Thursday 13 October 2011

10 penjenayah ditahan di Kajang


13/10/2011 3:57pm

KAJANG - Polis menahan 10 lelaki sepanjang tempoh dua minggu lepas kerana terlibat dalam kes pecah rumah dan samun dalam tiga kejadian di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, dalam kejadian pertama, seorang lelaki telah memecah masuk sebuah rumah di Taman Jaya Baru, Cheras pada 12 tengah hari 3 Oktober lalu sebelum melarikan barangan berharga bernilai RM8,000.

Beliau berkata, pada ketika itu cuma seorang pembantu rumah berada di rumah kerana majikannya keluar. Pembantu rumah itu turut dirogol.

Abdul Rashid berkata, hasil maklumat, polis menahan suspek terbabit yang berumur 19 tahun di Lorong Haji Taib, Chow Kit pada 9 Oktober dan menjumpai barangan dipercayai milik majikan mangsa termasuk komputer riba serta minyak wangi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan kini ditahan reman selama lima hari bermula Isnin lepas.

Dalam kes kedua, Abdul Rashid berkata, polis menahan tiga lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an kerana dipercayai memecah masuk sebuah rumah di Batu 14 Sungai Chua, Ulu Langat dan mengikat enam anggota keluarga di dalam rumah itu sebelum melarikan barang bernilai RM8,000 di Sg Chua di sini, Jumaat lepas.

Katanya, ketiga-tiga suspek bekerja sebagai buruh kasar dan hasil serbuan di rumah mereka, polis menemui semula barangan milik mangsa termasuk barangan kemas serta telefon bimbit.

"Sebilah kerambit dan sembilan keping surat pajak gadai emas turut ditemui ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Sabtu lepas dan mereka dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 15 kes samun dan pecah rumah.

Dalam kejadian ketiga, polis menahan enam lelaki 5 Oktober lepas kerana dipercayai terlibat dengan kes samun rantai emas daripada seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai selain melarikan wang tunai RM7,000 dari kedai itu di Persiaran Hussien Onn, Balakong, Mei lepas.

Abdul Rashid berkata hasil maklumat, polis menyerbu sebuah rumah di Sungai Merab Luar, Kajang dan menahan keenam-enam lelaki tersebut serta merampas dua bilah parang panjang, sebilah pisau buatan sendiri dan sepucuk pistol angin.

Kesemua suspek didapati positif dadah jenis heroin dan methapethamine selain pernah ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah. - Bernama

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment