Tuesday, 25 October 2011

IWK Gombak rugi RM700,000



GOMBAK - Unit Operasi, Indah Water Konsortium (IWK) Gombak mengalami kerugian sebanyak RM700,000 sejak awal Januari hingga Oktober 2011 akibat perbuatan vandalisme dan kecurian peralatan loji rawatan kumbahan najis.

Pengurusnya, Lawrence Dominic Nice berkata, keseluruhan kerugian yang dicatat turut meliputi loji kumbahan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS),

Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Perbandaran Bentong (MPB), Majlis Daerah Raub (MDR) dan Majlis Daerah Kuala Lipis (MDKL) di mana operasi ini diselia di bawah unit operasi Gombak.

Menurutnya, kawasan Ampang mengalami kerugian paling banyak iaitu dianggarkan RM450,000.

“Walaupun kejadian ini berlaku dengan kerapnya sejak akhir-akhir ini, tetapi sukar untuk lakukan tangkapan kerana tiada bukti bahawa kawasan loji ini telah dicerobohi.

“Antara peralatan yang biasa dicuri adalah kabel dan wayar kecil dalam panel. Saya yakin ia dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam perkara tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Lawrence berkata, kesan daripada perbuatan itu menyebabkan operasi loji tergendala selama tujuh hari untuk dibaiki serta pencemaran alam sekitar yang melibatkan sungai dan pengguna.

:“Apabila terdapatnya masalah limpahan najis kumbahan, biasanya pengguna akan menyalahkan IWK sedangkan masalah itu bukanlah berpunca daripada pengurusan IWK.

“Untuk baiki kerosakan pula, kerajaan terpaksa keluarkan kos hingga RM30,000 bergantung kepada kecil dan besarnya kerosakan yang dialami,” katanya.

Katanya lagi, dalam perkara ini IWK kini mendapatkan bantuan polis untuk menyiasat dan menangkap penjenayah di samping bantuan dan maklumat orang awam.

“Pihak syarikat juga dalam perbincangan dan bercadang untuk memberi sagu hati RM1,000 kepada orang ramai yang menjadi saksi sekiranya maklumat disampaikan dapat membantu sehingga tertangkapnya penjenayah.

“Pihak syarikat melalui Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir Mohd Kadir turut berhasrat untuk memberi sijil penghargaan kepada polis sekiranya tangkapan berjaya dilakukan,” katanya.

Lawrence berkata, kawasan Teratai, Ampang adalah kawasan hot spot kepada penjenayah sejak akhir-akhir ini dan beliau sering mendapat aduan orang awam berhubung masalah seperti limpahan najis kumbahan.

“Dalam pertemuan dan perbincangan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang baru-baru ini, satu unit khas akan diwujudkan dalam membantu kes ini dan berharap masalah ini dapat diatasi.

“Masalah ini bukan sahaja melibatkan kerugian kepada syarikat dan kerajaan tetapi telah menjejaskan kehidupan seharian orang ramai. Saya berharap orang awam turut dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat sekiranya ternampak seseorang yang mencurigakan memasuki kawasan loji IWK kepada polis,” katanya.
SH:

'via Blog this'

Treler sarat muatan beras



KOTA BHARU - Kawal Selia Padi Beras Kelantan berjaya merampas 35 metrik tan beras super tempatan 15 peratus di Kilometer 29, Lebuh Raya Jeli-Gerik, kira-kira jam 5 pagi, semalam.

Timbalan Pengarahnya, Ramli Abdul Rani berkata, rampasan berkenaan dibuat ketika sebuah treler cuba membawa masuk beras berkenaan ke luar negeri ini, dipercayai ke Kedah.

“Hasil maklumat orang ramai, pihak kami menjalankan risikan pada 23 Oktober lalu, iaitu sehari sebelum penahanan dan intipan bermula dari Pasir Puteh.

“Setelah mengekori treler berkenaan, kami mendapati terdapat 35 jumbo beg beras super tempatan 15 peratus dan menahannya untuk membantu siasatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Ramli berkata, dalam penahanan treler berkenaan, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, beras yang dirampas berkenaan akan ditempatkan di stor Lundang sementara menunggu keputusan hukuman daripada mahkamah berkenaan kes terbabit.

“Kesalahan berkenaan akan disabitkan mengikut Akta Kawalan Padi Beras 1994,” katanya.

Katanya, berikutan penahanan treler beras itu, pihaknya membuat laporan polis di Bersia, Perak, semalam.
SH:

'via Blog this'

Adakah Libya kini bebas?



LIMA hari selepas dibunuh, mayat Muammar Gaddafi yang mereput masih dipertontonkan kepada orang ramai, termasuk kanak-kanak sehingga hari ini.

Bila dan di mana jenazah pemimpin yang memerintah Libya selama 42 tahun itu akan dikebumikan terus menjadi tanda-tanya, sementara pihak pemberontak dan kerajaan baru bertelagah mengenai perkara tersebut.

Apakah ini sebahagian daripada bentuk kebebasan yang diidamkan rakyat Libya? Bebaskah mereka daripada pemikiran sempit ala golongan barbarian yang kelihatan masih mencengkam mereka?

Pemerintah baru Libya mengumumkan secara rasmi pembebasan negara itu di dalam suasana seakan perayaan kelmarin, sedangkan jenazah Gaddafi, anaknya dan ketua tentera beliau masih terbaring kaku dan semakin membusuk di atas tilam usang di bilik sejuk sebuah pasar lama di Misrata.

Pemimpin berusia 69 tahun tersebut menemui ajal di tangan rakyatnya sendiri selepas ditangkap hidup-hidup di bandar kelahirannya di Sirte, Khamis lalu.

Ya, Gaddafi bukan pemimpin paling ideal. Dia menindas rakyatnya, seperti ditegaskan pemimpin sementara Libya, Mahmoud Jibril semasa mempertahankan tindakan pemberontak mengasari Gaddafi dan menghina jenazahnya.

“Saya faham perasaan anda tetapi apa yang dilalui mereka (pemberontak) sejak 42 tahun lalu adalah jauh lebih teruk daripada itu,” katanya semasa menjawab soalan wartawan mengenai layanan buruk pemberontak terhadap jenazah Gaddafi.

Tetapi apa perbezaan kerajaan baru dan pemberontak Libya dengan Gaddafi jika mereka juga menonjolkan sikap ganas yang sama?

Pembunuhan Gaddafi tanpa mengikut undang-undang menyebabkan negara Barat yang sebelum ini bersorak menyokong pemberontak Libya sepanjang perang lapan bulan lalu, kini bersikap lebih berhati-hati dalam melaungkan sokongan.

Britain, Amerika Syarikat (AS), dan Perancis termalu sendiri kerana perjuangan mereka kononnya untuk mewujudkan sistem demokrasi di Libya kini calar-balar akibat perbuatan pemberontak negara tersebut.

Washington mengeluarkan kenyataan berlapik meminta kerajaan sementara Libya memberi maklumat telus mengenai kematian Gaddafi walaupun AS sendiri melakukan jenayah sama ke atas pemimpin Al-Qaeda, Osama Laden, Mei lalu.

Dan apabila badan bebas antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta Amnesty International: menuntut siasatan dibuat terhadap kematian Gaddafi, pemimpin yang digelar diktator, pastinya ada sesuatu yang tidak kena.

Penerima Hadiah Nobel Keamanan, Desmond Tutu turut mengecam hebat pembunuhan Gaddafi yang dianggap bukan sesuatu untuk diraikan dan menegaskan AS tidak patut berbangga dengan kematian beliau.

“Cara pembunuhan Gaddafi jauh menyimpang daripada niat untuk mewujudkan budaya hak asasi manusia dan demokrasi di Libya,” katanya.

Penduduk di Barat juga seakan terpaku dan tidak percaya dengan apa yang disaksikan di Libya, di mana kematian Gaddafi diraikan dengan cara agak mengerikan.

Ini menimbulkan persoalan paling utama. Adakah tindakan pemberontak Libya ini akan menyebabkan imej Islam, yang sedia tercemar di mata Barat, menjadi semakin buruk?

Bukan sahaja dari segi moral, rakyat Libya juga mungkin akan menyaksikan kepincangan hebat dalam pentadbiran serta politik negara itu dan tidak mustahil perang saudara berpanjangan akan berlaku di Libya.

Ini kerana di sebalik keinginan untuk membiarkan semua orang melihat mayat Gaddafi sebagai bukti kematiannya, punca lain mengapa Gaddafi masih terbaring kaku tanpa pengebumian sempurna adalah perbalahan antara pelbagai puak di mana mayat Gaddafi akan ditanam.

Jika pemimpin baru Libya tidak boleh sependapat mengenai lokasi jenazah Gaddafi perlu dikebumikan, bolehkah mereka sependapat dalam perkara seperti pembentukan kerajaan dan dasar negara?

Bolehkah rakyat Libya menikmati kebebasan diingini dengan kewujudan pelbagai puak yang mempunyai semangat kabilah tinggi di negara itu?

Perkembangan di dunia Arab ini perlu membuka mata dan membuatkan kita lebih menghargai keamanan negara sendiri tanpa membiarkan sikap memusnahkan dalam diri, termasuk amarah dan tamak kuasa, menguasai pemikiran.

Tetapi apa yang lebih penting, kisah Libya ini perlu dijadikan pengajaran bermakna terhadap mereka yang terlalu ghairah mencari ’kebebasan’.
SH:

'via Blog this'

Sindiket dadah tumpas



IPOH – Polis berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah jenis heroin dan syabu di sekitar Daerah Kinta (Ipoh, Batu Gajah dan Kampar) setelah memberkas lapan lelaki dalam empat serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, hasil serbuan di Jelapang Tambahan, Taman Silibin Mewah, Tanjung Rambutan dan Taman Meru Impiana itu, polis berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 8.002 kg, syabu (1.129kg), syabu cecair (30 liter), ketamin (108gm) dan pil Psikotorik (21gm).

Menurutnya, beberapa barangan lain seperti tiga kereta, sebuah lori, tiga motosikal, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, barang kemas, seutas jam tangan serta wang tunai berjumlah RM32,131 turut disita.

“Secara keseluruhan, nilai harta yang disita setakat ini, dianggarkan bernilai RM37 ribu sementara harga pasaran dadah yang dirampas bernilai RM550 ribu.

“Semua suspek yang berusia antara 26 dan 36 tahun itu kini ditahan reman sehingga 29 Oktober depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A,Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, Noor Rashid berkata, serbuan itu telah dirancang sejak beberapa bulan lalu hasil risikan serta maklumat daripada orang ramai.

Katanya, sindiket berkenaan didapati tiada hubung kait dengan sindiket luar, bagaimanapun, siasatan lebih lanjut akan dilakukan.

Sementara itu, Noor Rashid turut menghargai segala usaha daripada orang ramai yang menyalurkan maklumat hingga tertangkapnya kelapan-lapan lelaki tersebut dan seterusnya bakal melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah di sekitar lembah Kinta.

“Inilah sikap yang kita mahu daripada orang ramai. Jangan takut untuk berikan maklumat-maklumat kepada kita jika mengesyaki wujudnya aktiviti-aktiviti pengedaran dadah di kawasan mereka.
SH:

'via Blog this'

Operasi cari Zulkifli diteruskan



BALING - Operasi mencari mangsa jatuh lata, Zulkifli Zakaria, 20, masih diteruskan walaupun operasi berlangsung hampir seminggu.

Walaupun operasi menyelamat disertai oleh pasukan penyelamat yang terlatih iaitu dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Unit Marin dan yang terbaru dari Tentera Laut diraja Malaysia (TLDM), Zulkifli masih belum ditemui sehingga laporan ini ditulis.

Walaupun gerakan mencari ini dijalankan secara terus menerus, penduduk setempat sentiasa berikhtiar untuk memastikan mangsa dapat ditemui.

Sehubungan itu, Adun Bayu, Azmi Che Hussin telah melancarkan bacaan Yasin perdana di padang Sekolah Kebangsaan Iboi semalam agar operasi mencari mangsa dipermudahkan.

Azmi berkata, lebih 200 penduduk melibatkan pelbagai kampung berkumpul bagi menjayakan majlis bacaan Yasin itu.

Menurutnya, pasukan penyelamat sukarela pusat khidmat wakil rakyat Dun Bayu bersama penduduk setempat bersepakat menggunakan kayu balak sebagai langkah seterusnya dalam operasi mencari mangsa.

“Kita akan gunakan kayu balak untuk menyekat arus air yang terlalu deras. Keadaan ini akan membolehkan tekanan air kurang seterusnya dapat memudahkan operasi mencari,” katanya.

Dalam pada itu, ketika pasukan menyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa, ada pihak menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan mangsa telah ditemui.

Azmi berkata, dia turut menerima SMS itut ketika berada di Karnival Sepakat Komuniti dan Kepenggunaan 1Malaysia di Kampung Iboi, kelmarin.

“Nasib baik saya tak umumkan kepada orang ramai, kalau tidak, ia pasti akan mengecewakan keluarga mangsa apabila mendapat maklumat yang palsu,” katanya.

Menurutnya, SMS itu mengatakan mangsa dihantar ke Hospital Sungai Petani dan sedang menerima rawatan.

Usaha mencari mangsa turut mendapat perhatian pengamal perubatan tradisional termasuk pengamal perubatan dari agama lain.

Katanya, selaku seorang Islam, pelbagai ikhtiar perlu dilakukan untuk mencari jalan memudahkan operasi mencari mangsa.

“Kita harus ingat, ajal dan maut di tangan Tuhan. Mangsa mungkin masih hidup ataupun sebaliknya. Bila kita dah usaha dan berikhtiar, kita perlu berserah kepada Tuhan,” katanya kepada Sinar Harian.
SH:

'via Blog this'

18 ditahan akibat berjudi siber



SENAWANG - Akibat bermain judi di sebuah pusat siber, tiga wanita dan 15 lelaki termasuk pekerja premis ditahan dalam serbuan operasi khas judi siber di Taman Matahari Height, dekat sini, semalam.

Operasi yang bermula 10.30 malam itu diketuai Pegawai Penguat kuasa, Ahmad Zaki Hamzah serta 14 anggota dan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAINS) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguat kuasa JHEAINS, Ahmad Husaini Mustafa berkata, kesemua yang ditahan adalah beragama Islam, berusia lingkungan 20 hingga 40-an.

“Serbuan ini dijalankan berikutan orang awam dan ibu bapa yang tinggal di sekitar kawasan ini mengadu anak mereka suka berkunjung di premis tersebut.

“Hasil risikan dilakukan selama tiga hari, kita akhirnya berjaya menahan mereka yang dipercayai pemain tegar di premis berkenaan.

“Premis berkenaan dipercayai beroperasi secara haram berikutan tiada sebarang lesen perniagaan berjaya ditunjukkan oleh wakil premis,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Ahmad Husaini berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Senawang, di sini untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 79 (A) (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan pindaan 1992 dan Seksyen 35 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan.
SH:

'via Blog this'

Polis ditikam dengan gunting



ALOR GAJAH - Kerana mahu memastikan keselamatan penduduk terjamin, seorang anggota polis berpangkat koperal ditikam gunting oleh penjenayah semasa mahu menegurnya di jalan besar Felda Hutan Percha, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, Koperal Nasaruddin Mansor, 50-an, yang cedera di bahagian pelipis mata akibat tikaman berkenaan.

Dia dikatakan pergi ke kawasan berkenaan dengan hanya berpakaian biasa selepas menerima aduan penduduk mengenai seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan tidur di bawah pokok getah dengan memakai topi keledar, di samping sebuah motosikal di situ.

“Sebaik saya keluar ke jalan besar dengan motosikal jenis Honda EX-5, saya lihat lelaki yang didakwa penduduk sedang berjalan kaki memakai topi keledar putih dari arah pam minyak menuju ke sebuah motosikal jenis skuter.

“Niat saya sebenarnya nak bantu dia. Saya terus bertanya apa yang berlaku sebelum lelaki terbabit mengatakan dia kehabisan minyak,” katanya.

Nasaruddin berkata, dia bagaimanapun terkejut apabila lelaki terbabit yang kelihatan gelisah terus menghunus gunting yang terselit di jari tangannya sehingga terkena bahagian tepi sebelah kanan mata Nasaruddin.

“Suspek semakin mengganas dan terus menolak saya dengan kedua-dua tangannya sehingga saya terjatuh ke tebing gaung. Lelaki berkenaan terus merampas motosikal saya dan memecut laju ke arah Solok Menggong,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian, semalam.

Nasaruddin yang bertugas di Balai Polis Hutan Percha dan sudah berkhidmat selama lapan tahun di situ kemudian menerima rawatan di Klinik Kesihatan Hutan Percha, di sini.

“Mujur lelaki itu tak tikam saya dengan gunting itu. Selepas kejadian itu, saya terus menghubungi balai polis tempat saya bekerja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu sebenarnya suspek yang sedang diburu pihak polis atas kesalahan jenayah.

“Skuter yang ditinggalkan lelaki terbabit bagaimanapun dibawa ke balai polis,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang terserempak atau mengenali suspek yang berketinggian 158 sentimeter, berbadan gempal dan berkulit cerah boleh menghubungi balai polis berdekatan.
SH:

'via Blog this'

Pegawai trafik cedera dirempuh mat rempit



KLANG - Seorang pegawai penguat kuasa trafik cedera dirempuh mat rempit ketika operasi di Persiaran Raja Muda Musa, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu, Cif Inspektor Zulkafli Hashim dari balai trafik Klang cedera di pergelangan tangan kanan dan lutut apabila tindakannya untuk mempertahan diri gagal daripada dirempuh sebuah motosikal dipercayai ditunggang seorang pelajar sekolah.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Balai Trafik Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, mangsa ketika itu sedang memeriksa sebuah motosikal, dalam masa sama, sekumpulan mat rempit yang lari lintang pukang kerana terkejut dengan pemeriksaan dibuat polis bertindak melanggar mangsa dari bahagian kanan.

Menurutnya, mangsa yang tidak sempat mengelak cuba mempertahankan diri, namun gagal menyebabkan terjatuh ke sisi jalan raya.

“Motosikal milik mat rempit yang melanggar mangsa turut terjatuh, melihat insiden itu, anggota trafik lain terus mencekup mat rempit berkenaan, dia dibawa ke balai bagi membantu siasatan,” katanya.

Berdasarkan siasatan polis, mat rempit yang ditahan merupakan pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di Bukit Tinggi.

Ketika kejadian, mangsa menaiki motosikal jenis Yamaha dan dipercayai menjadikan aktiviti rempit sebagai rutin malam minggu.

Rosly berkata, insiden itu berlaku ketika operasi cegah mat rempit fasa kedua bermula jam 3.30 pagi di lampu isyarat Kampung Raja Uda di Persiaran Raja Muda Musa.

Katanya, operasi yang disertai 12 anggota dan diketuai oleh mangsa sendiri adalah satu langkah mencegah kegiatan mat rempit.

“Fasa pertama, anggota penguat kuasa menjalankan sekatan jalan raya di laluan sama berhampiran bangunan Harbour Place pada jam 12 malam hingga 2.45 pagi, namun dalam operasi itu, tidak ada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Zulkafli yang dilaporkan stabil mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
SH:

'via Blog this'

Ganja RM44,700 dirampas



ALOR SETAR - Cubaan seorang wanita warga Thailand menyeludup dadah jenis ganja tidak berjaya apabila kegiatannya itu berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah.

Timbalan Pengarah JKDM Kedah, Saidi Ismail berkata, wanita yang menaiki bas ke Johor Baharu itu ditahan berhampiran plaza tol Jitra kira-kira jam 9.10 malam, Khamis lalu oleh pasukan Kastam Unit Narkotik, Alor Setar.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati wanita berusia 28 tahun itu membawa 20 ketulan mampat daun kering yang disyaki dadah jenis ganja seberat 18.634 kilogram (kg).

“Hasil maklumat dari orang awam, kita telah menahan bas berkenaan yang dinaiki oleh 12 penumpang dan mengarahkan kesemua penumpang untuk turun serta mengambil bagasi masing-masing untuk diperiksa.

“Apabila wanita itu membuka beg berkunci yang dibawa, kita mendapati terdapatnya ketulan mampat daun kering yang disyaki dadah,” katanya.

Saidi berkata, ganja yang dibawa wanita itu dianggarkan bernilai RM44,700 dan wanita yang disyaki sebagai suri rumah itu turut meletakkan beberapa helai pakaian di dalam beg troli yang diletakkan di bahagian bagasi bas berkenaan.

Menurutnya, wanita itu akan direman oleh JKDM selama seminggu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atasnya.

“Dadah yang dibawa wanita itu dipercayai untuk pasaran di ibu negara kerana destinasi wanita terbabit adalah Kuala Lumpur.

“Wanita ini akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengedar dadah berbahaya dan jika disabitkan kesalahan dia boleh dikenakan hukuman mati mandatori,” katanya.

Sementara itu, Saidi berkata, JKDM mengharapkan kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan maklumat penyeludupan melalui talian bebas tol 1-800-88-8855.

Katanya, individu yang menyalurkan maklumat kepada pihak JKDM akan dirahsiakan identitinya.
SH:

'via Blog this'

Lari dari pusat pemulihan



WANG TEPUS - Seorang pelatih lelaki yang berperwatakan seperti wanita dipercayai melarikan diri dari sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak, Pusat Rawatan Cahaya Petunjuk di sini sejak 11 hari lalu.

Mohd Ridhwan Khan Jumakahn, 30, yang berasal dari Negeri Sembilan itu dikatakan menghilangkan diri selepas mengalami tekanan berikutan terlalu lama diletakkan di pusat itu bagi tujuan pemulihan penyalahgunaan dadah dan akhlak.

Pengetua pusat rawatan terbabit, Mohd Muzni Mohd Noor, berkata, pihaknya mula menyedari kehilangan pelatih itu kira-kira jam 5 pagi pada 14 Oktober lalu ketika mahu mengejutkan semua pelatih untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah.

Menurutnya, sejak kehilangan pelatih itu pihaknya juga tidak pernah berhenti mencari di merata-rata termasuklah di Alor Setar, Pokok Sena dan Kuala Nerang.

“Kami turut menerima panggilan daripada orang awam yang menemuinya di kawasan Bukit Tembaga dan ingin menghantarnya pulang tetapi dia berjaya melarikan diri dan masuk ke kawasan hutan kerana bimbang dimasukkan semula ke pusat ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Ridhwan Khan dimasukkan ke pusat itu sejak Mei lalu selepas ditahan kerana kes penyalahgunaan dadah dan akhlak.

Mohd Muzni berkata, pelatih terbabit meninggalkan tempat itu sehelai sepinggang dan berpakaian kemeja T berwarna biru gelap dan seluar trek biru ketika kali terakhir ditemui sebelum menghilangkan diri.

Menurutnya, pihaknya yakin pelatih terbabit memanjat pagar di sekitar pusat terbabit sebelum berjaya meloloskan dirinya sewaktu kejadian.

“Kita bimbang sesuatu yang buruk menimpanya kerana sebelum ini dia pernah dua kali cuba melarikan diri namun sempat ditahan polis dan dimasukkan semula ke pusat itu.

“Kita tidak mahu dia kembali kepada perwatakan wanita kerana sejak berada di sini dia sudah boleh menerima perubahan dan bertukar kepada watak lelaki secara perlahan-lahan,” katanya

Berikutan kehilangan pelatih itu, satu laporan polis juga telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu pada 22 Oktober lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohamed Yusof, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan mengenai kes itu.

Sesiapa yang terjumpa atau mempunyai sebarang maklumat mengenai Mohd Ridhwan bolehlah menghubungi Mohd Muzni di talian 013-4230243, 04-9173014 atau Mohd Fitri Ramizan di talian 019-5503093.
SH:

'via Blog this'

Angkara litar pintas



BALING - Sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila hampir keseluruhan rumah mereka rentung dalam kejadian kebakaran tengah hari kelmarin di Kampung Charok Sikin.

Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu dipercayai berpunca daripada litar pintas kerana sebelum kebakaran, bunyi letupan kedengaran di bahagian meter rumah berkenaan.

Pemilik rumah, Mohd Asroh Ahmad, 38, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah jiran yang hanya beberapa meter dari rumahnya.

“Semasa saya berbual dengan rakan, saya terdengar bunyi letupan di bahagian bumbung rumah. Kemudian, api marak dengan pantas sehingga saya tak sempat selamatkan apa-apa.

“Saya hanya dapat berlari masuk ke ruang tamu untuk mendapatkan barangan berharga, namun gagal kerana bahang api terlalu panas selain risau bumbung rumah runtuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Asroh yang bekerja kampung berkata, dia turut berlari keluar meminta pertolongan jiran, namun, kebakaran tersebut terlalu cepat sehingga hampir memusnahkan keseluruhan rumahnya.

“Mujurlah semua keluarga saya termasuk isteri, Azlina Aziz, 37; dan anak Mohd Faiz Fahmi, 19; Mohd Nurul Nor Fahatun, 17; Mohd Faiz Farhan, 13; dan Ani Nur Fatihah, 11, berada di luar rumah ketika kejadian,” katanya.

Mohd Asroh berkata, anggaran kerugian RM80,000 melibatkan wang tunai dan perabot rumah.

“Segala dokumen penting tidak dapat diselamatkan. Semua buku rujukan anak saya yang bakal menduduki SPM tahun ini juga hangus,” katanya.

Sementara itu, Yayasan Pembangunan Rakyat Baling meluluskan peruntukan membina sebuah rumah ganti.

Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, RM33,000 diluluskan bagi membantu mereka. Hadir sama, Penyelaras Dun Kupang, Ishak Mat dan Pegawai Jasa Dun Bayu, Othman Md Noor.
SH:

'via Blog this'

Dipenjara hanya kerana RM200



AYER KEROH - Akibat meragut beg seorang wanita yang hanya mengandungi wang kira-kira RM200, dua sahabat terpaksa meringkuk dalam penjara selama 40 bulan apabila didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini semalam.

Hukuman dijatuhkan Hakim Ahmad Sazali Omar terhadap Muhammad Shafiq Abdul Rahman, 18, dan Muhammad Akmal Isa, 20, selepas kedua-duanya mengaku bersalah ke atas pertuduhan disabitkan ke atas mereka.

Muhammad Syafiq dari Krubong, di sini dan Muhammad Akmal dari Taman Keramat, Kuala Lumpur membuat pengakuan bersalah tersebut selepas empat orang saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang dijalankan dua minggu lalu.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didapati dengan niat curang meragut beg tangan milik S Geeta, 22, berhadapan kedai serbaneka 7-Eleven di Jalan Besar Datuk Dol said, Alor Gajah kira-kira 4.30 petang pada 15 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Terdahulu, peguam bela Andrew Lourdes memohon mahkamah memberikan hukuman ringan terhadap kedua-dua anak guamnya dengan alasan mangsa tidak mengalami kecederaan.

“Mangsa tidak dicederakan malah kerugian dialami mangsa hanya RM200 tetapi telah dipulangkan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat yang mengendalikan kes itu meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

“Mahkamah perlu mengambil kira kekerapan kes ragut yang sentiasa berlaku apatah lagi mangsa-mangsa yang terlibat tidak kira usia,” katanya.

Ahmad Sazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara 40 bulan dari tarikh ditangkap pada 15 Jun lalu terhadap kedua-dua tertuduh.
SH:

'via Blog this'

Penyamun tetak suami isteri



BAHAU – Keengganan sepasang suami isteri mengikut kehendak dua penyamun, berakhir dengan tragedi apabila mereka cedera parah di bahagian tangan akibat ditetak dengan parang, dalam satu kejadian samun di Taman Jaya, di sini, Sabtu lalu.

Ketika kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, pasangan berkenaa:n yang juga merupakan peraih getah dipercayai sedang menunggu pelanggannya di pusat pengumpulan getah milik mereka.

Menurut Jurucakap polis, mangsa yang kemudian didatangi dua lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an menaiki motosikal di pusat berkenaan.

“Tiba-tiba salah seorang suspek menghampiri dan menghunuskan sebilah parang ke arah mangsa.

“Keadaan menjadi tidak terkawal apabila suspek menjadi berang berikutan mangsa enggan menyerahkan wang ketika diarahkan.

“Mangsa cuba melawan namun gagal, dan menyebabkan suami mangsa mengalami cedera parah di bahagian tangan, manakala isterinya hanya cedera ringan di tapak tangan,” katanya.

Menurutnya, bagaimanapun, kedua suspek berjaya melarikan wang tunai milik pasangan yang berusia 30-an terbabit bernilai kira-kira RM40,000.

“Ketika kejadian hanya pasangan berkenaan berada di kawasan itu. Salah seorang mangsa kemudiannya menjerit meminta pertolongan daripada orang ramai sebelum dibawa ke Hospital untuk rawatan lanjut.

“Pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan serius di bahagian tangan, namun kini berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Sabri Muhamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, pihak polis kini sedang mengesan kedua-dua suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan.
SH:

'via Blog this'

Disamun ‘tiga beranak’



ALOR GAJAH - Tindakan licik ‘tiga beranak’ berjaya mengaburi mata pasangan suami isteri yang menjalankan perniagaan makanan sejuk beku di pekan Masjid Tanah, di sini, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM2,600.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam kelmarin, mangsa, Asmarawa Salleh, 58, baru selesai solat Isyak bersama suami, Fadhil Hamid, 58, didatangi pelanggan yang lagaknya seperti bapa dan anak.

Menurut Asmarawa, lelaki berusia lingkungan 40-an dan wanita berusia lingkungan 20-an itu masuk ke kedai sementara seorang lagi wanita menunggu di dalam kereta jenis kancil berwarna biru gelap.

“Kedua mereka mengambil sebungkus daging burger dan membayarnya di kaunter sebelum keluar menuju ke kereta. Namun, wanita yang lagak seperti anak itu masuk semula ke kedai kerana mahu menukar duit.

“Di tangannya terdapat sekeping wang RM50 dan lima keping RM10. Dia mahu menukar wang kertas RM100, tetapi saya tiada wang berkenaan. Sementara lelaki tadi berdiri di depan kedai.

“Wanita tadi tidak jadi menukar wang, namun menyatakan ibunya yang berada di dalam kereta sedang sakit dan mahu berjumpa saya. Ketika itu, suami saya sedang melayan lelaki terbabit yang membelek madu lebah,” katanya.

Mangsa kemudiannya meninggalkan wanita terbabit dan segera mendapatkan ‘ibunya’ yang berusia lingkungan 40-an dan berborak mesra tanpa mengesyaki apa-apa.

“Kemudian, wanita itu keluar dari kedai dan memasuki kereta sementara lelaki yang rancak berborak bersama suami terus menghulurkan botol madu lebah kepada saya dan bergegas masuk ke kereta sebelum memecut dalam keadaan bonet kereta terbuka,” katanya yang membuat laporan di balai polis Masjid Tanah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku dan masih dalam siasatan untuk mengenal pasti suspek terlibat.

Menurutnya, lelaki yang dikenal pasti berkulit gelap, berbadan gempal dan berambut ala tentera sementara suspek wanita yang menyamar sebagai anak itu berbadan gempal, berkulit cerah serta berambut pendek dan lurus manakala suspek wanita tidak memakai tudung berambut pendek.
SH:

'via Blog this'

Dua beranak maut dirempuh bas



MENTAKAB – Dua beranak terbunuh apabila kereta dinaiki empat sekeluarga dirempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 145 Jalan Kuala Lumpur – Kuantan dekat kilang Mardec Batu 5 di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu pemandu kereta, Mohd Khairi Abdullah Jis, 31, yang berasal dari Felda Panching Utara, Kuantan serta anak perempuannya Nurul Najwa Hannani, 6, yang duduk di tempat duduk belakang meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, kejadian berlaku semasa bas yang dari arah Mentakab ke Kuala Lumpur itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta yang dipandu Mohd Khairi menyebabkan mangsa dan anaknya tersepit.

“Semasa kejadian bas terbabit dinaiki 15 penumpang, namun kesemua penumpang selamat. Turut bersama dalam kereta malang itu isteri Mohd Khairi, Suryati Sudin dan anak lelakinya Muhammad Airell Zikry 4,’ katanya.

Mohd Nor berkata, isteri dan anak lelaki mangsa hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Beliau berkata, kejadian berlaku di satu selekoh dan permukaan jalan ketika kejadian kering dan cuaca baik.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis menasihati semua pemandu supaya berhati-hati di jalan raya terutama ketika keadaan cuaca tidak menentu kebelakangan ini,” katanya.
SH:

'via Blog this'

Sudah curi van, lari dari tahanan pula



KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 18 bulan di Mahkamah Majistret, di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencuri sebuah van jenis Nissan Vanette di tempat letak kereta di hadapan KFC Batu Burok, di sini, 4 Oktober lalu.

Bukan itu sahaja, tertuduh, Mohd Rizal Khalid, 33, dari Jalan Pusara, di sini, turut dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan selepas mengaku cuba melarikan diri dari tahanan polis semasa menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, 13 Oktober lalu.

Majistret, Noradila Ab Latif mengarahkan kedua-dua hukuman itu berjalan berasingan selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu rakannya, Mohd Robi Che Mohammad, 29, dari Felda Belara, di sini yang dituduh bersama-sama mencuri van berkenaan, mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainudin Abdul Ghani manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama rakannya itu yang disyaki mencuri sebuah van telah ditangkap dan dibelasah oleh seorang penunggang motosikal dan orang ramai, selepas van dipandu terbabas di bahu jalan dalam kejadian di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Rhu Renggeh, Marang.

Susulan tindakan itu, tertuduh mengalami kecederaan pada muka dan kepala serta dihantar ke wad HSNZ untuk menerima rawatan susulan dengan dikawal dua anggota polis, Konstabel Mohd Zulhilmi Jaafar dan Konstabel Afizul Abdul Rahman.

Bagaimanapun, pada 13 Oktober lalu kira-kira jam 9.15 malam, tertuduh bertindak melarikan diri dari wad 7EF dengan tangan masih bergari serta memakai pakaian lokap.

Namun, tertuduh berjaya ditangkap semula tiga jam kemudian di Jalan Pusara, Kuala Terengganu berhampiran kediamannya hasil kecekapan anggota polis dan maklumat orang awam sejurus menyedari kehilangannya.
SH:

'via Blog this'

Langgar murid hingga parah, lelaki dipenjara



KUALA TERENGGANU - Akibat memandu secara cuai yang menyebabkan kecederaan parah kepada dua pelajar tahun dua dalam kemalangan 6 Mei 2008 lalu, seorang pemandu lori terpaksa meringkuk dalam penjara selama sehari dan denda RM5,000 serta lesen memandu kelas E miliknya digantung selama dua tahun bermula semalam.

Hukuman itu dijatuhkan terhadap Razali Zakaria, 39, dari Kampung Kebor Air, Manir, selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu menyebabkan kecederaan parah.

Mengikut fakta kes, tertuduh, pada 6 Mei 2008 kira-kira jam 10 pagi, memandu sebuah lori jenis Nissan UD dalam perjalanan dari arah Setiu ke Kuala Terengganu.

Apabila tiba di hadapan Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Kuala Terengganu, tertuduh telah merempuh bahagian belakang sebuah basikal yang dinaiki mangsa, Ahmad Firdaus Ahmad, 8, dan Muhammad Hafiz Ramli, 8.

Akibat rempuhan dan diseret sejauh kira-kira lima meter, mangsa Ahmad Firdaus patah paha kanan, tulang punggung retak, pundi kencing mengalami luka dalaman serta luka di bahagian badan manakala mangsa, Muhammad Hafiz putus kaki kanan dan cedera di bahagian dada badan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainudin Abdul Ghani di hadapan Majistret, Nor Adila Ab Latif manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
SH:

'via Blog this'

Penoreh meringkuk 11 tahun



KOTA BHARU – Seorang penoreh getah dipenjara 11 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol gadis lembam berusia 12 tahun di Sungai Sok, Kuala Krai, dua tahun lalu.

Ahmad Fitri Yaacob, 24 dari Sungai Sok didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tanpa nombor RPT Kesedar, Sungai Sok, pada waktu siang terhadap seorang gadis kurang upaya berusia 12 tahun 10 bulan, pada 27 Oktober 2009.

Hakim Irwan Suainbon dalam penghakimannya berkata, kesalahan itu serius kerana merosakkan masa depan mangsa dan hukuman mengambil kira kepentingan awam.

“Ahmad Fitri mengambil kesempatan terhadap mangsa bawah umur.

“Perbuatan tersebut menzalimi mangsa. Mengambil faktor itu mahkamah mengenakan penjara 11 tahun dan enam sebatan terhadap Ahmad Fitri,” katanya dalam keputusan pada akhir kes pembelaan, semalam.

Dalam hujah pembelaan, Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana jenayah seumpama itu kian serius berlaku di Kelantan.

“Kesalahan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara maksimum 30 tahun dan sebatan,” katanya.

Sementara itu, peguam bela Ahmad Fitri, Mohd Zubairi Salleh dalam rayuannya memohon penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya dan akan failkan rayuan ke Mahkamah Tinggi.

“Ahmad Fitri sudah berkahwin kini mempunyai seorang anak berusia empat bulan yang menghidapi ketumbuhan pada dahi dan memerlukan penjagaan sepenuhnya kerana saya percaya isterinya tidak mampu menjaga anak mereka seorang diri.

“Bayi itu juga memerlukan rawatan berkala di Hospital Kuala Krai dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian. Jika mahkamah membenarkan penangguhan ini Ahmad Fitri bersedia untuk melaporkan diri di Balai Polis Kuala Krai jika perlu,” katanya.

Menurutnya, jika mahkamah bersetuju dengan permohonan itu pihaknya juga berharap jaminan sedia ada digunakan iaitu jaminan menggunakan geran tanah yang dibuat bapa Ahmad Fitri sebelum ini.

Beliau percaya sepanjang perbicaraan kes itu tiada sebarang aduan atau laporan terdapat gangguan dibuat Ahmad Fitri kepada mangsa.

Bagaimanapun, Asmah tidak menerima alasan peguam Ahmad Fitri untuk penangguhan hukuman kes berkenaan kerana bayi berkenaan mampu dijaga isteri mangsa.

Hakim Irwan kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sehingga rayuan didengar di Mahkamah Tinggi dengan jaminan geran tanah RM12,000.

Menurutnya, tertuduh juga perlu melaporkan diri di Balai Polis Kuala Krai sebulan sekali.
SH:

'via Blog this'

Bom lama dalam timbunan besi buruk



KUALA LANGAT - Sebutir bom lama berbentuk roket dipercayai tinggalan Perang Dunia ke-2, ditemui dalam timbunan besi buruk di sebuah kilang di Olak Lempit, Banting, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan penemuan itu dan mengatakan, bom berkenaan adalah senjata pengeboman yang diletakkan di bawah kapal terbang.

Menurutnya, bom bersaiz 1.06 meter tinggi dengan lebar 0.6 meter itu, ditemui oleh seorang pekerja premis ketika sedang melakukan kerja-kerja mengemas timbunan besi buruk kira-kira jam 9.15 pagi.

“Pekerja premis yang terkejut dengan penemuan itu terus mengasingkan besi buruk untuk mengeluarkan bom.

“Dia kemudiannya menghubungi polis memaklumkan kejadian tersebut,” katanya.

Nordin berkata, Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor dihantar ke tempat itu untuk siasatan lanjut.

“UPB musnahkan bom itu kira-kira jam 1.40 petang tadi (semalam) dan kes ini dianggap selesai,” katanya.

Katanya, timbunan besi buruk itu diimport dari luar negara dan masih belum dapat dikenalpasti berapa lama ia berada di situ bersama bom terbabit.

Menurutnya, polis bagaimanapun memuji tindakan pantas pekerja premis yang memaklumkan kejadian tersebut kepada polis selepas menemui bom berkenaan.

“Orang ramai yang temui objek mencurigakan dipercayai bom lama, dinasihatkan supaya tidak bertindak sendiri. Mereka perlu lapor kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
SH:

'via Blog this'

Diganggu ah long kerana hutang anak



KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri warga emas kini hidup dalam ketaku-tan selepas menerima pelbagai ugutan termasuk rumah disimbah cat merah selepas anak lelaki mereka gagal menjelaskan hutang ah long.

Chan Wooi @ Chap Hup Hui, 73, dan isteri Chong May Thye, 72, mendakwa mereka diugut ceti haram itu agar membayar hutang anak mereka Chan Siew Keong, 43, yang menghilangkan diri sejak dua bulan lepas.

Kakak Siew Keong yang enggan dikenali berkata, kediaman ibu bapanya di Petaling Jaya disimbah cat merah pada Rabu lalu selain menerima nota dalam bahasa Cina bermaksud “awak berhutang wang, awak bayar wang”.

“Keesokan hari bapanya menerima panggilan telefon dipercayai daripada ah long, yang mengugut akan terus mengganggu mereka jika hutang Siew Keong tidak dijelaskan.

“Mereka juga berkata telah mengambil nombor pendaftaran semua kereta yang ada di rumah ibu bapa saya dan tidak teragak untuk merosakkan kereta-kereta itu jika kami tidak melayan permintaan mereka,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam Gerakan, di sini semalam.

Wanita itu juga berkata, keluarga mereka tidak tahu jumlah hutang adiknya dengan ah long terbabit, namun percaya angka mencecah ratusan ribu ringgit.

“Sebelum ini dia pernah banyak kali meminjam wang dari ibu hingga jumlahnya mencapai hampir RM60,000 dan tidak pernah membayar balik, kononnya bagi tujuan perniagaan kosmetik dan salun dijalankan bersama rakan kongsi wanitanya,” katanya.

Katanya, mereka juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu sumber polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya memberitahu kes masih disiasat dan masih mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan mereka sedang menjejaki ah long terbabit serta Siew Keong.- Bernama
SH:

'via Blog this'

Wanita Thailand cuba seludup 20 ketulan mampat ganja


ALOR SETAR - Jabatan Kastam DiRaja Malaysia negeri Kedah telah menahan wanita warganegara Thailand 28 tahun yang membawa 20 ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja berhampiran plaza tol Jitra pada Khamis lalu, jam 9.10 malam.

Timbalan Pengarah Kastam Negeri, Saidi Ismail berkata, wanita itu meletakkan ganja seberat 18.634 kg itu di dalam beg pakaian yang turut diletakkan di bahagian bagasi bas ekspress yang dinaiki menghala ke Johor Baharu.

Beliau berkata, ganja yang dibawa wanita itu bernilai kurang RM44,700 dan akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori. - SH Kedah/Shahni Farhana Mat Sahir

SH:

'via Blog this'

Klinik Adun dipecah masuk


SHAH ALAM - Sekiranya hendak melaksanakan hudud, bidang kuasa Mahkamah Syariah harus diperkasa dengan membuat pindaan akta jenayah syariah di samping mengkaji semula enakmen-enakmen di setiap negeri.

Presiden Peguam syarie Malaysia, Mohd Isa Abd Ralip berkata, dengan pemerkasaan Mahkamah Syariah, maka bidang kuasanya menjadi luas bagi melaksanakan hudud di mana prosedur kena mantap.selain itu, orang Islam mesti yakin dengan Islam itu sendiri yg menjadi agama rasmi Persekutuan yg termaktub dlm Perlembagaan.- SH SEL/ Anita Abu Hasan

SH:

'via Blog this'