27/10/2011 7:44pm
ALOR SETAR – Polis berjaya menumpaskan dua sindiket mencuri 15 kenderaan mewah dan dua sindiket mencuri motosikal dengan penangkapan 12 lelaki bulan ini.
Ketua Polis Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata, sindiket mencuri kereta mewah itu menjalankan kegiatan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor untuk diseludup ke negara jiran, manakala sindiket mencuri motosikal juga melakukan aktiviti mereka berasingan di negeri ini.
Beliau berkata, kejayaan itu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kedah dan Bahagian Jenayah Bukit Aman bermula dengan penangkapan seorang lelaki berumur 32 tahun yang memandu Toyota Estima curi di Km 8.7 Lebuh Raya Changlun-Bukit Kayu Hitam pada 4.30 pagi 14 Oktober lepas.
"Siasatan polis membawa kepada penemuan sebuah lagi Toyota Estima curi yang diletakkan berhampiran sebuah pasar raya di Gurun namun seorang lelaki anggota sindiket itu masih bebas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Adzaman berkata siasatan awal mendapati sindiket dua lelaki itu telah menyeludup 11 buah Toyota Estima ke Thailand yang dicuri di Damansara dan Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Menurutnya, satu lagi sindiket dianggotai dua lelaki berumur 31 dan 34 tahun diberkas 10 hari selepas itu masing-masing di sebuah rumah di Changlun dan Alor Setar bersama dua Toyota Estima yang dicuri turut dirampas daripada mereka.
Kedua-dua lelaki itu juga mempunyai 10 rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya, tambahnya.
Dalam kes berasingan di Kota Setar, lima remaja berumur 16 hingga 20 tahun yang menggelar diri mereka Kumpulan Digat ditahan polis Kota Setar kerana disyaki menjadi dalang kes curi motosikal di daerah itu. – Bernama
No comments:
Post a Comment