NORZITA (kanan sekali) ditenteramkan rakan ketika di Unit Forensik Hospital Mersing.
MERSING: Seorang anggota polis bersama suspek kes dadah yang diiringi maut, manakala rakan setugasnya dan seorang lagi tahanan parah apabila van dinaiki mereka bertembung treler di sini, petang semalam.Dalam kemalangan jam 3 petang di Kilometer 13 Jalan Mersing-Endau itu, anggota Bahagian Narkotik Polis Mersing, Koperal Razli Setapa, bersama tahanannya yang identiti belum diperoleh, mati di tempat kejadian.Rakan setugas mangsa yang juga pemandu van terbabit, Lans Koperal Nik Li Nik Hassan dan seorang lagi suspek parah, manakala pemandu treler dan kelindan yang bertembung dengan kenderaan mereka terselamat.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, ketika kejadian, dua anggota polis terbabit sedang dalam perjalanan membawa dua lelaki berkenaan dari Balai Polis Endau untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing.
“Ketika sampai di tempat kejadian dalam keadaan hujan lebat, van dinaiki dua anggota terbabit bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan yang hilang kawalan dan memasuki laluan mereka.
“Kita masih menyiasat punca sebenar kemalangan ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, sementara mangsa yang cedera kini masih dalam rawatan di Hospital Mersing. Kami menyampaikan rasa simpati terhadap keluarga mangsa yang terbunuh dalam kemalangan ini," katanya, semalam.
Beliau berkata, jenazah mangsa yang terbunuh dihantar ke Unit Forensik Hospital Mersing untuk bedah siasat dan pihaknya sedang berusaha mengesan waris suspek kes dadah yang turut terbunuh dalam kemalangan itu.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi Unit Forensik Hospital Mersing apabila rakan serta ahli keluarga termasuk isteri Razli, Norzita Abdul Rahman, menunggu untuk menuntut mayat suaminya. Suri rumah itu tidak dapat ditemui kerana terlalu sedih dan terkejut dengan kemalangan menimpa suaminya.
“Saya tak sangka, kegembiraan selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) petang ini, berakhir dengan khabar menyedihkan apabila ayah saya maut dalam kemalangan ketika menjalankan tugas," kata anak bongsu Razli, Noor Adi Fitri, 15.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment