Monday 17 October 2011

Dua pekerja katering di penjara, denda kerana mencuri

Utusan Malaysia Online - Terkini:


17/10/2011 6:33pm

KUALA TERENGGANU 17 Okt. – Kerana mencuri dua kotak air minuman, dua pekerja katering masing-masing dihukum penjara sehari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ahamad Taqiyuddeen Samsudin, 32, dari Taman Datuk Wan Salleh dan rakan karibnya, Mohd. Tarmizi Jusoh, 25, dari Taman Desa Jaya mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di hadapan Majistret Nor Azizah Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa mencuri dua kotak air minuman jenama Dutch Lady yang bernilai RM54 dari sebuah kedai No. 1388, Lorong Haji Da, Batu Buruk dekat sini lebih kurang pukul 1.30 petang pada 13 Oktober lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Nor Azizah ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan jenayah meskipun ia melibatkan jumlah kecurian yang kecil.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor V. Ravi, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Hayyatuddin Muhamad.

Dalam kejadian Khamis lalu, dua lelaki itu ditahan pihak berkuasa di sebuah persimpangan lampu isyarat selepas dipercayai mencuri barang dari sebuah kedai.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek terbabit telah memasuki sebuah kedai di Batu Buruk dengan berpura-pura membeli dua bungkus gula pasir sebelum bertindak melarikan dua kotak besar air minuman menggunakan sebuah kereta. - Utusan


'via Blog this'

No comments:

Post a Comment