Friday 4 November 2011

Doktor tolak 25 paku dalam kaki guna sihir





2011/11/04

pix_gal0
Mangsa tak alami komplikasi 

JAKARTA: Lebih 25 batang paku dikeluarkan daripada kaki seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki dimasukkan oleh seseorang, kata doktor yang bertanggungjawab melakukan pembedahan itu semalam.
“Objek ditemui pada kaki kanak-kanak ini dimasukkan dari luar,” kata Dr Kamaruddin Said ketika memberitahu Metro TV bagi meredakan tanggapan orang ramai yang kononnya dimasukkan secara ilmu hitam.
Dr Kamaruddin dipetik Jakarta Globe berkata adalah sangat luar biasa kerana mangsa, Safira, 3, tidak mengalami komplikasi yang mengancam nyawanya kesan daripada paku berkarat itu, setiap satu berukuran 10 sentimeter. 

Beliau berkata, sebatang lagi paku didapati ditanam berdekatan tulang belakang kanak-kanak itu dan akan menunggu sehingga Safira sembuh sebelum melakukan pembedahan lain. 

“Secara perubatan, mustahil paku berkenaan wujud sendiri di dalam badan manusia. Ketika pembedahan, kita juga tahu ada paku yang baru dimasukkan. Bekas luka turut kelihatan di betis kanak-kanak ini. Persoalannya adalah ini tindakan jenayah atau ilmu hitam, kami tidak tahu,” kata Dr Kamaruddin yang juga pakar bedah di Hospital Kerajaan Andi Makkasau, bandar Parepare, Makassar. – Agensi 

Syria sedia undur kereta perisai





2011/11/04

RAKYAT Syria berhimpun di bandar raya El-Raqqa bagi menyatakan sokongan kepada Bashar al-Assad.
RAKYAT Syria berhimpun di bandar raya El-Raqqa bagi menyatakan sokongan kepada Bashar al-Assad.
Liga Arab mahu keganasan terhadap penunjuk perasaan dihenti, tamat krisis politik 

KAHERAH: Syria menerima cadangan Liga Arab yang menggesa ia mengundurkan kereta perisai dari jalan raya dan menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan dalam usaha menamatkan krisis politik negara itu yang berlanjutan selama tujuh bulan, persetujuan yang dipandang skeptikal oleh pembangkang.
Selepas pengumuman kelmarin, Menteri Luar Qatar, Hamad bin Jassim, menggesa Damsyik mematuhi cadangan itu dengan bertindak di tengah kebimbangan Syria meneruskan tindakan keras ke atas penunjuk perasaan antikerajaan di sebalik kecaman antarabangsa dan janji melakukan perubahan.
Aktivis Syria yang kini berada di Amerika Syarikat, Najib al-Ghadban, yang juga anggota pembangkang, Majlis Kebangsaan Syria, berkata pelaksanaan inisiatif itu bermakna berakhirnya rejim dan Presiden Bashar al-Assad tidak akan membiarkan perkara itu berlaku. 

“Apa yang berlaku hari ini cuma cubaan mendapatkan lebih banyak masa. Rejim ini dikenali kerana tipu daya dan memberikan janji dan tidak melaksanakannya,” kata al-Ghadban kepada The Associated Press. 

Dalam keganasan terbaru, tembakan mesingan dan letupan kedengaran di bandar raya yang menjadi pusat kebangkitan rakyat Syria ketika aktivis melaporkan dua serangan kejam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang dalam masa 24 jam, walaupun tidak jelas siapa mendalangi serangan. 

Usaha Liga Arab mencerminkan keinginan kuat kumpulan itu untuk mengelak melihat seorang lagi pemimpin Arab ditumbangkan secara ganas dan diseret di atas jalan raya, seperti yang berlaku kepada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, bulan lalu. Keputusan Liga Arab membuka jalan kepada serangan udara NATO yang membantu menjatuhkan Gaddafi. 
Syria bersetuju untuk mengundurkan semua kereta kebal dan kereta perisai dari jalan raya, menghentikan tindakan ganas terhadap penunjuk perasaan, membebaskan semua tahanan politik dan memulakan dialog dengan pembangkang dalam masa dua minggu, menurut cadangan itu. Syria juga bersetuju membenarkan wartawan, kumpulan hak dan wakil Liga Arab memantau keadaan di negara itu. 

Bagaimanapun masih tidak pasti sama ada kerajaan bersetuju melaksanakannya. Aktivis laman web sosial menggesa perarakan besar-besaran diadakan di seluruh Syria untuk menguji komitmen kerajaan kepada rancangan Liga Arab, walaupun tidak menyatakan tarikh tertentu. 

Berpuluh-puluh orang juga mengadakan bantahan di luar ibu pejabat Liga Arab di Kaherah ketika Menteri Luar negara anggota mengadakan pertemuan kelmarin, mengibarkan bendera Syria dan melaungkan slogan menentang Assad. 

Cadangan tidak menyatakan di mana dialog antara pihak berkuasa dan pembangkang akan diadakan. Diplomat Arab yang terbabit dalam proses berkenaan berkata mereka mencadangkan di Kaherah manakala wakil Syria bertegas mahukan dialog diadakan di Damsyik. – AP