Sunday, 2 October 2011

Anak hilang sejak Khamis

KOTA TINGGI: “Anak saya dimarahi seorang lelaki ketika menghubungi saya sebelum talian terputus. Kejadian itu benar-benar membimbangkan saya sekeluarga,” kata Ibrahim Ahmad, 47, bapa kepada seorang remaja perempuan berusia 13 tahun tidak pulang ke rumah sejak Khamis lalu.
Beliau berkata, panggilan telefon itu dibuat anaknya, Aisyah, petang Jumaat lalu dan anak sulungnya itu hanya sempat memberitahu nama, sebelum seorang lelaki memarahi anaknya dan talian telefon dimatikan.

“Khamis lalu, Aisyah ke sekolah agama seperti biasa dengan menunggang basikal kira-kira jam 12 tengah hari, ketika itu saya menghantar anak kedua daripada empat beradik ke sekolah sama, saya melihat basikal anak saya masih di sekolah, manakala kelas digunakan untuk pengajaran haji.

“Saya beranggapan Aisyah mengikuti kelas haji dan terus pulang, namun berasa pelik apabila anak sulung saya belum pulang menyebabkan saya kembali ke sekolah agama beberapa jam kemudian dan ke sekolah menengah di Jalan Bukit Seri Lalang di sini, untuk bertanya guru dan rakan sekelas sama ada Aisyah hadir ke sekolah atau tidak,” katanya ketika ditemui di Kampung Tembioh di sini, semalam.

Menurutnya, dia dimaklumkan Aisyah tidak hadir ke sekolah dan kali terakhir dilihat di Taman Aman kira-kira tiga kilometer dari sekolahnya bersama seorang rakan sekolah agama, namun bersekolah menengah di Kota Kecil.

Katanya, bimbang dengan keselamatan anaknya itu, dia bergegas ke Taman Aman bersama beberapa saudara-mara dan rakan serta meronda di kawasan sekitar bagi mencari anaknya itu tetapi gagal.


“Saya menunggu di jambatan berhampiran rumah jam 6 petang dengan harapan anak saya itu pulang bersama pelajar lain. Mungkin anak saya menghadapi masalah hingga tidak ke sekolah, namun bersedia mendengar penjelasannya.

“Selepas Maghrib, anak saudara saya menghubungi dan memaklumkan tahu kediaman rakan anak saya yang dilihat bersama di Taman Aman, menyebabkan saya dan isteri, Rohani Tek, 36, bergegas ke rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mereka bertemu ibu pelajar berusia 14 tahun itu dan wanita berkenaan memberitahu anaknya juga belum pulang tetapi enggan membuat laporan polis.

“Kami membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi,” katanya.

Rohani berkata, ketika keluar rumah anaknya yang berambut pendek dengan ketinggian 110 sentimeter hanya ada RM1 sebagai bekal ke sekolah agama.

No comments:

Post a Comment