimpin tertinggi al-Qaeda itu di Abbottabad, Pakistan, pada 2 Mei lalu.

Lahir di Yaman, Amal mempunyai seorang anak perempuan berusia 10 tahun dan pihak berkuasa bimbang mereka mungkin boleh menjadi pemimpin baru al-Qaeda jika bolos dari tahanan.

Sumber berkata, Amal mengaku mahir menggunakan senjata, termasuk pelancar roket.


“Dia mahu memimpin jihad ke atas orang kafir dan melatih anaknya menjadi pejuang,” katanya. - TS

Nyaris maut van dirempuh lori sampah

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu dan rakannya nyaris maut apabila van mereka yang diletakkan di tepi jalan dirempuh sebuah lori sampah selang 30 saat keluar dari kenderaan itu di Taman Seri Bayu, Ampang, semalam.
Pemandu van, G Ganesan, 36, berkata dia yang berhenti bagi membeli peralatan elektrik di sebuah kedai tidak menyangka niatnya mengajak rakan sekerja, Sebastian Fancis, 46, untuk turun bersama menyelamatkan nyawa mereka.

“Selalunya saya minta Sebastian tunggu sebentar di dalam van, sementara saya membeli semua kelengkapan elektrik tetapi hari ini (semalam) saya minta dia turun dan membantu sekali.

“Sebaik kami turun, saya terdengar jeritan orang ramai dan melihat sebuah lori sampah sudah merempuh van yang diletakkan di tepi jalan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Difahamkan, dalam kejadian jam 11.30 pagi, lori sampah dengan muatan lebih 10 tan dalam perjalanan ke Kepong hilang kawalan ketika menuruni bukit di Jalan Ampang-Hulu Langat kerana mengalami masalah brek hingga merempuh van Tenaga Nasional Berhad itu.

Pemandu lori yang juga penduduk tetap warga Indonesia, Yanto, 42, berkata apabila brek lorinya gagal berfungsi, dia terpaksa membelok ke kanan jalan bagi mengelak kenderaan itu terjunam ke dalam gaung.


“Saya terpaksa membelok ke kanan jalan dengan harapan kelajuan lori dapat dikurangkan dan berhenti dengan selamat, malangnya terpaksa merempuh sebuah van yang diletakkan di situ,” katanya.

Susulan rempuhan itu, van terbabit diseret 10 meter sebelum kedua-dua kenderaan terhumban di tebing dan menghempap enam motosikal penduduk.

Yanto yang mengalami luka kecil di bawa ke Balai Polis Trafik Ampang bagi membantu siasatan kejadian.

Dua mangsa lemas ditemui berpelukan

BAHAU: “Sejak beberapa hari lalu, arwah memang kerap pergi mandi sungai berbanding biasa dan kurang berselera makan,” kata Nurul Syahida Baharin, 15, ibu saudara kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang lemas di sungai di Kampung Sri Rompin, dekat sini, kelmarin.
Memilukan apabila mayat pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Rompin, Muhamad Hakimi Khairul Nizam, dikatakan ditemui dalam keadaan berpelukan dengan seorang lagi lelaki, Mohd Isa Mustafa, 40, yang juga anak angkat nenek saudaranya, jam 6.50 petang kelmarin.

Menurut Syahida, kedua-dua mangsa memberitahu mahu mandi di sungai berdekatan, jam 9 pagi.

“Kebiasaannya, mereka berdua pasti pulang semula ke rumah, namun saya pelik apabila masih tidak melihat kelibat mereka walaupun sudah petang.

“Berikutan itu, ibu (Robiah Birum) segera ke sungai dan melihat motosikal dinaiki mereka di atas tebing bersama pakaian masing-masing.

“Panik dengan keadaan itu, kami segera memaklumkannya kepada penduduk kampung untuk mencari mereka sebelum melaporkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini, semalam.


Syahida berkata, dia terkejut mengetahui kedua-dua mangsa mati lemas apabila mayat mereka dikatakan ditemui dalam keadaan berpelukan.

Menurutnya, dia sedih kerana anak saudaranya dilihat berkelakuan baik berbanding biasa manakala anak angkat ibunya turut sempat mengemas rumah sebelum kejadian.

“Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan kedua-dua Allahyarham masing-masing selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Besar dan Jelai tadi (semalam),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, ketika kejadian, Robiah yang juga ibu angkat Mohd Isa pergi ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk mengambil ubat, jam 7.30 pagi.

“Sewaktu perjalanan pulang ke rumahnya jam 11.30 pagi, wanita itu yang melalui sungai ternampak motosikal mangsa, namun tidak mengesyaki apa-apa berikutan mereka sering ke situ.

“Namun, selepas menunggu sekian lama, kedua-dua mangsa masih tidak pulang ke rumah, menyebabkannya kembali semula ke sungai itu untuk meninjau.

“Robiah cuba memanggil namun tiada sahutan lalu memberitahu orang kampung dan membuat laporan di Balai Polis Rompin,” katanya.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa ditemui sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bahau 70 meter dari tebing sungai, jam 6.50 petang.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing pagi semalam (kelmarin),” katanya yang mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Ghaib lepas diperdaya

HILANG... Muhamad Fadzil menunjukkan gambar anak dan dua cucunya yang gagal dikesan
HILANG... Muhamad Fadzil menunjukkan gambar anak dan dua cucunya yang gagal dikesan
CHEMOR: “Dia ghaib sejurus bakal suaminya dibelasah orang kampung kerana menipu pada hari pernikahan mereka. Bakal menantu kami rupa-rupanya beristeri tiga,” kata Azizah Gulap Din, 56, ibu kepada Ros Mawati, 31, yang menghilangkan diri bersama dua anak perempuannya sejak lima bulan lalu.
Menurutnya, dia dan suami, Muhamad Fadzil Nordin, 59, bimbang nasib Ros Mawati dan dua cucu mereka, Arina Batirsha Amirzudin, 1, dan Arisa Balqis Amirzudin, 6, dipercayai dilarikan lelaki itu. April lalu, pasangan warga emas itu berdepan detik memalukan apabila majlis perkahwinan besar-besaran anaknya bersama seorang lelaki mendakwa ahli perniagaan dari Brunei kecoh selepas diserang seorang wanita yang mendakwa isterinya.

Wanita berkenaan turut mendedahkan lelaki itu pernah berkahwin tiga kali menggunakan khidmat sindiket nikah palsu.

Lebih memburukkan keadaan, wanita terbabit merayu lelaki itu mendaftarkan dulu kelahiran anak mereka berusia tujuh tahun yang gagal memasuki sekolah akibat ketiadaan sijil kelahiran.

Akibat kejadian itu, keluarga terpaksa membatalkan majlis perkahwinan itu biarpun dihadiri beratus tetamu.

Katanya, akibat kejadian itu, Ros Mawati bersama dua cucunya lari meninggalkan rumah, dipercayai mengikut lelaki itu pada 19 Mei lalu dengan menaiki sebuah kereta Proton Satria.


Menurutnya, dia dan suami berharap anaknya pulang dan memberi peluang berjumpa dua cucu mereka.

“Saya mengakui malu dengan kejadian itu sebelum membatalkan acara pernikahannya walaupun majlis kenduri dihadiri ratusan penduduk kampung,” katanya.

Katanya, Ros Mawati seolah-olah tidak boleh menerima keputusan itu kerana menghalangnya berkahwin dengan lelaki tidak jujur itu yang mengaku masih bujang.

Azizah berkata, Ros Mawati seolah-olah terkena ilmu pengasih dan tidak mahu mendengar nasihat keluarga demi masa depan dua anaknya yang masih kecil.

Menurutnya, dia bimbang nasib cucunya kerana seorang daripada mereka menghidap asma.

“Kami risau apabila dia dan anaknya hilang begitu saja dan tidak pulang ke rumah sejak lima bulan lalu.

“Kami cuma mahu dia kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.

Bengkel, 7 rumah hangus terbakar

GEORGETOWN: Tujuh rumah kedai termasuk bengkel musnah dalam kebakaran di Kampung Pisang, Air Itam, di sini, malam kelmarin, menyebabkan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.
Kejadian dipercayai berlaku jam 11 malam apabila api dipercayai berpunca daripada bahagian tengah sebuah rumah merebak ke kediaman bersebelahan yang kebanyakan diperbuat daripada kayu.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Penguasa Bomba Izuan Ariff Mat Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.01 malam dan jentera pertama dari Balai Bomba Paya Terubong bersama lima anggota bergegas dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.

Menurutnya, turut membantu memadam kebakaran adalah jentera ‘turn-table ladder’ (TTL) dari Balai Bomba Jalan Perak serta lima pasukan bomba sukarela.

Katanya, anggota St John’s Ambulans serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) juga memberi bantuan kepada mangsa.

“Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh masa 30 minit dan padam sepenuhnya dalam masa satu jam 40 minit dan tiada kecederaan atau kematian dilaporkan,” katanya.


Izuan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran sebenar dan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Kebakaran akan melakukan siasatan, termasuk menilai jumlah kerugian sebenar.

Gangguan along

JOHOR BAHRU: Kegagalan melunaskan baki hutang along RM167,000 menyebabkan seorang lelaki hidup dalam tekanan apabila mendakwa diganggu along selepas rumahnya disimbah cat merah di Jalan Mawar 1, Kampung Oren, Ulu Tiram di sini, jam 1.10 pagi semalam.
A Sacitheran, 36, yang juga kontraktor berkata, sebelum kejadian dia menyedari kehadiran sebuah kereta di depan rumahnya hingga menimbulkan rasa curiga sebelum terdengar bunyi bising dari luar rumah.

Terkejut dengan bunyi itu, dia bergegas keluar dan mendapati pakaian serta kasut di luar rumah serta dinding diliputi cat merah disyaki angkara along yang memburunya.

“Hidup saya dan keluarga mula tidak tenteram selepas meminjam daripada along untuk dijadikan modal perniagaan.

“Kami sering diganggu dan diugut bunuh, malah pada 26 Mac lalu, beberapa lelaki menceroboh rumah dan merampas barangan elektrik dengan alasan melunaskan pinjaman.

“Risaukan keselamatan isteri dan tiga anak, saya mengambil keputusan berpindah ke rumah lain kerana khuatir kumpulan sama datang membuat kacau,” katanya.


Sacitheran mendakwa, angkara along, dia terpaksa tidur dalam lokap selama lima hari pada 22 Ogos lalu selepas ditahan polis bagi membantu siasatan berikutan dakwaan diugut along.

Katanya, dia dibebaskan selepas polis selesai menjalankan siasatan terhadapnya dan kini menunggu arahan selanjutnya.

“Kini, hidup kami sekeluarga umpama pelarian dan sudah 11 kali berpindah tapi kali ini, saya nekad tidak akan berpindah dan terus tinggal di rumah sekarang walau apa berlaku.

“Berhubung dakwaan diugut along, saya mendapatkan khidmat guaman bagi mempertahankan hak dan membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram selepas rumah kami dibaling dengan cat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Bori Aduan Awam MCA Negeri Johor, Michael Tay berkata, mangsa sebelum ini pernah merujuk masalah itu kepada pihaknya untuk mendapatkan bantuan.

“Mangsa sepatutnya tampil untuk berbincang dan tidak terlalu mengikut emosi walaupun dia kini dalam keadaan tertekan kerana diganggu along,” katanya.

Tempat lepas kemarahan

KENANGAN... Azhar menunjukkan surat nikahnya.
KENANGAN... Azhar menunjukkan surat nikahnya.
KUALA LUMPUR: Dipukul dan dikurung adalah harga yang terpaksa dibayar seorang lelaki yang beristerikan wanita panas baran, malah kerap naik hantu apabila permintaannya tidak dapat dipenuhi.
Dia dipukul kerana tidak mahu melayani nafsu isterinya dan dikurung hanya disebabkan enggan membeli sebotol air mineral di kedai 40 kilometer dari rumah.
Itulah nasib Azhar, 46, yang mengimpikan mahligai bahagia melalui perkahwinan ketiganya tetapi menjadi mimpi ngeri kerana isteri mudah mengamuk.

“Diherdik dan dihamburkan kata-kata kesat ibarat ‘makanannya’ kerana hampir setiap hari telinga saya terpaksa menadah cercaannya.


“Dia kerap naik angin hanya kerana perkara remeh, lebih-lebih lagi jika kehendaknya tidak dipenuhi,” katanya.

Pelajar maut nahas diseret lori 20 meter

JERANTUT: Seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi, maut dalam kemalangan di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.53 petang itu, Nur Zulaikha Othman, 17, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala rakannya yang membonceng, patah kaki serta cedera di kepala, dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.


Kakak mangsa, Zawiyahah Othman, 28, berkata dia dimaklumkan oleh rakan adiknya jam 6.30 petang.


“Saya tidak menjangka adik bongsu terbabit dalam kemalangan itu kerana dia seorang yang tidak gopoh atau laju menunggang motosikal, malah tidak menunjukkan apa jua perubahan sepanjang Syawal lalu.


“Dia (arwah) juga tidak ada masalah dan suka berperangai keanak-anakan apabila bergurau dengan anak saudaranya, malah kerap menghubungi semua abang dan kakaknya,” katanya.


Zawiyayah berkata, adiknya keluar dari rumah di Kampung Lata Kasah, di sini, jam 4.30 petang untuk mengambil seorang lagi kakaknya di sebuah taska di kawasan perumahan dekat bandar ini jam 6.30 petang.




Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Muhaimin Jaafar berkata, kejadian berlaku jam 5.53 petang di laluan sempit sehala Sungai Jan, di sini, dan mangsa dipercayai menunggang melawan arus memasuki jalan sehala sebelum bertembung lori yang datang dari arah Kuala Tembeling.


Katanya, mangsa mati di tempat kejadian selepas terseret 20 meter dan tersepit pada tayar belakang lori manakala motosikalnya tersangkut pada bahagian depan.

Nyaris rentung

MIRI: Tiga beradik berusia antara tiga hingga 14 tahun yang nyenyak tidur nyaris rentung selepas rumah mereka di Kampung Api-Api di Lutong, dekat sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi, semalam.
Kejadian berlaku jam 4 pagi ketika ibu bapa kepada ketiga-tiga beradik berkenaan tiada di rumah kerana bertugas.

Bagaimanapun, mereka bernasib baik apabila kebakaran itu disedari seorang jiran yang ternampak api dari bumbung sebelum bergegas menyelamatkan tiga beradik terbabit.

Menurut sumber, tiga beradik itu sepatutnya di bawah pengawasan ayah mereka, namun komitmen kerja menyebabkan mereka terpaksa ditinggalkan di rumah berkenaan.

“Jiran kemudian menghubunginya lelaki terbabit sebaik menyelamatkan tiga anaknya. Bagaimanapun, sebaik pulang bapanya tidak sempat menyelamat barang berharga berikutan api marak terlalu cepat,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Bomba dan Penyelamat Lopeng ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.20 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.


Dua jentera bersama 12 anggota tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian bagi mengelak api merebak ke rumah berdekatan. Api berjaya dipadam sepenuhnya 15 minit kemudian.

2 maut lepas bergesel

KUALA KRAI: “Tidak sangka kepulangan saya dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kali ini menghadapi dua kehilangan sekali gus,” kata Siti Nurhafizah Ismail, 16, apabila ibu bapanya maut dalam kemalangan di Kampung Che Wal, di sini, semalam.
Ismail Yaccob, 50, dan isterinya, Ruzainiah Mustapha, 37, maut di tempat kejadian selepas motosikal mangsa bergesel dengan sebuah Perodua Kancil jam 7.30 pagi semalam.

Mangsa juga dirempuh oleh sebuah Proton Persona yang datang dari arah belakang.

Siti Nurhafizah yang juga anak sulung mangsa berkata, dia pulang ke rumah mereka di Kampung Pek, Machang untuk bersama keluarga sempena cuti sekolah.

“Kali terakhir saya jumpa mereka semalam (kelmarin) kerana sebelum kejadian kami adik beradik masih tidur sebelum ayah keluar menghantar ibu ke tempat kerja,” katanya yang menuntut di MRSM, Kuala Lipis, Pahang.

Dalam kejadian itu, Ismail dikatakan dalam perjalanan dari arah Machang ke Kuala Krai untuk menghantar isterinya yang bekerja sebagai kerani di kilang papan berhampiran.


Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abd Rahman Ja’apar berkata, ketika di tempat kejadian, Ismail yang menunggang motosikal hendak memasuki simpang di tempat isterinya bekerja sebelum bergesel dengan sebuah Perodua Kancil yang datang dari arah sama.

Katanya, mangsa dipercayai gagal memasuki simpang lalu hilang kawalan, menyebabkan motosikal mereka dirempuh.

“Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala pemandu kedua-dua kereta terbabit tidak cedera,” katanya.

Selain Siti Nurhafizah, mangsa turut meninggalkan dua anak iaitu Siti Khairunnisa, 14, dan Siti Rasya Aleeya, 6.

Jenazah kedua-dua mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Che Wal selepas bedah siasat selesai.

Peniaga maut

KUALA LUMPUR: Malang tidak berbau. Itulah nasib yang menimpa seorang ahli perniagaan apabila dibunuh dalam cubaan samun di Cheras, malam kelmarin.
Difahamkan, mangsa Phang Choon Puck, 25, ketika itu dalam perjalanan ke rumah dari sebuah pusat sukan di pusat beli-belah berhampiran.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, mangsa didatangi suspek yang cuba menyamun, menyebabkan dia menjerit meminta tolong dan sempat melarikan diri sebelum rebah di depan sebuah rumah di Jalan Mutiara Timur 4, kira-kira 60 meter dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, mangsa yang ditikam di dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Jeritan mangsa didengari jiran yang keluar untuk memeriksa sebelum menemui mangsa terbaring berlumuran darah akibat cedera parah.

“Hasil pemeriksaan ke atas mangsa yang berpakaian sukan menemui beg duit dan telefon bimbit dipercayai tidak sempat dilarikan suspek,” katanya di lokasi kejadian.


Mohan berkata, pihaknya tidak menolak kes itu bermotifkan cubaan samun.

Katanya, polis akan mendapatkan keterangan daripada pengawal keselamatan di kawasan berhampiran dan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam kawasan kejiranan bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan saksi kejadian diminta menghubungi Rakan Cop Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

Amerika risau Awlaki berpengaruh di Barat





2011/10/02

FOTO Kumpulan Perisikan Site menunjukkan Awlaki menguji senapang di satu lokasi tidak dinyatakan.
FOTO Kumpulan Perisikan Site menunjukkan Awlaki menguji senapang di satu lokasi tidak dinyatakan.
Pemimpin al-Qaeda guna bahasa Inggeris sebar mesej 

SANAA: Kumpulan pengganas Yaman dianggap paling berbahaya kepada Amerika Syarikat disebabkan kemampuannya menyebarkan ideologi mereka di negara Barat dalam bahasa tempatan.
Itulah faktor utama membawa kepada tindakan membunuh pemimpin al-Qaeda kelahiran Amerika, Anwar al-Awlaki dan seorang lagi rakannya yang menyebarkan propaganda di Amerika, Samir Khan.
Awlaki menyampaikan khutbah dalam bahasa Inggeris mengenai jihad dari tempat persembunyiannya di Yaman hingga menarik rekrut seperti pemuda Nigeria yang cuba meletupkan sebuah jet pada Hari Krismas dan seorang warga Amerika keturunan Pakistan yang gagal meletupkan bom kereta di Times Square, New York. 

Serangan kelmarin dipercayai kali pertama warga Amerika dijejaki dan dibunuh berdasarkan sumber perisikan dan arahan presiden. 

Awlaki termasuk dalam senarai ‘bunuh atau tangkap’ Agensi Perisikan Pusat (CIA) pentadbiran Presiden Barack Obama pada April 2010, warga Amerika pertama menjadi sasaran. 

Seorang lagi warga Amerika yang dibunuh, Samir Khan, menerbitkan majalah web berbahasa Inggeris, Inspire yang memaparkan ideologi al-Qaeda yang anti Barat malah menawarkan artikel melakukan serangan termasuk ‘Buat bom di dapur ibu.’ 
Kebolehan mereka menyebabkan beratus-ratus militan al-Qaeda yang bersembunyi di Yaman dianggap ancaman lebih besar berbanding rakan mereka di Afrika Utara, Somalia atau timur Asia. 

Obama menyifatkan serangan itu sebagai tamparan hebat terhadap operasi satu kumpulan al-Qaeda yang paling aktif selain menggelar Awlaki, 40, sebagai ‘ketua operasi luar.’ 

“Beliau berperanan mengetuai rancangan dan mengarahkan usaha membunuh rakyat Amerika yang tidak bersalah,” kata Obama kepada wartawan di Washington. 

Beliau menuduh Awlaki merancang cubaan pengeboman pesawat pada Krismas 2009 dan cubaan yang gagal pada 2010 untuk menghantar bahan letupan ke Amerika. 

Kematian Awlaki adalah kejayaan besar pemerintahan Obama dalam kempen intensif untuk menghapuskan kepemimpinan al-Qaeda selepas pembunuhan Osama bin Laden di Pakistan, Mei lalu. 

Serangan terhadap Awlaki itu diarahkan oleh unit khas Amerika yang turut mengarahkan serangan terhadap tempat persembunyian Osama. 

Selepas tiga minggu menjejaki sasaran, pasukan bersenjata Amerika dan jet pejuang menjejaki konvoi Awlaki, melakukan serangan pada awal kelmarin. 

Awlaki dan pasukannya bergerak di kawasan gurun di wilayah timur ibu negara Yaman berdekatan kampung Khasaf antara pergunungan di wilayah Jawf dan Marin, kata pegawai Yaman dan Amerika. 

Ketua puak di kawasan itu memberitahu AP, abang salah seorang mangsa menyaksikan serangan itu. – AP 

INFO: Anwar al-Awlaki 

  • Awlaki menyampaikan khutbah dalam bahasa Inggeris mengenai jihad dari tempat persembunyiannya di Yaman. 
  • Awlaki termasuk dalam senarai ‘bunuh atau tangkap’ Agensi Perisikan Pusat (CIA) pentadbiran Presiden Barack Obama pada April 2010, warga Amerika pertama menjadi sasaran. 
  • Obama menuduh Awlaki merancang cubaan pengeboman pesawat pada Krismas 2009 dan cubaan yang gagal pada 2010 untuk menghantar bahan letupan ke Amerika. 
  • Pemerintah tentera Mesir terus diasak





    2011/10/02

    SEAN PENN berjalan bersama penunjuk perasaan Mesir di Dataran Tahrir.
    SEAN PENN berjalan bersama penunjuk perasaan Mesir di Dataran Tahrir.
    Pelakon terkenal Amerika turut sertai rakyat protes tuntut peralihan kuasa dipercepat

    KAHERAH: Aktor Amerika Syarikat, Sean Penn, menyertai beribu-ribu aktivis Mesir memenuhi pusat bandar Kaherah kelmarin yang mendesak pemerintah tentera mempercepat peralihan kuasa kepada orang awam dan menamatkan undang-undang darurat era bekas presiden Hosni Mubarak.
    Penn memegang bendera Mesir sambil berjalan bersama pelakon Mesir, Khaled al Nabawi di Dataran Tahrir, tempat rakyat Mesir mengadakan tunjuk perasaan untuk ‘Menuntut Kembali Revolusi’ ketika semakin ramai tidak puas hati dengan cara tentera menguruskan tempoh peralihan.
    “Usaha berani rakyat Mesir mendapatkan kebebasan memberi inspirasi kepada dunia,” kata Penn dalam kenyataan yang disiarkan muka surat depan akhbar Al Ahram. 

    “Jelas, ia bukan boleh dilakukan semalaman, masih ada kesukaran yang terpaksa dihadapi termasuk isu perlembagaan dan peralihan kuasa tentera kepada rakyat,” tambahnya. 

    Nabawi berkata, beliau menjemput pemenang Oscar itu melawat Mesir sebagai usaha untuk menunjukkan Mesir selamat dilawati walaupun ketika penduduknya melakukan protes. 

    “Kami mahu tunjuk bahawa Mesir selamat,” kata Nabawi. 
    Majlis tentera mengumumkan pilihan raya parlimen akan bermula pada 28 November dengan sistem perwakilan pelbagai parti dan calon bebas.

    Tetapi, ramai di kalangan pemerhati politik bimbang sistem ini akan membenarkan penyokong Mubarak kembali berkuasa.

    “Minggu ini berbeza kerana kita rasa revolusi kami sudah dirampas daripada kita semua,” kata penganggur, Yasser Fouad, 38, menerusi pembesar suara bagi mententeramkan penunjuk perasaan.

    “Tidak satu pun permintaan kita dipenuhi. Kami mahu mereka serah kuasa segera menerusi pilihan raya,” kata Fouad.

    Seorang kakitangan Kementerian Kesihatan, Mahmoud Sayyid Saif, 58, berkata rakyat Mesir sudah hilang sabar. 

    “Sudah tujuh bulan tapi tiada apa berlaku,” katanya. Majlis pemerintah tentera sudah memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya tidak merosakkan harta awam tetapi askar serta pasukan keselamatan tidak menghampiri dataran.

    Parti politik terbesar Mesir, Ikhwan Muslimin berkata dalam laman webnya, pihaknya tidak akan menyertai tunjuk perasaan itu. Tetapi, media sosial berkata, ramai belia berikrar mengingkari arahan pemimpin kumpulan itu dan menyertai protes. 

    Perintah darurat sepatutnya berakhir semalam tetapi majlis tentera berkata ia akan diteruskan sehingga tahun depan.

    “Perintah darurat sudah tiba ke akhirnya pada 30 September. Mengikut Artikel 59, Perlembagaan dan sebarang keputusan atau perintah undang-undang selepas tarikh itu berdasarkan perintah darurat akan terbatal,” kata enam calon presiden dalam satu kenyataan. – Reuters/Agensi

    INFO
  • Tentera ambil alih kuasa daripada Mubarak sejak tujuh bulan lalu
  • 60 parti politik mahu undang-undang hukum salah guna kuasa
  • Ikhwanul Muslimin enggan sertai protes terhadap pemerintah baru tetapi anggota muda pergerakan itu mahu ambil bahagian.
  • Ulama cadang haram penyanyi dangdut seksi





    2011/10/02

     INUL  (atas) Dewi dan Julia Perez  (kiri)   antara penyanyi dangdut  yang diharamkan MUI   mengadakan persembahan.
    INUL (atas) Dewi dan Julia Perez (kiri) antara penyanyi dangdut yang diharamkan MUI mengadakan persembahan.
    Cawangan MUI ambil langkah jaga akhlak rakyat 

    JAKARTA: Sebuah cawangan Majlis Ulama Indonesia (MUI) bercadang mengharamkan penyanyi dangdut sensasi termasuk Inul Daratistam, Dewi Persik dan Julia Perez daripada mengadakan sebarang persembahan, dalam apa yang disifatkan sebagai langkah ke arah menjaga akhlak rakyat.
    Tindakan ini menyusul pengharaman yang dilakukan MUI cawangan Sumatera Selatan, sebuah institusi ulama yang ditubuhkan bekas presiden Suharto. Ia tidak mempunyai sebarang kuasa sebenar, manakala yang dikeluarkan biasanya tidak dipedulikan.
    Selain Inul, Dewi dan Julia, Setiausaha Agung MUI cawangan Jawa Barat, Rafani Achyar berkata pihaknya mahu mengharamkan persembahan Anisar Bahar, Uut Permatasari, Ira Swara, dan kumpulan Trio Macan. 

    Beliau berkata tindakan diambil ke atas perbuatan penyanyi itu, bukan terhadap muzik penyanyi itu sendiri. 

    “Alasan seni tidak boleh digunakan untuk membenarkan kelakuan tidak bermoral seseorang penyanyi. Seni adalah sesuatu yang indah dan bukan untuk mewujudkan kekecohan atau jenayah. Wanita boleh bekerja mencari sara hidup tetapi mereka tidak boleh mengorbankan perkara yang berkaitan dengan akhlak,” katanya. 

    Sementara itu, Julia Perez berkata dia berasa kecewa dengan langkah MUI untuk mengaramkan penyanyi dangdut erotik termasuk dirinya. 
    “Saya tidak memusnahkan moral sesiapa. Jika saya dianggap seksi saya mohon maaf tetapi saya bukan pembawa masalah, saya juga tidak menyebarkan fahaman baru,” katanya. 

    Julia berharap dia dapat bertemu dengan jawatankuasa MUI Jawa Barat bagi membincangkan pendirian pertubuhan itu selain menyatakan bahawa senarai lapan penyanyi dangdut yang dinyatakan sudah ‘ketinggalan zaman’. 

    “Trio Macan sudah dibubarkan sedangkan Ira Swara sentiasa berpakaian sopan,” katanya. 

    Julia atau lebih dikenali sebagai Jupe percaya, tindakan MUI ditujukan kepada penyanyi lagu rancak dan gerak tarian lincah di pentas. 

    “Adakah saya patut menari perlahan ketika menyanyikan lagu ‘Belah Duren? (Belah Durian),” katanya. – Agensi 

    INFO: Dangdut 

  • Dangdut adalah sejenis muzik popular Indonesia yang sebahagiannya diciplak daripada muzik Melayu, Arab dan Hindustan serta mula diminati pada 1970-an sebelum popular lewat 1990-an. 
  • Satu kugiran dangdut biasanya dianggotai seorang penyanyi utama, lelaki atau wanita serta dibantu empat hingga lapan pemuzik lain. 
  • Kebanyakan bandar utama Indonesia khususnya di Jawa menjadi lokasi persembahan nyanyian dangdut beberapa kali seminggu dan ada penyanyinya muncul di televisyen. 
  • Bermula pada 2003, ada ahli pemuzik dangdut menjadi fokus kontroversi di khususnya Inul Daratista menerusi teknik ‘goyang gerudi’ hingga ada ulama menggelar persembahannya satu bentuk pornografi. 
  • Bantahan terbuka diadakan menuntut Inul diharamkan daripada muncul di televisyen dan satu rang undang-undang diluluskan pada 2008 oleh Dewan Permesyuaratan Rakyat mentakrifkan pornografi. 
  • PAS tak akan ubah prinsip asas parti



    Oleh Fazli Abdullah dan Amin Ridzuan Ishak
    aminridzuan@bharian.com.my
    2011/10/02

    PESURUHJAYA PAS Pulau Pinang, Datuk Salleh Man (kiri) menyambut   Hadi dan   Mohamad Sabu pada Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di  Kepala Batas, semalam.
    PESURUHJAYA PAS Pulau Pinang, Datuk Salleh Man (kiri) menyambut Hadi dan Mohamad Sabu pada Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Kepala Batas, semalam.
    Terus perjuang dasar Islam ikut al-Quran, Sunnah 

    KEPALA BATAS: PAS tidak akan mengubah prinsip asas parti itu memperjuangkan dasar Islam dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah, kerana ia berasaskan tunjang teguh dan tidak akan hanyut walaupun dijajah, kata Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang.
    “PAS mempunyai acuan sendiri ditunjukkan Allah dan diajar Nabi. Kita perlu faham dan PAS mahu mengembalikan umat Islam berdemokrasi. Kami juga terbuka, PAS boleh menerima kemenangan, boleh menerima kekalahan,” katanya merasmikan Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Millenium, di sini semalam.
    Hadir sama, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu. 

    Hadi berkata, PAS sebuah parti politik Islam terawal ditubuhkan di Asia Tenggara dan mempunyai pengalaman serta mengharungi pelbagai cabaran sejak penubuhannya. 

    Mengenai isu hudud, beliau berkata, PAS tidak akan memaksa bukan Islam menerima undang-undang Islam seperti mana tidak memaksa mereka menerima Islam. 

    Nik Abdul Aziz yang mengulangi harapannya melihat hudud dilaksanakan di negara ini jika pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan, pula menegaskan hukum berkenaan bukan satu ideologi, sebaliknya wajib dilaksanakan dalam undang-undang Islam. 
    “Saya berdoa begitulah sebab hudud bukannya ideologi, hudud sama seperti sembahyang, puasa dan zakat. Sebagai mana yang lain wajib, ia (hudud) juga wajib. Malaysia ada hukum gantung, contohnya bawa dadah hukumannya mandatori gantung, bawa senjata api hukum gantung. 

    “Kenapa hukum gantung boleh terima? Orang tangan kudung pun boleh jadi Perdana Menteri... tak apa. Bukan senang hendak jatuhkan hukuman (hudud) kerana ada syarat dan prosedur,” katanya kepada pemberita pada kongres itu. 

    Mengulas sama ada PAS bersedia untuk berdamai dengan UMNO pada masa depan, Nik Abdul Aziz berkata, pihaknya masih membuka pintu rundingan namun pemimpin UMNO perlu berubah dengan berpegang kepada ajaran Islam. 

    “Hendak kata selama-lamanya (bermusuh dengan UMNO) tidak bolehlah... doa kita supaya hati orang Islam berubah daripada nasionalis kepada Islam. Orang tidak sokong ini adalah Melayu nasionalis, sekarang ini pun orang Cina dan India pun ada dalam kelab menyokong PAS dikenali Dewan Himpunan PAS,” katanya. 

    Katanya, PAS pernah berdamai dengan UMNO menerusi penyertaannya dalam Barisan Nasional (BN) pada 1973, malah beliau antara yang menyokong kuat penggabungan itu. 

    “Tetapi bila kami masuk, dia (BN) tendang kami kerana rasa gagah.Inilah UMNO yang tidak berasas kepada agama yang mengajar kita mensyukuri nikmat Allah... bukan senang gerakan Islam hendak masuk gerakan nasionalis. Sekarang dia ajak kami,” katanya. 

    Sementara itu, sekumpulan 37 ahli PAS Cawangan Bakau Tua, Penaga, mengisytiharkan keluar parti itu.Mereka yang rata-rata berusia 20-an dan sudah berdaftar sebagai pengundi, membuat keputusan keluar parti kerana kecewa dengan kepemimpinan PAS yang gagal membantu kebajikan ahli. 

    Kumpulan itu yang diketuai Roslan Abdullah, 26, menyerahkan borang keahlian menyertai UMNO kepada Ketua UMNO Cawangan Bakau Tua, Azhar Zainal Abidin yang kemudian menyerahkannya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Datuk Azhar Ibrahim.

    Reda dapat anak kembar siam



    NUR SHAZWANIE (kanan) dan Nurshazrinie diletakkan dalam sebuah bilik terapi lampu di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu semalam.


    KUALA TERENGGANU – Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
    Itu takdir yang terpaksa dilalui sepasang suami isteri dari Kemaman apabila mereka dikurniakan pasangan kembar siam.
    Nur Shazwanie dan Nur Shazrinie yang baru berusia seminggu selamat dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini pada pukul 11.12 pagi, 22 September lalu .
    Dengan berat empat kilogram, pasangan kembar Siam itu bagaimanapun bercantum pada bahagian pusat hingga dada.
    Bapa pasangan kembar itu, Zulkifli Ngah, 41, (gambar kecil) yang bekerja sebagai penjual ikan berkata, pemeriksaan awal pihak hospital mendapati kedua-dua bayi itu berkemungkinan berkongsi hati dan jantung.
    “Saya tidak terkejut dengan kelahiran kembar Siam ini kerana saya dan isteri memang telah dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa kami mungkin mendapat pasangan kembar Siam.
    “Ketika itu, kandungan isteri saya, Nor aini Mohammad, 32, baru sahaja memasuki enam bulan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
    Justeru kata Zulkifli, dia tetap menerima takdir itu sebagai rezeki Tuhan, tanpa sedikit pun rasa penyesalan.
    Namun, jauh di sudut hatinya, beliau berharap kedua-dua bayi itu dapat hidup seperti manusia normal suatu hari nanti.
    “Kami percaya kepada takdir dan jika ditakdirkan bayi kembar ini berkongsi hati dan jantung, kami perlu terima.