Nurul Atikah Samsiah, 15, yang berpakaian baju-T dan seluar trek dijumpai di ruang dapur sebuah rumah yang berselang tiga pintu sahaja dari rumah keluarganya.
Menurut datuk mangsa, Muhammad Kasim, 62, berkata, Nurul adalah anak kedua daripada lima beradik dan tinggal bersama ibu bapanya dikatakan hilang sejak jam 2 petang kelmarin.
Menurutnya, ahli keluarga dan jiran mencari cucunya itu sejak petang kelmarin, dan akhirnya menemui mangsa kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin, selang tiga pintu dari rumah keluarganya.
“Pagi tadi (semalam), anak saya Rahimah (ibu mangsa) ada menelefon dan memaklumkan kepada saya bahawa mayat Nurul telah dijumpai.
“Saya yang tinggal di Kampung Sungai Perepat kira-kira 10 kilometer (km) dari Ladang Kambau, kemudiannya terus ke Balai Polis Tanjung Sedili untuk membuat laporan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi (HKT), semalam.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, seorang suspek lelaki berusia 41 tahun, masih belum berumah tangga ditahan bagi membantu siasatan.
“Suspek seorang warga tempatan juga pekerja ladang di situ ditahan bagi membantu siasatan. Ekoran penemuan mayat remaja tersebut, sepasukan polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah ke tempat kejadian.
“Mayat mangsa yang dibawa ke HKT telah dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk bedah siasat,” katanya.
Menurutnya, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis percaya kes itu dapat disele-saikan dengan tertangkapnya suspek.
Sebelum ini, terdapat kes di mana seorang remaja perempuan, Nurrahayu Qomarodin Bajuri, 16, yang dilaporkan hilang pada 14 Jun lalu, terjawab apabila polis menemui beberapa anggota badannya yang dikerat dan dibakar di dua lokasi termasuk di tanah perkuburan Hindu di Masai dan di ladang sawit di Sungai Tiram, Ulu Tiram, pada 4 Julai lalu.
No comments:
Post a Comment