Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berkata, sistem penahan banjir di sekeliling Bangkok tidak dapat menahan limpahan air banjir yang banyak dari utara negara itu.
“Tetapi saya yakin pusat bandar Bangkok tidak akan ditenggelami banjir sepenuhnya,” katanya dalam mesej disiarkan televisyen, kelmarin.
Sungai Chao Phraya di Bangkok mula melimpah dan Yingluck berkata, kerajaan menjangkakan situasi paling buruk mungkin melibatkan kawasan tanah rendah di Bangkok ditenggelami air sedalam lebih satu meter.
Banjir terburuk Thailand dalam beberapa dekad itu juga mencetuskan pembelian panik penduduk serta memaksa lapangan terbang Don Mueang yang terletak di ibu negara itu ditutup.
Kerajaan Thailand juga mengisytiharkan cuti umum lima hari bermula hari ini sehingga 31 Oktober di 21 wilayah, termasuk Bangkok, bagi mengendalikan bencana itu.
Sementara itu, jabatan penjara Thailand memindahkan 600 banduan dari penjara di wilayah Nonthaburi, berhampiran Bangkok kerana ancaman banjir.
Menurut pengarah jabatan penjara, jika keadaan bertambah buruk, lebih 20,000 banduan di dua penjara lain di wilayah terjejas akan turut dipindahkan.
Kira-kira satu pertiga negara itu masih ditenggelami air dengan 2.4 juta penduduk terjejas akibat banjir yang melanda Thailand secara berperingkat sejak 25 Julai lalu.
No comments:
Post a Comment