Kejadian kira-kira jam 5.53 petang itu mengorbankan Nur Zulaikha Othman, 17, yang menunggang motosikal dan turut menyebabkan rakan yang memboncengnya patah kaki, selain cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.
Kakak mangsa, Zawyahah Othman, 28, berkata, semasa kejadian, dia berada di rumah dan mendapat tahu mengenai kemalangan itu setelah dimaklumkan rakan adiknya kira-kira jam 6.30 petang.
Menurutnya, dia sendiri tidak menyangka adik bongsunya itu terlibat dalam kemalangan kerana selama ini, adiknya menunggang dengan cermat.
“Saya bagai tak percaya adik terlibat kemalangan kerana dia bukan seorang yang memandu laju. Tambahan arwah sebelum ini tidak pernah menunjukkan sebarang perubahan sepanjang Syawal lalu.
“Arwah selama ini disenangi dan tidak mempunyai masalah, selain berperangai keanak-anakan apabila bergurau dengan anak saudaranya. Malahan, dia juga kerap menghubungi semua abang dan kakaknya,” katanya di Rumah Mayat Hospital Jerantut.
Zawyahah berkata, adiknya keluar dari rumah di Kampung Lata Kasah pada jam 4.30 petang untuk mengambil seorang lagi kakaknya di sebuah taska di kawasan perumahan dekat bandar ini pada jam 6.30 petang.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, Inspektor Muhammad Muhaimin Jaafar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.53 petang di laluan sempit sehala Sungai Jan.
Menurutnya, mangsa dipercayai melawan arus memasuki jalan sehala terbabit menyebabkan motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan lori dari arah Kuala Tembeling.
Katanya, mangsa maut di tempat kejadian setelah terseret kira-kira 20 meter di persimpangan empat dan tersepit di bahagian tayar belakang lori tersebut manakala motosikalnya tersepit di bahagian depan lori.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis trafik meminta saksi yang melihat kejadian menghubungi Pejabat Polis Trafik Jerantut menerusi talian 09 266889 atau di talian 019 3776117,” katanya.
No comments:
Post a Comment