Thursday, 27 October 2011

3 warga nepal maut nahas sebelum sempat mula bekerja



27/10/2011 10:30pm

SHAH ALAM 27 Okt. – Tiga wanita warga Nepal yang baru menjejak kaki di Malaysia hari ini tidak sempat memulakan kerja di sebuah kilang membuat sarung tangan di Klang setelah mereka terbunuh dalam kemalangan di Km 4.4, Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE).
Dalam kejadian pukul 3 petang itu, dua van syarikat yang membawa 19 pekerja dari Nepal itu dalam perjalanan menuju ke kilang tempat mereka bakal bekerja dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), apabila sebuah daripada van itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta dan sebuah lori kontena.
Ketua Trafik Daerah Shah Alam, DSP Ruslan Abdullah berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 3.10 petang, polis terus ke lokasi kejadian dan mendapati tiga wanita sudah tercampak keluar dari van berkenaan.
"Polis mengesahkan ketiga-tiga wanita terbabit mati di tempat kejadian. Walau bagaimanapun, mayat mereka yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 30 tahun itu masih belum dikenal pasti identiti mereka lagi.
"Manakala, lima lagi cedera parah termasuk pemandu van itu dan kesemua mangsa sudah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, polis masih menyiasat bagaimana kemalangan itu berlaku. – Bernama

Penyokong Negeri Sembilan tetap lancarkan protes dari luar stadium

KUALA LUMPUR: Penyokong Negeri Sembilan tetap meneruskan hasrat untuk melancarkan protes berhubung isu harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu ini walaupun Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) mengambil keputusan menjual tiket pada harga RM30 bermula hari ini.
Timbalan presiden Kelab e-Penyokong Negeri Sembilan (n9futbol.com) Mohd Faidzul Mohd Noh berkata pihaknya tidak akan berganjak dengan keputusan protes di luar stadium yang dicapai bersama Ganusoccer.net (Komuniti Maya Penyokong Bolasepak Terengganu).
"Sepatutnya mereka (Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)) yang turunkan harga bukan kerajaan negeri yang menanggung beban. Kami sangat berterima kasih kepada PBNS kerana mereka sanggup guna duit persatuan untuk membolehkan penyokong Negeri Sembilan ke Shah Alam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kempen tersebut dinamakan 'Sokongan Padu Tidak Berbelah Bahagi Dari Luar Stadium Kepada Sukad Hoben Jang Hoben' dan akan bersorak dari luar stadium.


Pada mesyuarat tergempar malam tadi, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga selaku presiden PBNS mengumumkan PBNS akan menjual tiket pada RM30 selepas banyak pihak terutama penyokong setia kedua-dua pasukan merungut dengan harga tersebut.

Peminat Skuad Rusa yang sudah membeli tiket pada hari pertama kelmarin dan semalam dengan harga RM50 boleh menuntut baki lagi RM20 di Wisma PBNS dan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi bermula hari ini.

FAM menetapkan harga tiket final Piala Malaysia sebanyak RM50 bagi semua tempat duduk termasuk tempat duduk utama sementara harga tiket kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dijual pada harga RM5 seorang bagi semua tempat duduk. - BERNAMA

Kanak-kanak empat tahun maut dihempap pokok

JERANTUT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut dihempap sebatang pokok kelapa di halaman rumahnya di kampung Lada, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi itu, Nurshuhada Azman dikatakan berada kira-kira dua meter daripada tangga rumahnya.
Lebih menyayat hati, kejadian itu turut disaksikan ibu kanak-kanak berkenaan dan adik beradiknya yang lain.

Bapa kanak-kanak itu, Azman Zainuddin, 41, berkata pokok kelapa setinggi 15 meter itu tumbang secara tiba-tiba dan menghempap anak bongsunya itu.


"Saya yang berada di luar ketika kejadian terus bergegas ke Hospital Jerantut selepas dimaklumkan kejadian itu. Anak saya pada mulanya duduk di tangga rumah bersama adik beradik yang lain tetapi ketika dia beredar ke halaman rumah, pokok kelapa setinggi kira-kira 15 meter itu tumbang dan menghempapnya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata kejadian berkenaan berlaku begitu pantas dan pokok kelapa itu tumbang secara tiba-tiba tanpa sebarang angin kencang.

"Saya redha dengan ketentuan takdir Allah yang menimpa anak bongsu saya ini. Pihak hospital mengesahkan anak saya meninggal akibat cedera parah di kepala dan badan," katanya sebak.

Jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lada, pada pukul 3 petang semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut DSP Zakaria Kasim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - BERNAMA 

Tiga maut dalam kemalangan hari Deepavali di Pahang

KUANTAN: Tiga orang terbunuh dalam kemalangan berasingan di Pahang pada hari Deepavali semalam.
Pegawai Turus Trafik Pahang DSP Mohd Rizal Abdullah berkata, kejadian pertama berlaku di Km3 Jalan Pekan-Kuantan pada 6.45 pagi apabila Mohd Fauzi Abdul Rahman, 65, sedang dalam perjalanan dari rumahnya untuk berniaga di pasar Pekan apabila terbabas daripada motosikalnya di Jambatan Sultan Abu Bakar dan mati di tempat kejadian.
Seorang lagi penunggang motosikal, Mohamad Al Hakim Hamzah, 14, maut selepas dirempuh tiga kenderaan di Km43 Jalan Kuantan-Kemaman pada 5 petang.

Mohd Rizal berkata mangsa yang menunggang motosikal bersama seorang pembonceng dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kemaman.


Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah merempuh belakang sebuah kenderaan yang berhenti untuk masuk ke simpang sebelah kanan.

"Pelanggaran itu menyebabkan mangsa, Mohamad Al Hakim tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh tiga kenderaan lain dari arah bertentangan, manakala rakannya cedera parah," katanya.

Dalam satu lagi kejadian, W.Surendran, 21, mati di Hospital Tengku Amopuan Afzan di sini setelah kereta yang dipandunya terbabas di km12 Jalan Kuantan-Kemaman pada 11.05 malam tadi. -BERNAMA

Penagih maut dilanggar komuter di Kajang





2011/10/27

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah maut apabila dilanggar oleh tren KTM Komuter yang menghala ke Seremban di Jalan Reko, Kajang dekat sini, malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, laporan polis mengenai kejadian 11.48 malam itu dibuat oleh petugas Ketapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
"Lelaki berusia 51 tahun itu mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat kepada 75 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kajang di sini, hari ini. - BERNAMA

Sindiket curi bagasi di KLIA tumpas





2011/10/27

SEPANG: Polis berjaya mematahkan satu sindiket mencuri bagasi dan barang berharga yang didalangi dua lelaki Peru dan seorang lelaki Sepanyol yang mensasarkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)sejak lebih setahun lalu.

Seorang pelancong asing yang sesat meninggal dipercayai akibat sakit jantung

SEGAMAT: Seorang daripada lima pelancong asing yang sesat sejak semalam di Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, Labis telah berjaya ditemui oleh pasukan pencari dan penyelamat kira-kira 10 pagi tadi.
Bagaimanapun menurut pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Segamat Mohd Nazlan Ruslan, seorang daripada pelancong asing yang sesat itu didapati telah meninggal dunia dipercayai akibat serangan sakit jantung.
"Salah seorang pelancong asing telah memaklumkan kepada kami bahawa rakan mereka telah meninggal dunia akibat sakit jantung ketika mereka berada di dalam hutan itu semalam," katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya kelima-lima pelancong asing itu dipercayai berasal daripada Australia, United Kingdom dan Afrika Selatan dan dikenali sebagai Jonathan, Alan Chadwich, Mark Linnegar, Chris Birchill dan James Fraser.


Pelancong asing yang meninggal dunia itu katanya, adalah Birchill dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Daerah Segamat menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Empat pelancong asing yang lain itu turut dibawa ke hospital yang sama untuk pemeriksaan kesihatan tetapi menggunakan jalan darat.

Menurut Mohd Nazlan, operasi menyelamat oleh pelbagai agensi kerajaan itu dimulakan pada 5 petang semalam sejurus selepas mereka menerima laporan tentang kejadian yang menimpa kumpulan pelancong asing itu.

Kumpulan pelancong asing itu mula memasuki hutan lipur itu pada 9 pagi semalam, katanya.

"Pasukan penyelamat dapat berhubungan dengan kumpulan pelancong asing itu menggunakan telefon bimbit, tetapi kita tidak dapat menentukan kedudukan mereka dengan tepat disebabkan keadaan hutan yang amat tebal," katanya.

Hutan Lipur Sungai Bantang terletak di dalam Hutan Simpan Labis, dan kerap dikunjungi oleh pengunjung yang berminat dengan aktiviti perkhemahan, merentas hutan, berkelah serta melihat pelbagai spesis burung.

Hutan Lipur itu terletak kira-kira lapan kilometer daripada pekan Bekok menggunakan jalan raya Yong Peng-Labis. - BERNAMA