MELAKA 17 Okt. – Sebuah syarikat penjual motosikal didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan pindaan memalsukan maklumat harga tunai sebuah motosikal dalam dokumen sewa beli terhadap seorang pelanggannya, empat tahun lalu.
Majistret Muhammad Hazri Hanafi menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Ban Zee Motors Sdn. Bhd. selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie atas pertuduhan tersebut.
Beliau turut mengarahkan syarikat terbabit yang diwakili Pengarah Eksekutif, Teh Kim Hock, 37, dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan Ban Zen selaku peniaga Honda EX5 Dream C1004-MA (KICK) No. Pendaftaran MBL 6342 didakwa membuat pernyataan palsu dalam perjanjian sewa beli BZM/3123/07 bertarikh 31 Mei 2007 di premis syarikat itu di Jalan Durian Daun Dalam, di sini antara pukul 8 pagi hingga 3 petang, 31 Mei 2007.
Harga tunai yang dicatatkan dalam perjanjian tersebut iaitu RM4,158.75 adalah berbeza dengan harga tunai dipamerkan pada jenis motosikal sama iaitu RM3,655.92.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 36 Akta Sewa Beli 1967 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih tempoh enam bulan atau kedua-duanya.
Terdahulu, Kim Hock melalui peguam belanya W.K Chew memohon hukuman diringankan dengan alasan keuntungan yang diperoleh anak guamnya itu tidak lebih RM500.
Ujar Chew, syarikat tersebut tidak bermaksud untuk menipu pembeli sebaliknya dalam kes tersebut, berdasarkan keterangan saksi termasuk daripada Persatuan Perniagaan Kenderaan Negeri Melaka dan pengguna juga mengetahui jumlah belian sebelum menandatangani perjanjian.
Bagaimanapun dua Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) negeri, Adyzam Abdul Manap dan Azman Hamid memohon hukuman setimpal terhadap syarikat tersebut.
“Sebagai penjual motosikal sepatutnya mereka perlu menjelaskan lebih terperinci mengenai perjanjian sewa beli kepada pembeli,” kata Adyzam.
Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 25 Januari lalu, seramai empat saksi pendakwaan memberi keterangan manakala pembelaan turut memanggil empat saksi selepas diperintah membela diri pada 15 Jun lalu. - Utusan
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment