Showing posts with label pati. Show all posts
Showing posts with label pati. Show all posts

Friday, 7 October 2011

Sanggup tak makan lima hari



BALIK PULAU – Hasrat 91 warga Myanmar menyeludup masuk ke negara ini untuk mencari pekerjaan musnah apabila ditahan pihak polis di kawasan Pulau Betong berhampiran Pantai Pasir Panjang semalam.

Kesemua pendatang asing tanpa izin (Pati) berusia di antara 19 sehingga 30 tahun itu ditahan pada jam 8 pagi setelah berenang kira – kira 500 meter dari bot panjang yang dinaiki ke persisiran pantai.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, pihaknya menerima maklumat dari penduduk tempatan akan aktiviti pendaratan warga asing yang berlaku kira – kira jam 3 pagi dan bantuan pasukan anjing pengesan dan Rela turut melancarkan operasi.

Thursday, 6 October 2011

Terjun laut elak kena tangkap



Oleh Norhayati Umor
bhnews@bharian.com.my
2011/10/07

 HATTA  (kiri) memerhatikan beberapa pendatang tanpa izin  Myanmar yang diberkas di pesisiran pantai Pulau Betong
HATTA (kiri) memerhatikan beberapa pendatang tanpa izin Myanmar yang diberkas di pesisiran pantai Pulau Betong
115 pendatang haram Myanmar berenang 200 meter masuk Malaysia 

BALIK PULAU: Seramai 115 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang menyusup masuk negara ini sanggup terjun ke laut dan berenang sejauh 200 meter untuk mengelak daripada disedari nelayan Pasir Panjang, Pulau Betong di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, pendatang terbabit yang berusia antara 19 tahun dan 30-an, dikatakan belayar dari Bangladesh kira-kira 10 hari lalu, terjun dari bot bersama beg pakaian masing-masing dan bersembunyi dalam hutan di tepi pantai itu.
Difahamkan, kesemua pendatang terbabit adalah lelaki dan mereka berjaya berenang ke darat. Setakat ini polis menahan semula seramai 77 orang, manakala selebihnya dipercayai masih bersembunyi di dalam hutan sekitar sini. 

Tindakan pendatang terbabit disedari oleh nelayan di kawasan berkenaan yang kemudian memaklumkan kepada polis. Berikutan itu, operasi mencari pendatang terbabit dilancarkan polis, bermula jam 8 pagi. 

Pendatang yang berjaya ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk diberi makan dan diambil keterangan. 

Seorang pendatang, Anowar Hussain, 23, mendakwa mereka yang bertolak dari kem pelarian di Bangladesh kira-kira 10 hari lalu, berada dalam kelaparan kerana kehabisan makanan sejak sembilan hari lalu. 
Dia mendakwa membayar RM420 kepada ejen untuk dibawa masuk ke Malaysia tetapi tidak dijanjikan sebarang peluang pekerjaan. Ejen itu berjumpa mereka ketika berada di dalam kem berkenaan. 

“Kami semua kelaparan kerana bekalan makanan sudah habis ketika dalam pelayaran,” katanya. 

Rakannya, Mohammad Hussin, 30, berkata mereka sanggup terjun ke laut dan berenang bagi memastikan berjaya memasuki negara ini selepas 10 hari belayar. 

“Kami kelaparan kerana tidak makan sejak beberapa hari lalu. Kami terpaksa berenang dalam keadaan menggigil kesejukan,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Hatta Md Zin, berkata operasi bermula jam 8 pagi selepas pihaknya menerima maklumat daripada nelayan mengenai perkara itu. 

Lebih 60 anggota polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) serta Unit Anjing pengesan bergegas ke tempat kejadian bagi mengesan pendatang. 

Daripada 77 orang yang berjaya ditahan, dua lelaki yang dipercayai tekong warga Myanmar mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR). 

Kedua-dua lelaki itu, masing-masing bekerja di Sabak Bernam, Selangor dan Nibong Tebal, sejak beberapa tahun lalu. 

“Mereka memberi alasan untuk mengambil saudara mereka di sini dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

97 pelarian Myanmar kebuluran di laut




MOHD. HATTA (kanan) bertanyakan sesuatu kepada seorang pelarian warga Myanmar di Balik Pulau, Pulau Pinang semalam.


BALIK PULAU - Tindakan nekad 97 pelarian warga Myanmar untuk masuk ke negara ini secara haram selepas sembilan hari belayar dari Bangladesh tidak kesampaian apabila mereka ditahan polis di pesisiran pantai Pulau Betong di sini semalam.
Kesemua mereka yang berusia 19 hingga 30 tahun diberkas dalam satu operasi bersepadu polis kira-kira pukul 8 pagi dan ditemui dalam keadaan tidak bermaya serta kelaparan setelah lima hari terputus bekalan makanan.
Difahamkan, mereka terpaksa mengerah kudrat yang ada untuk berenang sejauh 300 meter menyeberangi Pulau Kendi ke Pulau Betong selepas ditinggalkan tekong bot kira-kira 500 meter dari pantai.
Sebahagian daripada mereka menggunakan jaket keselamatan untuk berenang ke pesisiran pantai manakala selebihnya hanya menggunakan tong beras, tong fiber dan plastik sebagai pelampung.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Mohd. Hatta Mohd. Zain berkata, tangkapan dilakukan berdasarkan maklumat orang awam yang curiga melihat sebuah bot berhampiran Pulau Betong pada pukul 3 pagi semalam.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan polis ke lokasi terbabit menemui sekumpulan lelaki basah kuyup dan menggigil kesejukan selain berada dalam keadaan lapar manakala selebihnya melarikan diri ke kawasan bukit berhampiran.
"Siasatan mendapati mereka adalah kumpulan pelarian Myanmar yang datang dari sebuah kem pelarian di Bangladesh sebelum belayar ke negara ini semata-mata mahu mencari pekerjaan.

SEBAHAGIAN daripada 97 orang pelarian warga Myanmar yang 
kebuluran diberi makan selepas ditahan di Balik Pulau semalam.


"Mereka menaiki sebuah bot kayu dan membayar tekong dengan upah 10,000 paka (RM420) seorang dan diarah terjun ke laut kira-kira 500 meter dari pantai oleh tekong berkenaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Susulan daripada itu, Hatta memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Maritim Malaysia (APMM) giat mengesan bot terbabit selain berjaya menahan 14 lagi warga Myanmar, tidak jauh dari pantai Pulau Betong.
Turut ditahan ialah dua lelaki Myanmar berusia 40-an yang bekerja di negeri ini yang mengaku mahu mengambil saudara mereka yang tiba dengan bot di pesisiran pantai terbabit.
Kedua-dua lelaki yang datang dari Nibong Tebal dan Sabak Bernam, Selangor itu kemudiannya turut dibawa bersama kesemua pelarian terbabit ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk membantu siasatan.
Sementara itu, menurut seorang pelarian, Anowar Hussain, 23, mereka hanya minum air kosong bagi mengalas perut sejak lima hari lalu ketika belayar dari perairan Bangladesh ke sini.
Katanya, dia menghabiskan semua wang simpanan kira-kira RM500 untuk membayar tekong kerana teruja untuk mencari pekerjaan yang lebih baik di Malaysia setelah mendengar cerita rakan-rakan yang berhijrah ke sini.

20 lagi pendatang Myanmar ditahan di Pulau Pinang





2011/10/06

BALIK PULAU: Polis menahan 20 lagi pendatang asing tanpa izin Myanmar di pesisir pantai Pulau Betong di sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin, berkata mereka yang berusia antara 20 dan 30 tahun itu ditahan dalam operasi khas hingga 5 petang tadi.
Sebelum ini, 77 pendatang ditahan di kawasan yang sama dalam operasi antara 8 hingga 12 tengah hari tadi.
Mereka adalah antara 115 pendatang asing tanpa izin dari Myanmar yang dikesan menaiki sebuah bot kira-kira 28 batu nautika dari pantai itu hari ini. 

Hatta berkata, daripada 20 orang itu, 14 orang ditemui bersembunyi di dalam bot berkenaan manakala enam lagi di sekitar hutan berhampiran pesisir pantai Pulau Betong. 

Beliau berkata, jumlah selebihnya kumpulan Pati itu masih dikesan. 

Kehadiran pendatang itu pada mulanya dikesan oleh beberapa orang nelayan tempatan yang melihat sebuah bot yang diperbuat daripada kayu berlabuh kira-kira 28 batu nautika dari Pulau Betong dan melihat ramai orang berenang ke pantai dari bot berkenaan. 
Seorang pendatang asing tanpa izin yang ditahan, Anowar Hossain, 23, berkata dia membayar RM420 sebagai upah kepada pembawa bot untuk dibawa ke Malaysia. 

"Ketika berada di kem pelarian Bangladesh, kami berbincang bagaimana untuk datang ke Malaysia sebelum didatangi seorang lelaki yang menawarkan diri untuk membawa kami ke sini. 

"Tetapi kami tidak kenal dia dan kami juga tidak dijanjikan apa-apa pekerjaan," katanya yang mempunyai saudara di Malaysia. 

Rakannya Mohammad Hussin, 30, berkata mereka kelaparan akibat kehabisan makanan sejak sembilan hari lepas. 

"Kebanyakan kami tidak makan dalam sembilan hari itu. Kami cuma minum air," katanya yang pernah datang ke Malaysia. - BERNAMA