Sunday, 2 October 2011

3 penyamun lagak penumpang samun drebar teksi

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi berdepan detik mencemaskan apabila disamun tiga lelaki bersenjatakan pisau Rambo yang berlagak sebagai penumpang di Jalan Ipoh, di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.40 itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Zam, 49, berkata ketiga-tiga suspek menaiki teksinya di Jalan Raja Chulan dan meminta dihantar ke Kompleks Mutiara dekat Jalan Ipoh.

Menurut Zam, sebelum turun dari teksi, suspek yang berpura-pura bertanyakan jumlah tambang tiba-tiba mengeluarkan dua pisau Rambo sebelum mengacukan di leher dan perutnya.

“Mereka kemudian mengarahkan saya menyerahkan dompet serta telefon bimbit sebelum memaksa saya turun kerana ingin merampas teksi saya.

“Saya ikut saja arahan mereka kerana bimbang dicederakan. Selepas turun daripada teksi, saya menjerit meminta pertolongan dan pada masa sama enjin teksi mati secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui, semalam. Berang dengan tindakannya menjerit meminta tolong, suspek mengejar Zam sejauh kira-kira 50 meter namun, kehadiran anggota polis di tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang ramai menyelamatkannya apabila suspek melarikan diri.

“Saya membuat laporan di Balai Polis Sentul dan dimaklumkan semua suspek sudah ditahan oleh anggota polis peronda terbabit,” katanya yang berterima kasih kepada orang ramai dan polis yang pantas mengambil tindakan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan penahanan tiga suspek berusia antara 24 dan 38 tahun.

No comments:

Post a Comment