Saturday, 15 October 2011

UPP tahan lapan kenderaan Thailand seludup minyak

Berita Harian Online | UPP tahan lapan kenderaan Thailand seludup minyak:
BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah hari ini menahan lapan kenderaan Thailand yang disyaki digunakan untuk menyeludup keluar petrol dan diesel ke negara tersebut.
Menurut Timbalan Komanden UPP Kedah, Noor Mohamed Shaik Alaudin, kesemua kenderaan itu membawa muatan petrol dan diesel berlebihan di dalam tangki tambahan yang diubah suai pada kenderaan itu. "Pada setiap kenderaan ini terdapat dua hingga enam tangki tambahan yang boleh memuat sehingga 3,000 liter petrol dan 2,100 liter diesel yang bernilai kira-kira RM9,000.

"UPP menghidu modus operandi penyeludupan bahan bakar itu yang dilakukan oleh pemandu kenderaan Thailand secara bersendirian, berikutan harganya di negara mereka agak tinggi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Lapan pemandu kenderaan terbabit yang berumur antara 25 hingga 40 tahun turut ditahan.

Noor Mohamed berkata, kenderaan itu yang berupa sebuah lori kontena dan lima pikup ditahan di Kilometer 1.3 arah ke Bukit Kayu Hitam manakala sebuah kereta dan sebuah pikup lagi ditahan di kawasan masjid Laka Temin di sini.
"Kejayaan operasi ini yang bermula dari jam 6 pagi hingga 1 petang tadi adalah hasil maklumat orang ramai," katanya.

Kes itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Kubang Pasu untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun.

Harga petrol di Thailand dilaporkan dijual pada harga RM3.70 seliter manakala diesel RM2.80 seliter berbanding masing-masing RM1.90 dan RM1.70 di Malaysia. - BERNAMA

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment