Monday, 17 October 2011

Empat penyamun pasar raya ditahan

Utusan Malaysia Online - Terkini:


17/10/2011 10:40pm

KUANTAN 17 Okt. – Tindakan pantas seorang pengawal keselamatan melaporkan kepada polis sejurus berjaya melepaskan diri daripada ikatan, membolehkan empat penjenayah warga Indonesia diberkas dalam kejadian samun di sebuah pasar raya di Jalan Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang, di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, seorang lagi suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri bersama sejumlah wang tunai RM10,000.

Penyelia pasar raya itu yang ingin dikenali sebagai Ang berkata, kumpulan suspek yang bersenjatakan parang dan tukul besi memasuki premis berkenaan dengan memecahkan dinding.

Menurutnya, suspek kemudian mengikat pengawal keselamatan dan majikan yang berada di situ dan mengugut mereka supaya mendiamkan diri.

“Mereka juga menutup mulut dan mata kedua-dua mangsa. Mangsa lalu dibawa ke kedai papan di belakang pasar raya itu sebelum menggeledah premis bagi mencari barangan berharga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, pengawal keselamatan itu bagaimanapun berjaya membuka ikatannya lalu melarikan diri seterusnya melaporkan kejadian kepada polis.

Tambahnya, sepasukan polis yang bergegas ke lokasi kejadian bertindak mengepung pasar raya berkenaan dan memberkas empat suspek.

“Kesemua suspek berusia 40-an yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri tetapi empat daripada mereka berjaya ditahan. Hanya seorang sempat melarikan diri dengan sejumlah wang tunai,” ujarnya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi hari ini memberitahu, polis kini memburu suspek yang melarikan diri. - Utusan


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment