Thursday, 13 October 2011

Iran didakwa rancang bunuh duta Arab Saudi ke AS



SEORANg jurugambar merakamkan bangunan Kedutaan Arab Saudi di Washington D.C kelmarin. - AFP


TEHERAN - Iran melahirkan rasa marah dan menafikan tohmahan Amerika Syarikat (AS) yang menuduhnya merancang plot pembunuhan duta Arab Saudi ke AS dan menegaskan Washington sengaja menimbulkan ketegangan antara Teheran dan Arab Saudi.

Pegawai-pegawai di Teheran menganggap dakwaan yang dibuat kelmarin oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Keadilan AS adalah satu situasi yang direka-reka yang bermaksud untuk mengalih perhatian dunia.

Iran sebelum ini mendakwa Israel dengan sokongan AS bertanggungjawab ke atas pembunuhan sekurang-kurangnya dua ahli sains nuklear dalam tempoh dua tahun yang lalu.

Menurut penasihat akhbar Presiden Iran, Mahmoud Ahmadnejad, Ali Akbar Javanfekr, ia merupakan penipuan untuk mengalih perhatian masyarakat dunia daripada masalah dalaman yang dialami oleh AS sendiri.

Tambah beliau, kerajaan AS dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) mempunyai banyak pengalaman dalam usaha mengalih perhatian dunia daripada mengetahui masalah dalaman di AS sendiri.

Duta Iran, Mohammad Khazaee mengirim sepucuk surat kepada pemimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dan Majlis Keselamatan PBB, mengutuk tuduhan yang cukup memalukan itu dan berkata ia adalah satu plot pemikiran yang cukup jahat.

Dia turut menuduh Israel dengan sokongan AS, menjadi dalang kepada pembunuhan saintis nuklear Iran.

AS kelmarin mendedahkan bahawa ia mematahkan satu komplot yang didalangi pemerintah Iran untuk membunuh duta Arab Saudi ke Washington.

Washington juga berjanji akan mengheret Teheran ke muka pengadilan.

Jabatan Kehakiman AS mendakwa dua lelaki kerana bersubahat dengan sayap pemerintah Iran untuk membunuh Duta Arab Saudi, Adel al-Jubeir di AS dalam satu serangan bom.

"Dakwaan itu menyatakan bahawa komplot ini didalangi, dibiayai dan diarahkan dari Iran serta bercanggah dengan undang-undang AS dan antarabangsa," kata Peguam Negara, Eric Holder.

Dakwaan jenayah dikenakan terhadap seorang warga AS yang memegang pasport Iran, Manssor Arbabsiar, 56, dan Gholam Shakuri yang merupakan anggota Pasukan Quds iaitu pasukan elit Tentera Pengawal Revolusi Iran.

Shakuri masih bebas dan dipercayai berada di Iran manakala Arbabsiar ditangkap pada 29 September 29 tahun lalu di Lapangan Terbang John F. Kennedy di New York. Dia dihadapkan di sebuah mahkamah di Manhattan kelmarin.

Peguamnya berkata, dia akan membuat pengakuan tidak bersalah sekiranya didakwa.

Komplot tersebut didedahkan oleh sumber berbayar AS yang menyamar sebagai anggota sebuah kartel dadah Mexico yang digeruni kerana melakukan banyak pembunuhan termasuk membunuh orang kenamaan.

Kedua-dua defendan percaya kartel berkenaan akan membekalkan bahan letupan untuk serangan terhadap Duta Arab Saudi itu.

Sementara itu, bekas ketua perisikan Arab Saudi, Putera Turki al-Faisal menyatakan bukti Iran mendalangi plot untuk membunuh duta tersebut adalah kukuh. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment