Monday 17 October 2011

Tujuh maut dalam empat kemalangan

Kosmo! Online - Terkini:


17/10/2011 1:09pm

KUANTAN – Pahang merekodkan tujuh kematian di jalan raya akibat empat kemalangan di negeri itu semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pertama, tiga remaja maut selepas terbabit nahas motosikal di Jalan Besar-Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bandar Jengka.

"Dalam kejadian 12.10 malam semalam, mereka menunggang motosikal masing-masing dari arah sama, namun dua daripada motosikal itu bergesel sesama sendiri menyebabkan kedua-dua penunggang terjatuh yang kemudian dirempuh sebuah lagi motosikal,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata akibat kejadian itu, Mohd Shahfahme Mustapha, 21, meninggal dunia di Hospital Jengka, manakala Zulhilmi Haris, 15, dan Mohamad Lokman Hakim Mohd Rosly, 16, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam kejadian kedua di Bera, dua maut dan seorang parah selepas kereta yang dinaiki tiga lelaki terbabas ke kanan jalan sebelum terhumban ke dalam longkang pada 4 pagi semalam.

Katanya, pemandu kereta Low Chee Hong, 22, dan penumpang belakang Sam Jian Hui, 19, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penumpang hadapan cedera parah.

"Semua mangsa dalam perjalanan dari arah Triang ke Kemayan dan sampai di tempat kejadian Km 43, Jalan Temerloh-Kuantan kenderaan mangsa telah terbabas sebelum terhumban ke dalam longkang,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian ketiga, seorang penunggang motosikal maut selepas motosikalnya bergesel dengan sebuah lori di Km 41, Jalan Pekan-Nenasi pada 5.30 petang semalam.

Ramali Abd Rahaman, 57, dipercayai telah keluar dari sebuah simpang dan menunggang menentang arus jalan.

"Motosikal mangsa telah bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah Nenasi menuju ke Pekan menyebabkan mangsa terbabas dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Dalam kejadian keempat di Maran, seorang penumpang belakang sebuah kereta maut selepas kereta yang dinaikinya terbabas dan melanggar tebing jalan di Km 165.9 Lebuh Raya Pantai Timur pada 7.45 malam tadi.

Mohamed Fauzi berkata, mangsa wanita berkenaan, Choo Lee Yee, 28, bersama dua kenalan lelakinya yang berusia 26 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan.

Katanya kejadian berlaku ketika hujan lebat yang menyaksikan kereta dinaiki mangsa berpusing dan terbabas sebelum melanggar tebing di tepi jalan berkenaan. – Bernama


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment