KOTA BHARU 2 Okt. - Seorang penoreh getah terkejut apabila menemui mayat seorang bayi perempuan dalam sebuah beg pakaian yang ditemui dalam perigi kebun getahnya di Kampung Kubang Kacang, Limbat dekat sini, pagi ini.
Tuan Mat Tuan Lonik, 64, menemui mayat bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu kira-kira pukul 8 pagi ketika dia ingin membersihkan dirinya selepas membuang air besar menggunakan air perigi tersebut.
Katanya, sewaktu mencedok air perigi itu yang sedalam kira-kira lima meter menggunakan baldi, dia tiba-tiba ternampak sebuah beg pakaian terapung dan tertutup rapi.
"Saya hairan sebab ketika saya datang ke perigi semalam, beg itu tidak ada. Saya terpaksa gunakan sebatang buluh untuk membawa naik beg tersebut.
"Selepas membawa naik beg itu, alangkah terkejutnya apabila mendapati seorang bayi berada di dalamnya," kata Tuan Mat ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.
Dia kemudian bergegas pulang ke rumah untuk membersihkan diri sebelum memberitahu Penghulu dan orang kampung mengenai kejadian tersebut selain melaporkannya kepada polis.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, pihaknya percaya bayi perempuan berketurunan Melayu itu dilahirkan dua atau tiga hari lalu.
Katanya, selain menemui bayi dalam beg, pihaknya turut menemui satu bungkusan mengandungi baju, kain batik sarung, seluar dalam, coli serta tuala yang mempunyai kesan darah tidak jauh dari perigi berkenaan.
"Kita percaya barangan yang ditemui kira-kira 20 meter dari perigi itu relevan dengan kes melibatkan bayi tersebut. Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.
"Kita sedang mengesan mereka yang bertanggungjawab dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati," ujarnya.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment