Thursday, 27 October 2011

Perhilitan rampas 449 hidupan liar



ALOR SETAR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas 449 pelbagai jenis hidupan liar yang dipercayai untuk dieksport setelah menyerbu sebuah rumah di Kampung Kandis, Kodiang, kira-kira 40 kilometer dari sini semalam.

Menurut Pegawai Penguat Kuasa Perhilitan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Celescoriano Razond sebanyak 302 ular senduk Asia (Naja Naja), 146 kura-kura katup (Coura Amboinesis) dan seekor kera (Macaca Fascicularis) dirampas dalam serbuan itu.

Rampasan haiwan eksotik itu hasil maklumat orang ramai dibuat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), katanya kepada pemberita di pejabat Perhilitan di Bukit Pinang, dekat sini, hari ini.

Celescoriano berkata kesemua haiwan tersebut ditemui dikurung di bawah, depan dan belakang rumah seorang lelaki Melayu berusia 40-an sejak tiga minggu lepas.

"Haiwan eksotik itu milik seorang lelaki Cina berusia 30-an, dipercayai majikan kepada lelaki Melayu terbabit yang disimpan sementara waktu untuk dihantar ke luar negara," katanya.

Celescoriano berkata haiwan-haiwan itu yang belum dapat dinilai harganya dipercayai dibeli oleh lelaki Cina tersebut daripada penduduk tempatan di Perlis.

Katanya kedua-dua lelaki terbabit kini ditahan di lokap Balai Polis Jitra untuk siasatan lanjut.

Memiliki ular senduk Asia jantan, kura-kura katup jantan dan kera adalah salah yang boleh didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716).

Celesciano berkata denda bagi kesalahan tersebut tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan memiliki ular senduk Asia betina dan kura-kura katup betina mengikut Seksyen 62 Akta sama tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama

No comments:

Post a Comment