Thursday, 27 October 2011

Angkara litar pintas



BALING - Sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila hampir keseluruhan rumah mereka rentung dalam kejadian kebakaran tengah hari kelmarin di Kampung Charok Sikin.

Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu dipercayai berpunca daripada litar pintas kerana sebelum kebakaran, bunyi letupan kedengaran di bahagian meter rumah berkenaan.

Pemilik rumah, Mohd Asroh Ahmad, 38, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah jiran yang hanya beberapa meter dari rumahnya.

“Semasa saya berbual dengan rakan, saya terdengar bunyi letupan di bahagian bumbung rumah. Kemudian, api marak dengan pantas sehingga saya tak sempat selamatkan apa-apa.

“Saya hanya dapat berlari masuk ke ruang tamu untuk mendapatkan barangan berharga, namun gagal kerana bahang api terlalu panas selain risau bumbung rumah runtuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Asroh yang bekerja kampung berkata, dia turut berlari keluar meminta pertolongan jiran, namun, kebakaran tersebut terlalu cepat sehingga hampir memusnahkan keseluruhan rumahnya.

“Mujurlah semua keluarga saya termasuk isteri, Azlina Aziz, 37; dan anak Mohd Faiz Fahmi, 19; Mohd Nurul Nor Fahatun, 17; Mohd Faiz Farhan, 13; dan Ani Nur Fatihah, 11, berada di luar rumah ketika kejadian,” katanya.

Mohd Asroh berkata, anggaran kerugian RM80,000 melibatkan wang tunai dan perabot rumah.

“Segala dokumen penting tidak dapat diselamatkan. Semua buku rujukan anak saya yang bakal menduduki SPM tahun ini juga hangus,” katanya.

Sementara itu, Yayasan Pembangunan Rakyat Baling meluluskan peruntukan membina sebuah rumah ganti.

Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, RM33,000 diluluskan bagi membantu mereka. Hadir sama, Penyelaras Dun Kupang, Ishak Mat dan Pegawai Jasa Dun Bayu, Othman Md Noor.

No comments:

Post a Comment