Tuesday 11 October 2011

Jiran selamat 2 beradik menangis ketakutan

ALOR SETAR: Kesengsaraan dua beradik dipercayai sering didera ibu tirinya berakhir apabila jiran mereka memaklumkan kepada polis selepas melihat mangsa yang trauma menangis ketakutan.

Dalam kejadian jam 10 pagi Sabtu lalu di Jalan Tandop-Sungai Petani, di sini, kedua-dua mangsa berusia lapan dan lima tahun dipercayai ditampar pipi, dihentak kepala ke dinding, dicubit serta diconteng belakang badan dengan pen oleh ibu tiri mereka.


Difahamkan, suspek berusia 21 tahun yang sedang sarat mengandung tujuh bulan bertindak sedemikian apabila berang dengan perangai dua anak tirinya yang nakal.

Ketika kejadian itu, bapa mangsa berusia 30-an tiada di rumah kerana bekerja dan disedari jiran selepas mendengar kanak-kanak terbabit sering menangis dan menjerit akibat dipukul.


Jiran membawa kanak-kanak itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kerana mangsa ditinggalkan ibu bapa mereka sebelum anggota polis membawa dua beradik terbabit ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk pemeriksaan kesihatan.


Sumber berkata, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun manakala adik lelakinya berusia lima tahun dipercayai sering didera sejak seminggu lalu oleh ibu tiri ketika ketiadaan bapa mereka di rumah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.


“Kita sedang menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kanak-kanak terbabit kini diletakkan di bawah jagaan JKM,” katanya.

myMetro | Jiran selamat 2 beradik menangis ketakutan:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment